Anda di halaman 1dari 15

IYSJL, Volume 1, No.

1, August 2021

IYSJL (2021)

INTERNATIONAL YOUNG SCHOLARS


JOURNAL OF LANGUAGES

Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti


Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

Aliaa Wan Mohd Muzani¹, Nurul Jamilah Rosly¹*


¹Kulliyyah Bahasa & Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
*E-mel pengarang koresponden: nuruljamilah@iium.edu.my

ABSTRAK
Makalah ini bertujuan mencungkil pemikiran dan falsafah yang tersirat dalam lirik
lagu nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Justeru, terdapat dua lagu yang terpilih
iaitu Jaga Dia Untukku dan Seluruh Cinta yang dipilih secara rawak mudah.
Kesemua data ini merupakan lagu-lagu terkini yang berbentuk kontemporari dan
diadun dengan keindahan bahasa yang puitis. Dapatan kajian ini dianalisis
berdasarkan pendekatan semantik inkuisitif dan Rangka Rujuk Silang untuk
menghuraikan makna yang terkandung di sebalik lirik lagu yang terpilih.
Penganalisisan data berjaya menghubungkan pemikiran dan falsafah penulis lirik
dengan aspek pemilihan kata. Hasil kajian mendapati bahasa kiasan bukan sekadar
bentuk perlambangan yang terdapat dalam lirik lagu tetapi mempunyai mesej dan
makna yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat. Penghayatan yang
mendalam oleh pendengar terhadap lirik lagu boleh membentuk pemikiran yang
kritis dan kreatif. Mesej dan nasihat yang tersirat dalam lirik lagu nyanyian Dato’
Sri Siti Nurhaliza berjaya dicungkil menerusi pendekatan semantik inkuisitif.

Kata kunci: bahasa kiasan, lirik lagu, makna, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, semantik
inkuisitif

31
Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

PENGENALAN
Nilai estetik sesuatu karya boleh diukur melalui pemilihan seni kata dan
keindahan bahasa yang digunakan. Selain itu, karya seni yang baik dilakukan
menerusi intuisi dan bukan berlandaskan kata-kata (Habsah Hassan, 2016). Setiap
bait kata yang dikarang secara tulus mampu untuk menjentik hati sesiapa sahaja.
Daya pemikiran yang kreatif akan menghasilkan sebuah karya yang unik dan
puitis. Dalam hal ini, aspek linguistik seperti gaya bahasa, pemilihan leksikal,
kenahuan dan kata figuratif akan memberi kesan secara langsung terhadap
penciptaan lirik lagu. Dengan demikian, pendengar akan lebih mendalami mesej
yang tersirat di sebalik bait kata yang disampaikan dalam lirik lagu.
Sehubungan dengan itu, kajian ini akan mengkaji bahasa kiasan yang
terdapat dalam lirik lagu nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Hal ini kerana,
kebanyakan lagu- lagu beliau yang berunsurkan bahasa kiasan pernah mendapat
pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Lagu-lagu dendangan Dato’ Sri Siti
Nurhaliza dihasilkan oleh komposer-komposer terkenal seperti Aubrey Suwito,
Krishna Balagita, Fedtri Yahya dan Hael Husaini. Kebanyakan lagu ini pernah
memenangi Anugerah Industri Muzik, Anugerah MTV Asia, Anugerah Juara
Lagu dan banyak lagi, sekali gus melakar sejarah sebagai penyanyi tanah air yang
paling berjaya.

PERNYATAAN MASALAH
Setiap lagu yang dihasilkan dan didendangkan sudah pasti mengandungi mesej
tersirat yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pendengar. Menurut
Blacking (1995), lagu merupakan satu bunyi yang dihasilkan melalui proses sosial
dan kognitif masyarakat. Melalui bait kata yang terkandung dalam lagu akan
menggambarkan buah fikiran penulis dalam menentukan pemilihan leksikal bagi
setiap lirik lagu. Penggunaan bahasa kiasan dalam lirik lagu boleh menyuntik
keindahan berbahasa dalam lirik lagu tanpa memerlukan penggunaan bahasa
secara terus. Kajian mengenai bahasa kiasan sering mendapat perhatian dalam
kalangan pengkaji terdahulu. Namun demikian, penyelidikan terhadap bahasa
kiasan dalam lirik lagu tempatan masih kurang mendapat tempat dalam kalangan
sarjana lepas. Hal ini demikian kerana bahasa kiasan mempunyai nilai estetika
yang tersendiri dalam mengindahkan setiap lagu yang dihasilkan. Oleh yang
demikian, penyelidikan yang mendalam terhadap bahasa kiasan perlu diteliti
khususnya dalam lirik lagu tempatan.
Kebanyakan lirik lagu yang dicipta menggunakan bahasa kiasan
memerlukan penerokaan terhadap pentafsiran makna tersebut. Penyelidikan
terhadap lirik lagu masih terhad pada tahap-tahap tertentu. Kebanyakan kajian ini
hanya mengetengahkan aspek keindahan yang tertumpu kepada peringkat

32
IYSJL, Volume 1, No. 1, August 2021

semantik skrip dan semantik resonans berbanding penilaian terhadap mesej yang
tersirat. Dalam hal ini, pengkaji berpendapat bahawa penyelidikan yang
mengupas pemikiran dan falsafah penulis perlu diberi perhatian. Justeru, kajian
ini akan menumpukan penyelidikan terhadap lirik lagu berlandaskan kaedah
semantik inkuisitif. Melalui kajian ini, penghuraian makna melalui pemikiran dan
falsafah penulis turut dijelaskan dalam pentafsiran makna di sebalik lirik lagu.
Pemahaman daripada sudut pemikiran dan falsafah penulis amat dititikberatkan
untuk membolehkan kajian terhadap makna dilakukan secara sistematik dan jelas.

TINJAUAN LITERATUR
Kajian berkaitan lirik lagu yang dilakukan oleh Masitah Mat Daud, Zulkifley
Hamid, Nirwana Sudirman dan Nik Zulaiha Zakaria (2017), bertujuan
menganalisis jenis-jenis makna dan corak pemikiran dalam lirik lagu yang
dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Penyelidikan ini menggunakan
pendekatan konsep tujuh jenis makna yang diperkenalkan oleh Geoffery Leech
dan model Six Thinking Hats oleh Edward De Bono. Hasil kajian mendapati
bahawa terdapat penggunaan makna konotatif, afektif, reflektif, kolokatif dan
tematik yang terdapat dalam lirik lagu nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Selain itu, Hartini dan Normaliza (2017) turut menjalankan kajian
terhadap lirik lagu. Kajian ini memfokuskan kepada aspek perlambangan kata
kerja dalam lirik lagu Let It Go versi bahasa Melayu berjudul Bebaskan. Teori
Relevans diterapkan ke dalam kajian ini untuk mengenal pasti dan menganalisis
penggunaan kata kerja dalam lirik lagu ini. Terdapat tiga kata kerja yang menjadi
tumpuan utama data kajian iaitu, ‘bebaskan’, ‘menutupi’ dan ‘menggangguku’.
Dapatan kajian akhirnya menunjukkan bahawa kata kerja, ‘mengganggu’,
merupakan pemilihan kata yang paling sesuai bagi menggambarkan keadaan yang
teguh dan tidak goyah dengan kedinginan salju dalam lirik lagu Bebaskan.
Penggunaan kata ini bertepatan dan sinonim dengan makna yang ingin
disampaikan oleh penutur dalam lirik lagu dan juga filem.

METODOLOGI
Dalam mencapai objektif penyelidikan, reka bentuk kajian yang sesuai
untuk digunakan ialah pendekatan kualitatif deskriptif. Pendekatan kualitatif
digunakan dalam situasi yang memerlukan penerangan terperinci dan mendalam
tentang fenomena sosial sebagaimana berlaku dalam keadaan semula jadi
(Noraini Idris, 2010). Meskipun data kajian ini terhad kepada dua buah lagu
sahaja tetapi analisis mendalam mampu mengupas unsur kiasan yang terdapat
dalam lirik-lirik lagu. Melalui pendekatan kualitatif deskriptif, kaedah analisis
kandungan teks diterapkan bagi membuat penelitian secara khusus terhadap lirik-

33
Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

lirik lagu yang telah dipilih. Kaedah ini akan lebih menjurus kepada penghuraian
makna terhadap bahan kajian dan tidak mengutamakan data yang berbentuk
numerikal. Seterusnya, pembacaan yang mendalam terhadap pendekatan
semantik inkuisitif turut dilakukan melalui kaedah kepustakaan. Kaedah ini akan
digunakan oleh pengkaji untuk mendalami serta memahami pendekatan yang
ingin diterapkan dalam analisis kajian. Oleh itu, pengkaji telah menyelidik
pendekatan semantik inkuisitif yang diperkenalkan oleh Nor Hashimah Jalaluddin
(2014) sebagai panduan utama penyelidikan.

Semantik Skrip

Pentafsiran berdasarkan skrip dan


Makna secara harfiah atau permukaan
pemerhatian pendengar

Semantik Resonans
Data yang sahih dan teori yang
Menghuraikan kognitif penutur
berwibawa

Semantik Inkuisitif
Penghuraian terhadap pemilihan
Pemikiran dan falsafah
perkataan.

Rajah 1: Kerangka kajian semantik inkuisitif

DAPATAN KAJIAN
Bahasa kiasan dapat dirumuskan sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan
untuk membandingkan atau menyamakan kata dengan kata yang lain daripada
sudut makna. Hal ini dapat dilihat melalui lirik lagu nyanyian Dato’ Sri Siti
Nurhaliza yang menggunakan gambaran perkataan-perkataan tertentu bagi
menyatakan sesuatu perkara yang membawa makna berbeza. Dapatan kajian akan
mempersembahkan bahasa kiasan yang ditemui oleh pengkaji dalam kedua-dua
buah lagu yang dipilih iaitu Jaga Dia Untukku dan Seluruh Cinta. Jadual dapatan
di bawah akan dijadikan sebagai panduan dalam penganalisisan dapatan kajian.

34
IYSJL, Volume 1, No. 1, August 2021

Jadual 1: Bahasa kiasan dalam lirik lagu nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Judul Lagu Data Rangkap Lirik Bahasa Kiasan


Jaga Dia 1. Rangkap pertama “Waktu tak bicara”
Untukku 2. Rangkap kelima “Terbangkan diriku”

Seluruh 1. Rangkap ketiga “Kau bagaikan nafas ditubuhku”


Cinta 2. Rangkap keempat “Habis separuh nyawa ku tangisi mu”

PENGANALISISAN DATA
Data 1
i. Analisis Semantik Skrip

Pada tahap semantik skrip, makna setiap kata dalam data (1) diperoleh dengan
merujuk kamus.

Jadual 2: Makna linguistik data (1) berdasarkan Kamus Dewan (2015)

Data Ungkapan Makna Linguistik


Rangkaian atau rentetan saat (yang
Waktu-
telah berlalu dan yang akan datang.
“Waktu tak
1
bicara” Tak- Singkatan bagi tidak.
Bicara Pertimbangan fikiran; pendapat.

Apabila ungkapan “waktu tak bicara” dikupas maknanya perkataan demi


perkataan, secara harfiahnya akan wujudlah maksud “rentetan saat tidak ada
pertimbangan”. Makna mudah ini dicapai tanpa usaha memproses yang tinggi.

ii. Analisis Semantik Resonans

Rajah 1: Rangka Rujuk Silang bagi data (1)

35
Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

Berdasarkan data (1), secara harfiahnya, “waktu tak bicara” bermaksud detik
masa yang tidak mempunyai sebarang pandangan atau pendapat. Namun
demikian, pentafsiran ini semestinya bertentangan dengan konteks ujaran yang
sebenar. Hal ini demikian kerana konteks masa seolah-olah tidak relevan untuk
diujarkan dengan pertuturan atau percakapan. Dalam konteks untuk mendapatkan
makna sebenar data (1), Rangka Rujuk Silang telah dilakukan terhadap kata-kata
lain dalam rangkap yang sama. Ungkapan selepas yang merujuk kepada “lama
terasa seakan terhenti mengiringiku” jelas menunjukkan peredaran masa yang
telah berlaku. Kata “lama” yang membawa maksud masa yang panjang dapat
dikaitkan dengan data (1) iaitu “waktu tak bicara”. Manakala kata “seakan
terhenti” menunjukkan keadaan masa yang terputus-putus atau tidak bersambung.
Menurut Macan, Shahani, Dipboye dan Philips (1990), waktu mengandungi
empat dimensi iaitu matlamat, keutamaan, kecenderungan dan tanggapan setiap
individu. Dalam konteks ini, penulis ingin menunjukkan bahawa terdapat
kecenderungan yang menyebabkan berlakunya keadaan “waktu tak bicara”. Oleh
itu, pembuktian dikukuhkan dengan ungkapan seterusnya yang menunjukkan
jangka masa yang panjang melalui kata “lama” dan “seakan terhenti”.
Kecenderungan dalam dimensi masa juga boleh berlaku disebabkan berlakunya
masalah sehingga menyebabkan penulis merasakan waktu yang berlalu terlalu
lama dan seakan terhenti. Rangka rujuk silang diaplikasikan lagi terhadap ujaran
sebelumnya yang merujuk kepada ungkapan “mahuku bersama”, “mahuku ke
sana” dan “diriku tak di sini”. Ungkapan sebelumnya menjelaskan bahawa penulis
mempunyai kecenderungan untuk “bersama”, “ke sana” dan “tidak berada di
sini”. Hal ini sejajar dengan pendapat yang dikemukan oleh Mackenzie (1997)
dan Douglass (1998) bahawa kegagalan dalam pengurusan masa boleh
menimbulkan masalah kepada seseorang. Dalam konteks lirik lagu ini, masalah
yang timbul ialah apabila penulis tidak dapat “bersama” dan berada “di sana”.
Penulis juga menyatakan bahawa jiwa dan hatinya tidak lagi berada di sini melalui
ungkapan “diriku tak di sini lagi”. Oleh yang demikian, penulis menyampaikan
mesej bahawa masa yang perlu ditempuh terlalu lama demi bersama dan berada
di sana melalui kata “waktu tak bicara”.

iii. Analisis Semantik Inkuisitif


Penerokaan pada peringkat ini akan memperlihatkan sebab bagi pemilihan kata
dalam lirik lagu. Melalui proses ini, ketajaman pengamatan dan penganalisisan di
tahap tinggi perlu dicungkil bagi memahami pemikiran dan falsafah penulis.
Dalam lirik “waktu tak bicara” terdapat makna tambahan yang terkandung di
sebalik bahasa kiasan ini. Perlambangan yang ingin ditonjolkan dalam data (1)
ialah satu bentuk mesej sindiran yang halus kepada masyarakat agar sentiasa
menghargai masa. Hal ini dibuktikan apabila kata “tak bicara” yang digunakan
oleh penulis bagi menonjolkan keadaan masa seakan terhenti. Dalam lirik lagu

36
IYSJL, Volume 1, No. 1, August 2021

berikut ungkapan “lama terasa seakan terhenti mengiringiku” seolah-olah


menggambarkan suasana semasa yang tidak disenangi oleh penulis. Menurut
penyelidikan yang dilakukakan oleh Kearns dan Gardiner (2007) kegagalan
seseorang dalam menyusun masa dengan betul merupakan salah satu faktor yang
menyebabkan berlakunya tekanan dan kebimbangan. Hal ini secara tidak
langsung mengukuhkan lagi penggunaan kata “tak bicara” yang menggambarkan
masa yang tidak disenangi penulis. Sejajar dengan lirik sebelumya yang
menyatakan “mahuku bersama, mahuku ke sana, diriku tak di sini lagi”, penulis
cuba memberikan gambaran awal terhadap penyesalan untuk kembali ke masa
lalu. Melalui lirik ini, kesimpulan ringkas dapat ditafsirkan bahawa penulis
mengimpikan untuk kembali ke masa lalu bagi menghargai dan menguruskan
masa dengan lebih baik. Kebijaksanaan dalam mengatur masa akan membentuk
satu kemahiran teras dalam kehidupan seseorang (Janssen, 2006). Oleh yang
demikian, melalui penggunaan ungkapan “waktu tak bicara” dapat disimpulkan
bahawa penulis menyampaikan satu bentuk mesej sindiran secara halus kepada
masyarakat agar menghargai dan menguruskan masa dengan sebaiknya.

Data 2
i. Analisis Semantik Skrip
Pada tahap semantik skrip, makna setiap kata dalam data (2) diperoleh dengan
merujuk kamus. Jadual 3 menunjukkan makna linguistik setiap perkataan dalam
ungkapan:

Jadual 3: Makna linguistik data (2) berdasarkan Kamus Dewan (2015)

Data Ungkapan Makna Linguistik


Melayang atau bergerak di udara
“Terbangkan Terbangkan- dengan menggunakan sayap atau
2 tenaga jentera.
diriku”
Diriku Tubuh diri yang sebenarnya.

Dalam menganalisis makna ungkapan data (2) secara harfiahnya, penulis


menyatakan keinginan dirinya untuk terbang di udara. Kata “terbang” merujuk
kepada kata sifat yang dimiliki oleh binatang iaitu burung. Kebolehan burung
untuk terbang tinggi di udara adalah disebabkan sayap yang diciptakan pada tubuh
badannya. Dalam konteks ungkapan “terbangkan diriku” pendengar boleh
mengandaikan bahawa penulis bermaksud bahawa manusia diterbangkan
menggunakan alat jentera seperti kapal terbang.

37
Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

ii. Analisis Semantik Resonans


Dalam analisis semantik resonans data (2), ungkapan sebahagian daripada lagu
dapat membantu mendapatkan makna tersirat yang dikemukakan seperti berikut:

Rajah 2: Rangka Rujuk Silang bagi data (2)

Andaian maksud terhadap data (2) ialah penulis berkeinginan dan bercita-cita
untuk terbang tinggi di udara. Melalui Rangka Rujuk Silang terhadap konteks
daripada lirik berikutnya iaitu, “jadi penawar” memperlihatkan bahawa penulis
ingin merawat kesakitan dengan “terbangkan diriku”. Leksikal “penawar”
merujuk kepada keadaan mengubati, merawat, menghilangkan serta
mengurangkan. Dalam hal ini, penulis ingin menyampaikan kepada pendengar
bahawa masalah yang dihadapi hanya boleh dihilangkan dengan perbuatan
terbang ke udara. Menurut Philips, Francey, Edwards dan McMurrany (2009),
strategi yang digunakan oleh individu psikotik dalam menghadapi masalah hidup
dengan menenangkan fikiran sebelum melakukan sebarang tindakan. Dalam
konteks lirik “terbangkan diriku”, tindakan “terbang” boleh dianggap sebagai satu
bentuk strategi yang digunakan oleh penulis untuk menenangkan fikiran serta
menjadi penawar kepada masalah yang dihadapi. Tambahan pula, ungkapan “jadi
penawar” disusuli dengan frasa berikutnya iaitu, “debar jatuh ke dasar”.
Penggunaan kata “debar” bermaksud perasaan yang timbul apabila seseorang
menghadapi ketakutan atau terperanjat. Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta
Shaharom (2002), pertimbangan individu akan berada di luar kawalan apabila
berhadapan dengan rasa takut, marah dan geram. Hal ini jelas menunjukkan
bahawa tindakan “terbang” membolehkan penulis untuk mendapatkan
pertimbangan dalam diri sekiranya “debar” yang dirasai “jatuh ke dasar”. Oleh
yang demikian, aspek kognitif yang ingin disampaikan oleh penulis melalui
“terbangkan diriku” ialah membawa dirinya jauh ke suatu tempat bagi
membolehkan pertimbangan diri dapat dilakukan dan menghilangkan rasa debar
jauh ke dasar.

iii. Analisis Semantik Inkuisitif


Melalui analisis kognitif yang dihuraikan dalam peringkat semantik resonans,
terdapat persoalan terhadap pemilihan leksikal dalam ungkapan “terbangkan
diriku”. Persoalan kata “terbangkan” dipilih oleh penulis bagi menyampaikan

38
IYSJL, Volume 1, No. 1, August 2021

makna tersirat yang terkandung dalam lirik lagu tersebut. Dalam analisis semantik
inkuisitif, penghuraian dan penjelasan akan dilakukan secara mendalam untuk
memperlihatkan pemikiran dan falsafah penulis. Konsep “terbangkan” bertepatan
dengan leksikal “bersayap seribu” yang digunakan dalam lirik berikutnya.
Meskipun penulis menerapkan sifat abstrak dalam kata “diriku” namun mesej
yang ingin disampaikan bukanlah bermaksud “menerbangkan manusia”. Dalam
hal ini, perlambangan yang ingin dinyatakan oleh penulis ialah sifat “terbang”
yang diertikan sebagai mengangkat, melayang, mengapung dan mengerawang.
Penggunaan metafora tersirat yang mengaitkan fauna merupakan satu wadah
masyarakat dalam meluahkan pemikiran dan falsafah (Nik Safiah Karim, 2000).
Dalam lirik ini, penggunaan metafora “terbangkan” merupakan sifat yang ditemui
dalam haiwan seperti burung, pepatung dan serangga. Namun demikian,
pentafsiran makna dihubungkan dengan sifat “terbang” sebagai alat untuk
mengangkat, melayang, mengapung dan mengerawang. Menurut Asmawati
Asmah dan Zaini (2009), kesejahteraan merupakan dimensi kehidupan dalam
membentuk nilai positif dan sebaliknya. Strategi untuk membentuk satu
kehidupan yang harmoni perlu diatur oleh setiap orang dalam menghadapi
pelbagai cabaran dan dugaan. Namun demikian, sudah menjadi adat apabila
manusia memerlukan ruang masa untuk berehat dan menenangkan fikiran. Dalam
hal ini, penulis mengaitkan sifat manusia yang memerlukan masa untuk bangkit
semula melalui kata “terbangkan diriku. Penulis mentafsirkan bahawa dirinya
perlu untuk “diterbangkan” buat seketika untuk membina kekuatan diri. Oleh itu,
leksikal “terbangkan” dipilih oleh penulis dalam lirik “terbangkan diriku” bagi
menggambarkan keadaan ruang masa yang diperlukan oleh manusia.

Data 3
i. Analisis Semantik Skrip
Pada tahap semantik skrip, makna setiap kata dalam data (3) diperoleh dengan
merujuk kamus. Jadual 4.4 menunjukkan makna linguistik setiap perkataan dalam
ungkapan:
Jadual 4: Makna linguistik data (3) berdasarkan Kamus Dewan (2015)
Data Ungkapan Makna Linguitik
3 “Kau bagaikan Kau- Singkatan bagi engkau.
nafas ditubuhku”
Bagaikan- Umpama; laksana.
Nafas- Udara yang disedut ke dalam dan
dihembuskan keluar daripada paru- paru.
Ditubuhku Badan seluruh jasad manusia atau
binatang.

39
Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

Secara harfiahnya, ungkapan “kau bagaikan nafas ditubuhku” bermaksud


engkau umpama udara yang disedut dan dihembuskan daripada badan. Ungkapan
ini ditafsirkan tanpa memerlukan daya pemikiran yang kritis. Namun begitu,
makna secara tersurat ini bukanlah makna sebenar dalam konteks penyampaian
penulis. Data (3) “kau bagaikan nafas ditubuhku” merupakan satu kiasan yang
digunakan oleh penulis bagi memberikan bayangan tersirat dalam lirik lagu.
Penggunaan kata “bagaikan” jelas menunjukkan aspek perlambangan yang ingin
dikaitkan antara kata “kau” dan “nafas ditubuhku”. Oleh itu, kesemua kata perlu
dianalisis berdasarkan aspek kognitif yang lebih tinggi bagi mendapatkan
pentafsiran makna yang lebih mendalam.

ii. Analisis Semantik Resonans


Dalam analisis semantik resonans data (3), ungkapan sebahagian daripada lagu
dapat membantu mendapatkan makna tersirat yang dikemukakan seperti berikut:

Rajah 3: Rangka Rujuk Silang bagi data (3)


Ungkapan “kau bagaikan nafas ditubuhku” tidak menyatakan anteseden yang
tepat untuk dianalisis makna sebenarnya. Berdasarkan analisis semantik skrip,
data (3) secara dasarnya bermaksud “engkau umpama udara yang disedut dan
dihembus daripada tubuhku”. Maklumat konteks menunjukkan bahawa
pentafsiran semantik skrip tidak dapat diterima secara terus kerana bertentangan
dengan kehendak mesej yang disampaikan oleh penulis. Ungkapan “yang
sanggup menghidupkan segala gerak ku” dikategorikan sebagai maklumat
konteks yang dapat membantu penganalisisan semantik resonans. Hal ini
demikian kerana kata “menghidupkan” dapat dihubungkan dengan kata “nafas”
yang membawa pertalian makna. Proses “menghidupkan” perlu menggunakan
“nafas” bagi membenarkan sesuatu perkara hidup. Kehidupan yang berkualiti
ditentukan berdasarkan empat keperluan asas manusia iaitu udara, air, makanan
dan tempat tinggal. (McMohan, 2002). Hal ini memperlihatkan kepentingan udara
kepada manusia untuk meneruskan kelansungan hidup. Dalam konteks lirik lagu,
penulis memberikan gambaran kepentingan “kau” melalui perumpamaan “nafas
ditubuhku”. Kehilangan “nafas ditubuhku” boleh mematikan atau melenyapkan
penulis sehingga tidak lagi dapat dihidupkan. Hal ini sejajar dengan lirik
berikutnya “yang sanggup menghidupkan segala gerak ku” membuktikan
kepentingan “kau” di sisi penulis. Oleh itu, aspek kognitif yang ingin disampaikan
oleh penulis melalui “kau bagaikan nafas ditubuhku” ialah nilai kepentingan
seorang insan dalam kehidupan seseorang.

40
IYSJL, Volume 1, No. 1, August 2021

iii. Analisis Semantik Inkuisitif


Melalui analisis semantik resonans, persoalan terhadap pemilihan kata dalam
ungkapan “kau bagaikan nafas ditubuhku” perlu dianalisis. Penentuan kata dalam
lirik lagu memainkan peranan yang penting bagi memastikan mesej tersirat
penulis dapat disampaikan. Persoalan terhadap pemilihan kata dapat dirungkai
melalui analisis semantik inkuisitif. Ungkapan “kau bagaikan nafas ditubuku”
digunakan bagi mempamerkan kepentingan seseorang dalam kehidupan. Namun
demikian, kata “nafas” boleh membawa kepada dua proses iaitu menyedut dan
menghembus udara. Dalam hal ini, penulis ingin menyampaikan peringatan
secara tersirat bahawa manusia tidak akan kekal di dunia. Hidup dan mati
merupakan rahsia pencipta yang sudah ditetapkan bagi setiap ummat manusia
(Arqi, 2018). Setiap amal kebaikan seseorang akan diberikan gajaran begitu juga
sebaliknya. Falsafah dan pemikiran penulis digambarkan melalui ungkapan “kau
bagaikan nafas ditubuhku” dalam mengingatkan manusia kepada hakikat
kematian. Dalam hal ini, kematian akan menjadi titik pemisah antara kehidupan
dunia dan kehidupan akhirat (Aliah, 2008). Pemilihan kata “nafas” menjelaskan
bahawa nikmat udara yang dianugerahkan tuhan boleh ditarik sehingga
menyebabkan kematian. Dalam lirik ini, penulis berjaya menyampaikan nasihat
secara tidak langsung kepada pendengar meskipun tidak menggunakan kata
secara terus terhadap kematian. Pemikiran dan falsafah penulis dihuraikan melalui
aspek pemilihan kata “nafas” dalam lirik “kau bagaikan nafas ditubuhku” yang
membawa peringatan terhadap kehidupan dan kematian.

Data 4
i. Analisis Semantik Skrip
Pada tahap semantik skrip, makna setiap kata dalam data (4) diperoleh dengan
merujuk kamus. Jadual 5 menunjukkan makna linguistik setiap perkataan dalam
ungkapan:
Jadual 5: Makna linguistik data (4) berdasarkan Kamus Dewan (2015)
Data Ungkapan Makna Linguistik
4 “Habis separuh Habis- Sedikit pun tidak ada yang tinggal; kerana
nyawa ku tangisi sudah digunakan, dimakan dsb.
kamu” Separuh- Salah satu bahagian daripada yang dibahagi
dua; setengah.
Nyawa- Roh yang ada dalam tubuh manusia, haiwan
dll ketika hidup; jiwa.
Ku- Singkatan bagi aku.

41
Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

Tangisi- Perasaan sedih dengan mencucurkan air mata


dan suara yang tersedu-sedu.
Kamu Kata ganti nama diri kedua; anda sekalian;
engkau semua

Apabila ungkapan “habis separuh nyawa ku tangisi kamu” dikupas secara literal
akan terbentuklah maksud “sudah digunakan setengah roh aku cucurkan air mata
engkau”. Makna yang dihasilkan menimbulkan kekeliruan kerana struktur lirik
ini menggunakan ayat pasif. Hal ini demikian kerana penulis memulakan ayat
menggunakan kata “habis” yang merujuk kepada kata kerja. Kekeliruan
pentafsiran secara literal ini menyebabkan ketaksaan dalam konteks makna
sebenar. Frasa “habis separuh nyawa” merupakan kata kerja abstrak yang tidak
dapat dilihat secara mata kasar oleh pendengar. Dengan kata lain, ungkapan ini
perlu dianalisis dengan menerapkan aras kognitif yang lebih tinggi melalui
maklumat konteks yang terdapat dalam lirik lagu. Oleh itu, pentafsiran di
peringkat semantik resonans akan dilakukan untuk merungkai makna sebenar lirik
lagu.

ii. Analisis Semantik Resonans


Dalam analisis semantik resonans data (4), ungkapan sebahagian daripada lagu
dapat membantu mendapatkan makna tersirat yang dikemukakan seperti berikut:

Rajah 4: Rangka Rujuk Silang bagi data (4)


Berdasarkan data (4), secara literalnya lirik “habis separuh nyawa ku tangisi
kamu” bermaksud “sudah digunakan setengah roh aku cucurkan air mata
engkau”. Pentafsiran ini tidak dapat memberikan penerangan yang jelas terhadap
mesej yang ingin disampaikan oleh penulis. Oleh itu, rangka rujuk silang
dilakukan terhadap lirik sebelumnya untuk mendapatkan makna tersirat dalam
lagu. Ungkapan “tak sanggup ku memikirnya lagi” merupakan lirik sebelumnya
yang dianggap sebagai maklumat konteks. Kata “tak sanggup” dan “memikirnya”
mempunyai perkaitan terus dengan ungkapan “habis separuh nyawa ku tangisis
kamu”. Hal ini demikian kerana melalui kata “tak sanggup” jelas mempamerkan
keadaan penulis yang tidak rela untuk berdepan dengan sesuatu perkara. Maka,
kata “memikirnya” menjelaskan keadaan penulis yang “tak sanggup” untuk

42
IYSJL, Volume 4, No. 1, July 2021

berfikir tentang “dirinya lagi”. Menurut Norliah Lasemang (2017), gangguan


terhadap emosi dan perasaan manusia berpunca daripada faktor persekitaran yang
melibatkan pelbagai pihak. Dalam hal ini, penulis memberikan gambaran
permainan emosi dan perasaan yang berlaku melalui ungkapan “tak sanggup ku
memikirnya lagi”. Kecenderungan manusia untuk meluahkan perasaan akan
dipamerkan melalui kata-kata, mimik muka dan gerak tubuh (Noorhayati
Ya’acob, 2013). Dalam lirik ini, penulis meneruskan lirik dengan ungkapan
“habis separuh nyawa ku tangisi kamu” menggambarkan perasaan penulis yang
tidak mampu menahan rasa disebabkan memikirkan seseorang. Oleh itu, analisis
semantik resonans berjaya merungkai makna ssbenar ungkapan “habis separuh
nyawaku tangisi kamu” melalui maklumat konteks yang tersedia dalam lirik
sebelumnya.

iii. Analisis Semantik Inkuisitif


Bahasa kiasan yang digunakan dalam data (4) pastinya bukan sekadar satu bentuk
perlambangan dan perumpamaan. Persoalan terhadap pemilihan kata yang
digunakan oleh penulis dalam ungkapan “habis separuh nyawa ku tangisi kamu”
perlu dianalisis. Pendekatan semantik inkuisitif akan menghuraikan secara
terperinci berdasarkan pemikiran dan falsafah penulis. Ungkapan “habis separuh
nyawa ku tangisi kamu” menimbulkan persoalan terhadap kata “separuh nyawa”
yang digunakan oleh penulis. Hal ini demikian kerana “nyawa” bukanlah satu
perkara yang boleh dihilangkan secara separuh, setengah atau sebahagian. Dalam
lirik ini, kata “saparuh nyawa” digunakan oleh penulis untuk menyedarkan
pendengar agar sentiasa mengasihi akan orang tersayang. Analisis semantik
resonans menjelaskan bahawa keadaan penulis yang bermain emosi dan perasaan
disebakan terlalu memikirkan seseorang. Menurut Hafiz Ithnin (2019),
kebimbangan dan kegelisahan tanpa kawalan akan mendorong kepada
kemurungan. Dalam hal ini, kebimbangan berlaku apabila seseorang terlalu
banyak berfikir dan secara tidak langsung mendatangkan kemurungan pada diri.
Sejajar dengan lirik “habis separuh nyawa ku tangisi kamu” menjelaskan bahawa
penulis menghabiskan masa untuk bersendirian dalam keadaan kesedihan. Kata
“habis separuh nyawa” bukanlah bermaksud hilang sebahagian nyawa tetapi
merupakan kiasan bagi keadaan penulis yang kemurungan dan kegelisahan.
Masalah yang dihadapi oleh individu yang mengalami kemurungan boleh
dibendung melalui sistem sokongan yang kuat (Roslee Ahmad, Sharif Mustafa
dan Jamaludin Ramli, 2015). Bentuk sokongan bukan sahaja terdiri daripada
bantuan kewangan, malah, sokongan moral dan sikap prihatin akan mendorong
untuk memulihkan penyakit kemurungan. Sokongan dan nasihat perlu diberikan
secara berterusan agar penyakit kemurungan dapat dirawat dengan sebaiknya.
Oleh itu, penulis menggunakan ungkapan “habis separuh nyawa ku tangisi kamu”
untuk memberikan kesedaran kepada pendengar agar sentiasa mengasihi orang

43
Bahasa Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif

yang tersayang. Pemikiran dan falsafah penulis dihuraikan melalui pemilihan kata
“separuh nyawa” yang melambangkan nilai kasih terhadap insan tersayang.

KESIMPULAN
Penyelidikan ini mempunyai dua objektif utama iaitu, mengenal pasti bahasa
kiasan yang terdapat dalam lirik lagu nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan
menganalisis makna bahasa kiasan dalam lirik lagu nyanyian Dato’ Sri Siti
Nurhaliza berdasarkan pendekatan semantik inkuisitif. Analisis dan dapatan
kajian ini telah dilakukan melalui penelitian dan penilaian terhadap lirik-lirik lagu
secara mendalam. Aspek-aspek bahasa seperti linguistik, semantik, pragmatik
diberikan penekanan yang khusus bagi membolehkan proses penilaian makna
dilakukan. Secara keseluruhannya, kajian ini telah menggunakan pendekatan
semantik inkuisitif terhadap lirik lagu nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Dapatan
kajian telah dibahagikan kepada tiga peringkat analisis iaitu analisis semantik
skrip, semantik resonans dan semantik inkuisitif. Aspek pemilihan kata dalam
lirik lagu menjadi persoalan utama yang perlu dirungkai dalam analisis semantik
inkuisitif. Pengkaji telah mengolah dan menghuraikan sebab pemilihan kata yang
digunakan oleh penulis lirik berdasarkan sokongan oleh sarjana-sarjana lepas.

RUJUKAN
Aliah B. Purwakania Hasan. (2008). Psikologi perkembangan Islami:
Menyingkap Rentang kehidupan manusia dari prakelahiran hingga
pascakematian. Rajagrafindo Persada.
Arqi, M. A. (2018). Kematian menurut Islam wetu telu ditinjau dari perspektif
psikologi Islam. Jurnal Psikologi Islam, 5(1), 37-44.
Blacking, J. (1995). The problem of music description. in R. Byron, music, culture,
and experience: Selected paper of John Balcking, Chicago Studies in
Ethnomusicology. University of Chicago Press.
Habsah Hassan. (Berita Malaysia, 27 Dis 2016). Penulis lirik tak boleh syok
sendiri. http://beritamalaysia.xyz/penulis-lirik-tak-boleh-syok-sendiri
Hafiz Ithnin. (Harian Metro, 12 Mei 2019). Tangani kebimbangan melampau.
https://www.hmetro.com.my/sihat/2019/05/454835/tangani-
kebimbangan-melampau
Hartini Mohd Ali & Normaliza Abd. Rahim. (2017). Perlambangan kata kerja
dalam lirik lagu “Bebaskan” berdasarkan teori relevans. Journal of
Business and Social Development, 5(1), 102-111.

44
IYSJL, Volume 4, No. 1, July 2021

Hatta Sidi & Mohamed Hatta Shaharom. (2002). Mengurus stres pendekatan yang
praktikal. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Janssen, D. A. (2006). The ultimate self-challenge: Time management.
http://www.danieljanssen.com
Kearns, H. & Gardiner, M. (2007). Is it time well spent? The relationship between
time management behaviours, perceived effectiveness and work-related
moral and distress in a university context. Higher Education Research and
Development, 26(2), 235-247.
Macan, T. H., Shahani, C., Dipboye, R. L., & Philips, A. P. (1990). College
students’ time management: Correlations with academic performance and
stress. Journal of Educational Psychology, 82, 760-768.
Mackenzie, A. (1997). The time trap. Ed. Ke-3. New York: Amacom.
Masitah Mad Daud, Zulkifley Hamid, Nirwana Sudirman & Nik Zulaiha Zakaria.
(2017). Perenggu minda Melayu dalam lirik lagu: Satu analisis makna.
Journal of Social Sciences and Humanities, 2, 175-187.
Mc Mohan, S.K. (2002). The development of quality-of-life indicators: A case
study from the City of Bristol, UK. Ecological Indicators, 2, 177-185
Nik Safiah Karim. (2000). Bahasa Melayu dalam Dekad 90-an. Akademi
Pengajian Melayu.
Nooraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam pendidikan. Mc Graw Hill Education
(Malaysia).
Nor Hashimah Jalaluddin. (2014). Semantik dan akal budi Melayu. Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Norhayati Ya’acob. (2013). Kajian terhadap faktor kemurungan. Open
University Malaysia.
Norliah Lasemang. (2017). Kesihatan fizikal dan mental. Universiti Malaysia
Sabah.
Philips, L. J., Francey, S. M., Edwards, J. & McMurrany, N. (2009). Strategies
used by psychotic individuals to cope with life stress and symptoms of
illness: A systematic review. Anxiety, Stress & Coping, 22(4), 371-410.
Roslee Ahmad, Mohamad Sharif Mustafa & Jamaludin Ramli. (2005). Kesihatan
mental rakyat Malaysia kini. Suatu Pendekatan kaunseling berdasarkan
nilai-nilai Islam. Universiti Teknologi Malaysia.

45

Anda mungkin juga menyukai