Anda di halaman 1dari 1

Melawat ke Tempat-tempat Bersejarah

Pada cuti persekolahan yang lalu, bapa saya telah bersetuju untuk membawa kami sekeluarga
melawat ke beberapa tempat yang bersejarah untuk menambahakan ilmu pengetahuan dan
menanamkan semangat patriotisme dalam diri kami. Selepas mengemaskan barang-barang,
kami pun bertolak ke Melaka Bandaraya Bersejarah dengan menaiki kereta bapa saya.
Sepanjang perjalanan, kami berbual-bual kosong sambil menikmati makanan ringan yang
dibekalkan oleh ibu. Beberapa jam kemudian, kami tiba di destinasi yang pertama, iaitu kota A'
Farmosa. Bapa saya menceritakan peristiwa bersejarah yang berkaitan dengan kota ini. Kota A'
Farmosa ini dikelilingi oleh pokok-pokok yang menghijau dan terdapat juga beberapa ekor
monyet yang jinak meminta makanan daripada pengunjung yang lalu-lalang di situ.
Selepas berkunjung ke Kota A' Farmosa, kami menjamu selera di sebuah restoran yang
menjual nasi ayam. Selepas itu, kami bertolak ke hotel untuk meletakkan barang-barang kami
dan berehat untuk menghilangkan penat. Pada sebelah malamnya kami berpeluang untuk
menaiki beca mengelilingi 'Jonker Walk'. Beca yang kami naiki dihiasi dengan lampu yang
berwarna-warni dan selesa. Pada kira-kira pukul 11:00 malam kami pun kembali ke hotel untuk
tidur.
Pada keesokan harinya, kami akan melawat ke Tugu Peringatan dan Muzium Negara di
Kuala Lumpur. Selepas beberapa jam perjalanan, saya dan keluarga saya tiba di Tugu
Peringatan. Saya begitu terharu melihat patung pahlawan-pahlawan kita yang telah gugur di
medan perang sewaktu berjuang menuntut kemerdekaan negara yang tercinta ini.
Seterusnya, bapa saya membawa kami berkunjung ke Muzium Negara yang merupakan
bangunan yang menempatkan dan mempamerkan peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku
di negara kita sejak dahulu lagi. Seni bina bangunan Muzium Negara amat menarik perhatian
kami sekeluarga. Sebelum beredar, kami sempat membeli beberapa keping poskad dan
cenderamata untuk dibawa pulang. Kami juga sempat merakam gambar kami sekeluarga di luar
bangunan Muzium Negara untuk diabadikan dalam kenangan.
Pengalaman melancong ke tempat bersejarah kali ini, telah banyak memberikan ilmu
pengetahuan kepada saya selain menyemai semangat cinta akan negara. Melancong ke
tempat-tempat bersejarah ini juga dapat mengisi masa lapang saya pada cuti sekolah dengan
aktiviti yang berfaedah. Saya berharap agar bapa saya akan membawa saya dan keluarga untuk
mengunjungi tempat-tempat bersejarah yang lain pula pada cuti persekolahan yang akan datang.

Anda mungkin juga menyukai