Anda di halaman 1dari 20

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0522&sec=Ekonomi&pg=ek_10.

htm

ekonomi
ARKIB : 22/05/2003

Strategi baru ke arah merangsang pertumbuhan


ekonomi negara
PENDAHULUAN:
1. Dunia kini berhadapan dengan pelbagai pergolakan berpunca daripada kejutan Peristiwa 11
September 2001, diikuti pula dengan pencerobohan ketenteraan ke atas Iraq. Persekitaran yang
sukar ini bertambah buruk lagi dengan merebaknya wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk
(SARS) yang telah melanda beberapa negara, terutamanya di rantau ini.
2. Kesemua ini telah mengakibatkan persekitaran global menjadi tidak menentu dan semakin
rumit yang telah menjejaskan pemulihan ekonomi dunia. Pemulihan yang dijangkakan sebelum
ini, kini semakin pudar dengan sebahagian besar analis meramalkan pertumbuhan ekonomi
negara-negara maju, terutamanya Amerika Syarikat dan Jepun, akan terus rapuh. Perkembangan
yang tidak menggalakkan ini sudah tentunya akan memberi impak negatif ke atas negara-negara
lain, terutamanya negara membangun.
3. Ekonomi Malaysia telah pulih daripada kesan krisis kewangan Asia dan mula kembali kukuh
dengan mencatatkan pertumbuhan 8.3 peratus pada tahun 2000. Namun pada tahun berikutnya,
momentum pertumbuhan ekonomi negara telah tergugat sekali lagi oleh kelembapan ekonomi
global berikutan kesan negatif salah laku urus tadbir korporat dan Peristiwa 11 September di
Amerika Syarikat. Untuk menangani kesan kelembapan ini, Kerajaan telah bertindak pantas
dengan melaksanakan dasar dan strategi pro-growth melalui Pakej Rangsangan Pre-emptive.
Langkah ini telah berjaya menghindar negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan, tidak
seperti yang dialami oleh beberapa negara di rantau ini. Malahan, pemulihan ekonomi negara
telah kembali ke landasan yang lebih kukuh pada tahun 2002 dengan mencatatkan pertumbuhan
4.2 peratus.
4. Sebagai langkah untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan pasaran
modal yang lebih efisien, berdaya tahan serta kompetitif, Kerajaan telah pun mengumumkan 10
langkah baru pada 11 Mac tahun ini, untuk merangsang dan memantapkan lagi pasaran modal
negara. Bagi memperkukuhkan lagi langkah-langkah ini serta menjamin asas ekonomi yang lebih
teguh dalam tempoh sederhana dan jangka panjang, Kerajaan sekali lagi mengambil inisiatif
segera untuk menggubal dasar dan langkah-langkah strategik pro-growth di bawah Pakej Strategi
Baru.
5. Pakej Strategi Baru ini menumpukan kepada 4 strategi utama dan mengandungi 90 langkah,
bertujuan menjana aktiviti ekonomi melalui penggemblengan sumber dalam negeri di samping
mengurangkan pergantungan kepada sektor luar negara, seperti berikut:
STRATEGI I:
menggalakkan pelaburan swasta.
STRATEGI II:
memperkukuhkan daya saing negara.
STRATEGI III:
membangun punca pertumbuhan baru.
STRATEGI IV:
meningkatkan keberkesanan delivery system.
6. Kerajaan juga peka terhadap kesan negatif wabak SARS yang telah mengakibatkan
kemerosotan ketara perniagaan, terutamanya di sektor pelancongan dan sektor berkaitan,
berikutan bilangan ketibaan pelancong yang telah berkurangan dengan mendadak. Oleh itu,
Pakej ini juga mengandungi langkah-langkah spesifik bagi membantu industri-industri yang telah
terjejas serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat.
STRATEGI I:
MENGGALAKKAN PELABURAN SWASTA
7. Untuk mempastikan potensi pertumbuhan tinggi ekonomi negara dapat dicapai, sektor swasta
perlu kembali memainkan peranan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara. Sehubungan
ini, sektor swasta perlu meningkatkan pelaburan sedia ada, di samping meneroka peluang
pelaburan baru.
8. Pelaburan asing langsung (FDI) telah memainkan peranan penting dalam membangunkan
ekonomi negara, terutamanya dalam proses perindustrian negara. Walau bagaimanapun, negara
kini perlu memberi lebih penekanan terhadap usaha meningkatkan pelaburan tempatan,
memandangkan pergerakan modal antarabangsa yang telah berkurangan berikutan persekitaran
global yang tidak menentu serta peningkatan persaingan dalam mendapatkan aliran FDI,
terutamanya dari negara China.
9. Justeru itu, tindakan segera perlu dilaksanakan bagi menyediakan iklim pelaburan yang lebih
menarik dan kondusif untuk menggalakkan inisiatif pelaburan swasta. Bagi tujuan ini, langkah-
langkah berikut akan dilaksanakan:
i. menjadikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) sebagai pemangkin pertumbuhan; dan
ii. melonggarkan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).
Menjadikan SME sebagai pemangkin pertumbuhan
10. SME akan dipertingkatkan untuk menjadi pemangkin pertumbuhan. Bagi tujuan ini, Kerajaan
akan terus memberi sokongan kepada SME bagi mengembangkan aktiviti mereka, dengan
menyediakan sumber kewangan yang mencukupi dan mudah, terutamanya dari segi
melonggarkan syarat pinjaman termasuk keperluan cagaran, kos pinjaman yang rendah dan
menyegerakan tempoh kelulusan serta jadual pembayaran balik yang fleksibel. Sehubungan ini,
Kerajaan telah berkali-kali menggesa institusi kewangan supaya bukan hanya menyediakan
jendela SME pada nama sahaja, tetapi mestilah mempastikan jendela yang diwujudkan tersebut
benar-benar mempraktikkan amalan pemberian pinjaman yang mudah, fleksibel dan yang
terpenting accessible kepada peminjam. Institusi kewangan kini digesa mempraktikkan
sepenuhnya client charter sebagai jaminan bahawa mereka adalah komited kepada aspirasi dan
usaha Kerajaan membangunkan SME. Bank Negara Malaysia (BNM) akan
dipertanggungjawabkan untuk memantau institusi kewangan mengamalkan client charter ini.
11. SME akan digiatkan untuk meningkatkan sumbangan mereka dalam menjana pelaburan
dalam negeri. Bagi mempastikan mereka mendapat akses kepada sumber pembiayaan dengan
kos pinjaman yang lebih rendah, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Langkah 1
11.1 Program kredit mikro untuk membantu golongan usahawan kecil akan diperkemas dan
diperkukuhkan lagi melalui:
a) penstrukturan semula Bank Pertanian Malaysia (BPM) supaya ia juga menjadi bank kredit
mikro bagi menguruskan pinjaman untuk membiayai perniagaan dan perusahaan kecil di sektor
pertanian. Untuk ini, sebanyak RM500 juta disediakan untuk Skim Kredit Mikro di bawah BPM;
b) penyaluran semula dana berjumlah RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan
AIM akan diletakkan di bawah Skim Kredit Mikro BPM; dan
c) penyediaan dana sebanyak RM300 juta di bawah Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional
(BSN), khusus untuk membiayai projek bukan pertanian.
Langkah 2
11.2 Menambah dana kepada SME sebanyak:
a) RM200 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan (TEKUN) bagi meningkatkan
keberkesanan serta mengukuhkan kemudahan infrastruktur pinjaman supaya liputannya dapat
diperluaskan ke seluruh negara; dan
b) RM1 bilion telah disediakan oleh BNM, iaitu RM600 juta untuk Tabung IKS dan RM400 juta
bagi Tabung Usahawan Baru.
Langkah 3
11.3 Bagi mengurangkan kos pembiayaan dan memudahkan aksesibiliti serta mengelakkan
kegiatan pinjaman haram, syarat pinjaman di bawah Skim Kredit Mikro dilonggarkan, seperti
berikut:
a) kadar faedah dikurangkan kepada 4 peratus;
b) pinjaman tidak memerlukan cagaran, tetapi berasaskan securitisation aliran tunai;
c) pembayaran balik pinjaman akan dijadualkan mengikut terimaan aliran tunai; dan
d) sistem mentoring akan diperkenalkan di mana sesuai, bagi mempastikan peminjam membuat
bayaran balik secara harian, mingguan atau bulanan berasaskan kepada aliran tunai mereka.
12. Insentif sedia ada bagi syarikat kecil juga akan ditambah baik. Pada masa ini, syarikat kecil
diberi galakan seperti berikut:
a) Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun;
atau
b) Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus daripada perbelanjaan modal dalam tempoh 5
tahun. Peratus pendapatan statutori yang boleh ditolak di bawah galakan ini adalah sehingga 70
peratus.
Galakan di atas tertakluk kepada kriteria:
a) syarikat mempunyai dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM500,000 dan ekuiti
syarikat dipegang oleh rakyat Malaysia sebanyak 70 peratus;
b) syarikat mengeluarkan bahan mentah atau komponen untuk sektor perkilangan;
c) keluaran syarikat adalah merupakan gantian import dan nilai kandungan bahan tempatan
melebihi 50 peratus;
d) syarikat mengeksport sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluarannya; dan
e) aktiviti syarikat menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk luar bandar.
Langkah 4
12.1 Insentif sedia ada bagi syarikat-syarikat kecil ditambah baik seperti berikut:
a) pengecualian cukai pendapatan di bawah Taraf Perintis ditingkatkan daripada 70 kepada 100
peratus; dan
b) pendapatan statutori yang boleh digunakan bagi tujuan Elaun Cukai Pelaburan ditingkatkan
daripada 70 kepada 100 peratus.
Langkah 5
12.2 Selain daripada itu, syarat kelayakan insentif dilonggarkan:
a) syarat ekuiti rakyat Malaysia dalam syarikat kecil dikurangkan daripada 70 kepada 60 peratus;
dan
b) syarikat hanya perlu memenuhi satu daripada dua kriteria, iaitu mencapai nilai ditambah
sekurang-kurangnya 15 peratus atau aktiviti syarikat menyumbang kepada pembangunan sosio-
ekonomi penduduk luar bandar.
Melonggarkan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing
13. Kerajaan telah mengkaji semula Garis Panduan FIC dengan tujuan untuk memberi
kelonggaran penyertaan ekuiti asing dalam syarikat tempatan, selaras dengan matlamat untuk
meningkatkan lagi daya saing negara dalam menarik FDI. Pada masa yang sama, ia bertujuan
untuk memperkemas dan menyelaraskan proses permohonan pelaburan bagi mengelakkan
pertindihan fungsi antara agensi.
14. Berikutan kajian ini, Garis Panduan FIC mengenai Perolehan Aset, Percantuman dan
Pengambilalihan (1974) digantikan dengan:
i) Garis Panduan FIC bagi Perolehan Hartanah Oleh Kepentingan Tempatan dan Asing; dan
ii) Garis Panduan FIC bagi Perolehan Kepentingan, Percantuman dan Pengambilalihan Oleh
Kepentingan Tempatan dan Asing.
Langkah 6
14.1 Bagi semua perolehan oleh kepentingan tempatan dan asing, hanya syarat ekuiti Bumiputera
sekurang-kurangnya 30 peratus sahaja dikenakan. Bagi perolehan oleh kepentingan asing, baki
ekuiti syarikat berkenaan boleh dipegang oleh kepentingan asing atau dipegang bersama di
antara kepentingan asing dan tempatan.
Langkah 7
14.2 Syarat penyertaan Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus ini hendaklah diguna pakai
secara seragam oleh semua kementerian kecuali dalam keadaan di mana pengecualian telah
dibuat oleh Kerajaan.
Langkah 8
14.3 Kadar threshold bagi perolehan kepentingan oleh kepentingan tempatan dan asing yang
dikecualikan daripada kelulusan FIC ditingkatkan daripada RM5 juta kepada RM10 juta. Peratus
perolehan syer/hak mengundi oleh kepentingan tempatan dan asing yang sedia ada dikekalkan.
Langkah 9
14.4 Urusan pemprosesan cadangan perolehan syarikat pengilang yang dilesenkan, dipusatkan di
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan cadangan korporat di
Suruhanjaya Sekuriti (SC). Cadangan-cadangan ini tidak perlu lagi dikemukakan untuk
pertimbangan FIC.
Langkah 10
14.5 Syarat ekuiti ke atas syarikat-syarikat yang akan disenaraikan di Bursa Saham Kuala
Lumpur (BSKL) dikenakan seperti berikut:
a) mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera semasa penyenaraian; dan
b) syarat pegangan ekuiti asing dilonggarkan untuk menarik lebih banyak syarikat asing
disenaraikan di BSKL selaras dengan cadangan Pelan Induk Pasaran Modal.
Langkah 11
14.6 Tempoh pematuhan syarat ekuiti ditetapkan seperti berikut:
a) dipanjangkan daripada 1 kepada 2 tahun bagi kelulusan pertama dan boleh dilanjutkan setiap
tahun;
b) bagi syarikat yang membuat pelaburan besar dan berisiko tinggi, tempoh pematuhan syarat
ekuiti dilonggarkan dan dikenakan berdasarkan kepada aliran tunai syarikat; dan
c) bagi syarikat yang mengalami kerugian dan terlibat dalam penyusunan semula hutang, syarat
ekuiti dikecualikan semasa transaksi dibuat dan dikaji semula selepas 3 tahun.
Langkah 12
14.7 Kepentingan asing dibenar memperoleh hartanah berharga lebih daripada RM150,000
seunit.
Langkah 13
14.8 Bagi perolehan melebihi RM100 juta, syarikat boleh memohon pengecualian daripada Garis
Panduan FIC, tertakluk kepada kelulusan Menteri Kewangan dan mengikut kes demi kes.
Kelonggaran ini diberi bagi permohonan yang diterima sebelum 31 Mei 2004.
STRATEGI II:
MEMPERKUKUH DAYA SAING NEGARA
15. Sebagai usaha untuk mempertingkatkan daya saing negara, insentif cukai sedia ada
diperbaiki lagi selaras dengan perakuan oleh Jawatankuasa Kabinet bagi Meningkatkan Daya
Saing Negara yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, seperti berikut:
i. Memanjangkan tempoh Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan di bawah skim pre-pakej.
Di bawah skim galakan pre-pakej, Taraf Perintis dengan pengecualian cukai sepenuhnya untuk
10 tahun atau Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus selama 5 tahun diberi berdasarkan kes demi
kes.
Langkah 14
15.1 Galakan di bawah pre-pakej ditambah baik:
a) tempoh maksimum Taraf Perintis dipanjangkan daripada 10 kepada 15 tahun, bermula dari
tahun pertama syarikat mencatatkan keuntungan; dan
b) tempoh Elaun Cukai Pelaburan dipanjangkan daripada 5 kepada 10 tahun.
ii. Group relief
Group relief merupakan satu galakan di mana cukai pendapatan dapat dikurangkan dengan
membenarkan keuntungan syarikat ditolak dengan kerugian syarikat lain dalam kumpulan yang
sama. Namun demikian, ia hanya diberi kepada sektor pengeluaran bahan makanan.
Langkah 15
15.2 Group relief diperluaskan kepada ladang hutan, termasuk ladang kayu getah dan keluaran
terpilih sektor pembuatan termasuk keluaran berkaitan dengan bioteknologi, nanoteknologi,
optik dan fotonik di bawah skim galakan pre-pakej.
iii. Potongan dua kali untuk perbelanjaan R&D
Pada masa ini, di bawah insentif potongan dua kali untuk R&D, perbelanjaan R&D yang dibuat
dalam tempoh Perintis tidak dibenarkan dikumpul dan dibawa ke hadapan untuk ditolak daripada
pendapatan selepas tempoh Perintis. Di samping itu, potongan hanya dibenarkan bagi
perbelanjaan R&D dalam negara.
Langkah 16
15.3 Bagi menggalakkan aktiviti R&D, syarikat dibenarkan mengumpul dan membawa ke
hadapan perbelanjaan R&D yang telah diluluskan dalam tempoh Taraf Perintis, untuk diberi
potongan sekali lagi selepas tempoh Perintis.
Langkah 17
15.4 Perbelanjaan ke atas R&D yang dibuat di luar negara, termasuk melatih pekerja Malaysia
dipertimbangkan potongan dua kali secara kes demi kes.
iv. Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan kali kedua bagi syarikat R&D
Syarikat R&D kini diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan 100
peratus selama 5 tahun atau Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus bagi perbelanjaan modal yang
dibuat dalam tempoh 10 tahun.
Langkah 18
15.5 Syarikat R&D diberi Taraf Perintis 5 tahun lagi atau Elaun Cukai Pelaburan selama 10
tahun lagi.
v. Pengecualian cukai pendapatan kepada Operational Headquarters (OHQ) yang sedia ada
OHQ yang ditubuhkan sebelum Bajet 2003, membayar cukai pendapatan pada kadar 10 peratus
bagi tempoh 5 tahun. Bagi OHQ baru yang ditubuhkan selepas Bajet 2003 pula diberi
pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi tempoh 10 tahun.
Langkah 19
15.6 Bagi memberi layanan cukai yang sama, semua OHQ sedia ada juga akan diberi
pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi baki tempoh pengecualiannya.
vi. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan bagi Malaysian International Trading Companies
(MITC)
Pada masa ini, MITC diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan statutori bersamaan 10
peratus daripada nilai peningkatan eksport.
Langkah 20
15.7 Bagi menggalakkan lagi eksport barangan keluaran tempatan, pengecualian cukai
pendapatan bagi MITC dipertingkatkan daripada 10 kepada 20 peratus daripada nilai
peningkatan eksport.
vii. Insentif bagi hypermarkets dan syarikat jualan langsung yang mengeksport produk buatan
tempatan
Pada masa ini, tiada galakan cukai diberi kepada hypermarkets dan syarikat jualan langsung yang
mengeksport barangan keluaran tempatan.
Langkah 21
15.8 Bagi mempastikan barangan keluaran tempatan mendapat pasaran yang meluas di luar
negara, hypermarkets dan syarikat jualan langsung yang mengeksport barangan keluaran
tempatan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan statutori bersamaan 20 peratus daripada
nilai peningkatan eksport.
viii. Aktiviti nilai ditambah di dalam zon perindustrian bebas atau gudang pengilangan berlesen
Pada masa ini, aktiviti nilai ditambah seperti pelabelan, pembungkusan dan pembungkusan
semula yang dijalankan di zon perindustrian bebas atau gudang pengilangan berlesen perlu
mendapat kelulusan Menteri Kewangan.
Langkah 22
15.9 Aktiviti nilai ditambah seperti R&D, reka bentuk, pemasaran, pengagihan, kawalan mutu,
pengujian, pelabelan dan pembungkusan ditetapkan sebagai aktiviti yang dibenar dijalankan di
dalam zon perindustrian bebas atau gudang pengilangan berlesen.
16. Sebagai langkah untuk menggalakkan lebih banyak penubuhan Pusat Pengedaran Serantau
(RDC) dan Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC) di Malaysia, langkah cukai berikut disediakan:
Langkah 23
16.1 Duti import yang telah dibayar oleh RDC/IPC ke atas alat ganti atau komponen yang tidak
dapat dijual dalam tempoh satu tahun akan dibayar balik dengan syarat barangan dieksport
semula.
Langkah 24
16.2 Melaksanakan secara fleksibel syarat 30 peratus drop shipment bagi RDC/IPC yang
mempunyai jualan tahunan (annual sales turnover) yang tinggi.
Langkah 25
16.3 RDC/IPC dibenarkan meng-hantar terus ke pelabuhan barangan eksport yang dibekalkan
oleh pembekal tempatan, tanpa melalui gudang RDC/IPC.
Langkah 26
16.4 IPC sedia ada yang mematuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan diberi pengecualian cukai
pendapatan selama 10 tahun.
Langkah 27
16.5 Untuk mengurangkan lagi kos perniagaan, kadar campur tangan BNM akan dikurangkan
sebanyak 50 mata asas. Institusi kewangan hendaklah mempastikan supaya pengurangan ini
dimanfaatkan kepada peminjam melalui pengurangan kadar pinjaman.
Meningkatkan Pembangunan Sumber Manusia
17. Dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi daya saing negara, produktiviti dan efisiensi
tenaga kerja perlu dipertingkatkan. Bagi tujuan ini, tindakan akan diambil bagi menambah baik
kemudahan latihan kemahiran untuk menyediakan tenaga kerja berteknologi dan berkemahiran
tinggi melalui langkah-langkah berikut:
Langkah 28
17.1 Meluaskan lagi bidang dan melonggarkan syarat penggunaan Dana Pembangunan Sumber
Manusia untuk latihan dalam bidang perkhidmatan berkaitan pembuatan, termasuk logistik,
sokongan pasaran dan ICT, manakala tempoh penggunaan dana oleh syarikat dilanjutkan
daripada 2 kepada 5 tahun.
Langkah 29
17.2 Tabung Pembangunan Kemahiran akan disusun semula dan ditambah sebanyak RM500 juta
untuk membantu pelajar teknikal dan vokasional mendapat pinjaman.
Langkah 30
17.3 Tabung Latihan Semula ditubuhkan dengan dana sebanyak RM100 juta bagi program
latihan dan re-skilling untuk graduan baru dalam bidang terpilih seperti ICT dan perakaunan.
Langkah 31
17.4 Syarikat milik Kerajaan, seperti Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad
akan menyediakan skim latihan 1 hingga 2 tahun bagi graduan baru. Syarikat swasta juga digesa
untuk mengadakan skim latihan yang sama.
Langkah 32
17.5 Memberi majikan lebih kelonggaran dalam mengambil pekerja asing. Bagi mereka yang
berkepakaran tinggi dan tiada terdapat kepakaran tempatan, kelulusan diberi secara automatik.
Langkah 33
17.6 Kementerian Sumber Manusia terus menyelaras dengan Kementerian Kerjaraya dan
Kementerian Dalam Negeri bagi mengatasi masalah pekerja asing yang diberhentikan dalam
industri tertentu supaya mereka boleh diserapkan ke dalam sektor atau lokasi lain yang
memerlukan tenaga kerja.
STRATEGI III:
MEMBANGUN PUNCA PERTUMBUHAN BARU
18. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, negara terdedah kepada persekitaran luar yang tidak
menentu. Oleh yang demikian, negara perlu mengurangkan pergantungan yang berlebihan
kepada sektor luar. Sementara itu, inisiatif perlu dipertingkatkan bagi menggerakkan aktiviti
ekonomi yang didorong oleh sumber dalaman. Untuk ini, negara wajar mempelbagaikan punca
pertumbuhan baru. Sektor utama yang akan diberi perhatian khusus ialah sektor perkhidmatan,
pembinaan, pembuatan dan pertanian.
Sektor Perkhidmatan
19. Sektor perkhidmatan berpotensi untuk diperkembangkan lagi, memandangkan pada masa ini
sektor tersebut hanya menyumbang 57 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri
Kasar (KDNK) berbanding sumbangan yang lebih tinggi di kalangan negara maju, iaitu antara 60
dan 75 peratus. Bidang yang boleh dimajukan, termasuk pendidikan, pelancongan dan kesihatan.
Pendidikan
20. Kementerian Pendidikan akan melaksanakan langkah yang lebih dinamik bagi 'unlock' nilai
aset fizikal institusi pengajian tinggi yang keseluruhan dianggarkan lebih daripada RM15 bilion.
Nilai aset ini belum lagi mengambil kira nilai aset intangible para akademik. Oleh itu, sekiranya
kesemua aset ini dapat digunakan sepenuhnya, ia akan menghasilkan pulangan yang besar
kepada negara.
21. Sehubungan ini, usaha akan dilipatgandakan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat
kecemerlangan pendidikan. Untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, Jabatan Penuntut
Malaysia (MSD) dan Wisma Putra akan bersama menggembleng usaha bagi melaksanakan
aktiviti mempromosi pendidikan negara. Bagi tujuan ini, langkah berikut akan dilaksanakan:
Langkah 34
21.1 Menubuhkan 4 pejabat promosi pendidikan di Arab Saudi, China, Indonesia dan Vietnam
bagi menyebar maklumat mengenai peluang pendidikan di Malaysia.
Langkah 35
21.2 Mendapat pengiktirafan pendidikan Malaysia oleh negara lain supaya lebih ramai pelajar
antarabangsa mengikuti program pendidikan di Malaysia.
Langkah 36
21.3 Meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) bagi melonggarkan
syarat pengambilan mata pelajaran tertentu yang diwajibkan bagi pelajar antarabangsa.
Langkah 37
21.4 Memberi perakuan kepada agensi pengambilan pelajar asing yang berwibawa untuk
merekrut pelajar antarabangsa.
Langkah 38
21.5 Melonggarkan prosedur dan syarat kemasukan pelajar asing ke Malaysia:
a) mengurangkan pembayaran visa; dan
b) membenarkan pelajar membawa keluarga.
Pelancongan
22. Untuk menjadikan program pelancongan lebih berkesan, aktiviti promosi bagi penawaran
pakej pelancongan melalui media massa, roadshow, pameran, pengiklanan dan dokumentari
perlu lebih terselaras antara agensi pelancongan dan badan Kerajaan, terutamanya bagi program
Pelancongan Pendidikan, Pelancongan Kesihatan dan Malaysia Rumah Kedua Ku. Di samping
itu, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Langkah 39
22.1 Menambah Dana Infrastruktur Pelancongan sebanyak RM500 juta.
Langkah 40
22.2 Cukai perkhidmatan tidak dikenakan ke atas complimentary rooms yang disediakan oleh
pengusaha hotel, mulai 1 Jun 2003.
Kesihatan
23. Sektor kesihatan mempunyai potensi yang luas untuk menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi negara. Selain daripada usaha mempromosi pelancongan kesihatan, program khusus
akan dimantapkan lagi, seperti berikut:
Langkah 41
23.1 Menubuhkan Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) untuk meningkatkan
penggunaan dan pengamalan TCM tempatan.
Langkah 42
23.2 Menubuhkan Pusat Informasi Global mengenai Integrasi Perubatan dan menjalankan kajian
tentang pelbagai produk herba dan praktis TCM.
Langkah 43
23.3 Membangunkan sumber asli negara bagi menghasilkan produk bernilai komersial tinggi
melalui kegiatan bioteknologi dengan menyediakan pelan induk strategik untuk pembangunan
tumbuhan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai produk perubatan herba.
Langkah 44
23.4 Menggalakkan pembangunan industri bioteknologi melalui:
a) menyediakan tapak di BioValley untuk tujuan R&D dan pengeluaran vaksin; dan
b) menggalakkan usaha sama dan sub-licensing dengan rakan kongsi untuk mempastikan kualiti
dan usaha pembangunan vaksin yang berterusan.
Langkah 45
23.5 Penubuhan Institute of Natural Products and Vaccinology di BioValley bertujuan untuk
menempatkan semua penyelidik bagi membolehkan mereka menjalinkan networking.
Sektor Pembuatan
24. Sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK negara,
terutamanya industri elektronik. Memandangkan suasana luar yang terus tidak menentu, di
samping persaingan sengit oleh new global players, usaha perlu diambil bagi mempercepatkan
peralihan kepada pengeluaran produk yang bernilai tambah tinggi dan menerokai bidang baru di
mana Malaysia mempunyai competitive edge. Bagi tujuan ini, langkah-langkah berikut akan
dilaksanakan:
Langkah 46
24.1 Menubuhkan Dana Pelaburan Teknologi Baru dengan modal permulaan sebanyak RM500
juta yang akan dikendalikan oleh sebuah agensi Kerajaan, bagi membeli ekuiti dalam syarikat-
syarikat asing atau melabur dalam syarikat tempatan yang baru memulakan operasi di sektor
pertumbuhan baru.
Langkah 47
24.2 Menyediakan matching grant bagi menampung kos latihan berkaitan projek-projek di sektor
yang telah dikenal pasti, di dalam dan luar negeri. Kos latihan merangkumi gaji, bayaran kursus,
bahan guna habis, tiket pergi balik, penginapan dan elaun sara hidup bagi pelatih dan jurulatih.
Langkah 48
24.3 Menyediakan matching grant bagi syarikat-syarikat di sektor yang dikenal pasti, untuk
menjalankan aktiviti R&D di Malaysia. Bantuan adalah untuk:
a) sewa kemudahan di pusat incubator serta taman sains dan teknologi;
b) gaji kakitangan (para saintis dan penyelidik) bagi tempoh sehingga 3 tahun; dan
c) kos R&D, termasuk kos projek R&D usahasama antara industri dengan institusi penyelidikan,
universiti atau syarikat berasaskan penyelidikan.
Langkah 49
24.4 Menyediakan matching grant bagi usaha pengkomersialan hasil penyelidikan dan inovasi
dalam sektor pertumbuhan yang telah dikenal pasti.
Langkah 50
24.5 Menubuhkan sebuah Tabung Pembangunan dan Mempromosi Jenama Malaysia bagi
syarikat tempatan dengan dana permulaan sebanyak RM100 juta untuk:
a) meliputi kos pembangunan jenama serta pendaftaran tanda niaga dan paten, di samping
belanja promosi; dan
b) diberi dalam bentuk geran sehingga maksimum RM10 juta setahun setiap syarikat. Siling 10
peratus boleh digunakan untuk aktiviti promosi dalaman.
Langkah 51
24.6 Bagi membangunkan seed venture capital, Kerajaan telah menyediakan RM100 juta kepada
Malaysian Venture Capital (Mavcap) untuk menerajui seed investment, memupuk pembangunan
usahawan serta menjana peluang baru ICT.
Langkah 52
24.7 Memperkukuh kawalan keselamatan bagi pertubuhan industri dan perdagangan.
Langkah 53
24.8 Memperbaiki kemudahan pengangkutan jalan dan udara di antara Pantai Barat dan Koridor
Timur Semenanjung Malaysia.
Langkah 54
24.9 Penempatan semula rangkaian pejabat Matrade di lokasi strategik di luar negeri seperti
berikut:
a) menubuhkan pejabat baru di Jakarta, Manila, Bangkok, New Delhi, Budapest dan Buenos
Aires; dan
b) menempatkan semula pejabat-pejabat di Kuwait, Tunisia dan Caracas ke Bahrain, Kaherah
dan Miami.
Sektor Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar
25. Sektor pertanian merupakan jentera ketiga pertumbuhan ekonomi negara. Sehubungan ini,
Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian
berskala besar dan komersial. Usaha akan dipergiatkan lagi untuk menjadikan negara sebagai
pusat serantau bagi pengeluaran makanan dan produk halal. Di samping itu, penekanan juga akan
diberi kepada langkah untuk menambahkan pengeluaran komoditi pertanian dengan
menggalakkan kegiatan perladangan di kawasan tanah terbiar, bagi memenuhi permintaan
makanan dalam negeri yang semakin meningkat dan untuk eksport.
Langkah 55
25.1 Menambah Tabung untuk Makanan sebanyak RM1 bilion.
Langkah 56
25.2 Bagi menggalakkan industri perabot berasaskan getah, aktiviti penanaman getah seluas
25,000 hektar setahun bagi tempoh 15 tahun akan dilaksanakan. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan
menubuhkan Tabung Ladang Hutan Getah dengan peruntukan permulaan sebanyak RM200 juta
yang disediakan dalam bentuk pinjaman mudah.
Langkah 57
25.3 Peruntukan sebanyak RM300 juta disediakan untuk meningkatkan taraf infrastruktur dan
delivery system di sektor luar bandar bertujuan untuk menggiatkan aktiviti ekonomi luar bandar.
Langkah 58
25.4 Memodenkan industri perikanan, khususnya dengan meningkatkan kapasiti melalui
penyediaan peralatan dan kemudahan penangkapan ikan kepada nelayan. Kerajaan akan
membina 1,000 bot yang dilengkapi dengan peralatan moden dan diperbuat daripada logam atau
bahan komposit bagi menggantikan bot kayu. Urusan penyewaan akan dikendalikan oleh,
Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).
Langkah 59
25.5 Meneruskan skim yang menggalakkan pengusaha kecil getah dan kelapa sawit untuk
mempelbagaikan aktiviti pertanian mereka. Dianggarkan satu juta hektar tanah telah dikenal
pasti untuk aktiviti ini.
Sektor Pembinaan
26. Sektor pembinaan merupakan salah satu sektor penting dalam merangsang kegiatan dan
pertumbuhan ekonomi negara. Sektor ini juga mempunyai rantaian yang luas, terutamanya
dengan industri-industri berkaitan pembinaan. Di samping itu, Kerajaan juga berhasrat untuk
mempastikan golongan rakyat yang berpendapatan rendah mempunyai keupayaan untuk
memiliki rumah kos rendah dan sederhana. Bagi tujuan ini langkah-langkah berikut akan
dilaksanakan:
Langkah 60
26.1 Kerajaan akan melaksanakan Projek Harapan (Harapan Rakyat Memiliki Perumahan
Berpatutan) dengan ciri utama seperti berikut:
a) bagi pembelian baru dan pemilikan pertama perumahan berharga di bawah RM100,000,
Kerajaan memberi:
i) subsidi bayaran kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak 3 peratus untuk tahun pertama
sahaja; atau
ii) pinjaman tanpa faedah untuk 10 peratus deposit bagi tahun pertama sahaja; dan
iii) pinjaman diperolehi dari BSN.
b) bagi mereka yang meminjam daripada institusi kewangan yang lain untuk perolehan rumah
berharga di bawah RM100,000, di bawah Garis Panduan Pinjaman Perumahan Bank Negara
Malaysia, mereka akan diberi bayaran tunai RM600 dan dikreditkan di dalam akaun pinjaman
mereka.
c) bagi pembelian baru, rumah siap dan milikan pertama untuk perumahan berharga di antara
RM100,000 dan RM180,000, pelepasan cukai pendapatan individu ke atas faedah pinjaman:
i) RM5,000 bagi tahun taksiran 2003;
ii) RM3,000 bagi tahun taksiran 2004; dan
iii) RM2,000 bagi tahun taksiran 2005.
Langkah (a) dan (c) adalah bagi pembelian rumah pada 1 Jun 2003 hingga 31 Mei 2004.
Langkah 61
26.2 Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan
rendah untuk memiliki perumahan berpatutan:
a) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dipertanggungjawab untuk membina sekurang-
kurangnya 150,000 unit perumahan kos sederhana dan berpatutan dalam tempoh 5 tahun; dan
b) bagi pemilik perumahan kos rendah di bawah RM42,000 yang ingin membeli rumah yang
lebih selesa, berikutan pendapatan yang telah meningkat, mereka dibenarkan menjual unit
mereka selepas 5 tahun pada harga pasaran. Mereka juga boleh mendapat insentif di bawah
Langkah 60. Namun, mereka ini tidak dibenarkan lagi memohon perumahan kos rendah pada
masa akan datang.
Langkah 62
26.3 Bagi kakitangan Kerajaan pula, khususnya bekas polis dan tentera yang telah banyak
berkorban untuk negara, Kerajaan melalui SPNB akan membeli rumah-rumah pangsa yang telah
siap dan tidak terjual, yang kini dianggarkan sebanyak 4,400 unit, pada harga diskaun sekurang-
kurangnya 20 peratus mengikut harga pasaran. Kerajaan kemudiannya memperuntukkan unit-
unit berkenaan kepada mereka yang layak melalui skim sewa beli. Mereka hanya perlu
membayar sewa RM50 sebulan dan diberi pilihan untuk membeli unit berkenaan selepas 3 tahun.
Skim ini juga terbuka kepada balu kakitangan Kerajaan, termasuk polis dan tentera, serta ibu
tunggal yang belum memiliki rumah.
Langkah 63
26.4 Kerajaan juga akan melaksanakan Program Meningkatkan Keselesaan dan Wajah Rumah-
Rumah Pangsa Milik Kerajaan. Pada masa ini, rumah pangsa khususnya milik Kerajaan sering
mendapat kritikan kerana suasana yang tidak selesa. Selaras dengan usaha Kerajaan supaya
rakyat mempunyai kemudahan perumahan yang selesa dan mesra alam, langkah berikut akan
dilaksanakan:
a) Kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta untuk memperbaiki kawasan sekeliling rumah
pangsa yang berusia 5 tahun ke atas. Ini termasuk mengecat semua rumah pangsa, kerja
landskap, mengadakan pagar jika sesuai dan menyediakan kemudahan riadah seperti padang
permainan, perpustakaan dan Taman Asuhan kanak-kanak;
b) program ini akan dikhususkan untuk kontraktor Bumiputera Kelas D dan ke bawah dan
dijangka akan menjana lebih banyak lagi pekerjaan dan aktiviti ekonomi sampingan. Di samping
itu, para penghuni akan berpeluang menikmati tempat tinggal yang lebih selesa dan sempurna;
dan
c) sekiranya program ini berjaya, Kerajaan akan menimbang untuk melaksanakan Fasa II
program ini, di mana peningkatan taraf tempat tinggal untuk rumah pangsa ini akan termasuk
dalaman unit itu sendiri, seperti memperbaiki sistem pendawaian, paip, pembentungan dan jika
sesuai menambah bilangan bilik dan bilik air.
Langkah 64
26.5 Kerajaan akan terus melaksanakan projek pembangunan dengan memberi keutamaan
kepada projek-projek yang melibatkan infrastruktur dan pembinaan untuk mempergiatkan lagi
kegiatan di sektor pembinaan yang mempunyai kesan berganda yang tinggi terutamanya industri
berkaitan pembinaan. Sehubungan ini, projek-projek yang diberi keutamaan di mana Letter of
Intent telah dikeluarkan, akan diteruskan perlaksanaannya.
Langkah 65
26.6 Cukai keuntungan harta tanah dikecualikan untuk tempoh satu tahun bagi pelupusan
hartanah mulai 1 Jun 2003.
Langkah 66
26.7 Pengecualian duti setem diberi ke atas surat cara yang disempurnakan berkaitan dengan
pembelian rumah kediaman berharga tidak melebihi RM180,000 seunit daripada pemaju
perumahan, agensi Kerajaan atau koperasi, dengan syarat perjanjian jual beli rumah
disempurnakan dalam tempoh setahun mulai 1 Jun 2003.
Langkah 67
26.8 Kadar sumbangan sebanyak 0.25 peratus daripada nilai projek pada masa ini oleh pemaju
projek kepada Lembaga Pembangunan Industri Binaan Malaysia (CIDB) dikurangkan seperti
berikut:
a) pengecualian penuh kepada pemaju-pemaju rumah kos rendah, sederhana rendah dan
sederhana; dan
b) pengurangan sebanyak 50 peratus kepada 0.125 peratus bagi pemaju-pemaju projek lain.
Langkah 68
26.9 Menggandakan usaha dalam program pembangunan sumber manusia untuk memantapkan
kemahiran dan produktiviti pekerja serta menyediakan latihan dalam sektor pembinaan untuk
graduan dan lepasan sekolah.
STRATEGI IV:
MENINGKATKAN KEBERKESANAN DELIVERY SYSTEM
27. Delivery system perkhidmatan awam yang cekap diperlukan bagi menjamin kelancaran dan
keberkesanan perlaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara. Untuk ini, Kerajaan telah
bersetuju dengan perakuan Jawatankuasa Teras Strategik Meningkatkan Penyampaian
Perkhidmatan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, seperti berikut:
Langkah 69
27.1 Menyokong dan memudahkan pelaburan dalam sektor pembuatan secara proaktif, di mana
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) akan melantik pegawai projek, khusus
untuk hand-hold dan membantu pelabur mendapatkan semua kelulusan yang perlu bagi sesuatu
projek sehingga projek itu sedia untuk beroperasi.
Langkah 70
27.2 Untuk mempercepatkan urusan memproses dan memberi kelulusan Pelan Bangunan dan
Sijil Kelayakan Menduduki (CFO), langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
a) mewujudkan Pusat Sehenti pada dua peringkat, iaitu di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) dan di peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri. Pada peringkat PBT, Pusat Sehenti tersebut
akan memproses semua permohonan Pelan Bangunan dan CFO, termasuk mendapatkan
perakuan daripada agensi teknikal yang berkaitan. Kes-kes rumit dan bermasalah akan dirujuk
kepada Pusat Sehenti di peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri untuk penyelesaian;
b) PBT dikehendaki mematuhi Garis Panduan sedia ada untuk meluluskan Pelan Bangunan
dalam tempoh 12 minggu serta mengeluarkan CFO dalam tempoh 4 minggu;
c) bilangan agensi teknikal yang terlibat dalam memberi perakuan untuk CFO dikurangkan
daripada 7 kepada 4 agensi sahaja, iaitu Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan
Pembetungan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran;
d) mengecualikan keperluan CFO bagi beberapa kategori bangunan dalam usaha untuk
menggalakkan pendekatan self regulation bagi perakuan kelayakan menduduki oleh badan
profesional yang berkenaan;
e) memberi keutamaan kepada permohonan Pelan Bangunan dan CFO untuk sektor pembuatan
serta perkhidmatan yang berkaitan;
f) PBT serta agensi teknikal yang terlibat memberhentikan amalan meluluskan CFO dengan
syarat segala bayaran yang dikenakan selesai dibayar oleh pemaju atau pemohon; dan
g) Menyebarkan maklumat mengenai Pelan Bangunan dan CFO melalui buku panduan serta
media elektronik.
Langkah 71
27.3 Bagi urusan pemberian milik serta penukaran kegunaan tanah, sistem fast track akan
diwujudkan dan Unit Perancang Ekonomi Negeri dilantik sebagai Pusat Sehenti bagi semua
urusan berkaitan. Untuk ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
a) penurunan kuasa daripada Pentadbiran Kerajaan Negeri kepada Pengarah Tanah dan Galian
Negeri (PTG) atau Pentadbir Tanah di peringkat daerah. Selaras dengan ini, pendaftaran hak
milik tanah dipusatkan di peringkat Pejabat Tanah Daerah;
b) mewujudkan Sistem Pemodenan Pentadbiran Tanah (SPPT), sebagai sistem elektronik untuk
menyokong pentadbiran tanah di setiap peringkat pentadbiran secara fast track; dan
c) meningkatkan kemahiran pegawai dan kakitangan pejabat tanah menerusi program latihan
khusus.
Langkah 72
27.4 Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) meluluskan permohonan
reka bentuk, pemasangan serta pengeluaran Sijil Kelayakan Jentera. Bagi memperbaiki lagi
proses kelulusan, langkah berikut akan dilaksanakan:
a) mengurangkan tempoh memberi kelulusan reka bentuk jentera daripada 12 kepada 6 minggu;
dan
b) melanjutkan tempoh sahlaku Sijil Kelayakan Jentera dari 15 bulan kepada antara 3 hingga 5
tahun.
Langkah 73
27.5 Untuk memudahkan proses permohonan permit dan lesen perniagaan, langkah-langkah
berikut diambil:
a) mengurangkan keperluan majikan memohon permit, kelulusan dan pengecualian mengenai
bayaran gaji, pendahuluan gaji, potongan gaji, kerja malam, penyenggaraan daftar pekerja dan
sebagainya dengan memasukkan peruntukan mengenai perkara-perkara tersebut dalam undang-
undang yang berkaitan;
b) semua PBT menggunakan proses permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan yang
seragam di samping memperkenalkan lesen komposit dan melanjutkan tempoh sahlaku lesen
tersebut antara 3 hingga 5 tahun;
c) membangunkan sebuah Portal Perkhidmatan Awam sebagai one stop window bagi
membolehkan orang awam dan masyarakat perniagaan mendapatkan maklumat dan pelbagai
jenis borang serta membuat pelbagai transaksi secara on-line; dan
d) mengadakan dialog tahunan antara Kerajaan Negeri serta PBT dengan sektor swasta bagi
tujuan menyebarkan maklumat, menerima maklum balas dan mempromosikan persekitaran
perniagaan yang lebih mesra selaras dengan Malaysia Inc.
28. Langkah-langkah juga akan terus dilaksanakan untuk meningkatkan lagi kecekapan agensi
kutipan hasil:
Langkah 74
28.1 Menggunakan Electronic Data Interchange (EDI) di semua pelabuhan dan lapangan terbang
menjelang Oktober 2003 serta menyediakan perkhidmatan paperless mulai April 2004.
Langkah 75
28.2 Melaksanakan program Customs Golden Client dengan memberi kemudahan laluan hijau
(Green Lane) di pintu masuk dan keluar kepada peniaga-peniaga yang menyumbang hasil cukai
yang tinggi dan yang mempunyai rekod bayaran cukai yang baik.
Langkah 76
28.3 Kemudahan on-line untuk penyerahan, pengesahan dan bayaran duti eksais, cukai jualan
dan cukai perkhidmatan.
Langkah 77
28.4 Memendekkan masa urusan stamping dokumen melalui e-stamping.
MENANGANI KESAN NEGATIF SARS
29. Sejak tercetusnya wabak SARS, industri pelancongan negara, terutamanya pengusaha hotel
dan pelancongan serta sektor perniagaan telah terjejas dengan ketara. Untuk membantu mereka
menghadapi masalah ini, langkah-langkah segera untuk mengurangkan kos perniagaan akan
dilaksanakan:
Langkah 78
29.1 Menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan oleh agensi pelancongan mulai 1 Jun
sehingga 31 Disember 2003.
Langkah 79
29.2 Memberi diskaun sebanyak 5 peratus daripada jumlah bil elektrik bulanan kepada
pengusaha hotel, bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2003.
Langkah 80
29.3 Bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, langkah-langkah berikut dilaksanakan:
a) mengurangkan caruman KWSP daripada 11 kepada 9 peratus bagi pekerja untuk tempoh
setahun mulai 1 Jun 2003; dan
b) memberi bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada kakitangan Kerajaan. Syarikat Kerajaan
yang menjangkakan keuntungan pada tahun ini, juga disarankan untuk memberi insentif
kewangan yang sama kepada kakitangan mereka.
Langkah 81
29.4 Mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi agensi pelancongan dan
hotel mulai 1 Jun sehingga 31 Disember 2003.
Langkah 82
29.5 Mengurangkan cukai jalan teksi bagi 6 bulan sebanyak 50 peratus. Pengurangan ini untuk
sekali sahaja.
Langkah 83
29.6 Mengecualikan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh hotel dan
restoran mulai 1 Jun sehingga 31 Disember 2003. Selain dari membantu sektor berkenaan dari
kesan SARS, langkah ini juga akan meningkatkan penggunaan swasta yang akan memberi kesan
berganda kepada ekonomi.
Langkah 84
29.7 Mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas alat tele dan video conferencing dengan
syarat barangan tidak dikeluarkan di dalam negara, untuk memudahkan komunikasi, terutamanya
di antara negara-negara yang terlibat dengan wabak SARS.
Langkah 85
29.8 Untuk membantu pengusaha kedai bebas cukai dan kedai-kedai lain di semua lapangan
terbang, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
a) mengurangkan kadar sewa premis yang dikenakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad
(MAHB) sebanyak 50 peratus;
b) mengurangkan kadar yang dikenakan bagi promosi dan pengiklanan daripada satu peratus
kepada 0.5 peratus daripada jumlah nilai jualan; dan
c) memanjangkan tempoh kontrak konsesi bagi penyewaan premis perniagaan selama 2 tahun
lagi.
Langkah (a) dan (b) dikuatkuasakan mulai 1 Jun sehingga 31 Disember 2003.
Langkah 86
29.9 Bagi mengurangkan beban kewangan peminjam di sektor pelancongan, seperti agensi
pelancongan, pengusaha hotel, restoran dan pusat membeli-belah:
a) BNM menyediakan Special
Relief Guarantee Facility (SRGF) berjumlah RM1 bilion, terutamanya untuk working capital ;
b) institusi perbankan akan menyediakan kemudahan melalui Skim Penyusunan dan Penjadualan
Semula Pinjaman (SPPSP) bagi:
i. semua jenis pinjaman dan kemudahan kredit; dan
ii. pinjaman bercagar bagi pekerja yang dipotong gaji.
c) pengecualian duti setem diberi ke atas surat cara pinjaman di bawah SRGF dan SPPSP.
Langkah 87
29.10 Pada masa ini, pekerja yang menerima kemudahan tambang percuma daripada majikan
bagi perjalanan domestik tidak dikenakan cukai pendapatan. Walau bagaimanapun, perbelanjaan
oleh majikan tidak diberi potongan cukai. Untuk menggalakkan lagi pelancongan domestik,
perbelanjaan majikan ke atas kemudahan tambang percuma kepada pekerja di beri potongan dua
kali untuk tempoh setahun, mulai 1 Jun 2003.
Langkah 88
29.11 Pegawai dan kakitangan kesihatan di hospital Kerajaan, yang terlibat secara langsung
memberi rawatan kepada pesakit SARS, diberi elaun kritikal khusus sebanyak RM400 sebulan
bagi doktor dan RM200 bagi kakitangan yang lain mulai 1 April 2003 sehingga berakhirnya
wabak SARS.
Langkah 89
29.12 Centre for Disease Control (CDC) akan ditubuhkan di bawah Institut Penyelidikan
Perubatan (IMR) untuk menjalankan penyelidikan bagi mengawal penyakit berjangkit seperti
SARS, denggi dan JE.
Langkah 90
29.13 Usaha untuk membendung, mengawal dan menghindar dari merebaknya penyakit
berjangkit, bukan hanya menjadi tanggungjawab Kerajaan, malahan memerlukan komitmen dan
sokongan daripada semua rakyat. Dengan ini, kita mesti memberi keutamaan kepada kebersihan,
di rumah atau di tempat awam. Kesedaran terhadap kebersihan mesti disemai dari kecil lagi
supaya menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan seharian kita. Bagi melaksanakan
program kebersihan, sejumlah RM200 juta disediakan kepada PBT.
IMPLIKASI KEWANGAN
30. Pakej Strategi Baru bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara ini akan menyebabkan
kehilangan hasil Kerajaan sebanyak RM800 juta setahun, berikutan dari pemberian galakan dan
pelepasan cukai. Pembiayaan Pakej ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion
dalam bajet Kerajaan Persekutuan. Di samping itu, BNM menyediakan RM2 bilion, manakala
Institusi Kewangan Pembangunan seperti BPM, BSN, Bank Pembangunan dan Infrastruktur
(BPIMB) dan Bank Industri menyediakan sebanyak RM3.6 bilion. Semuanya berjumlah RM7.3
bilion.
PENUTUP
31. Kerajaan yakin Pakej ini akan memberi impak yang berkesan dalam usaha untuk
memperkukuhkan lagi asas ekonomi negara yang akan menjamin pertumbuhan lebih mampan
dalam jangka masa sederhana dan panjang. Di samping itu, langkah untuk mengeksploitasi
punca-punca baru dalam negeri akan dapat mengurangkan pergantungan ekonomi negara kepada
sektor luar.
32. Kerajaan akan terus memantau rapi perlaksanaan Pakej ini bagi mempastikan semua langkah
dilaksanakan dengan pantas dan berkesan. Kerajaan yakin jika semua langkah-langkah
dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan dengan sokongan padu dari semua pihak, kita
tentu berjaya mempastikan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini akan lebih baik
dibanding dengan pencapaian tahun lepas, sementara pertumbuhan di tahun-tahun hadapan akan
menjadi lebih mantap lagi, InsyaAllah.
Putrajaya
21 Mei 2003

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0522&sec=Ekonomi&pg=ek_10.htm#ixzz4y6njZGpK 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anda mungkin juga menyukai