Anda di halaman 1dari 10

CERPEN 2

SEPERTI MENGEJAR PELANGI

Bila ayah memberitahu bahawa kami akan berpindah ke tempat baru,


memang sudah kugambarkan perihal kawan-kawan baru dan sekolah baru. Tentu
seronok mengenali mereka. Ah, begitulah kata hati. Mereka pasti tidak sama seperti
yang lama, tetapi tidak salah melalui perubahan ini.
“Awak boleh ambil tempat di belakang sana, di sebelah pelajar bertocang dua
tu,” beritahu Cikgu Salmah seraya menjurus ibu jarinya ke suatu sudut kelas. Aku
baru sahaja diperkenalkan sebagai pelajar baru Tingkatan Satu Anggerik.
“Terima kasih, cikgu,” aku mengucap sopan.
Ketika menyusun langkah ke tempat tersebut, ulas bibirku tidak putus
meleret senyum sambil memandang ke kanan dan ke kiri. Kawan-kawan baru turut
berbuat demikian. Jelas kehadiranku bersambut baik. Selepas ini, panjanglah kelak
lidah kita berbicara. Semoga sesuatu sebaik ini akan terus berkekalan.
“Apa khabar? Saya Siti. Siti Nazirah,” sapa pelajar berambut bertocang dua
seperti yang disebut oleh Cikgu Salmah sebaik aku beralas punggung di kerusi. Dia
menghulurkan tangan.
Aku menyambut. Tidak perlu kuperkenal balas, kerana Cikgu Salmah sudah
memaklumkan kepada sekelian yang hadir, namaku Nur Fatinah. Panggil saja Tina.
“Baik,” sapaannya kubalas. Terima kasih. Leret senyumku belum putus.
“Saya pula Julia,” pelajar di hadapan Siti, rambutnya pendek sahaja dengan
wajah sedikit iras kecinaan, mengambil giliran. Huluran tangannya juga kusambut.
Siti dan Julia, begitu nama dua orang kawan baruku yang pertama. Selepas
ini,
ramai lagi yang ingin kukenali. Dari mejaku yang agak terkebelakang, aku
memandang ke sekitar. Tadi sebenarnya aku sedikit gugup, maklum baru pertama
kali menjadi pelajar baru. Tidak kutatap satu persatu wajah-wajah itu. Kuhitung,
kuanggarkan ada lebih kurang 36 orang kesemuanya pelajar di kelas itu.
Cikgu Salmah sudah meminta diri. Guru Matematik, orangnya kukenali dari
tanda nama yang tersemat di baju sebagai Cikgu Teo, meneruskan pengajarannya.
Aku terkial-kial mencari buku. Ah, mana ada lagi!
Hari pertama kulalui dengan baik. Selepas Cikgu Teo beredar, kebanyakan
kawan-kawan baru itu menghampiriku. Aku tidak menang tangan bersalaman dan
menjawab pertanyaan, terutamanya perihal latar belakangku. Seringkasnya aku
menjawab, aku berasal dari Kedah, terpaksa belajar di selatan semenanjung kerana
ayah dan ibuku yang sama-sama bekerja sebagai doktor bertukar tempat kerja.
“Oh, Tina ni anak doktorlah,” ujar seorang pelajar lelaki.
“Tentu Tina pandai,” sambut pula seorang pelajar perempuan di sebelahnya.
Oh, tidak. Ah, benar. Hmm, entahlah, aku tidak pandai menjawab.
Sebetulnya kita sama sahaja. Kata ayah, semuanya terletak pada usaha. Kalau kita
rajin, kita akan berada di tempat yang selayaknya. Kalau tidak, tidaklah.
“Bagusnya dapat kawan baru seperti Tina,” seorang lagi bersuara.
Aku senyum sahaja. Tipis. Pesan ibu, kita jangan selalu membangga diri. Apa
yang ada milik Allah, anugerah-Nya kepada kita. Orang pun tidak suka kita
membesar diri.
Aku merasa amat seronok. Sangkaanku tidak tersesar. Sebenarnya, kalau
mahu belajar, di mana-mana pun sama sahaja. Kalau kita pandai menyesuaikan diri,
tidak ada sebab kenapa orang tidak dapat menerima kita. Apa pun, aku pasti akan
merindui kawan-kawan lama, sekolah lama, dan juga bandar tempat tinggalku
dahulu.
Hari pertama, seperti pergiku, pulangku juga ditemani oleh ayah. Sejurus
melewati pintu pagar sekolah, ayah
bertanya… “Tina suka belajar di sini?”
Aku cuma mengangguk. Seronok. Sama sahaja seperti di tempat asal, ayah.
“Tak rasa janggal dapat kawan-kawan baru? Tak rasa rindu pada kawan-
kawan lama?” soalan berkembar ayah itu bermaksud menduga isi hatiku. Aku
menggeleng kali ini.
“Apa pula tak seronoknya. Ayah pun pernah kata, berkawan biar seribu. Tadi
rasanya lebih kurang 36 orang. Campur yang lama, yang lama lagi, dan yang lama
lagi, mungkin belum sampai seribu. Tapi, lebih ramai lebih bagus. Bukan begitu,
ayah?” aku menjawab, melawak. Ayah tertawa kecil. Agak mengekek. Berhenti
sekejap di lampu isyarat, ayah sempat memicit-micit tengkukku. Kemudian,
menggosok-gosok pundakku.
“Anak ayah memang pandai pun menjawab,”
Aku terus tersenyum. Tersemat sedikit bangga kerana berjaya melunaskan
jawapan pertanyaan ayah dengan sebaik-baiknya. Juga kerana berjaya menongkah
arus cabaran.
***

Hari demi hari berlalu selancarnya. Tidak kusedari, kini aku sudah memasuki
minggu ketiga bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Megah. Aku
sudah memiliki ramai kawan, dan kebanyakan kawan sekelas telah kukenali ragam
dan keletah mereka. Aku juga sudah berkawan baik dengan Siti dan Julia. Kami
bertiga sering beriringan ke mana-mana.
Namun, aku perasan ada seorang pelajar yang tidak pernah sudi menegurku.
Dia juga amat pendiam di dalam kelas. Tidak dihampiri dan tidak juga
menghampiri orang lain. Layaknya seperti kera sumbang kalau mahu kusebut. Meja
tempat duduknya juga agak jauh terkebelakang. Aku mendengar Cikgu Salmah
menyerunya dengan nama Vincent, kemudiannya nama penuhnya Vincent Low
Kim Teck. Akhirnya, baru kuketahui suatu perkara mengenainya daripada Siti dan
Julia.
“Bahaya berkawan dengan dia, Tina. Silap-silap, maknanya kita sengaja
menempah maut,” beritahu Julia dengan mata membulat pada suatu ketika aku
bertanya perihal pelajar berketurunan Cina itu. Serius sungguh.
“Kenapa?” aku meminta penjelasan sejujurnya.
“Dia berpenyakit bahaya. AIDS. Semua orang tahu, darahnya ada virus HIV.
Ayah kau tentu tahu banyak lagi fasal bahayanya penyakit ini,” sambung Julia.
“Itulah sebabnya kami tak mahu berkawan dengan dia, Tina. Dia pun,
keluarganya sekalilah, sengaja buat-buat tak faham, orang tak suka pada dia,” celah
Siti. Aku terjeda.
“Kalau berkawan dengan dia, aku takut penyakitnya berjangkit,” tambah
Julia. “Kau tak takut?”
Kenyataan itu tidak benar dan sewajarnya diperbetulkan, Siti, Julia. Hatiku
membentak keras. Aku cukup pasti, penyakit AIDS tidak akan berjangkit dengan
mudah. Kalau setakat berkawan, duduk berdekatan, berbual-bual dan kalau sudi,
bersalam-salaman, kita tidak akan terdedah kepada kuman itu. Ayahku seorang
doktor dan sejak kali pertama mendengar perkataan AIDS itu lagi, aku telah
bertanya ayah.
“Itu fakta salah, Julia, Siti. Kita tak akan…,” seterusnya, kusebut perkara
sebenarnya. Kami tidak sependapat kali ini.
Vincent pasti tidak pernah mengingini virus itu. Alangkah bagusnya kalau aku
tahu punca dia dijangkiti penyakit yang penawarnya belum ditemui lagi itu.
***

Pulang ke rumah, aku tidak senang duduk. Sebarang kerja yang kubuat,
semuanya kurasa serba tidak kena. Kebetulan pula, ayah tidak ke hospital petang
itu. Ayah amat memahamiku, lantas sebarang kelainan dalam tingkah lakuku
mudah sangat dicerap.
“Ada apa-apa yang tidak kena berlaku di sekolah hari ini?” mudah sangat
ayah
meneka. Pertanyaan itu kuiyakan.

***

Masa rehat hari pertama minggu seterusnya, aku sengaja berlambat-lambat


dan membiarkan Siti dan Julia ke kantin dahulu. Ketika kesemua pelajar Tingkatan
Satu Anggerik, kecuali Vincent, beredar, barulah aku mengatur langkah perlahan-
lahan mendekatinya. Dia sedang terkial-kial mencari sebuah buku cerita dari dalam
beg sekolahnya. Kalau mengharapkan dia membuka mulut dahulu, pasti maksudku
sampai bila tidak akan kesampaian.
“Vincent…,” aku menyerunya.
Dia berpaling. Wajahnya berkerut. Terkejut pun ada.
“Vincent baca buku apa tu?” aku mengusul. Pertanyaan itu telah kugarap
terlebih dahulu selama menanti peluang itu. Dia melihat ke arah sebuah buku di
tangannya, kemudian memandang wajahku semula. Aku mengangguk.
“Buku The Swiss Family Robinson,” dia menjawab seringkasnya.
“Dah… dah habis baca?” ah, ke situ pula usulku yang seterusnya.
Tidak mudah untuk berbual-bual dengan Vincent. Pastinya begitu kerana dia
sudah lama menginginkan seseorang sebagai kawan. Sukar sekali. Masyarakat
memang benar-benar sukar memahami penderitaan insan sepertinya.
“Belum lagi. Baru separuh,” balas Vincent akhirnya, acuh tidak acuh. Dari
gaya dan nada percakapannya, dia seakan-akan tidak sudi menerimaku.
“Saya… saya pernah baca buku tu. Seronok sangat membacanya. Nanti… bila
Vincent dah… habis baca, boleh pinjamkan kepada saya? Saya rasa, saya nak baca
buku tu sekali lagilah,” aku berujar lagi. Dia sudah bangkit dari atas kerusinya dan
sudah mahu meninggalkan aku. Namun, sejenak itu juga, kakinya tidak terangkat.
“Ambillah. Tapi, jangan ganggu saya,”
Buku cerita itu sudah dihulurkan kepadaku. Aku belum mahu mengambilnya.
“Tapi, Vincent belum habis baca lagi. Bacalah dulu,” saranku. Aku sebetulnya
tidak berhasrat mahu meminjam buku itu kerana senaskhah sepertinya memang ada
dalam simpanan. Cuma, inilah plot perkenalanku dengan pelajar malang ini.
“Kalau nak pinjam, ambil sajalah,” Vincent bertegas. Aku mengeluh sejenak.
Dari daun tingkap yang terbuka itu, aku dan Vincent dapat melihat keadaan
di kantin. Ramai pelajar bersesak-sesak di situ. Suasananya hingar-bingar. Setakat
yang kuingat, aku belum pernah melihat pelajar ini duduk menjamu selera atau
menghilangkan haus di bangku panjang kantin. Sesudah aku telah mengetahui
sebabnya, tidak perlulah lagi aku melanjutkan apa-apa usulan mengenainya.
“Vincent, saya nak berkawan dengan awak,” akhirnya, aku terpaksa berterus-
terang. Sudah sampai masanya Vincent berhenti mencurigai niat baikku.
“Apa?!!” Wajah Vincent terus berubah.
“Saya nak berkawan dengan awak. Saya tahu awak ada penyakit itu. Tapi,
saya juga pasti sungguh, penyakit AIDS tak akan berjangkit dengan mudah,”
tegasku dengan lancar. Vincent menggeleng-gelengkan kepalanya, tidak percaya.
“Awak tak faham, Tina,”
“Saya faham, Vincent. Kalau awak anggap apa yang saya ucapkan ini bodoh,
samalah awak mengatakan ayah saya begitu. Ayah saya seorang doktor, dan ibu
saya juga. Mereka tahu dan merestui kehendak saya ini,” aku memberitahu lagi.
Ayah dan ibu tidak keberatan membenarkan aku ber-kawan dengan seorang pesakit
AIDS.
Vincent bukan seorang pesalah. Dia seorang pesakit. Kita perlu menolongnya.
Penawar itu belum ditemui. Memadailah kesengsaraan Vincent diimbalkan. Dia
tentu telah penat menahan sebak dipulaukan. Kalau ada seorang kawan, sebenar-
benarnya kawan, Vincent pasti akan menghargainya. Jadilah seorang kawan itu,
Tina.
Terima kasih, ayah. Terima kasih, ibu.
“Awak tentu tak sedar apa yang awak mahukan ini?” Vincent tetap keberatan.
Buku cerita The Swiss Robinson Family sudah dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
“Saya sedar. Vincent, saya mahu berkawan dengan awak,” kataku lagi. Kali
ini, aku sudah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.

***
Hari pertama perkenalanku dengan Vincent, percakapannya amat kaku. Dia
sering teragak-agak menjawab apabila aku berusul apa-apa. Kata-katanya sering
tersekat-sekat. Kadang-kala, dia memandang ke sekitar, kurang senang kalau ada
orang menyaksikan kami. Banyak benar yang mahu disembunyikannya, kalau
boleh. Tidak mengapalah. Selama masa rehat berlangsung itu, memadailah sekadar
saling bertanya khabar.
Hari-hari seterusnya, aku tetap cuba mendampinginya pada setiap masa
rehat. Vincent kurang senang dengan tindakanku. Lantas, dia mencebis kertas buku
latihan dan memberikan nombor telefonnya. Pintanya juga, aku jangan menemuinya
pada masa persekolahan. Terima kasih. Aku menerima cebisan itu sambil menegas
lagi, aku memang ikhlas mahu berkawan dengannya. Sebelum ini ayah dan ibu
pernah menyarankan agar aku menjemput Vincent ke rumah, langsung kuaju. Dia
menolak dengan baik. Katanya, keluarganya tidak suka begitu.
Memang benar kata ayah. Pesakit AIDS mengalami kesan psikologi yang
amat berat. Aku memang perlu banyak bersabar.
Beberapa kali aku menelefon Vincent, ibunya memberitahu bahawa saban
petang dia pasti akan berkunjung ke perpustakaan awam. Dia akan meminjam satu
atau dua buah buku dan selalunya akan membaca di taman tasik berdekatan. Seperti
Vincent, Puan Low juga meragui keikhlasanku. Dia tidak berkata begitu, tetapi nada
suara melalui corong telefon itu jelas memberitahu.
Suatu petang, aku berkunjung ke perpustakaan awam berkenaan. Aku
mencari Vincent merata-rata tetapi dia tidak ada di dalamnya. Kemudian, aku
menjelajahi seluruh kawasan taman tasik. Setelah lama mencari, akhirnya aku
menemuinya di atas sebuah wakaf. Vincent agak tergamam sebaik menyedari
aturan langkahku menghampirinya. Namun kali ini, sebaris senyuman yang terukir
di bibirnya jauh lebih manis daripada selalu.
Sejak itu, saban petang kami akan selalu bertemu di situ. Vincent sudah lacak
bercakap sekarang. Kalau tidak berbincang fasal pelajaran di sekolah, kami akan
bertukar cerita. Selalunya, mengenai apa-apa cerita yang pernah dibaca. Kebetulan,
kami berkongsi hobi; suka membaca buku cerita. Vincent juga sebenarnya seorang
pelajar yang pandai. Di dalam kelas, dia memang pendiam, tetapi sebenarnya setiap
ajaran guru-guru kami mudah melekat di kepalanya. Sayang, dia juga seingat-
ingatku, jarang sekali diusul!
Setelah beberapa lama kami menjadi pengunjung tetap wakaf itu, barulah
Vincent memberitahuku perkara sebenar bagaimana dia dijangkiti penyakit AIDS.
Semasa mengikut ayah dan ibunya belajar di Amerika Syarikat, dia terkena peluru
sesat dalam suatu kejadian tembak-menembak. Dia cedera parah, dan demi
menyelamatkan nyawa, suatu pembedahan terpaksa dilakukan. Aku mengerti
perasaannya, kerana dia tidak pernah mengundang malang itu. Virus HIV telah
menjelajahi saluran darahnya. Kasihan, Vince.
“Vince,” semesranya nama timangan itu kuseru, “Itu takdir. Jangan dikesali.
Saya faham sejak dulu lagi, awak tak bersalah,” sambungku.
Vincent hanya mengangguk. Lemah sahaja. Petang itu, hujan berintik turun.
Sekejap sahaja dan Vincent melihat ke arah lingkaran pelangi yang cantik.
Entah sampai bila, dia akan kepenatan mengejar pelangi itu.

***

Suatu hari, Julia dan Siti mendatangiku.


Julia sungguh marah padaku. Bibirnya memuncung dengan dada berombak
kencang. Bebola matanya tertancap tajam ke dalam rona mataku, benar-benar mahu
mengingatkan aku akan suatu ‘kesalahan’ yang telah kulakukan. Tidak. Aku tetap
akan bertegas, itu bukan suatu kesalahan. Siti juga kulihat berwajah kesal di
sampingnya. Bagaimanapun, dia masih boleh mengawal perasaan.
“Tina, semua orang tak suka pada dia. Kau tahu, kan? Kita semua pulaukan
dia kerana penyakit itu dan memang kalau boleh, tak ada sesiapa pun yang mahu
dia belajar di kelas kita lagi,” kata Julia. Nada suaranya keras dan menambah lagi
jitu kesungguhannya, kedua-dua belah lengannya kemas berlipat di dada.
“Kita? Aku tak termasuk dalam ‘kita’. Aku masih anggap Vincent sebagai
seorang manusia biasa, Ju. Dia bukan binatang, dan dia juga bukan makhluk asing,”
aku menafi lembut. Nada suaraku tidak setara dengannya kerana pesan ibu, api
sama api tidak boleh berlawan. Nanti makin maraklah jadinya.
“Haa…!”
“Betul, Ju. Ayah beritahu, setakat bercakap-cakap, setakat bersentuh kulit,
malah bertukar pakaian pun, penyakit itu tak berjangkit. Kau tahu bagaimana virus
HIV ada dalam tubuh Vincent, Ju? Ada selama ini kau tanya dia?” aku mengusul
bertalu-talu. Julia mengetap bibir. Menggeleng tidak, melunaskannya pun seperti
keberatan.
“Dia berpenyakit,” Siti cuba menokok
“Kau tak pernah tanya, Ju. Kau juga, Ti. Dia hanya mangsa keadaan. Vincent
menjalani suatu pembedahan di US. Virus HIV menjangkitinya di situ. Dia bukan
penagih dadah, jauh sekali atas sebab lain yang aku tak ingin sebut. Dia tak bersalah
tapi kamu berdua dan semua kawan kita anggap dia macam orang jahat. Itu salah.
Kita tak adil pada Vince… Vincent,” aku menghurai panjang lebar. Selembut
berkata- kata itu, aku melepas juga geram yang lama terpendam di dada. Simpatiku
kepada Vincent tidak pernah luak.
Julia dan Siti terdiam. Kata-kataku tidak berbalas. Julia memandang ke arah
lain, sementara Siti pula tertunduk.
“Kalau kau dekati dia lagi, Tina… jangan berkawan lagi dengan kami. Mari,
Ti… kita pergi dari sini,” ajak Julia. Dia sudah menggenggam tangan Siti dan
menarik pelajar itu. Siti yang dituntun hanya menurut.
“Ju…,” aku menyeru dan mengekorinya.
Setelah beberapa langkah, kami bertiga tergamam sewaktu hendak
membelok. Di dinding bangunan A, Vincent bersandar di situ. Aku nampak macam
ada kesan- kesan air bening pada lurah pipinya. Dia telah mendengar segala-
galanya.

***

Vincent tidak lagi memenuhi masa lapangnya saban petang di wakaf di


taman tasik. Beberapa petang aku menanti, dia tidak muncul-muncul. Di dalam
kelas, dia langsung tidak mahu memandang wajahku. Aku tahu hatinya terluka.
Setiap kali aku menelefonnya, ibunya akan menjawab dengan memberikan apa-apa
sahaja alasan yang jelas menyatakan kepadaku, Vincent tidak mahu bercakap
denganku.
Suatu petang, aku menghadiri perjumpaan pasukan pandu puteri. Siti sampai
agak lewat dan membawa suatu berita yang kurang baik; Julia terlibat dalam satu
kemalangan jalan raya dan telah dikejarkan ke hospital.

***

Sepanjang minggu itu, Julia tidak hadir ke sekolah. Ayah yang merawatinya
di hospital juga setiap hari memberi perkhabaran baru. Aku sungguh senang hati
bila diberitahu bahawa keadaan Julia semakin baik. Aku telah pergi
mengunjunginya
pada hari pertama kemalangan itu bersama ibu, tetapi ketika itu dia masih belum
sedarkan diri.
Kawan-kawan sekelas sepakat mahu mengunjungi Julia pada pagi minggu
itu. Hari yang dinanti-nantikan itu tiba juga. Kami berjanji untuk pergi ke hospital
atas tanggungan sendiri dan hanya berjumpa di pintu utama. Hampir tiba masa
melawat, kebanyakan kawan-kawan sekelasku sudah berada di situ, tetapi aku
masih menanti seseorang.
“Kau tunggu siapa lagi, Tina?” tanya Siti yang melihat aku gelisah menanti.
“Vincent,” aku menjawab benar.
“Vincent? Kau ajak dia?” Siti bagaikan tidak percaya.
Aku mengangguk. Aku meninggalkan nota di dalam sebuah buku cerita di
dalam beg sekolah Vincent. Dia pasti akan membaca nota itu di rumah.
Terpulanglah.
“Dia tak akan datang,” kata Siti. Aku diam sahaja.
Tidak lama kemudian, sebaik sahaja pintu utama dibuka lebar menandakan
masa melawat sudah bermula, para pelajar Tingkatan Satu Anggerik berarak masuk
ke wad Julia ditempatkan. Ada bermacam-macam buah tangan yang dibawa. Buah-
buahan, buku cerita, kek dan sebagainya lagi. Aku hanya membawa sekotak coklat
yang agak mahal juga. Setahuku, kegemaran Julia.
Julia sungguh gembira menyambut kedatangan kami. Kepalanya berbalut
dan ada kesan-kesan calar dan melecet pada lengan kanannya. Pasti juga Julia
lambat boleh bergerak bebas kerana kedua-dua belah kakinya patah. Kasihan aku
melihatnya dan kawan-kawan kami ramai mencurahkan simpati.
“Aku akan kirimkan nota setiap hari ke rumahmu,” janji Azril. Julia
tersenyum.
“Terima kasih,”
“Bila kau sembuh nanti, aku akan tolong ajarkan pelajaran yang tak dapat kau
ikuti sekarang,” janji Junaidah pula. Julia tersenyum lagi dan mengangguk.
“Terima kasih,” dia mengulangi ucapan itu.
Setiap orang mahu berkata-kata, mahu berjanji dan mahu juga bertanya. Aku
juga mahu mengambil giliran, tetapi ekor mataku sering mengerling ke arah pintu
wad. Aku masih mengharapkan Vincent akan menjelma. Sehingga akhirnya…
“Ju, cuba kau tengok siapa yang datang tu,” kataku, meminta Julia
memandang ke arah pintu wad. Julia mengarahkan pandangan dan semua orang
turut berbuat begitu.
Vincent mengatur langkah perlahan-lahan dengan membawa sejambangan
bunga. Semakin dia menghampiri katil Julia, sebenarnya hatiku semakin berdetak
cemas. Aku harap, Julia akan mengerti sekarang, kerana dia pasti maklum bahawa
dia telah memerlukan beberapa pain darah sewaktu menjalani pembedahan yang
telah menyelamatkan nyawanya.
“Apa khabar, Julia?” tanya Vincent di sisi katil Julia. Sambil itu, dia
menghulurkan jambangan bunga itu. Julia menyambutnya.
“Baik,” Julia menjawab sepatah. Aku memandang ke dalam matanya. Aku
rasa, Julia akan menyambung kata-katanya. “Vincent, ma… maafkan saya,”
Lambat-lambat, Julia menghulurkan tangan kanan, mahu bersalaman dengan
Vincent. Semua pelajar Tingkatan Satu Anggerik menyaksikannya. Vincent
tersenyum tipis. Dia menyambut tangan Julia. Hatiku terus berdebar-debar.
Selepas itu, aku melihat kawan-kawanku yang lain turut bersalaman dengan
Vincent. Aku percaya, masih ada yang merasa ragu-ragu. Namun, biarlah asalkan
mereka sudah sudi menerima Vincent semula.
Vincent pernah memberitahuku, dia ingin merasai kehidupan di sebuah
pulau, seperti yang dibacanya dalam buku cerita The Swiss Family Robinson.
Mungkin sekarang, tidak lagi. Selepas ini, dia tidak akan kepenatan mengejar
pelangi lagi.

Anda mungkin juga menyukai