Anda di halaman 1dari 5

Asas Penanaman Secara Hidroponik

Berkebun ialah aktiviti yang memerlukan komitmen setiap hari untuk memberikan penjagaan
yang secukupnya kepada tanaman. Bagi kebanyakan tanaman sayuran yang ditanam di atas
tanah atau di dalam pasu, air perlu diberikan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kadangkala
adalah sukar untuk memastikan tanaman mendapat penjagaan yang secukupnya. Namun,
penjagaan adalah lebih mudah dan menjimatkan masa jika menanam secara hidroponik.

Hidroponik ialah penanaman di dalam larutan nutrien tanpa menggunakan tanah.


Gambar di bawah menunjukkan secara ringkas konsep penanaman secara hidroponik.
Tanaman diletakkan di atas takungan larutan nutrien dan akar tanaman tersebut
mendapatkan air serta nutrien daripada larutan nutrien di bawah. Maka, tanaman tidak
perlu disiram yang boleh menjimatkan banyak masa dan tanaman sentiasa dibekalkan
dengan air dan nutrien.

Tanaman sentiasa dibekalkan dengan air dan nutrien melalui penanaman secara hidroponik.
Penanaman secara hidroponik adalah mudah dan ianya adalah permulaan yang sesuai bagi
mereka ingin mula berkebun. Selain daripada itu, hanya beberapa barangan yang diperlukan
dan bekas tanaman juga mudah untuk dibuat sendiri contohnya daripada botol terpakai dan
lain-lain.

Artikel ini akan memberikan anda kefahaman asas dalam penanaman secara hidroponik yang
boleh diaplikasi untuk pelbagai cara penanaman secara hidroponik. Bahagian-bahagian di
bawah disusun mengikut urutan langkah-langkah untuk menanam secara hidroponik. Perkara-
perkara asas berkaitan tanaman juga diberi perhatian dan anda boleh membaca artikel-artikel
yang diberikan untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut.

4 Keperluan Asas Tanaman


Tidak kira penanaman secara biasa atau hidroponik, terdapat beberapa perkara asas
yang tanaman perlukan iaitu air, cahaya, nutrien, dan udara. Oleh itu, keempat-empat
perkara ini adalah antara aspek utama di dalam penanaman. Bahagian-bahagian di
bawah akan menerangkan bagaimana untuk memastikan tanaman hidroponik anda
boleh mendapat empat keperluan asas ini dengan mencukupi. Artikel di bawah juga
menerangkan dengan lebih lanjut perkara ini.

Air
Air merupakan keperluan asas utama bukan sahaja untuk tanaman malah untuk semua
kehidupan. Kepentingan air untuk tanaman juga dapat dilihat daripada peratus berat air
yang terkandung di dalam tanaman iaitu 80%-90% daripada berat tumbuh-tumbuhan
adalah air. Air memainkan pelbagai peranan penting untuk tanaman dan antaranya
adalah sebagai medium pengangkutan nutrien serta diperlukan juga di dalam proses
fotosintesis. Kesan kekurangan air adalah jelas terhadap tanaman iaitu tanaman
menjadi layu dan tanaman juga boleh mati hanya selepas beberapa hari tanpa air.
Pastikan tanaman anda mendapat air yang mencukupi dengan menyiram sekurang-
kurangnya pada setiap pagi dan petang. Walaubagaimanapun, air yang berlebihan
juga boleh memberikan kesan yang negatif terhadap tanaman.
Kesan apabila tanaman menerima terlalu banyak atau terlalu sedikit air.

Cahaya
Fotosintesis adalah perkataan yang utama dikaitkan dengan keperluan cahaya kapada
tanaman. Melalui proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menghasilkan makanan
daripada tenaga cahaya. Melalui proses ini juga tumbuh-tumbuhan menarik karbon
dioksida daripada udara dan menghasilkan oksigen untuk hidupan-hidupan lain.
Kebanyakan tanaman memerlukan cahaya yang cerah, sekurang-kurangya 4 jam
cahaya matahari terus (direct sunlight) setiap hari bagi mendapatkan pertumbuhan
yang baik kerana perbezaan keamatan cahaya di antara tempat yang redup dengan
tempat yang terbuka adalah amat ketara. Cahaya yang tidak mencukupi boleh
menyebabkan daun menjadi kurang hijau dan tanaman tumbuh kurus dan
panjang. Kesan kekurangan cahaya boleh dilihat dengan jelas pada waktu
percambahan biji benih di mana cahaya yang tidak mencukupi menyebabkan anak
benih menjadi kurus dan panjang.

Cahaya yang cerah adalah penting untuk kebanyakan tanaman.


Udara
Udara adalah antara keperluan asas tanaman yang tidak perlu disediakan kerana
sudah tersedia kepada semua hidupan di bumi. Di dalam udara terdapat dua komponen
utama yang diperlukan oleh tanaman iaitu karbon dioksida dan oksigen. Seperti disebut
di atas, karbon dioksida diperlukan untuk menghasilkan makanan, dan oksigen pula
diperlukan oleh tanaman sewaktu proses respirasi iaitu proses menukar makanan
kepada tenaga. Walaupun udara tidak perlu disediakan tetapi terdapat beberapa
perkara yang berkaitan seperti pengudaraan tanaman yang perlu dipastikan
mencukupi. Pengudaraan yang baik bermaksud pengaliran udara yang baik.
Pengudaraan yang tidak baik boleh menyebabkan pertumbuhan kulat kepada tanaman.
Selain daripada itu, akar juga memerlukan pengudaraan yang baik. Pastikan
tanaman anda mendapat pengudaraan yang baik dengan meletakkannya di tempat
yang mempunyai aliran udara serta gunakan media tanaman yang poros untuk
memastikan pengudaraan yang baik untuk akar.

Pengudaraan di dalam media juga adalah penting untuk mendapatkan akar yang sihat.

Nutrien
Keperluan asas tanaman yang keempat pula adalah nutrien. Tanaman menerima
nutrien secara utama melalui akar dan mendapatnya sama ada daripada nutrien yang
tersedia di dalam tanah atau yang ditambah ke dalam tanah melalui pembajaan.
Terdapat sekurang-kurangnya 13 jenis nutrien yang diperlukan oleh tanaman,
yang utamanya adalah nitrogen, fosforus, dan kalium. Setiap nutrien ini mempunyai
pelbagai fungsi untuk tanaman tetapi kebiasaannya hanya baja yang mengandungi
nitrogen, fosforus, dan kalium yang perlu diberikan kepada tanaman disebabkan
kebanyakan nutrien-nutrien lain diperlukan dengan sedikit dan tersedia di dalam tanah.
Baja kebiasaanya mempunyai rating NPK iaitu peratus berat nitrogen, fosforus, dan
kalium di dalamnya. Secara mudahnya, gunakan baja ‘N’ tinggi untuk menggalakkan
pertumbuhan, baja ‘P’ tinggi untuk pertumbuhan akar, dan baja ‘K’ tinggi untuk
pengeluaran bunga dan buah. Bagi memudahkan pembajaan, gunakan baja yang
mempunyai nilai NPK yang sama rata seperti 8-8-8 atau 16-16-16 bagi memastikan
tanaman mendapat nutrien utama dengan mencukupi. Pembajaan kebiasaannya
dibuat setiap 2 minggu dan kadar pembajaan adalah bergantung kepada jenis dan saiz
tanaman.

Nutrien-nutrien yang diperlukan oleh tanaman

Kami berharap artikel ini adalah bermanfaat dan boleh membantu di dalam aktiviti
berkebun anda.

Anda mungkin juga menyukai