Anda di halaman 1dari 7

At-Tahkim, Vol. 8, No. 23 .7.

2018
ISSN No. 2541-3856

RAMADHAN AL-BUTI, RIWAYAT HIDUP DAN BEBERAPA


ASPEK SUMBANGAN PEMIKIRANNYA

Andi Muhammad Aiman Andi Abd Rahman, Muhamad Razak Idris


Pusat Akidah dan Keamanan Global
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600, UKM Bangi Campus, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
E-mail : andi.aiman92@gmail.com, mrazak@ukm.edu.my

Abstrak - Muhammad Said Ramadhan Al-Buti (1929-2013M) merupakan salah seorang sarjana Islam yang telah
banyak menyumbang dalam pembangunan pemikiran di dunia Islam. Sumbangan pemikiran beliau boleh diteliti
menerusi pelbagai karya yang dapat dipecahkan kepada beberapa tema utama seperti aqidah, syariah, tasawwuf, sosial,
dakwah, pemikiran dan peradaban Islam. Kajian ini bertujuan untuk memahami latar belakang kehidupan Al-Buti dan
menganalisa sumbangan pemikirannya dalam aspek akidah, pemahaman jihad dalam konteks semasa dan pemikiran
peradaban. Metodologi kajian berbentuk analisa dokumen di mana karya penting al-Buti seperti Kubra Yaqiniyyat al-
Kawniyyat: Wujud al-Khalid wa Wazifah al-Makhluk(2009), Manhaj Hadharah Insaniyyah fil Quran (1981),
Syakhsiyyah Istawqafatani(1999) dan beberapa karya lain yang berkaitan turut dianalisa. Hasil penelitian mendapati
bahawa Al-Buti merupakan seorang ilmuwan yang mempunyai sumbangan dan pengaruh yang besar dalam dunia
keilmuan dan pemikiran Islam. Hasil kajian juga mendapati pemikiran Al-Buti dalam aspek akidah selari dengan
pemahaman akidah Ahl Sunnah wal Jamaah dan kemurnian ajaran Islam. Pemikiran beliau tentang jihad dan dakwah
sangat relevan untuk difahami dan diserapkan dalam pemahaman umat demi membendenung pengaruh fahaman ekstrim
dan radikalisme. Selain itu kajian turut mendapati idea dan olahan Al-Buti berkenaan faham ketamadunan sangat
menarik dan penting untuk diketangahkan dalam wacana pemikiran Islam semasa

Kata Kunci: Ramadhan Al-Buti, Riwayat Hidup dan Pemikiran

1. Pendahuluan

Ramadhan al-Buti (1929-2013M ) telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan pemikiran di dunia Islam. Ini
dapat diilhat dari karya-katya yang telah diterbitkan meliputi pelbagai isu dan tema pemikiran Islam. Kajian terhadap
sumbangan pemikiran al-Buti juga mendapat perhatian dari ramai penyelidik. Setakat ini terdapat beberapa buah buku
dan makalah yang mengkaji pemikiran Ramadhan Al-Buti seperti makalah ‘Al-Athnaniyyah: Hafl Takrim Muhammad
Said Ramadhan al-Buti’ oleh Abd al-Maqsud Khujah (1997) yang membincangkan ketokohan dan sumbangan Al-Buti.
Selain itu juga tulisan suntingan Nasr al-Din Asad (2002) ‘Muhammad Said Ramadhan al-Buti: Buhuth wa Maqalat
Mahadtu Ilayh’(2002) memuatkan penulisa dan kajian tentang sumbangan pemikiran Al-Buti. Dua karya bahasa
Inggeris oleh Andreas Chritsmann ‘Islamic Scholar and Religious Leader: Syeikh Muhammad Said Ramadhan Al-Buti’
(1998) dan ‘Transnationalising Personal and Religious Identities : Muhammad Said Ramadhan al-Buti’s Adaptation of
E. Xani’s Memu Zin’ (2009) juga turut kedapatan membincangkan mengenai sosok Al-Buti dan sebahagian sumbangan
serta pemikirannya.

Dalam tulisan bahasa Melayu, ada juga kajian ke atas pemikiran beliau seperti ‘Ketokohan Muhammad Said
Ramadhan Al-Buti Dalam Bidang Akidah dan Ketamadunan’ (2015) oleh Rumaizuddin Ghazali , turut membahas
pengenalan sosok peribadi Al-Buti dan pemikirannya secara umum. Selain daripada itu, karya 'Imam Muhammad Said
Ramadhan al-Buti Dalam Kenangan' oleh Zulkifli Bakri serta satu lagi karya beliau mengenai Al-Buti ‘Syeikh
Ramadhan al-Buti Yang Kukenali’ terbitan Pustaka Cahaya Kasturi Sdn.Bhd pada 2013. Adapun dalam bentuk kertas
kerja penulis dapati ada beberapa tulisan yang membincangkan mengenai pemikiran Al-Buti. Antaranya kertas kerja
‘Ketokohan al-Allamah Muhammad Said Ramadhan Al-Buti : Sebuah Sorotan Berkaitan Biografi, Sumbangan
Pengiktirafan dan Beberapa Aspek Pemikirannya’ ditulis oleh Muhammad Rashidi Wahab, 2014 pada Seminar
Pemikrian Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti, 2014. Rumaizuddin Ghazali turut menyediakan sebuah makalah

Manuscript received 23 Julai 2018, revised 23 Julai 2018 1


Copyright © 2018Tazkia University College of Islamic Economic. - All rights reserved
2

bertajuk “Jihad Dakwah dan Citra Ketamadunan Menurut Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti’ di dalam
seminar yang sama.

Karya-karya ini menjelaskan ketokohan, sumbangan dan bebrapa aspek pemikiran Al-Buti. Walaupun pengaruh
Ramadhan Al-Buti adalah signifikan kepada umat Islam di Malaysia, namun kajian mengenai pemikiran dan
sumbangan Ramadhan Al-Buti adalah masih terhad dan tidak menyeluruh. Fakta ini menunjukkan bahawa meskipun
terdapat kajian penulisan yang diadakan terhadap pemikiran Al-Buti, namun ia masih sedikit dan tidak mencukupi
khususnya di Malaysia.Kajian ini hanya akan menilai dari tiga aspek pemikiran Al-Buti, iaitu pemikiran akidah dan
falsafah, pemikiran jihad dakwah dan pemikiran ketamadunan menurut Al-Buti. Hal ini kerana aspek akidah dan
falsafah merupakan aspek penting untuk diketengahkan dan merupakan aspek asas sebagai mewakili pemikiran Al-Buti.
Manakala aspek pemikiran jihad dakwah Al-Buti dapat dianggap sebagai antara titik pertikaian berlaku dalam
kehidupan Al-Buti terutamanya melibatkan isu perang saudara di Syria. Pendirian Al-Buti perlu dijelaskan secara
ilmiah lagi adil dan sudah tentunya adanya sebab moral dan agama disebaliknya. Aspek pemikiran ketamaduanan Al-
Buti jarang mendapat perhatian dalam wacana pemikiran peradaban semasa. Oleh yang demikiran kajian ini akan
melihat dan menganalisa ketiga-tiga aspek ini supaya dapat memberi nilai tambah ilmiah dalam subjek yang
dibincangkan.

Nama lengkap beliau adalah Muhammad Said Ramadhan ‘Umar Al-Buti. Beliau lahir pada tahun 1929M di
sebuah perkempungan kecil di Turki yang bernama Jilika di tengah-tengah Pulau Butan, di Barat Anatolia yang terletak
di Turki. Beliau merupakan anak kedua daripada tiga orang beradik dan merupakan satu-satunya anak lelaki dalam
keluarga. Bapa beliau bernama Mullah Ramadan Al-Buti, seorang guru agama berbangsa Kurdi. Bapanya merupakan
seorang yang zuhud, warak, soleh dan begitu berpegang teguh terhadap ajaran agama di samping seorang yang cukup
alim dan dihormati masyarakat setempat. Ibu beliau pula merupakan seorang wanita bertaqwa dan merupakan pembantu
kepada bapanya. Namun sayang ibunya meninggal dunia ketika Al-Buti menginjak usia tiga belas tahun, dan kedua-dua
adik perempuannya juga meninggal pada usia yang sangat muda (Andrea Chritsman 1998, Al-Buti 1994).

Al-Buti lahir ketika suasana umat Islam di Turki baru sahaja kehilangan tampuk pemerintahan Khilafah
Uthmaniah dan diganti oleh regim Mustafa Kamal Ataturk yang mengamalkan dasar sekularisma dalam
pemerintahannya. Umat Islam di Turki ketika itu mengalami kesengsaraan sikap tidak mengambil peduli dan
kehilangan jati diri budaya dan semangat keilmuan. Menyedari akan hal ini, bapa Al-Buti iaitu, Mullah Ramadhan Al-
Buti mengambil keputusan untuk berhijrah dan membawa keluarganya menetap di kota Damsyiq ketika Al-Buti masih
berusia seawal empat tahun. Pada tahun 1934, mereka sekeluarga telah menempuh perjalanan yang panjang sebelum
sampai ke Damsyiq di mana mereka menetap di penempatan orang Kurdish, di Rukn ad-Din (Andrea Chritsman, 1998).
Apabila Al-Buti mencecah usia 18 tahun, bapa beliau ingin menjodohkannya dengan adik perempuan isteri keduanya.
Hasil dari perkahwinan itu, Al-Buti memperolehi kebahagiaan dan mendapat banyak kebaikan. Beliau dikurniakan
tujuh orang anak terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan (Zulkifli Mohammad al-Bakri, 2013: 6). Al-Buti
hidup dan membesar dalam lingkungan suasana keagamaan dan keilmuan yang cukup mendalam. Ayahnya merupakan
gurunya yang pertama dan paling berjasa dalam membentuk keperibadian Al-Buti dan menentukan hala tuju
pendidikannya. Keinginan dan kesungguahan ayah beliau dalam menerapkan semangat keagamaan, keilmuan dan
kerohanian dalam keluarga dan anak-anaknya sangat mempengaruhi suasana pembesaran Al-Buti (Al-Buti 55 1994).

Seawal usianya enam tahun, Al-Buti telah mula mempelajari dan menghafal al-Quran dari seorang guru
wanita. Beliau berjaya menghabiskan bacaan al-Quran sekitar enam bulan sahaja dan kemudian berjaya pula menghafal
al-Quran ketika usianya semuda itu. Bapanya gembira dan mengadakan kenduri kesyukuran sempena kejayaan Al-Buti
itu. Beliau kemudian dihantar ayahnya ke sebuah sekolah rendah khas (Madrasah Ibtidaiyyah Ahliyyah Khassah) di
perkampungan Qurmani, berhampiran dengan Suq Sarujah. Di sana, subjek pembelajarannya hanya menumpukan
kepada tiga aspek iaitu ilmu agama, asas bahasa Arab dan ilmu matematik (Al-Buti, 1994: 56). Dalam tempoh itu juga
Al-Buti mendapatkan pelajaran daripada ayahnya tentang ilmu aqidah, sirah Nabi Muhammad SAW menggunakan
Kitab Zakhirah Al-Labib fi Siratil Habib, ilmu alat seperti nahu dan sorof. Dalam pelajaran ilmu nahu ayahnya
menuntut Al-Buti untuk menghafal matan Alfiyah Ibn Malik dan mensyarahkan kepadanya lima hingga enam rangkap
bait setiap hari. Beliau telah berjaya menghafal Alfiyah Ibn Malik dalam tempoh tidak kurang dari satu tahun (Al-Buti
57 1994). Selain itu, bapanya juga turut mengajar ilmu balaghah, mantik, syair dan fiqh di samping meinta Al-Buti
menghafal beberapa karya ulama silam seperti karya al-Suyuti bertajuk ‘Ukid al-Jam’an (Al-Buti, 1998: 60). Jelasnya
Al-Buti mendapat segala asas didikan keagamaan sama ada berkaitan dengan ilmu akidah, fiqh atau tasawwuf daripada
pengajaran bapanya sendiri (Rashidi Wahab 2014).

Manuscript received 23 Julai 2018, revised 23 Julai 2018


Copyright © 2018 Tazkia University College of Islamic Economic. - All rights reserved
3

Setelah itu beliau melanjutkan pelajaran di sebuah madrasah persendirian yang terletak di al-Midan. Disinilah
beliau berguru dengan Shakyh Hassan Habannakah al-Midani yang telah melahirkan ratusan anak murid hebat dan
cemerlang1. Di tempat ini, dan bersama gurunya inilah kemudiannya Al-Buti mendapat proses pentarbiyahan dan
mendapatkan pengajian agamanya secara lebih mendalam. Pada awalnya beliau mempelajari matapelajaran Bahasa
Arab dan matematik, kemudian pada usia seawal sebelas tahun, beliau mempelajari Quran dan Sirah Nabi bersama guru
beliau Shaykh Hasan Habannakah dan Shaykh al-Mardini di Masjid Jami’ Manjak, di al-Midan. Ketika masjid itu telah
bertukar menjadi Institut Pengajian Orientasi Islam (Ma’had Al-Tawjih Al-Islam), beliau mempelajari tafsir al-Quran,
ilmu mantiq, ilmu retorik dan prinsip-prinsip asas hukum Islam (usul al-fiqh) sehingga tahun 1953 (Al-Buti 1994,
Andrea Chritsman 1998). Al-Buti kemudiannya dihantar oleh Syeikh Habannakah ke Univirsiti Al-Azhar, Mesir bagi
melanjutkan pelajaran ijazah sarjananya. Pada tahun 1956, al-Buti telah berjaya memperolehi ijazah pertamanya dalam
bidang Syariah dari Fakulti Syariah dan juga Diploma Pendidikan dari Fakulti Bahasa Arab di Universiti al-Azhar (Al-
Buti 2009: 13). Setelah beliau pulang ke Damsyiq beliau memulakan kerjayanya sebagai guru agama. Pada penghujung
tahun 1960, Al-Buti diterima untuk menjadi pensyarah di Fakulti Keagamaan, Universiti Dimasyq dan kemudian
menyambung pelajarannya untuk peringkat Ph.D dalam bidang usul-fiqh dan menamatkannya pda tahun 1965
(Rumaizuddin Ghazali 2014, Muhammad Rashidi bin Haji Wahab 2014).

2. Sumbangan Pemikiran Al-Buti

Al-Buti telah memberikan tumpuan khusus dalam bidang pemikiran akidah dan falsafah. Beliau terkenal antara Ulama
yang berpegang teguh dengan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah aliran Ashairah dan betegas dalam
mempertahankannya. Hal ini jelas ketika beliau melakukan kritikan terhadap kumpulan yang mewakilkan diri mereka
sebagai kumpulan Salafiyyah dalam bentuk ekstrem. Isu-isu yang dikritis Al-Buti adalah seputar isu khilafiah seperti
tahlil, talqin, lafaz niat solat, isu takwil ayat mutashabihat, isu anti mazhab dan sebagainya. Al-Buti juga menunjukkan
kesederhanannya dalam membawa manhaj Ahlus Sunnah dengan turut mengkritik golongan yang membawa fahaman
Ahbash, iaitu kumpulan ekstrem dari yang mengaku bermazhab akidah Ashairah, dan fiqh Syafiiyyah (Al-Buti 2003).
Pemikiran akidah Al-Buti dapat ditelusuri melalui beberapa karyanya seperti Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyat al-
Mazahib al-Tawhidiyyah wa al-Falsafah al-Mu’asarah, As-Salafiyyah: Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Mazhab
Islami. Di dalam kitab Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyat al-Mazahib al-Tawhidiyyah wa al-Falsafah al-Mu’asarah
beliau membahaskan aspek akidah dengan tumpuan kepada pembuktian kewujudan Allah dan menolak teori-teori yang
menolak kewujudan Allah seperti teori kitaran semula, evolusi dan teori Darwin. Al-Buti menegaskan bahawa masaalah
yang melanda umat Islam disebabkan kejahilan mereka terhadap asas-asas utama dalam bidang akidah, bukan masalah
kejahilan dalam fikrah atau kegagalan dalam mengeluarkan ijtihad. Hal ini kerana bidang akidah merupakan asas yang
perlu diubati terlebih dahulu (Al-Buti, 2008: 13).

Selain itu Al-Buti turut melakukan perdebatan dengan kumpulan pemikiran falsafah Marxisme pada akhir tahun
70-an. Perdebatan ini berjaya mengangkat nama Al-Buti di sisi masyarakat Islam di Syria dan Timur Tengah.
Perdebatan itu disiarkan di televisyen dan menyaksikan sendiri bagaimana Al-Buti mempertahankan fahaman Islam dan
mengkritik fahaman Marxisme. Sejak itu, Al-Buti semakin mendapat tempat di hati masyarakat Islam di Timur Tengah
sebagai seorang yang memiliki keilmuan yang luas dan multi-dimensi (M. Deden Ridwan, 2010: 206). Al-Buti telah
karang banyak karya dalam bidang akidah dan pemikiran falsafah demi menjawab pemikiran-pemikiran syak yang
ditimbulkan dan mempertahan akidah dan pemikiran yang sahih dalam akidah Islam2

Selain itu, sesuatu yang sangat diberikan perhatian Al-Buti juga adalah pemikirannya tentang jihad dan
dakwah. Konsep jihad dalam Islam menurut Al-Buti telah disalah erti oleh sebahagian umat Islam yang natijahnya lebih
mengarah kepada fahaman radikalisme dan ekstremisme. Hal ini kerana sebahagian umat Islam beranggapan bahawa
jihad hanya disyariatkan selepas Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Sebelum itu, umat Islam tidak mengenali istilah
jihad dan hukumnya. Sedangkan pada kenyataannya bukanlah begitu. Ini kerana terdapat ayat al-Quran yang diturunkan

1
Beliau telah mengasaskan sebuah madrasah yang melahirkan ramai tokoh-tokoh yang hebat seperti Syeikh Abdul Rahman Habannakah, Syeikh
Sodiq Habannakah, Syeikh Kuraiyim Rojih, Syeikh Mustafa al-Khin, Syeikh Mustafa al-Bugha, Syeikh Ali Syarbaji, Syeikh Ruysdi Qalam dan
Syeikh Wahbah al-Zuhaili. Rujuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2013.
2
Antara karya Al-Buti dalam bidang akidah dan falsafah dapat disenariakian seprti berikut 1) Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyat: Wujud al-Khaliq
wa Wazhifah al-Makhluq 2) Al-Mazhab al-Tawhidiyyah wa al-Falsafah al-Mu’asirah 3) Al-Islam wa al-‘Asr Tahdiyyat wa Aafat, 4) Nakd Awham
al-Madiyah al-Jidaliyyah, 5) Al-Mazhab al-Iqtisadi bayna al-Syuyuiyyah wal-Islam, 6) Al-Salafiyyah: Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Mazhab
Islami, 7) Al-Mar’a bayna Tughyan al-Nizam al-Gharbi wa Lata’if al-Tashri’ al-Rabbani, 8) Al-Taghayyir Mafhumah wa Tariqah, 9) Al-Insan
Msayyar am Mukhayyar, 10) Al-Zilamiyiun al-Nuraniyyun, 11) Dur al-Adyan fi al-Islam al’Alami, 12) Al-Bidayah Bakurah A’mali al-Fikriyyah
(Muhammad Rashidi Wahab 2013).
Manuscript received 23 Julai 2018, revised 23 Julai 2018
Copyright © 2018 Tazkia University College of Islamic Economic. - All rights reserved
4

pada zaman Mekah yang menyuruh Nabi agar berjihad. Firman Allah “ maka janganlah kamu mengikuti orang-orang
kafir dan berjihadlah kepada mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang benar”(al-Furqan : 52). Menurut Ibn Zubair,
Hasan al-Basri, Ikrimah ‘Ata dan Jabir ayat ini diturunkan di Makkah. Demikian Ibn Abbas yang menyatakan surah ini
turun di Makkah melainkan ayat 95-97 sahaja. Maksud hijrah dalam ayat ini ialah hijrah ke Habsyah, dan bukannya
Madinah (Al-Buti, 1999: 19).

Sebab utama mereka beranggapan bahawa ayat jihad hanya diturunkan selepas hijrah Madinah, adalah kerana
mereka memahami jihad dengan makna yang sempit. Mereka melihat jihad hanya melalui peperangan semata-mata.
Pandangan seperti ini menyebabkan sebahagian kondisi dan syarat jihad yang lain dipinggirkan. Menurut Al-Buti, jihad
peperangan bukanlah jihad yang pokok dalam Islam tetapi ia sebahagian ranting daripada konsep jihad yang luas dan
besar. Jihad yang lebih awal dan utama menurut Al-Buti ialah jihad berdakwah menyampaikan hakikat dan kebenaran
Islam, usaha untuk mengenal Islam dan ilmu-ilmu yang berhubungan dengannya, jihad berdakwah mengenal Tuhan
dalam diri, keluarga dan masyarakat. Selain itu, termasuk dalam jihad itu ialah kesabaran pendakawah dalam
menghadapi pelbagai rintangan dan cobaan dalam melaksanakan misi dakwah.

Menurut Al-Buti, satu lagi jihad yang terpenting juga ialah jihad kesungguhan Nabi Muhammad SAW dan para
sahabatnya dalam mempelajari Al-Quran dan menyingkap hukum-hakam dengan segala sesuatu yang terkandung di
dalamnya dengan penuh teliti dan tekun. Jihad dalam dakwah mestilah dilakukan dengan cara yang halus, tidak dengan
kekerasan, kekasaran dan paksaan. Ini kerana dakwah dalam erti kata sebenarnya ialah memenuhi kewajipan Allah
kepada hambaNya untuk saling membantu dalam kebaikan dan ketakwaan. Firman Allah: “Dan tolong-menolonglah
kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.
Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya” (al-Maidah, ayat 2)
Firman Allah : “Jika kamu berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul kami hanyalah
menyampaikan (amanat Allah) dengan terang”. (al-Maidah, ayat 92)

Ayat ini diturunkan di Madinah setelah turunnya kewajipan untuk berjihad dengan berperang. Ertinya, dalam apa
jua keadaan dan masapun kewajipan dakwah tidak berubah, iaitu dilakukan dengan cara halus dan damai, tidak dengan
cara kekerasan (Al-Buti, 1999: 50-51). Seorang pendakwah menurut Al-Buti (1999: 67-69) adalah seorang yang
berusaha untuk merealisasikan tertanamnya hidayah dalam hati individu Muslim dan manusia keseluruhannya. Di
samping itu, ia haruslah disertai dengan kesabaran dan kegigihan serta menunjukkan contoh teladan yang baik, berbudi
pekerti, berakhlak mulia dalam interaksinya bersama semua lapisan masyarakat. Faktor kejayaan pendakwah mestilah
memiliki rasa cinta kepada mad’unya dan diliputi rasa kasih-sayang kepada seluruh manusia. Kesimpulannya menurut
Al-Buti jihad dakwah dapat dilakukan dengan cara-cara halus tanpa perlu menggunakan kekerasan dan paksaan,
sebaliknya didasari dengan perasaan kasih-sayang, rahmat dan sabar.

Konsep jihad dakwah ini yang dipegang oleh Al-Buti dan ia sangat menentu dalam kehidupan beliau sebagai
seorang ulama dan pemimpin masyarakat yang amat berpengaruh di Syria. Pendirian beliau khususnya dalam
melibatkan hal kepolitikan seperti hubungan eratnya dengan pemerintah Syria, dan pendirian beliau dalam berhadapan
revolusi Syria dilihat bertentangan dan mendapat kritikan daripada kalangan Ulama yang lain seperti Muhammad Ali
Sabuni, Muhammad Al-Krayyim dan Yusuf Al-Qaradawi ((Rumaizuddin Ghazali 2014). Namun Al-Buti dilihat
mempunyai pendekatan dan sebab-sebab tersendiri yang dilihat lebih kukuh. Hubungan erat Al-Buti digunakan
sepenuhnya untuk meredakan tekanan ke atas gerakan Islam di Syria di samping tujuan dakwah dan nasihat kepada
pemimpin. Manakala dalam isu revlosui Syria, beliau mengambil pendirian tidak berpihak kepada kumpulan penentang,
ini demi memelihara lebih banyak darah dan nyawa umat Islam daripada ditumpahkan. Al-Buti secara jelas menolak
sebarang bentuk kekerasan dan pembunuhan meskipun daripada mana-mana pihak sama ada daripada pihak pemerintah
atau penentang kerajaan.

Al-Buti turut menawarkan beberapa idea pemikiran bagi tujuan pembangunan semula tamadun Islam serta
perbahasan-perbahasan menarik menganai topik ketamadunan. Ini dibincangkan dalam beberapa karyanya seperti
Manhaj Hadharah Insaniyyah fil Quran (1981) dan Hiwar Hawla Musykilah Hadhariyyah (2011). Dalam pembinaan
tamadun Al-Buti menegaskan bahawa neraca untuk mengukur perjalanan tamadun yang sejahtera dan juga penghasilan
yang diimpikan terletak sejauh mana kefahaman dan pengetahuan manusia terhadap ketiga-tiga elemen (manusia,
kehidupan dan alam semesta) dan kesedaran terhadap ciri-ciri sebenar ketiga-tiga elemen berkenaan (Al-Buti 1987:36).
Al-Buti juga menghuraikan sebab-sebab kemuduran umat Islam kini dan kegemilangan tamadun lain. Menurut Al-Buti
sebab utama kemunduran ini adalah disebabkan mereka tidak memahami hakikat sebenar ketiga-tiga elemen tersebut.
Kegagalan umat dalam memahami dan mengetahui misi utama dipertanggungjawabkan manusia ke atas dunia ini.
Kemudian lebih malang apabila kejahilan itu tidak disedari dan diakui oleh mereka, dan terus-menerus meminjam akal
orang Barat dalam memahami ketiga-tiga elemen tersebut. Oleh itu kefahamannya dalam hal ini samalah seperti orang
Barat, dan neraca penilaian mereka samalah seperti Barat dengan ingin mendapatkan kesenangan singkat dan
Manuscript received 23 Julai 2018, revised 23 Julai 2018
Copyright © 2018 Tazkia University College of Islamic Economic. - All rights reserved
5

sementara. Mereka menyangka menyangka bahawa Baratlah sumber bagi kebebasan berfikir dan Baratlah yang
berupaya menilai segala pendekatan etika dan manifestasi kehidupan. Penerimaan ini membawa kepada keyakinan
bahawa tidak ada cara berintereaksi dengan khidupan dan alam melainkan menurut neraca Barat (Al-Buti, 1987: 165-
166). Al-Buti mempersoalkan adakah tamadun Barat itu benar menjadi gemilang padahal mereka tidak memperoleh
pedoman Al-Quran. Dalam hal ini Al-Buti melakukan pengkajian ke atas manhaj Al-Quran dalam pembangunan insan
dan kaedah-kaedah serta petunjuk yang digariskan Al-Quran. Menurut Al-Buti ketiga-tiga elemen itu haruslah difahami
dan dipegang dalam kehidupan umat Islam selaras dengan petunjuk Al-Quran. Al-Buti turut menjelaskan untuk
membina semula tamadun Islam mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:-

1) Mempunyai keinginan yang bersungguh-sungguh untuk berusaha mengembalikan tamadun ini . (Al-Buti 1981:182)
2) Membasmi perpecahan dan sebab-sebabnya . (Al-Buti 1981: 183)
3) Membentuk jiwa dan fikiran yang stabil dengan cara mengukuhkan penerimaan bersama . (Al-Buti 1981: 188)
4) Hendaklah rasa saling percaya mempercayai di antara sektor umat ini iaitu meliputi golongan pemerintah dan umat .
(Al-Buti 1981: 193)
5) Mengeksploitasi medium pendidikan dengan sokongan semua alat bantunya supaya umat ini menerima pendekatan
bersama. (Al-Buti 1981:197)

Berpandukan sumbangan pemikiran al-Buti yang dikemukakan diatas, jelas menunjukkan al-Buti merupakan seorang
sarjana Islam yang unik dan telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan pemikiran didunia Islam
terutama dalam bidang pemikiran aqidah, pemikiran, dakwah dan ketamadunan.

3. Kesimpulan

Kajian ini mendapati bahawa Al-Buti mempunyai ketokohan yang tinggi dalam bidang keilmuan dan pemikiran Islam.
Kekayaan pemikiran Al-Buti jelas dilihat dengan puluhan karyanya dalam pelbagai bidang ilmu, sehingga beliau
mendapat pengiktirafan dan anugerah oleh badan-badan institusi Islam. Manakala keistimewaan pemikiran beliau
bersifat wasatiy (sederhana) dalam kerangka manhaj yang terjaga. Perkara ini boleh dilihat ketika membahaskan
pendiriannya dari aspek aqidah. Di mana al-Buti sangat tegas dalam mempertahankan pendirian akidahnya, namun
dalam masa yang sama menyatakan hujah secara rasional dan relevan, dan turut menggariskan batas antara dua titik
ekstrem. Dalam persoalan jihad dan dakwah pula, Al-Buti membawa semangat dakwah seperti yang dianjurkan oleh Al-
Quran dan contoh sirah Nabi Muhammad SAW. Pemikiran al-Buti juga dapat dianggap berpemikiran syumuliyyah iaitu
menyerluh selaras dengan peranan agama Islam yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan. Ini dapat difahami
melalui kepelbagaian tema dan disiplin yang disentuh Al-Buti dalam karya-karyanya.

Dalam masa yang sama, Al-Buti merupakan seorang Ilmuwan yang benar-benar menjaga manhaj ilmu. Ini
terlihat dalam kebanyakan karya dan penulisannya membahaskan soal metodologi sebelum memulakan sesuatu
perbahasan dalam sesuatu bidang ilmu tertentu. Naratif pemikran Al-Buti dapat dikesan selari dengan banyak pemikiran
Ulama Ahlu Sunnah tapi dalam pembawakan yang lebih kreatif dan semasa, misalnya ketika beliau membahaskan
persoalan akidah dalam kitab Kubra Yaqiniyyat. Kesimpulannya, sumbangan ilmu dan pemikiran al-Buti amat besar
terhadap pembangunan pemikiran di dunia Islam. Karya-karya yang dihasilkan boleh menjadi pedoman penting kepada
umat Islam dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan moden hari ini. Keunikan pemikirannya yang bersifat wasatiy,
syumul dan bermanhaj merupakan sebuah bentuk pemikiran Islam yang terbaik dan perlu dicontohi oleh masyarakat
Islam hari ini. Kajian ini menyarankan institusi penyelidikan dan keilmuan hendaklah mendalami penyelidikan tentang
pemikiran al-Buti dan mengembangkannya dalam bentuk forum, wacana dan seminar untuk dimanafaatkan oleh
masyarakat Islam hari ini.

Manuscript received 23 Julai 2018, revised 23 Julai 2018


Copyright © 2018 Tazkia University College of Islamic Economic. - All rights reserved
6

Rujukan

1. Al-Buti, Muhammad Said Ramadhan. 1981. Manhaj Al-Hadharah Insaniyyah fil Quran. Dimasyq: Dar Al-Fikr.
2. Al-Buti, Muammad Said Ramadhan. 1998. Haza Walidi: Al-Qitah al-Kamilah Lihayati al-Syaikh Mulla Ramadhan Al-Buti min Walidih
ila Wafatihi. Dimasyq: Dar Al-Fikr.
3. Al-Buti, Muammad Said Ramadhan. 1999. Syakhsiyyat Istawqafatani. Dimasyq: Dar Al-Fikr.
4. Al-Buti, Muammad Said Ramadhan. 2009. Kubra Yaqiniyyat al-Kawniyyat: Wujud al-Khalid wa Wazifah al-Makhluq. Dimasyq: Dar al-
Fikr.
5. Al-Buti, Muammad Said Ramadhan. 2009. Al-Bidayah Bakurrah A’mali al-Fikriyyah. Dimasyq: Dar Al-Fikr.
6. Al-Buti, Muammad Said Ramadhan. 2011. Hiwar Hawla Musykilah Hadhariyyah. Dimasyaq: As-Sadhiq Lil-Ulum.
7. Andreas Christmann. 1998. Islamic scholar and religious leader: A portrait of Shaykh Muhammad Sa'id Ramadan al-Būti, Islam and
Christian-Muslim Relations, 9:2, 149 – 16. London: Routledge.
8. M Deden Ridwan. 2010. Pesona Surga Damaskus: Membaca Lebih Dekat Sosok Dr. Al-Buthy. Al-Quran Kitab Cinta. Jakarta: Penerbit
Hikmah.
9. Mohd Rumaizuddin Ghazali. 2014. Jihad Dakwah dan Ketamadunan: Menurut Muhammad Said Ramdhan Al-Buti. Shah Alam: Dewan
Kumpulan Media Karangkraf.
10. Muhammad Rashidi Wahab. 2014. Ketokohan Al-Allamah Muhammad Said Ramdhan Al-Buti. Shah Alam: Dewan Kumpulan Media
Karangkraf.
11. Nasr al-Din Asad (ed.). 2002. Muhammad Said Ramdhan Al-Buti: Buhuth wa Maqalat Mahdatu Ilaih. Dimasyq: Dar Al-Fikr.

Manuscript received 23 Julai 2018, revised 23 Julai 2018


Copyright © 2018 Tazkia University College of Islamic Economic. - All rights reserved
7

Manuscript received 23 Julai 2018, revised 23 Julai 2018


Copyright © 2018 Tazkia University College of Islamic Economic. - All rights reserved

Anda mungkin juga menyukai