Anda di halaman 1dari 17

Bahasa Klasik – Bahasa Standard

Kepimpinan Melalui Teladan


01 Perenggan 1
Alkisah maka tersebutlah perkataan Seri Betara Majapahit dan Patih
Gajah Mada dan peri mengatakan penjurit ketujuh bercakap kepada
Seri Betara dan Patih Gajah Mada hendak mengalahkan negeri Melaka
itu dengan seorang dirinya, peri mengatakan tatkala Laksamana
membunuh penjurit tujuh bersaudara di Bukit Cina itu. Berapa lamanya
didengar oleh Patih Gajah Mada penjurit yang tujuh bersaudara yang
dititahkan Seri Betara pergi ke Melaka itu sudah mati. Maka Patih pun
hairan. Maka Patih Gajah Mada pun fikir dalam hatinya. ‘Adapun negeri
Melaka itu sukar binasa maka puas hatiku. Adapun seperti khabar
penjurit tujuh bersaudara yang di Bukit Cina itu, jika tiada ia mati,
nescaya alahlah Melaka itu.’
Tersebutlah cerita tentang Seri Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada
serta tukang cerita yang mengatakan bahawa ketujuh-tujuh orang
pejuang memberitahu Seri Betara dan Patih Gajah Mada bahawa
mereka hendak mengalahkan negeri Melaka itu dengan sendirinya,
tukang cerita mengatakan sedemikian semasa Laksamana membunuh
tujuh orang pejuang bersaudara di Bukit Cina tersebut. Tidak beberapa
lama kemudian didengar oleh Patih Gajah Mada bahawa tujuh orang
pejuang bersaudara yang telah dititahkan oleh Seri Betara ke Melaka itu
sudah meninggal dunia. Lalu Patih pun berasa hairan. Kemudian Patih
Gajah Mada pun berfikir di dalam hatinya. ‘Jika negeri Melaka yang
sukar dikalahkan itu binasa maka barulah puas hatiku. Sebenarnya
seperti berita tujuh orang pejuang bersaudara yang berada di Bukit Cina
itu, jika mereka tidak meninggal dunia, sudah pasti kalahlah Melaka itu.’

02 Perenggan 2
Setelah sudah ia fikir, maka Patih Gajah Mada pun ingat akan Petala
Bumi itu. Maka Patih Gajah Mada pun segera menyuruh kepada bini
Petala Bumi bertanyakan anaknya yang bernama Kertala Sari pergi
mencuri ke Daha itu, sudahkah datang dari Daha atau belumkah. Maka
orang Patih Gajah Mada pun pergilah kepada bininya Petala Bumi.
Setelah dia berakir, maka Patih Gajah Mada pun teringat akan Petala
Bumi. Kemudian Patih Gajah Mada pun segera menyuruh orang
berjumpa isteri Petala Bumi untuk bertanya sama ada anaknya yang
bernama Kertala Sari yang pergi mencuri di Daha itu, sudah pulang dari
Daha atau belum. Lalu orang suruhan Patih Gajah Mada pun pergilah
berjumpa dengan isteri Petala Bumi.

03 Perenggan 3
Tatkala itu Kertala Sari sudah datang dari Daha, terlalu banyak beroleh
harta daripada emas dan pakaian dan pitis berpuluh-puluh juta dan
orang banyak dicurinya. Setelah sudah Kertala Sari datang ke
rumahnya, maka ia pun bertanya kepada ibunya, “Hai ibuku, ke mana
pergi bapaku maka tiada aku lihat ini?”
Pada waktu itu Kertala Sari telah pulang dari Daha, dia memperoleh
terlalu banyak harta iaitu emas, pakaian dan wang berpuluh-puluh juta
yang dicuri daripada ramai orang. Setelah Kertala Sari pulang ke
rumahnya, maka dia pun bertanya kepada ibunya, “Wahai ibuku, ke
manakah perginya bapaku kerana aku tidak melihatnya?”
04 Perenggan 4
Setelah sudah ibunya mendengar kata anaknya demikian itu, maka
ibunya pun menangis, seraya berkata, “Hai anakku, yang bapamu itu
sudah mati dibunuh oleh seorang Melayu bernama Laksamana
Hulubalang Ratu Melaka.”
Setelah ibu Kertala Sari mendengar kata-kata anaknya itu, maka ibunya
pun menangis, lalu berkata, “Wahai anakku, bapamu sudah meninggal
dunia kerana dibunuh oleh orang Melayu yang bernama Laksamana
Hulubalang Ratu Melaka.”

05 Perenggan 5
Setelah Kertala Sari mendengar kata ibunya demikian itu, maka Kertala
Sari pun terlalu marah, katanya, “Siapa menyuruh membunuh bapaku
itu supaya negeri Majapahit ini habis kubinasakan?”
Setelah Kertala Sari mendengar kata-kata ibunya itu, maka Kertala Sari
pun sangat marah, katanya, “Siapakah orang yang mengarahkan
pembunuhan bapaku itu supaya negeri Majapahit ini habis
kumusnahkan?”

06 Perenggan 6
Maka oleh ibunya segala hal-ehwal dari mulanya datang kesudahnya
diceritakannya pada anaknya. Setelah Kertala Sari mendengar ceritera
ibunyademikian itu, maka Kertala Sari pun terlalu sangat amarahnya,
“Ceh, Ratu Melaka dan Laksamana! Mata engkau olehku! Tanpa kedap
tembung laku. Syahadan negeri Melaka pun habis kubinasakan. Jikalau
tiada kuperbuat demikian, bukanlah aku anak penjurit yang berani dan
kepetangan.”
Lalu ibu Kertala Sari menceritakan semua hal dari mula hingga akhir
kepada anaknya. Setelah Kertala Sari mendengar cerita ibunya itu, lalu
Kertala Sari pun sangat marah, “Cis, Ratu Melaka dan Laksamana! Mati
engkau olehku! Tanpa menghiraukan orang lain.” Seterusnya negeri
Melaka itu pun habis aku binasakan. Jika aku tidak berbuat demikian,
aku bukanlah anak pejuang yang berani dan pandai berbuat tipu
muslihat.

07 Perenggan 7
Setelah sudah Kertala Sari berkata-kata demikian itu, maka orang
penyuruh daripada Patih Gajah Mada itu pun datanglah. Maka dilihatnya
Kertala Sari sedang berkata-kata dengan ibunya seperti laku orang
berkelahi. Setelah dilihatnya oleh Kertala Sari orang datang itu, maka
kata Kertala Sari kepada orang itu, “Siapa tuan hamba ini?”
Setelah Kertala Seri berkata-kata sedemikian, lalu orang suruhan Patih
Gajah Mada itu pun tiba. Kemudian dilihatnya Kertala Sari sedang
berkata-kata dengan ibunya seperti tingkah laku orang bergaduh.
Setelah dilihat oleh Kertala Sari orang yang datang itu, lalu Kertala Sari
bertanya kepada orang itu, “Siapakah tuan hamba ini?”

08 Perenggan 8
Maka kata orang itu, “Manira ini disuruhkan oleh Patih Gajah Mada
melihat pakanira, sudahkah datang dari Daha atau belumkah, kerana
Patih Gajah Mada hendak bertemu dengan manira.” Maka Kertala Sari
segera mengambil kerisnya lalu berjalan diiringkan oleh orang itu.
Setelah Kertala Seri berkata-kata sedemikian, lalu orang suruhan Patih
Gajah Mada itu pun tiba. Kemudian dilihatnya Kertala Sari sedang
berkata-kata dengan ibunya seperti tingkah laku orang bergaduh.
Setelah dilihat oleh Kertala Sari orang yang datang itu, lalu Kertala Sari
bertanya kepada orang itu, “Siapakah tuan hamba ini?”
09 Perenggan 9
Setelah datang kepada Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun duduk
menyembah. Maka kata Patih Gajah Mada, “Hai, anakku Kertala Sari,
sebab akan menyuruh memanggil anakku ini, kerana pesan bapamu
kepada aku, ‘Jangan tiada dikasihi anakku ini,’ kerana bapamu
sudahlah mati dengan pekerjaan Seri Betara. Akan sekarang anakku
hendak dijadikan penggawa agung.”
Setelah sampai di hadapan Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun
duduk menyembah. Lalu kata Patih Gajah Mada, “Wahai anakku
Kertala Sari, sebab aku menyuruh kamu, kerana pesan bapamu
kepada aku, ‘Jangan tidak diabaikan anakku ini,’ kerana bapamu
telah meninggal dunia kerana melaksanakan tanggungjawab Seri
Betara. Sekarang ini kamu akan dilantik sebagai penggawa agung.”

10 Perenggan 10
Setelah Kertala Sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, maka
Kertala Sari pun terlalu sukacita hatinya, seraya menyembah kaki
Patih Gajah Mada.
Setelah Kertala Sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, lalu
Kertala Sari pun sangat gembira hatinya, kemudian menyembah kaki
Patih Gajah Mada.

11 Perenggan 11
Maka sembah Kertala Sari, “Endah apatah pekerjaan membunuh
Ratu Melaka dan Laksamana itu? Pada hati manira, jika negerinya
pun dapat manira alahkan dengan seorang kula juga, syahadan
segala anak bininya orang Melaka itu pun dapat manira ambil.
Adapun jika belum manira bunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu
belum mati, tiada mahu manira jadi penggawa.
Setelah menyembah Kertala Sari berkata, “Peduli apakah tugas
membunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu? Pada hati saya, jika
negerinya pun dapat saya kalahkan seorang diri juga, kemudian
semua anak dan isteri orang Melayu itu pun dapat saya rampas.
Sekiranya saya belum membunuh Ratu Melaka dan Laksamana
belum mati, maka saya tidak mahu menjadi penggawa.”

12 Perenggan 12
Setelah Patih Gajah Mada mendengar demikian itu maka ia pun
terlalu sukacita, seraya diperjamunya makan minum dan bersuka-
sukaan dan diberinya persalin.
Setelah Patih Gajah Mada mendengar kata-kata itu maka dia pun
sangat gembira, kemudian dijamunya dengan makanan dan
minuman, bergembira serta diberinya sepersalinan pakaian.

13 Perenggan 13
Setelah sudah maka Kertala Sari pun dibawanya masuk menghadap
Seri Betara. Maka sembah Patih Gajah Mada, “Adapun penjurit tujuh
orang yang dititahkan oleh paduka Betara pergi ke Melaka itu
khabarnya sudah mati dibunuh oleh Laksamana ketujuhnya.
Setelah selesai lalu Kertala Sari pun dibawanya masuk menghadap
Seri Betara. Lalu sembah Patih Gajah Mada, “Sungguhpun tujuh
orang pejuang yang dititahkan oleh paduka Betara pergi ke Melaka itu
khabarnya sudah meninggal dunia dibunuh oleh Laksamana
ketujuhnya.
14 Perenggan 14
Sebermula negeri Melaka pun sedikit alah olehnya. Akan sekarang
baharulah patik beroleh penjurit terlalu kepetangan; inilah penjuritnya.
Kertala Sari namanya, anak Petala Bumi yang dipesan oleh bapanya
kepada patik.
Pada mulanya negeri Melaka itu hampir dikalahkan oleh mereka.
Sekarang barulah patik memperoleh pejuang yang sangat cerdik;
inilah pejuangnya. Kertala Sari namanya, iaitu anak Petala Bumi yang
diberitahu oleh bapanya kepada patik.”

15 Perenggan 15
Setelah Seri Betara mendengar sembah Patih Gajah Mada demikian
itu, maka titah Seri Betara, “Hai Kertala Sari, dapatkah engkau
kutitahkan membunuh Ratu Melaka dan hulubalang yang bernama
Laksamana itu?”
Setelah Seri Betara mendengar sembah Patih Gajah Mada
sedemikian, lalu titah Seri Betara, “Wahai Kertala Sari, mampukah
engkau kutitahkan untuk membunuh Ratu Melaka dan hulubalang
yang bernama Laksamana itu?”

16 Perenggan 16
Maka sembah Kertala Sari, “Daulat tuanku andika Betara, endah
apatah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu,
sedang negeri Daha patik alahkan?
Lalu sembah Kertala Sari, “Daulat tuanku andika Betara, peduli
apakah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu,
sedangkan negeri Daja mampu patik kalahkan?

17 Perenggan 17
Setelah Seri Betara mendengar cakap Kertala Sari itu, maka titah Seri
Betara, “Segeralah engkau pergi ke Melaka itu. Kerajaan seperti
cakapmu itu supaya engkau kujadikan penggawa agung.”
Selepas Seri Betara mendengar kata-kata Kertala Sari itu, lalu titah
Seri Betara. “Segeralah engkau pergi ke Melaka. Kerajaan seperti
yang engkau sebut itu supaya engkau kulantik sebagai penggawa
agung.”

18 Perenggan 18
Maka sembah Kertala Sari, “Jikalau tuanku hendak menitahkan patik
aji, baiklah segera patik suruh hantarkan ke Melaka dengan sebuah
perahu supaya patik segera kerjakan seperti titah paduka Betara itu.”
Lalu sembah Kertala Sari, “Sekiranya tuanku hendak menitahkan
patik aji, baiklah segeranya patik dihantar ke Melaka berserta sebuah
perahu supaya patik dapat segera melaksanakan tugas seperti titah
paduka Betara itu.”

19 Perenggan 19
Maka titah Seri Betara, “Hai Patih Gajah Mada, segeralah suruh
hantar ke Melaka.” Maka Patih Gajah Mada pun berlengkap sebuah
perahu dengan sepuluh orang sertanya yang pergi. Setelah sudah
lengkap maka Kertala Sari pun belayarlah.
Lalu titah Seri Betara, “Wahai Patih Gajah Mada, segeralah suruh
hantar ke Melaka.” Lalu Patih Gajah Mada pun menyediakan sebuah
perahu dengan sepuluh orang yang pergi menyertainya. Setelah
semuanya lengkap lalu Kertaka saru pun berlayarlah.
20 Perenggan 20
Berapa lamanya maka Kertala Sari pun sampailah ke Melaka. Maka
ia pun singgah di luar kota pada kampung segala Jawa. Maka Kertala
Sari pun menyamarkan dirinya kepada segala Jawa yang banyak itu.
Maka Kertala Sari pun sedia kala berjalan keluar masuk bermain-
main segenap kampung orang kaya-kaya dan saudagar.
Tidak beberapa lamanya maka Kertala Sari pun tibalah di Melaka.
Lalu dia punsinggah di luar kota di kampung kesemua orang Jawa.
Lalu Kertala Sari pun menyemarkan dirinya seperti kebanyakan orang
Jawa itu. Lalu Kertala Sari pun seperti biasa berjalan keluar dan
masuk serta melawat di setiap kampung dengan orang kaya-kaya dan
saudagar.

21 Perenggan 21
Setelah diketahuinya, maka Kertala Sari pun masuk menyamar pada
orang Patih Karma Wijaya. Tatkala itu Kertala Sari pun masuk
seorangnya mengikut Patih Karma Wijaya pergi menghadap sama
dengan Jawa yang banyak itu. Maka oleh Kertala Sari segala
hulubalang yang menghadap sama-sama itu dilihatnya seorang
kepada seorang. Maka Kertal Sari pun pandnag pada Laksamana;
maka ia pun fikir dalam hatinya, “Dialah gerangan hububalang Ratu
Melaka yang bernama Laksamana itu. Jikalau demikian lakunya,
sungguhnya ia dapat membunuh bapaku, kerana ia penjurit besar lagi
kepetangan.”
Setelah diketahuinya, lalu Kertala Sari pun menyamar sebagai orang
Patih Karma Wijaya. Pada waktu itu Kertala Sari pun masuk mengikut
Patih Karma Wijaya pergi untuk menghadap bersama-sama dengan
orang Jawa yang banyak itu. Lalu semua hulubalang yang
menghadap bersama-sama itu dilihat oleh Kertala Sari seorang demi
seorang. Lalu Kertala Sari pun terpandang akan Laksamana; lalu dia
pun berfikir di dalam hatinya, “Dialah hulubalang Ratu Melaka yang
bernama Laksamana. Jika demikian tingkah lakunya, pastilah dia
dapat membunuh bapaku, kerana dia pejuang hebat lagi cerdik.”

22 Perenggan 22
Setalah sudah ia fikir demikian, maka Kertala Sari pun dilihat pula
perihal penghadapan dan tempat orang bertunggu raja itu. Setelah
dilihatnya ratalah, maka Kertala Sari pun kembali
pada tempatnya singgah itu, maka ia pun berjalanlah mencari tempat
akan menaruh harta. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari ada sebuah
bukit di luar kota itu. Maka ia pun pergi ke atas bukit itu. Maka
dilihatnya tempat itu terlalu baik menaruh harta. Maka ia pun
berjalanlah turun dari Bukit Cina itu.
Setelah selesai dia berfikir sedemikian, lalu Kertala Sari pun melihat
kejadian di penghadapan dan tempat orang menantikan raja itu.
Selepas meninjau di serata tempat, lalu Kertala Sari pun kembali ke
tempat persinggahannya itu, lalu dia pun berjalanlah mencari tempat
untuk menyimpan harta. Lalu Kertala Sari terlihat sebuah bukit yang
terletak di luar kota itu. Lalu dia pun pergi ke puncak bukit itu. Lalu
dilihatnya tempat itu sangat sesuai untuk menyimpan harta. Lalu dia
pun berjalanlah turun dari Bukit Cina itu.
23 Perenggan 23
Berapa lamanya hatta hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun
bersikap dirinya; maka lalu berjalan masuk ke dalam kota. Maka ia
masuk ke rumah seorang saudagar yang kaya. Maka dilihat oleh
Kertala Sari saudagar itu lagi makan nasi laki isteri. Maka Kertala Sari
pun masuk makan bersama-sama dengar saudagar itu. Hatta setelah
jauh malam, maka saudagar itu pun masuk tidur. Maka oleh Kertala
Sari dicurinya segala harta saudagar itu sekuasa-kuasa ia membawa
dan bini saudagar itu pun dicabulinya. Maka ia pun kembali pada
tempatnya singgah itu.
Tidak beberapa lama kemudian maka hari pun malamlah. Lalu
Kertala Sari menjadi dirinya yang sebenar; lalu dia berjalan masuk ke
dalam kota. Kemudian dia masuk ke rumah seorang saudagar yang
kaya. Lalu dilihat oleh Kertala Sari Saudagar itu sedang makan nasi
bersama-sama isterinya. Kemudian Kertala Sari pun masuk lalu
makan bersama-sama saudagar itu. Setelah jauh malam, maka
saudagar itu pun tidur. Lalu dicuri oleh Kertala Sari kesemua harta
saudagar itu sebanyak-banyak yang mampu dibawanya dan isteri
saudagar itu pun dicabulinya. Lalu dia pun kembali ke tempat
singgahnya itu.

24 Perenggan 24
Maka hari pun sianglah. Maka saudagar itu pun gemparlah
mengatakan dirinya kecurian.
Lalu saudagar itu pun hebohlah mengatakan bahawa dirinya
kecurian.

25 Perenggan 25
Hatta maka hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun masuk
mencuri pula sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah sudah
banyaklah ia beroleh harta, maka ia pun kembali pada tempatnya
pula. Dengan demikian habislah segala harta saudagar yang kaya-
kaya itu dicurinya. Maka segala saudagar dan orang kaya-kaya itu
pun masuk menghadap raja berdatang sembah, “Ya tuanku, patik
mohonkan ampun, adapun patik sekalian ini habis kecurian tinggal
sehelai sepinggang.”
Setelah itu hari pun malamlah. Lalu Kertala Sari pun masuk lalu
mencuri pula ke sebuah rumah saudagar yang lain. Selepas dia
banyak memperoleh harta, lalu dia pun kembali ke tempatnya semula.
Oleh hal yang demikian habislah semua harta saudagar yang kaya-
kaya itu dicurinya. Lalu semua saudagar dna orang kaya-kaya itu pun
pergi menghadap raja berdatang sembah, “Ya tuanku, patik
memohon ampun, sebenarnya patik sekalian habis kena curi tinggal
sehelai sepinggang.”

26 Perenggan 26
Setelah baginda mendengar sembah orang itu, maka baginda pun
terkejut seraya menampar-nampar pahanya. Maka titah baginda
“Wah, datanglah pula bala atas negeriku! Baiknya ada Laksamana;
jikalau Laksamana kuutuskan ke negeri orang, binasalah negeri ini.”
Setelah baginda mendengar sembah orang itu, lalu baginda pun
terkejut sambil menampar-nampar pahanya. Lalu titah baginda, “Wah,
datanglah pula musibah atas negeriku! Nasib baik ada Laksamana;
jika Laksamana kuutuskan ke negeri orang, pasti binasalah negeri
ini.”
27 Perenggan 27
Maka baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung,
suruh orang berkawal dan segala saudagar berkawal pada
kampungnya!” Maka temanggung pun menyuruhkan orangnya
berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kempungnya.
Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya
berkawal, terlalu banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar
pun masing-masing berkawal pada kampungnya.
Lalu baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Wahai
Temanggung, suruh orang berkawal dan semua saudagar juga
berkawal di kampung masing-masing. Lalu Temenggung pun
menyuruh orangnya memberitahu orang kaya-kaya dan saudagar
supaya berkawal di kampung masing-masing. Setelah hari malam,
lalu Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu ramai
orang membawa lembing perisai bersama-sama dan semua saudagar
pun berkawal di kampung masing-masing.

28 Perenggan 28
Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya
oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat
senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan
di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang
kaya. Maka dicurinya harta orang kemas-kemas itu lalu dibawanya
kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia pun
kembali ke tempatnya.
Pada mulanya Kertala Sari pun masuk ke dalam. Lalu dilihatnya oleh
Kertala Sari orang berkawal terlalu ramai berserta dengan senjata
masing-masing. Lalu Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu
dicurinya harta yang tersimpan itu lalu dibawanya pulang dan isteri
orang kaya-kaya itu dicabulinya. Lalu dia pun pulang ke tempatnya
semula.

29 Perenggan 29
Setelah hari pun siang maka orang kaya-kaya itu pun datang
menghadap raja mengadukan halnya kecurian semalam itu. Maka
baginda pun hairan serta bertitah pada Temanggung, “Hai
Temenggung, tiadakah menyuruhkan orangnya berkawal tadi?”
Selepas hari siang lalu ornag kaya-kaya itu pun datang menghadap
raja untuk mengadukan bahawa dia kecurian pada malam semalam.
Lalu baginda pun berasa hairan lalu bertitah kepada Temenggung,
“Wahai Temenggung, tidaklah Temenggung menyuruh orang
Temenggung berkawal pada malam semalam?”

30 Perenggan 30
Maka sembah Temenggung, “Daulat tuanku Syah Alam, patik
menyuruh orang berkawal semalam tadi, seorang pun tak bertemu.
Patik hamba itu pun hairanlah akan penjurit itu.”
Lalu semabah Temenggung, “Daulat tuanku Syah Alam, patik ada
menyuruh orang patik berkawal pada malam semalam, namun
seorang pun tidak ditemui oleh mereka. Orang patik juga hairanlah
dengan pencuri itu.

31 Perenggan 31
Maka titah baginda, “Apatah sebabnya maka dapat dicurinya oleh
penjurit itu?”
Lalu titah baginda, “Apakah sebabnya maka dapat dicurinya oleh
pencuri itu?”
32 Perenggan 32
Maka baginda pun murka sedikit akan Temenggung. Maka baginda
pun menyuruh memanggil Laksamana; Laksamana pun segera
datang lalu duduk menyembah.
Lalu baginda pun murka sedikit akan Temenggung. Lalu baginda pun
menyuruh orang memanggil Laksamana; Laksamana pun segera
datang lalu duduk menyembah.

33 Perenggan 33
Maka titah baginda, “Hai kekasihku Laksamana, datanglah bala ke
atas negeriku dan banyaklah orang aku kecurian; masing-masing
mengadukan halnya pada kita.”
Lalu titah baginda, “Wahai kekasihku Laksamana, datanglah bencana
atas negeriku dan ramailah orang aku yang kecurian; masing-masing
mengadukan perkara mereka kepada kita.”

34 Perenggan 34
Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, mohonkan ampun dan
kurnia; adapun penjurit ini bukan penjurit negeri ini, penjurit negeri
lain.”
Lalu sembah Laksamana, “Daulat tuanku, mohon ampun dan kurnia;
sebenarnya pencuri ini bukanlah pencuri dari negeri ini, tetapi pencuri
dari negeri lain.”

35 Perenggan 35
Maka titah baginda, “Apatah sebabnya maka dapat dicurinya oleh
penjurit itu?”
Lalu titah baginda, “Apakah sebabnya maka mampu dicurinya juga
oleh penjurit itu?”

36 Perenggan 36
Maka sembah Bendahara, “Daulat tuanku Syah Alam, adapun
pekerjaan berkawal itu pekerjaan Temenggung; apabila Temenggung
tiada bercakap, Laksamana pula mengerjakan dia.”
Lalu sembah Bendahara, “Daulat tuanku Syah Alam, sebenarnya
tugas berkawal itu tugas Temenggung; apabila Temenggung tidak
bersuara, Laksamana pula melaksanakannya.”

37 Perenggan 37
Maka titah raja, “Pada malam ini Temenggung sendiri keluar
berkawal.”
Lalu titah raja, “Pada malam ini Temenggung sendiri yang keluar
berkawal.”

38 Perenggan 38
Maka sembah Temenggung, “Daulat tuanku, patik sendiri masuk
berkawal.” Maka Temenggung pun bermohon kembali ke rumahnya
berkerah segala hambanya lima ratusnya orang dengan alat
senjatanya.
Lalu sembah Temenggung, “Daulat tuanku, patik sendiri akan masuk
berkawal.” Lalu Temenggung pun memohon untuk pulang ke
rumahnya lalu mengerah semua hambanya seramai lima ratus orang
dengan alat senjata mereka.
39 Perenggan 39
Setelah hari malam maka Kertala Sari pun masuklah ke dalam kota.
Maka didengarnya bunyi orang berkawal dan bunyi lembing perisai
gemeretak. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu ia
berjalan pada tengah orang banyak itu lalu masuk ke rumah
Bendahara. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas lalu dibawanya
kembali.
Setelah hari malam lalu Kertala Sari pun masuklah ke dalam kota.
Lalu didengarnya oleh Kertaka Sari orang berkawal dan bunyi
lembing serta perisai berbunyi. Lalu Kertala Sari pun membaca
kemudian dia berjalan di tengah-tengah orang ramai itu lalu dia
masuk ke rumah Bendahara. Lalu dicurinya harta yang tersimpan itu
lalu dibawanya pulang.

40 Perenggan 40
Setelah hari siang maka Bendahara pun gemparlah mengatakan
kecurian.
Selepas hari siang lalu Bendahara pun hebohlah mengatakan
bahawa dia kecurian.

41 Perenggan 41
Maka Bendahara pun berdatang sembah, “Ya tuanku, patik
mohonkan ampun, pada malam ini patik habis kecurian, habislah
harta yang kemas-kemas.”
Lalu Bendahara pun berdatang sembah, “Ya tuanku, patik memohon
ampun, pada malam semalam patik habis kecurian, habislah semua
harta yang tersimpan.”

42 Perenggan 42
Maka titah raja, “Hai Temenggung, tidaklah kita titahlah Temenggung
sendiri pada malam berkawal? Mengapakah pada malam ini mamak
Bendahara kecurian ini?”
Lalu titah raja, “Wahai Temenggung, tidakkah kita titahkan
Temenggung sendiri yang berkawal pada waktu malam?
Mengapakah pada malam semalam mamak Bendahara kecurian?”

43 Perenggan 43
Maka sembah Temenggung, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun dan
kurnia; adapun pada malam ini patik sendirinyalah berkawal. Pada
segenap pintu dan rumah saudagar dan orang kaya-kaya patik sudah
tunggui; maka seorang pun tiada bertemu dengan patik-patik itu.
Maka titah duli yang maha mulia patik junjung.”
Lalu sembah Temenggung, “Ya tuanku, patik memohon ampun dan
kurnia; sebenarnya pada malam semalam patik sendirinya yang
berkawal. Pada setiap pintu dan rumah saudagar dan orang kaya-
kaya itu telah patik kawal; lalu tidak ada seorang pun yang ditemui
oleh orang-orang patik. Lalu titah duli yang maha patik junjung.”

44 Perenggan 44
Maka Laksamana pun berdatang sembah, “Ya tuanku, adapun
penjurit yang datang ini bukan barang-barang penjurit, lebih tahunya
daripada patik. Jika ada derma kurnia, patik hendak memohon ke
bawah duli hendak cuba bermain dengan penjurit itu.”
Lalu Laksamana pun berdatang sembah, “Ya tuanku, sebenarnya
pencuri yang datang ini bukanlah sebarang pencuri, lebih banyak
cerdiknya daripada patik. Jikalau ada derma kurnia, patik hendak
memohon ke bawah duli untuk cuba mencabar pencuri itu.”
45 Perenggan 45
Maka titah raja, “Adapun Laksamana itu tiadalah dapat jauh daripada
kita, jikalau Laksamana pergi berkawal, siapa teman kita di istana ini?
Yang kita harap hanyalah Laksamana.” Maka Laksamana pun
berdiam dirinya mendengar titah raja demikian itu.
Lalu titah raja, “Sebenarnya Laksamana ini tidaklah dapat berjauhan
daripada kita, jika Laksamana pergi berkawal siapakah yang akan
menemani kita di istana ini? Yang kita harapkan hanyalah
Laksamana.” Lalu Laksamana pun berdiam diri semasa mendengar
titah raja sedemikian itu.

46 Perenggan 46
Hatta beberapa hari maka segala orang kaya-kaya dan saudagar itu
pun habis kecurian; syahadan semuanya datang menghadap raja.
Maka raja pun tiada terkata-kata lagi.
Selepas beberapa hari maka semua orang kaya-kaya dan saudagar
itu pun habis kecurian; seterusnya semua orang datang menghadap
raja. Lalu raja pun tidak terdiam.

47 Perenggan 47
Maka sembah Laksamana, “Pada firasat patik, pada malam itu datang
pula penjurit itu ke istana kita ini.”
Lalu sembah Laksamana, “Pada ramalan patik, pada malam itu pula
pencuri itu akan datang ke istana.”

48 Perenggan 48
Maka titah raja, “Apa bicara kita supaya penjurit itu tiada beroleh
masuk ke istana ini?”
Lalu titah raja, “Apakah pendapat kita supaya pencuri itu tidak dapat
memasuki istana itu?”

49 Perenggan 49
Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, ada suatu perbuatan;
hikmat itu daripada penjurit yang tahu patik peroleh.”
Lalu sembah Laksamana, “Daulat tuanku, terdapat suatu cara; hikmat
itu daripada pejuang yang mahir patik peroleh.”

50 Perenggan 50
Maka titah baginda, “Segeralah perbuat, kekasihku Laksamaan,
hikmat itu.”
Lalu titah baginda, “Segeralah laksanakannya, kekasihku Laksamana,
hikmat itu.”

51 Perenggan 51
Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku, pada malam ini lepaskanlah
patik pergi berkawal, tiada jauh.”
Lalu sembah Laksamana, “Ya tuanku , pada malam ini benarkanlah
patik pergi berkawal, tidak jauh.”

52 Perenggan 52
Maka baginda bertitah, “Baiklah.”
Lalu baginda bertitah, “Baiklah.”
53 Perenggan 53
Maka Laksamana pun menyuruh membawa segala senjata yang
banyak-banyak itu, lembing dan tombak dan kayu. Maka diatur oleh
Laksamana berkeliling istana itu. Maka dibubuhnya suatu hikmat,
radak-meradak dan tetak-menetak sama sendirinya dan kayu itu pun
palu-memalu, terlalu gemuruh bunyinya.
Lalu Laksamana pun menyuruh orangnya membawa semua senjata
yang banyak itu, lembing dan tombak serta kayu. Lalu diaturnya oleh
Laksamana di sekeliling istana. Lalu diletaknya suatu hikmat, radak-
meradak dan tetak-menetak sesama sendirinya serta kayu itu pun
palu-memalu, terlalu kuat bunyinya.

54 Perenggan 54
Maka hari pun malamlah. Maka Laksamana pun memakai serba
hitam lalu berjalan. Maka Kertala Sari pun masuklah. Maka dilihat
oleh Laksamana seorang penjurit; maka Laksamana pun
berselindung pada suatu tempat. Maka Kertala Sari pun menyimpang
pada tempat yang lain masuk mencuri.
Lalu hari pun malamlah. Lalu Laksamana pun memakai pakaian
serba hitam lalu berjalan. Lalu Kertala Sari pun masuklah. Lalu dilihat
oleh Laksamana seorang pencuri; lalu Laksamana pun bersembunyi
di suatu tempat. Lalu Kertala Sari pun menyimpang ke tempat yang
lain lalu masuk mencuri.

55 Perenggan 55
Maka Kertala Sari pun fikir dalam hatinya hendak mencuri harta raja;
apabila habislah harta raja itu maka ia pun hendak membakar serta
mengatuk. “Adapun bini raja muda-muda itu kuambil akan biniku.”
Lalu Kertala Sari pun fikir di dalam hatinya mahu mencuri harta raja;
apabila habis harta raja tersebut dicurinya kemudian dia hendak
membakar serta mengamuk. “Seterusnya isteri raja yang muda-muda
itu akan kuambil menjadi isteriku.”

56 Perenggan 56
Maka ia pun sampailah ke istana. Didengar bunyi gemuruh, maka
dihampirinya: maka dilihatnya senjata dan kayu palu-memalu, tikam-
menikam dan radak-meradak.
Lalu Kertala Sari pun sampailah ke istana. Didengarinya gemuruh,
lalu didekatinya: lalu dilihatnya senjata dan kayu palu-memalu, tikam-
menikam dan radak-meradak.

57 Perenggan 57
Maka Kertala Sari pun hairan, berfikir dalam hatinya, “Adapun hikmat
ini bukan hikmat Melayu, hikmat penjurit Jawa yang tahu-tahu juga.”
Lalu Kertala Sari pun berasa hairan, dia berfikir di dalam hatinya,
“Sebenarnya hikmat ini bukan hikmat orang Melayu, sebaliknya
hikmat pencuri Jawa yang mahir juga.”
58 Perenggan 58
Maka diambil suatu kayu, maka disarungnya. Maka dipalu oleh kayu
hikmat Laksamana itu gemuruh bunyinya. Maka didengar oleh orang
berkawal bunyi kayu itu terlalu gemuruh. Maka ia pun hendak pergi
mendapatkan, maka ia teringat akan pesan Laksamana: tiada
diberinya bergerak, masing-masing pada tempatnya.
Lalu diambilnya sebatang kayu, lalu disarungnya. Lalu berpalu kayu
hikmat Laksamana itu gemuruh bunyinya. Lalu didengari oleh orang
yang berkawal bunyi kayu itu sangat gemuruh. Lalu mereka pun
hendak pergi mendapatkannya, lalu mereka teringat akan pesan
Laksamana: mereka tidak dibenarkannya bergerak, masing-masing
perlu berada di tempatnya.

59 Perenggan 59
Maka kata penjurit itu, “Apa tipunya aku masuk ini, kerana senjata ini
ada bertikam. Jika aku masuk nescaya kalahlah aku oleh senjata ini?”
Lalu pencuri itu berkata, “Apakah muslihat untuk aku masuk, kerana
senjata ini sudah bertikam. Jika aku masuk pasti kalahkah aku oleh
senjata ini?”

60 Perenggan 60
Maka penjurit itu pun kembali pula pergi pada tempat yang lain. Maka
dicurinya lalu dibawanya pada tempat itu.
Lalu pencuri itu pun pergi ke tempat yang lain pula. Lalu dicurinya
kemudian dibawanya di tempat itu.

61 Perenggan 61
Maka hari pun sianglah. Maka Laksamana pun kembali. Maka kata
Laksamana pada orang yang bertunggu itu, “Adakah tuan-tuan
dengar bunyi kayu dan senjata itu lain daripada bunyi sedia kala?
Lalu hari pun sianglah. Lalu Laksamana pun pulang. Lalu Laksamana
berkata kepada orang yang menunggu itu, “Adakah tuan-tuan
mendengar bunyi kayu dan senjata itu lain daripada bunyi yang sedia
kata?”

62 Perenggan 62
Maka sahut orang itu, “Adapun pada pendengaran sahaya, kayu itu
memalu kayu lainlah.”
Lalu dijawab oleh orang itu, “Sebenarnya pada pendengaran saya,
kayu itu memalu kayu lain.”

63 Perenggan 63
Maka Laksamana pun melihat, sungguh. Maka Laksamana pun
masuk menghadap. Maka titah raja, “Hai kekasihku, adakah bertemu
dengan penjurit itu?”
Lalu Laksamana pun melihat, benar. Lalu Laksamana pun masuk
menghadap. Lalu titah raja, “Wahai kekasihku, adakah kekasihku
bertemu dengan pencuri itu?”

64 Perenggan 64
Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, tiada patik bertemu.
Insya-Allah Taala, kelak malam patik cuba main penjurit itu, dengan
berkat arwah guru patik.” Maka raja pun diamlah.
Lalu sembah Laksamana, “Daulat tuanku, tidak patik temui. Insya-
Allah Taala, malam nanti patik cuba mencabar pencuri itu, dengan
restu arwah guru patik.” Lalu raja pun diamlah.
65 Perenggan 65
Setelah hari malam maka Kertala Sari pun memakai pakaian yang
indah-indah dan memakai bau-bauan yang harum lalu masuk ke
dalam kota, dalam hatinya, “Pada malam ini aku masuk membakar
dan mengamuk, kerana harta orang Melaka itu pun habis aku curi.”
Setelah waktu malam lalu Kertala Sari pun memakai pakaian yang
cantik-cantik dan wangi-wangian yang harum lalu dia masuk ke dalam
kota, di dalam hatinya berkata, “Pada malam ini aku hendak
membakar dan mengamuk, kerana harta orang Melaka itu telah habis
aku curi.”

66 Perenggan 66
Sebermula maka Laksamana pun memakai pakaian penjurit. Maka
Laksamana pun berjalanlah. Pada malam itu kelam-kabut dan hujan
pun rintik-rintik. Maka Kertala Sari pun masuklah ke dalam kota. Maka
Laksamana pun tidur di tengah pasar itu. Maka didengar oleh
Laksamana kaki Kertala Sari itu terlalu gemuruh bahananya. Maka
Laksamana pun tahulah akan Kertala Sari datang itu. Maka Kertala
Sari pun berjalanlah ke tengah pasar itu. Maka tertendang kakinya
pada tubuh Laksamana.
Sementara itu Laksamana pun memakai pakaian pencuri. Lalu
Laksamana pun berjalanlah. Pada malam itu kelam-kabut dan hujan
pun rintik-rintik. Lalu Kertala Sari pun masuklah ke dalam kota. Lalu
Laksamana pun tidur di tengah-tengah pasar itu. Lalu didengari oleh
Laksamana bunyi hentakan kaki Kertala Sari itu terlalu gemuruh. Lalu
Laksamana pun tahulah bahawa Kertala Sari yang tiba itu. Lalu
Kertala Sari pun berjalanlah ke tengah-tengah pasar itu. Lalu kakinya
tertendang pada badan Laksamana.

67 Perenggan 67
Maka Kertala Sari pun berdirilah atas kepala Laksamana itu, katanya
“Teririk bangkai pula aku ini!”
Lalu Kertala Sari pun berdirilah di bahagian kepala Laksamana itu,
lalu dia berkata, “Terpijak mayat pula aku ini!”

68 Perenggan 68
Adapun akan Laksamana tidur itu kerisnya sudah terhunus, lalu ia
bangun melompat menikam dada Kertala Sari terus ke belakangnya.
Sebenarnya semasa Laksamana tidur kerisnya telah sedia terhunus,
lalu Laksamana bangun melompat dan menikam dada Kertala Sari
hingga tertusuk terus ke belakang.

69 Perenggan 69
Maka Laksamananya pun berkata, “Ceh,mati engkau olehku!”
Lalu Laksamana pun berkata, “Cis, mati engkau olehku!”

70 Perenggan 70
Setelah Kertala Sari merasai luka itu, maka dihunusnya kerisnya pula
mengusir Laksamana. Dua tiga langkah maka ia pun rebah
terjerumus lalu mati. Maka oleh Laksamana dihirisnya syahwatnya
lalu ia kembali ke rumahnya.
Selepas Kertala Sari merasai luka itu, lalu dihunus kerisnya pula
untuk menghalau Laksamana. Dua tiga langkah sahaja lalu dia pun
rebah tersungkur lalu mati. Lalu Laksamana menghiris kemaluan
Kertala Sari lalu dia pulang ke rumahnya.
71 Perenggan 71
Setelah hari hampir siang maka orang pun lalu. Maka dilihatnya
seorang perlente mati; maka segera dikeratnya telinga dibawa
kepada raja, sembahnya, “Ya tuanku, inilah tandanya patik
membunuh penjurit yang terlalu buas itu.”
Setelah hari hampir siang lalu orang pun melalui kawasan itu. Lalu
dilihatnya seorang penjahat mati; lalu segera dikeratnya telinga dan
dibawanya kepada raja, sembahnya, “Ya tuanku, inilah buktinya patik
membunuh pencuri yang terlalu ganas itu.”

72 Perenggan 72
Maka datang pula seorang lagi, dikeratnya kepala, lalu dibawa
menghadap raja katanya, “Inilah tandanya patik membunuh penjurit
pada malam tadi.”
Lalu datang pula seorang lagi, dipotongnya kepala, lalu dibawa
menghadap raja katanya, “Inilah buktinya bahawa patik yang
membunuh pencuri pada malam tadi.”

73 Perenggan 73
Dengan demikian habislah kaki tangan Kertala Sari dikeratnya dibawa
kepada raja. Maka baginda pun menjadi hairan.
Oleh hal yang demikian habislah kaki dan tangan Kertala Sari
dipotongnya serta kepada raja. Lalu baginda pun berasa hairan.

74 Perenggan 74
Maka titah baginda kepada Bendahara, “Ayo mamak Bendahara, kita
pun hairan kelakuan ini. Siapakah juga yang sungguh ini?”
Lalu titah baginda kepada Bendahara, “Wahai mamak Bendahara,
kita pun hairan akan kelakuan ini. Siapakah yang benar ini?”

75 Perenggan 75
Maka sembah Bendahara, “Ya tuanku, pada bicara patik, dua
pertandaan lagi makna sungguh; tambahan Laksamana belum
datang.”
Lalu sembah Bendahara, “Ya tuanku, pada pandangan patik, dua
bukti lagi bermakna benarlah; tambahan pula Laksamana belum tiba.”

76 Perenggan 76
Seketika lagi maka Laksamana pun datang membawa syahwat dan
keris Kertala Sari. Maka sembah Bendahara, “Inilah, tuanku
pertandaan yang sungguh. Pada bicara patik, jika lain daripada
Laksamana, tiada akan dapat membunuh penjurit itu. Janganlah
membunuh dia, menentang matanya pun tiada dapat.” Maka segala
mereka itu pun masing-masing tunduk kemalu-maluan, lalu kembali.
Tiba beberapa lama kemudian Laksamana pun tiba membawa
kemaluan dan keris Kertala Sari. Lalu sembah Bendahara, “Inilah,
tuanku bukti yang benar. Pada pandangan patik, jika selain daripada
Laksamana, tidak ada sesiapa pun dapat membunuh pencuri itu.
Jangan membunuhnya, bertentang mata denagnnya pun tidak
mampu.” Lalu semua orang itu tunduk malu, kemudian pulang.
77 Perenggan 77
Maka titah baginda, “Bagaimana tipu Laksamana maka dapat
membunuh penjurit itu?”
Lalu titah baginda, “Bagaimanakah muslihat Laksamana sehingga
dapat membunuh pencuri itu?”

78 Perenggan 78
Maka diceritakannya segala hal-ehwalnya. Maka baginda pun hairan
terlalu sukacita. Maka baginda pun memberi anugerah akan
Laksamana. Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku, baiklah titahkan
segala rakyat berangkut segala harta itu.”
Lalu diceritakannya semua kejadian. Lalu baginda pun berasa hairan
dan sangat gembira. Lalu baginda pun memberikan anugerah kepada
Laksamana. Lalu sembah Laksamana, “Ya tuanku, baiklah titahkan
semua orang untuk mengangkut harta itu.”

79 Perenggan 79
Maka titah raja pada Tun Kasturi, “Pergilah Bentara menghadapi
orang mengangkut segala harta dan kerahkan segala orang
mengangkut harta itu.”
Lalu titah raja kepada Tun Kasturi, “Pergilah Bentara berjumpa
dengan orang yang mengangkut semua harta dan kerahkan semua
orang untuk mengangkut harta itu.”

80 Perenggan 80
Maka Bentara pun menyembah lalu pergi dalam mengangkut segala
harta itu di Bukit Cina. Maka harta itu pun terlalu banyak. Maka segala
harta itu ditimbunkan di halaman balairung itu, tujuh hari tujuh malam
berangkut segala harta itu.
Lalu Bentara pun menyembah lalu bergerak dengan rakyat untuk
mengangkut semua harta itu di Bukit Cina. Maka harta itu sangat
banyak. Lalu semua harta itu dikumpulkan di ruang balairung, tujuh
hari tujuh malam mereka mengangkut semua harta itu.

81 Perenggan 81
Setelah sudah maka sembah Laksamana, “Baik juga Duli Yang
Dipertuan menitahkan orang memalu mong-mongan suruh mari
mengenal hartanya.” Maka baginda pun bertitah pada Temenggung
menyuruh orang memalu mong-mongan. Maka dipalu oranglah
berkeliling negeri.
Lalu sembah Laksamana, “Baik juga Duli Yang Dipertuan menitahkan
orang memalu gong kecil dan menyuruh mereka datang mengenal
harta masing-masing.” Lalu baginda pun bertitah kepada
Temenggung untuk menyuruh orang memalu gong kecil. Lalu dipalu
oranglah gong kecil di sekeliling negeri.

82 Perenggan 82
Maka segala orang yang kehilangan itu pun semuanya berhimpun
masuk ke dalam pergi mengenal segala harta, seorang pun tiada
tinggal. Maka kata seorang, “Ini harta patik, tuanku.”
Lalu semua orang yang kehilangan harta itu pun semuanya
berhimpun masuk ke dalam untuk mengenal semua harta mereka,
seorang pun tidak ketinggalan. Lalu kat seorang, “Ini harta patik,
tuanku.”

83 Perenggan 83
Maka seorang, “Ini pun ia harta patik, tuanku.”
Lalu kata seorang, “Ini pun ialah harta patik, tuanku.”
84 Perenggan 84
Maka kata seorang, “Ini tuanku benda patik.”
Lalu kata seorang, “Ini tuanku harta patik.”

85 Perenggan 85
Kata seorang, “Ini bantal patik, tuanku.”
Kata seorang, “Ini bantal patik, tuanku.”

86 Perenggan 86
Setelah habislah dikenalinya segala yang empunya, maka titah raja,
“Hai segala kamu sekalian, hendaklah segala harta ini dibahagi tiga,
dua bahagi akan Laksamana, sebahagi akan orang yang empunya
harta, kerana harta ini sudahlah hilang beroleh akan Laksamana.”
Selepas semua harta dikenal pasti oleh pemilik harta, lalu raja
bertitah, “Wahai kamu semua sekalian, semua harta ini hendaklah
dibahagikan kepada tiga bahagian, dua bahagian diberikan kepada
Laksamana, sebahagian untuk pemilik harta, kerana harta yang telah
hilang ini dijumpai oleh Laksamana.”

87 Perenggan 87
Maka sembah orang itu, “Daulat tuanku, mana titah patik junjung.”
Lalu sembah orang itu, “Daulat tuanku, segala titah tuanku patik
junjung.”

88 Perenggan 88
Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku, jika demikian, sahaja
aniayalah duli yang maha mulia dan dukacitalah sekalian empunya
harta. Yang sebahagi itu akan patik. Dalam pada itu pun, mana kasih
hatinya hendak memberi akan patik.”
Lalu sembah Laksamana, “Ya tuanku, jika sedemikian, aniayalah duli
yang maha mulia dan sedihlah semua pemilik harta. Yang
sebahagian harta itu untuk patik. Walau bagaimanapun, terpulang
pada mereka sekiranya ikhlas henak memberikan harta kepada
patik.”

89 Perenggan 89
Maka titah baginda, “Hai segala kamu, sukakah seperti kat
Laksamana ini?”
Lalu titah baginda, “Wahai kamu sekalian, bersetujukah kamu dengan
kata-kata Laksamana ini?”

90 Perenggan 90
Maka sembah mereka itu, “Sukakah patik sekalian memberikan
Laksamana. Demi Allah dan Rasuh-Nya, dengan tulus ikhlas hati
patik sekalian.” Masing-masing pun memberikan segala hartanya
akan Laksamana.
Lalu sembah mereka itu, “Setujulah patik sekalian memberikan harta
kepada Laksamana. Demi Allah dan Rasul-Nya, dengan tulus ikhlas
hati patik sekalian.” Masing-masing pun memberikan semua hartanya
kepada Laksamana.
91 Perenggan 91
Maka Laksamana pun membahagi tiga, diambil oleh Laksamana
harta itu sebahagi. Maka yang sebahagi Laksamana ambil itu
dibahagi tiga pula; yang sebahgi itu didermakan pada segala fakir
miskin dan yang sebahagi lagi diberikan pada segala pengawai yang
tiada penguasaan dan sebahagi diberikan pada segala orangnya.
Maka segala harta itu pun habislah, suatu pun tiada diambil oleh
Laksamana.
Lalu Laksamana pun membahagikan harta kepada tiga bahagian,
diambilnya Laksamana harta itu sebahagian. Lalu sebahagian harta
yang diambil oleh Laksamana itu dibahagikan kepada tiga bahagian
pula; yang sebahagian harta itu didermakan kepada semua fakir
miskin dan yang sebahagian harta lagi diberikan kepada semua
pengawai yang tidak ada penguasaan dan sebahagian harta
diberikan kepada semua orang Laksamana. Lalu se,ua harat itu pun
habislah, tidak ada satu pun diambil oleh Laksamana.

92 Perenggan 92
Maka baginda pun terlalu amat kurnia akan Laksamana; barang
sesuatu bicara, jikalau tiada Laksamana, tiadalah putus. Maka negeri
Melaka pun kararlah.
Lalu baginda pun sangat sayang akan Laksamana; sebarang
masalah jika tiada Laksamana, tidak dapat diselesaikan. Lalu negeri
Malaka pun aman.

93 Perenggan 93
Berapa lamanya maka terdengar ke Majapahit kepada Patih Gajah
Mada bahawa Kertala Sari sudah mati dibunuh oleh Laksamana.
Maka Patih Gajah Mada pun mencari daya dan upaya hendak
mengalahkan negeri Melaka dan membunuh Laksamana itu juga,
sentiasa menyuruh ke gunung dan segenap bukit bertanyakan orang
yang bercakap membunuh Laksamana dan Ratu Melaka.
Demikianlah perkerjaannya.
Tidak beberapa lama kemudian sampailah berita kepada Majapahit
dan Patih Gajah Mada bahawa Kertala Sari telah terkorban kerana
dibunuh oleh Laksamana. Lalu Patih Gajah Mada pun mencari jalan
dan berusaha untuk mengalahkan negeri Melaka dan membunuh
Laksamana itu juga, Patih Gaja Mada sentiasa menyuruh orangnya
ke gunung dan segenap bukit untuk bertanya tentang orang yang
boleh membunuh Laksamana dan Ratu Melaka. Demikianlah
tugasnya.

Anda mungkin juga menyukai