Anda di halaman 1dari 1

Contoh Karangan Autobiografi

Aku Sebuah Televisyen

Aku dilahirkan di sebuah kilang televisyen Panasonic di Shah Alam. Badanku berbentuk leper
dan kebanyakan bahagian badan ku diperbuat daripada plastik. Aku dicipta untuk membolehkan
manusia menonton berita, cerita dan sebagainya. Bagaimanapun, mereka sering menggunakan aku
untuk berhibur. Oleh itu, ramai manusia ingin memiliki aku untuk berhibur semasa mereka di rumah,
di warung-warung dan sebagainya.

Setelah aku dan rakan-rakan selesai dipasang dan diuji, kami diletakkan di dalam sebuah kotak
yang selesa untuk dihantar ke kedai-kedai elektrik di seluruh Malaysia. Aku dihantar ke sebuah kedai
di Bandar Kuala Lipis, Pahang. Kemudian, aku dipamerkan di dalam almari kaca di kedai tersebut.

Setiap kali pengunjung datang ke kedai itu, mereka pasti akan melihat-lihat aku. Ramai yang
bertanya tentang harga ku dan memuji-muji akan kecantikan dan kecanggihan aku. Walau
bagaimanapun, mereka tidak membeli ku kerana harga ku agak mahal.

Pada suatu hari, aku dikunjungi oleh seorang lelaki muda. Dia sangat meminati ku lalu cuba
tawar-menawar dengan tuan kedai untuk membeli ku. Akhirnya dia bersetuju membeli ku dengan
harga RM3600.00.

Selepas itu, aku dibawa balik ke rumahnya di Kampung Merapoh dan diletakkan di ruang tamu
rumahnya. Aku lihat isteri dan anak-anaknya sangat gembira memperolehi aku. Sejak dari hari itu,
aku sering digunakan oleh mereka tanpa mengira waktu.

Walaupun aku berasa sangat penat, namun aku terpaksa menunaikan tanggungjawab ku
menghiburkan mereka. Kadang-kadang aku terus dipasang walaupun pada waktu hujan dan kilat
sambar-menyambar. Aku berasa sedih kerana mereka tidak memperdulikan akan keselamatan diri ku.

Pada suatu malam, aku terpadam secara tiba-tiba akibat disambar petir semasa mereka asyik
menonton ku. Aku telah dibawa ke kedai untuk dibaiki namun tidak berjaya kerana perutku telah
hangus terbakar. Akhirnya aku dibuang ke tempat perlupusan sampah. Aku berasa amat sedih tetapi
aku tetap berasa bangga kerana dapat juga aku membuat bakti menghibur keluarga tuan ku semasa
hidup ku.

Anda mungkin juga menyukai