Anda di halaman 1dari 2

Walaupun terdapat cabaran dalam berkebun tetapi menanam dan menjaga tanaman adalah tidak

sukar. Seperti kita, tanaman memerlukan beberapa keperluan asas untuk hidup dan dengan
memastikan ianya mencukupi, tanaman anda akan tumbuh dengan baik dan sihat. Keperluan asas
tanaman terbahagi kepada 4 iaitu air, cahaya, nutrien, dan udara.
Air
Air merupakan keperluan asas utama bukan sahaja untuk tanaman malah untuk semua
kehidupan. Kepentingan air untuk tanaman juga dapat dilihat daripada peratus berat air yang
terkandung di dalam tanaman iaitu 80%-90% daripada berat tumbuh-tumbuhan adalah air. Air
memainkan pelbagai peranan penting untuk tanaman dan antaranya adalah sebagai medium
pengangkutan nutrien serta diperlukan juga di dalam proses fotosintesis. Kesan kekurangan air
adalah jelas terhadap tanaman iaitu tanaman menjadi layu dan tanaman juga boleh mati hanya
selepas beberapa hari tanpa air. Pastikan tanaman anda mendapat air yang mencukupi dengan
menyiram sekurang-kurangnya pada setiap pagi dan petang. Walaubagaimanapun, air yang
berlebihan juga boleh memberikan kesan yang negatif terhadap tanaman.
Kesan apabila tanaman menerima terlalu banyak atau terlalu sedikit air.
Cahaya
Fotosintesis adalah perkataan yang utama dikaitkan dengan keperluan cahaya kapada tanaman.
Melalui proses fotosintesis, tumbuh-tumbuhan menghasilkan makanan daripada tenaga cahaya.
Melalui proses ini juga tumbuh-tumbuhan menarik karbon dioksida daripada udara dan
menghasilkan oksigen untuk hidupan-hidupan lain. Kebanyakan tanaman memerlukan cahaya
yang cerah, sekurang-kurangya 4 jam cahaya matahari terus (direct sunlight) setiap hari bagi
mendapatkan pertumbuhan yang baik kerana perbezaan keamatan cahaya di antara tempat yang
redup dengan tempat yang terbuka adalah amat ketara. Cahaya yang tidak mencukupi boleh
menyebabkan daun menjadi kurang hijau dan tanaman tumbuh kurus dan panjang. Kesan
kekurangan cahaya boleh dilihat dengan jelas pada waktu percambahan biji benih di mana
cahaya yang tidak mencukupi menyebabkan anak benih menjadi kurus dan panjang.
Cahaya yang cerah adalah penting untuk kebanyakan tanaman.
Udara
Udara adalah antara keperluan asas tanaman yang tidak perlu disediakan kerana sudah tersedia
kepada semua hidupan di bumi. Di dalam udara terdapat dua komponen utama yang diperlukan
oleh tanaman iaitu karbon dioksida dan oksigen. Seperti disebut di atas, karbon dioksida
diperlukan untuk menghasilkan makanan, dan oksigen pula diperlukan oleh tanaman sewaktu
proses respirasi iaitu proses menukar makanan kepada tenaga. Walaupun udara tidak perlu
disediakan tetapi terdapat beberapa perkara yang berkaitan seperti pengudaraan tanaman yang
perlu dipastikan mencukupi. Pengudaraan yang baik bermaksud pengaliran udara yang baik.
Pengudaraan yang tidak baik boleh menyebabkan pertumbuhan kulat kepada tanaman. Selain
daripada itu, akar juga memerlukan pengudaraan yang baik. Pastikan tanaman anda mendapat
pengudaraan yang baik dengan meletakkannya di tempat yang mempunyai aliran udara serta
gunakan media tanaman yang poros untuk memastikan pengudaraan yang baik untuk akar.
Pengudaraan di dalam media juga adalah penting untuk mendapatkan akar yang sihat.
Nutrien
Keperluan asas tanaman yang keempat pula adalah nutrien. Tanaman menerima nutrien secara
utama melalui akar dan mendapatnya sama ada daripada nutrien yang tersedia di dalam tanah
atau yang ditambah ke dalam tanah melalui pembajaan. Terdapat sekurang-kurangnya 13 jenis
nutrien yang diperlukan oleh tanaman, yang utamanya adalah nitrogen, fosforus, dan kalium.
Setiap nutrien ini mempunyai pelbagai fungsi untuk tanaman tetapi kebiasaannya hanya baja
yang mengandungi nitrogen, fosforus, dan kalium yang perlu diberikan kepada tanaman
disebabkan kebanyakan nutrien-nutrien lain diperlukan dengan sedikit dan tersedia di dalam
tanah. Baja kebiasaanya mempunyai rating NPK iaitu peratus berat nitrogen, fosforus, dan
kalium di dalamnya. Secara mudahnya, gunakan baja ‘N’ tinggi untuk menggalakkan
pertumbuhan, baja ‘P’ tinggi untuk pertumbuhan akar, dan baja ‘K’ tinggi untuk pengeluaran
bunga dan buah. Bagi memudahkan pembajaan, gunakan baja yang mempunyai nilai NPK yang
sama rata seperti 8-8-8 atau 16-16-16 bagi memastikan tanaman mendapat nutrien utama dengan
mencukupi. Pembajaan kebiasaannya dibuat setiap 2 minggu dan kadar pembajaan adalah
bergantung kepada jenis dan saiz tanaman.

Anda mungkin juga menyukai