Anda di halaman 1dari 42

MASJID KAPITAN KELING, P.

PINANG
ISI KANDUNG

ABSTRAK PENGENALAN PENDUDUKAN INGGERIS DI PULAU PINANG MASYARAKAT INDIA MUSLIM KAPITAN KELING PEMBINAAN MASJID FUNGSI MASJID TANAH WAKAF WARISAN SEJARAH PENTADBIRAN MASJID KAPITAN KELING TRANSKRIP TEMU RAMAH DENGAN SETIAUSAHA MASJID LAMPIRAN

GAMBAR - GAMBAR BIBLIOGRAFI

ABSTRAK
Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi kerana diberi kemampuan untuk menjalankan kajian ini bagi melengkapkan pengajian jarak jauh dalam bidang ilmu kemanusiaan. Sesungguhnya tahun akhir adalah tahun yang agak mencabar lebih-lebih lagi sebagai pelajar jarak jauh yang mana saya adalah seorang guru yang sentiasa sibuk dengan tugasan harian. Namun demi untuk ilmu dan segulung ijazah, saya menggagahkan diri ini meneruskan usaha melengkapkan kajian ini. Saya telah memilih tajuk Masjid Kapitan Keling yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang sebagai tajuk kajian saya. Masjid yang terletak di tengah-tengah kawasan warisan dunia, iaitu di Jalan Masjid Kapitan Keling atau dulunya dikenali sebagai Lebuh Pitt (Pitt Street) sejarah merupakan antara bangunan bersejarah yang dipulihara dan menjadi tumpuan pelancong sama ada dalam dan luar negeri. Sungguh pun di atas kertas untuk menjalankan kajian ke atas masjid ini dilihat tidak begitu sukar, namun hakikatnya tidaklah semudah yang disangka untuk memperolehi data-data terperinci mengenai sejarah pembinaan masjid. Ini agak memeranjatkan saya kerana bagi sebuah masjid bersejarah yang terkenal agak sukar juga bagi saya untuk mrndapatkan maklumat.

Walaubagaimanapun, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang membantu saya memperolehi maklumat seperti pihak Muzium Negeri Pulau Pinang, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan AJK Qariah Masjid Kapitan Keling termasuk setiausahanya Encik Sirajuddin yang sudi ditemubual.

PENGENALAN

Masjid Kapitan Keling yang terletak di Lebuh Pitt (sekarang dikenali Jalan Masjid Kapitan Keling), Pulau Pinang merupakan masjid yang tertua di Pulau Pinang. Masjid yang terletak di daerah timur laut Pulau Pinang merupakan sebahagian dari monumen warisan dunia sebagai mana yang telah diisytiharkan oleh UNICEF pada tahun 2008 yang telah meletakkan Georgetown sebagai kota warisan dunia. Masjid Kapitan Keling telah dibina oleh tentera British yang berketurunan India Muslim yang berkhidmat di Pulau Pinang pada penghujung abad ke 18. Pada 1801 masjid ini telah dibina dan dinamakan sempena dengan nama pemimpin masyarakat India Muslim di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Kapitan Keling. Kapitan adalah perkataan pinjaman Sepanyol yang bermaksud captain dalam bahasa Inggeris atau ketua dalam bahasa Melayu. Perkataan Keling pula merujuk kepada masyarakat yang berasal dari benua keling iaitu India. Terdapat pelbagai huraian mengenai asal-usul penggunaan istilah keling yang akan dihuraikan nanti. Nama masjid tersebut merujuk kepada nama kapitan keling pertama di Pulau Pinang yang bernama Caudeer Mohudeen Merican. Beliau telah memohon tanah seluas lapan belas ekar pada

November 1801 bagi pembinaan masjid. Ini memandangkan kepada keperluan rumah ibadat kepada askar-askar British dari India yang beragama Islam yang mana kebanyakannya dari selatan India kebanyakan etnik Tamil dan Malabar serta juga etnik-etnik Gujerat dan Punjabi yang lebih kecil bilangannya. Pembinaan masjid di lokasi tersebut melambangkan toleransi agama yang wujud ketika itu kerana masjid tersebut juga berjiran dengan rumah-rumah ibadat lain iaitu tokong Cina Kong Hock Keong Temple yang dibina pada tahun 1800, gereja St. Georges Church dibina pada 1818 dan kuil Hindu Mahamariamman Temple yang telah dibina pada 1833. Pembangunan yang pesat di kawasan itu telah mengecilkan keluasan masjid tersebut daripada 18 ekar kepada 8 ekar sahaja. Caudar Mohudeen telah mewakafkan tanah masjid dan kawasan sekitarnya selepas kematiannya dan wasiatnya akan dibincangkan nanti. Masjid Kapitan Keling yang ada pada hari ini merupakan masjid yang telah dibina semula pada 1916 yang telah menyaksikan penyusutan kawasan masjid kepada 8 ekarnya yang mana kawasan selebihnya telah dibina jalan raya dan juga rumah kedai dan kediaman yang sebahagiannya kekal sehingga ke hari ini. Masjid Kapitan Keling pernah dijadikan masjid negeri sebeluym pembinaan Masjid Negeri Pulau Pinang yang ada sekarang yang telah siap pada awal lapan puluhan. Pada hari ini, selain berfungsi sebagai rumah ibadat, Masjid Kapitan Keling turut menjadi tarikan pelancong asing yang datang untuk menyaksikan bangunan warisan bersejarah. Masjid ini telah melalui beberapa usaha pemuliharaan yang telah menelan belanja berjuta-juta ringgit dalam usaha mengekalkan warisan sejarah negara yang amat berharga di samping membuktikan kesinambungan kewujudan masyarakat Islam di negeri ini biar pun dijajah oleh penjajah bukan

Islam iaitu Inggeris. Hari ini, Masjid Kapitan Keling turut dilengkapi dengan sebuah pusat sumber ibarat perpustakaan kecil yang berperanan sebagai suatu instrument dakwah. Pusat sumber tersebut selain dilengkapi dengan pelbagai buku ilmiah mengenai ajaran agama Islam turut sama ditemani dengan pendakwah-pendakwah yang berwibawa yang dapat menghuraikan pemahaman mengenai ajaran Islam kepada pengunjung yang berminat mengetahui mengenai ajaran Islam.

PENDUDUKAN INGGERIS DI PULAU PINANG

Sebelum kedatangan orang-orang Inggeris, Pulau Piang merupakan sebahagian daripada wilayah negeri Kedah. Terdapat bukti-bukti yang nyata mengenai kewujudan penghuni di pulau ini sebelum kedatangan Inggeris. Walaubagaimanapun, jumalah penduduk yang mendiami pulau ini tidaklah pesat sebagaimana selepas kehadiran British. Keadaan pulau ini ketika itu adalah seumpama perkampungan nelayan yang mendiami dibeberapa kawasan seperti di Gelugor dan Batu Uban. Kajian terkini mendapati Sultan Kedah telah mempelawa sekumpulan masyarakat Melayu Minang dari Pagar Ruyung untuk mendiami pulau ini. Kubur-kubur lama yang terdapat di Gelugor menjadi bukti kukuh kepada teori ini, begitu juga dengan tokoh yang dikenali sebagai Datuk Keramat. Kesultanan Melayu Kedah pada ketika itu merangkumi wilayah yang agak luas dan kemakmurannya adalah hasil daripada kesuburan tanah datarannya amat sesuai untuk tanaman padi yang merupakan makanan ruji bagi masyarakat Asia Tenggara. Justeru itu juga ancaman dari jiran yang lebih kuat seperti Siam dan Burma membuatkan Sultan Kedah berasa tidak tenteram, serta ditambah pula dengan pergolakan dalaman. Sejak sekian lama Kedah dianggap

sebagai negeri naungan Siam yang mewajibkannya menghantar ufti berbentuk gubahan bunga emas kepada Raja Siam. Walaupun pada awalnya, Kedah menganggapnya sebagai suatu hubungan diplomatik biasa antara dua negeri berjiran iaitu sebagai tanda persahabatan apabila Raja Siam memperolehi anak, namun bagi Siam pula mengaggapnya sebagai suatu bentuk ufti dan beranggapan kesediaan Kedah untuk bernaung di bawah kekuasaannya, lebih-lebih lagi apabila menyedari kekuatannya dan keluasannya jauh melebihi Kedah. Sultan Kedah sememangnya menantikan kehadiran kuasa luar yang mampu menyaingi Siam maupun Burma. Sultan Muhamad Jiwa yang menjadi Sultan Kedah ketika itu ada menulis surat kepada Inggeris di India mempelawa kehadiran British di rantau ini. Pada ketika meletusnya Perang Siam Burma, perhatian kerajaan Siam terhadap Kedah menjadi kurang di samping kedatangan sebuah kapal Inggeris diketuai oleh Kapten Francis Light seorang pegawai di Syarikat Hindia Timur Inggeris(SHTI) dan pada ketika itu tahun 1771 menjadi kesempatan kepada Sultan Abdullah untuk berunding bagi mengukuhkan kedudukan Kedah daripada ancaman Siam dengan menawarkan kebenaran kepada Inggeris untuk berdagang dan menjadikan kawasan sepanjang pantai Kuala Kedah hingga ke Pulau Pinang sebagai loji perkapalan British. Francis Light yang tertarik dengan tawaran Sultan Kedah telah mengemukakannya kepada SHTI di India, namun jawapan SHTI agak mengecewakan kerana keengganan British terlibat dalam pertikaian ketenteraan dengan Siam memandangkan mereka mempunyai hubungan dengan Siam dalam menghadapi musuh yang sama iaitu Burma. Namun, Francis Light merupakan seorang yang licik telah sekali lagi datang berunding dengan Sultan Kedah beberapa tahun kemudian dengan meminta untuk menduduki Pulau Pinang dan sebagai balasannya pampasan sebanyak $30 000 (Spanish Dollar) akan diberikan kepada Sultan di samping janjijanji palsu melindungi Kedah dalam aspek ketenteraan.

Hasilnya Francis Light telah mengisytiharkan pendudukan rasmi pada 1 Ogos 1786 dengan menamakan Pulau Pinang sebagai Prince of Wales Island. Sesungguhnya pendudukan Pulau Pinang adalah secara koboi, kerana tanpa sebarang dokumen perjanjian penyerahan yang sah. Namun yang kuat selalunya akan mengatasi yang lemah walau dengan apa cara sekali puin hatta matlamat menghalalkan cara. Begitulah juga nasib yang menimpa Sultan Kedah yang telah ditipu hidup-hidup ekoran daripada kelemahan sendiri. Francis Light telah mendarat di kawasan Esplanade (kini dikenali sebagai Padang Kota Lama). Kawasan itu diliputi hutan yakni tumbuh-tumbuhan liar. Francis Light telah mengarahkan orang-orangnya membersihkan kawasan tersebut untuk dijadikan kawasan petempatan. Beliau dikatakan menggunakan kaedah menabur siling emas ke dalam hutan bagi memprcepatkan proses pembersihan dan pembukaan tanah. Dalam usaha untuk memesatkan pembangunan, beliau menawarkan pemberian tanah kepada pendatang-pendatang yang berminat bermastautin di Pulau Pinang, dan dianggarkan selang beberapa tahun seramai 10 000 orang pelbagai bangsa telah bermastautin di Pulau Pinang. Bagi mengukuhkan kedudukan British di Pulau Pinang, sebuah kubu pertahanan yang dinamakan Fort Cornwallis telah dibina dengan beberapa laras meriam dihalakan ke arah laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan. Sultan Abdullah yang menaiki takhta kesultanan Kedah telah berasa ditipu oleh Francis Light telah beberapa kali cuba menggugat kedudukan Inggeris, namun semuanya gagal, malah bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Inggeris dengan mengiktirafkan pendudukan Inggeris di Pulau Pinang. Malahan pada tahun1800, akibat gagal dalam percubaan menggugat Inggeris, sebidang tanah diperolehi British iaitu Seberang Perai yang mana British menamakannya sebagai Province Wellesley.

Dalam memperkatakan kepesatan penduduk di Pulau Pinang yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang mencari nafkah dalam pelbagai punca rezeki, masyarakat keturunan India Muslim turut sama mewarnai kepelbagaian bangsa yang tinggal di Pulau Pinang. Sebahagiannya dibawa masuk oleh British yang mana mereka bertugas sebagai askar sepoi British, manakala sebahagian lagi berhijrah dengan sendiri untuk mencari penghidupan baru dan kebanyakannya adalah peniaga-peniaga. Ekoran jumlah masyarakat India Muslim yang ramai ini telah melahirkan sebuah rumah ibadat atau masjid yang terletak di kawasan petempatan mereka. Dalam mentadbir masyarakat pelbagai bangsa yang berbeza budaya, bahasa dan agama, pihak Inggeris telah melantik ketua bagi setiap kaum yang ada. Ketua-ketua bagi setiap kaum ini dikenali sebagai kapitan. Ketua bagi kaum Cina dipanggil sebagai Kapitan Cina, manakala bagi masyarakat India pula lebih dikenali sebagai masyrakat Keling, oleh itu, ketua bagi masyarakat India dikenali sebagai Kapitan Keling. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan, bagi pemahaman orang-orang utara bahawa istilah Keling itu merujuk kepada masyarakat India Muslim. Bagi masyarakat India yang beragama Hindu, mereka lebih dikenali sebagai masyarakat Hindu iaitu bangsa mereka dirujuk dengan sebutan nama kepercayaan agama mereka. Namun, bagi pemahaman orang-orang bukan dari sebelah utara, sama ada masyarakat pantai timur, bahagian tengah dan selatan tanah air, istilah Keling termasuk semua yang berketurunan India termasuk juga yang beragama Hindu. Setelah Francis Light menduduki Pulau Pinang, beliau telah memajukan Pulau Pinang dengan menarik minat kapal-kapal dagang untuk singgah di Pulau Pinang di samping kapalkapal perang yang singgah bagi menadapatkan bekalan di samping mambaiki kapal. Pulau Pinang telah menjadi pusat perdagangan rempah, kayu-kayan dan lan-lain barangan. Kepesatan ekonomi Pulau Pinang telah juga menarik ramai imigran Cina sama ada golongan peniaga mau

pun golongan buruh sehinggakan Pulau Pinang menjadi ibu pejabat kumpulan-kumpulan kongsi gelap Cina termasuk Ghee Hind an Hai San.

MASYARAKAT INDIA MUSLIM

Masyarakat India Muslim merujuk kepada masyarakat Islam yang berasal dari India. Masyarakat India Muslim ini terbahagi kepada beberapa ethnik berdasarkan wilayah asal mereka di India. Ianya termasuklah dari selatan India iaitu dari wilayah Tamil Nadu dikenali sebagai masyarakat Tamil, dari wilayah Karala dikenali sebagai Malabar dan Telegu. Selain dari selatan India, terdapat juga yang berasal dari Gujerat yang dikenali Gujerati. Manakala mereka yang datang dari utara India juga terdapat walaupun bilangannya agak kecil dan mereka ini dikenali sebagai Pathan dan Punjabi disamping dari wilayah Benggala berdekatan Culcutta yang dikenali sebagai masyarakat Benggali. Walau bagaimanapun masyarakat setempat kerapkali tidak dapat membezakan antara masyarakat Punjabi yang berasal dari wilayah Punjab dengan masyarakat Benggali yang berasal dari wilayah Benggala yang membentuk negara Bangladesh hari ini. Kedua-dua ethnik akan dipanggil sebagai Benggali atau Benggali Islam oleh masyarakat tempatan. Kewujudan masyarakat India Muslim di alam Melayu dikesan seawal abad ke-15 lagi iaitu di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah telah menyatakan peranan yang dimainkan oleh golongan India Muslim dalam politik Melaka. Tokoh-tokoh yang memegang jawatan bendahara seperti Tun Ali dan Tun Mutahir membuktikan betapa berpengaruhnya mereka di Tanah Melayu. Malah, Sultan Muzaffar Syah iaitu Sultan Melaka yang keempat ataupun kelima

juga merupakan seorang yang berdarah kacukan India Muslim. Masyarakat India Muslim turut dikaitkan dengan teori kedatangan Islam ke alam Melayu berdasarkan teori otoktoni yangdikemukakan oleh Snouck Hurgronje. Namun sebahagian besar hampir keseluruhan masyarakat India Muslim yang wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah melalui proses asimilasi dengan masyarakat setempat dan golongan ini telah terserap ke dalam masyarakat Melayu ekoran masa demi masa yang berlalu, di samping ikatan perkahwinan dengan masyarakat setempat. Dalam kajian mengenai Masjid Kapitan Keling ini, golongan komuniti India Muslim dirujuk kepada gelombang kedatangan mereka pada lewat abad ke 18 dan awal abad ke 19 sejajar dengan kehadiran penjajah British. Ramai di kalangan mereka yang berkhidmat sebagai anggota keselamatan sama ada polis mahu pun askar. Bagi masyarakat Melayu utara golongan India Muslim ini dipanggil sebagai Keling atau pun turut dikenali sebagai mamak. Kewujudan mereka seringkali dikaitkan dengan penduduk Pulau Pinang, memandangkan sumbangan mereka dalam membantu Francis Light membangunkan pulau ini. Pengaruh mereka terhadap identiti masyarakat Pulau Pinang tidak dapat dinafikan terutama dari segi budaya. Ini dapat dilihat dengan populariti nasi kandar, pasembor dan juga loghat masyarakat Melayu Pulau Pinang. Hasil dari perkahwinan campur dengan penduduk setempat telah melahirkan komuniti Melayu yang dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Jawi Pekan yang mana anak-anak gadis mereka yang berhidung mancung dan bermata bulat seringkali diusik dengan panggilan Anak Mami. Begitu juga dengan gelaran kekeluargaan seperti mamu, nana, khala mami dan beberapa lagi panggilan yang digunakan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang.

Walaupun sebahagian masyarakat India Muslim telah melalui proses asimilasi atau pun proses pemelayuan melalui perkahwinan dengan masyarakat Melayu setempat, namun terdapat juga segelintir yang mengawal kewujudan identiti mereka sebagai India Muslim. Antara langkah yang mereka lakukan ialah dengan tidak menggalakkan anak-anak mereka berkahwin dengan orang-orang Melayu, terus mengamalkan di budaya India sejati seperti menggunakan sepenuhnya bahasa ibunda mereka dalam urusan harian, termasuk khutbah solat Jumaat di Masjid Kapitan Keling juga menggunakan bahasa Tamil dan juga terus berhubung rapat dengan saudara-mara India. Fenomena mamak kedai balik India adalah perkara yang seringkali kedengaran di kalangan masyarakat Pulau Pinang. Sejurus selepas kedatangan British diketuai Francis Light, petugas-petugas India iaitu golongan Havidar, Jemadar dan Sepoy telah membersihkan suatu kawasan untuk dijadikan petempatan mereka yang mana sebuah masjid berbumbungkan atap rumbia turut didirikan di samping menyediakan sebuah kawasan perkuburan Islam. Selain daripada golongan petugas Syarikat Hindia Timur British, ramai juga masyarakat India Muslim yang terdiri daripada golongan peniaga sama ada peniaga kecil ataupun saudagar yang kaya raya. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, ethnik Tamil merupakan golongan paling ramai selain daripada Malabar. Golongan Tamil Muslim ini kebanyakannya berasal dari Thenkasi di kawasan Trinelveli, Tamil Nadu. Selain itu ada juga daerah Ramnad dan Tajore juga di Tamil Nadu. Golongan Tamil Muslim ini terbahagi kepada dua genarasi yang utama iaitu Merikar dan Rawther. Golongan Merikar bermahzab Syafiee manakala golongann Rawther pula bermahzab Hanafi dan kedua-duanya adalah mazhab Sunnah wal Jamaah. Golongan Merikar ini jua dikenali dengan nama Merikan yang terdapat pada nama mereka. Marikar dalam bahasa Tamil membawa maksud penduduk dengan perahu kayu. Fakta menunjukkan Marikar berasal

dari kawasan tanjung laut sekitar Tamil Nadu. Rawther pula mengambil daripada perkataan Mauther yang bermaksud penduduk yang menguruskan gajah dan kuda tentera diraja. Golongan Malabar yang berasal dari Karala dan merupakan golongan kedua teramai selepas masyarakat Tamil. Masyarakat Malabar yang turut digelar kaka yang bermaksud abang melakarkan sejarah kemasukan ke Pulau Pinang dengan kawasan petempatan awal mereka yang dikenali sebagai Malabar Steet yang kemudiannya ditukar kepada nama Chulia Street. Di samping itu juga terdiri sebuah Masjid Malabar di Beach Street, Pulau Pinang sebelum musnah akibat bom Perang Dunia Kedua. Selain itu terdapat perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Malabar di Transfer Road dan Kampung Kaka di tengah-tengah bandaraya Georgetown. Francis Light telah menggunakan sistem pentadbiran terhadap masyarakat berbilang kaum mengikut model yang digunakan oleh penjajah Belanda iaitu dengan melantik ketua bagi setiap kaum dengan gelaran Kapitan. Bagi masyarakat India Muslim mereka juga mempunyai seorang kapitan yang dikenali sebagai Kapitan Keling. Tugas seorang kapitan adalah sebagai mewakili kaumnya dalam sebarang urusan dengan pemerintah disamping menyelesaikan pertikaian di kalangan kaumnya. Malah sebelum wujudnya sistem kehakiman di Pulau Pinang, kapitan turut bertindak sebagai hakim dalam menyelesaikan perbalahan yang berlaku sesama anggota kaumnya. Berdasarkan rekod kemasukan imigran dari India dianggar seramai antara 1300 hingga 2000 imigran dari India yang datang menetap di Pulau Pinang pada 1790 iaitu selepas empat tahun pendudukan Inggeris di Pulau Pinang. Pada 1830 pula dianggarkan seramai 11 000 masyarakat India di Pulau Pinang dan menjadi kaum kedua paling ramai selepas masyarakat

Melayu yang berjumlah seramai 40 000 manakala kaum Cina tempat ketiga dengan jumlah 9 000 orang penduduk.

KAPITAN KELING
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Inggeris mentadbir masyarakat berbilang kaum melalui perlantikan ketua bagi setiap kaum yang dikenali sebagai kapitan. Model ini sebenarnya mengikut sistem yang diamalkan Belanda semasa menakluk Melaka daripada Portugis pada 1641. Ini disebabkan penduduk awal Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu daripada kaum Melayu yang semakin bertambah dari sebelum kehadiran Inggeris, kaum India yang merupakan petugas-petugas Syarikat Hindia Timur Inggeris termasuklah polis dan askar di samping kehadiran pedagang-pedagang (kebanyakannya India Muslim) yang sebelum ini sudah biasa berniaga di pantai Kuala Kedah dan juga imigran-imigran Cina yang digalakkan untuk berhijrah ke Pulau Pinang dalam usaha untuk memakmurkan ekonomi Pulau Pinang. Di samping tiga kumpulan kaum yang besar, terdapat juga kaum-kaum yang kecil jumlahnya seperti masyarakat Serani, masyarakat Arab, masyarakat Eropah, masyarakat Yahudi , Jawa, Boyan, Burmah, Siam dan beberapa kaum lagi. Pada dua hingga lima dekad selepas pendudukan Francis Light, kaum Melayu merupakan penduduk yang paling ramai, berikutan ketidakstabilan dalam negeri terutamanya di Kedah. Kaum yang kedua paling ramai ialah masyarakat India yang mana sebahagiannya adalah India Muslim yang dikenali sebagai mamak atau keling. Bagi menjaga kepentingan kaum ini, seorang ketua yang digelar kapitan telah dipilih. Justeru itu seorang saudagar telah dilantik menjadi Kapitan Keling. Beliau ialah Caudeer Mohudeen Merican yang dipercayai telah tiba di alam Melayu seawal 1770 dengan berniaga di Kuala Kedah. Beliau mula berhijrah ke Pulau Pinang

pada 1790 dan beberapa tahun selepas itu telah dilantik menjadi Kapitan Keling. Setelah dilantik menjadi kapitan, beliau melihat keperluan masyarakat India Muslim yang lebih kukuh binaannya dan perlu ada pengiktirafan yang sah ke atas hak milik tanah yang menjadi tapak masjid berkenaan. Sehubungan dengan itu, Kapitan Keling telah memohon sebidang tanah seluas 18 ekar daripada pemerintah Inggeris di Pulau Pinang. Lokasi tapak yang dipohon pada 1800 itu adalah berhampiran dengan lokasi masjid yang berbumbungkan atap yang telah dibina secara sementara oleh askar-askar sepoi yang beragama Islam semasa Francis Light mula-mula mendarat di Pulau Pinang pada 1786. Lokasi tanah yang terletak di persimpangan Pitt Street dan Malabar Street (kini Lebuh Chulia) telah diluluskan pada 1801. Setelah terdirinya masjid tersebut, masjid tersebut telah dinamakan sebagai Masjid Kapitan Keling bagi menghargai sumbangannya yang tidak ternilai. Caudeer Mohudeen sendiri yang mengepalai pentadbiran masjid tersebut. Beliau merupakan pengerusi jawatankuasa khariah yang pertama, selaras kedudukannya sebagai Kapitan Keling. Di sini dapatlah ditafsirkan bahawa masjid tersebut menjadi institusi sosial yang penting dalam kehidupan masyarakat India Muslim ketika itu. Caudeer Mohudeen sebagai Kapitan Keling merupakan seorang peniaga yang berjaya. Beliau telah menjadikan masjid sebagai pusat komuniti masyarakat India Muslim. Selain itu beliau juga mementingkan pegangan akidah masyarakat Islam dan sentiasa berusaha menarik kehadiran ulama. Malah, salah seorang isterinya iaitu Che Amah Othman Nachiar yakni seorang yang berketurunan Melayu Pattani merupakan seorang ustazah. Di samping Che Amah sebagai

isteri pertama, isteri kedua beliau ialah Tunku Wanchik Thaibu atau juga dikenali sebagai Wan Maheran manakala isteri ketiga beliau ialah Che Aminah. Walaupun Caudeer Mohudeen (disebut sebagai Kadir Mydin) merupakan seorang pemimpin masyarakat India Muslim ataupun Kapitan Keling tetapi isteri-isterinya adalah wanita Melayu. Beliau telah meninggalkan keturunan kacukan yang dikenali sebagai Jawi Pekan, Beliau pernah diiktiraf sebagai orang paling kaya di Pulau Pinang dan memliki beberapa rangkaian perniagaan utama di Pulau Pinang. Sungguh pun begitu kekayaannya yang melimpah ruah tidak melalaikannya terhadap kepentingan agama. Beliau sentiasa mengingatkan anak-anak buahnya agar memelihara agama kerana Pulau Pinang adalah negeri yang tidak memepunyai sultan sebagai pelindung agama. Beliau telah meninggal dunia pada 1834 dengan meninggalkan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan serta beberapa orang cucu daripada tiga orang isterinya. Antara namanama anaknya ialah Othman Ninah dan Othman Sahib. Othman Ninah dipercayai anak sulungnya. Suatu kawasan makam keluarga Kapitan Keling masih lagi wujud di Kampong Kolam iaitu hanya beberapa meter dari Masjid Kapitan Keling.Kawasan makam tersebut telah menempat kubur semua ahli keluarga termasuk ketiga-tiga isterinya, tiga orang anaknya dan kubur Kapitan Keling sendiri. Kawasan perkuburan ini kini dijaga oleh Mohd. Tajuddin bin Md. Noor,berusia 69 tahun yang merupakan generasi kelima keturunan Kapitan Keling. Selain itu, keturunan Kapitan Keling telah berkembang ke seluruh Malaysia yang kebanyakannya menggunakan gelaran namaMerican dan antaranya tokoh-tokoh yang berjaya seperti Tan Sri Hasan Merican(CEO Petronas), Datuk Ismail Merican(Pengarah Kesihatan) , Ahmad Daud Merican (seniman), Reezal Mercan(politikus muda) dan ramai lagi. Namun ada juga yang cuba mengambil kesempatan dengan menuntut kembali hakmilik tanah yang telah diwakaf.

Setelah

meninggal

dunia,

beliau

telah

meninggalkan

wasiat

terhadap

harta

peninggalannya. Di samping membahagi-bahagikan duit serta beberapa hartanya kepada waris dan masyarakatnya, beliau telah mewasiatkan tanah yang menjadi tapak masjid yang seluas 18 hektar itu menjadi tanah wakaf. Ini merupakan satu sumbangan yang amat besar terhadap masyarakat Islam di Pulau Pinang kerana kawasan yang diwasiatkannya itu menjadi tinggi nilainya pada hari ini. Semasa memohon tanah tersebut dari Inggeris, beliau memohon atas namanya, malah beliau telah mengeluarkan sendiri perbelanjaan membina masjid tersebuit. Setelah beberapa tahun kematiannya, keluasan kawasan masjid telah berkurangan daripada 18 ekar kepada 8 ekar sahaja. Namun tanah yang diwakafkan itu bukanlah berpindah kepada mana-mana pihak tetapi digunakan untuk pembinaan jalanraya dan dibina kedai dan rumah kediaman bagi mengekalkan kewujudan masyarakat India Muslim di kawasan itu demi memastikan kesinambungan adanya anak khariyah Masjid Kapitan Keling. Pada hari ini, kawasan sekitar Masjid Kapitan Keling yang telah diwakafkan itu merupakan pusat perniagaan utama masyarakat India Muslim. Antara premis perniagaan yang wujud ialah kedai emas, tukaran asing, restoran nasi kandar dan pelbagai pejabat perniagaan. Ada yang bermula dari situ telah berjaya ke peringkat yang lebih tinggi seperti premis perniagaan Habib Jewels, Yusuf Taiyub, Mydin Wholesale Mart dan lain-lain lagi. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah ungkapan yang sesuai ditujukan kepada Caudeer Mohudeen Merican yang merupakan Kapitan Keling Pulau Pinang yang namanya telah diabadikan kepada sebuah masjid tertua di Pulau

Pinang, sesuai dengan peranan dan sumbangannya terhadap pembinaan dan pembangunan masjid berkenaan.

PEMBINAAN MASJID
Pada awalnya masyarakat India Muslim yang terdiri daripada suku Havidar, Jemadar dan Sepoi yang membentuk masyarakat awal yang dibawa masuk Syarikat Hindia Timur Inggeris ke Pulau Pinang pada 1786 telah membersihkan sebidang tanah yang dipenuhi oleh tumbuhtumbuhan liar yang mana sebuah masjid beratap rumbia telah didirikan di suatu bahagian, manakala suatu bahagian lain dijadikan sebagai tanah perkuburan. Ianya sebagai memenuhi keperluan untuk beribadat yang menjadi tuntutan dalam agama Islam. Selang beberapa lama kemudian, tibalah seorang peniaga India Muslim iaitu Caudeer Mohudeen @ Kaider Maideen yang telah menerima pelawaan Kapten Francis Light untuk meneroka tanah di Pulau Pinang. Dalam tempoh kurang daripada lima belas tahun beliau telah menjadi orang paling kaya di pulau tersebut dan seterusnya dilantik sebagai Kapitan Keling iaitu ketua masyarakat India. Kemakmuran pulau tersebut telah menarik ramai peneroka India Muslim untuk meneroka petempatan di kawasan Pitt Street dan Chulia Street.Nama Chulia Street telah menggantikan Malabar Street sebagai penghormatan kebanjiran masyarakat Tamil Muslim di kawasan itu, sedangkan Malabar merujuk kepada suatu ethnik minority antara terawal berhijrah ke pulau itu dan berasal dari negeri Kerala dan Kartanaka. Nama Malabar diambil sempena Pantai Malabar yang menganjur di bahagian barat daya India yang mana terletaknya negeri-negeri Kerala dan Kartanaka.

Semasa tempohnya menjadi Kapitan Keling, Caudeer Mohudeen telah berjaya mendapatkan sebidang tanah yang dipohonnya daripada SHTI sebagai tapak sebuah masjid dalam tahun 1801. Dua tahun kemudian, Masjid Kapitan Keling dengan pelan berbentuk segiempat tepat telah dibina dengan menggunakan batu-batan yang diimport daripada India. Sebuah telaga untuk tujuan berwuduk telah digali dan telaga tersebut masih kekal sehingga kini. Tanah masjid yang diwakaf tersebut adalah yang paling luas di bandar Georgetown dan meliputi keluasan lapan belas ekar. Masjid yang dibina menggantikan masjid lama yang berupa pondok buruk lagi lagi kecil adalah merupakan impian Kapitan Keling. Selain daripada mengilhamkan pembinaan masjid yang besar dan jauh lebih kukuh binaannya, Caudeer Mohudeen juga bertindak sebagai jurutera awam dan merupakan kontraktor utama dalam pembinaan masdjid tersebut. Beliau mempastikan bahan binaan yang digunakan adalah yang bermutu dengan batu-batan dibawa masuk dari India manakala kayu-kayan diimport dari Eropah. Reka bentuk masjid yang bercirikan Moghul adalah mengikut inspirasi daripada masjid , awal yang didirikan oleh suku Harvidar, Jemadar dan Sepoi. Masjid ini merupakan simbol lonjakan Islam di Pulau Pinang. Penglibatan Sir George Leith yang menjadi Leftenen Gabenor di Pulau Pinang pada 1801 dalam menganugerahkan sebidang tanah dengan keluasan lapan belas ekar bagi memberi laluan projek pembinaan masjid tersebut telah dibuktikan. Kapitan Keling bersama tiga belas orang pembantunya dan enam orang peniaga India Muslim telah menyampaikan nota terima kasih kepada Leith atas pengurniaan tanah tersebut. Kerja-kerja pembinaan terus sahaja dijalankan sebaik sahaja tanah tersebut diperolehi dengan menggunakan kayu-kayu dan besi bermutu tinggi dari Eropah di samping batu-batan dari India.Struktur ringkasnya adalah berasaskan lantai berbentuk segiempat dan setingkat.Selain sebuah perigi digali untuk kegunaan berwuduk,

sebahagian kawasan masjid turut menjadi kawasan tanah perkuburan yang dikenali sebagai hutan mayat oleh masyarakat ketika itu. Di situ juga terdapat beberapa rumah atap orang Melayu. Masyarakat India Muslim dari semasa ke semasa melakukan penambahbaikan terhadap binaan masjid itu walau pun setelah kematian Caudeer Mohudeen pada 1834.Seperti yang diketahui umum, Kapitan Keling bukan sahaja menjadikan tanah kawasan masjid itu sebagai tanah wakaf, tetapi turut melibatkan tanah-tanah persendirian miliknya sebagai tanah wakaf. Menjelang 1903, keluasan kawasan masjid berkenaan telah berkurangan menjadi lapan ekar sahaja. Ini bagi memberi laluan kepada pembinaan balai polis dan Pasar Campbell Street di samping melebarkan jalan raya selaras dengan kemajuan semasa Pulau Pinang. Pihak berkuasa telah membayar pampasan dan sebidang tanah di Perak Road dibeli sebagai ganti kawasan tanah perkuburan yang menjadi tanah perkuburan paling luas di Pulau Pinang sehingga kini. Walau pun begitu, masih terdapat satu kubur yang tidak dipindahkan berikutan bantahan masyarakat Islam iaitu kubur yang yang dianggap keramat yakni Keramat Mustafa Ali. Menjelang 1910, masjid itu diubahsuai mengikut stail British Moghul dengan penambahan mughal dan kubah. Sebuah madrasah turut dibina pada 1916. Pada 1930, masjid tersebut sekali diubahsuai seperti keadaan yang dilhat pada hari ini dengan keluasan masjid diluaskan, ketinggian ruang sembahyang utama ditingkatkan dan sistem pengudaraan disempurnakan.Bahagian luar berwarna kekuningan manakala lantainya marmar putih. Arca di sepanjang lorong berbentuk tapak kaki kuda. Fasad bangunan dan hiasan dalaman dihiasi dengan corak geometri kerana unsur manusia atau binatang ditegah dalam Islam. selain itu juga bangunan rumah kedai dan apartment dibina bertentangan dengan masjid dan tanah tersebut juga merupakan tanah wakaf. Bangunan rumah kedai dan apartment yang kekal hingga kini dihuni

oleh masyarakat India Muslim sebagai memastikan kewujudan ahli khariyah masjid kekal dan sesungguhnya ia merupakan suatu langkah yang bijak jika dibandingkan dengan sebuah masjid berdekatan iaitu Masjid Melayu Lebuh Acheh yang tidak cukup anggota khariyahnya untuk menjalankan solat Jumaat. Pada pengubahsuaian tahun1930 juga kubah keemasan ditambah sebagai mengindahkan lagi di samping menampilkan cirri-ciri senibina Moghul. Senibina asal masjid ini terus dipulihara pada tahun 2002 setelah kerajaan Malaysia memperuntuk RM5 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan. Pada tahun berikutnya, iaitu 2003, bahagian bumbung dan sebahagian dinding dibaiki berikutan kebocoran dan air yang meresap berikutan sistem pengaliran yang tidak sesuai. Sungguh pun begitu, kerja-kerja membaiki dijalankan dengan berhati-hati agar keasliannya terjaga.Sebuah laluan beratap genting turut dibina ke kawasan wuduk wanita. Tulisan kaligrafi ditambah pada kubah bagi menggantkan motif bunga. Sebuah pusat informasi turut dibina dan berperanan sebagai pusat dakwah yang mana selain terdapat bahan-bahan bacaan terdapat juga pendakwah-pendakwah berwibawa yang menerangkan Islam kepada pelancong yang berminat mengetahui tentang Islam. Masjid yang mula dibina oleh Kapitan Keling pada sekitar 1801 dan siap pada 1803 itu telah terus menyuburkan syiar Islam di Pulau Pinang meski pun, Pulau Pinang telah dijajah dan diperintah oleh kaum bukan Islam iaitu Inggeris. Pulau Pinang yang tiada sultan atau raja Melayu seperti negeri-negeri lain yang mana Sultan menaungi agama Islam, namun Pulau Pinang bernasib baik kerana Allah telah mengutus seorang hambanya iaitu Caudeer Mohudeen ke Pulau Pinang dan telah berusaha mendirikan masjid yang indah sehingga mencapai impiannya.

FUNGSI MASJID

Masjid merupakan rumah ibadat bagi masyarakat Islam. Permulaan institusi masjid diasaskan oleh Nabi Muhamad (SAW) sebagai nabi dan rasul terakhir. Baginda yang merupakan nabi akhir zaman dan berkuturunan Arab Quraisy. Oleh itu istilah rumah ibadat bagi orang Islam sudah tentulah berasal daripada perkataan. Dari segi bahasa, masjid bermaksud tempat untuk bersujud atau menyembah. Sejak di zaman Rasulullah lagi, institusi masjid amat penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Di samping sembahyang lima waktu, masjid menjadi tempat bagi kaum muslimin mengadakan pertemuan termasuk mesyuarat pentadbiran, menjadi institusi pendidikan, upacara akad nikah, pusat pungutan zakat dan pelbagai lagi kegiatan yang menjadikan masjid amat penting dalam kehidupan umat Islam. Rasulullah sendiri semasa hijrah ke Madinah telah mendahulu pembinaan masjid berbanding rumah kediaman baginda. Masyarakat India Muslim yang terlebih dahulu menerima Islam berbanding orang-orang Melayu, sudah tentulah menyedari kepentingan masjid dalam masyarakat. Justeru itu, apabila kedatangan mereka ke Pulau Pinang, mereka telah menebas hutan bagi membersihkan tanah untuk didirikan masjid, hatta walau b erbumbung atap rumbia sekali pun. Setelah kehadiran Caudeer Mohudeen yang kemudiannya dilantik Kapitan Keling beliau telah mendirikan masjid sebagai melengkapkan keperluan masyarakat India Muslim. Sebagai Kapitan Keling, sudah

tentulah masjid menjadi pusat beliau bertemu dengan komunitinya bagi mengetahui keadaan masyarakatnya. Kapitan Keling juga merupakan pengerusi dan pentadbir masjid tersebut. Masjid menjadi pusat bagi umat berkumpul dan perpaduan dapat dipupuk apabila kesemua umat berkumpul untuk sebahyang Jumaat setiap minggu. Masjid juga menjadi tempat menyelesaikan perselisihan dalam masyarakat. Selain itu masjid digunakan untuk upacara akad nikah dan menyempurnakan mayat. Selain itu, masjid turut berfungsi sebagai gedung menyalurkan ilmu sama ada kelas bimbingan Al-Quran dan fardhu ain serta majlis kuliah ilmu yang seringkali dijalankan. Pengumuman penting juga kerap disampaikan di masjid semasa sembahyang Jumaat. Kini, Masjid Kapitan Keling selain berfungsi sebagai tempat sembahyang bagi umat Islam, malah turut sama menjadi kelas al-Quran bagi kanak-kanak, kuliah agama dan juga pusat tumpuan pelancong. Pusat Informasinya juga berfungsi sebagai pusat dakwah terhadap pengunjung sama ada dari dalam dan luar negeri. Upacara sembahyang Jumaat pula terpaksa dijalankan dua minggu sekali sebagai langkah menyelamatkan kewujudan Masjid Melayu Lebuh Acheh yang kedudukannya tidak jauh dari situ. Masjid Melayu Lebuh Acheh yang hampir kepupusan ahli khariyahnya terpaksa bergantung kepada jemaah Masjid Kapitan Keling dan berselang-seli mengadakan solat Jumaat, iaitu jika minggu ini dijalankan solat Jumaat di Masjid Kapitan Keling, maka minggu berikutnya akan diadakan di Masjid Melayu Lebuh Acheh dan begitulah berikutnya sehingga ke hari ini.

TANAH WAKAF
Seperti yang diketahui umum bahawa tanah wakaf yang diwakafkan oleh Kapitan Keling amat tinggi nilainya untuk nilai pasaran kini. Selain dari tapak masjid, Caudeer Mohudeen turut meninggalkan tanah miliknya sebagai tanah wakaf. Legasi peninggalan Kapitan Keling terus memperlihatkan komuniti India Muslim terus bertapak di Pulau Pinang. Kewujudan masyarakat India Muslim di tengah-tengah bandaraya Georgetown telah menyelamatkan kedudukan ekonomi umat Islam memandangkan amat kecil sekali masyarakat Melayu sejati yang mampu bersaing dalam perniagaan di bandaraya Georgetown. Setelah kematiannya, Caudeer Mohuydeen sebagai Kapitan Keling telah meninggalkan wasiatnya. Wasiat yang asalnya ditulis dalam bahasa Tamil yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris itu bertarikh 23 Februari 1834 iaitu beberapa bulan sebelum kematiannya. Salinan terjemahan wasiat turut disertakan dalam ruangan lampiran dalan tugasan kajian ini. Wakaf bermaksud harta atau tanah yang ditinggalkan adalah untuk tujuan beribadat ke jalan Allah termasuk juga tujuan kebajikan terhadap umat Islam. Tanah wakaf tidak bolehj dibuat keuntungan apa lagi urusan yang berunsur maksiat. Tanah wakaf adalah untuk keperluan orang ramai iaitu umat Islam dan biasanya di atas tanah wakaf didirikan masjid, surau, tanah perkuburan, sekolah, rumah kediaman dan juga jalan raya. Oleh sebab itulah, kadar sewa yang dikenakan terhadap rumah kedai dan apartment di atas tanah wakaf di hadapan Masjid Kapitan Keling amat rendah sekali.

WARISAN SEJARAH

Masjid Kapitan Keling yang mula dibina pada 1801 merupakan bangunan warisan sejarah dan suatu monumen yang amat berharga bukan sahaja bagi Pulau Pinang tetapi juga bagi negara Malaysia. Pada tahun 2002, kerajaan pusat telah mengeluarkan RM5.5juta bagi tujuan membaiki dan memulihara masjid tersebut. Pada tahun 2008, pihak UNESCO iaitu sebuah badan dibawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Georgetown sebagai bandaraya warisan dunia yang secara langsung mengiktiraf Masjid Kapitan Keling sebagai bangunan bersejarah warisan dunia. Perkembangan semasa turut sama mempengaruhi keadaan fizikal dan fungsi masjid tersebut. Pada tahun 1903, selaras dengan kemajuan bandar Georgetown, keluasan asal masjid tersebut telah mengecil daripada lapan belas ekar kepada lapan ekar bagi memberi laluan kepada pembinaan balai polis dan Pasar Campbell Street. Selain itu pada 1916, berikutan dengan keperluan mendesak jalan raya terpaksa dilebarkan. Masjid yang kita lihat hari ini ialah hasil pengubahasuaian pada 1930 yang mana turut dibina bangunan di hadapan masjid tersebut yang merupakan sebahagian daripada tanah wakaf yang ditinggalkan oleh Caudeer Mohudeen. Bangunan tersebut adalah rumah kedai dan apartment bagi masyarakat India Muslim tinggal dan menjalankan perniagaan mereka. `Masjid Kapitnan Keling turut sama menerima kesan semasa Perang Dunia Kedua. Masjid Kapitan Keling menjadi sasaran bom yang digugurkan oleh pesawat tentera. Pada 11 Disember 1941, beberapa butir bom telah digugurkan ke dalam kawasan masjid berkenaan. Salah

satu bomnya telah jatuh tepat di kawasan jemaah mengambil wuduk. Seramai dua belas orang dilaporkan maut dan berpulu-puluh lagi cedera ekoran serangan pada hari tersebut. Walaupun beberapa butir bom yang digugurkan dan memakan korban, namun tidaklah memusnahkan sama sekali masjid tersebut. Mungkin Allah SWT memelihara rumahnya. Walaubagaimanapun, masjid tersebut ada juga mengalami kerosakan fizikal. Selain daripada kerosakan fizikal, jemaah juga menjadi berkurangan kerana ramai yang berpindah meninggalkan kawasan tersebut.Ekoran daripada serangan yang menimbulkan trauma ke atas masyarakat, masjid tersebut tidak digunakan buat sementara waktu. Kerja-kerja membaiki masjid akibat serangan bom terus dijalankan sejurus tentera Jepun berjaya menawan Pulau Pinang dan mengusir penjajah British. Masjid Kapitan Keling digunakan semula apabila khutbah Jumaat yang pertama di era pendudukan Jepun pada 4 Julai 1942. Pihak Jepun yang sememangnya menjaga hubungan yang yang baik dengan masyarakat India dan Melayu telah membenarkan masjid diimarahkan walaupun Jepun sentiasa berhati-hati dan memantau aktiviti yang dijalankan di masjid.-masjid termasuk juga masjid kapitan keling yang merupakan masjid yang utama di Pulau Pinang. Walau pelbagai rentetan sejarah yang dilalui negara, namun Masjid Kapitan Keling terus tersergam indah di tengah-trengah Georgetown. Setelah berakhirnya pendudukan Jepun, peranan Masjid Kapitan Keling tetap seperti biasa iaitu menjadi institusi sosial masyarakat India Muslim yang penting. Sejajar dengan senibina yang indah dan kukuh serta lokasi di tengah-tengah kota Georgetown, Masjid Kapitan Keling telah disytihar sebagai masjid negeri bagi negeri Pulau Pinang sehinggalah Masjid Negeri Pulau Pinang yang baru disiapkan pada tahun 1980.

PENTADBIRAN MASJID KAPITAN KELING

Seperti masjid-masjid lain di Pulau Pinang pentadbiran Masjid Kapitan Keling adalah di bawah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP). MAIPP melalui Bahagian Masjid dan Surau adalah badan yang bertanggungjawab dan berkuasa dalam aspek perlantikan AJK masjid. Namun, mengikut kelaziman perlantikan AJK sesebuah masjid dibuat mengikut kehendak masyarakat setempat. Selain daripada perlantikan AJK pentadbiran masjid, perlantikan jawatan jawatan Imam, Bilal dan Siak juga di bawah kuasa MAIPP. Penjawat jawatan tersebut akan dibayar elaun atau gaji oleh MAIPP. Selain daripada bertanggungjawab atas perlantikan AJK dan penjawat-penjawat Imam, Bilal dan Siak, MAIPP turut sama bertanggungjawab terhadap segala aktiviti yang dijalankan di masjid, termasuk juga dalam penyediaan teks untuk khutbah solat Jumaat dan solat sunat hari raya. Walaupun segala perancangan aktiviti dirancang oleh AJK masjid, namun pihak MAIPP akan sentiasa memantau setiap aktiviti yang dijalankan termasuk mempastikan setiap kuliah yang dijalankan oleh mereka yang mempunyai tauliah mengajar agama dari MAIPP. Segala masalah yang dihadapi oleh masjid akan dikemukakan atau dipanjangkan oleh AJK masjid kepada pihak MAIPP. Selain daripada itu, pihak MAIPP menyediakan dana khas untuk perbelanjaan masjid termasuk bayaran bil-bil. Selain daripada dana yang disediakan oleh MAIPP, pihak masjid memperolehi pendapatan daripada sumbangan individu-individu tertentu dan juga melalui kutipan derma sama ada melalui tabung masjid yang sentiasa ada di masjid atau tabung bergerak di saf-saf jemaah semasa solat jumaat atau solat sunat hari raya.

Bagi Masjid Kapitan Keling, terdapat sedikit perbezaan dari segi AJK pentadbiran masjid berbanding dengan masjid-masjid lain. Ini kerana terdapatnya suatu bahagian yang mengurus Pusat Informasi yang menjurus kepada kegiatan dakwah kepada pelancong asing. Berikut adalah senarai terkini AJK Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang. Pengerusi Timbalan Pengerusi Setiausaha Bendahari Ahli-ahli Jawatankuasa : Encik Meera Mydin bin Mohd. Mastan : Encik Mohammed Rabbi : Encik Sirajuddin bin Y.M. Ahmad Varusai : Tuan Haji Amir Hamzah : 1) Encik Merican 2) Encik Ghafar 3) Encik Naseer 4) Encik Kamaruddin 5) Encik Asyraf Khalid 6) Puan Khairun Nisa 7) Puan Medina 8) Seorang Anggota Polis yang tinggal di berek polis berdekatan 9) Seorang Ahli Bomba yang tinggal di berek bomba berdekatan Pegawai yang bertugas ialah; Imam : 1) Datuk Abdullah Bukhari 2) Tuan Haji Abdul Latif Bilal : 1) Tuan Haji Rashid 2) Encik Azman bin Aziz Siak : 1) Encik Hamid 2) Encik Arif

TEMUBUAL DENGAN SETIAUSAHA MASJID KAPITAN KELING

Soalan

: Siapakah yang bertanggungjawab sepenuhnya atas pengurusan Masjid Kapitan Keling?

Jawapan : Pihak yang bertanggungjawab ialah Majlis Agama Islam, Pulau Pinang tetapi yang melaksanakan kerja-kerja pengurusan ialah AJK masjid. Soalan : Bagaimana pula dengan sumber kewangan untuk pengurusan masjid?

Jawapan : Sumber utama adalah daripada dana Majlis Agama Islam Pulau Pinang tetapi tidak mencukupi, jadi kami turut bergantung kepada derma semasa solat Jumaat dan sumbangan individu. Soalan Jawapan : Bagaimana pula dengan sumber membaiki dan memulihara masjid ini? : Sebenarnya kerajaan pusat telah menyediakan peruntukan berjumlah RM5juta pada tahun 2002, namun kebocoran masih berlaku di bahagian bumbung. Oleh itu beberapa tahun berikutnya dengan sumbangan seorang hamba Allah, kerja-kerja membaiki bahagian bumbung dilakukan, kalau tidak silap menelan belanja hampir tiga juta ringgit. Soalan Jawapan : Kenapa terlalu tinggi kosnya? :Sebenarnya kos untuk memulihara bangunan lama adalah lebih tinggi berbanding

membuat binaan baru, ini kerana pentingnya menjaga keaslian bangunan tersebut. Contohnya dalam membaiki kebocoran bumbung di Masjid Kapitan Keling ini semua genting-genting asal bumbung masjid ini dibuka dengan penuh teliti, kemudian dibawa kontraktor ke suatu tempat mungkin makmal untuk dirawat atau dibaiki genting tersebut. Setelah dibaiki, genting tersebut akan dipasang pada bahagian bumbung. Selain kos, masa yang lama juga diambil. Soalan : Saya difahamkan Masjid Kapitan Keling hanya menjalankan solat Jumaat dua minggu sekali. Boleh tuan terangkan di sini? Jawapan : Ya, dua minggu sekali kerana terpaksa bergilir dengan Masjid Melayu Lebuh Acheh yang tidak jauh dari sini. Ini kerana Masjid Melayu Lebuh Acheh kekurangan anak khariyah, cuma tinggal enam orang sahaja.Kawasan itu dipenuhi oleh masyarakat Cina dan saya juga tak tahu ke mana hilangnya orang Melayu di situ. Soalan Jawapan : : Bagaimanakah dengan jumlah anak khariah Masjid Kapitan Keling? Berdasarkan kehadiran solat Jumaat, jumlahnya antara 1500 ke 2000, apabila sembahyang raya lebih dari 3 500 yang hadir. Soalan : Adakah pihak pengurusan masjid cuba untuk mengekalkan kewujudan anak

khariah agar tidak menerima nasib yang sama seperti Masjid Melayu Lebuh Acheh? Jawapan : Peranan tersebut bukanlah tanggungjawab AJK masjid tetapi adalah tanggung jawab kerajaan. Soalan Jawapan : Apakah aktiviti yang dijalankan di Masjid Kapitan Keling? : Selain dari solat berjemaah lima waktu termasuk sembahyang Jumaat, ceramah atau kuliah agama diadakan setiap hari. Program bacaan Yassin juga kerap diadakan. Selain itu,Biro Pendidikan /Madrasah menganjurkan Tadika yang dikenali sebagai Taski Nurul Ain, kelas tusyen untuk UPSR, PMR dan SPM, kelas mengaji dan fardhu ain. Selain itu kita ada kuliah semasa hari kebesaran seperti Maulidur Rasul dan Maal Hijrah. Pada bulan Ramadhan, kami sediakan kanji. Soalan : Masihkah adakah waris keturunan Kapitan Keling iaitu Caudeer Merican di sini?

Jawapan : Keturunannya iaitu keturunan Merican berada di seluruh negara termasuk juga sini. Soalan : Apakah pengalaman manis semasa menjadi setiausaha masjid ini?

Jawapan : Pengalaman manis apabila pelancong serata dunia mengunjungi masjid ini. Soalan : Apakah pengalaman pahit pula?

Jawapan : Semasa segelintir keturunan Merican tergamak menuntut kembali tanah wakaf dan dibawa ke mahkamah.

GAMBAR-GAMBAR MASJID KAPITAN KELING, PULAU PINANG.

Permandangan indah Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

Deretan premis perniagaan masyarakat India Muslim yang dibina pada tahun 1930 di atas tanah wakaf bertentangan dengan Masjid Kapitan Keling di Pitt Street (kini Jalan Masjid Kapitan Keling)

Masjid Kapitan Keling senantiasa dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negeri

Ruang solat utama dalam Masjid Kapitan Keling

Laluan masuk utama dari arah Pitt Street(Jln Masjid Kapitan Keling)

Kolah untuk berwuduk menggantikan perigi yang digali

Senibina bahagian dalam masjid

Salah satu kubur yang ada di Masjid Kapitan Keling

Kubur/makam Kapitan Keling, Caudeer Mohudeen(batu nisan berbalut) di Kampong Kolam

Perigi yang digali untuk kemudahan berwuduk

Paip yang dipasang dari perigi

Kolah yang baru dibina menggantikan perigi lama untuk keselesaan jemaah berwuduk

Pusat Informasi yang turut berperanan sebagai badan dakwah kepada pengunjung-pengunjung yang berminat mengenali agama Islam.

LAMPIRAN-LAMPIRAN SALINAN DOKUMEN DARI MUZIUM TERMASUK SALINAN WASIAT KAPITAN KELING

BIBLIOGRAFI

Ahmad Meah Baba Ahmad, Suka Duka Di Georgetown-Penaklukan Jepun. Kuala Lumpur: Media Indah, 1992. C.M. Turnbull, The Straits Settlements 1826-67.London: Oxford University Press, 1972. Hussin Mutalib, Islam and Ethnicity in Malay Politics.Singapore: Oxford University Press, 1990. Khoo Salma Nasution,Streets of Georgetown: An Illustrated Guide to Penangs City Streets and Historic Attractions. Penang: Star Publications, 1997. Kratoska,P.H.,(ed.) 1982. Penghijrah dan Penghijrahan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Maxwell, P.B.,An Introduction of Police Duties in the Settlement of Prince of Wales Island, Singapore and Mallaca. London: Oxford University Press, 1974. Sumber-sumber lain: Muzium Negeri Pulau Pinang: Penang Past and Present Majlis Agama Islam Pulau Pinang: Maklumat AJK Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang. Setiausaha Masjid Kapitan Keling:Temubual bersama Encik Sirajuddin(Setiusaha Masjid) Dari Internet Wikipedia, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang. Nik Khusairi Ibrahim, Malabari Network History, Masjid Kapitan Keling: Lasting Symbol of Unity. Asia Explorer, Kapitan Keling Mosque; Penang Muslim Heritage