Anda di halaman 1dari 7

TRANSKRIP VIDEO RUJUKAN KURSUS FALSAFAH DAN ISU SEMASA

KULIAH 1: PENGENALAN KEPADA FALSAFAH


TEMUBUAL NURFA FAILASUF (PENGACARA) DAN
PROF. HAZIM SHAH (PENSYARAH UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)

NURFA FAILASUF: Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kembali lagi dengan Nurfa dalam
Kuliah Pertama iaitu kuliah Pengenalan Kepada Falsafah. Sebelum kita tahu apa itu falsafah, adalah
lebih menarik kalau kita tahu apa sebenarnya dimaksudkan dengan falsafah. Hari ini Nurfa jemput
tetamu yang istimewa iaitu Prof. Hazim Shah dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Bolehkah Prof.
terangkan apakah yang dimaksudkan dengan Falsafah?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Jadi soalannya adalah, apakah yang dimaksudkan dengan falsafah atau
bidang falsafah itu sendiri. Falsafah datangnya dari perkataan Greek iaitu philosophia yang
kemudiannya dalam Bahasa Inggeris menjadi philosophy. Perkataan Falsafah adalah dalam Bahasa
Melayu tetapi asalnya dari perkataan Bahasa Arab iaitu ) ‫ فلسفة‬Falsafah(. Asalnya dari Tamadun Greek
cantuman dua perkataan iaitu philo dan sophia. Philo bermakna love ataupun cinta. Sophia bermakna
wisdom boleh diterjemahkan sebagai kearifan atau kebijaksanaan. Apabila digabungkan keduanya
menjadi love of wisdom atau cinta terhadap kebijaksanaan atau kearifan sebagai satu ciri
kemanusiaan.

Falsafah juga boleh difahami sebagai pemikiran yang dasar, asas atau fundamental mengenai sesuatu
perkara atau isu itu. Falsafah ini pertamanya cirinya ialah pemikiran yang mendalam mengenai
sesuatu perkara dan ia juga bersifat menyeluruh dan tidak terhad kepada sesuatu subjek, topik atau
daerah pemikiran. Contoh persoalan-persoalan falsafah yang terdapat dalam ilmu falsafah ialah
soalan-soalan umum seperti apakah makna kehidupan? Apakah sifat kewujudan dan hakikat
kewujudan itu yang terdapat dalam kajian metafizik? Persoalan-persoalan dasar seperti ini hanya
boleh ditimbulkan dalam bidang falsafah dan bukannya dalam bidang-bidang yang lain. Pada masa
yang sama ia memainkan peranan penting membuatkan kita berfikir secara mendalam mengenai
perkara yang asas dan persoalan pokok mengenai sesuatu isu itu supaya kita dapat satu pemikiran
yang jelas tentang apakah persoalan pokok yang terdapat dalam sesuatu bidang itu.

Falsafah juga khususnya dalam trend yang terdapat dalam falsafah moden di Barat dan juga bukan
Barat ialah falsafah itu sebagai satu kegiatan untuk menjelaskan konsep-konsep dan pemikiran asas
mengenai sesuatu itu supaya kita dapat menjelaskan dalam pemikiran kita tentang apakah makna;
signifikan sesuatu konsep yang digunakan itu dan sama ada konsep itu mempunyai makna ataupun
sebaliknya dan ini dapat memberikan kita satu clarity atau kejelasan tentang isu-isu yang mendasari
pelbagai bidang ilmu dan sistem pemikiran. Itu huraian saya mengenai apa yang dimaksudkan dengan
falsafah ini.

NURFA FAILASUF: Walaupun falsafah ini dianggap sebagai bidang yang am, kita perlu tahu bahawa
falsafah ini mempunyai maksud yang tersendiri. Selepas kita tahu apa itu maksud yang tersendiri,
maka kita lihat bahawa terdapat negara-negara lain yang mempunyai ideologi atau falsafah sendiri.
Apabila mereka ada ideologi dan falsafah mereka tersendiri, maka mereka dapat menyusun atur
sistem negara mereka. Misalnya di Malaysia kita dapat lihat falsafah yang terkandung dalam Rukun

1
Negara amatlah cantik. Jadi, boleh tak Prof. terangkan bagaimana falsafah ada hubung kaitnya dengan
Rukun Negara Malaysia?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Ini satu persoalan yang menarik kerana falsafah dikaitkan dengan satu
keadaan atau situasi yang bercorak kebangsaan ataupun bercorak individu dalam erti kata ianya
menjurus kepada sesuatu daerah atau kawasan geografi. Sedangkan dalam sejarahnya falsafah itu
bersifat universal dan tidak terbatas kepada mana-mana tempat atau lokasi geografi. Jadi, adakah ini
patut dilakukan? Soalan yang pertama yang kita harus kemukakan. Mungkin ada yang menganggap ini
akan melemahkan bidang falsafah itu sendiri dalam ertikata bahawa ia menjadikan falsafah itu sebagi
sesuatu yang tidak lagi bersifat sejagat ataupun ianya lokal dan hanya menumpukan perhatian kepada
persoalan-persoalan yang boleh dianggap sebagai nasionalistik.

Namun demikian, saya beranggapan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk falsafah itu ditujukan
kepada sesuatu konteks yang spesifik khususnya dalam konteks pemikiran sesebuah negara ataupun
budaya itu kerana ini adalah realiti kehidupan dunia pada hari ini. Walaupun kita menganggap bahawa
dunia pada hari ini bersifat global dan universal namun demikian terdapat ciri-ciri tempatan yang
membezakan antara satu budaya itu dengan satu masyarakat dan budaya yang lain. Oleh kerana itu
kita tidak boleh menyamakan misalnya keadaan di Amerika Syarikat atau Eropah dengan keadaan di
Asia atau Malaysia kerana sejarahnya berbeza, pemikirannya berbeza, sifat tempatannya berbeza dan
sebagainya. Maka itu adalah wajar bagi falsafah yang dibangunkan dalam sesuatu masyarakat itu
mempunyai kaitan dengan persoalan-persoalan yang dihadapi masyarakat. Dan kalau kita lihat sejarah
falsafah pun keadaannya begitu. Kepelbagaiaan falsafah yang dicerminkan dalam falsafah yang
terdapat dalam tamadun yang berbeza di dunia ini seperti Tamadun Barat, Tamadun Islam, Tamadun
Asia dan sebagainya menunjukkan bahawa falsafah juga mempunyai sifat lokal yang tersendiri
walaupun isu-isu yang ditanganinya bersifat universal dan global.

Dalam hal ini, saya tidak sama sekali menganggap bahawa mengaitkan falsafah dengan satu ideologi
tempatan atau pemikrian kebangsaan seperti terdapat dalam Rukun Negara adalah menjadi satu
kesalahan. Malahan ini adalah satu perkembangan yang positif pada pendapat saya dan dalam hal ini
saya ingin merujuk kepada Falsafah Kebangsaan yang termaktub dalam Rukun Negara yang juga
dianggap sebagai satu bentuk ideologi kebangsaan seperti Pancasila di Indonesia yang dianggap
sebagai satu bentuk ideologi kebangsaan.

Jadi, apakah ciri-ciri ideologi kebangsaan ini seperti yang termaktub dalam Rukun Negara? Pertamanya
ialah Kepercayaan kepada Tuhan. Ini adalah satu ciri umum yang dianuti oleh ramai peduduk-
penduduk di negara ini iaitu di Malaysia yang juga mewakili masyarakat yang berbilang kaum. Saya
rasa ini tidak menimbulkan kontroversi atau masalah kerana kepercayaan kepada Tuhan adalah satu
kepercayaan yang dianuti oleh mereka dari pelbagai agama. Misalnya agama Islam, Kristian, Hindu
atau agama yang dikaitkan dengan masyarakat Cina seperti Taoisme dan Budhisme. Mereka semua
mempunyai konsep ketuhanan. Walaupun diakui bahawa dalam fahaman Budhisme tidak ada secara
eksklusif disebut tentang Tuhan namun ada unsur-unsur kerohanian yang boleh dikaitkan dengan
konsep ketuhanan.

Jadi, prinsip yang pertama ini tidak memecah-belahkan rakyat sebaliknya ia boleh dianggap sebagai
suatu common denominator; suatu titik pertemuan antara pelbagai budaya dan kaum yang
mempunyai fahaman agama masing-masing. Jadi kepercayaan kepada Tuhan wajar diserapkan

2
sebagai prinsip yang pertama dalam Rukun Negara dan kita lihat ianya mempunyai unsur pemikiran
falsafah kerana dikaitkan dengan fahaman keagamaan.

Prinsip Rukun Negara kedua ialah Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Jadi kita sedar bahawa konteks
dunia moden ini sistem politiknya adalah berdasarkan kepada konsep negara bangsa iaitu nation state
dan ini timbul bermulanya di Eropah sekitar abad ke-18. Sehinggakan hari ini kalau menyebut tentang
masyarakat manusia, tidak boleh tidak kita mesti melihatnya dalam konteks negara bangsa. Malaysia
dalam hal ini tidak terkecuali kerana Malaysia juga adalah satu bentuk nation state; negara bangsa.
Tetapi ciri-ciri nation state Malaysia mengandungi unsur-unsur sejarah tersendiri yang didirikan sistem
yang terdapat hari ini kerana dalam sejarah Malaysia terdapat sistem beraja ataupun sistem monarki
dalam sejarah Malaysia khususnya dengan adanya Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-14 atau
15. Unsur sejarah ini diserap dalam sistem kerajaan yang ada pada hari ini iaitu constitutional
monarchy ataupun raja berperlembagaan. Maka jika itu adalah sistem yang mendasari negara bangsa
Malaysia maka sudah tentulah prinsip yang kedua kesetiaan kepada Raja dan Negara itu menjadi satu
prinsip yang wajar diterima umum. Unsur kesetiaan ini adalah penting bagi memastikan bahawa ada
aspek kesepaduan dalam kalangan rakyat dan kesepaduan itu berdasarkan kepada kesetiaan mereka
kepada Raja yang menjadi lambang negara sebagai ketua negara dan negara itu sendiri yang
mempunyai perlembagaan tersendiri dan sebagainya. Jadi, prinsip yang kedua ini saya anggap satu
prinsip yang wajar diterima umum oleh semua rakyat Malaysia.

Yang ketiga, Keluhuran Perlembagaan. Kita tahu bahawa setiap nation state itu mempunyai
perlembagaan tersediri. Perlembangan Amerika Syarikat berbeza dari Perlembagaan Britain, Perancis,
India, dan Malaysia itu sendiri. Disitulah national characteristic termaktub secara eksklusif iaitu di
dalam perlembagaan dan perundangan yang tersendiri. Dengan itu wajarlah jika prinsip ketiga ini iaitu
keluhuran perlembagaan itu dijadikan prinsip Rukun Negara yang ketiga. Kerana ia membolehkan apa-
apa pertikaian diselesaikan dengan merujuk kepada prinsip perundangan yang paling tinggi iaitu
perlembagaan negara. Ini penting bagi memastikan kestabilan dalam sesebuah negara itu kerana jika
tidak kita tidak akan dapat mempraktikkan konsep masyarakat yang berasaskan kepada law and order
kerana law and order itu hanya boleh dilaksanakan dengan adanya perundangan yang jelas dan dalam
hal ini perlembagaan merupakan perundangan yang paling tinggi. Ini adalah satu prinsip yang wajar
juga diserapkan dalam negara dan diterima umum oleh rakyat Malaysia.

Prinsip yang keempat, Kedaulatan Undang-undang. Seperti yang saya katakan tadi mengenai
perlembagaan, perkara yang sama boleh dilanjutkan mengenai undang-undang cuma perlembagaan
itu the highest form of law. Dan point saya mengenai penerbitan; bagaimana untuk mengekalkan
kestabilan masyarakat itu melalui perundangan ini dapat direalisasikan dengan adanya prinsip
keempat ini iaitu kedaulatan undang-undang, dimana tidak ada sesiapa boleh dianggap sebagai
mengatasi atau melebihi undang-undang. Jika prinsip ini diterima, maka kita akan lebih yakin
mengekalkan keharmonian dalam sesuatu masyarakat itu kerana apa-apa pertikaian yang mungkin
muncul atas dasar agama atau bangsa dan sebagainya boleh diselesaikan melalui sistem perundangan
yang ada. Dengan itu untuk membolehkan perkara itu, maka rakyat harus menerima akan konsep
Kedaulatan Undang-undang.

Prinsip yang terakhir ini, Kesopanan dan Kesusilaan. Jika sekiranya prinsip-prinsip di atas adalah
bersifat formal atau struktural. Prinsip yang terakhir ini merujuk kepada sesuatu yang lebih bersifat
personal dan berkaitan dengan perhubungan manusia. Dan ini juga atas satu prinsip yang penting
kerana ia boleh menjamin dan mengekalkan harmoni hubungan yang baik antara rakyat walaupun ia

3
tidak mempunyai suatu kuasa perundangan tetapi ciri ini penting dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia
kerana dengan adanya perasaan bertolak ansur, kesopanan dan kesusilaan, kita dapat melahirkan
suatu masyarakat yang lebih harmonis dan lebih bertimbang rasa terhadap fellow human beings; atau
fellow citizens; rakan senegara mereka kerana mereka akan sentiasa mengambil kira akan perasaan
orang lain mempunyai rasa hormat terhadap orang lain dan bertindak balas dengan orang lain dengan
secara sopan dan mengekalkan kesusilaan. Jadi, ini semua adalah ciri-ciri yang penting untuk dipegang
oleh setiap rakyat Malaysia dan ini boleh menjamin kestabilan politik dan sebagainya dan pada masa
yang sama kita lihat ada unsur pemikiran falsafah yang mendasari prinsip-prinsip tersebut.

NURFA FAILASUF: Prof, Nurfa rasakan kita pun mempunyai falsafah yang tersendiri. Falsafah ini
terletak dalam bidang pendidikan iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu Prof, apakah ciri-ciri
falsafah yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Soalannya adalah mengenai unsur-unsur falsafah yang terdapat atau
termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berkaitan dengan bidang pendidikan. Eloklah
saya nyatakan apakah elemen-elemen penting yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
itu. Ia bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dan dalam konteks ini melalui proses
pendidikan melalui persekolahan dan pendidikan di universiti dan sebagainya. Tujuannya adalah baik
kerana melihat pendidikan itu sebagai suatu proses yang lebih luas. Maksudnya ia bukan hanya
melihat pendidikan sebagai satu proses untuk melahirkan graduate atau graduan yang hanya
mempunyai kemahiran tertentu bagi tujuan mengisi jawatan-jawatan di pasaran buruh iaitu
melahirkan labour force yang cekap dan efisien sahaja. Kerana jika itulah yang dilakukan dalam sistem
pendidikan kita, maka sudah tentulah ia tidak melahirkan manusia yang seimbang tetapi hanya
manusia yang cekap melakukan pekerjaan mereka tetapi dari segi kemanusiaan mereka telah gagal
sebagai seorang insan yang mulia.

Bagi mengatasi masalah yang mungkin timbul dari sistem pendidikan yang tidak seimbang ini, maka
suatu Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah diwujudkan bagi memastikan bahawa perhatian yang
diberikan itu bukan sahaja tertumpu kepada suatu aspek sahaja iaitu aspek intelektual yang dikaitkan
dengan pencapaian akademik dan ini biasa berlaku dalam mana-mana sistem pendidikan dianggap
sebagai satu medan di mana mereka bersaing seolah-olah pendidikan itu adalah medan pertempuran.
Terdapat konsep survival of the fittest digunakan; yang berjaya terus berjaya dalam kehidupan, yang
gagal dalam sistem pendidikan akan gagal. Jadi jika itu situasi atau senarionya ini berlaku sudah
tentulah sistem pendidikan itu dianggap gagal. Sebaliknya untuk mengelakkan situasi ini,
dikemukakan satu falsafah pendidikan yang menekankan empat aspek bagi memastikan bahawa insan
yang dilahirkan melalui sistem ini merupakan insan yang berjiwa mulia kerana terdapat keseimbangan
dalam personalitinya. Jadi, keseimbangan ini boleh dicapai dengan menumpukan perhatian bukan
hanya dengan satu perkara tetapi empat perkara yang penting bagi menjadikan seseorang itu insan
yang mulia dan berguna.

Apakah empat aspek tersebut? Pertamanya, aspek jasmani; keduanya, aspek emosi; ketiganya, aspek
rohani dan keempat, aspek intelek. Secara akronimnya disebut JERI. Pertama, jasmani iaitu jasad
tubuh badan kita. Ini juga perlu diberikan perhatian. Walaupun kita mahu melahirkan manusia yang
pintar mengenai sesuatu yang mendalam dan pengetahuan yang luas, tetapi kita harus akur bahawa

4
kita manusia yang mempunyai jasad dan jika kita tidak memberi perhatian kepada jasad kita sudah
tentulah pemikiran kita terjejas dan tidak dapat berfungsi secara optimum. Pendidikan Jasmani
umpamanya adalah satu subjek yang diadakan di sekolah-sekolah dengan penuh kesedaran bahawa
aspek tubuh badan itu harus diberi perhatian. Dalam hal ini, pendidikan mengenai kesihatan juga
menyumbang kepada jasmani yang sihat dan baik. Jadi, ini dicerminkan dalam sistem pendidikan itu
sendiri dengan adanya subjek seperti Pendidikan Jasmani yang mempunyai kegiatan-kegiatan
kokurikulum yang menekankan aspek sukan sebagai pembinaan jasmani.

Kedua, aspek emosi. Sekarang ini kita lihat adanya Emotional Quotion (EQ). Selain daripada Intellectual
Quotion (IQ) sudah timbul cara mengukur kesejahteraan atau kestabilan emosi, menunjukkan bahawa
di Barat juga, sistem EQ ini diterbitkan juga mula memberi perhatian kepada aspek emosi kerana
manusia itu juga mempunyai perasaan dan jiwa bersifat halus yang mendasari pemikiran kognitif.
Selalunya kita menganggap seolah-olah pemikiran rasional ataupun aspek kognitif itu tidak terletak di
satu landasan yang bersifat bukan kognitif kerana kita menganggap kognitif itu fundamental tetapi
sebenarnya tidak. Fungsi kognitif juga bergantung pada keadaan emosi yang stabil. Jika, emosi
tertekan misalnya tidak mungkin kita dapat berfikir dengan baik dan tidak mungkin kita dapat
mencapai kognitif yang maksima. Dengan itu perhatian harus diberikan kepada aspek emosi.
Bagaimanakah cara emosi ini diberi perhatian dalam sistem pendidikan kita? Mungkin melalui cara
guru-guru mengajar subjek-subjek mereka kepada murid-murid dan cara guru-guru berinteraksi
dengan murid-murid iaitu menunjukkan lebih elemen kasih-sayang, elemen mengambil berat tentang
permasalahan yang dihadapi murid-murid dan dengan adanya satu saluran formal seperti ada
kaunselor dan sesi kaunseling. Dengan ini diharap keadaan emosi pelajar akan lebih terpelihara. Juga
melalui aktiviti di luar sekolah di mana murid-murid dapat meluaskan kegiatan mereka itu yang mana
tidak hanya terhad pada kegiatan akademik tetapi juga mengekspresi diri mereka melalui umpamanya
sukan, nyanyian, muzik ataupun aktiviti keagamaan. Ini semua memainkan peranan dalam
menimbulkan emosi yang stabil dalam kalangan murid-murid.

Aspek ketiga iaitu rohani yang ada kaitannya dengan emosi. Bila kita sebut tentang kerohanian ada
kaitannya dengan keagamaan. Jadi, di sini menunjukkan bahawa sistem pendidikan itu Kerohanian itu
tidak terpisah dari fahaman-fahaman atau kegiatan yang asas dari segi pemikiran atau fahaman
fundamental yang dipunyai seorang murid itu dalam bentuk keagamaan. Kegiatan keagamaan
memanglah tidak dilarang di sekolah-sekolah kerana adanya persatuan-persatuan yang berasaskan
faham agama masing-masing dan kegiatan dilakukan melalui persatuan-persatuan ini. Ini untuk
menjamin bahawa seorang perkembangan rohani seorang pelajar itu tidak terputus apabila mereka
melalui pendidikan yang formal. Selain itu, terdapat subjek-subjek yang memberi pendidikan dalam
aspek kerohanian iaitu subjek mata pelajaran agama dan sebagainya.

Keempat, perkembangan intelek. Ini jelas kelihatan dengan adanya sistem pendidikan yang
mementingkan mata pelajaran bersifat akademik. Dengan cara ini dapat membina ilmu dan juga
minda murid-murid ke arah pemikiran yang lebih tajam, ke arah pencapaian akademik ataupun
pencapaian ilmu yang lebih luas dan mendalam dan ini dapat menajamkan lagi pemikiran mereka dan
sekarang ini terdapat sistem penilaian yang tidak hanya tertumpu kepada keputusan peperiksaan
akhir dan sebagainya tetapi sistem penilaian juga memberi ruang kepada penilaian yang lebih kreatif
dan lebih sihat. Ini adalah penting bagi kita menghadapi cabaran-cabaran masa depan khususnya
dengan adanya cabaran yang dikemukakan iaitu Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0) di mana intellectual

5
development; kreativiti dalam pemikiran diperlukan bagi membina seorang insan yang dapat
menangani masalah-masalah akademik dan intelektual dalam masyarakat akan datang.

Itulah sedikit sebanyak penjelasan saya tentang unsur-unsur yang terdapat dalam falsafah pendidikan
negara dan bagaimana ianya mempunyai kaitan dengan falsafah dan kaitannya dengan falsafah ialah
kerana dalam falsafah juga diberikan perhatian kepada aspek-aspek yang berlainan dalam diri manusia
itu sendiri di mana manusia itu sebagai suatu entiti bukan hanya terdiri dari segi tubuh badan fizikal
tetapi mempunyai emosi, pemikiran intelektual dan sifat kerohanian. Itu saya lihat sebagai sesuatu
yang menampakkan implikasi pemikiran falsafah di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.

NURFA FAILASUF: Prof., bolehkah Nurfa tanyakan soalan yang am.

PROF. HAZIM SHAH: Boleh.

NURFA FAILASUF: Bagaimana untuk menarik orang awam terhadap bidang Falsafah?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Soalan yang dikemukakan di sini ialah bagaimana untuk menarik perhatian
orang awam terhadap bidang falsafah supaya ianya boleh tersebar luas dan tidak menjadi milik
golongan elit atau golongan pelajar yang tertentu sahaja. Dan ini timbul atas dasar dan kesedaran
falsafah itu penting difahami dan dianuti oleh semua lapisan dan golongan masyarakat.

Jadi ada beberapa perkara boleh dilakukan ke arah ini. ‘Popularisation of philosophy among the
layman.’ Bidang falsafah itu merupakan bidang akademik yang bersifat rasional, intelektual dan
konsep-konsepnya banyak yang abstrak. Jadi, jika kita mengambil pendekatan yang hanya memberi
perhatian kepada keadaan intelektual, akademik dan pemikiran abstrak sudah tentulah ia tidak dapat
disampaikan kepada masyarakat umum yang lebih luas kerana masyarakat awam sebahagian
besarnya tidak mempunyai kecenderungan ke arah pemikiran intelektual, abstrak dan sebagainya.
Mereka lebih gemar kepada entertainment; perkara yang tidak memberatkan pemikiran mereka
(serious thinking). Jadi untuk mengatasi masalah tersebut, membolehkan mata pelajaran falsafah ini
sampai kepada golongan umum; the masses, kita haruslah mencari jalan untuk mempersembahkan
pemikiran falsafah itu dengan cara yang menarik, bukan dengan cara membosankan, berat kerana
itulah tanggapan umum yang menyebabkan mereka beralih arah daripada falsafah.

Apakah cara-cara yang boleh difikirkan? Pertama, dengan menyampaikan falsafah bukan secara
akademik umpamanya dengan cara bercerita. Dalam hal ini kita ada contoh, buku cerita ataupun novel
Sophie’s World. Di situ falsafah disampaikan dalam bentuk cerita tetapi mengandungi idea-idea
falsafah. Itu satu cara iaitu kita mengisahkan idea faslafah dalam bentuk cerita. Dalam hal ini
pendidikan kanak-kanak yang menggunakan teknik penceritaan boleh digunakan. Kalau kita lihat
misalnya cerita seperti Alice in Wonderland, Aesop’s Fables dan sebagainya sebenarnya mengandungi
pemikiran falsafah yang mendalam kerana ia mempunyai wisdom yang tersendiri tetapi ia
disampaikan dalam bentuk novel atau story-telling atau penceritaan. Ini satu cara untuk
mempopularkan falsafah.

6
Cara lain lagi, umpamanya menggunakan teater dan lakonan sebagai medium atau wahana
penyampaian idea-idea falsafah. Kerana rata-rata medium ini lebih menarik perhatian apabila pelajar-
pelajar melihat lakonan atau filem yang mempunyai mesej falsafah, mereka dapat menghayatinya
dengan lebih rileks dan penerimaannya tidak begitu memberatkan. Ada juga cara-cara lain yang kita
boleh fikirkan umpamanya untuk melihat sejarah dari segi sejarah dan konteks di mana isu-isu falsafah
itu dibincangkan. Jika kita dapat melihat konteks di mana idea-idea falsafah itu dibincangkan, maka
kita dapat melihat kerelevenan idea-idea falsafah itu kepada persoalan dasar yang mencabar
pemikiran dan hidupan manusia itu sendiri. Jika kita hanya mengeluarkan satu topik dalam falsafah
umpamanya konsep sebab dan akibat (concept of causality and causation). Kita kurang meminati
usaha untuk menggarap idea-idea tersebut berbanding dengan keadaan di mana kita dapat
memahami kenapa isu itu timbul. Misalnya kalau isu causality dalam sejarah pemikiran Islam ada
kaitannya dengan perdebatan di antara Al-Ghazali dan ahli-ahli Falsafah Islam yang dipengaruhi ahli-
ahli Falsafah Greek dan juga ada kaitannya dengan jawapan yang diberikan oleh ahli Falsafah Islam
yang lain seperti Ibnu Rushd terhadap pemikiran Al-Ghazali mengenai isu causality. Jadi kalau falsafah
itu dibentangkan dalam bentuk konteks dimana ianya terbit secara sejarah maka ini akan lebih
bermakna kerana ia ditujukan kepada satu persoalan yang realistik yang dihadapi oleh masyarakat
pada masa itu. Dengan itu falsafah dapat dikaitkan dengan kehidupan manusia itu sendiri bukan
sebagai satu abstraction yang hanya bersifat intelektual cuma difahami dan kemudian dihafal sebagai
satu bahan intelektual. Jadi, ada pendekatan-pendekatan lain yang boleh digunakan untuk
mempopularkan falsafah.

Anda mungkin juga menyukai