Anda di halaman 1dari 3

Kisah Lagenda Dan Mitos Gua Gomantong Di Sandakan, Sabah


By Freddie Aziz Jasbindar - 20 January 2019

Gua Gomantong terletak di dalam Hutan Simpan Gomantong (Hutan Dara) dengan keluasan
3297 hektar yang berada di dalam daerah Kinabatangan.

Gua Gomantong juga adalah merupakan salah satu daripada gua-gua yang tersenarai
dalam Bahagian II Jadual 4 iaitu gua milik kerajaan dan merupakan salah satu contoh
kejayaan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Jabatan Hidupan Liar.

Burung layang-layang yang cukup bermutu tinggi dan terdapat banyak permintaan yang
sentiasa tinggi dari luar negara.


Bila berbicara tentang Gua Gomantong, ramai penduduk tempatan yang akan
menceritakan tentang cerita lagendanya yang menjadi cerita turun-temurun dari satu
generasi ke satu generasi yang baru.
Kisahnya seorang raja bernama Raja Tua Batulong telah pergi ke dalam hutan tebal
untuk berburu bersama anjing kesayangannya. Raja Tua Batulong dikatakan tersesat di
dalam hutan sewaktu sedang asyik melihat dan memerhatikan kesan tapak kaki rusa dan
tembadau.
Raja Tua Batulong sesat di dalam hutan keseorangan kerana anjingnya juga sudah
tidak ada bersama beliau ketika itu walaupun sudah berkali-kali dipanggil.
Oleh kerana tidak mempunyai jalan lain selain meneruskan perjalanannya, hendak
dijadikan cerita maka selama seminggu Raja Tua Batulong ditakdirkan sesat di dalam
hutan.
Hanya pucuk kayu dan buah-buahan yang menjadi makanannya untuk menghilangkan rasa
lapar dan dahaga. Raja Tua Batulong meneruskan perjalanan sebelum dengan tiba-tiba
dia melihat sebuah gua besar di sebuah bukit batu kapur yang tinggi di hadapannya.
Raja Tua Batulong memilih untuk masuk ke dalam gua tersebut supaya dapat
beristirehat dan Raja Tua Batulong mendapati bahawa gua berkenaan dipenuhi oleh
sarang burung lalu menanda dan menamakan gua berkenaan dengan nama Agup Tagarang.


Ketika sedang melepaskan penat lelah dalam gua tersebut, Raja Tua Batulong tia-tiba
dapat mendengar suara anjingnya tidak jauh dari kawasan tersebut. Raja Tua Batulong
terus berlari keluar untuk mencari anjingnya dan mendapati bahawa anjing tersebut
sedang mengejar seekor babi hutan.
Tanpa melengahkan masa, Raja Tua Batulong melompat kehadapan bersama lembing dan
mengejar binatang buruan itu untuk mengisi perutnya yang sudah seminggu makan pucuk
kayu dan buah-buahan sahaja.
Tidak lama selepas itu, babi hutan yang diburunya berjaya ditangkapnya dengan
lembing tajam miliknya menembusi jantung babi berkenaan. Ketika sedang membersihkan
babi tersebut Raja Tua Batulong kehairanan kerana mendapati banyak sarang burung di
dalam perut babi berkenaan. Babi tersebut dipanggang dan dimakan bersama anjingnya.
Suasana malam di gua berkenaan sangat sunyi hanya sekali sekali kedengaran bunyi
cengkerik dan bunyi dengkuran Raja Tua Batulong diselangi dengan bunyi nafas
anjingnya.
Dengan tiba-tiba muncul asap berkepul-kepul dan muncul tujuh orang puteri dibalik
asap tersebut. Raja Tua Batalong terkejut dan bimbang jika ketujuh-tujuh puteri
berkenaan adalah jelmaan roh jahat.
Namun Raja Tua Batulong mendapi kaki ketujuh-tujuh puteri tersebut memijak lantai
gua. Kata orang tua-tua, kalau puteri jelita hanya berdiri di atas angin dan tidak
menjejak lantai atau tanah, maka perlu dihindari bagi mengelak timbul masalah yang
tidak diingini.

“Kenapa saudara berada di sini?” tanya salah seorang puteri berkenaan, Raja Tua
Batulong berkata behawa dia tersesat dan tidak dapat mencari jalan pulang. “Saudara
jangan bimbang. Saudara teruskan perjalanan ke arah kanan, kemudian saudara akan
jumpa sebuah gua yang banyak sarang burung, lebih besar dari gua yang saudara temui
di Kuamut, nama gua itu Gomantong.
Saudara gantung baju saudara di sana sebagai tanda supaya saudara boleh datang
lagi. Lepas itu teruskan perjalanan ikut rasa hati saudara,” kata puteri itu lagi
sementara yang lainnya melambai-lambaikan tangan kemudian kesemua mereka hilang
secara tiba-tiba di celah kepulan asap dan angin yang bertiup lembut.

Raja Tua Batulong terkejut lalu terjaga dari tidur ketika hari hampir pagi. Dia
tidak melihat sesiapa di sisinya selain anjingnya yang menggeliat seketika.
Raja Tua Batulong memikirkan mimpi yang dialaminya dan yakin ketujuh puteri dalam
mimpinya berkata benar. Dia mengalas perutnya dengan baki daging babi yang
diperolehi kelmarin lalu meneruskan perjalanan sebagaimana panduan yang diberikan
oleh ketujuh puteri jelita melalui mimpinya.
Tidak lama kemudian tersergam di hadapannya sebuah bukit batu kapur yang agak
tinggi dan bergua besar. Raja Tua Batulong memasuki gua berkenaan untuk memastikan
itulah gua yang dimaksudkan oleh puteri dalam mimpinya.
Terdapat banyak sarang burung, hitam dan putih dalam gua berkenaan. Lalu Raja Tua
Batulong memetik beberapa sarang burung berkenaan untuk di bawa balik kerana
memikirkan sedangkan babi boleh memakannya apatah lagi manusia.

Sudah pasti sarang tersebut amat bernilai, bisik hati kecilnya. Selepas
menggantungkan baju yang dipakainya di mulut gua sebagaimana yang diarahkan oleh
ketujuh puteri dalam mimpinya, Raja Tua Batulong meneruskan perjalanan mengikut
rasa hatinya dengan diekori oleh anjingnya.
Tidak lama kemudian dia menemui sebatang sungai lalu mengharungi sungai tersebut
sehingga pada petang itu dia terlihat dua orang lelaki sedang mendayung sampan di
sungai berkenaan.

“Hai kawan, saya sesat dan boleh saya tumpang?” pinta Raja Tua Batulong kepada dua
orang lelaki tersebut yang tidak keberatan menumpangkannya. “Saudara dari mana?”
tanya seorang lelaki yang berkumis tebal yang mendayung di belakang.
“Saya dari Kuamut,” balas Raja Tua Batulong yang menceritakan serba sedikit
bagaimana dia boleh berada di tebing sungai ketika kedua lelaki berkenaan mendayung
sampan.
Walaupun pergerakan sampan tersebut terlalu perlahan, namun Raja Tua Batulong
gembira kerana dapat keluar dari hutan tebal berkenaan. Hampir tengah malam barulah
mereka tiba di kampung dua orang lelaki tersebut, Kampung Melapi berdekatan dengan
Kuala Menungal. Mereka bermalam di rumah kedua lelaki tersebut.

Keesokan paginya kedua lelaki tersebut membawa Raja Tua Batulong berjumpa dengan
ketua kampung mereka iaitu Pangeran Digadong Sama lalu menceritakan serba sedikit
bagaimana mereka berjumpa dengan Raja Tua Batulong.
Pangeran hanya tersenyum mendengar penjelasan anak buahnya kerana beliau ada
mendengar kisah seorang lelaki dari Kuamut hilang di dalam hutan tanpa jejak ketika
berburu.
Pangeran mengalu-alukan kedatangan Raja Tua Batulong dan melayannya dengan baik
sebagai tetamu kehormat ke kampungnya. “Saudara tinggal sahaja di sini barang
sehari dua untuk melepaskan lelah,” ujar Pangeran sambil menyerahkan persalinan dan
mengarahkan keluarganya menyediakan makanan yang enak-enak untuk Raja Tua Batulong.
“Terima kasih” jawab Raja Tua Batulong yang merasakan terhutang budi kepada kedua
lelaki yang menumpangkannya dan Pangeran yang memberikan layanan yang begitu
istimewa sekali.


Setelah kesihatan Raja Tua Batulong pulih seperti sediakala kerana diberi makanan
yang berzat, maka dia menceritakan kisah sebenar bagaimana boleh sesat sehinggalah
tiba di kampung tersebut kepada Pangeran.
“Inilah sarang burung itu” kata Raja Tua Batulong seraya menunjukkan beberapa
sarang burung yang sempat diambilnya dari Gua Gomantong yang dijumpai dengan
bantuan ketujuh-tujuh puteri yang mendatangi mimpinya.
“Saudara boleh ingatkah jalan ke sana?” tanya Pangeran yang begitu gembira kerana
sering dikunjungi pedagang China dan Suluk yang ingin membeli sarang burung, namun
Pangeran tidak mengetahui bagaimana mahu mendapatkan sarang berkenaan. “Rasa-rasa
saya boleh ingat, saya ada kasi tinggal baju saya di sana sebagai tanda” balas Raja
Tua Batulong berterus terang.
Pangeran mengarahkan beberapa orang pemuda kepercayaannya menemani Raja Tua
Batulong kembali ke Gua Gomantong menghilir sungai dan mengikut jalan yang dilalui
oleh Raja Tua Batulong sehingga menemui gua tersebut.
Mereka sampai ke Gua berkenaan diserahkan kepada Raja Tua Batulong kerana bajunya
tertanda di pintu gua berkenaan. Manakala gua-gua lain telah menjadi hak milik
Pangeran Digadong Sama yang mengarahkan pengikutnya mendirikan beberapa pondok di
pintu gua berkenaan sementara dua orang pemuda pulang memberitahu ketua mereka
tugas mereka telah selesai.

Raja Tua Batulong tidak lagi kembali ke Kuamut, sebaliknya menetap di Gua Gomantong
menjaga sarang burungnya bersama-sama para pengikut Pangeran Digadong Sama kerana
sarang burung mendapat permintaan yang tinggi daripada pedagang luar yang
berurusniaga dengan mereka di Melapi.
Dikatakan, Gua Gomantong menjadi warisan turun temurun Raja Tua Batulong dan
Pangeran Digadong Sama sehinggalah kedatangan British ke Sabah yang meletakkan Gua
Gomantong milik kerajaan.

Anda mungkin juga menyukai