Anda di halaman 1dari 4

DOA IBU TIADA HIJAB

Matahari memancarkan sinarnya yang terang pada pagi itu. Ros bingkas bangun dari tempat
beradunya lalu menuju ke kamar mandi. Seusai membersihkan diri, Ros cepat-cepat
menyarungkan baju kurung bertatahkan batu permata pemberian neneknya. Ros sangat teruja
kerana dia akan memulakan kerjayanya sebagai seorang pensyarah di universiti yang terkemuka
dalam bidang pendidikan. Ros turun ke dapur untuk bersarapan bersama dengan ayahnya setelah
memastikan barang-barangnya lengkap
“Makan perlahan-lahan Ros. Kalau tercekik nanti, ayah yang payah,” tegur Pak Akob berhemah.
Ros sedar kesilapannya lalu meminta maaf kerana perbuatannya yang kurang senonoh itu.
Sebelum berangkat pergi, Ros bersalaman dan meminta maaf daripada ayahnya. “Ayah,
maafkan Ros. Halalkan makan minum Ros. Doakan semoga urusan Ros dimudahkan dekat sana
nanti,” pinta Ros sambil mencium tangan ayahnya yang tidak jemu mencurahkan kasih sayang
terhadapnya selepas kematian emaknya. Pak Akob tidak dapat menahan perasaan sedihnya lalu
mengalirkan air matanya dan terus memeluk Ros. Setelah bersalaman, Ros terus masuk ke dalam
perut kereta dan melambai-lambaikan tangan kepada ayahnya.
Sepanjang perjalanan, Ros hanya diam membisu. Radio kereta pula terpasang namun tidak
mampu menarik minat Ros. Ros terkenangkan arwah emaknya, Mak Jah. Mak Jah telah pun
setahun pergi meninggalkan mereka berdua.
12 tahun yang lepas…
“Mak, Ros nak makan ayam. Ros tak pernah makan ayam. Kawan-kawan Ros cakap yang
daging ayam tu sedap,” minta Ros. Mak Jah pula serba-salah untuk menunaikan permintaan
anaknya kerana dia tahu suaminya tiada pendapatan yang tetap. Hidup mereka tiga beranak
umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. “Sabarlah sayang. Kalau ayah ada duit
lebih nanti, kita makan ayam ya?” pujuk Mak Jah dengan suara yang lembut. Ros merengus
kasar. Dengan muka yang tidak puas hati, Ros berlari menuju ke bilik lalu menghempas pintu
dengan sekuat hati sebagai tanda protes. Mak Jah terkejut dengan perilaku anaknya itu lalu
mengucap panjang. Sementara itu, Ros di dalam bilik menangis kerana permintaannya tidak
ditunaikan. “Mak dan ayah tak sayangkan Ros. Apa yang Ros nak, mesti mak dengan ayah tak
dapat nak tunaikan. Ros dah penat bersabar. Kenapa keluarga kita tak sama macam orang lain?”
rintih Ros. Setelah penat menangis, Ros tertidur di atas lantai kayu yang hanya beralaskan tikar
mengkuang.
Kedengaran azan Maghrib dilaungkan dan Mak Jah segera menyahut seruan Ilahi. Seusai
solat, Mak Jah berdoa dengan penuh pengharapan. “Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, dosa
suamiku serta dosa anakku. Sesungguhnya, aku telah gagal mendidik anakkku maka maafkanlah
hambaMu ini. Engkau jadikanlah anakku seorang anak yang baik, anak yang patuh akan kedua
orang tuanya serta anak yang taat akan perintahMu. Engkau kurniakanlah kejayaan di dunia dan
akhirat buat anakku, Ros binti Akob. Perkenanlah doaku ini kerana doa ibu tiada hijabnya,”
minta Mak Jah bersungguh-sungguh sambil mengesat air matanya yang gugur. Tanpa Mak Jah
sedari, Ros terdengar akan doa ibunya dan terbitlah rasa penyesalan dalam dirinya. Ros terus
masuk ke dalam bilik emaknya dan memeluk erat tubuh wanita itu.
“Mak, Ros minta maaf. Ros tak sepatutnya buat macam tu dekat mak. Ros menyesal,” kata Ros
sambil menangis tersedu-sedu.
Tanpa Ros sedari, air matanya mengalir. Dia amat kesal akan perbuatannya walaupun
peristiwa tersebut telah berlalu 12 tahun lamanya. Namun, imbauan Ros tidak terhenti di situ.
Dia terkenangkan kembali momen-momen bahagia bersama keluarganya sebelum kematian Mak
Jah.
“Alhamdulillah. Akhirnya, Ros berjaya dapat keputusan yang cemerlang dan dinobatkan
sebagai Tokoh Mahasiswi Cemerlang di universiti Ros. Terima kasih mak dan ayah bersusah
payah untuk Ros. Ros hargai sangat pengorbanan mak dengan ayah,” ucap Ros dengan penuh
kesyukuran. Mak Jah dan Pak Akob amat gembira atas kecemerlangan satu-satunya anak mereka
itu dan menangis kegembiraan. “Tahniah anak mak. Mak gembira sangat Ros dah berjaya
sampai ke hari ni. Walaupun dah berjaya, Ros kena sentiasa cari ilmu pengetahuan sebab ilmu
itu sangat luas,” pesan Mak Jah. Ros mengangguk faham tanda akur akan kata emaknya. Ros
bersyukur dan terharu kerana tekadnya untuk membahagiakan ibu bapanya dapat dia tunaikan.
Namun, bahagia yang dirasa tidak berkekalan. Mak Jah disahkan menghidapi penyakit kanser
otak apabila sering mengalami sakit kepala dan cepat lesu. Perkara itu sangat mengejutkan Pak
Akob dan Ros seolah-olah kehilangan permata yang tidak terkira nilainya.
Setiap bulan, Mak Jah dihantar ke hospital untuk buat pemeriksaan. Namun, usaha yang
dilakukan seperti sia-sia. Kanser Mak Jah telah pun berada di tahap empat dan bila-bila masa
sahaja kematian boleh menjemputnya. Doktor terpaksa menahan Mak Jah di hospital untuk
beberapa hari bagi memantau kesihatan Mak Jah. Luluh hati Ros apabila mendapat tahu bahawa
emaknya perlu ditahan di hospital.
“Ayah,” panggil Ros perlahan. “Lepas ni, kita kena pergi hospital hari-hari untuk tengok mak kat
sana,” sambung Ros. “Mak perlukan sokongan kita. Kalau ayah sedih macam ni, mak pun sedih.
Kita kena kuat ayah supaya mak tak rasa sangat kesakitan tu,” sambung Ros lagi. “Ayah tak
kuat, Ros. Ayah tak mampu. Kalau mak dah takde nanti, siapa yang akan teman ayah kat rumah?
Siapa yang nak layan minum makan ayah?” luah Pak Akob sambil memandang anaknya. “Ayah!
Apa ayah cakap ni? Doa yang baik-baik untuk mak. Dengan izin Allah, mak akan sihat,” ucap
Ros walaupun dia tahu bahawa peluang untuk ibunya sihat adalah tipis.
Namun, berbeza pula situasi di hospital. Kelihatan Mak Jah terbaring kaku di atas katil.
Sekali-sekala doktor masuk ke bilik untuk buat pemeriksaan lanjut. Jururawat pula kadang-
kadang memberinya ubat agar kesakitannya dapat dibendung. Mak Jah sedang memikirkan nasib
yang bakal menimpa suami dan anaknya sekiranya dia telah tiada nanti.
“Ya Allah, apalah nasibku selepas ini? Kurniakanlah aku kesihatan agar aku dapat berbakti
kepada mereka berdua. Janganlah engkau ambil nyawaku dulu. Aku belum bersedia untuk
meninggalkan mereka berdua. Mereka masih perlukan aku. Sesungguhnya, Engkau Maha
Berkuasa ke atas segalanya. Sekiranya ada keajaiban berlaku, sungguh aku bersyukur padaMu,”
rintih Mak Jah di dalam hati.
Tiba-tiba, keadaan Mak Jah berubah. Mak Jah menggeliat seolah-olah digeletek seseorang.
Mujur jururawat pantas bertindak dengan memberikannya ubat penenang. Akhirnya, Mak Jah
berjaya ditenangkan. Keesokan harinya, Ros dan ayahnya pergi melawat Mak Jah di hospital.
Mak Jah kelihatan seperti sudah sihat sepenuhnya. Dia mampu mengukir senyum dan bergelak
ketawa dengan mereka berdua. Siapa sangka kematian bakal menjemputnya tidak lama lagi.
“Mak! Mak nampak sangat gembira hari ni. Kalau doktor tengok ni, mesti dia izinkan mak
keluar awal,” kata Ros teruja. “Apalah kamu ni Ros. Mestilah mak gembira. Buah hati mak ada
kat sini,” kata Mak Jah sambil mengerling Pak Akob. “Mak rindu sangat dengan Ros dan ayah.
Mak nak tenung muka Ros dengan ayah lama-lama. Kalau boleh, mak nak balik awal. Dapatlah
mak lepaskan rindu dengan Ros dan ayah. Dekat sini, bosanlah. Asyik-asyik doktor yang sama je
yang masuk. Kalau Ros jadi doktor, mesti mak tak bosan,” kata Mak Jah panjang lebar. Ros
layankan sahaja aksi ibunya. Panjang pula celoteh mak hari ni, kata Ros dalam hati.
Jam menunjukkan pukul dua petang. Ros perlu menghadiri temu duga di salah satu universiti
terkemuka. “Mak, Ros dengan ayah nak pergi dah sebab Ros ada temu duga tak lama lagi. Ros
pergi dulu, ya?” kata Ros penuh berhemah. “Ala, Ros dah nak pergi ke? Mak baru je jumpa.
Lepas ni dah tak boleh jumpa dah,” rengek Mak Jah seakan budak-budak. “Jah, kenapa macam
ni? Ros ada tawaran kerja sebab tu dia kena pergi. Abang pulak nak jumpa dengan ketua
kampung. Jah tunggu kejap ya? Nanti abang dengan Ros datang lagi,” pujuk Pak Akob lembut.
Mak Jah menarik mulut muncung tanda tidak puas hati. “Hmm… Nak salam,” pinta Mak Jah.
Mereka pun bersalaman buat kali yang terakhir. Kini, tinggallah Mak Jah keseorangan.
Malam pun menjelma. Mak Jah sedaya upaya melaksanakan perintah tuhan yang utama itu.
Mak Jah sedang bersembahyang ketika jururawat masuk untuk memberikannnya ubat. Seusai
solat, Mak Jah berdoa kepada Tuhan dengan penuh pengharapan. “Ya Allah Ya Tuhan, engkau
kurniakanlah kebahagiaan buat suami dan anakku. Engkau rahmatilah mereka berdua. Andai
nafas yang engkau pinjamkan telah tamat tempohnya maka, engkau jadikan aku sebagai peniup
semangat buat anakku agar terus berjaya dan cemerlang dalam kehidupannya. Maafkan Jah,
abang. Maafkan mak, Ros. Jah sayang abang dan Ros sampai ke syurga,” ucap Mak Jah
bersungguh-sungguh. Kelihatan air mata gugur mengalir perlahan dari matanya. Sebelum
nyawanya diambil, sempat dia mengucapkan kalimah tauhid menandakan keesaan Tuhan. Tepat
pukul lapan malam, Mak Jah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Akhirnya, Mak Jah rebah
ke bumi dalam keadaan yang sangat mulia.
Sementara itu, Ros dan ayahnya sedang berehat di ruang tamu. Tiba-tiba, panggilan telefon
Ros minta untuk diangkat.
“Apa?!” soal Ros dengan nada terkejut apabila mendapat panggilan daripada pihak hospital
tentang kematian emaknya. Ros dan ayahnya bergegas ke hospital untuk melihat arwah Mak Jah
buat kali terakhir. Masing-masing diam membisu tetapi hati masing-masing sedih, hiba, kecewa
dan meronta kerana tidak berada di samping Mak Jah sebelum kematian menjemputnya. Buat
kali terakhir, Ros tatap wajah arwah emaknya yang telah pergi menghadap Ilahi. Wajahnya
bersih tanpa tercalit sebarang kotoran dan senyuman terukir di bibirnya yang merekah. Kelihatan
air mata masih tersisa di hujung matanya. Ni mesti air mata mak, getus Ros dalam hati. Gugur
juga air mata lelaki Pak Akob dek pemergian isteri tercinta yang setia bersama. Ros di
sebelahnya pula terpaku seakan-akan tidak percaya. Hanya perkataan mak sahaja terpacul di
bibirnya namun semuanya tidak dapat mengembalikan Mak Jah. Putaran waktu seakan-akan
terhenti bagi Ros.
Ros tersedar akan imbauan lampau yang menjengah fikiran. Cepat-cepat dia menghentikan
imbauan tersebut. Dia tidak mahu terseksa dengan masa lalu. Kini, dia dan ayahnya boleh
meneruskan kehidupan walaupun tanpa tulang belakang yang sentiasa menyokong mereka.
Terima kasih mak, ucap Ros dalam hati. Dia meneruskan pemanduannya ke tempat kerja dengan
semangat yang baharu.

Anda mungkin juga menyukai