Anda di halaman 1dari 5

KULIAH 1

HADIS :
PEMIMPIN MEMIKUL TANGGUNGJAWAB
HADIS TENTANG KEPEMIMPINAN

1. Pemimpin Memikul Tanggung Jawab ( ١١٩٩:‫)اللؤلؤ والمرجان‬

Hadits:

Maksudnya:

Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi SAW, beliau bersabda: “Ketahuilah Setiap daripada kamu adalah
pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.
Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang
dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta
pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga,suami dan
anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah
pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang
dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta
pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin.”

( Imam Muslim, Kitab Kepimpinan ,Bab keutamaan pemimpin yang adil, ancaman terhadap pemimpin yang
tidak adil dan galakan berlemah lembut terhadap rakyat serta larangan menyusahkan mereka, no.hadith
3408.)

Syarah hadith:

Hadith di atas menjelaskan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab dan amanah yang perlu
dipikul dan ditunaikan dengan sebaik mungkin. Sekurang-kurangnya seseorang itu menjadi pemimpin
untuk dirinya sendiri agar tidak terjemus dan lalai dengan maksiat apatah lagi sekiranya seorang bapa
hendaklah menunaikan haknya sebagai ketua keluarga dengan memimpin anak-anak dan isteri-isterinya
dengan baik dan begitulah juga perumpamaan terhadap ketua atau pemimpin sesebuah negara.
Walaupun begitu, setiap yang dipimpin hendaklah atau wajib mematuhi segala apa yang diperintahkan
oleh pemimpin atau ketua selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syariat kerana sesuatu organisi
tidak akan sempurna sekiranya ia berjalan secara berasingan. Oleh itu, pemimpin mestilah menjalankan
amanah sebagai seorang pemimpin manakala rakyat atau yang dipimpin hendaklah mematuhi segala
arahan yang menjalankan tugas sebagai seorang rakyat.

Pemimpin adalah seorang yang memegang amanah bertanggungjawab ke atas tanggungjawab yang
dipikulnya, dan apa yang terletak dibawah naungannya. Maka apa yang terletak dibawah perlindungannya
adalah dituntut untuk berlaku dengan adil dan membangunkannya dengan menjaga kepentingan dan
kemaslahatan dalam agama dan dalam kehidupannya serta yang berkaitan dengannya.

        Ulama lain berkata, “Masuk pula dalam cakupan umum ini orang yang hidup sendirian tanpa istri (atau
suami), pembantu, dan tidak pula anak, karena dia tetap menjadi pemimpin atas anggota badannya agar
melakukan hal-hal diperintahkan dan menjauhi hal-hal yang dilarang,  baik berupa perbuatan, perkataan,
maupun keyakinan. Anggota badan, kekuatan, dan indranya adalah hal-hal yang dipimpinnya. Kedudukan
seseorang sebagai pemimpin tidaklah menafikkan keberadaannya sebagai yang dipimpin ditinjau dari segi
lain.”[2]

Pengajaran:

1. Setiap pemimpin hendaklah menjalankan tugas secara adil dan beramanah serta tidak
membebankan bebanan yang tidak dapat dilaksanakan oleh rakyat
2. Pemimpin atau pemerintah hendaklah mematuhi dan mentaati segala perintah Allah serta
memimpin mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
3. Seseorang individu hendaklah melantik pemimpin yang mempunyai kebolehan untuk
melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin atau pemerintah.
4. Hendaklah mematuhi dan mentaati segala perintah pemimpin salagi mana tidak bertentangan
dengan syariat.
5. Hendaklah menilai atau mengukur diri sendiri terlebih dahulu sekiranya diangkat atau dilantik
menjadi pemimpin samaada dapat melaksanakan amanah dan tugas dengan sempurna atau tidak.
6. Hendaklah melantik pemimpin dikalangan orang yang mengetahu ilmu-ilmu agama (alim).
Rakyat lapar, di mana Umar?

SATU hari, Umar Al-Khattab keluar bersama pembantunya, Aslam bagi meninjau keadaan rakyatnya.
Sampai di satu kawasan, Umar ternampak cahaya api di tengah kegelapan malam yang sejuk. Mereka pun
mendekati kawasan tersebut. Kelihatan seorang ibu sedang memasak sesuatu. Anaknya pula sedang
menangis.

Umar memberi salam dan meminta izin: "Boleh aku datang dekat?". "Datanglah dengan kebaikan atau
tinggalkan sahaja kami di sini", jawab ibu tersebut. Umar bertanya: "Bagaimana keadaan kamu semua?".
"Kami sedang menghadapi waktu malam dan kesejukan", balas si ibu. "Mengapa anakmu menangis?",
tanya Umar. "Mereka lapar", ibu menjawab. "Apa yang kamu sedang masak?", Umar terus mendapatkan
kepastian. "Hanyalah air yang aku kacau-kacau sehinggalah anakku keletihan dan terus tidur, dan demi
ALLAH SWT apa yang ada di antara kami dan Umar", ibu memberi jawapan sedih.

Sebenarnya, dalam kegelapan malam tersebut, si ibu tidak perasan lelaki yang bercakap dengannya
adalah Umar Al-Khattab. Mungkin juga beliau tidak pun mengenalinya, sekadar mendengar nama.

Umar bertanya: "Semoga ALLAH mengasihanimu. Adakah Umar tidak mengetahui keadaan kamu
semua?"

"Dia memerintah urusan kami kemudian mengabaikan kami begitu sahaja", jawapan si ibu sungguh
menyentak perasaan seorang khalifah.

Umar terus mengajak Aslam pulang. Beliau mengambil bekalan makanan untuk dibawa kepada wanita
tadi. Umar berkata kepada Aslam: "Tolong angkat dan letakkan di atas bahuku". "Biarlah aku memikulnya",
Aslam tidak sampai hati membiarkan Umar menanggung beban tersebut. Jarak perjalanan ke tempat ibu
itu agak jauh. Dengan tegas Umar membalas: "Adakah engkau mahu menanggung dosaku pada kiamat
nanti?"

Aslam terpaku, akur mendengar jawapan Umar. Jawapan daripada pemimpin yang sentiasa memikirkan
nasib dirinya di akhirat apabila diberi amanah menguruskan hal ehwal rakyat.

Bergeraklah mereka berdua ke tempat ibu tersebut. Berjalanlah seorang pemimpin membelah gelap
malam dalam kesejukan sambil memikul seguni gandum bagi memenuhi keperluan rakyatnya. Walaupun
yang sedang menanggung keperitan hanyalah wanita yang tidak mempunyai kedudukan apa-apa. Tidak
ternama. Tidak menjanjikan apa-apa habuan pun.

Umar lakukan semata-mata kerana sikap tanggungjawabnya. Pemimpin yang sentiasa ingat soal dosa dan
pahala. Hanya kerana ALLAH!. Tidak perlu pengiring yang ramai. Tiada liputan. Tiada perlu sambutan
besar-besaran. Berjalan menyantuni nasib seorang rakyat yang bergelut dengan keperitan hidup. Umar
yakin, walaupun hanya seorang, tetapi ia tetap dipersoalkan di akhirat kelak. Bayangkan jika satu negara
mengeluh resah menghadapi beban keperitan hidup mereka.

Umar bersama Aslam tidak hanya menghantar bekalan makanan kepada ibu tersebut, bahkan Umar
memasaknya. Beliau sendiri yang meniupkan api dan mengacau sehingga masak. Lalu diberikan kepada si
ibu untuk dihidangkan kepada anak-anaknya.
Tersentuh dengan tindakan Umar, wanita tersebut yang belum menyedari itulah khalifah terus berkata:
"Semoga ALLAH membalas kebaikan, apa yang telah engkau lakukan ini lebih utama daripada Amir Al-
Mukminun".

Umar membalas: "Ucapkanlah yang baik-baik dan sekiranya engkau bertemu dengan Amir Al-Mukminin,
engkau akan dapati aku juga di sana, insya-ALLAH". Kemudian mereka pun berpaling dan mula untuk
beredar. Aslam bertanya kepada Umar: "Apakah engkau ada urusan lain selain daripada ini?". Umar
berdiam tidak bercakap sehinggalah beliau mendapati anak-anak tadi kenyang dan dapat tidur dengan
tenang. Lalu Umar berkata: "Wahai Aslam, sesungguhnya kelaparan telah membuatkan mereka berjaga
malam tidak dapat tidur dan menangis. Aku tidak akan beredar sehinggalah aku dapat melihat apa yang
telah aku lihat tadi". (Lihat: Tarikh Al-Tabari, 4/205)

Pada tahun 17 dan 18 Hijrah, Madinah dilanda kemarau. Kehidupan rakyat susah. Bekalan makanan
berkurangan di pasar. Ibn Jarir Al-Tabari meriwayatkan pada tahun berkenaan Umar tidak memakan lemak
haiwan, susu dan daging sehingga rakyat dapat memakannya. Suatu hari pekerjanya membeli lemak dan
susu dengan harga yang tinggi. Umar menolak untuk makan, katanya: "Engkau menyebabkan lemak dan
susu jadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami
keadaan rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpai mereka?". (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr)

Juga diriwayatkan, suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada
orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan kepada Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu
bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu Umar bertanya: "Dari mana diperoleh ini?". "Daripada unta yang
kita sembelih hari ini". Kata Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan
bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan sisa". (Ibn Sa'd, Al-Tabaqat Al-Kubra, 3/312, Beirut:
Dar Sadir)

Dalam riwayat Abu Nu'aim dalam Hilyah Al-Auliya, Umar berkata: "Jika seekor kambing biri-biri mati
tersesat jalan di tebing Sungai Furat, aku bimbang ALLAH akan bertanya aku pada hari kiamat
mengenainya". Bayangkan begitu sekali kebimbangan yang menyelimuti pemikiran seorang pemimpin.
Bukan hanya prihatin dengan nasib rakyat di bawahnya. Bahkan, kepada haiwan juga. Apa yang akan
dijawab di hadapan ALLAH nanti.

Ini hanyalah secebis kisah kegemilangan pemerintahan Umar Al-Khattab. Seorang pemimpin yang walk
the talk dan leading by example. Beliau tidak hanya pandai bercakap berpesan itu dan ini kepada rakyat
yang hidup susah, sedangkan hidupnya mewah. Beliau tidak bermanis mulut memberi nasihat agar
berjimat cermat, tetapi beliau sendiri berbelanja bagai tidak ingat. Tetapi, Umar benar-benar mendahulukan
rakyat berbanding kesenangan hidupnya. Umar tidak hanya membaca ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW,
tetapi Umar terlebih dahulu memastikan pemerintahannya dan juga gabenor serta pegawai di bawahnya
menguruskan pentadbiran dan harta negara selaras dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Umar pernah menulis surat kepada gabenornya Abu Musa Al-Asy'ari RA, antara isinya: "Sesungguhnya
pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang
paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan,
nanti pegawaimu juga akan bermewah-mewahan". (Musannaf Abi Syaibah, 8/147)

   

Anda mungkin juga menyukai