Anda di halaman 1dari 4

Cabaran politik Malaysia

Oleh KASSIM AHMAD

Politik di Malaysia kini kecamuk. Pakatan pembangkan yang memenangi dan menguasai lima negeri
telah menampakkan apa yang kita sudah ketahui iaitu ketiadaan asas satu gabungan yang kukuh dan
mantap.

Mereka sendiri sebenarnya tidak menyangka akan menang begitu besar dalam Pilihan Raya Umum
(PRU) Ke-12. Kemantapan dan kelangsungan pakatan pembangkang itu diselubungi tanda tanya.
Idealisme yang bertanggungjawab bagi perubahan itu tidak boleh kekal tanpa realisme untuk
melahirkan sistem yang lebih adil.

Mari kita selidik anasir-anasir yang bergabung untuk membawa perubahan dalam pilihan raya umum itu.

Pas asalnya serpihan daripada UMNO yang sudah berubah dari satu pimpinan yang progresif di bawah
Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Dzulkifli Muhammad dalam dekad-dekad 50-an dan 60-an melalui
'Islam Melayu' di bawah pimpinan Asri Muda kepada pimpinan yang konservatif iaitu agresif dan jumud
di bawah 'pimpinan ulama' acuan Iran sejak Yusof Rawa mengambil alih pimpinan Pas.

Oleh kerana pandangan hidup mereka bertunjangkan akhirat, yang makna sebenarnya kabur dan
mereka sendiri tidak tahu, maka tidak ada konsep dan dasar perkembangan ekonomi dalam sistem
mereka.

DAP pula sebuah parti demokratik-sosial yang didominasi oleh kaum Cina dengan dasar cauvinis
'Malaysian Malaysia' warisan PAP di bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Jika mereka berkuasa di peringkat
pusat, maka Perlembagaan kita akan mereka ubah dan banyak dasar akan bertukar. Huru-hara akan
berlaku. Kita katakan ini bukan untuk menakutkan rakyat Malaysia kepada pemerintahan DAP. Kita
mahu melihat DAP mengubah ideologi dan dasarnya supaya lebih sesuai dengan realiti hidup
bermasyarakat majmuk di Malaysia.
PKR pula lahir daripada 'gerakan reformasi' Anwar Ibrahim yang telah disingkir dari jawatan Timbalan
Presiden UMNO. Gerakan reformasi itu menarik pelbagai aliran ideologi yang mahukan perubahan,
termasuk anasir-anasir sosialis yang berpecah dari Parti Rakyat. Ia bergantung kepada karisma Anwar
Ibrahim tanpa suatu ideologi perjuangan dan dasar yang jelas dan kukuh.

Gabungan 'cacamarba' itu bukan tidak boleh berkembang menjadi kukuh dan kuat, tetapi ia
memerlukan lebih daripada karisma seorang individu dan tempelan serpihan satu sosialisme. Ia
memerlukan rumusan sebuah falsafah politik nasional yang boleh menyatukan rakyat Malaysia dan
mewujudkan sebuah sistem pemerintahan yang lebih baik.

Dalam pada itu, kemampuan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bangkit semula masih belum jelas.
Penyakit UMNO iaitu 'politik wang' adalah sebenarnya rasuah, pembaziran, pimpinan elitis yang terpisah
daripada rakyat, suatu bentuk hegemoni.

Soalnya, bolehkah UMNO mengubati kesemua penyakit itu? Pimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak menunjukkan sedikit harapan. Jika beliau boleh mengikut jejak langkah bapanya,
Allahyarham Tun Abdul Razak, pimpinannya mempunyai harapan yang cerah. Cogankatanya '1Malaysia:
Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' menarik dan sarat dengan makna dan kemungkinan.

Namun Najib menghadapi cabaran yang lebih besar daripada bapanya, kerana kemerosotan UMNO yang
teruk dan krisis ekonomi dunia yang parah sekarang. Beberapa daya usahanya yang mengutamakan
golongan miskin memberi sinar baru.

Amalannya 'pergi kepada rakyat' menggalakkan, tetapi beliau kena mengelak pembaziran seperti yang
ditunjukkan dalam lawatannya ke Melaka, baru-baru ini. Malah beliau kena memberi arahan yang jelas
dan tegas supaya kerajaan pimpinannya bukan sahaja menolak tetapi mahu menghapuskan pembaziran,
baik dari segi wang atau guna tenaga. Pembaziran suatu daripada bentuk penyelewengan besar yang
meruntun masyarakat kita ke bawah.

Pada dasarnya, hanya ada dua jenis politik dalam dunia ini iaitu politik puak humanisme yang berjuang
untuk melaksanakan keadilan, dan puak oligarki (segelintir) yang menekan massa.
Kita tentu tahu sistem politik mana yang kita mahu. Kita mesti ada suatu falsafah politik nasional yang
boleh mewujudkan sistem ini serta mendidik rakyat kita untuk mewujudkannya.

Falsafah ini mesti merangkumi semua aliran politik nasional dalam negara kita, iaitu nasionalisme
Melayu, nasionalisme Malaysia, kerajaan yang adil berdasarkan permuafakatan nasional, dan
internasionalisme dan humanisme yang tulen.

Sistem dwi-parti (kerajaan dan pembangkang) lahir dari sejarah Eropah yang tidak sama dengan sejarah
Dunia Ketiga (yang kena jajah). Oleh itu, seruan supaya kita mewujudkan dwi-sistem (sistem dua parti)
harus dicurigai. Sistem BN lebih mirip kepada sistem nasional yang kita sebut dan yang lebih sesuai
dengan sejarah dan tradisi politik Dunia Ketiga.

Kita ambil iktibar dari politik Pas kini. Seperti yang telah kita sebutkan, Pas asalnya serpihan dari UMNO
dan telah melalui tahap politik progresif di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin, politik keMelayuan di
bawah pimpinan Asri Muda, dan politik 'pimpinan ulama' acuan Iran sejak Yusof Rawa memegang
tampuk pimpinan hingga hari ini.

Oleh kerana kumpulan ini tidak mempunyai dasar ekonomi-politik yang boleh membangunkan rakyat,
Kelantan yang mereka tadbir tidak boleh maju dan ketinggalan di belakang. Sekarang di dalam pakatan
pembangkang, masih tidak jelas apakah dasar ekonomi-politik mereka. Kerjasama dengan DAP
mengharuskan mereka menyokong dasar cauvinis parti itu. Keresahan timbul sekarang dalam Pas
supaya mencari perpaduan dengan UMNO untuk mempertahankan Islam dan kepentingan orang
Melayu.

Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mahathir, oleh kerana rakyat kurang percaya
kepada parti-parti politik, baik kerajaan ataupun pembangkang, maka timbul badan-badan bukan
kerajaan (NGO) memainkan peranan yang lebih aktif menyuarakan hasrat dan cita-cita rakyat.
Kelemahan NGO itu jelas, iaitu ketiadaan ideologi yang sama dan hanya wujud sebagai kumpulan
pendesak yang tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara.

Kecamuk politik di Malaysia sekarang, dari satu segi merupakan refleksi kecamuk politik dunia. Kuasa-
kuasa besar yang menguasai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu
mengongkong Iran daripada menjadi kuasa nuklear.
Dahulu mereka takut Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein menjadi kuasa nuklear yang mengancam
kewujudan anak emas mereka, Israel. Aneh dan malangnya pada waktu itu, Iran bersekongkol dengan
Barat untuk menghapuskan Saddam Hussein. Berjaya dalam strategi itu, Barat sekarang menghadapkan
kemarahannya dan ketidakadilannya kepada Iran pula. Akan berlakukah satu peperangan besar? Perang
nuklear yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel di satu pihak, dan Iran dan sekutunya, di pihak lain?

Seperti di dunia antarabangsa, kecamuk politik kita boleh mengundang bahaya besar. Satu malapetaka
besar semacam '13 Mei' atau lebih buruk boleh berlaku jika kecamuk politik ini berterusan.

Menjadi tugas besar Najib dan pimpinan UMNO-BN, termasuk para pemimpin dari pakatan
pembangkang yang rasional untuk duduk semeja serta merumuskan satu falsafah politik nasional
Malaysia yang lebih kukuh dan mantap bagi mengatasi kecamuk politik itu serta membolehkan Malaysia
terus maju ke hadapan.

Anda mungkin juga menyukai