Anda di halaman 1dari 4

Anwar dan Masa depan PH

saudara.org/2020/12/20/anwar-dan-masa-depan-ph/

Lim Hong Siang December 20, 2020

Politik umpama menjulang idealisme dalam realiti. Ada kalanya kita berganjak demi
mencapai kemenangan. Kegagalan menguruskan kemenangan, bakal mengundang
kejatuhan. Kesemua ini lumrah yang berkitar.

Ini namanya roda sejarah. Apabila mereka yang berkedudukan di bawah naik ke atas,
dan kembali ke bawah kemudiannya, sungguhpun digelar “back to square one” dalam
bahasa Inggeris, namun masyarakat kita telah bergerak dari titik asal lantaran pusingan
roda sejarah ini.

Apakah ia sesuatu yang membosankan? Ya dan tidak. Ya, kerana masalah yang sama
berulang-ulang; Tidak, kerana proses ini menerokai kemungkinan yang baru.

Kemelut politik tanah air pasca “Langkah Sheraton” tidak terkeluar dari hukum di atas.
Mustahil ia dirungkaikan seandainya kita gagal membezakan antara cara dengan
matlamat, dan menyeimbangi antara idealisme dengan realiti. Politik hanya tinggal
pergelutan kuasa jikalau berkisar tentang taktik dan strategi samata-mata, tetapi mentaliti
“semua atau tiada” (all or nothing) sesetengah idealis, tidak membantu untuk
menjernihkan situasi.
Tulisan ini cuba menyingkap tiga isu utama yang wajar kita teliti, dan barangkali mencari
titik pertemuan, sebelum kita mengorak langkah seterusnya.

1/4
Pertama: Satu slogan, tafsiran berbeza

Dari September 1998 hinggalah Mei 2018, segala agenda perjuangan politik parti
pembangkang disingkatkan kepada satu slogan yang berbunyi “Reformasi”, sungguhpun
disedari bahawa ada antara agenda mereka yang saling bertentangan. Untuk
pembangkang dan penyokongnya, satu-satunya jalan keluar untuk merealisasikan
agenda masing-masing adalah menumbangkan kerajaan persekutuan BN, pada ketika
itu.

Pembangkang mula mengesan kerumitan di sebalik laungan slogan “Reformasi” selepas


diberi mandat untuk menjadi kerajaan negeri dalam PRU12 pada tahun 2008. Secara
kasar, dasar politik dikategorikan kepada tiga bab, iaitu pendemokrasian ekonomi,
reformasi institusi dan politik identiti.

Ketika era Pakatan Rakyat, gandingan PAS-PKR-DAP berkongsi lebih persamaan dalam
bab pengagihan sumber, iaitu memecahkan monopoli kroni, dan “merakyatkan ekonomi”.
Dalam bab reformasi institusi, PR secara umum bersetuju untuk memansuhkan, atau
sekurang-kurangnya meminda akta draconian yang dianggap mencengkam ruang
kebebasan dan demokrasi, untuk semak-imbang yang lebih berkesan dalam institusi
politik. Namun, PR bercanggah dalam bab politik identiti, khususnya antara DAP dengan
PAS, apabila melibatkan agama, seperti hukum hudud, LGBT dan sebagainya.

Era Pakatan Harapan pula, gandingan PKR-DAP-Amanah-Bersatu berkongsi matlamat


yang sama, iaitu menumbangkan regim Najib Razak. Ikhlas atau tidak, Bersatu di bawah
pimpinan Mahathir Mohamad ketika itu terpaksa bersetuju dengan rakan sekutunya
dalam bab reformasi institusi, kerana skandal 1MDB berlaku lantaran kebobrokan institusi
semak-imbang dalam negara. Cuma, kemasukan parti yang mendukung nasionalisme
Melayu ini menyaksikan percanggahan yang ketara dalam bab politik identiti, khususnya
bahasa, pendidikan, etnik dan sebagainya.

Ia bukan hanya pertentangan antara DAP dengan Bersatu, tetapi juga perbezaan yang
sedia ada dalam masyarakat majmuk kita. Lantas, slogan “Reformasi” gagal meleraikan
perbalahan ini. Untuk masyarakat bukan Melayu, mereka yang menuntut penghapusan
pendidikan aliran bahasa Cina itu adalah “konservatif”, “tidak meraikan kepelbagaian”
dan sepatutnya disingkirkan dengan gelombang “Reformasi”. Sementara itu, dari kaca
mata masyarakat Melayu, komuniti Cina yang menolak pengenalan tulisan Jawi juga
bersifat “konservatif”, “eksklusif”, dan tidak harus diberi tempat dalam “Malaysia Baru”.

Kegagalan untuk menemukan kedua-dua kelompok ini pada titik pertengahan,


mengundang kontradiksi yang semakin runcing. Ini persoalan identiti kebangsaan yang
gagal dibincangkan dengan rasional, objektif, sebaliknya sentiasa dikaburi sentimen dan
emosi, lebih-lebih lagi, dipolitikkan sebagai senjata untuk menjahanamkan musuh politik.

Kedua: Mahathir lwn Anwar

Pakatan Harapan dengan gandingan PKR-DAP-Amanah tanpa Bersatu, berkongsi lebih


persetujuan dari segi dasar bersama, memandangkan aktor-aktor utama gandingan ini
sudah bekerjasama sejak zaman Reformasi. Dengan kata lain, PH lebih bersatu tanpa

2/4
Bersatu.

Namun, realiti pahit yang perlu ditelan di sebaliknya adalah, PH gagal menawan
Putrajaya walaupun bersatu padu. Kuncinya undi Melayu. Paling kemuncak, PR dengan
PAS meraih undi lebih 50% dalam PRU13, tetapi gagal menempah kerusi yang
mencukupi dalam Dewan Rakyat. Pada PRU14, PH menang kerana Bersatu di bawah
pimpinan Mahathir Mohamad mengisi kelompongan undi Melayu yang ditinggalkan PAS.
Kini, tanpa PAS dan Bersatu, malah puak Azmin Ali dalam PKR – suka atau tidak, sejauh
mana undi Melayu yang mampu diraih PH?

Perhitungan ini mudah ditelaah, dan difahami oleh mereka yang menerima pendamaian
antara Mahathir dengan Anwar sebelum PRU14, dan mereka yang masih cuba
mendamaikan dua sosok ini selepas “Langkah Sheraton”. Cuma, persoalannya, apakah
pisang akan berbuah dua kali?

Keputusan PRU14 adalah keajaiban politik tanah air. Sosok Mahathir tanpa barisan
pembangkang yang dibina sejak zaman Reformasi, gagal menumpaskan Umno-BN.
Sosok Anwar-PH tanpa Mahathir-Bersatu, gagal melakar sejarah pertukaran kerajaan
persekutuan melalui pilihan raya umum. Gandingan kedua-dua seteru politik ini,
memungkinkan segala kemustahilan.

Namun, kedua-dua tokoh ini terbeban dengan sejarah yang panjang, dan kewujudan
mereka saling menafikan legasi masing-masing. Anwar umpama parut di muka Mahathir,
dan Mahathir bagai bayang yang menghantui Anwar daripada bersinar. Apabila kedua-
duanya muncul bersama, sekurang-kurang salah seorang daripadanya berbohong.
Mahathir terpaksa memadam sebahagian memoirnya jikalau berdamai dengan Anwar;
dan Anwar juga terpaksa menelan ludahnya ketika mempertahankan Mahathir. Dengan
ego yang ada dalam kedua-dua tokoh ini, apakah ia mungkin lagi?

Jadi, mungkin tiba masanya, pembangkang menerima hakikat untuk memilih salah satu
daripada Mahathir-Anwar, atau melepaskan kedua-duanya. Pilihan meminggirkan Anwar
mungkin tidak adil untuk Anwar, kerana beliau belum pernah diberi peluang untuk
menerajui tampuk kuasa negara, sedangkan dua kali Mahathir diberikan peluang dan
penghormatan itu.

Ketiga: Landskap politik baru

Perbincangan isu Anwar Ibrahim dilanjutkan dalam bahagian ini, iaitu lanskap politik baru
tanah air. Suka atau tidak, lanskap politik tanah air telah berubah selepas “Langkah
Sheraton”. Dari perhitungan atas kertas, pilihan agak terbatas untuk PH merampas
semula kuasa, seandainya mengecualikan “puak pengkhianat” (iaitu Bersatu dan geng
Azmin Ali) dan Umno dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk.

Justeru itu, tidak adil seandainya misi ini digalas Anwar berseorangan, dan kemudian
dituding jari selepas kegagalannya, kerana sebagaimana yang kita sedia maklum, PAS
dan GPS telah menyatakan pendirian untuk tidak bersama DAP sebermulanya. Ditolak
lagi puak Mahathir dan Warisan, bagaimana Anwar mampu memperolehi angka majoriti
yang kukuh dan meyakinkan?

3/4
Lantas ia membawa kita kepada persoalan seterusnya, sama ada PH wajar merampas
kuasa secepat mungkin, atau menunggu sehingga parlimen dibubarkan? Dengan
kekocakan politik yang sedia ada, menyaksikan tikam-menikam antara Umno-Bersatu-
PAS, kedudukan Muhyiddin Yassin bagai telur di hujung tanduk. Namun pada masa yang
sama, perpecahan dalam blok pembangkang juga tidak menjamin Anwar di kedudukan
selesa, jika pun dinobatkan sebagai perdana menteri kesembilan.

PH memerlukan pelan jangka pendek dan panjang. Andainya PH tetap berkobar-kobar


untuk merampas semula kuasa secepat mungkin, maka mereka perlu merombak
gandingan PH untuk merangkumi sekutu baru, dan sudah tentu dasar bersama yang
baru. Satu dasar bersama harus dirangka, dipersetujui semua parti komponen, dan
dipertahankan tanpa apologetik ketika berdepan dengan penyokong masing-masing.

Atau, seandainya PH sanggup menunggu lebih lama, mereka harus menampilkan saf
pimpinan generasi baru, dengan imej yang segar, tanpa dibelenggu beban sejarah
lampau. Jikalau pelan jangka panjang ini diberi keutamaan, maka Anwar wajar berundur
secara berperingkat-peringkat ke belakang tabir. Saf pimpinan generasi muda ini harus
menyuburkan wacana baru, menggilap semula idealisme dan mengolah restu
masyarakat majoriti. Mereka perlu lebih yakin untuk mempertahankan pendirian, idea
yang progresif, mencari keseimbangan antara dua kelompok di penghujung ekstrem, dan
moga-moga satu hari nanti – dalam lima atau sepuluh tahun, mereka melakar Malaysia
Baru.

Anwar perlu sedar, kehormatan yang dinikmati beliau sekarang, datang daripada
pengorbanannya sepanjang gerakan Reformasi, bukan lagi harapan dan kepercayaan
yang dipertaruhkan ke atas sosoknya. Ini kerana krebilitinya semakin terhakis, lantaran
janjinya yang gagal ditepati, berulang kali. Situasi sedemikian, sedikit sebanyak
menjejaskan sokongan PH, kerana penyokong dikecewakan berkali-kali setelah
dilambung harapan yang tinggi. Beliau harus memilih bagaimana dirinya diperingati
dalam sejarah politik Malaysia pada satu hari kelak.

*Tulisan ini disiarkan di Malaysiakini (27 November 2020):


https://www.malaysiakini.com/columns/552814

4/4

Anda mungkin juga menyukai