Anda di halaman 1dari 3

KEMENJADIAN MURID PELOPOR KECEMERLANGAN

Pembuka kata:

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Terima kasih buat peneraju acara, panel keadilan adil dan saksama, penjaga masa yang setia dengan
jam randiknya, seterusnya warga dewan berbahagia.

Hari ini, kita saksikan ramai remaja kecundang dan tidak dipandang. Ramai dilihat berjaya dan
dijadikan idola tapi adakah mereka bahagia? Maka, di sinilah, aspek kemenjadian murid menjadi
kepentingan dalam mempelopori kecemerlangan.

Maka, hayatilah tajuk pidato saya pada hari ini “Kemenjadian Murid Pelopor Kecemerlangan”.

Definisi perkataan:

Sidang saksi warga berintegriti,

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, KEMENJADIAN didefinisikan perihal proses menjadikan. MURID
pula membawa erti orang atau anak yang sedang belajar atau berguru. PELOPOR pula ditakrifkan
sebagai pendahulu atau pemimpin manakala KECEMERLANGAN ialah kegemilangan. Oleh itu,
apabila kesemua perkataan ini digabungkan jelas membuktikan proses menjadikan murid yang
mampu menjadi pemimpin ke arah kegemilangan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat merealisasikan kemenjadian murid yang mampu menjadi
pelopor kecemerlangan?

Sidang saksi warga bervisi,

Isi: Hayatilah, rempuhan idea pertama “Akademik Ditekankan, Murid Menjadi Mampan”

Huraian:

Pilu hati apabila melihat masih ada sebilangan kanak-kanak dan remaja di negara ini tidak pernah
bersekolah sehingga ke hari ini, sehingga dikhuatiri menjadi golongan yang tercicir daripada
peningkatan kemahiran diri dan usaha menjadikan mereka sebagai bekalan tenaga kerja pada masa
hadapan tidak menjadi realiti. Buktinya, hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019
mendapati 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak. Rekod ini amat
membimbangkan kerana impian kita adalah untuk merealisasikan peluang perkerjaan hanya untuk
orang muda tempatan, bukannya dimonopoli oleh orang ‘tumpangan’.

Contoh:

Oleh itu, pelbagai dasar dan garis panduan dengan matlamat merapatkan jurang pendidikan antara
komuniti bandar, luar bandar dan pedalaman dibangunkan, dasar pendidikan percuma dilaksanakan
sejak 2012 dan kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat iaitu proses pembelajaran dan
pengajaran di rumah (PdPR) ketika negara dilanda pandemik COVID-19 diusahakan.

Malah, bantuan buku teks, perkhidmatan kaunselor berfokusdan program guru pemulihan turut
dilaksanakan, semuanya untuk membantu murid yang keciciran dan lemah dari segi akademik untuk
mendapat pendidikan tidak mengira bangsa, lokasi atau taraf hidup.
Bukti:

Hadirin, menurut Hashim yakni seorang penyelidik pada 2020, kesan pandemik terhadap sistem
akademik melalui sistem PdPR menunjukkan perubahan yang besar dalam penggunaan teknologi
digital. Buktinya, penggunaan aplikasi Kahoot mencatat seramai 86% murid yang terlibat dalam
kajian bersetuju bahawa pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif. Dari sudut lain, kajian
Mohd. Yusof dan Tahir pada 2017 menunjukkan aplikasi Youtube dalam pembelajaran atas talian
memudahkan murid memandang sesuatu perkara secara realistik dan simulasi. Fenomena ini
membuktikan bahawa transformasi dalam dunia pendidikan ini mampu menggunalan medium PdPR
jika pandemik berlaku lagi pada masa hadapan demi kemenjadian murid daripada tercicir dalam
akademik.

Sidang saksi warga bervisi,

Isi: Rempuhan idea kedua, “Sistem Kokurikulum Efektif, Murid Menjadi Aktif”

Huraian:

Penularan COVID-19 mendesak murid untuk mula belajar secara atas talian, sekali gus mengalihkan
tumpuan kepada tuntutan akademik sehingga mengabaikan kepentingan kokurikulum. Dalam
tempoh itu, murid tidak berpeluang untuk menabur bakti dan mengaktifkan diri kepada sesuatu
yang dapat meningkatkan kemenjadian diri.

Contoh:

Lantaran itulah, selepas fasa peralihan endemik 1 April lalu, kreativiti guru dalam merangka kaedah
pengajaran kegiatan kokurikulum yang santai, bermaklumat dan penuh dengan elemen keseronokan
sangat dituntut. Kegiatan kokurikulum menjadi syarat 10% untuk melanjutkan pelajaran ke
pengajian tinggi masih dikekalkan, dasar 1 Murid 1 Sukan masih diperkasakan, prasarana sukan
untuk semua murid disediakan, semuanya demi mewujudkan sistem kokurikulum yang efektif.

Bukti:

Seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Puteh Noraihan A Rahman, berkata
selepas fasa peralihan endemik 1 April lalu, beliau dapat melihat kesan positif aktiviti sukan kepada
anak-anaknya yang bersekolah dalam Tahun Tiga dan Lima di sekolah rendah di mana kokurikulum
menjadikan murid lebih cerdas belajar selain memberi impak positif kepada kemenjadian diri
mereka. Bagi Nor Syafawati Mohd Zuki, pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang efektif mampu
'melarikan' tumpuan murid daripada penggunaan teknologi digital yang berlebihan kerana PdPR
sebelum ini. Maka jelaslah, sistem kokurikulum yang efektif mampu melahirkan murid yang aktif.

Sidang dewan warga Budiman,

Isi: Rempuhan idea ketiga “Sahsiah Terpuji, Hiasan Diri”

Huraian:

Tidak guna pencapaian akademik yang cemerlang jika sahsiah diri dipandang sepi. Fokus utama perlu
diberikan kepada aspek penerapan nilai murni seperti menghormati orang tua, berdisiplin, menjaga
adab dan sensitiviti di media sosial dan lain-lain. Proses kemenjadian sahsiah ini perlu berlaku dalam
suasana yang santai dari pelbagai pihak tanpa sebarang tekanan terutamanya ketika masih di
bangku sekolah rendah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Contoh:

Dari aspek kemenjadian murid, saya percaya ibu bapa lebih memainkan peranan yang penting
memandangkan murid lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding di sekolah. Kajian
oleh penyelidik, Jamiah pada 2013 mengkaji beberapa Tokoh Ibu Mithali yang menggunakan
pelbagai cara komunikasi dalam mendidik anak-anak termasuk memberi arahan yang jelas ketika
menunaikan tanggungjawab, berkomunikasi untuk membina perapatan hubungan yang kuat dan
berusaha memenuhi keperluan hidup anak-anak mereka dengan sebaik mungkin, semuanya demi
membentuk murid berpekerti mulia.

Bukti:

Hasilnya dapat dinikmati kini. Dengan komunikasi yang berkesan dalam mendidik anak-anak,
anugerah Tokoh Ibu Mithali diterima, di mana kriteria yang penting untuk menerima anugerah ini
adalah dengan memiliki anak yang cemerlang dalam bidang kerjaya serta mempunyai sahsiah yang
baik. Misalnya, Hajjah Maimon dan Hajjah Ayot menggunakan kaedah bercerita dalam mendidik
anak-anak mereka dengan nilai murni kerana bercerita merupakan satu kaedah untuk mengajar
kanak-kanak kepada tingkah laku yang baik. Tegasnya, sahsiah diri yang menghiasi diri inilah yang
menjadi asas kepada kemenjadian murid zaman ini.

Hadirin sekalian,

Kesimpulan:

Hadirin dan hadirat sekalian,

Pada hari ini, impian kita adalah untuk menjelmakan murid yang seimbang dari aspek akademik,
kokurikulum dan akademik bukan murid yang kecundang, pincang dan terbuang. Secara tuntasnya,
berdasarkan tiga idea yang telah saya sampaikan sebentar tadi, jelas membuktikan apabila
kemenjadian murid dihayati, murid ini mampu memimpin dan menjulang kecemerlangan negara di
mata dunia seterusnya merealisasikan hasrat negara untuk mengejar teknologi terkini tanpa
mengetepikan pembentukan insani. Benarlah, Kemenjadian Murid Pelopor Kecemerlangan.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh,

FIRA SYAFIQAH

Marketing & Sales Executive.

Anda mungkin juga menyukai