Anda di halaman 1dari 3

Apakah yang dimaksudkan dengan jati diri?

Jati diri secara amnya membawa


maksud rangkuman nilai, budaya, bahasa, pegangan, fahaman, dan pandangan
jagat sesuatu kaum. Manifestasi dari nilai-nilai tersebut membentuk watak dan sifat
peribadi, cara berfikir, cara hidup dan penampilan diri yang melambangkan tradisi
bangsa dan jati diri kaumnya (Zaid Ahmad Ruslan.. [et. al.], 2010). Cita-cita
pemupukan jati diri boleh dicapai kerana kita sudah sedia ada negara, bahasa, nilai,
minat dan perlakuan yang sama mengikat seluruh negara. Sebagai sebuah negara
yang merdeka dan berdaulat, sepatutnyalah Malaysia mempunyai budaya dan
identiti sendiri yang sesuai dengan negara ini Setiap pembentukan sebuah
matlamat tidak akan dapat dicapai tanpa menempuhi cabaran yang mendatang.
Seperti peribahasa yang selalu diungkap, kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan
dapat sagunya. Peribahasa ini bermaksud, tidak akan tercapai maksudnya kalau tak
mahu berusaha dan bersusah payah Untuk memudahkan pembacaan, cabaran
dalam membentuk jati diri rakyat Malaysia dapat dikategorikan kepada dua aspek.
Yang pertama merupakan cabaran dalaman dan yang kedua adalah cabaran luaran.
Kedua-dua aspek ini perlu difahami dengan jelas oleh setiap individu yang bergelar
warganegara untuk mengenalpasti mengapa sikap sedemikian boleh menjejaskan
keamanan serta menjatuhkan perpaduan antara rakyat di Malaysia. Cabaran
dalaman yang dimaksudkan di sini datangnya daripada dalam diri individu
masyarakat itu sendiri, baik dari segi pemikirannya, mental mahupun rohani.
Manakala, cabaran luaran itu datangnya dari ancaman anasir-anasir luar yang
berusaha untuk menggugat ketenteraman kita.

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencapai matlamat membentuk bangsa


Malaysia seperti Wawasan 2020 dan yang terbaru, gagasan 1 Malaysia. Kita sendiri,
sebagai rakyat Malaysia juga haruslah berusaha untuk bersama-sama membentuk
jati diri yang boleh kita perbanggakan sebagai satu bangsa Malaysia. Memahami
dan menghayati sejarah Negara, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, lagu
Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang merupakan langkah pertama yang
harus diambil oleh setiap individu bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan
Negara. Pemerkasaan bahasa kebangsaan dan menjadikan agama Islam sebagai
panduan hidup turut boleh menyumbang kepada jayanya pembentukan jati diri dan
identiti bangsa Malaysia.

Perbezaan pemikiran dan percanggahan pendapat inilah yang mendatangkan


jurang dalam usaha kerajaan untuk membentuk perpaduan rakyat. Orang Melayu
khususnya dari generasi lama biasanya terkenal dengan sikap mereka yang akan
menentang habis-habisan jika tidak bersetuju jika pembaharuan dilakukan oleh
kerajaan. Mungkin juga kerana masih trauma akibat kesan penjajahan yang pernah
oleh penjajah-penjajah sebelum ini.

Cabaran dalam membentuk jati diri di kalangan rakyat Malaysia adalah


disebabkan perbezaan budaya yang terdapat pada kaum di negara ini.
Masingmasing mahu mengamalkan budaya sendiri tanpa menghiraukan sensitiviti
kaum lain. Sikap tidak menghormati kaum lain, berlainan penggunaan laras bahasa
yang sesuai boleh meninggalkan perspektif yang negatif terhadap kaum tersebut.
Dan ini menyukarkan proses perpaduan antara kaum di Malaysia.

Melalui proses sosialisasi, kita memperolehi budaya masyarakat di mana kita


dibesarkan. Bahasa merupakan asas kepada setiap budaya masyarakat.
Memandangkan bahasa merupakan asas sesebuah budaya, maka penguasaan
beberapa bahasa dilihat sebagai penting dalam perhubungan di antara pelbagai
bangsa.

Kalau kembali kepada sejarah, sudah tentu tidak wujud prasangka antara kaum
di negara ini kerana sejarah telah menggariskan hak masing-masing tanpa
berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa daripada orang lain. Apabila mereka
tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak timbul lagi sekian banyak tuntutan
yang tidak masuk akal. Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan dengan negara
sendiri akan melunturkan kecintaan kepada tanah air.Orang- orang Melayu pula
perlu benar-benar memahami dan sedar bagaimana negara Malaysia ini yang
dahulunya bernama Tanah Melayu, berada di rantau Melayu, kini telah menjadi
Malaysia iaitu sebuah negara di rantau Melayu yang warganegaranya masyarakat
majmuk yang terdiri dari etnik Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak
dan lain-lain. Orang Melayu perlu tahu dan faham sejarah bagaimana orang bukan
Melayu mendapat hak sebagai warganegara. Jika orang Melayu tidak faham dan
tidak sedar, tidak mustahil suatu hari nanti etnik Melayu akan menjadi etnik minoriti
di tanah air sendiri.

.Kita kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan


Persekutuan, menjiwai maksud tersirat lirik lagu Negaraku serta menghormati Jalur
Gemilang bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan negara.Rukun Negara
telah digubal oleh Majlis Perundangan Negara dan diperkenalkan pada 31 Ogos
1970. Ia dirumus berasaskan kepercayaan, keyakinan dan iltizam untuk membentuk
jati diri rakyat Malaysia. Rukun Negara dengan prinsip-prinsip yang bertunjangkan
semangat Perlembagaan diharap dapat membentuk jati diri rakyat Malaysia sebagai
satu Bangsa Malaysia. Ramai kalangan rakyat Malaysia yang lancar menyebut lima
prinsip Rukun Negara. Menyanyikan lagu Negaraku dan menyenaraikan warna-
warna serta lambanglambang yang terdapat pada Jalur Gemilang tetapi tercengang
dan tergagapgagap apabila diminta menerangkan maksudnya.

Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan tanah air yang didiami ini.
Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Kesedaran terhadap betapa berharganya keamanan negara perlu ditanam dalam
jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata pepatah “Di mana bumi dipijak, di situ langit
dijunjung. "

Usaha yang lebih mantap bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan perlu


digerakkan dengan mewujudkan sasaran yang jelas, pendekatan yang menyeluruh
dan koordinasi antara badan penggerak utama bahasa. Usaha ini amat penting
untuk memupuk perasaan cintakan Bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan
identiti unik Bangsa Malaysia. Selain itu, usaha ini juga bertujuan untuk
memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa
rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang
fasih, menghormati dan berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka
sehingga dapat mempromosikannya di mana sahaja mereka berada.

Sebagai agama rasmi, kedudukan Islam harus mendapat tempat yang wajar
dalam penyelesaian masalah seperti yang diperakui dalam Perlembagaan Malaysia.
Ajaran Islam yang mengandungi norma-norma yang bercorak universal dan
menentang paksaan terhadap orang bukan Islam sangat sesuai untuk masyarakat
berbilang kaum. Unsur toleransi dalam Islam harus ditonjolkan dan diterima dalam
konteks penyelesaian cabaran yang wujud dalam pembentukan jati diri rakyat di
Malaysia.

Sebaik-baik jalan penyelesaiannya adalah kita haruslah berusaha untuk


memupuk kesedaran dan minat dalam diri anak-anak muda sekarang akan betapa
pentingnya jati diri kita sebagai seorang warganegara Malaysia. Jati diri yang
mantap,baik meningkatkan semangat patriotisme,iaitu semangat cintakan negara
di dalam diri setiap rakyat Malaysia. Bayangkan jika tiada jati diri, bagaimana kita
mahu mempertahankan kemerdekaan yang sudah 57 tahun dikecapi oleh negara.
Bukanlah suatu angka yang kecil, tapi jika tidak dipertahankan oleh setiap rakyat,
tidak mustahil kita akan dijajah semula. Mungkin negara kita secara fizikalnya tidak
dijajah, tetapi jika tiada jati diri juga dianggap dijajah. Jika kita mempunyai asas jati
diri yang kuat, bukan setakat mental dan fizikal kita turut menjadi kuat, bahkan
ikatan perpaduan kita akan menjadi semakin utuh, sekaligus memudahkan kita
untuk mempertahankan agama, bangsa dan Negara kita daripada ancaman anasir-
anasir luar yang tidak pernah senang melihat keamanan Negara kita, Malaysia.

Bukannya satu tugas yang mudah untuk membentuk jati diri seseorang individu
jika tanpa wujudnya kesedaran dan minat dalam diri individu itu sendiri untuk
menerima perubahan. Pembentukan jati diri bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa
dalam diri seseorang dan jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya, akan
musnahlah perpaduan dan keamanan yang telah para pemimpin dahulu
perjuangkan dengan susah payahnya. Tiada gunanya segala perancangan dan
usaha untuk membina jati diri rakyat Malaysia jika tanpa kerjasama daripada rakyat
Malaysia sendiri. Tepuklah dada, tanyalah hati.

Anda mungkin juga menyukai