Anda di halaman 1dari 31

PENGARUH LETAKAN TERHADAP CORAK PEMBANGUNAN DAN

PEMBANDARAN DESA: BEBERAPA BUKTI DARI SEKITAR


DENGKIL DAN TRIANG, MALAYSIA
Katiman Rostam
Junaidi Abu Bakar
Mohd Azlan Abdullah

PENGENALAN

Selama dua setengah dekad sejak 1970 Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang
pesat dan keadaan sosial yang lebih baik. Pertumbuhan ekonomi yang pesat disertai
dengan proses transformasi struktur ekonomi negara yang lancar dari pada berasaskan
pengeluaran dan ekport komoditi utama kepada ekonomi pembuatan moden (Malaysia
1996). Sektor pembuatan menyumbang lebih sepertiga daripada KDNK. Kini ekonomi
negara sedang memasuki fasa perindustrian yang memberi penekanan kepada aktiviti
berintensif modal, berteknologi tinggi dan terkini. Peranan sektor swasta dalam
pembangunan negara, khususnya dalam penyediaan infrastruktur terus diberi tekanan
melalui Malaysia Incorporated 1983. Bagaimanapun, dasar pembangunan tersebut telah
mewujudkan taburan yang tidak seimbang. Di sebalik peningkatan pendapatan per kapita
penduduk negara, meningkatnya golongan kelas menengah dan menurunnya peratusan
penduduik termiskin, jurang pembangunan di antara kawasan yang maju dan kurang maju
kebelakangan ini kian ketara. Para pelopor teori pembangunan wilayah seperti Williamson
(1965) dan Tabuchi (1988) menjangkakan bahawa penumpuan pembangunan di kawasan
teras sesebuah negara hanya akan berlaku pada peringkat awal pertumbuhan. Proses
penyelerakan dan penyahpusatan akan berlaku secara tabii melalui perpindahan penduduk,
modal, teknologi dan firma ke petempatan di kawasan yang mundur pada hierarki di
bawahnya. Bagaimanapun keadaan ini mungkin tidak wujud dalam suasana negara
memasuki persaingan global. Ini kerana dalam persaingan global, peranan dan pengaruh
sektor awam semakin berkurangan. Malah negara menjadi semakin tunduk kepada kuasa
pasaran (Cox 1994). Kawasan pinggiran akan terus tertekan dan jurang pendapatan
penduduk kian lebar (Ishak Shaari 2000).
Usaha untuk mengimbangkan pembangunan di antara wilayah-wilayah di Malaysia
terus menghadapi cabaran. Masalah untuk memajukan kawasan yang masih ketinggalan di
negara ini bukan sahaja berpunca daripada persaingan global tetapi juga oleh keadaan
dalaman wilayah yang terbabit. Di sesetengah kawasan, sumber alam yang tidak sesuai
dimajukan dan sumber manusia yang kurang mahir selain kedudukan kawasan berkenaan
yang terpisah, turut mempengaruhi corak pembangunan dan pembandarannya. Wilayah

Seminar Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Ke-4 Pada 27-28 Ogos 2001, UKM, Bangi
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

teras yang secara geografinya mempunyai kelebihan bandingan yang menguntungkan


khususnya Lembah Klang-Langat, Lembah Kinta, Johor Baharu dan Pulau Pinang didapati
terus berkembang maju. Walaupun wilayah-wilayah yang terletak di luar pusat pertumbuhan
seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang turut mengalami peningkatan ekonomi
khususnya melalui pertumbuhan sektor pembuatan seperti industri asas kayu, asas tani,
petrokimia, selain elektrik, elektronik dan pakaian, tetapi tumpuan aktiviti tersebut hanya di
kawasan-kawasan tertentu sahaja. Kawasan-kawasan yang terpencil dan terpinggir serta
tiada sumber mineral berharga, penduduknya kurang berkemahiran dan kekurangan
penyediaan infrastruktur, terus ketinggalan. Perbezaan ini dapat diperhatikan hampir di
mana-mana sahaja di kedua-dua kawasan berkenaan. Sebagai contoh kertas ini
membandingkan kemajuan dua buah mukim iaitu Mukim Dengkil, sebuah kawasan yang
terletak di pinggir Lembah Klang-langat yang maju dan Mukim Triang, sebuah kawasan
terpinggir yang umumnya masih kurang maju.
Secara lebih spesifik kertas ini bertujuan untuk membincangkan pengaruh letakan
(geografi) terhadap corak pembangunan kawasan. Hipotesis yang boleh diketengahkan di
sini boleh dinyatakan sebagai berikut: "kawasan yang mempunyai ciri letakan yang baik
menerima lebih banyak input pembangunan berbanding dengan kawasan yang terletak di
pinggiran". Menggunakan contoh dua buah mukim, iaitu Dengkil dan Triang, kertas ini
berusaha untuk memeriksa hipotesis di atas. Kertas ini akan membuktikan bahawa Dengkil
yang terletak di wilayah yang maju akan lebih banyak menerima limpahan input
pembangunan berbanding dengan Triang yang terletak di wilayah yang terpinggir.

DASAR DAN STRATERGI PEMBANGUNAN NEGARA:


IMPLIKASI TERHADAP DENGKIL DAN TRIANG

Dasar pembangunan melalui perindustrian yang lebih liberal seperti yang digalurkan dalam
Pelan Induk Perindustrian (PIP1 dan PIP2) adalah garis panduan utama pihak kerajaan
untuk mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, melebihi lapan peratus
setahun. Dasar membiarkan berlakunya pemusatan aktiviti perindustrian di kawasan yang
telah maju adalah selaras dengan kemahuan pasaran seperti yang dinyatakan dalam
Rancangan Malaysia Keenam 1991-1995 (Malaysia 1991). Malah strategi pemusatan juga
selaras model-model pembangunan memusat klasik seperti yang dikemukakan oleh Myrdal
(1957) dan Hirschman (1958). Pada umumnya, dasar ini tidak bertentangan dengan hasrat
untuk mencapai pembangunan yang seimbang. Ini kerana dasar pemusatan adalah strategi
utama negara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat seperti yang diterima
pakai oleh kebanyakan negara yang baru beindustri. Strategi tersebut juga adalah asas

-2-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

penting bagi menjana hasil ekport negara yang tinggi. Strategi ini adalah daya yang
menggerakkan penumpuan aktiviti di wilayah pusat. Pada masa yang sama strategi
penyelerakan sebagai daya penyahpusatan masih diteruskan melalui pelbagai skim galakan
pelaburan di wilayah-wilayah yang masih mundur. Pada dasarnya kedua-dua daya tersebut
mampu mengimbangi kelembapan ekonomi wilayah pinggiran yang kurang maju. Oleh itu,
kedua daya tersebut adalah sejajar dengan objektif pembangunan seimbang seperti yang
dihajati oleh Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang meletakkan matlamat agihan
melalui pertumbuhan untuk mewujudkan masyarakat yang tersepadu dan saksama. Hal ini
ditegaskan sekali lagi dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMVII) dalam mana beberapa
strategi telah digunakan untuk mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi yang pesat di
samping pembangunan yang seimbang. Salah satu strategi tersebut ialah melalui
pembangunan bandaran termasuk di kawasan luar bandar (Ghani Salleh 2000). Dalam
RMVII ini, penekanan terus diberikan kepada usaha menyelerakkan pembangunan
berteraskan ekonomi bandar ke kawasan pinggiran yang kurang maju. Selain ke negeri
yang kurang maju, galakan juga diberi supaya pelaburan pergi ke kawasan pinggiran pusat
pembangunan utama, khususnya kawasan di sekitar Lembah Klang seperti Tanjung Malim,
Rawang, Bentong, Kajang, Bangi, Putrajaya, Nilai dan Seremban (Malaysia 1996: 165).
Pusat-pusat saiz sederhana dan bandar kecil di luar bandar pinggiran metropolitan seperti
Mukim Dengkil ini akan menjadi penyerap tekanan dan limpahan penduduk serta aktiviti
ekonomi bandar utama. Strategi ini dianggap penting kerana kawasan teras dapat
membantu memesatkan pertumbuhan industri berteknologi tinggi kerana kemudahan yang
lebih lengkap telah sedia wujud. Bagaimanapun, strategi ini juga memberi saingan yang kuat
terhadap kawasan pinggiran di wilayah yang masih mundur seperti Triang.
Mukim Dengkil terletak di Daerah Sepang. Pada mulanya kedudukan Mukim Dengkil
agak terpisah daripada kawasan pembangunan di Lembah Klang. Ini menyebabkan Dengkil
tidak terbawa bersama dalam arus pembangunan. Bagaimanapun, pembangunan kawasan
pertumbuhan baru di Bandar Baru Bangi dan Bandar Baru Salak (masing-masing terletak
kira-kira 20 KM ke timur dan tenggara Dengkil) pada akhir 1970-an, mula memberi kesan
yang ketara terhadap perkembangan pekan tersebut. Malah petempatan seperti Sungai
Merab dan Kampung Abu Bakar Baginda terbabit secara langsung dengan perkembangan
Bandar Baru Bangi. Manakala Kampung Sungai Buah dan Jenderam yang terletak agak
jauh dari pusat pertumbuhan baru itu kurang menerima kesan limpahan. Kampung Pulau
Meranti pula menerima kesan daripada perkembangan kawasan sekitar Shah Alam dan
Puchong.
Mukim Dengkil mengandungi lebih 10 buah kampung tradisional, kampung baru dan
petempatan ladang. Antara kampung-kampung tradisonal yang utama termasuklah Sungai

-3-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Merab, Jenderam Hilir, Jenderam Hulu, Sungai Buah, Semarang, Desa Putra, Limau Manis,
Pulau Meranti dan Kampung Abu Bakar Baginda. Kampung baru di mukim ini dirujukkan
kepada Sri Dengkil. Manakala petempatan ladang pula termasuklah Ladang Perang Besar
dan Galloway1. Terdapat sebuah pekan kecil yang sedang membangun di mukim ini. Pekan
tersebut juga dikenali sebagai Dengkil. Sebuah kampung baru (Cina) dibina di pekan ini
dikenali sebagai Sri Dengkil.
Dengkil yang terletak di Lembah Klang-Langat menerima kesan langsung arus
pembangunan perdana yang melanda kawasan teras. Kelebihan bandingan tempat-tempat
yang terletak di sekitar Lembah Klang-Langat dapat diperkatakan daripada segi
perhubungan, peluang ekonomi pembandaran, peluang pasaran, tenaga buruh mahir,
kemudahan dan perkhidmatan asas yang baik. Walaupun sebahagian besar kawasan di
Lembah Langat, khususnya Dengkil masih lagi bersifat luar bandar tetapi dasar
pembangunan yang lebih liberal selepas dekad 1990-an telah menyebabkan kawasan
tersebut lebih terkait dengan dasar dan strategi pembangunan berteraskan ekonomi
bandaran berbanding dengan desa. Perkembangan pesat ekonomi di Lembah Klang
termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggalakkan perkembangan kawasan
sekitarnya termasuk Dengkil. Misalnya antara 1991 dan 1995, kerajaan Negeri Selangor
telah meluluskan 1,156 permohonan projek perindustrian dengan pelaburan berjumlah
RM21,660. Projek tersebut dijangka dapat mewujudkan 130,000 peluang pekerjaan. Tidak
kurang daripada 81.5 peratus projek yang diluluskan itu terletak di Lembah Klang dan
Langat dengan tumpuan yang amat ketara di daerah Klang dan Hulu Langat. Permintaan
terhadap tanah industri di negeri Selangor cukup tinggi. Misalnya, hanya 0.7 peratus
daripada kawasan seluas 2,893 hektar yang dimajukan oleh kerajaan negeri yang masih
belum terjual (sehingga Januari 1995). Hal ini menunjukkan bahawa para pelabur masih
cenderung untuk menempatkan aktiviti perindustrian mereka di kawasan yang berhampiran
dengan pusat pertumbuhan utama walaupun berbagai insentif diberikan untuk
menggalakkan pelabur menempatkan industri mereka di kawasan kurang maju.
Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang,
Pembngunan Pusat Pentadbiran Negara di Putra Jaya, Pembangunan Bandaraya
Multimedia di Cyber Jaya bersebelahan Putra Jaya serta projek-projek besar yang lain di
daerah Sepang juga memberi kesan langsung terhadap kawasan di sekitar Dengkil.
Katiman Rostam (1998) melaporkan lemerosotan tenaga buruh dan kawasan pertanian
yang ketara di Daerah Sepang sejak dekad 1980-an lagi. Ini menguatkan lagi bukti yang
menunjukkan bahawa walaupun pada dasarnya Mukim Dengkil sebuah kawasan luar

1Semasa kajian ini jalankan, penduduk ladang ini sudah dipindahkan ke kawasan di sekitar Dengkil dan Bandar Baru
Bangi. Ladang ini terlibat dengan proses pembangunan mega termasuk Putra Jaya dan Cyber Jaya.

-4-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

bandar tetapi pada hakikatnya perubahan yang berlaku di kawasan tersebut lebih
dipengaruhi oleh proses pembandaran dan perindustrian di wilayah teras. Ini berlaku
kerana kedudukannya yang terletak di pinggiran wilayah tersebut yang kian sesak (Rajah 1).
Keadaan yang wujud di Triang jauh berbeza. Triang terletak di wilayah luar bandar
yang terpisah daripada kawasan teras (Rajah 1). Secara umumnya, letakan Triang kira-kira
20 KM di selatan bandar Temerloh dapat dianggap di kawasan pedaman. Kedudukannya
geografinya tidak menimbulkan kesan lebihan bandingan. Malah Triang berada di luar laluan
arus pembangunan utama. Letakan yang kurang menarik ini cenderung untuk meninggalkan
kesan yang negatif terhadap pembangunan dan pembandaran desa di kawasan tersebut.
Sebahagian kawasan petempatan ini adalah bekas kampung baru yang majoriti
penduduknya berketurunan Cina. Manakala sebahagian yang lain adalah perkampungan
tradisioanl orang Melayu. Dalam konteks wilayah barat daya Pahang, mukim Tering agak
penting. Kedudukan pekan Triang yang tidak jauh dari persimpangan utama untuk ke
kawasan sebelah barat wilayah DARA (Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara)
menyebabkannya ia penting sebagai pusat pertemuan di antara penduduk luar dan dalam
rancangan pembangunan tanah. Oleh kerana kedudukannya yang sangat strategik maka
sebuah pusat pentadbiran daerah telah dibina tidak jauh dari tapak pekan Kerayong yang
lama. Kini Kerayong adalah ibu daerah Bera. Pusat bandar Kerayong sendiri hanya kira-kira
lima kilometer jaraknya dari Triang. Kedua petempatan tersebut dhubungkan oleh sebuah
koridor melalui jalanraya utama Bahau-Temerloh. Guna tanah di sepanjang koridor ini
umumnya telah terbandar kerana dipenuhi dengan bangunan perniagaan, bengkel dan
rumah kediaman. Hanya sebehagian kecil tanah yang masih digunakan untuk pertanian.
Pada tahun 1995, daripada 78,900 orang penduduk Daerah Bera, kira-kira 53
peratus tinggal di Mukim Triang dan selebihnya di Mukim Bera. Di Mukim Triang, penduduk
bertumpu di sekitar pusat petempatan utama seperti Kemayan, Triang, Mengkuang,
Kerayong dan Mengkarak. Manakala di Mukim Bera, kebanyakan penduduk tinggal di
petempatan FELDA sebagai peneroka. Oleh kerana keluasan Mukim Triang agak kecil (551
KM persegi) berbanding dengan Mukim Bera (1,663 KM persegi) maka kepadatan penduduk
di Mukim Triang didapati jauh lebih tinggi.
Daerah Bera begitu luas dan kaya dengan sumber alam yang sesuai untuk
dimajukan dengan pertanian getah dan kelapa sawit selain sayur-sayuran. Sektor
pelancongan juga berpotensi dimajukan di daerah ini kerana sumber pelancongan tani,
pelancongan sejarah selain terdapatnya banyak tempat menarik seperti Tasik Bera, hutan
lipor, air terjun dan Sungai Pahang yang sesuai dijadikan pusat tarikan pelancong..
Bagaimanapun, pada masa ini hanya kawasan di sepanjang jalan raya Laluan Persekutuan
Temerloh-Bahau (Triang-Kerayong) yang sedang mengalami perkembangan yang pesat.

-5-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Kedudukan petempatan ini di tengah-tengah kawasan pertanian yang maju yang menjadi
pintu masuk ke Negeri Pahang melalui laluan tengah, Triang-Kerayong dilihat sebagai
sebuah pusat perkhidmatan yang mampu berkembang pada masa hadapan.
Bagaimanapun kedudukannya yang terpinggir telah menyebabkan kawasan tersebut sukar
untuk berubah. Pelbagai halangan wujud. Salah satu halangan yang besar ialah kedudukan
geografinya yang terpisah.

PERBEZAAN PROJEK PEMBANGUNAN DAN PEMBANDARAN DESA


YANG DIJALANKAN DI MUKIM DENGKIL DAN TRIANG

Latarbelakang geografi yang berbeza di antara Dengkil dan Triang telah banyak
mempengaruhi corak pembangunan kawasan tersebut. Dengkil yang terletak di pinggiran
metropolitan menerima banyak kesan limpahan daripada kawasan teras. Proses
pembandaran dan perindustrian yang banyak digerakkan oleh sektor swasta di kawasan
teras telah merubah corak petempatan, kegiatan ekonomi dan guna tanah kawasan di
sekitar Dengkil. Sebaliknya Triang yang terletak di pedalaman negeri Pahang tidak
mengalami keadaan yang serupa. Pembangunan masih terus bergantung kepada aktiviti
pertanian yang dirancang sektor awam. Beberapa projek pembangunan yang dimajukan di
kedua-dua kawasan tersebut dapat menjelaskan keadaan ini.

PROJEK PEMBANGUNAN DI SEKITAR DENGKIL


Pada asasnya Mukim Dengkil masih lagi bersifat luar bandar. Sebahagian besar kawasan
digunakan untuk pertanian. Kepesatan pembangunan di kawasan pertubuhan utama di
Lembah Klang khsusnya di Kuala Lumpur, Petaling jaya dan Klang telah menyebabkan lebih
banyak ruang diperlukan untuk memenuhi kesan limpahan dari pusat. Banyak aktiviti
pembuatan yang terpaksa dipindahkan keluar dari kawasan teras bagi mendapatkan tapak
yang lebih luas, tenaga buruh yang lebih murah, membuka cawangan baru dan kerana tidak
dapat memenuhi keperluan untuk mengawal alam sekitar. Keperluan untuk memenuhi
permintaan pasaran ekonomi global juga turut mendorong ruang kawasan di sekitar pusat
pertumbuhan utama di susun semula. Kedua-dua faktor ini menggalakkan pembangunan
kawasan di sekitar Dengkil.

Pembangunan Projek Mega: Putrajaya dan Cyberjaya


Salah satu lagi projek mega yang dilaksanakan di Mukim Dengkil ialah pembangunan Pusat
Pentadbiran Persekutuan Putrajaya. Putrajaya juga terletak kira-kira 20 KM dari Pekan
Dengkil. Perbadanan Putrajaya telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac, 1996 (Akta 536 -

-6-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Perbadanan Putrajaya, 1995). Perbadanan tersebut dijangka memajukan seluas 14,780


hektar dengan 4,400 hektar adalah kawasan pembangunan terasnya. Projek mega ini diberi
peruntukan kira-kira RM20.1 billion. Pembinaan dimulakan pada 1993, dengan
pengaambilalihan semula tanah seluas kira-kira 439 hektar (10,847 ekar) di Mukim Dengkil.
Pembangunan Putrajaya dilaksanakan oleh tiga agensi iaitu Perbadanan Putrajaya sebagai
pihak berkuasa; Putrajaya Holding Sdn. Bhd. sebagai pembiaya dan pemaju; Kuala Lumpur
City Centre Bhd (KLCCB) sebagai pengurus projek. Projek pembinaan Fasa I Kompleks
Jabatan Perdana Menteri dan telah dimulakan sejak Noverber, 1996. Ini diikuti oleh projek
pembinaan rumah kediaman Perdana Menteri , Masjid Putra, dataran Putra dan jambatan
Putra yang dimulakan pada Ogos, 1997. Kini sebahagian besar bangunan pejabat dan
rumah kediaman di Putrajaya telahpun didiami. Banyak jabatan kerajaan yang ditempatkan
di bandar baru tersebut telah berfungsi. Bagi melengkapi kemudahan asas di kawasan
sekitar Putrajaya, lebuhraya dan landasan keretapi moden juga telah dibina. Kemudahan ini
telah meningkatkan kecekapan pengangkutan antara bandar tersebut dengan tempat-
tempat lain termasuk Kuala Lumpur, Shah Alam, KLIA dan Kajang.
Banyak peluang pekerjaan baru ditawarkan sama ada melalui projek pembinaan
mahupun sektor perkhidmatan yang ditempatkan di kawasan tersebut. Sebahagian peluang
pekerjaan tersebut dijawat oleh isirumah yang tinggal di sekitar Dengkil. Bagaimanapun
projek pembangunan Pusat Pentadbiran Persekutuan di Putrajaya melibatkan pengambilan
bayak tanah ladang dan persendirian. Ini menyebabkan beberapa projek penempatan
semula penduduk dilaksanakan di sekitar Dengkil dan Bangi.
Pada masa yang hampir sama iaitu pada akhir tahun 1996, kerajaan telah
memutuskan mengambil balik tanah seluas kira-kira 2,834 hektar (7,000 ekar) di Mukim
Dengkil untuk dijadikan bandar yang berteraskan teknologi multimedia yang digelar
Cyberjaya. Projek ini berhadapan dengan projek Putrajaya di mana tanah asal kebanyakan
dimiliki oleh pihak swasta (ladang) dan sedikit tanah milik individu serta tanah kerajaan.
Proses pengambilan tanah telah dilaksanakan sejak April 1997. Projek yang terletak di
koridor multimidea utama ini meliputi pembinaan sebuah universiti swasta (Universiti
Multimedia), sebuah perkampungan perfileman dan animasi (e-village) yang dijangka
menelan belanja kira-kira RM3.0 billion, pusat penyelidikan, pusat bandar dan kawasan
kediaman.
Pembinaan bandar pintar Putrajaya dan Cyberjaya dirancang bagi memajukan
teknologi komunikasi dan maklumat di negara ini. Pembangunan Kridor Super Multimedia
(MSC) yang mempunyai kelebaran 15 km dan panjang 40 km dari Pusat Bandaraya Kuala
Lumpur (KLCC) ke lapangan terbang KLIA meliputi Putrajaya dan Cyberjaya akan menjadi
pemangkin kepada pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat di negara ini.

-7-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Pembangunan ini penting bagi membolehkan negara menyiapkan dan mengambil tempat
dalam persaingan global abad ke-21 ini. Cyberjaya dan Putrajaya terletak hanya beberapa
kilometer dari pekan Dengkil. Proses pembandaran yang dapat dikaitkan secara langsung
dengan penyertaan sektor swasta yang didorong oleh perubahan ekonomi global khususnya
melalui kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat, sama ada secara langsung atau
tidak sangat mempengaruhi perubahan corak guna tanah, petempatan dan pekerjaan
isirumah di kawasan tersebut. Kawasan desa yang sebelumnya mundur telah berubah
secara mendadak menjadi perbandaran yang maju dan moden.

Projek Pembangunan yang Lain


Selain Putrajaya dan Cyberjaya, projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) telah lebih awal dijalankan. Bagaimanapun projek ini terletak di luar Mukim
Dengkil. Projek pembangunan ini terletak kira-kira 20 KM dari Pekan Dengkil. Kawasan
terlibat meliputi tanah seluas lebih kurang 10,121 hektar (25,000 ekar) yang terletak di
mukim Labu dan Sepang. Projek mega ini juga turut memberi kesan limpahan kepada
penduduk Dengkil. Begitu juga projek pembinaan Litar Lumba Kereta Formula One. Projek
ini dibiayai sepenuhnya oleh Malaysia Air-Port Bhd. Keluasan kawasan litar lumba kereta ini
berjumlah kira-kira 404 hektar (1,000 ekar). Terletak bersebelahan dengan KLIA, projek ini
telah diselesaikan dan mula digunakan sejak 2000. Lebih 15,000 orang terlibat secara
langsung dengan projek-projek pembinaan tersebut. Projek pembangunan Bandar Baru
Salak yang terletak tidak jauh dari Dengkil juga turut memberi kesan kepada penduduk
mukim tersebut. Pembangunan Bandar Baru Salak Tinggi diusahakan oleh Konsortium
Sepang Berhad (Perumahan), PNSB (Pusat Bandar dan Industri), KOSAS (Industri), dan
Shah Alam Properties (Pusat Bandar) melibatkan kawasan seluas 896 hektar (2,213 ekar).
Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah
membelanjakan kira-kira RM160 juta bagi menyediakan kemudahan asas di bandar ini.
Kawasan yang telah dimajukan termasuklah Pusat Pentadbiran Daerah, Pusat Kemahiran
Tinggi, Kawasan perindustrian dan Projek Rumah Murah (Kuaters) kerajaan negeri dan
taman-taman perumahan seperti Taman Anggerik, Taman Seroja, Taman Mawar, Taman
Kenanga dan Taman Dahlia. Walaupun terletak di luar Mukim Dengkil tetapi projek
pembangunan ini turut memberi kesan melalui peluang pekerjaan dalam sektor awam dan
swasta yang dijana di kawasan tersebut yang memanfaatkan penduduk Dengkil. Projek
pembinaan ini juga sama ada secara langsung atau tidak, telah banyak merubah corak
guna tanah, petempatan dan pekerjaan penduduk di kawasan sekitarnya termasuk Dengkil.
Selain projek-projek mega yang dilaksanakan oleh sektor korporat, beberapa projek
pembangunan lain juga turut dilaksanakan sama ada oleh sektor awam mahupun swasta.

-8-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Antaranya termasuklah projek pembinaan loji pembersihan air di kilometer 8, Jalan


Puchong- Dengkil (Prang Besar). Loji ini adalah sebahagian daripada skim bekalan air
sungai Semenyih yang berupaya membekalkan air sebanyak 540 juta liter sehari. Loji ini
mendapat bekalan airnya melalui Rumah Pam di Jenderam dari sungai Semenyih dan
Empangan Semenyih. Air yang dibersihkan itu dibekalkan ke seluruh kawasan Bandar Baru
Salak Tinggi, KLIA, Kuala Lumpur, Kelang, Shah Alam dan Petaling Jaya. Keseluruhan skim
ini berharga RM402 juta dan mula beroperasi pada tahun 1986. Penyelenggaraan loji ini
pada mulanya telah diserahkan kepada Taliwork Consortium Sdn. Bhd. pada tahun 1987.
Kini loji ini di kendalikan oleh Puncak Niaga Sdn. Bhd.
Turut memberi kesan kepada pembangunan dan pembandaran Mukim Dengkil ialah
penubuhan pusat penyelidikan, pusat pendidikan dan latihan di pinggiran Bandar Baru
Bangi dan Putrajaya. Projek ini telah dijalankan sejak lama dahulu. Terdapat beberapa
institusi di kawasan ini. Di antaranya termasuklah Pusat Latihan Petronas, Pusat latihan
Malayan Banking, Jabatan Pos, Bank Bumiputra Malaysia Berhad, Institut Kejuruteraan
Tenaga Nasional dan Jabatan Penilaian. Institusi lain ialah Pusat Penyelidikan Kelapa
Sawit Negara (PORIM), Maktab Perguruan Islam dan Pusat Latihan Orang Cacat juga
terletak di sini. Selain bandar baru, banyak lagi projek pembangunan hartanah telah
dilaksanakan di sekitar Dengkil. Jadual 1 menunjukkan contoh-contoh projek pembinaan
yang telah dilaksanakan.

Jadual 1. Projek-projek swasta yang sedang berjalan


Projek-projek Swasta SJa
Nama Projek Jenis Projek Status Luas
(ha)
1. Eco-Mediacity Pembangunan Golf – telah siap 636
bercampur - golf
2. Palm Garden Golf Resort Pembangunan Golf – telah siap < 133
bercampur - golf
3. Taman Emas, Puchong Pembangunan Dalam pembinaan 94
bercampur
4. Kenshine Corporation Pembangunan Dalam pembinaan 235
Sdn. Bhd bercampur
5. Taman Meranti Jaya Pembangunan Dalam pembinaan 35
bercampur
6. Taman Sri Bayu Pembangunan Telah siap 40
bercampur

Pejabat Daerah Sepang 2000

Pada umumnya projek-projek pembangunan tersebut melibatkan syarikat swasta


tempatan. Beberapa projek lain juga telah diluluskan pembinaannya oleh kerajaan negeri.
Kebanyakan projek tersebut adalah pembangunan hartanah terutamanya untuk tujuan
kawasan perindustrian, kediaman dan perdagangan. Antara syarikat swasta yang terlibat

-9-
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

termasuklah Shah Alam Properties Holdings Bhd. (Kota Perdana), Bukit Air Hitam,
Wonderful Property & Develop Sdn. Bhd., Inai Perkasa, yayasan FAS, Tentu Mewah, Hijrah
Murni, Lembaga Pertubuhan Peladang, Bute Estate, East Asiatic (M) Bhd., Gema Padu,
Boon Siew Development dan Kumpulan Sepang Utama. Bagaimanapun aktiviti perindustrian
di Mukim Dengkil masih lagi tidak banyak. Hanya beberapa buah kilang pemerosesan dan
pembuatan terdapat di sekitar Pekan Dengkil. Kilang pembuatan yang berasaskan minyak
kelapa sawit, kilang menghasilkan barangan elektrik dan elektronik adalah antara yang
terdapat di sekitar Dengkil.
Selain projek pembangunan hartanah, beberapa syarikat swasta juga bergiat
membangunkan institusi pengajian tinggi dan kolej pengajian. Universiti Tenaga Nasional
(UNITEN) adalah institusi yang terbesar yang dibina tidak jauh dari Dengkil. Universiti ini
dikenali oleh Institut Teknologi Nasional Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Tenaga
Nasional Berhad. Selain itu, Yayasan Sepang juga turut terlibat dengan projek
pembangunan institusi pendidikan di kawasan ini. Yayasan Sepang telah menubuhkan
Kolej Anjung Selatan dengan kerjasama Konsortium Sepang Berhad. Sehingga kini,
Yayasan Sepang telah membelanjakan hampir RM4.0 juta dalam melaksanakan
kegiatannya.
Secara keseluruhannya, projek-projek pembangunan yang dijalankan di sekitar
Dengkil lebih bercorak bandar. Selain beberapa projek pembangunan mega khususnya
Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang, Cyberjaya, e-village dan
Litar Formula One, pembangunan lain seperti pembukaan kawasan perindustrian, bandar
baru, pusat perniagaan, institusi pengajian tinggi swasta turut dilaksanakan di sekitar
Dengkil. Hampir keseluruhan projek-projek pembangunan tersebut dikendalikan oleh
sewktor swasta. Ini menunjukkan kawasan di sekitar Dengkil mampu menarik pelaburan
sektor swasta. Kedudukannya yang berhampiran dengan pusat pertumbuhan ekonomi
utama di negara ini memberi kelebihan kepada kawasan tersebut untuk maju. Hal ini jauh
berbeza dengan dapat diperhatikan di Triang seperti yang akan dijelaskan berikut ini.

PROJEK-PROJEK PEMBANGUNAN DI SEKITAR TRIANG


Laporan Pemeriksaan Rancangan Struktur Daerah Bera (JPPD 1996) mendapati bahawa
terdapat kawasan seluas 102,750 hektar (46.4 peratus daripada keluasan daerah) yang
sesuai untuk dibangunkan dengan kos yang minimum. Sementara itu, 18.0 peratus lagi
adalah kawasan yang sesuai dibangunkan dengan kos tambahan. Manakala selebihnya
(35.6 peratus) pula adalah kawasan yang perlu diberi pertimbangan untuk tujuan
pemuliharaan. Pada umumnya selain projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan
sosial bagi meningkatkan taraf hidup penduduk, tidak ada projek besar yang dijalankan di

- 10 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

kawasan tersebut. Projek-projek pembangunan ekonomi yang dijalankan di daerah


bertumpu kepada tiga aktiviti utama iaitu pertanian, perniagaan dan perdagangan. Ketiga-
tiga kegiatan tersebut dijelaskan dalam bahagian yang berikut ini.

Projek Pembangunan Pertanian


Ekonomi Daerah Bera masih lagi bergantung kepada pertanian. Sebahagian besar (72.5
Peratus) tanah digunakan untuk pertanian, terutamanya melalui FELDA utamanya adalah
kelapa sawit dan getah. Terdapat 14 rancangan FELDA di daerah Bera dan sebahagian
besarnya terletak di Mukim Triang (Jadual 2).

Jadual 2. Rancangan Pembangunan Tanah FELDA di Daerah Bera

Nama Rancangan Keluasan Tahun Jenis Tanaman Bil.


(Ha) dibangunkan Peneroka
Bukit Mendi 2,647.0 1966 Sawit 455
Bukit Puchong 2,086.8 1966 Sawit 433
Bukit Kepayang 2,188.1 1968 Sawit 421
Mayam* 2,733.3 1970 Sawit 487
Purun * 3,639.4 1971 Sawit 647
Tementi* 2,639.6 1971 Sawit 435
Sebertak * 2,250.9 1973 Sawit 410
Kumai * 2,757.1 1974 Sawit 578
Rentam * 2,317.6 1975 Sawit 435
Triang 1 1,486.6 1979 Sawit 233
Triang 3 2,300.2 1982 Sawit/Getah 187
Mengkuang 697.2 1981 Sawit 74
Tembangau 1 2,141.6 1977 Sawit/Getah 199
Tembangau 2 1,807.2 1978 Sawit/Getah 386
Jumlah 36,691.6 - - 5,380

*Petempatan FELDA di luar Mukim Triang Sumber: JPPD 1996.

Selain pertanian di kawasan rancangan pembangunan tanah yang usahakan oleh


peneroka, selepas 1990 FELDA turut membangunkan kawasan seluas 31,543.3 hektar
tetapi tidak menempatkan peneroka. Kawasan pertanian ini diusahakan dan diuruskan oleh
FELDA Plantations. Kawasan berkenaan termasuklah Tembangau 3-8, Triang Selatan 1-3,
Triang 4 , Mengkarak 1-3 dan Bera Selatan 1-7 (di luar Triang). Ramai tenaga buruh asing
diupah untuk mengusahakan tanaman yang kebanyakannya adalah kelapa sawit.
Perubahan ini berlaku akibat penswastaan pengurusan FELDA.
Pembangunan tanah untuk pertanian juga turut dilakukan oleh FELCRA. Sejak 1979
hingga 1984 sebanyak enam projek telah dimajukan di daerah ini dan sebahagiannya
terletak di Mukim Triang. Projek tersebut ialah Bukit Serdang (300 ha), Paya Puyu (319 ha),
Bohor Bharu 1 (413 ha), Bohor Bharu 2 (406 ha), Batu Lapan (258 ha) dan Batu Papan (176

- 11 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

ha). FELCRA juga turut menempatkan sejumlah 477 di seluruh rancangan tanah berkenaan.
Tanaman utama rancangan tersebut ialah kelapa sawit dan getah. Selain FELDA dan
FELCRA, agensi lain khususnya RISDA dan LKPP turut membangunkan projek-projek
pertanian di daerah ini. Getah dan kelapa sawit diusahakan oleh kedua agensi ini secara
ladang atau estet mini. Pihak swasta juga turut terlibat secara giat dengan pelbagai projek
pertanian ladang. Tanaman utamanya ialah kelapa sawit dan getah. Beberapa buah ladang
seperti Ladang Kemayan, Ladang Kemasul, Ladang Juntai, Ladang Bukit Senorang,
Ladang Triang dan Ladang South East Pahang. Di kawasan perkampungan tradisional
pula, masih ramai petani miskin. Terdapat sebanyak 175 keluarga termiskin (pendapatan
kurang daripada RM350 sebulan) di daerah ini. Mereka tidak dapat menyertai projek-projek
pembangunan pertanian yang dijalankan kerana kekurangan sumber, kemahiran dan
tenaga.
Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Pahang Barat turut dilaksanakan.
Antaranya melalui Projek Pembangunan Kampung Mini IADP seperti di Kerayong, dan
Mengkarak dan Projek Estet Ikan IADP di Paya Mengkuang (10 hektar). Kesemua projek
yang dijalankan ini bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf hidup petani terutamanya
melalui peningkatan pendapatan. Walaupun sebahagian projek-projek pembangunan tanah
pertanian terletak di luar Mukim Triang namun sebahagian besar urusan pentadbiran,
perancangan dan pengurusannya dilakukan melalui agensi yang ditempatkan di Kerayong
dan Triang. Ini menggambarkan bahawa pekan Triang dan Kerayong amat penting dalam
menggerakkan pembangunan pertanian bagi Daerah Bera.

Projek Pembangunan Hartanah: Perumahan dan Perdagangan


Umumnya, tidak banyak pembangunan hartanah yang dijalankan di Mukim Triang. Projek
pembangunan yang dijalankan kebanyakannya bertumpu di kawasan pusat perkhidmatan
yang utama. Projek-projek ini dikendalikan oleh kedua-dua pihak sektor awam dan swasta..
Sektor awam menumpukan pembangunan usaha-usaha kepada pembangunan perumahan
kos rendah. Manakala sektor swasta menumpukan usaha pembangunan kepada projek-
projek komersil terutamanya rumah kedai, bangunan kilang dan perumahan kos sederhana.
Dari segi lokasinya kebanyakannya terletak di dalam dan pinggir bandar Triang dan
Kerayong, kebanyakan projek perdagangan yang baru disiapkan didapati bertumpu di kiri
kanan Jalan Persekutuan 10 (Temerloh – Bahau). Ini disebabkan kawasan tersebut adalah
yang paling membangun dan mempunyai kemudahan infrastruktur serta kemudahan sosial
yang baik berbanding dengan kawasan-kawasan lain di pedalaman.
Walaupun sektor swasta lebih memberi perhatian kepada pembangunan komersil
seperti perumahan, perniagaan dan industri khususnya di sekitar Triang dan Kerayong,

- 12 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

tetapi secara relatifnya skala pembangunan tersebut didapati masih lagi kecil. Di luar
kawasan perbandaran tersebut tidak banyak usaha pembangunan komersil atau perumahan
yang dapat diperhatikan. Beberapa projek pembandaran telah dirancang dan diwartakan
untuk dibangunkan adalah kira-kira 245 hektar (603 ekar). Daripada jumlah keluasan
tersebut, 54 peratus juga terletak di dalam kawasan bandar Triang. Ini disebabkan Triang
adalah pusat yang paling besar di daerah Bera. Didapati juga projek perumahan
mencatatkan keluasan terbesar (81.7 peratus) iaitu kira-kira 200 hektar (493 ekar). Jadual 3
di bawah menerangkan jenis-jenis projek pembangunan yang dirancang untuk dilaksanakan.

Jadual 3. Pembangunan mengikut jenis kegunaan tanah

Jenis Kegunaan Tanah Keluasan (ha) Peratus


 Perumahan 200.0 81.7
 Perniagaan 22.9 9.1
 Institusi Awam/Jabatan Kerajaan 18.5 7.5
 Infrastruktur/Utiliti 1.8 0.7
 Industri 1.2 0.5
 Rekreasi 0.6 0.2
Jumlah 245.0 100.00

Sumber: Pejabat Daerah Bera 1997.

Jadual 4. Projek pembangunan baru di sekitar Triang

Cadangan Projek Keluasan (ha) Komponen Gunatanah

Bandar Satelit Triang 81.0  Institusi kerajaan, perumahan


Bandar 34 20.3 dll
Kompleks sukan -  Padang golf & kompleks
Rezab kem. pertahanan - sukan
Kompleks Majlis Daerah -  Sek.Men. Agama
Mahkamah syariah -  Kem. Pertahanan
Pejabat JKR -  Kompleks Majlis Daerah
Kompleks Pejabat Haiwan Bera -  Mahkamah Syariah
Perpustakaan daerah -  Pejabat JKR
 Pejabat Haiwan Bera
 Perpustakaan Daerah

Sumber: JPBD 1997.

Kebanyakan projek-projek pembangunan baru telah dimajukan oleh sektor awam


(agensi kerajaan). Sebahagian besar projek-projek yang dibangunkan adalah bagi membina
dan menyiapkan infrastruktur dan kemudahan awam. Walau bagaimanapun, usaha ini
boleh dianggap baik kerana ia dijangka dapat merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi

- 13 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

dan pembangunan baru oleh pihak swasta. Penyediaan kemudahan ini juga dapat
meningkatkan keupayaan fungsi dan kekuatan peranan sesebuah bandar dan pusat
petempatan sedia ada (Jadual 4).

Projek-projek Perindustrian Desa

Pada tahun 1980, peratusan guna tenaga yang terlibat dengan sektor ini hanya 7.6 peratus.
Jumlah tersebut hanya meningkat sedikit kepada 7.7 peratus pada 1985 dan 8.2 peratus
pada 1995. Kebanyakannya bertumpu di Triang. Pada umumnya, taburan kilang yang
beroperasi di daerah ini adalah tidak terancang. Sebuah kawasan seluas 97.94 hektar telah
dikenalpasti untuk dibangunkan di mukim ini. Dari segi bilangan terdapat sebanyak 126
buah kilang yang sedang beroperasi di sekitar Triang. Pada masa depan adalah
dijangkakan bahawa keperluan tanah untuk perindustrian terancang adalah kira-kira 86.9
hektar. Sementara keluasan kawasan yang telah dirancang dan yang sedia untuk
dibangunkan berjumlah 142.1 hektar. Kawasan berjumlah 229 hektar itu adalah mencukupi
sehingga tahun 2020. Selepas pembinaan pelabuhan darat di Temerloh, serta jalan yang
menghubungkan Bera-Nilai-Sepang siap dibina, pelaburan dijangka akan masuk ke
kawasan ini. Bagaimanapun ini hanya unjuran awal.

Projek Lain di Bawah Program Pembangunan Luar Bandar (PLB)


Selain projek pembangunan sektoral yang dijalankan oleh sama ada agensi kerajaan pusat,
pihak berkuasa tempatan atau negeri, terdapat juga projek-projek pembangunan yang
diselaraskan di pejabat Daerah Bera. Sepanjang tahun 1996 dan tahun 1997 unit
Pembangunan Luar Bandar (PLB) di Pejabat Daerah Bera ini telah diberi peruntukan
masing-masing sebanyak RM 2,427,042.00 dan RM 2,701,870.00. Peruntukan tersebut
adalah bagi melaksanakan projek-projek yang melibatkan negeri dan persekutuan. Hingga
kini, projek-projek ini telah dilaksanakan sepenuhnya. Sebahagian projek tersebut terletak
di sekitar Triang.
Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan negara khususnya di
kawasan luar bandar, beberapa usaha, perancangan dan perubahan telah dibuat bagi
mempertingkatkan serta memperkemaskan pentadbiran pembangunan di peringkat daerah,
mukim dan kampung. Melalui kerjasama ini semua jabatan/agensi kerajaan di daerah ini
akan dapat diselaraskan dengan teratur dan lancar ke arah mencapai hasrat kerajaan
menjadikan negara ini sebuah negara maju menjelang 2020. Projek-projek pembangunan
luar bandar yang dilaksanakan melalui peruntukan ini termasuklah Projek Naik Taraf Jalan
Kampung bagi peruntukan Kerajaan Negeri dan Projek Menteri Besar yang menggunakan
peruntukan Kerajaan Persekutuan (Jadual 5).

- 14 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Jadual 5. Projek-projek pembangunan di bawah peruntukan PLB di Mukim Triang, 1997

Peruntukan Negeri Peruntukan Persekutuan

Nama Projek Jumlah Nama Projek Jumlah


Perbelanjaan Perbelanjaan
(RM) (RM)
Projek kecil 105,000.00 UPP/JPM 600,000.00
Gerakan Pembaharuan 30,000.00 YAB Perdana Menteri 466,000.00
Peruntukan Pegawai Daerah 10,000.00 YB Menteri Besar 332,200.00
YB EXCO - YB Ahli Parlimen 345,900.00
YB ADUN Bera 50,000.00 YB Senator 32,500.00
YB ADUN Guai 50,000.00 O/Right Grant 4,500.00
Jalan Kampung 90,000.00 Peruntukan KPLB 160,000.00
Naik Taraf Jalan Kampung 200,000.00
Jalan Ladang 50,000.00
Penyelenggaraan Jalan Mukim 45,000.00
Bekalan Air Masyarakat 40,000.00
Projek Riadah 40,000.00
Projek Ekonomi 20,000.00
Projek Kecil (Khas) 30,770.00
Jumlah 760,770.00 Jumlah 1,941,100.00

Sumber: Pejabat Daerah dan tanah Bera 1997.

Umumnya, projek-projek pembangunan yang dijalankan di sekitar Triang adalah


projek awam. Penyertaan sektor swasta amat terbatas. Ini menunjukkan kurangnya minat
sektor swasta untuk melabur modal di kawasan ini. Triang begitu terpisah daripada arus
pembangunan utama. Jika dibandingkan dengan Dengkil, Triang jauh tertinggal di belakang.
Sumbangan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi kebanyakannya hanya bertumpu
dalam sektor pertanian ladang. Sumbangan mereka dalam sektor perindustrian dan
perkhidmatan amat terhad sekali.

PEMBANDARAN DESA DAN PERKEMBANGAN BANDAR KECIL


DI SEKITAR DENGKIL DAN TRIANG

Bagi melihat perubahan kawasan luar bandar, ciri pembandaran digunakan sebagai ukuran.
Kriteria yang dipilih sebagai petunjuk termasuklah perubahan penduduk yang mendiami
kawasan petempatan bercorak bandar, fungsi dan peranan petempatan bandar, perubahan
guna tanah dan pekerjaan penduduk. Maklumat yang dikumpulkan daripada kawasan
tersebut telah dianalisa dan hasilnya ditunjukkan sebagai berikut.

- 15 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Pertumbuhan Penduduk Bandar Kecil

Pada awalnya, kedua-dua kawasan di sekitar Dengkil dan Triang adalah petempatan luar
bandar yang terpingggir. Kedua-duanya juga pernah menjadi kawasan hitam kerana
terdedah kepada ancaman Komunis. Pada Zaman Dharurat (1948-1960), kedua-dua
petempatan iaitu Dengkil dan Triang dianggap tidak selamat. Oleh itu, penduduk yang rata-
rata berketurunan Cina yang tinggal berselerak di pinggir hutan dan lombong, telah
dipindahkan ke sebuah kampng baru. Petempatan inilah yang akhirnya berkembang
menjadi sebuah pekan kecil iaitu pekan Dengkil di daerah Sepang, Pekan Triang dan
2
Kerayong di daerah Bera. Keduanya adalah pusat perkhidmatan bagi penduduk
sekitarnya.
Sehingga ke tahun 1981, Pekan Dengkil dan kawasan sekitarnya termasuk
beberapa buah kampung tradisional seperti Kampung Dengkil, Kampung Semarang,
Kampung Tengah, Kampung Jalan Air Hitam dan Ladang Galloway tidak mempunyai
penduduk yang ramai. Pada waktu itu, tidak ada taman perumahan ataupun rumah-rumah
kedai moden yang diperbuat daripada batu dibina di pekan tersebut. Rumah dan kedai
sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu dan kebanyakannya dibina sejak lama
dahulu lagi. Antara projek perumahan luar bandar yang boleh dianggap awal dibina di
pekan ini termasuklah Kampung Lalang kira-kira sekilometer ke selatan dan Kampung Dato'
Ahmad Razali kira-kira sekilometer ke timur Dengkil. Kedua-dua kampung tersebut
merupakan kampung tersusun yang dibina dalam tahun 1970-an. Selepas itu, tidak banyak
perubahan yang ketara di pekan tersebut. Begitu juga Triang, sehingga 1970-an petempatan
tersebut tidak dikenali selain sebagai kampung baru yang menempatkan penduduk yang
sebelumnya tinggal di pinggir hutan dan di sekelilingnya terdapat ladang-ladang getah dan
kelapa sawit yang luas selain rancangan tanah FELDA. Tetapi setelah pembukaan
Rancangan Kemajuan Tanah DARA (Rancangan Pembangunan Wilayah Pahang
Tenggara), Gugusan Mendi dan LKTP Triang 1 dan 2, Pekan Triang dan Kerayong semakin
berkembang. Fungsinya bertambah dan kawasan perumahan moden juga turut dibina. Ini
kerana ramai peneroka telah dipindahkan ke tanah rancangan tanah baru menggunakan
pekan tersebut sebagai pusat perkhidmatan. Walaupun terdapat pusat-pusat perkhidmatan
di petempatan FELDA lazimnya lambat berkembang. Peneroka terpaksa berkunjung ke
pusat yang lebih besar untuk mendapat barangan keperluan seperti pakaian dan peralatan.
Perkembangan penduduk di kedua-dua kawasan ini pada awalnya berlaku secara

2Kerayong sebenarnya adalah sebuah kampung baru dengan pusatnya yang tersendiri terletak kira-kira lima KM ke timur Triang. Sejak
penubuhan daerah Bera, sebuah bandar baru dibina berhampiran dengan tapak pekan lama tersebut dan dikenali dengan gelaran baru
sebagai pekan Bera, pusat pentadbiran daerah Bera.

- 16 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

perlahan. Perkembangan yang agak pesat hanya berlaku selepas pertengahan tahun 1970-
an. Jadual 6 menunjukkan trend tersebut.

Jadual 6. Anggaran Bilangan dan Kadar Pertumbuhan Penduduk


di Sekitar Dengkil dan Triang-Kerayong (1970-2000)

Purata kadar pertumbuhan


Petempatan 1970 1980 1991 2000• tahunan (peratus)
1970-80 1980-91 1991-00
Pekan Dengkil 1,224 2,232 3,785 6,849 5.4 5.3 6.4
2 KM sekitar Dengkil • 2,168 3,488 5,780 10,620 4.7 5.1 5.6
Putrajaya - - - 5,268 - - -
Cyberjaya - - - 1,491 - - -
MUKIM DENGKIL tm 22,680 31,080 49,262 - 3.5 6.5
Triang •• 5,742 7,492 12,184 18,800 2.7 4.9 4.3
Kerayong •• 1,759 2,075 2,266 4,500 1.7 0.8 6.8
MUKIM TRIANG 22,519 34,300 36,474 38,638 4.2 0.5 0.6

Sumber: Pelbagai Laporan Banci Penduduk dan Perumahan 1957-1991, Pejabat Penghulu Mukim Dengkil dan
Triang, Pejabat Daerah Bera dan hitungan di lapangan oleh pengkaji 1999. Kiraan Awal Banci Penduduk
dan Perumahan 2000.

• Anggaran berdasarkan pelbagai laporan rasmi dan pemerhatian di lapangan

•• Tiada perangkaan yang jelas dicatatkan dalam Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia
bagi petempatan ini. Daerah Bera sebelumnya adalah sebahagian daripada daerah Temerloh. Daerah ini
ditubuhkan pada 1992. Manakala Majlis Daerah Bera hanya diwujudkan dalam tahun 1997Oleh itu, angka
yang diterakan di sini hanyalah anggaran berdasarkan pelbagai sumber rasmi. Pada banci tahun 2000
penduduk Pekan Triang yang terletak dalam kawasan pihak berkuasa tempatan direkodkan seramai 6,738 orang
sahaja.

Kedudukan Dengkil yang pada mulanya agak terpisah daripada kawasan


pembangunan di Lembah Klang, menyebabkan pekan tersebut tidak terikut sama dalam
arus pembangunan. Bagaimanapun, pembangunan kawasan pertumbuhan baru di Bandar
Baru Bangi dan Bandar Baru Salak (masing-masing terletak kira-kira 20 KM ke timur dan
tenggara Dengkil) pada akhir 1970-an, mula menimberi kesan yang ketara terhadap
perkembangan pekan tersebut. Jumlah isi rumah yang tinggal di Dengkil dan berulang-alik
ke pusat pertumbuhan baru tersebut untuk bekerja sama ada di dalam sektor pembuatan
atau perkhidmatan, agak besar. Sebahagian isirumah menjadikan Dengkil sebagai pekan
kediaman yang menarik kerana terdapatnya banyak kemudahan sosial, selain sewa dan
harga rumah yang relatif murah berbanding dengan keadaan di tempat mereka bekerja.
Pelebaran dan pelurusan jalanraya yang menghubungkan Dengkil - Bandar Baru Bangi,
Dengkil - Salak, Dengkil - Banting dan Dengkil- Puchong pada akhir 1970-an,
memudahkan pergerakan penduduk ke tempat-tempat berkenaan. Perkembangan ini

- 17 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

meyebabkan kadar pertambahan penduduk pekan tersebut dan kawasan sekitarnya


mencapai lebih lima peratus setahun. Sejak tempoh tersebut, perkembangan Dengkil terus
meningkat dengan pesat. Pembinaan beberapa buah kilang menghasilkan minyak kelapa
sawit di Jalan Banting pada pertengahan tahun 1980-an, selaras dengan pelancaran
program perindustrian desa melalui Pelan Induk Perindustrian Negara I, telah meningkatkan
pertumbuhan penduduk Dengkil. Pada umumnya, perkembangan yang berlaku sebelum
tahun 1990-an adalah kesan langsung program pembandaran yang dirancang oleh pihak
kerajaan.
Perubahan yang lebih ketara hanya berlaku selepas tahun 1990-an. Pengumuman
pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Purta Jaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur yang baru (KLIA) diikuti oleh pembangunan Koridor Super Multimedia (MSC) dan
pembangunan bandar Cyber Jaya di Daerah Sepang oleh kerajaan pusat pada 1991, telah
mencetuskan perubahan yang mendadak terhadap kawasan ini. Projek-projek
pembangunan ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada infrastruktur yang berkaitan
langsung dengan usaha pemerintah untuk menempatkan diri dalam persaingan global.
Walaupun projek-rojek pembangunan tersebut yang terletak hanya beberapa kilometer dari
Dengkil belum selesai sepenuhnya, bibit-bibit pembangunan sudah mula boleh diperhatikan
di sekitar kawasan tersebut. Selepas pengumuman tersebut, Dengkil membangun dengan
lebih pesat. Kesan awal daripada pengumuman tersebut ialah banyaknya projek membina
rumah kediaman dan kedai di pekan tersebut. Pemaju hartanah yang terlibat menjangkakan
bahawa permintaan terhadap rumah kediaman akan meningkat menjelang tahun 2000
apabila kesemua projek pembangunan yang dirancang di daerah tersebut selesai
dilaksanakan. Lebih ramai penduduk dijangka berpindah masuk ke Dengkil untuk membeli
atau menyewa rumah kediaman. Ini menyebabkan penduduk pekan tersebut terus
berkembang pesat. Perubahan selepas 1990-an sebahagiannya dapat dikaitkan dengan
proses perkembangan bandaraya metropolitan di Lembah Klang. Limpahan pembangunan
dan proses rebakan bandar berlaku sebahagiannya kerana permintaan yang tinggi terhadap
kawasan perindustrian dan perumahan di Lembah Klang-Langat. Oleh itu perubahan yang
berlaku bolehlah dianggap sebagai respons kawasan tersebut terhadap kemasukan
pelburan asing khususnya pelaburan langsung (FDI) firma korporat Trans Nasional (TNC)
dalam sektor pembuatan. Jadi walaupun secara definisinya tiada sebuah petempatan yang
boleh digelar bandar di daerah Sepang (darjah pembandaran yang rendah) namun proses
pembandaran desa sedang berlaku dengan pesat kebelakangan ini akibat limpahan yang
berpunca daripada aktiviti di Lembah Klang. Ramai penduduk luar berpindah masuk ke
Dengkil dan sekitarnya. Mereka terdiri daripada golongan muda para pekerja sektor
pembuatan. Penduduk pekan Dengkil yang sebelumnya majoriti berketurunan Cina

- 18 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

(kampung baru) kini telah mengalami perubahan komposisi apabila lebih ramai orang
Melayu dan India berpindah masuk.
Selain Dengkil, pembangunan projek mega juga telah mencetuskan pertumbuhan
penduduk bandar baru khususnya Putrajaya dan Cyberjaya. Bandar baru ini telah menerima
kemasukan yang mendadak akibat pemindahan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di
Putrajaya dan penubuhan Universiti Multimedia serta beberapa intitusi lain di Cyberjaya.
Perkembangan ini adalah akibat langsung daripada pembangunan yang berlaku di kawasan
teras.
Keadaan ini berbeza dengan yang dialami oleh Triang-Kerayong. Sebagai sebuah
daerah di pedalaman kawasan ini tidak ramai didiami penduduk. Bagaimanapun, Triang-
Kerayong adalah petempatan utama yang paling ramai penduduknya di daerah ini dengan
majoritinya etnik Cina. Manakala orang-orang Melayu mendiami kawasan sekitar pusat
tersebut. Seperti daerah Sepang, darjah pembandaran daerah Bera amat rendah. Tiada
sebuah petempatan yang telah diwartakan sebagai bandar. Bagaimanapun, rekod rasmi di
lima majlis tempatan (Triang, Kemayan, Kerayong, Mengkarak dan Mengkuang) yang
terdapat di kawasan tersebut menunjukkan bahawa pada 1995 terdapat kira-kira 35.9
peratus (28,300 daripada 74,500 penduduk daerah Bera) penduduk daerah ini tinggal di
kawasan yang berciri bandar. Namun, hanya penduduk Triang yang mencapai 15,000 orang
pada 1995. Pertambahan penduduk Triang lebih bersifat semulajadi sedangkan di Kerayong
pertambahan boleh dikaitkan dengan kemsukan penduduk ke kawasan perumahan yang
baru dibuka.
Proses pembandaran3 desa di daerah Bera pada mulanya berlaku dengan kadar
yang sangat perlahan. Pembangunan sektor pertanian di kawasan sekitarnya terutamanya
melalui FELDA telah menyumbang kepada perkembangan pusat-pusat perkhidmatan
tersebut, terutamanya di Triang dan Kemayan. Bagaimanapun, selepas 1990-an,
perkembangan yang agak ketara dapat diperhatikan di Triang. Kerayong yang terletak
berhampiran Triang juga mengalami perkembangan penduduk yang agak pesat.
Pertumbuhan penduduk pusat-pusat petempatan ini pada tahun 1990-an umumnya dapat
dikaitkan program pembangunan seperti perindustrian desa, dan pembukaan pusat-pusat
perkhidmatan, perdagangan dan perniagaan baru yang bertumpu di pusat-pusat tersebut.
Secara perbandingan, walaupun penduduk di kedua-dua kawasan mengalami
pertumbuhan yang pesat selepas 1990-an, pembandaran desa di sekitar Dengkil lebih
menonjol kerana menerima pengaruh yang kuat daripada perkembangan di Lembah Klang,
terutamanya akibat perkembangan sektor pembuatan. Manakala di Triang-Kerayong,

3diukur berdasarkan konsentrasi penduduk yang tinggal di pusat-pusat petempatan utama walaupun pada hakikatnya
pusat-pusat tersebut belum lagi dapat digelar bandar.

- 19 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

perkembangan berlaku lebih disebabkan oleh perancangan kerajaan menubuhkan pusat


pentadbiran baru, pembinaan bandar baru selain kesan program pembangunan luar bandar
khususnya pembukaan tanah FELDA di sekitarnya. Proses pembandaran dan
pembangunan desa yang berlaku adalah hasil suntikan pihak kerajaan melalui penubuhan
bandar baru dan pembukaan tanah pertanian.

Perubahan Fungsi Bandar Kecil

Dengkil dan Triang-Kerayong pada umumnya adalah bandar kecil di luar bandar.
Perbezaan yang wujud adalah daripada segi letakannya. Dengkil terletak di pinggiran
metropolitan di wilayah teras yang maju, manakala Triang-Kerayong terletak di luar kawasan
pembangunan utama Semenanjung Malaysia. Pada umumnya kedua-dua bandar kecil ini
menerima kesan akibat proses pembandaran desa. Hal ini dapat diperhatikan melalui
penawaran fungsi bandar-bandar berkenaan (Jadual 7 dan Jadual 8).

Jadual 7. Fungsi Perkhidmatan Sosial di Dengkil dan Triang-Kerayong,


1980 dan 1999

Dengkil Triang-Kerayong
Fungsi perkhidmatan sosial 1979 1999 1979 1999
Sekolah rendah Jenis Kebangsaan 2 2 2 3
Sekolah rendah kebangsaan/agama 2 2 1 1
Sekolah menengah 1 1 2 2
Kompleks Pejabat-pejabat Kerajaan - - - 1
Klinik/Pusat Kesihatan 1 1 1 1
Balai Polis 1 1 2 2
Masjid 1 1 2 2
To'kong Cina 1 1 3 3
Pejabat Majlis Daerah - - - 1
Kedai telekom/Pusat tukaran 1 1 - 1
Pejabat Tenaga Nasional Bhd. - - 1 1
Pejabat Penghulu 1 1 1 1
Pejabat Kesihatan - - - 1
Balai Bomba - - - 1
Perpustakaan Awam - - - 1
Stesen Keretapi - - 1 1
Stesen Bas/teksi 1 1 1 2
Pejabat Pos - 1 1 1
Pejabat Alam Flora (Pembersihan) - - - 1
Dewan serbaguna - 1 - 1
Pasar pusat 1 1 2 2
Pejabat RISDA daerah - - - 1
Jumlah 13 15 20 31

Sumber: 1. Maklumat fungsi Dengkil 1979 diperolehi berdasarkan kajian penulis pada 1979
(Katiman Rostam 1980).
2. Maklumat fungsi Triang-Kerayong 1979 disesuaikan daripada Mohd Norwawi Mohamed .1981.
Petempatan Pusat di Daerah Temerloh, Pahang. Latihan Ilmiah, Jabatan Geografi (tidak
diterbitkan).
3. Maklumat kefungsian kini bagi kedua-dua bandar kecil ini diperolehi melalui Kerjaluar 1999

- 20 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Jadual 8. Perubahan Fungsi Perniagaan di Dengkil danTriang-Kerayong, 1980-1999

Dengkil Triang-Kerayong
Fungsi perniagaan
1979 1999 1979 1999
Servis baiki kereta/motor (alat, cat, bateri, & tayar dll.)i 3 15 25 96
Restoren/kedai kopi (minuman)* 21 52 38 75
Barangan makanan kering (runcit) 16 27 4 28
Barangan makanan basah 3 7 13 19
Pakainan/tekstil/kasut 3 5 9 13
Perkakas elektrik 4 10 6 19
Kedai ubat (Cina) 2 2 5 8
Kedai buah-buahan 2 4 3 11
Kedai buku/alat tulis 1 2 2 6
Perabut 1 3 12 22
Kedai jahit 4 6 10 6
Kedai gunting rambut/dandan 2 3 7 21
Perkakas (bahan logam/plastik/) 3 4 13 16
Alat ibadat (Cina) 1 1 1 7
Bengkel kejuruteraan besi 1 2 2 16
Kedai emas 1 1 1 8
Kedai gambar 1 2 4 6
Sekolah memandu 1 1 2 2
Percetakan/fotokopi 1 2 1 4
Hotel/rumah rehat - - 1 7
Bank/Syarikat Kewangan Berlesen 1 1 2 6
Pajak gadai 0 1 1 2
Ejen insurans 1 1 2 1
Pembeli getah/kelapa sawit 3 1 1 7
Kedai Toto/nombor ekor 1 1 1 5
Kedai baja 2 2 2 3
Kedai borong /pengedar 1 1 3 9
Klinik kesihatan swasta 2 4 3 7
Pusat hiburan/snooker/karaoke - - - 13
Klinik gigi (swasta) - - 1 2
Pejabat guaman (swasta) - - 1 2
Pasaraya - 1 - 3
Ejen tiket perjalanan/pelancongan - - - 4
Kedai jubin (seramik) - - - 4
Kedai bunga plastik - - - 4
Peralatan komputer - 1 - 7
Kontraktor binaan/pemasangan - 1 1 5
Kedai benih/anak pokok - - - 3
Musik/Video/sekolah musik 2 4 - 5
Persatuan/ Kelab 1 1 1 3
Kedai pakaian /keperluan bayi - - - 1
Kedai cermin mata - - - 2
Kedai kek/roti - - - 3
Ejen jualan langsung - - - 4
Tukang zink/ayan - - 1 2
Kedai solekan/kosmetik - 1 1 5
Kedai komputer/cybercafe - - - 7
Kedai baiki alat lektrik 1 2 - 6
Pejabat kelab sosial/parti politik 1 2 3 4
Kedai pekaian pengantin - - - 2
Kedai basilkal 5 13 3 4
Kedai hadiah - - 1 3
Kedai cermin - - - 5
Ejen telefon bimbit - - - 2
Kedai dobi - - - 1
Butik/Fesyen - - - 4
Perkhidmatan perekaunan profesional - - - 1
Kedai penyaman udara/baiki - - - 5
Kedai ayam goreng segera - - - 3

- 21 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Stesen minyak 1 2 3 3
Penjual makanan haiwan - - - 1
Kedai permainan kanak-kanak - 1 1 3
Akupuntur - - 1 1
Pos laju (City Link Express) - - - 1
Aquarium - - - 2
Pejabat perniagaan/perusahaan - - - 5
Kedai pasu - - - 1
Kedai peralatan pertanian 1 1 - 2
Bengkel kusyen kereta - - - 2
Bengkel paip - - - 1
Bengkel Pengiklanan/papan tanda - - - 2
Bengkel jentera berat/peralatan - - - 2
Stor/pengedar gas - - - 3
Kilang 2 7 2 4
JUMLAH 96 197 198 714

Sumber: 1. Maklumat fungsi Dengkil 1979 diperolehi berdasarkan kajian penulis pada 1979
(Katiman Rostam 1980).
2. Maklumat fungsi Triang-Kerayong 1979 disesuaikan daripada Mohd Norwawi Mohamed .1981.
Petempatan Pusat di Daerah Temerloh, Pahang. Latihan Ilmiah, Jabatan Geografi (tidak
diterbitkan).
3.M maklumat kefungsian kini bagi kedua-dua bandar kecil ini diperolehi melalui Kerjaluar 1999

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh kedua-dua bandar kecil Dengkil dan Triang-
Kerayong memang telah bertambah. Pertambahan relatif lebih ketara di Triang-Kerayong
daripada 218 fungsi pada 1979 meningkat kepada 745 pada 1999, pertambahan sebanyak
242 peratus berbanding dengan Dengkil sebanyak 94 peratus bagi tempoh yang sama. Ini
menunjukkan lebih banyak perkhidmatan ditawarkan di Triang-Kerayong berbanding dengan
Dengkil. Banyaknya perkhidmatan yang disediakan di Triang-Kerayong mungkin disebabkan
penduduk tidak mempunyai banyak pilihan tempat untuk menggunakan perkhidmatan
berbanding dengan Dengkil yang terletak berhampiran dengan bandaraya metropolitan yang
mudah untuk dikunjungi. Nisbah penduduk bagi setiap perkhidmatan turut menunjukkan hal
yang sama. Nisbah penduduk: perkhidmatan bagi Dengkil merosot dari 20.5:1 pada 1979
kepada 34.5:1 pada 1999. Sedangkan nisbah bagi Triang-Kerayong bertambah baik iaitu
daripada 43.8:1 pada 1979 kepada 31.3 pada 1999. Ini menunjukkan bahawa penduduk
Triang-Kerayong boleh menggunakan lebih banyak perkhidmatan berbanding dengan
Dengkil. Sungguhpun begitu, pada hakikat sebenarnya penduduk Dengkil yang tinggal
berhampiran dengan bandaraya Klang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, bandar
Kajang dan Banting sudah pasti mempunyai pilihan yang lebih luas dalam penggunaan
perkhidmatan. Mereka mempunyai peluang dan pilihan yang lebih besar berbanding dengan
pengguna di Triang-Kerayong.
Meneliti lebih lanjut perkembangan fungsi Dengkil dan Triang-Kerayong, peranan
pekan Dengkil didapati telah mula berubah. Pada 1979, Dengkil adalah pekan
perlombongan dan pertanian. Fungsinya banyak dipengaruhi oleh aktiviti tersebut. Beberapa
fungsi yang berkaitan dengan pertanian seperti kedai beli getah, perniagaan input pertanian

- 22 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

termasuk peralatan, racun perosak dan baja, beroperasi di pekan tersebut. Turut wujud ialah
dua buah kilang pemerosesan kelapa sawit yang terletak tidak jauh (sebuah daripadanya
terletak di dalam kawasan ladang) dari pekan tersebut, selain dua buah kilang memperoses
produk perlombongan bijih timah (Delima Industries dan Universal Mining) dan beberapa
buah kilang pembuatan. Bagaimanapun, sebahagian besar fungsi yang berkaitan dengan
pertanian seperti stor dan pembeli getah telah pupus.
Perindustrian sama ada di luar atau di sekitar Dengkil juga telah banyak mengubah
fungsi bandar ini. Walaupun kilang memproses bijih timah masih lagi beroperasi (Dua buah
kilang memproses bijih timah berkenaan ialah Delima Industries Sdn. Bhd. milik
Kumpulan/Syarikat Perangsang dan Universal Mineral Trading Sdn. Bhd tetapi skala
operasinya telah jauh mengecil. Jumlah pekerjanya jauh lebih kecil daripada asalnya. Begitu
juga kilang memproses kelapa sawit yang kini terpaksa bergantung kepada buah kelapa
sawit dari luar Dengkil. Sebaliknya, beberapa buah kilang pembuatan mula beroperasi di
zon perindustrian Dengkil. Antara aktiviti pembuatan yang terdapat di tempat tersebut
termasuklah membuat gegelung/calvet, tiang, jembatan konkrit dan tetulang konkrit, kilang
membuat komponen perkakas elektronik dan kilang menghasilkan minyak sayuran dan
produk lelemak lain yang berkaitan lelemak (Intercontinental Speciality Fats Sdn. Bhd) yang
dimiliki oleh firma korporat trans nasional. Kesemua kilang pembuatan tersebut terletak di
Jalan Banting. Kehadiran kilang pembuatan milik korporat trans nasional di Dengkil adalah
salah satu petanda bahawa pekan tersebut sudah terkait dalam rangkaian ekonomi global
Kehadiran kilang pembuatan yang baru di Dengkil banyak memberi peluang
pekerjaan kepada penduduk tempatan. Malah, kedudukan Dengkil yang hanya 19 km dari
pusat perindustrian Bangi mendedahkan penduduknya kepada pelbagai peluang pekerjaan
dalam sektor pembuatan di kawasan tersebut. Salah satu petunjuk bahawa masyarakt di
pekan tersebut telah terserap dalam proses globalisasi ekonomi ialah peningkatan
permintaan terhadap barangan pengguna khususnya perkakas elektrik, pakaian dan
peralatan rumahtangga. Peningkatan pendapatan penduduk melalui perindustrian telah
meluaskan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tersebut. Akibatnya, banyak
fungsi baru yang wujud untuk menawarkan barangan dan perkhidmatan kepada penduduk.
Antaranya termasuklah kedai pakaian (selain pakaian yang ditawarkan oleh pasar
mingguan). Mereka memakai pakaian berjenama yang setengahnya diimport, berhibur
dengan pelbagai hiburan moden, menunggang motorsikal atau berkereta sendiri,
menggunakan perkhidmatan bank dan sebagainya. Semua ini adalah ciri-ciri kepenggunaan
penduduk bandar yang global sifatnya. Akibatnya wujudlah perkhidmatan membaiki motor
dan kereta, perbankan, insurans, kedai menjual barangan elektrik dan perabut, kedai video
selain kedai runcit yang menjual barangan makanan asas. Seperkara yang menarik di

- 23 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Dengkil ialah bertambahnya bilangan kedai makan dan pejabat pengurusan perniagaan
pada masa kebelakangan ini. Kemunculan restoren dan kedai makan yang banyak
menunjukkan ramainya penduduk sekitar yang bekerja, tiada kesempatan memasak, atau
berkemampuan dan gemar makan di kedai. Habit makan di kedai umumnya adalah budaya
kehidupan moden yang lazimnya diamalkan oleh penghuni bandar. Budaya ini sedang
menular dengan pantas ke kawasan desa.
Bagi Triang-Kerayong pula, kedudukannya yang terpisah daripada laluan
pengangkutan utama melambatkan proses perkembangannya. Pertambahan fungsi bandar
kecil ini hanya menjadi ketara sejak kebelakangan ini sahaja. Antara tahun 1980 dan 1999,
pelbagai kemudahan perkhidmatan sosial seperti sekolah, klinik, balai bomba, balai polis
tokong Cina dan masji telah dibina atau diperbaharui di bandar Triang-Kerayong.
Penyediaan perkhidmatan sosial seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Perpustakaan, Pejabat
RISDA, Pejabat Majlis Daerah yang baru ditubuhkan, pejabat kesihatan, Balai Polis dan
Balai Bomba telah membantu meningkatkan kesejahteraan sosial penduduk sekitar bandar
tersebut. Pertambahan penduduk dan peningkatan pendapatan telah menyebabkan benyak
ruang niaga perniagaan dibina di bandar tersebut. Bagaimanapun, fungsi yang agak
tradisional seperti tukang jahit, tukang ayan, kedai barangan makanan kering dan kedai
basikal didapati tidak berkembang, malah dalam kes kedai jahit, bilangannya telah merosot.
Ini disebabkan wujudnya saingan barangan keluaran kilang (pakain siap dan peralatan siap
yang lebih murah) yang mengurangkan perkhidmatan tempahan menjahit pakaian. Begitu
juga tempahan peralatan daripada ayan/zink. Kewujudan pasaraya juga telah banyak
mengurangkan kepesatan perkembangan perniagaan bahan runcit makanan kering.
Meneliti lebih jauh lagi peranan Triang-Kerayong, wujud pengkhususan fungsi di
bandar ini. Pengkhususan yang paling ketara ialah perniagaan yang berkaitan dengan
membaiki kereta dan motor termasuk menjual tayar, mengetuk dan mengecat kereta,
mengganti bateri dan menjual alat ganti kenderaan serta perkakas aksesori. Walaupun
rekod tentang bilangan kenderaan yang dimiliki oleh penduduk kedua bandar ini tidak
diperolehi tetapi permintaan yang tinggi terhadapat barangan dan perkhidmatan tersebut di
samping bilangan ejen insuran yang juga bertambah banyak menunjukkan bahawa isirumah
di kedua bandar ini rata-rata mampu memiliki kenderaan sendiri. Ini mungkin dapat dikaitkan
dengan peningkatan pendapatan penduduk sama ada melalui kegiatan pertanian ataupun
akibat banyak wang yang dibawa pulang dari luar kawasan terutamanya terutamanya oleh
pekerja yang bekerja di Singapura dan Lembah Klang secara bermusim. Ramai isirumah
muda yang bekerja di luar Bera khususnya di Singapura secara demikian (Komunikasi
dengan penduduk tempatan 1999). Para pekerja ini, terutamanya yang masih bujang, akan
menbelanjakan sebahagian pendapatannya di Triang dan Kerayong. Ini membantu

- 24 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

meningkatkan pertumbuhan fungsi perniagaan bandar tersebut. Di sekitar Triang-Kerayong


sebenarnya tidak banyak kilang pembuatan. Hanya sebuah kilang pembuatan yang
menghasilkan perkakas elektronik (Zillontech (M) Sdn. Bhd. yang terletak di Paya Lang,
tidak jauh dari Triang, beroperasi sejak 1994) terdapat di kawasan ini. Sebuah kilang (IKS)
turut dibina di Mengkarak tidak jauh dari Kerayong untuk memberi perkhidmatan kepada
kilang Zilliontech secara vendor. Malah Zilliontech sebenarnya adalah pembekal komponen
khususnya cips komputer kepada kilang utamanya (milik firma trans nasional) yang terletak
di kawasan perindustrian Nilai, di pantai barat Semenanjung. Walaupun kehadiran kilang
ini menunjukkan Triang-Kerayong juga terkait dengan rangkaian ekonomi global tetapi
kesannya terhadap penduduk kawasan ini amat terbatas. Jadi sektor pembuatan bukan
asas ekonomi bandar kecil tersebut.
Bilangan hotel dan rumah penginapan juga bertambah daripada hanya sebuah pada
1980 meningkat kepada 6 buah pada 1999. Bilangan bilik hotel juga agak banyak dengan
rata-rata 25 bilik bagi sebuah hotel. Hampir kesemua hotel-hotel yang ada di Triang dan
Kerayong adalah jenis rumah tumpangan dengan kadar sewaan antara RM35.00 hingga
RM100.00 semalam. Kadar penginapan sederhana sahaja dan bermusim. Lazimnya pada
musim perayaan dan cuti panjang, hotel-hotel ini penuh ditempah. Pada hari-hari biasa,
penginap terdiri daripada peniaga dan para pekerja awam dan swasta yang mempunyai
urusan di Bera. Tetapi pada masa cuti dan musim perayaan, penginap adalah terdiri
daripada sanak saudara ahli keluarga yang tinggal dan pulang bercuti untuk bersama
keluarga di Triang dan Kerayong (Komunikasi dengan pengusaha hotel 1999). Ini
menunjukkan bahawa saudara-mara penduduk Triang-Kerayong membawa masuk
pendapatan dari luar secara berkala untuk dibelanjakan di bandar ini. Kehadiran mereka
turut membantu perkembangan fungsi bandar kecil tersebut.
Fungsi perniagaan lain yang turut mengalami perkembangan yang pesat ialah
penjualan perkakas elektrik, perkakas perabut, perkakas logam dan bahan binaan, bengkel
kejuruteraan besi, barang kemas dan komputer. Perkembangan ini menunjukkan bahawa
permintaan terhadap barangan pengguna di kedua bandar ini sangat menggalakkan.
Perkembangan institusi kewangan, khususnya bank di Triang turut menunjukkan bahawa
ekonomi bandar ini boleh dianggap aktif. Bank utama di negara ini khususnya MayBank,
Bank Pertanian, MBF dan Public Finance selain Bank Simpanan Nasional membuka
cawangan masing-masing di bandar ini. Kehadiran bank perniagaan di bandar ini secara
tidak langsung menunjukkan ekonomi Triang-Kerayong adalah sebahagian daripada
rangkaian aktiviti ekonomi nasional dan global. Bagaimanapun, tumpuan hanya dalam
sektor pertanian.

- 25 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Kehadiran banyak fungsi penjualan peralatan agama (Cina), persatuan, kedai makan
dan minuman Cina, tempat mendadan rambut, pusat hiburan dan persolekan menunjukkan
adanya pengaruh budaya (Cina) terhadap fungsi perniagaan khususnya Triang. Kebiasaan
orang Cina untuk makan, bersolek dan mendandan rambut di luar telah menggalakkan
perkembangan fungsi tersebut. Begitu juga anutan agama (Nenek Moyang) di kalangan
orang Cina yang umumnya masih utuh di kalangan masyarakat di bandar ini menggalakkan
perkembangan penjualan perkakas keagamaan. Hal ini juga menunjukkan bahawa Triang
secara umumnya bandar yang didominasi oleh kaum Cina. Walaupun ada juga kaum
bumiputera yang berniaga di Triang tetapi aktivitinya terbatas kepada perniagaan kedai
makan dan minuman sahaja. Bagaimanapun, para pengunjung perniagaan di dapati dari
kalangan bumiputera dan Cina.
Satu perkembangan menarik yang berlaku kebelakangan ini ialah kemunculan pusat-
pusat penjualan dan pembelajaran komputer dan cybercafe . Fungsi ini berkait rapat
dengan perkembangan Teknologi Maklumat yang berlaku di seluruh negara. Adanya pusat-
pusat perkhimatan komputer dan cybercafe menunjukkan bahawa Triang-Kerayong turut
menerima kesan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini mempunyai hubungan yang
rapat dengan proses globalisasi yang sedang berlaku di negara ini. Bagaimanapun, secara
pemerhatian kebanyakan pengunjung pusat-pusat perkhidmatan komputer dan internet itu
terbatas kepada pengguna muda sahaja. Kunjungan mereka mungkin lebih bermotif
hiburan dan bukannya perniagaan atau menimba pengetahuan baru. Pada hujung minggu
talian telefon di kawasan ini sangat sibuk. Ramai pengguna telefon bimbit yang
menggunakan kemudahan tersebut untuk tujuan perjudian (Komunikasi persendirian dengan
Pengawal Celcom Wilayah Pahang Barat 2000). Berjudi adalah salah satu kebiasaan yang
terdapat di kalangan masyarakat Tionghua termasuk di luar bandar seperti Triang-
Kerayong.
Secara perbandingan, dapatlah dikatakan di sini bahawa fungsi dan peranan kedua-
dua bandar kecil Dengkil dan Triang-Kerayong berkembang selaras dengan perkembangan
penduduknya. Bagaimanapun, oleh kerana proses pembangunan dan pembandaran yang
berlaku di kedua-dua kawasan ini berbeza maka kesannya terhadap perkembangan bandar
kecil turut berbeza. Hal ini dapat diperhatikan melalui perkembangan fungsi dan peranan
kedua-dua bandar berkenaan. Di Dengkil, walaupun saiz bandarnya lebih kecil tetapi
perkembangannya menuju kepada sebuah bandar moden. Kesan dan respons kawasan
terhadap globalisasi lebih mudah diperhatikan, terutamanya daripada segi pemodenan
fungsi bandar tersebut. Walaupun bilangan fungsinya tidak sebesar Triang-Kerayong tetapi
beberapa fungsi seperti restoren yang besar, klinik swasta, pasar mini yang lengkap, kedai
perkakas lektrik dan bank yang lazimnya tidak ditawarkan di bandar yang bersaiz

- 26 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

sedemikian kecil, menunjukkan bahawa daya permintaan terhadap barangan dan


perkhidmatan tersebut cukup tinggi. Malah banyak fungsi tradisionalnya seperti membeli
keluaran pertanian, kilang memproses, kedai jahit dan penjualan alat pertanian telah
beransur pupus. Kehadiran para pekerja sektor pembuatan dan pembinaan telah membantu
perkembangan fungsi Dengkil. Ini menunjukkan bahawa pembandaran dan perkembangan
fungsi Dengkil lebih bersifat membantu pekan tersebut untuk menjadi peserta dan bukan
sahaja penerima dalam proses globalisasi.
Sebaliknya, perkembangan fungsi Triang-Kerayong lebih cenderung untuk
menunjukkan bahawa bandar tersebut adalah penerima dan secara tidak langsung menjadi
mangsa kepada proses ghlobalisasi Perkembangan fungsi bandar tersebut lebih
dipengaruhi oleh perkembangan sektor pertanian dan budaya masyarakat setempat.
Perkembangan fungsi seperti pembeli keluaran pertanian, perbankan, pembekal baja, alat
pertanian, bengkel membaiki jentera pertanian dan kilang memproses menyokong hakikat
tersebut. Manakala perkembangan fungsi pusat hiburan, kedai gunting, dandan dan
solekan ada kaitannya dengan budaya masyarakat setempat. Begitu juga kedai menjual
perkakas keagamaan, hotel, kedai ubat Cina dan kedai makan. Jadi perkembangan yang
berlaku di Triang-Kerayong umumnya dapat dikaitkan dengan proses pembandaran dan
perubahan setempat. Walaupun bandar tersebut tidak lagi terpisah dan tertutup tetapi
Triang-Kerayong belum mampu menjadi peserta yang aktif dalam proses globalisas. Aktiviti
perindustrian belum lagi menyerlah. Walaupun dari segi bilangan terdapat sebanyak 126
buah kilang yang sedang beroperasi di daerah ini dan kebanyakannya di sekitar Triang-
Kerayong, tetapi sebahagian besar industri yang terdapat dalam kawasan ini adalah
bengkel memperbaiki motor/kereta. Kecuali sebuah kilang, tidak banyak pelaburan dalam
sektor pembuatan dibuat di bandar tersebut. Perkembangan ini tidak membantu Triang-
Kerayong untuk terkait dengan ekonomi global.

Perubahan Guna Tanah


Peningkatan keluasan guna tanah petempatan di Lembah Klang-Langat yang ketara antara
1985 dan 1995 telah diperhatikan oleh Katiman Rostam (1997). Proses perkembangan dan
penempatan semula industri pembuatan ke kawasan pinggiran metropolitan bukan sahaja
telah menyebabkan perkembangan kawasan perindustrian yang baru tetapi juga kawasan
perumahan di kampung-kampung tradisional. Perubahan ini semakin ketara dapat
diperhatikan di sekitar Dengkil. Sebelum 1990, Dengkil dikelilingi oleh ladang kelapa sawit
dan getah selain kawasan perlombongan yang aktif. Bagaimanapun, dengan pembangunan
tiga projek mega (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur - KLIA, keluasan 10, 125
hektar, Pusat pentadbiran Persekutuan Putrajaya dengan keluasan 4,269 hektar dan

- 27 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

bandar cyber - Cyberjaya dengan keluasan 2,857 hektar) di kawasan berhampiran, tanah di
sekitar Dengkil turut terheret oleh corak pembangunan baru. Sejak kebelakangan ini, banyak
kawasan perumahan dan perniagaan dibina di sekitar Pekan Dengkil. Perkembangan yang
lebih ketara dapat diperhatikan di sepanjang Jalan Air Itam yang menghala ke Putrajaya dan
Cyberjaya. Beberapa taman perumahan seperti Desa Putra, Taman Delima dan Taman
Dengkil Jaya telah dibangunkan bersama dengan rumah kedai. Perkembangan tersebut
telah menyebabkan pertambahan keluasan kawasan perumahan, industri dan perdagangan
Rekod tentang pindah milik tanah di Mukim Dengkil menunjukkan bahawa sebanyak
458 kes proses pindah milik tanah telah dilakukan pada tahun 1996 berbanding dengan
hanya 55 kes pada 1985 (sebelum keputusan pembinaan KLIA, Putrajaya dan Cyberjaya
diumumkan). Pada 1998 di pekan Dengkil sahaja, lebih 22,000 meter persegi tanah
bangunan (rumah dan kedai) telah dipindahmilik. Jumlah tersebut jauh lebih tinggi
berbanding dengan jumlah keluasan (3,423 meter persegi) yang dipindahmilik misalnya
pada 1985 (Pejabat Tanah Daerah Sepang 1999). Permohonan untuk menukar syarat
tanah juga turut melibatkan jumlah yang besar. Misalnya pada 1997, sejumlah 198
permohonan menukar syarat daripada pertanian kepada bangunan telah dilaporkan bagi
seluruh daerah Sepang. Sebanyak 77 permohonan lain dibuat untuk memecah bahagian.
Ini menunjukkan pesatnya pembangunan hartanah di daerah tersebut terutamanya di sekitar
Dengkil (Sepang 1998). Kepesatan pembangunan hartanah terutamanya untuk rumah
kediaman dan perniagaan menunjukkan tekanan yang serius terhadap kawasan pertanian di
sekitar bandar tersebut. Ini tidak termasuk pembangunan di sekitar Lapangan Terbang
(KLIA) seluas 10,122 ha (25,000 ekar), Putrajaya seluas 4,392 ha (10,847 ekar) dan
Cyberjaya seluas 2,834 ha (7,000 ekar) yang terletak tidak berapa jauh dari Dengkil.
Dengan kedatangan lebih ramai penduduk ke Putrajaya dan Cyberjaya, permintaan
terhadap rumah kediaman dan perniagaan semakin tinggi. Malah perubahan guna tanah
sebenarnya lebih pesat lagi daripada yang dapat ditunjukkan melalui perangkaan rasmi
kerana ramai pemilik tanah pertanian yang membina rumah secara tidak formal (tanpa tukar
syarat tanah dan kelulusan pelan oleh Majlis Daerah) untuk disewakan.
Keadaan yang berbeza diperhatikan wujud di sekitar Triang-Kerayong. Walaupun
banyak kawasan di sekitar Triang dan Kerayong yang telah dibangunkan sebagai kawasan
perumahan, industri dan komersil tetapi perubahan tersebut berlaku dalam skala yang kecil.
Pemaju swasta terlibat secara langsung dengan usaha tersebut. Pada 1997, hanya 17
permohonan menukar syarat daripada pertanian kepada bangunan dilaporkan di daerah
Bera dan hanya tiga permohonan dilaporkan untuk memecah sempadan tanah.
Bagaimanapun, terdapat 290 permohonan untuk menukar syarat tanah pertanian dari
sejenis tanaman kepada yang lain (Bera 1997). Ini menunjukkan bahawa pembangunan

- 28 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

hartanah (bangunan) di daerah Bera agak perlahan walaupun pembangunan tanah untuk
pertanian umumnya agak pesat. Rancangan pembangunan hartanah juga tidak besar.
Keluasan tanah yang telah dirancang dan diwartakan untuk dibangunkan hanyalah kira-kira
245 hektar (603 ekar). Daripada jumlah keluasan tersebut, 54 peratus juga terletak di dalam
kawasan Bandar Triang. Ini disebabkan Triang adalah pusat yang paling besar di daerah
Bera. Didapati juga projek perumahan mencatatkan keluasan terbesar (81.7 peratus) iaitu
kira-kira 200 hektar (493 ekar).
Berbanding dengan pembangunan di sekitar Dengkil yang lebih banyak disertai oleh
sektor swasta, kebanyakan cadangan projek-projek pembangunan baru di Triang-Kerayong
telah dikemukakan oleh sektor awam (agensi kerajaan). Sebahagian besar projek-projek
yang dicadangkan untuk dibangunkan adalah bagi membina dan menyiapkan kemudahan
sosial. Hal ini turut menunjukkan bahawa pembangunan hartanah di Dengkil berkait rapat
dengan penyusunan semula ruang kawasan melalui pembinaan lapangan terbang, kawasan
bandar dan perindustrian baru bagi memenuhi keperluan negara Lembah Klang-Langat
khsusnya untuk bersaing dengan tempat-tempat lain di dunia. Oleh itu perubahan guna
tanah boleh dikaitkan dengan penglibatan sektor swasta dengan galakan kerajaan bagi
memenuhi keperluan globalisasi ekonomi. Hal ini berbeza dengan yang berlaku di Triang-
Kerayong yang proses perubahannya lebih disebabkan oleh perancangan dan penyertaan
kerajaan untuk membandarkan dan memajukan kawasan tersebut.

KESIMPULAN
Kertas ini telah memaparkan kesan perbezaan letakan terhadap corak pembangunan dan
pembnadaran desa di kawasan teras yang maju dengan yang kawasan yang terletak di
pinggiran yang umumnya masih ketinggalan. Kesimpulan yang boleh dinyatakan daripada
penjelasan di atas tadi ialah memang wujud perbezaan corak pembangunan dan
pembandaran di antara Dengkil yang terletak di teras dan Triang-Kerayong yang terletak di
pinggiran. Kedua-dua kawasan desa tersebut sedang mengalami proses pembandaran.
Bagaimanapun, Dengkil dan kawasan di sekitarnya berada di wilayah yang sedang pesat
membangun. Perubahan dasar pemerintah sejak kebelakangan ini yang lebih liberal dan
pengkorporatan Malaysia telah menyebabkan lebih banyak pelaburan swasta dalam projek-
projek pembangunan mega di sekitar Dengkil. Begitu juga dasar yang lebih terbuka dan
membenarkan firma pembuatan khususnya yang berteknologi tinggi, berintensif modal dan
berautomasi menempatkan aktiviti mereka di kawasan tersebut, telah menyebabkan
Lembah Klang-Langat terus menjadi pilihan para pelabur asing, khususnya FDI. Proses
perindustrian di Lembah Klang-Langat memberi kesan tidak langsung kepada Dengkil dan
kawasan sekitarnya. Ramai penduduk yang bekerja di kawasan perindustrian seperti Bangi,

- 29 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

Shah Alam, Salak, dan Olak Lempit tinggal di sekitar Dengkil. Pembangunan institusi
penyelidikan dan pendidikan awam dan swasta di sekitar Dengkil juga turut memberikan
peluang pekerjaan kepada sebahagian penduduk Dengkil. Lebih jauh lagi kesannya ialah
pembinaan infrastruktur moden di sekitar Dengkil. Selain projek mega KLIA, Putra Jaya,
Litar Lumba Kereta Formula One dan Cyberjaya, pembinaan lebuhraya moden, landasan
keretapi bagi keretapi pantas dan koridor unggul multimedia juga dapat dikaitkan secara
langsung dengan usaha untuk menempatkan Malaysia dalam persaingan global. Usaha ini
telah menjadikan kawasan sekitar Dengkil begitu dinamik seperti yang dapat dilihat daripada
perspektif pembandaran penduduk, guna tanah dan fungsi bandarnya. Kesan terhadap
penduduk desa di sekitar Dengkil juga begitu nyata terutamanya daripada segi pekerjaan.
Faktor geografi, khususnya letakan telah memberi kesan langsung terhadap jenis,
nilai pelaburan dan skala projek-projek pembangunan yang dijalankan. Walaupun kawasan
di sekitar Triang kaya dengan sumber alam, khususnya tanah pertanian, tetapi
sumbangannya kepada pembangunan ekonomi daerah tersebut masih rendah. Keupayaan
sektor tersebut untuk memacu pembangunan sangat terbatas jika dibandingkan sektor-
sektor lain khususnya sektor pembuatan dan perkhidmatan. Pelaburan dalam sektor-sektor
lain tidak berlaku. Ini meungkin berpunca daripada kedudukannya yang terpisah dari
kawasan teras di pantai barat Semenanjung. Sebaliknya Dengkil yang terletak di pinggir
wilayah metropolitan utama yang maju lebih unggul dan berdaya saing. Kelebihan ini
mampu menarik pelbagai pelaburan sektor awam dan swasta. Pada takat ini, bolehlah
disimpulkan bahawa faktor geografi telah memberi kesan yang nyata terhadap corak
pembangunan di kedua-dua kawasan tersebut. Oleh itu, kajian ini telah menyokong
hipotesis yang menyatakan bahawa letakan telah mempengaruhi corak dan aras
pembangunan dan pembandaran desa sesebuah kawasan. Dengkil yang terletak di
kawasan yang relatif baik membangun dengan pesat sedangkan Triang yang terpinggir
masih ketinggalan.
Usaha untuk memperbaiki letakan dan ketersampaian Triang-Kerayong telah mula
dilaksanakan. Sejak 1990-an, Koridor Triang-Kerayong mula membangun dengan lebih
pesat. Rancangan untuk membangunkan koridor ini sebagai pusat pertumbuhan utama
wilayah ini telah menjadikannya sebagai kawasan yang paling dinamik berbanding dengan
pusat-pusat lain. Rancangan untuk menghubungkan Triang-Kerayong dengan Nilai dan
Sepang di pantai Barat Semenanjung melalui lebuhraya adalah kemudahan yang sedang
ditunggu-tunggu oleh para pelabur. Melalui lebuhraya tersebut, Triang-Kerayong akan lebih
terbuka. Triang-Kerayong yang mempunyai potensi sumber alam yang besar termasuk
tanah dan keluaran pertanian, sangat sesuai bagi pembangunan industri asas sumber.
Tenaga buruh yang terdidik, murah dan banyak (terutamanya di kalangan generasi kedua

- 30 -
Pengaruh letakan terhadap pembangunan dan pembandaran desa

peneroka FELDA) di samping adanya asas industri kecil yang kokoh terutamanya di Koridor
Triang, dan tempat menarik yang sesuai untuk industri pelancongan, mampu menarik
pelaburan pada masa akan datang. Walaupun pada masa ini kebanyakan aktiviti ekonomi,
khususnya pertanian lebih bersifat setempat, dalam masa yang tidak lama daerah ini akan
lebih terkait dengan ekonomi global melalui kemasukan pelaburan asing, khususnya dalam
sektor pembuatan.

RUJUKAN

Cox, R. 1994. Global restructuring: making sense of the changing international political economy.
Dlm. Stubbs, R. & Geoffrey, R.D. Political economy and the changing global order.
New York: St. Martin's Press.
Daerah Bera. 1997. Laporan Tahunan Pejabat Daerah dan Tanah Bera.
Ghani Salleh. 2000. Urbanization and Tegional Development in Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Pub.
Ishak Shaari. 2000. Globalization and economic disparities in East and Southeast Asia. Dlm.
Mittlement, J. & Norani Othman (pnyt) Capturing Globalization. Third World Quaterly, 21.
Hirchman, A.O. 1958. The strategy of economic development. New Haven: Yale University Press.
JPPD. 1996. Laporan pemeriksaan rancangan struktur daerah Bera. Kuala Lumpur: Jabatan
Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.
Katiman Rostam. 1980. Nota tentang hierarki pusat-pusat petempatan di daerah Ulu Langat,
Selangor. Ilmu Alam. Bil. 9: 93-112.
Katiman Rostam. 1997. Industrial expansion, employment changes and Urbanization in the peri-urban
areas of Klang-Langat Valley, Malaysia. Asian Profile. 25 (4): 303-15.
Malaysia. 1991. Sixth Malaysia Plan 1991-1995. Kuala Lumpur: National Printing Department.
Malaysia. 1996. Seventh Malaysia Plan 1996-2000. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Berhad.
Mittelman, J. (ed.). 1996. Globalization: critical reflections. Boulder & London: Lynne Reiner Pub.
Myrdal, G. 1957. Economic theory and underdeveloped regions. London: Duckworth.
Slater, D. 1986. Capitalism and urbanisation of the periphery: with special reference to LatinAmerican.
Dlm. Drakakis-Smith, D. (Pnyt). Urbanization in the developing world. London: Croom Helm.
Tabuchi, T. 1988. Interregional income differentials and migration: their interrelationships, Regional
Studies, 22: 1-10.
Williamson, J.G. 1965. Regional inequality and the process of national development: a description of
the patterns. Economic Development and Cultural Change, 13: 3-45.

- 31 -

Anda mungkin juga menyukai