Anda di halaman 1dari 8

MEMOIR PENDIDIKAN

2011/2012

TIMBALAN REKTOR PEMBANGUNAN MAHASISWA & ALUMNI

Assalamualaikum wbt, Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana Badan Redaksi Memoir Pendidikan FP berjaya menerbitkan majalah Fakulti Pendidikan edisi yang pertama buat julung-julung kalinya. Jutaan tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada Sidang Editorial Memoir Pendidikan kerana telah berjaya menerbitkan satu produk penerbitan yang berkualiti dan bernilai bagi semua warga Fakulti Pendidikan khususnya dan mahasiswa mahasiswi yang lain amnya. Majalah ini merupakan satu bahan dokumentasi dan rekod perjalanan segala aktiviti warga Fakulti Pendidikan yang memaparkan pelbagai kegiatan pelajar dan pensyarah sama ada kegiatan kurikulum mahu pun kokurikulum dari semasa ke semasa. Usaha yang diberikan kepada para pelajar untuk mengurus dan menghasilkan pelbagai karya kreatif sebenarnya merupakan satu bentuk usaha murni yang selari dengan Falsafah Pendidikan Negara dalam mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Ummah pada hari ini memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja berkaliber dan berkredibiliti tinggi serta petah berbicara semata-mata melainkan mereka juga mampu untuk berkomunikasi dengan baik secara lisan mahu pun tulisan di samping dapat bekerjasama dengan orang lain untuk mencapai hasrat dan matlamat yang dirancang. Akhir kalam, semoga dengan penghasilan majalah ini bakal menjadi simbolik kepada kesinambungan kecemerlangan dan kegemilangan prestasi akademik dan sakhsiah diri yang unggul. Wassalam. **PEMANGKIN TRADISI ILMU**

(DR. ZULKEFLI BIN HJ AINI) Timbalan Rektor Pembangunan Mahasiswa & Alumni, Kolej Universiti Antarabangsa Selangor.

MEMOIR PENDIDIKAN

2011/2012

REKTOR KUIS
Assalamualaikum wbt, Pertama sekali marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT yang Maha Agung dan Maha Perkasa. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani kerana dengan taufiq dan hidayahNya kita masih lagi diberikan peluang dan kesempatan untuk bersama-sama bertemu di dalam majalah Memoir Pendidikan bagi edisi pertama ini. Sekalung tahniah dan ucapan syabas ditujukan buat Sidang Editorial Memoir Pendidikan badan Redaksi Fakulti Pendidikan kerana telah berjaya menerbitkan majalah tahunan Fakulti yang bernilai ini setelah bertungkus lumus menyiapkan majalah ini. Matlamat kepada proses pendidikan ialah untuk melahirkan insan kamil, seimbang dan bersepadu berteraskan kepada kepatuhan serta keyakinan kepada Allah SWT yang kemudiannya dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan ummah secara keseluruhannya. Sistem pendidikan yang sempurna dan berkesan mampu melahirkan seorang pelajar muslim yang soleh, berilmu, berketrampilan tinggi, kreatif, kritis, kompetitif dan penyayang. Dalam hai ini, semua aktiviti sama ada aktiviti kurikulum mahupun kokurikulum hendaklah selaras dengan menjurus kepada pencapaian matlamat yang murni ini. Cabaran untuk meneguhkan lagi dan meningkatkan kualiti serta prestasi pencapaian dalam akademik adalah menjadi tanggungjawab semua pihak baik ibu bapa, pensyarah, masyarakat dan pihak kerajaan. Untuk mencapai matlamat ini, pihak pengurusan pendidikan dan pensyarahpensyarah hendaklah mengamalkan profesionalime yang tinggi. Kita perlu berusaha bersungguhsungguh agar anak didik yang akan kita lahirkan nanti adalah anak didik yang seimbang daripada aspek rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial. Akhir kalam daripada saya, semoga dengan penghasilan majalah Memoir Pendidikan edisi pertama ini bakal menjadi satu simbolik kepada kesinambungan kecemerlangan dan kegemilangan prestasi akademik dan sahsiah diri yang unggul bagi Fakulti Pendidikan KUIS. Wassalam. **PEMANGKIN TRADISI ILMU**

(PROFESSOR DATO DR. AZIUDDIN BIN AHMAD) Rektor, Kolej Universiti Antarabangsa Selangor.

MEMOIR PENDIDIKAN

2011/2012

SENATOR FAKULTI PENDIDIKAN


Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya serta inayahnya dapat kita bersua dalam majalah fakulti pendidikan edisi pertama. Pertama sekali, saya selaku Senator Fakulti Pendidikan, KUIS ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada sidang redaksi Fakulti Pendidikan kerana telah memberi peluang dan ruang kepada saya untuk mencoret sepatah dua kata dalam majalah keluaran kali ini. Jutaan tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada Sidang Editorial Memoir Pendidikan Fakulti Pendidikan kerana telah berjaya menerbitkan satu produk penerbitan yang sangat berkualiti dan bernilai bagi semua warga Fakulti Pendidikan khususnya dan orang ramai amnya. Majalah tahunan fakulti ini merupakan satu bahan dokumentasi dan rekod perjalanan segala aktiviti Fakulti Pendidikan serta turut memaparkan pelbagai kegiatan mahasiswa dan juga pensyarah sama ada kegiatan kurikulum mahupun kokurikulum di samping turut memaparkan rekod kecemerlangan fakulti dari semasa ke semasa. Para mahasiswa Fakulti Pendidikan merupakan mahasiswa terpilih dan berkelayakan serta berkebolehan dalam pelbagai bidang keilmuan baik dari segi akademik mahu pun sebaliknya. Sewajarnya, para mahasiswa Fakulti Pendidikan hendaklah sentiasa mencuba dan berusaha untuk meningkatkan potensi serta pencapaian diri sendiri dari semasa ke semasa bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan dan kegemilangan Fakulti Pendidikan di samping mengangkat dan memartabatkan maruah dan imej Fakulti Pendidikan di mata masyarakat. Akhir kalam, saya menyeru agar semua pihak dapat bekerjasama mengembeling seluruh tenaga, masa dan harta untuk meningkatkan lagi potensi dan pencapaian para pelajar kita bagi mengangkat dan memartabatkan maruah dan imej agama Islam, InsyaAllah. **PEMANGKIN TRADISI ILMU** MAHASISWA ISLAM PENCETUS PERUBAHAN UMMAH

(WAN NOR SUHAILA BINTI WAN RUSLI) Senator Fakulti Pendidikan Sesi 2010/ 2011.

MEMOIR PENDIDIKAN

2011/2012

YANG DI PERTUA PERSATUAN MAHASISWA PENDIDIKAN (PERMAPEN)


Assalamualaikum wbt,
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya , telah memberikan saya peluang untuk memberi sepatah dua kata dalam majalah Fakulti Pendidikan buat julung kalinya. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua ahli sidang redaksi yang telah bertungkus lumus menghasilkan majalah ini. Semoga majalah ini menjadi wadah ilmu yang bermanfaat kepada semua pensyarah dan pelajar. Tanpa disedari, masa berlalu begitu pantas dan banyak ilmu serta pengalaman yang telah saya kutip sepanjang menjadi warga Fakulti Pendidikan, amnya dan Yang Di Pertua Persatuan Mahasisiwa Pendidikan (PERMAPEN), khususnya. Terima kasih kepada Dekan, Timbalan-timbalan Dekan, para pensyarah serta semua warga fakulti yang telah banyak membantu saya dan memberi tunjuk ajar dalam menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Kepada semua bakal-bakal guru, saya mendoakan anda semua berjaya dunia dan akhirat. Tetapkan di dalam hati, bahawasanya, profesion perguruan merupakan profesion yang dipandang tinggi serta mulia di sisi Allah SWT. Semoga bakal-bakal guru semua menjadi insan yang berguna dan dapat menyumbang ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh kerana setiap usaha yang gigih dan berterusan, insyaAllah akan diberikan ganjaran yang setimpal dengannya. Akhir kata, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memohon maaf andai ada terkasar bahasa, tersilap kata dan menguris hati mana-mana pihak. Semoga misi dan visi Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, dapat menghasilkan guru-guru yang berakhlak mulia, dedikasi dalam menjalankan tugas, dan berjaya dunia akhirat. Harapan saya agar semua warga Fakulti Pendidikan dapat bersatu dan meningkatkan ukhwah sesama kita sebagai satu keluarga yang besar demi memajukan profesion perguruan yang kita cintai. Sekian, terima kasih. **PEMANGKIN TRADISI ILMU**

(AHMAD FARHAN ABDUL RAHIM) Yang Di Pertua Persatuan Mahasiswa Pendidikan(PERMAPEN), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

MEMOIR PENDIDIKAN

2011/2012

TIMBALAN REKTOR AKADEMIK & PENYELIDIKAN


Assalamualaikum wbt, Syabas dan tahniah diucapkan kepada Sidang Redaksi Majalah Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang berjaya menerbitkan majalah fakulti yang pertama. Penerbitan majalah seumpama ini mampu memberi ruang kepada para mahasisiwa dan pensyarah untuk menyumbangkan idea, tenaga, pemikiran kreatif dan kemahiran berbahasa dalam usaha memberikan gambaran tentang aktiviti dan kejayaan Fakulti Pendidikan di KUIS. Kegigihan, kesungguhan dan disiplin diri adalah antara formula penting dalam menentukan kejayaan bagi setiap fakulti serta warganya. Sesungguhnya, pengisian dalam majalah ini dapat mengenengahkan kreativiti dan bakat mahasiswa dalam bidang akademik, intelektual, sastera, seni dan teknologi maklumat. Arus cabaran masa kini memerlukan mahasiswa untuk bijak merencanakan perancangan yang strategik, berfokus, bersistematik dan berpandukan ajaran Islam yang sebenar berpaksikan ketauhidan kepada Allah SWT. Ilmu yang bersepadu, seimbang dan benar yang dipelopori oleh fakulti mampu melahirkan insan Ta dib yang hebat sebagai Ummatan Wasata , sebagai umat yang berperanan besar dan mengambil posisi sebagai umat contoh yang seharusnya disegani dan dihormati. Dalam hal ini mahasiswa perlu mempunyai kesedaran pemikiran yang selari dengan meletakkan aspek agama sebagai tunjang kekuatan diri. Mahasiswa juga mesti mempunyai kekuatan minda, rohani dan jasmani untuk menangani sebarang permasalahan yang timbul. Biarlah kita menjadi satu bangsa yang mencipta kecemerlangan yang bertunjangkan akal budi agar kemajuan yang kita capai tidak tersasar daripada nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan. Akhir kata, diharapkan warga fakulti akan sentiasa beristiqamah meneruskan usaha dalam mencipta kecemerlangan dan sentiasa mempunyai aspirasi tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan agama, institusi, bangsa dan negara. **PEMANGKIN TRADISI ILMU**

(DR. NOR ADHA BINTI ABD. HAMID) Timbalan Rektor, Akademik & Penyelidikan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

MEMOIR PENDIDIKAN

2011/2012

PENASIHAT BADAN REDAKSI


Assalamualaikum wbt, Terlebih dahulu saya ingin melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat ilahi di atas segala kurniaan dan nikmat yang telah di kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Alhamdulillah sekalung penghargaan serta ucapan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga kerja yang telah berjaya menerbitkan majalah fakulti buat pertama kalinya. Segala kepayahan dan kesulitan yang di tempuhi insyallah akan mendapat ganjaran daripada-Nya. Penghasilan majalah fakulti ini merupakan tugasan akhir yang perlu disiapkan oleh pelajarpelajar yang mengambil subjek Teknologi Pendidikan II sama ada sepenuh masa atau separuh masa. Tugasan ini mewakili 10% daripada markah tugasan pelajar yang akan dinilai oleh pensyarah subjek berkaitan. Harapan saya segala ilmu yang di peroleh sepanjang penghasilan majalah ini dapat dimanfaatkan di masa yang akan datang. Sesungguhnya ilmu yang bermanfaat akan menjadi penyelamat buat orang-orang yang beriman. Saya mewakili semua pensyarah dan seluruh staf Fakulti Pendidikan sekali lagi mengucapkan jutaan tahniah di atas penghasilan majalah ini dengan jayanya. Semoga Allah s.w.t memberi ganjaran pahala yang besar kepada semua hamba-hamba-Nya yang sentiasa membantu dalam menegakkan agama-Nya.

**PEMANGKIN TRADISI ILMU**

Firdz ibn shater


(ENCIK AHMAD FIRDAUS BIN AHMAD SHATER) Penasihat, Badan Redaksi Majalah Memoir Pendidikan.

MEMOIR PENDIDIKAN

2011/2012

KETUA EDITOR

Assalamualaikum wbt, Assalamualaikum dan salam satu ummah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, keluarga serta ke atas sahabat baginda. Setinggi-tinggi kesyukuran saya rafakkan ke atas Rabbul Jalil kerana dengan rahmat dan izin-Nya, akhirnya, lahirlah Memoir Pendidikan , sebuah majalah sulung keluaran Fakulti Pendidikan KUIS. Memoir Pendidikan merupakan ilham serta cetusan rasa para pelajar, khususnya bakal guru keluaran fakulti pendidikan KUIS. Segala memori yang terlakar, baik indah mahupun pahit, menjadi adunan dalam menerbitkan sebuah karya agung yang akan subur dalam lipatan memori. Di sini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, terutamanya kepada Ustaz Muhammad Fuad Bin Haji Ishak selaku dekan Fakulti Pendidikan, para pensyarah , serta seluruh warga fakulti yang telah banyak terlibat dalam usaha melahirkan majalah ini. Selain itu, jutaan terima kasih kepada Encik Ahmad Firdaus Bin Ahmad Shater yang bertindak selaku penasihat dalam proses pembikinan majalah ini. Sesungguhnya, segala bentuk tunjuk ajar, nasihat dan bimbingan yang diberikan akan kekal segar dalam hati kami. Tidak dilupakan, bakal guru Fakulti Pendidikan, yang banyak menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit dalam menjayakan proses penghasilan majalah ini. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas segala penat lelah dan pengorbanan kalian. Terima kasih juga buat mereka yang terlibat baik secara langsung, mahupun tidak langsung dalam proses pembikinan majalah ini. Akhir kata, adalah diharapkan agar Memoir Pendidikan ini akan menjadi penghubung serta pengikat kasih antara kita semua. Semoga ianya memberikan manfaat dalam usaha mewujudkan komuniti pendidik selaras dengan hasrat serta visi Fakulti Pendidikan yang berusaha melahirkan para pendidik yang berketerampilan, berasaskan budaya ilmu, teknologi dan beretika selari dengan nilai-nilai Islam bagi mendapatkan keredhaan Allah. Sekian, syukran jazilan.

**PEMANGKIN TRADISI ILMU** (MOHD KHAIRUL IRWAN B. KAMARUDIN) Ketua Editor,

MEMOIR PENDIDIKAN
Badan Redaksi Majalah Memoir Pendidikan.

2011/2012

Anda mungkin juga menyukai