Anda di halaman 1dari 9

JANGKAAN SOALAN

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Tenaga dan Sumber Asli
menyatakan apakah punca berlakunya kejadian bencana geologi tanah
runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos
2021 yang telah meragut enam nyawa penduduk yang dihanyutkan arus
deras.

JAWAPAN

1. Berdasarkan kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia


(JMG), punca berlakunya kejadian bencana geologi tanah runtuh
dan aliran puing di Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos 2021
adalah dipengaruhi dua (2) faktor utama iaitu faktor
penyumbang dan faktor pencetus.

2. Faktor penyumbang kejadian tersebut disebabkan keadaan


geologi dan morfologi / bentuk muka bumi di Gunung Jerai. Proses
peluluhawaan batuan asal Gunung Jerai iaitu batuan kuarzit, syis
dan granit menghasilkan tanah baki iaitu tanah liat berpasir yang
mudah terhakis apabila hujan yang lebat dan berterusan berlaku.

3. Bongkah-bongkah batuan kuartzit, syis dan granit yang terdapat


dalam tanah baki pula didapati terdedah di permukaan cerun dan
berada dalam keadaan longgar, tidak stabil serta menyumbang
kepada ketidakstabilan cerun di kawasan ini.

4. Bentuk cerun yang cekung serta sempit dan kecuraman cerun


melebihi 25 darjah menyebabkan tanah runtuh jenis aliran lebih
mudah berlaku. Majoriti tanah runtuh di kawasan siasatan adalah
jenis cetek kerana ia dipengaruhi oleh ketebalan tanah baki yang
kurang dari 5 meter.

5. Kombinasi faktor bentuk muka bumi cerun dan topografi yang


berbukit serta curam didapati telah mempengaruhi jenis tanah
runtuh di kawasan siasatan.

6. Berkenaan dengan faktor pencetus kejadian, hujan memainkan


peranan yang sangat penting dan ianya dilihat sebagai faktor
pencetus dalam kejadian aliran puing dan tanah runtuh di kawasan
ini.

7. Berdasarkan maklumat data hujan daripada Jabatan Pengairan


dan Saliran (JPS) di Stesen Hujan Gunung Jerai dan Kg. Singkir
Genting, hujan telah turun secara berterusan dari tarikh 15 Ogos
hingga 18 Ogos 2021. Pada 18 Ogos 2021, hujan lebat seperti
yang dicatatkan oleh Stesen Hujan di Gunung Jerai sebanyak 275
mm sementara Stesen Hujan di Kg. Singkir Genting sebanyak 175
mm mula direkodkan pada pukul 1.00 petang dan berterusan
selama 2 jam sehingga aliran puing berlaku.

8. Jumlah hujan yang banyak telah menepukan tanah baki dan


meningkatkan tekanan air liang (pore water pressure) di dalamnya.
Apabila bebanan (load) dalam tanah baki telah terlampau, ikatan
antara butiran tanah menjadi lemah, dan akhirnya berlaku tanah
runtuh. Tanah dan batuan yang runtuh masuk ke aliran sungai dan
bercampur dengan lumpur, bongkah dan sisa pokok menjadi aliran
puing atau fenomena kepala air.
JANGKAAN SOALAN

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Menteri Tenaga dan Sumber Asli
menyatakan apakah hasil siasatan oleh Jabatan Mineral dan Geosains
Malaysia ke atas kejadian bencana geologi tanah runtuh dan aliran
puing di Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos 2021.

JAWAPAN

1. Kejadian bencana geologi tanah runtuh di beberapa cerun Gunung


Jerai, Yan, Kedah dilaporkan telah berlaku pada sekitar jam 3:00
petang 18 Ogos 2021. Kejadian tersebut mengakibatkan aliran
puing/debris terdiri daripada campuran air, bongkah batuan,
lumpur dan sisa pokok di sekitar Air Terjun Seri Perigi, Titi Hayun,
Batu Hampar, Tupah dan potongan cerun Jalan menuju puncak
Gunung Jerai. Banjir lumpur turut berlaku di Pekan Yan dan Pekan
Gurun.

2. Dalam kejadian tersebut, aliran puing dan runtuhan tanah telah


mengorbankan enam (6) orang penduduk tempatan dan
merosakkan infrastruktur seperti rumah penduduk, pejabat
kerajaan, masjid, sekolah, jalan raya, jambatan, tiang elektrik,
saluran paip air, sistem penapisan air tanah ringkas (SPATR),
longkang saliran, beberapa geotapak, pusat peranginan, chalet
serta pokok, haiwan liar dan haiwan ternakan.
3. Sehubungan dengan itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia
Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP) telah menggerakkan satu
pasukan Kumpulan Kerja Tindakan Bencana Geologi (KKTBG)
untuk menjalankan siasatan awal bagi melihat kesan dan
mengenal pasti kejadian tanah runtuh dan aliran puing ini.
Interpretasi imej video dari pesawat tanpa pemandu (Unmanned
Aerial Vehicle -UAV) yang dibekalkan oleh pihak Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) juga
telah dijalankan bagi mendapatkan maklumat tanah runtuh di
kawasan yang mempunyai akses terhad.

4. Skop siasatan meliputi kerja-kerja berikut:

i. Pemetaan geologi kejuruteraan termasuk mengenal pasti


bahan geologi serta taburannya dan mencerap lokasi tanah
runtuh;
ii. Mengenal pasti faktor geologi dan geomorforlogi yang
menyumbang kepada tanah runtuh dan aliran puing; dan
iii. Interpretasi imej video UAV.

5. Pemerhatian semasa siasatan yang telah dijalankan oleh JMG


menunjukkan:

a. Sejumlah 69 tanah runtuh pelbagai saiz telah dikenal pasti


melalui cerapan di lapangan dan interpretasi UAV di mana
sebahagian besar tertumpu di Kawasan Batu Hampar,
kawasan Titi Hayun dan jalan raya ke puncak Gunung Jerai.

b. Terdapat 10 lokasi tanah runtuh di jalan raya naik ke puncak


Gunung Jerai.

c. Didapati kawasan punca aliran puing bermula di cerun


cekung bersudut melebihi 25 darjah dan berakhir di kawasan
yang lebih landai seperti di Pekan Yan, Pekan Gurun dan
Tupah.

d. Pokok tumbang dan bongkah-bongkah batuan mengisi alur


sungai yang sempit menuruni cerun sehingga ke kawasan
landai di mana aliran puing terhenti serta terkumpul
(accumulation area). Kesan kaukan pada tebing dan dasar
alur sungai yang terbentuk akibat hentaman debris jelas
kelihatan.

e. Fitur geodinamik seperti pokok condong berdekatan tebing


alur sungai dan tanah runtuh dapat dilihat dengan jelas.
Fitur-fitur ini menunjukkan terdapat pergerakan tanah di
kawasan tersebut.

f. Tinjauan di Sg. Singkir yang mengalir di sekitar Kampung


Singkir Genting menunjukkan aliran air yang deras dan
keruh. Manakala aliran limpahan air daripada kuari adalah
tidak keruh maka ia bukan punca kepada kenaikan air
mendadak pada Sg. Singkir.
g. Daripada interpretasi video UAV, lombong Bestagold tidak
menyumbang kepada kejadian aliran puing di Sg. Tupah.

6. Dalam kejadian tanah runtuh, yang seterusnya menyebabkan


aliran puing (debris flow) adalah disebabkan oleh dua faktor iaitu
faktor penyumbang dan faktor pencetus.

7. Faktor penyumbang kejadian tersebut disebabkan keadaan


geologi dan morfologi / bentuk muka bumi di Gunung Jerai.
Manakala faktor pencetus kejadian adalah disebabkan hujan
yang turun secara berterusan dalam tempoh yang lama.

8. Tindakan segera JMG adalah melakukan penzonan kawasan


terlibat tragedi kepada 2 zon iaitu zon bahaya dan zon kawalan
Berdasarkan prosedur operasi standard di kawasan zon bencana
tanah runtuh (JMG. SOP.01). Dalam zon bahaya, segala aktiviti di
zon ini perlu dihentikan ataupun dilakukan dengan penuh berhati-
hati. Bagi pelaksanaan kaedah mitigasi tanah runtuh, ia perlu
diutamakan dan disegerakan. Manakala di dalam zon kawalan,
pemantauan potensi tanah runtuh perlu dilakukan dari semasa ke
semasa dan kerja-kerja baik pulih perlu dibuat dengan segera bagi
mengelakkan kejadian yang sama berlaku lagi.

9. Cadangan langkah mitigasi yang perlu dipertimbangkan di


kawasan ini adalah seperti berikut:

i. Jalan raya menuju ke puncak Gunung Jerai terdedah kepada bahaya


kegagalan cerun yang menghasilkan kejadian aliran puing. Oleh kerana
kedudukan cerun yang hampir dengan jalan dan rupa bentuk cerun yang
curam maka pihak berkuasa hendaklah mengadakan langkah-langkah
mitigasi ke atas cerun jalan.

ii. Pemantauan kewujudan tanah runtuh dan fitur-fitur geodinamik


secara berkala menggunakan kaedah Airborne LiDAR Scanning (ALS)
memandangkan kawasan kejadian merupakan kawasan yang bercerun
curam, hutan yang tebal dan akses yang terhad;

iii. Menyelenggara serta memantau secara berkala saliran permukaan,


check dam dan alur sungai bagi mengelakkan aliran air tersekat.

iv. Satu langkah kawalan ancaman aliran puing perlu diambil sebelum
kawasan rekreasi dibuka semula.
MAKLUMAT TAMBAHAN:

CADANGAN OLEH JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS


MALAYSIA

1. Penilaian semula struktur cerun jalan raya ke puncak Gunung


Jerai perlu dijalankan oleh Ahli Geologi dan Jurutera Geoteknikal
yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang
rekabentuk cerun. Satu laporan/pelan mitigasi cerun perlu
dicadangkan mengikut ’good engineering practise’. Kerja
penyelenggaraan, penyeliaan dan pemantauan cerun juga perlu
diambil kira.

2. Kajian pemetaan dan penilaian risiko aliran puing yang terperinci


di keseluruhan kawasan Gunung Jerai perlu dijalankan untuk
mengenal pasti kaedah mitigasi terbaik yang perlu digunakan
untuk mengurangkan risiko sekiranya kejadian sama atau lebih
teruk berulang pada masa akan datang.
3. Dibangunkan satu sistem amaran awal pemantauan dan
pengesanan tanah runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai demi
keselamatan pengunjung.

4. Dikekalkan sebahagian kawasan yang terjejas ini sebagai muzium


hidup tragedi bencana untuk sektor pelancongan di Geopark Jerai.

5. Diadakan Program Pemerkasaan Komuniti Dalam Menangani


Ancaman Bencana Geologi Tanah Runtuh dan Aliran Puing di
Gunung Jerai. Program ini akan melibatkan Majlis Daerah Yan dan
Majlis Daerah Kuala Muda, Ahli Parlimen dan ADUN Kawasan
berkenaan, Jabatan Mineral dan Geosains, Agensi Pengurusan
Bencana Negara (NADMA) dan Komuniti Geopark Jerai.
Perlaksanaan Program ini akan memberikan kesedaran serta
pendidikan agar komuniti setempat sama-sama dapat
menyumbang dan berada dalam keadaan bersiapsiaga sekiranya
bencana yang sama berulang pada masa hadapan. Program ini
dijangka akan mengurangkan risiko ancaman bencana geologi
(Disaster Risk Reduction, DRR) dan juga memastikan ianya dapat
diurus dengan baik (Disaster Risk Managment, DRM) pada masa
depan.

Disediakan oleh:

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia


12 September 2021

Anda mungkin juga menyukai