Anda di halaman 1dari 13

Psikolinguistik: Pemerolehan Bahasa Pada Awal Usia Kanak-kanak

Kanak-kanak merupakan anugerah Tuhan Yang Maha Esa. Kanak-kanak memperlihatkan kebolehan memperoleh
bahasa ibundanya dengan cara yang luar biasa. Pemerolehan bahasa ini berlaku mengikut perkembangan yang
tertentu, biasanya diperoleh secara tidak formal daripada bahasa yang diucapkan oleh ahli-ahli masyarakat
disekitarnya ( Krashen dan Terrel, 1983:18-19). Demikian juga halnya kanak-kanak melayu. Apabila bahasa yang
diucapkan oleh ahli-ahli masyarakat di sekitarnya ialah bahasa Melayu, maka tanpa disedari, kanak-kanak Melayu
itu secara tidak langsung akan meniru bahasa tersebut. Oleh sebab kanak-kanak Melayu ini belum pernah belajar
bahasa apapun, maka bahasa Melayulah bahasa yang pertama diperolehnya. Inilah yang dikatakan pemerolehan
bahasa pertama oleh Mengantar Simanjuntak (1987: 15).

Pemerolahan bahasa pertama (B1) terjadi ketika kanak-kanak yang belum pernah belajar bahasa apa pun, mulai
belajar bahasa untuk kali pertama. Jika kanak-kanak tersebut menguasai satu bahasa, penguasaan kanak-kanak
itu disebut ekabahasa. Jika kanak-kanak itu memperolehi dua bahasa melalui proses dua bahasa secara serentak,
maka penguasaan kanak-kanak itu disebut dwibahasa. Manakala, jika yang diperoleh lebih daripada dua bahasa
secara serentak, maka penguasaan kanak-kanak itu disebut sebagai ganda bahasa.

Walaupun kanak-kanak dapat menggunakan bentuk ujaran yang betul, tidak semestinya kanak-kanak itu telah
menguasai bahasa pertama kerana ujaran itu boleh memberikan erti yang lain daripada yang diucapkannya.
Kanak-kanak disebut menguasai bahasa pertamanya jika telah menguasai beberapa unsur penting yang ada kaitan
dengan perkembangan kognitifnya. Konsep seperti waktu, ruang, dan sebab-akibat merupakan bahagian yang
penting dikuasai oleh kanak-kanak. Dalam proses pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari konsep
waktu, ruang, dan sebab-akibat kerana semua konsep tersebut perlu supaya dapat berkomunikasi dengan orang-
orang di sekelilingnya. Sehingga usianya kira-kira 6 hingga 7 tahun, secara beransur-ansur kanak-kanak akan
menguasai konsep-konsep tersebut.

Seperti yang diketahui, bahawa kanak-kanak yang normal akan memperolehi bahasa pertama dalam waktu yang
agak singkat, yakni antara umur dua hingga enam tahun. Hal ini tetap berlaku walaupun bahasa pertama yang
didengar di sekelilingnya bukan bahasa pertama yang gramatis, iaitu mengandungi kesalahan struktur dan kosa
kata. Mengikut Chomsky (1965), bukan kanak-kanak sahaja yang memperoleh rangsangan lalu memberikan tindak
balas, bahkan sejak lahir, manusia dilengkapi alat pemerolehan bahasa. Chomsky menamakan alat ini sebagai LAD
atau Language Acquisrion Device. Chomsky mengatakan bahawa LAD inilah yang membezakan manusia daripada
haiwan, dan merupakan suatu ciri khas dalam minda manusia yang tidak terdapat pada makhluk lain. LAD mampu
memperincikan struktur bahasa. Oleh itu, banyak ciri tatabahasa bahasa pertama tidak perlu dipelajari secara
sedar. Diandaikan bahawa struktur dan pola bahasa yang dibawa sejak kecil itu sama bagi setiap manusia, maka
struktur dan pola bahasa ini disebut sebagai tatabahasa sejagat.

Bahasa pertama diperoleh seseorang sewaktu masih kanak-kanak. Sekiranya diakui bahawa ujaran kanak-kanak
yang belum mampu memperoleh bahasa pertama, maka perlu diambil kira masa kelahiran sebagai permulaan
pemerolehan bahasa pertama. Hal ini bermakna bahawa bunyi ujaran seperti bebelan dan tangisan turut dianggap
sebagai bahasa. Klein (1986) mengatakan bahawa sesudah usia baligh iaitu 12 hingga 14 tahun, sedikit atau tidak
ada kemajuan yang memberangsangkan dalam pemerolehan bahasa pertama. Bahasa pertama kanak-kanak
dikatakan sudah cukup lancar pada waktu itu walaupun masalah bahasa yang dihadapi tetap ada sesudah
mencapai usia baligh. Walaubagaimanapun, perkara tentang jangka masa pemerolehan bahasa pertama ini
pernah diperdebatkan oleh ahli-ahli psikolinguistik. Antaranya Lenneberg (1967) yang berpendapat bahawa pada
umur antara dua tahun hingga akil baligh, otak manusia masih dalam keadaan yang sangat luwes. Keadaan otak
yang luwes membolehkan kanak-kanak memperoleh bahasa pertama dengan mudah dan cepat. Sebelum usia dua
tahun, kanak-kanak dikatakan belum dapat menguasai bahasa pertama dengan baik kerana faktor kognitifnya
yang belum cukup matang. Selepas akil baligh pula, pemerolehan bahasa secara semula jadi terhalang oleh fungsi
tertentu otak, iaitu fungsi verbal yang telah mantap di hemisfera kiri, dan disebut sebagai lateralisasi. Sesudah
tamat tempoh kritikal, pemerolehan bahasa yang berlaku secara semula jadi akan berkurangan secara beransur-
ansur. Bagaimanapun, pendapat Lenneberg ditentang oleh Scovel (1969) dan Krashen (1974). Scovel berpendapat
bahawa kalaulah benar tempoh kritikal itu wujud, maka sia-sialah usaha guru mengajarkan bahasa kedua kepada
pelajarnya yang sudah akil baligh. Manakala, Krashen berpendapat bahawa lateralisasi sudah berakhir sewaktu
kanak-kanak mencapai umur 5 tahun, lama sebelum masa akil baligh (12-14 tahun). Namun, kemampuan untuk
belajar bahasa tidak semestinya berkurangan.

Pada tahun 2002, penemuan dalam bidang psikolinguistik menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih mudah
mempelajari bahasa pertama dan juga bahasa kedua sewaktu berumur antara 2 hingga 10 tahun. Selepas usia 2
hingga 10 tahun, keupayaan memperoleh bahasa dengan mudah , menurun kerana tiga sebab. Pertama adalah
kerana manusia dikurniakan dengan kebolehan untuk memahami dan menghasilkan pelbagai-bagai fonem tetapi
sewaktu zaman kanak-kanak ( bermula daripada kelahiran), kebolehan ini dibentuk oleh pengalaman sehinggakan
fonem-fonem bahasa ibunda yang mudah sahaja yang cepat difahami, seterusnya dihasilkan oleh kanak-kanak.
Hal ini menyebabkan orang dewasa yang mempelajari bahasa baru didapati sukar untuk memahami dan
menghasilkan fonem-fonem bahasa yang baru, kerana tiada dalam bahasa ibundanya. Kedua adalah kerana
struktur neural yang telah dipelajari cenderung untuk dikaitkan dengan konsep yang tertentu. Sewaktu orang
dewasa mempelajari sesuatu bahasa baru, struktur neural sudah mempunyai konsep yang tertentu dan sudah
mantap. Struktur neural yang berpadanan dengan perkataan dalam bahasa yang baru ditentukan oleh input
tanggapan yang tiada berhubungan dengan struktur neural yang terdahulu. Ketiga adalah kerana semasa
mempelajari bahasa baru, pelajar bukan sahaja perlu membuat susunan operasi mental dan motor yang baru
bahkan tidak boleh menggunakan susunan operasi mental dan motor yang lama. Susunan operasi mental dan
motor yang lama adalah dipelajari melalui amalan.

Proses yang berlaku sewaktu kanak-kanak Melayu cuba memperoleh bahasa ibundanya terdiri daripada dua jenis.
Jenis yang pertama ialah pemahaman manakala yang kedua ialah penerbitan. Pemahaman melibatkan kebolehan
mengamati ayat-ayat yang didengar. Proses penerbitan pula melibatkan kebolehan menghasilkan ayat-ayat
sendiri. Apabila kedua-dua proses ini telah dikuasai oleh kanak-kanak, baharulah dia dikatakan mempunyai
kebolehan linguistik. Kedua-dua proses ini berlaku bukan sahaja terhadap kanak-kanak bahkan hal ini ialah
fenomena yang relatif, yang berlaku kepada semua kanak-kanak di dunia.

Keupayaan untuk mengembangkan bahasa berlaku kepada semua kanak-kanak yang menpunyai fungsi otak yang
normal tanpa mengira bangsa, kebudayaaan, kecerdikan menyeluruh. Hasil kajian Steinberg (1995) menunjukkan
bahawa kanak-kanak dapat mengembangkan sistem linguistik yang kompleks, bergerak daripada peringkat satu
kata ke peringkat berbilang kata dalam jangkamasa yang singkat, iaitu ketika kanak-kanak itu berumur lebih
kurang 4 hingga 5 tahun.

Walaupun orang dewasa berfikir bahawa mereka sedang ‘ mengajar’ anak-anak mereka bercakap, tidak terdapat
bukti yang menyakinkan bahawa kanak-kanak memerlukan arahan yang khusus daripada orang tuanya. Steinberg
(1995) mengatakan bahawa pemerolehan bahasa kanak-kanak berkembang mengikut satu susun atur bermula
daripada peringkat vokalisasi, holofrasa, telegrafik dan berakhir di peringkat perkembangan ayat-ayat kompleks.
Kajian Steinberg (1995) ini adalah yang terbaharu yang berkaitan dengan pemerolehan bahasa kanak-kanak.

Seterusnya, peringkat perkembangan pemerolehan bahasa. Kanak-kanak memperlihatkan satu siri peringkat
perkembangan bahasa semasa mereka menguasai bahasa pertamanya. Siri peringkat perkembangan bahasa kanak-
kanak dimulai dengan peringkat vokalisasi (6 bulan - 11 bulan), holofrasa (10 bulan – 18 bulan), telegrafik (18
bulan ke atas dan diakhiri dengan peringkat perkembangan ayat-ayat kompleks (4 – 5 tahun). Selanjutnya
diperturunkan peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak.

Bayi yang berumur beberapa tahun belum pandai bercakap tetapi mengeluarkan berbagai-bagai bunyi melalui
mulutnya. Dia menangis, menguku seperti bunyi burung, merobok seperti bunyi air keluar dari botol yang
bermulut kecil, menghembus, meludah, dan banyak lagi bunyi-bunyi yang sukar dijelaskan. Walaupun bunyi-bunyi
ini bukan bunyi-bunyi bahasa, penghasilan bunyi-bunyi ini membolehkan bayi melatih dan mengawal alat-alat
artikulasinya. Bayi dapat melatih menyelaraskan pernafasannya dengan pembikinan bunyi-bunyi. Bunyi-bunyi yang
sama ini (menangis, menguku, dan sebagainya) dihasilkan oleh semua bayi di dunia. Bayi yang pekak juga
menghasilkan bunyi yang sama. Tetapi, bayi yang pekak tidak meneruskan perkembangan bahasanya ke peringkat
bebelan, iaitu tahap vokalisasi yang selanjutnya, yang mirip kepada bahasa.

Vokalisasi melibatkan penggunaan bunyi-bunyi bahasa, terutamanya suku kata vokal dan konsonan – vokal, seperti
/a/, /u/, /ma/, /gi/, /pa/. Pengulangan bunyi-bunyi ini memberikan bayi kualiti bunyi-bunyi serupa bahasa,
contohnya: ‘mama’, ‘gigi’, ‘papa’, terutamanya apabila bunyi-bunyi ini melibatkan pola-pola intonasi dalam
bahasanya. Sewaktu vokalisasi ini berterusan, bunyi-bunyi bayi lebih mendekati bunyi-bunyi bahasa yang
didedahkan kepadanya. Ketika berumur 10 atau 11 bulan bayi akan sering bebelan menggunakan ayat pura-pura
yang bukan kata (pseudo nonword ‘sentence’) dengan pola intonasi penyata, pertanyaan, dan seruan.

Maka, tidak hairanlah bayi terlebih dahulu memperoleh pola intonasi bahasanya sebelum dapat menghasilkan
sesuatu kata. Lagipun, ketika kita mula mendengar bahasa yang baru untuk kali yang pertama, kita
berkecenderungan mendengar pola rentak, nada, dan tekanannya. Kita tidak tahu bagaimana untuk memancang
aliran sesuatu ayat kepada perkataan, demikian jugalah kanak-kanak. Kita menjadi biasa dengan melodi bahasa
sebelum kita memperoleh perkataannya. Melodi, iaitu pola intonasi yang dipelajari dahulu oleh bayi sebelum dia
mengecam dan seterusnya meniru bahasa. Seperti yang diketahui bahawa bayi menghasilkan bunyi-bunyi bukan
bahasa adalah bertujuan untuk melatih dan mengawal alat artikulasi, serta menyelaraskan pernafasan dengan
pembikinan bunyi-bunyi. Seterusnya adalah bayi dapat mengnal pasti bunyi-bunyi suku kata vokal, konsonan
vokal, dan pola intonasi bahasanya, terutamanya pola intonasi ayat penyata, pertanyaan, dan seruan.

Bila agaknya kanak-kanak mula menyebut kata-kata pertamanya? Ini merupakan soalan yang sukar untuk dijawab
kerana terdapat perbezaan perkembangan fizikal dan kognitif antara individu dan sukar untuk menentukan
dengan tepat bila sesuatu kata itu telah dipelajari oleh kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang normal, kata
pertama telah dilaporkan muncul ketika kanak-kanak berumur 4 bulan dan ada juga yang muncul sewaktu umur
18 bulan, atau lebih tua daripada itu. Secara purata, kanak-kanak dikatakan menuturkan kata pertamanya di
sekitar umur 10 bulan. Ketidaksamarataan ini ada kena mengena dengan perkembangan fizikalnya, seperti
kekejangan otot, mulut, dan kerongkong yang perlu untuk artikulasi bunyi. Perkembangan bahagian tertentu otak
turut terlibat kerana pembentukan bunyi bahasa adalah di bawah kawalan medan-medan bahasa di dalam
korteks.

Untuk menentukan bila sebenarnya sesuatu kata itu telah dipelajari oleh kanak-kanak bukanlah satu perkara yang
mudah. Tidak memadai dengan memerhati sebutan bunyi yang selaras dengan sesuatu kata dalam sesuatu
bahasa. Yang ingin dilihat ialah penggunaan bunyi yang bermakna. Jika seseorang kanak-kanak berkata ‘ kucing’
atau menyebut bunyi ‘ kucing’ apabila dia melihat atau menyentuh binatang itu (bukannya binatang atau objek
lain) barulah kita dapat mengatakan bahawa kanak-kanak itu tahu makna perkataan ‘kucing’. Orang yang
terdekat dengan kanak-kanak itu sahajalah yang dapat mengecam bunyi-bunyi makna yang dituturkan oleh kanak-
kanak kerana sebutannya agak ganjil daripada sebutan biasa. Yang jelas, di peringkat holofrasa, kanak-kanak
banyak bergantung kepada kata tunggal untuk melahirkan perasaannya.

Kata tunggal yang sama boleh digunakan untuk tujuan yang berlainan. Satu kata boleh digunakan untuk
menamakan satu objek, contohnya; ‘mama’ untuk mama, ‘nana’ untuk banana. Kata yang sama boleh juga
digunakan untuk meminta sesuatu, Contoh; ‘mama’ untuk I want my mother, dan ‘nana’ untuk I want a banana.
Kata tunggal boleh juga digunakan untuk menegaskan tindakan seperti dalam ucapan selamat. Contohnya: ‘hi’
dengan lambaian tangan, atau ketika hendak meninggalkan sesuatu tempat, Contohny: bye-bye dengan lambaian
tangan yang berlainan. Kata tunggal boleh juga digunakan untuk melahirkan situasi yang rumit. Sebagai contoh
kanak-kanak berkata peach + daddy + spoon dalam situasi ayahnya meletakkan sepotong buah pic di atas satu
senduk. Adalah dipercayai bahawa kanak-kanak itu telah menggunakan pertuturan tiga kata tunggal, bukannya
ayat mengandungi tiga kata. Terdapat hentian sementara di antara kata-kata, tiada intonasi ayat dan kanak-
kanak itu masih di tahap menghasilkan kata tunggal. Hal ini dapatlah disimpulkan bahawa apa yang dapat
diperhatikan dalam fenomena yang sama, iaitu kanak-kanak meletakkan pelbagai penggunaan pada kata tunggal.
Kekurangan pengetahuan dan kebolehan untuk membentuk ayat-ayat yang betul menyebabkan kanak-kanak
menggunakan segala sumber terhad yang ada dalam mindanya, iaitu kata-kata tunggal tanpa sebarang sintak.
Begitu jugalah yang akan kita lakukan apabila kita hanya ada beberapa kata-kata tunggal yang boleh kita
harapkan dalam sesuatu situasi bahasa asing. Dengan menggunakan kata-kata tunggal yang terhad ini kita dapat
membeli-belah, memesan makanan di restoran, menaiki kereta api, dan lain-lain seumpamanya. Menggunakan
kata tunggal untuk melahirkan satu keseluruhan ayat ( secara teknik, disebut holofrasa) boleh menjadi berkesan
jika sesuatu situasi itu mudah dan nampak jelas supaya pendengar dapat meneka makna yang hendak
disampaikan. Tetapi, apabila komunikasi lebih rumit dan memerlukan ketepatan, penggunaan kata-kata tunggal
tidak mencukupi. Penutur memerlukan pengetahuan linguistik yang lebih banyak untuk menyampaikan buah
fikirannya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pada peringkat ini, secara puratanya kanak-kanak menuturkan
kata pertamanya pada umur 10 bulan. Kata tunggal tanpa sebarang sintaksis digunakan untuk menamakan objek,
meminta sesuatu, menegaskan tindakan, dan melahirkan situasi yang rumit.

Ketika berumur kira-kira 18 bulan ( 1 tahun 6 bulan), kebanyakan kanak-kanak mula menghasilkan pertuturan dua
dan tiga kata atau telegrafik. Kita harus mengambil kira umur ini sebagai kiraan purata kerana terdapat
perbezaan perkembangan pemerolehan bahasa di kalangan kanak-kanak. Walaupun baru berumur 1 tahun
setengah, kanak-kanak sudah pandai menggunakan bahasa untuk meminta, memberi amaran, menolak, bercakap
besar, bertanya, menjawab, dan memberitahu. Pertuturan digunakan untuk melahirkan idea-idea seperti kuantiti
(more), milik ( my), nafian ( no sleep), lokasi ( banana table), dan attribute atau sifat semulajadi yang ada pada
seseorang atau benda ( big, red).

Kebolehan berfikir dan konsepsual kanak-kanak yang masih mentah agak menakjubkan. Sebenarnya baru
beberapa dekat ini kebolehan ini mula dihargai. Itupun setelah banyak kajian tentang bahasa kanak-kanak
dikemukakan untuk perhatian umum. Pada masa lampau kebolehan ini dipandang ringan. Dalam semua keadaan
yang sama, pertuturan kanak-kanak menggambarkan sebahagian kecil sahaja daripada apa yang kanak-kanak itu
tahu dan fikir kerana kanak-kanak sudah dapat faham lebih banyak pertuturan berbanding yang dapat
dihasilkannya. Kanak-kanak mempunyai fikiran serta konsep yang lebih maju daripada tahap pemahaman
pertuturan yang diperolehnya sebelum ini. Satu ciri utama pertuturan kanak-kanak ialah tidak kerap terdapat
kemunculan kata fungsi seperti artikel, sendi nama, kerja bantu (be, have) dan modal (will, can). Kata nama,
kata kerja, kata sifat yang muncul dalam pertuturan kanak-kanak tidak mengejutkan terutama apabila kita
menimbangkan bahawa inilah golongan kata yang pertama dipelajari kemudian difahaminya dan dapat

kanak-kanak bertutur
memberikan banyak maklumat. Adalah ganjil jika didapati seorang

dengan menggunakan is, with, can, atau the sebagai


kata pertamanya.

Kanak-kanak menggunakan kombinasi kata-kata inti


dengan jangkaan bahawa pendengar akan memahami
hubungan antara item, seperti dalam banna table bagi
the banana is on the table. Sewaktu-waktu kanak-
kanak akan belajar menggunakan kata fungsi dengan
teratur seperti to mama, with John, the truck , candy
and cake. Walau bagaimanapun, kata fungsi seperti
itu tidak dapat ditemui jika kata nama, kata kerja
dan kata adjektif tidak difahami terlebih dahulu.
Kanak-kanak yang memahami kata seperti banana dan
table sahaja yang dapat mengagak makna kata sendi
seperti on jika seseorang berkata the banana is on the
table, dan kanak-kanak tersebut betul-betul melihat
banana itu di atas meja.

Satu lagi ciri ketatabahasaan pertuturan kanak-kanak


ketika ini adalah kurangnya infleksi. Kita mendengar
kanak-kanak berkata dog bukan dogs, sit untuk
sitting, jump untuk jumped, dan John car untuk
John’s car. Jarang untuk dapati ada kata jamak,
keterangan kata kerja, penanda ayat, dan lain-lain
infleksi. Hal ini adalah munasabah dalam pertuturan si
anak. Kanak-kanak mencari-cari intipati sesuatu kata,
menolak yang berlebihan dan susah untuk
digambarkan.
Pertuturan dua dan tiga kata atau telegrafik
mengutamakan pembentukan kata-kata inti.
Pertuturan pendek-pendek seperti mesej bagi sesuatu
telegram. Sebab inilah perkembangan pertuturan di
peringkat ini disebut sebagai ‘telegrafik’. Selepas
memperolehi pertuturan dua dan tiga kata barulah
kanak-kanak belajar kata-kata fungsi seperti sendi
nama, artikel, dan kata kerja bantu. Demikian juga
dengan infleksi seperti jamak dan penanda ayat.
Steinberg (1995) melaporkan bahawa kaijan tentang
fungsi dan infleksi yang paling berkesan telah
dijalankan oleh Roger Brown (1973).

Kanak-kanak yang dikaji menggunakan morfem


keupayaan masa sekarang (Present Progressive), kata
sendi in dan on, dan kata jamak, sebelum pandai
menggunakan artikel , kata ganti diri orang ketiga ,
dan kata kerja bantu be. Didapati bahawa kanak-
kanak belajar kata jamak dan kata milik sebelum kata
diri orang ketiga. Kanak-kanak juga belajar Masa
Sekarang Sebelum Kala Lampau.

Kata jamak dan kata milik dipelajari sebelum kata


ganti diri orang ketiga. Kata jamak dan kata milik
lebih banyak makna dan maklumat, termasuk situasi
fizikal dan objek yang terdapat di sekitar kanak-
kanak. Sebab itulah kanak-kanak dapat membezakan
dengan mudah antara satu dengan dua cookies, satu,
dua dengan tiga ekor kucing , anak patungnya atau
anak patung kanak-kanak lain. Tetapi, kata ganti diri
orang ketiga banyak melibatkan keperluan gramatikal
dan kurang fungsinya untuk keperluan komunikatif.
Demikian juganya dengan kata bantu.
Masa Sekarang Sebelum Kala Lampau. Bagi ayat yang
menunjukkan Masa Sekarang, kanak-kanak akan
mendengar pertuturan yang melibatkan ayat ini
( Emaknya berkata, ‘Ayam itu sedang berkokok’).
Pada masa yang sama objek, peristiwa, dan situsi itu
dialami sendiri oleh kanak-kanak (kanak-kanak
mendengar bunyi ayam yang berkokok itu). Bagi ayat
yang menunjukkan Kala Lampau, maka objek,
peristiwa dan situasi yang secara langsung tidak
dialami oleh kanak-kanak. Oleh sebab itu, untuk
mengecam bunyi pertuturan yang ditandai Kala
Lampau, kanak-kanak mesti dapat mengingat
peristiwa persekitaran yang berlaku pada masa
lampau, kemudian menyedari bahawa bunyi bahasa
itu berubah sebagai petanda tentang peristiwa masa
lampau. Contohnya: bunyi ‘pernah berkokok’ adalah
bertentangan dengan bunyi ‘sedang berkokok’.

Banyak pemikiran dan analisis diperlukan untuk


kanak-kanak itu belajar ayat Kala Lampau. Yang
pertama, kanak-kanak mestilah memperoleh struktur
morfem untuk ayat masa sekarang. Berdasarkan
pengalaman itu, barulah kanak-kanak boleh belajar
membuat ayat Kala Lampau. Jika kanak-kanak tidak
belajar morfem Masa Sekarang, tentulah dia tidak
akan dapat belajar struktur morfem Kala Lampau.
Semasa mendengar orang bercakap, kanak-kanak yang
belum tahu sesuatu bahasa hanya mampu
mengadakan analisis ayat Masa Sekarang. Jika orang
bercakap menggunakan ayat Kala Lampau, kanak-
kanak tidak akan mempelajari sesuatu bahasa kerana
tidak terdapat persekitaran semasa yang boleh
dikaitkan dengan bahasa. Oleh itu, ayat Masa
Sekarang menjadi asas bagi kanak-kanak mempelajari
ayat kala Lampau. Oleh itu, dapatlah disimpulkan
bahawa pada peringkat ini secara puratanya berlaku
pada umur 1 tahun 6 bulan. Pertuturan dua dan tiga
kata digunakan untuk melahirkan idea tentang
kuantiti, milik, nafian, lokasi, dan atribut. Kombinasi
kata inti yang pendek-pendek yang terdiri daripada
kata nama, kata kerja, dan kata sifat untuk meminta,
memberi amaran, menolak, cakap besar, bertanya,
menjawab, dan memberitahu.

Perkembangan ayat-ayat kompleks. Apabila


pertuturan kanak-kanak menjadi lebih panjang,
struktur mudah lazimnya berkembang menjadi ayat
yang lebih kompleks. Kanak-kanak mula menggunakan
kata nafi, soalan, klausa relatif, dan struktur lain
yang kompleks. Perkembangan ayat nafi ditunjukkan
oleh Steinberg (1995) sebagai contoh bagaimana
struktur seperti ini diperolehi. Kata nafi berkembang
dalam tiga masa utama; masa 1: no money; not a
teddy bear; no play that. Pada masa 1, no atau not
diletakkan di depan sesuatu pertuturan dengan
jawapan yang mengiakan. Oleh itu, kita lihat
pertuturan-pertuturan yang lazim berbentuk negatif
beserta jawapan yang mengiakan. Di mana-manapun
kanak-kanak melakukan perkara yang sama. Kanak-
kanak Perancis misalnya, meletakkan non atau pas
sebelum jawapan yang mengiakan manakala kanak-
kanak Jepun meletakkan penanda negatif nai selepas
jawapan yang mengiakan. Pada masa 2; kata do mula
muncul secara kombinasi dengan penanda negatif
don’t. Contoh, I don’t want it; I don’t know his name.
Pertuturan masih belum lancar dan ayat larangan
negatif yang tidak sempurna seperti; touch the snow
no dibentuk. Hal ini sama dengan masa1 (no play
that). Pada masa 3: You didn’t caught me; I am not a
doctor; Donna won’t let go; Paul not tired; I not hurt
him; Don’t touch the fish; Don’t kick my box; This
can’t stick . Kanak-kanak pada masa ini telah
mendapat idea bagaimana do harus disisipkan dalam
ayat You didn’t caught me; Don’t touch the fish;
Don’t kick my box dan bila do tidak sepatutnya
disisipkan dalam ayat (I am not a doctor, Donna Won’t
let go). Kanak-kanak masih melakukan kesilapan-
kesilapan tetapi telah mendapat kepercayaan asas
bahawa do tidak ditambah apabila ada satu modal
(can, will): This can’t stick, Donna won’t let go atau
apabila be ialah kata kerja (I am not a doctor).
Selepas Masa 3 ini maka dalam masa beberapa bulan
sahaja kebanyakan masalah membina nafian atau
negatif akan dikendalikan dengan jayanya.
Didapati bahawa kanak-kanak yang dikaji mengambil
masa selama 6 bulan untuk melalui ketiga-tiga masa
(Masa 1, Masa 2 dan Masa 3). Selepas itu, masih
terdapat banyak perbezaan bahasa di kalangan kanak-
kanak seperti ketika mereka mula-mula menghasilkan
kata nafi pada Masa 1 ialah kanak-kanak yang
berumur 1 tahun 6 bulan, manakala yang lain
mengalami Masa 1 ketika umurnya di sekitar 2 tahun 6
bulan. Walaupun perbezaan dalam menghasilkan
pertuturan adalah lazim dalam kalangan kanak-kanak,
apabila berumur 4 atau 5 tahun perbezaan ini
kebanyakannya telah berakhir. Walaupun masih ada
struktur pasif dan kompleks yang perlu dikuasai oleh
kanak-kanak, ketika berumur 4 atau 5 tahun mereka
telah dapat menghasilkan struktur yang
kebanyakannya berguna dalam bahasanya. Hal ini
merupakan fenomena seantero dunia tanpa mengira
bangsa bahasa apa pun. Sewaktu berusia 9 atau 10
tahun baharulah semua struktur bahasa kanak-kanak
itu diperoleh. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa
pada peringkat inilah kanak-kanak akan mula belajar
tentang penggunaan kata nafian, soalan, klausa relatif
dan struktur ayat yang lebih kompleks. Kanak-kanak
memperoleh kata nafi ketika berumur antara 1 tahun
6 bulan dan 2 tahun 6 bulan. Ketika berumur 4 atau 5
tahun pula, kanak-kanak telah dapat menghasilkan
struktur ayat yang berguna dalam bahasanya. Kanak-
kanak memperoleh semua struktur bahasa
pertamanya pada usia 9 atau 10 tahun.

Kesimpulannya, pemerolehan bahasa pertama kanak-


kanak adalah melibatkan kognitif dan pendedahan
bahasa. Kognitif melengkapkan kebolehan kanak-
kanak mentafsirkan bunyi dan makna, manakala
pendedahan bahasa yang cukup akan merangsang
keyakinan kanak-kanak tersebut untuk berinteraksi
dengan orang-orang di sekelilingnya. Hal ini kerana
kanak-kanak yang didedahkan dengan bahasa
ibundanya akan dapat memperoleh bahasa
pertamanya melalui pengalaman dan pengajaran
daripada ibu bapa dan masyarakat disekitarnya.
Namun apa yang pasti adalah benar bahawa
pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak berlaku
secara beransur-ansur mengikut peningkatan umur
kanak-kanak. Selain itu, peringkat pemerolehan
bahasa pertama perlu dilalui pelbagai peringkat oleh
kanak-kanak iaitu pada peringkat vokalisasi atau
bebelan, holofrasa ( pertuturan satu kata), telegrafik
( pertuturan dua dan tiga kata) dan perkembangan
ayat-ayat kompleks. Hal ini menunjukkan bahawa
kanak-kanak yang memperoleh bahasa terpaksa
melalui peringkat-peringkat pemerolehan bahasa yang
sukar dan pelbagai.

Anda mungkin juga menyukai