Anda di halaman 1dari 2

SOALAN:

Setiap pelajar perlu menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah.


Ceritakan pengalaman anda semasa menyertai satu aktiviti tersebut.

Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti luar bilik darjah yang wajib disertai oleh semua
pelajar. Sebenarnya, kegiatan kokurikulum biasanya dijalankan selepas waktu belajar atau
pada hari Sabtu. Antara aktiviti ini termasuklah persatuan, kelab, permainan, unit beruniform,
dan sukan. Saya telah menyertai pasukan pengakap sejak tingkatan satu lagi untuk menambah
pengetahuan dan pengalaman kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semasa
menyertai pasukan pengakap sekolah, banyak pengalaman telah saya lalui.

Pasukan pengakap sekolah sangat aktif. Kami perlu menghadiri perjumpaan pada setiap
minggu. Biasanya, kami akan dilatih untuk belajar cara-cara berkawad kaki. Hal ini dikatakan
demikian kerana pertandingan kawad kaki unit beruniform merupakan aktiviti utama dalam
agenda tahunan pasukan pengakap. Oleh hal yang demikian, saya mempelajari teknik
berkawad dengan berpegang pada prinsip genggam bara api, biar sampai jadi abu.
Walaupun berkawad kaki merupakan latihan yang sukar, namun saya tetap dapat
menguasainya kerana saya tidak mudah berputus asa untuk mempelajari sesuatu ilmu.

Selain itu, saya dan rakan-rakan yang menyertai pasukan pengakap juga diajar cara-cara
untuk mendirikan khemah. Hal ini dikatakan demikian kerana kami perlu mendirikan khemah
sendiri tanpa bantuan guru pengajar sewaktu perkhemahan dijalankan. Dalam aktiviti ini,
kami diajar teknik mencari batu yang sesuai, kayu yang kukuh, dan mengetahui kelengkapan
yang perlu disediakan untuk mendirikan khemah. Di samping itu, kami juga diingatkan agar
sentiasa mengingati kata-kata orang tua iaitu berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
sewaktu mendirikan khemah bersama kawan-kawan. Dengan berbuat begitu, bukan sahaja
khemah yang kukuh dapat didirikan, malah hubungan persahabatan yang utuh seperti isi
dengan kuku dapat dibina.

Di samping itu, saya juga mempelajari cara-cara untuk memberikan bantuan kecemasan. Hal
ini dikatakan demikian kerana khidmat pasukan pengakap sekolah amat diperlukan apabila
pihak sekolah mengadakan program seperti Hari Kantin, Hari Sukan, Hari Bertemu dengan
Pelanggan dan sebagainya. Oleh sebab itu, ilmu bantuan kecemasan ini merupakan
pengetahuan yang amat berguna kepada saya. Saya diajar cara membasuh luka, membalut
luka, dan mengikat tangan yang patah apabila berlakunya kecederaan. Saya amat yakin
bahawa ilmu dalam bidang ini menjadikan diri saya lebih kental dan tabah menghadapi
cabaran sebagai pelajar kerana ilmu pelita hidup.

Sementara itu, saya turut dapat mempelajari ilmu ikhtiar hidup apabila menyertai pasukan
pengakap sekolah. Hal ini memang benar kerana guru pembimbing pengakap sentiasa
berkongsi ilmu dengan kami tentang pokok yang boleh dijadikan herba untuk mengubati luka
dan mengurangkan kesakitan. Dalam pada itu, kami turut diajar untuk mengenal pasti pokok
yang menyimpan banyak air untuk diminum. Dengan ilmu yang saya pelajari ini, persiapan
untuk menyertai perkhemahan di dalam hutan akan menjadi lebih sempurna. Saya sentiasa
mengingati pesanan guru pembimbing yang mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di
situ ada jalannya.

Sepanjang menyertai pasukan beruniform ini, saya juga banyak memperoleh pengalaman
hidup yang berharga sebagai bekalan masa depan. Hal ini dikatakan demikian kerana saya
dapat mempelajari kepentingan bekerja dalam pasukan kerana bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh. Misalnya, suatu aktiviti perkhemahan yang dijalankan hanya dapat dijayakan
dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah guru pengiring, pelatih, dan ahli
pengakap. Oleh itu, saya diajar untuk menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersatu
padu untuk menghadapi cabaran. Pendek kata, bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat.

Kesimpulannya, pasukan pengakap merupakan satu daripada aktiviti kokurikulum yang saya
sertai. Saya yakin bahawa setiap unit beruniform mahupun persatuan dan kelab mempunyai
keunikan yang tersendiri. Para pelajar harus menyertainya untuk merasai dan melalui sendiri
pengalaman sewaktu menyertai aktiviti tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal
maka tak cinta. Sebagai penyimpul bicara, kita haruslah menyahut seruan Menteri Pelajaran
untuk menjadikan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum sebagai kriteria penting dalam
penerimaan kemasukan ke universiti atau institusi pengajian tinggi. Oleh sebab itu, jom kita
aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Anda mungkin juga menyukai