Anda di halaman 1dari 9

TAZKIRAH NUZUL QURAN

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan


Ramadan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan
manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang
tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.
Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya
penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia
kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab yang dulunya dikenali sebagai


seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah s.a.w.
telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila
dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.
Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana
membaca dan menatap beberapa potong ayat Quran daripada
surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah.
Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin
dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan
keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah termasuk Abu
Jahal.
Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada
akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir
zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat
pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan
mereka amat berbeza.
Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran?
Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan
sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab
Allah yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi
Muhammad s.a.w.
Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan
al-Quran ke atas baginda Rasulullah sebagai petunjuk kepada
umat manusia sejagat.
Waktu turunnya al-Quran?
Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran
diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”,
pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran
mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik
daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia
pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.
Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan
dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang
diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke
Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan
rukun-rukun iman yang lain.
Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang
sebenar?
Dalil daripada al-Quran:
1- Ayat 15-16 surah al-Maidah : “Sesungguhnya telah datang
kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab
yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah
menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan
keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan
orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang
benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan
yang lurus.”
2- Dalam ayat 9 surah al-Hadid : “Dialah (Allah) yang
menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang
terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari
kegelapan kepada cahaya (Islam).”
Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan
bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia,
tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus
berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba
serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada
cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui
kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang
benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran
agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.
Dalil daripada hadis Nabi Muhammad s.a.w.: “Dari Ali
Karramallahu Wajhahu, katanya: Sesungguhnya aku telah
mendengar Rasulullah Salallahu Alayhi Wasallam bersabda:
"Sesungguhnya akan berlaku fitnah yan banyak." Aku pun
bertanya: "Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah?"
Baginda menjawab: Kitabullah (al-Quran). Kerana di dalamnya
terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan
perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu;
dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-
Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa
yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan
dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari
petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah
tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan)
yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang
lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh
kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan
menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang
kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para
ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian
juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak
akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak
berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti
mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami
mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk
ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa
sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa
yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa
yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang
menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil
Mustaqim (jalan yang lurus) - HR Tirmizi dan Darimi.
Keterangan maksud hadis mengenai fungsi al-Quran
Memang benar dan tepat sekali penjelasan baginda s.a.w.
seperti dalam hadis di atas, bahawa pada akhir zaman akan
berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan
Muslimin.
Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam
yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam
kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan
sendiri oleh mereka yang bernama Islam.
Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti
meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh
diterima kerana menonton pertandingan bola sepak,
pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan
sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua
yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh
Allah SWT, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah,
pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.
Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan
golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam
kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana
tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada
bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung
atau simpati kepadanya.
Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-
fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia
diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas
adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta
mempimpin mereka ke jalan kebenaran.
Cara bagaimana al-Quran diturunkan
Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran
diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali
gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua
puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga
tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi
Muhammad dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan
peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah
SWT pada tempoh tersebut.
Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia
dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat- peringkat
ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi
ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud: “Berkatalah orang-
orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada
(Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara
itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya
kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran) .”
Surah pertama turun dalam al-Quran
Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara
keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir,
sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang
sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang
mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima
ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para
ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak
mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama
diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah.
Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka
kepada surah-surah lain dalam al-Quran.
Ayat terakhir turun dalam al-Quran
Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama
berdasarkan riwayat hadis tertentu:
Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai
pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah: “Wahai
orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah
dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu
benar-benar orang-orang yang beriman.” ia diriwayatkan oleh
Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.
Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah: “Dan peliharalah
diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu
kamu semua dikembalikan kepada Allah.” Ia berdasarkan
riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.
Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang
menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat
yang terpanjang dalam al-Quran. Ia berdasarkan riwayat Said
Bin al-Musaiyab.
Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah: “Pada hari ini telah
Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku
cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu
menjadi agama bagi kamu.”
Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan
riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w, ia
hanya terjenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-
masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak
menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun
menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat
keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda
sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk
bertemu Tuhannya.
Apakah yang ada dalam al-Quran?
Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang
diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka
dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang
mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan
datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh
teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai
sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah SWT yang
memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam
segenap tindak-tanduk- Nya..
Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal
ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem
kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam
sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak
dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.
Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan
manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak
mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab
dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.
Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin
yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang
didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan
orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi
pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan
hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka
perlukan.
Sikap Muslim terhadap al-Quran
Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam
memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini
ditegaskan sendiri oleh Allah SWT menerusi ayat 32 surah
Fatiir yang bermaksud: “Kemudian kitab itu Kami wariskan
kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba
Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka
sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara
mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan
dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang
amat besar.” Sesungguhnya di kalangan hamba Allah yang
diwariskan Allah al-Quran kepada mereka adalah yang
bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular,
Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba
Allah yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.
Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di
kalangan hamba Allah yang Islam yang berbeza pendirian atau
sikap mereka terhadap al-Quran:
1- Yang menganiayai diri mereka sendiri : Iaitu golongan yang
kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala
kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran,
mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan
perintah Allah di dalamnya.
2- Adapun golongan yang bersederhana : Ialah golongan di
mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala,
mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum
bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri
daripada hukum-hakam Allah.
3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat
kebaikan : Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang
dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka
adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum
perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan
Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia
sepanjang masa.
Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di
antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang
jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-
mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk
mendapatkan cahaya keredaan Allah SWT.
Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai
1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki
hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam,
kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-
kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam,
tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah
lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-
Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran
yang bermaksud : “Bagaimana kmu sampai menjadi kafir, pada
hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-
Nya pun berada di tengah-tengah kamu?”
Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di
kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan
Rasulullah berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan
Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan majlis Maulidur
Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, namun
akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi
golongan yang menentang (kafir) kebenaran.
2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud: “Sesiapa yang
mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu
semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik
dan amal solih dinaikkannya.”
Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah SWT
memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan
kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia
menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar
perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum
agama seseorang itu akan dimuliakan Allah SWT.
Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi
kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap
angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan
kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh
menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya.
Tadarus al-Quran pada bulan Ramadan
Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah
s.a.w. dalam satu hadis (hadis yang ke-36 dalam hadis 40
susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a., dari
Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam
rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan bertadarus
(berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan
perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah,
diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat
dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.”
Menurut hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan
tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama
ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains
meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu
alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam
lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-
ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi
(tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan
sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah
SWT.
Apa yang penting, Ramadan tahun ini menjadikan kita umat
yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan
al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-
Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid,
supaya Ramadan kali ini benar-benar meninggalkan seribu
kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus
merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji
serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara
itu kita menjadi graduan Ramadan cemerlang pada kali ini,
Amin.

Anda mungkin juga menyukai