Anda di halaman 1dari 3

HUBUNGAN ANTARABANGSA PASCA WABAK

Pandemik koronavirus (Covid-19) merupakan salah satu musibah dahsyat yang pernah dialami dalam
sejarah moden dunia. Nampaknya impak wabak itu tidak hanya dalam bidang kesihatan tetapi
termasuk ekonomi serta politik antarabangsa. Kebanyakan negara dunia mengisytiharkan sekatan
atau lockdown untuk memutuskan rangkaian virus Covid-19. Ia menjejaskan ekonomi dan aktiviti
perniagaan harian.

Penganalisis ekonomi menggelarkannya sebagai the great lockdown di mana ekonomi dunia terjejas
teruk. Menurut World Economic Outlook, pada April lalu pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2020
dijangkakan jatuh tiga peratus. Ada penganalisis berpendapat ekonomi dunia akan mengalami
kemelesetan paling serius selepas Zaman Kemelesetan Besar atau Great Depression pada tahun
1930-an. Timbul persoalan bagaimanakah hubungan antarabangsa dalam era pasca pandemik Covid-
19? Sejauh manakah perimbangan kuasa atau balance of power yang sedia ada mampu bertahan?

Hubungan antarabangsa pasca-Covid-19 akan menyaksikan kebangkitan semangat nasionalisme


yang lebih ketara kerana antara punca yang sering dikaitkan dengan penularan virus itu adalah
kehadiran pekerja serta warganegara asing. Sentimen tersebut dimainkan oleh pemimpin politik
populis yang menyalahkan pihak lain terutama warganegara asing untuk mengaburi kelemahan
pemerintahan mereka ketika berhadapan masalah jangkitan Covid-19.

Senario perkauman dapat diperhatikan di Australia dan Amerika Syarikat (AS) di mana telah
dilaporkan penduduk Asia, khasnya mereka yang berketurunan Cina, menjadi sasaran serangan
secara lisan mahupun fizikal oleh sesetengah kumpulan penduduk kulit putih yang menyalahkan
mereka sebagai pembawa virus Covid-19. Jika sentimen curiga dan kebencian itu tidak dikawal,
dengan provokasi pemimpin populis seperti Presiden Donald Trump atau Senator Pauline Hanson
dari Australia ia akan mencetuskan semangat nasionalisme ultra berbahaya sehingga menjejaskan
hubungan antara negara.

Selain itu, senario hubungan antarabangsa pasca-Covid-19 akan memperlihatkan masyarakat


antarabangsa lebih mementingkan pembangunan ekonomi dalaman berbanding ekonomi
antarabangsa. Ini bererti ekonomi negara-negara dunia akan menjadi lebih berdikari atau self-
sufficient daripada terlalu bergantung kepada luar supaya dapat mengurangkan risiko kemelesetan
ekonomi antarabangsa akibat pandemik Covid-19. Setelah tamatnya pandemik Covid-19,
dijangkakan negara-negara mengamalkan dasar ekonomi yang lebih bersifat perlindungan dan
tertutup.

Oleh yang demikian, proses globalisasi dan liberalisasi perdagangan yang berkembang rancak
semenjak tahun 1990-an akan terjejas. Itu tidak bererti proses globalisasi akan berakhir tetapi
diperlahankan. Bagaimanapun, salah satu kesan positif yang muncul daripada pandemik Covid-19
adalah kerjasama sejagat dalam bidang kesihatan awam serta epidemiologi.
Pandemik Covid-19 mendedahkan limitasi keupayaan kuasa-kuasa besar menghadapi penularan
virus Covid-19. Jelas kuasa Barat seperti AS, Britain serta negara ahli Kesatuan Eropah bertindak
lebih perlahan dan kurang efisien berbanding dengan negara-negara di Asia Timur seperti Korea
Selatan dan China. Kepimpinan AS dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 di peringkat
antarabangsa dipertikaikan oleh masyarakat antarabangsa dengan sikap Trump yang mengutamakan
America First. Perimbangan kuasa atau balance of power dunia pasca pandemik Covid-19 bakal
berubah di mana negara-negara sekutu AS di Eropah mungkin mengadakan hubungan erat dengan
China dan Rusia akibat jalinan dan diplomasi anti-virus berbanding AS.

Dunia pasca pandemik Covid-19 akan terus menyaksikan permusuhan dan percaturan kuasa-kuasa
besar dan tidak bererti hubungan antarabangsa akan menjadi lebih aman. Kuasa-kuasa besar akan
terus bersaing untuk memperluaskan pengaruh. Ada penganalisis yang berpendapat globalisasi
pasca-Covid-19 akan lebih berpaksi kepada China berbanding AS. Apa yang pasti hubungan
antarabangsa mengalami perubahan drastik akibat Covid-19.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/81680/KHAS/Pendapat/Hubungan-


antarabangsa-pasca-wabak

Krisis akibat COVID-19 memburukkan konflik - Diplomat PBB

NEW YORK: Diplomat dan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi
amaran bahawa pandemik COVID-19 memburukkan situasi kemanusiaan dalam konflik
dunia, mengancam ekonomi dan meningkatkan keganasan. Mereka berkata, COVID-19
mengganggu program bantuan, mengalihkan perhatian dan sumber kuasa besar dalam
memerangi virus itu, selain merencatkan aliran ekonomi yang semakin lemah.

"Terdapat kebimbangan sangat tinggi bahawa impak ekonomi akan mencetuskan lebih
kekacauan dan konflik. Kita masih di permulaan 'drama' agak panjang," kata Pakar PBB
berpangkalan di New York, Richard Gowan. Mac lalu, Setiausaha Agung PBB, Antonio
Guterres merayu gencatan senjata peringkat global yang hampir gagal diatasi, dengan
pertempuran terus berleluasa di Yaman, Libya dan Syria.

Perintah berkurung menyekat pergerakan utusan, pasukan pengaman dan pertubuhan bukan
kerajaan serta menghalang usaha penghantaran dan pengedaran bantuan yang sangat
diperlukan orang awam. Di Yaman, puluhan ribu orang maut sejak 2015 dalam krisis
kemanusiaan yang disifatkan PBB terburuk dengan pergolakan meningkat, menurut diplomat
yang mendakwa negara itu kini runtuh.

"Kebuluran kembali meruncing, konflik meningkat dan ekonomi susut. Agensi kemanusiaan
juga hampir kehabisan wang dan masalah COVID-19 menular di luar kawalan," kata Ketua
Bantuan PBB, Mark Lowcock, minggu lalu. Diplomat Britain memaklumkan Majlis
Keselamatan PBB, bahawa kiriman wang yang menjadi nadi di negara itu berkurangan
sebanyak 70 peratus ekoran krisis COVID-19.

Beliau memetik hasil tinjauan baru-baru ini yang mendapati, hampir separuh daripada
keluarga Yaman kehilangan sekurang-kurangnya 50 peratus pendapatan mereka, sejak April.
Lowcock turut melaporkan berita ekonomi suram di Syria, yang menjunam ekoran perang
berlarutan hampir sedekad, selain perintah berkurung bagi membendung COVID-19, antara
faktor ekonomi Syria menguncup lebih tujuh peratus, tahun ini. Katanya, kadar pengangguran
meningkat hampir 50 peratus susulan pemberhentian kerja, berbanding hanya 42 peratus,
tahun lalu.

"Bantu Yaman sekarang atau saksikan negara berkenaan jatuh ke dalam jurang sangat
dalam," katanya. Diplomat berkata, kerajaan Barat mengecilkan bantuan dihantar ke zon
krisis kemanusiaan kerana fokus membendung COVID-19 dan memulihkan ekonomi
masing-masing. Penganalisis berkata, ia turut menjejaskan usaha perdamaian apabila
pengantara beralih daripada pertemuan dua hala kepada aplikasi Zoom dan Skype. - AFP

Anda mungkin juga menyukai