Anda di halaman 1dari 11

PENGENALAN

Pekerjaan adalah sesuatu yang dilakukan setiap individu untuk mencari rezeki. Di

dalam definisi pekerjaan, terdapat dua elemen utama yang menjelaskan makna pekerjaan iaitu

elemen pertama ialah kerja, profesion, kerjaya atau tugasan. Elemen yang kedua pula

merujuk kepada individu yang melakukan kerja tersebut ataupun digelar sebagai pekerja

(Jabatan Perhubungan Perusahaan Sabah, 2011). Selain itu, di dalam pekerjaan juga

terdapatnya elemen pemilikan kerja, yang bermaksud satu badan, organisasi atau individu

yang mempunyai keperluan untuk menggaji, mengupah dan mengambil individu lain bekerja

dan mereka ini digelarkan sebagai majikan. Hubungan di antara dua pihak ini digelarkan

sebagai hubungan majikan-pekerja. Hubungan ini bermula dengan kontrak pekerjaan, iaitu

dokumen yang mengesahkan dan menguatkuasakan hubungan majikan-pekerja tersebut.

Hubungan ini adalah sangat unik kerana ianya melibatkan hubungan yang saling bergantung

antara satu sama lain untuk sesebuah organisasi berfungsi dengan efektif dan efisien.

Di Malaysia, terdapat beberapa undang – undang yang diperuntukkan dan

digunapakai bagi mengawalselia hubungan antara majikan dan pekerja. Bagi Semenanjung

Malaysia, akta yang digunakan untuk mengesah serta menguatkuasakan hubungan ini adalah

Akta Buruh 1955. Manakala bagi Sabah dan Sarawak pula undang – undang yang

digunapakai ialah Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak. Undang – undang ini

dirangka dan digubal bertujuan untuk melindungi hak kedua - dua pihak iaitu majikan dan

pekerja dan menjadi panduan utama kepada hubungan di antara kedua - duanya. Antara

perkara yang terkandung di dalam undang - undang dan akta berkenaan meliputi pelbagai

perkara berkaitan pekerjaan seperti tugas dan tanggungjawab, hak – hak dan kepentingan

majikan dan pekerja, bayaran gaji dan emolumen, faedah serta halangan - halangan serta

perkara – perkara tambahan yang diperuntukkan kepada kedua - dua pihak.


HUBUNGAN MAJIKAN-PEKERJA

Di dalam perhubungan antara dua pihak, kemesraan dan perselisihan ada perkara yang

normal berlaku. Setiap perhubungan yang berkait sentiasa mempunyai nilai positif dan

negated yang dibawa atau memberi kesan kepada setiap pihak. Begitu juga dengan

perhubungan di antara majikan dan pekerja. Ada kalanya hubungan di antara keduanya

adalah sangat baik dan mesra serta mempunyai kefahaman serta kerjasama yang kuat.

Namun, ada juga kadang kala dimana pekerja dan majikan tidak bersetuju tentang sesuatu

perkara di tempat kerja. Pengurusan pertikaian yang efektif adalah penting supaya

pengurusan kerja dapat berjalan dengan lancar dan tidak terganggu akibat impak perselisihan

atau pergeseran yang berlaku diantara keduanya serta perlu dilaksanakan secara damai demi

kepentingan organisasi. Sebagai contoh, kejadian mogok oleh pekerja - pekerja Malaysia

Airlines System (MAS) yang berlaku pada tahun 1979 telah meyebabkan operasi MAS

tergendala dan menyebabkan kerugian berjumlah puluhan ribu riggit. Kejadian mogok itu

juga telah menyebakan kerajaan terpaksa membatalkan semua operasi penerbangan dengan

alasan terdapat ancaman dan sabotaj terhadap pesawat MAS oleh kakitangan – kakitangan

yang terlibat di dalam mogok berkenaan. Mogok tersebut dijalankan oleh para pekerja

penerbangan berjawatan rendah seperti ground crew, kru kabin, kerani dan juruteknik atau

ahli Kesatuan Pekerja Penerbangan (AEU) yang ingin menuntut gaji yang berpatutan untuk

pekerja – pekerja MAS. Mogok ini berakhir hanya apabila apabila pihak kerajaan mengambi

keputusan campurtangan dengan mengumumkan pelarasan gaji yang baru untuk pekerja -

pekerja MAS (Amran, 2019).

Terdapat beberapa undang - undang yang diaktakan oleh kerajaan bagi mengawalselia

hubungan antara pekerja dan majikan dari segala aspek seperti keselamatan, kebajikan serta

persekitaran kerja. Antara undang – undang sedia ada yang terdapat di Malaysia ialah seperti

Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta
154), Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001

(Akta 612). Selain itu, hubungan antara pekerja dan majikan mereka juga boleh berlaku

melalui wakil kesatuan pekerja. Kesatuan pekerja ini bertindak sebagai badan atau platform

yang akan menyuarakan kehendak, hasrat serta keinginan pekerja kepada majikan dan

pemain industri. Kesatuan pekerja ini didaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan

berfungsi untuk untuk mengawal selia aktiviti kesatuan dan perkara berhubung dengan

pertikaian antara kesatuan dan majikan, penggunaan dan pembekalan dana, dan penubuhan

kesatuan. Akta ini juga digunapakai bagi mengawal kuasa kesatuan sekerja, pegawai

kesatuan sekerja, dan ahli kesatuan agar tidak disalahgunakan bagi tujuan memberi

penekanan negatif kepada majikan secara kolektif (Khalid, 2008). Akta Kesatuan Sekerja

1959 ini ditadbir dan diselia oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja yang merupakan salah

satu jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

PERKEMBANGAN INDUSTRI PERUSAHAAN DI MALAYSIA

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia merupakan antara negara

yang mengalami kepesatan dari pelbagai segi seperti ekonomi, politik, sosial dan

infrastruktur. Revolusi perindustrian yang berlaku sejak abad ke-19, yang bermula di negara -

negara Barat turut berlaku di Malaysia dan perubahan dari struktur perindustrian dan posisi

ekonomi negara dapat dilihat sejak dari zaman selepas kemerdekaan sehingga ke hari ini.

Sehingga tahun 1970an, sektor pertanian dan perladangan merupakan sektor utama yang

menyumbang kepada ekonomi negara. Akibat daripada kebergantungan negara kepada sektor

yang bersifat komoditi dan ketidakstabilan harga komoditi ini, kerajaan telah mengambil

langkah untuk membangunkan program perindustrian yang bertumpukan kepada sektor

perusahaan dan pembuatan yang lebih berdaya saing untuk mencetuskan perkembangan

ekonomi negara yang lebih stabil dan terjamin. Dasar perindustrian yang diperkenalkan

kerajaan pada tahun 1970an tertumpu kepada industri bercorak gantian import. Ketika ini
jugalah kerajaan telah mengambil langkah bagi mempelbagaikan sumber ekonomi dan

pembukaan pelbagai sektor and industri baru yang menitikberatkan peluang untuk mencapai

pertumbuhan industri yang lebih pesat. Mulai tahun 1980an pula, kerajaan

memperkembangkan lagi program perindustrian negara dengan menggalakkan pembangunan

dan penglibatan perusahaan dan peniagaan dalam industri berat. Hal ini bertujuan untuk

menggalak serta mempercepatkan proses evolusi perindustrian negara disamping bertujuan

untuk memperkukuhkan lagi asas perindustrian negara serta meningkatkan kemahiran rakyat

dalam bidang teknologi yang lebih tinggi. Perubahan struktur ekonomi negara melalui

perubahan ke industri perusahaan berat dan gerakan proaktif kerajaan menggalakkan

pembangunan industri berat telah menunjukkan kesan positif dimana sumbangan sektor

perindustrian dalam KDNK negara pada tahun 1980an telah meningkat kepada 20.5%

berbanding hanya 13.4% pada tahun 1970an. Pembangunan perindustrian turut meningkatkan

peluang pekerjaan kepada rakyat dimana terdapat peningkatan dari peluang pekerjaan

tersedia sebanyak 15.8% pada tahun 1980an berbanding pada tahun 1970an sebanyak 11.4%

(Pejabat Perdana Menteri, 2000).

Perancangan dan usaha penambahbaikan berterusan sentiasa dilakukan oleh kerajaan

bagi memastikan sektor perusahaan dan perindustrian terus memberikan impak positif yang

lebih besar kepada ekonomi negara. Justeru itu, kerajaan telah memperkenalkan dua kajian

utama perindustrian pada tahun 1983 iaitu iaitu Kajian Dasar Perindustrian Malaysia

(KDPM) dan Pelan Induk Perindustrian (PIP). KDPM diperkenalkan dengan tujuan untuk

menyemak dan membuat penambahbaikan atau pengubahsuaian dasar - dasar sedia ada

berkaitan perindustrian negara serta mengkaji semula galakan – galakan dan peluang -

peluang pelaburan serta dasar – dasar berkaitan peningkatan eksport. PIP pula diwujudkan

dengan tujuan untuk menggubal objektif pembangunan perindustrian secara am serta

mengenalpasti strategi - strategi baharu yang boleh diterokai oleh sektor dan industri kecil
yang berpotensi untuk diperkembangkan (Pejabat Perdana Menteri, 2000). Dasar utama

perindustrian telah

Penggubalan dasar perindustrian negara berjaya mempergiatkan lagi proses industrialisasi

negara dan menjadikan sektor pembuatan sebagai antara penyumbang utama pertumbuhan

ekonomi negara. Industralisasi telah memberikan kesan positif sama ada secara langsung atau

tidak langsung dalam mengembangkan lagi bukan sahaja sektor industri berat atau

pembuatan, tetapi juga sektor utama lain seperti perusahaan, perniagaan, perkhidmatan,

pendidikan bahkan kesihatan. Pengembangan ini membantu semua sektor dan industri untuk

menjadi lebih berdaya saing serta memainkan peranan yang lebih dinamik dengan

memberikan sumbangan ekonomi negara yang lebih besar dari segi penambahan hasil eksport

dan import, penyediaan peluang pekerjaan yang lebih banyak serta peningkatan dari segi

kemahiran teknikal dan multimedia.

Perkembangan dan perubahan struktur industri dan ekonomi negara ini telah

mengembangkan industri perusahaan negara di mana banyak perusahaan dan perniagaan

berkembang dari skala kecil kepada skala perniagaan yang lebih besar dan pelbagai serta

membantu meningkatkan hasil perdagangan negara. Berdasarkan statistik perdagangan

negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jun 2020 menunjukkan

perdagangan Malaysia meningkat dari tahun ke tahun, di mana purata pertumbuhan

perdagangan mencatatkan peratusan sebanyak 11.4% dari tahun 1970 sehingga 2019

disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi negara yang digerakkan oleh revolusi perindustrian

negara. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, eksport Malaysia telah meningkat, dan trend

ini berkemungkinan berterusan apabila ekonomi negara terus berkembang. Pada tahun 2018
sahaja, jumlah perdagangan eksport negara menunjukkan hasil di paras tertinggi sebanyak

RM1 trilion, yang pertama kali dalam sejarah negara.

KEPENTINGAN HUBUNGAN MAJIKAN-PEKERJA

Melalui hubungan yang positif di antara majikan dan pekerja, pelbagai agenda yang

memberi kesan positif kepada industri dan ekonomi negara dapat dilihat dengan lebih jelas.

Semangat kerjasama positif antara dua pihak yang saling memerlukan dapat dipupuk melalui

pendekatan penyelesaian masalah perundingan untuk menangani sebarang cabaran

perindustrian untuk faedah bersama diantara majikan dan pekerja serta masyarakat dan juga

negara.

Antara kepentingan pertama hubungan yang baik antara kedua pihak ini yang dapat

dilihat ialah industri dan sektor yang menggerakkan ekonomi negara akan membangun

dengan lebih produktif dan efektif. Perselisihan antara dua pihak ini kebiasaanya berlaku bila

melibatkan isu berkaitan hak dan keselamatan dan keperluan sosial pekerja, hak dan

tangggungjawab majikan dan peranan yang perlu dimainkan oleh kedua - dua pihak dalam

pembentukan dasar dan polisi yang melindungi kedua majikan dan pekerja. Isu – isu ini

biasanya perlu dikemukakan dalam sesi meja rundingan. Melalui meja rundingan dan

perbincangan yang damai, kesepakatan dalam membuat sebarang keputusan adalah keputusan

secara kolektif yang melibatkan kepentingan dan menjaga hak setiap pihak. Dengan

keputusan yang adil dan saksama, setiap pihak dapat menjalankan tanggungjawab masing -

masing dengan efektif dan lebih efisien. Sebagai contoh, rundingan antara dua pihak

selalunya membincangkan tentang isu gaji minima, suasana dan persekitaran kerja serta

kebajikan pekerja yang perlu dititikberatkan oleh majikan. Bagi pihak majikan, kebiasaannya
mereka memerlukan perlindungan dan keyakinan daripada pekerja untuk bekerja mngikut

tatacara dan keperluan kerja yang digariskan oleh majikan dan juga polisi yang melindungi

kepentingan majikan. Bagi pekerja pula, mereka ingin majikan untuk sentiasa mengambil

berat akan kebajikan mereka serta mengambil tahu tentang keperluan mereka dari segi mental

dan fizikal. Jika kehendak semua dapat dipenuhi dengan secara kolektif, nescaya pekerja dan

majikan akan saling lebih mempercayai antara satu sama lain dan sentiasa bekerjasama dalam

suasana yang harmoni, untuk kebaikan organisasi. Jika organisasi dapat berkembang dengan

efisien, industri akan turut mengalami perkembangan dan membentuk pasaran ekonomi yang

lebih efisien.

Selain itu, antara kesan lain yang dapat dilihat melalui hubungan baik dua pihak ini

adalah ianya merupakan sumber kelebihan yang menonjolkan daya saing pembangunan

ekonomi sesebuah negara. Kerjasama yang baik antara majikan dan pekerja akan membantu

memacu kelebihan daya saing ekonomi dengan cara memastikan keharmonian dalam

hubungan pekraja-majikan dan membantu dalam mempromosikan kemajuan kolektif industri

sesebuah negara. Hubungan yang baik akan memudahkan cara untuk menghimpunkan serta

menghubungkan kedua - dua pihak dalam industri dalam segala perbincangan penting seperti

isu permulaan pekerjaan, peningkatan umur persaraan, kemudahan pendidikan untuk

menambahbaik dan mengembangkan kemahiran, kenaikan pangkat tenaga kerja,

menggalakkan amalan adil dalam sektor perkhidmatan, dan mewujudkan sistem gaji dan

upah yang adil dan saksama (ILO, 2010).

Kepentingan lain hubungan yang baik antara majikan dan pekerja ialah ianya dapat

membantu kerajaan untuk membangunkan dasar daya saing dan persekitaran kerja yang

kondusif untuk tenaga kerja, yang seterusnya membantu meningkatkan tahap kesepaduan

masyarakat untuk hak mereka yang lebih baik dalam ruang tenaga kerja mereka. Jika semua

rakyat berpuas hati dan gembira dengan keadaan kerja mereka, ini akan secara terusnya
meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing masyarakat, menjitukan lagi keuntungan

ekonomi yang akhirnya dirasai oleh semua rakyat. Hubungan yang sihat antara dua pihak ini

juga dapat membantu mewujudkan sebuah asas rundingan yang dibina atas prinsip

kepercayaan dan persefahaman. Prinsip kepercayaan dan persefahaman ini diterjemahkan ke

dalam pembentukan sebuah pasukan petugas dengan objektif untuk memastikan mekanisme

yang baik untuk menangani hubungan dan isu industri. Pada masa yang sama, kerajaan juga

perlu bertindak sebagai medium dalam mengesyorkan sebarang proses pelaksanaan terbaik

untuk membentuk sebuah pembangunan positif berdasarkan kepada dasar dan amalan

perhubungan industri negara melalui amalan tripartisme (ILO, 2010).

Melalui hubungan baik ini juga, pelbagai agenda dan langkah di ambil oleh pihak berperanan

seperti pembentukan pasukan petugas agenda, pembangunan dasar dan penyediaan panduan

serta nasihat, forum dan diskusi, penubuhan jawatankuasa strategi ekonomi dan kerjasama

strategik dapat dijalankan bagi menangani isu penting dalam sektor pekerjaan dan

perhubungan industri. Pelbagai langkah ini sebenarnya banyak memainkan peranan untuk

memanjangkan, mengukuhkan lagi hubungan di antara dua pihak melalui mekanisme dan

platform yang memudahkan pengenalpastian masalah dan isu utama yang perlu diberikan

tindakbalas yang berkesan. Melalui pengenalpastian isu ini, kedua - dua pihak dapat

melakukan perubahan dan penambahbaikan awal yang memberi kesan positif kepada industri

dan ekonomi secara keseluruhan. Antara isu yang sering mendapat perhatian adalah seperti

penciptaan semula peluang pekerjaan, pengambilan semula pekerja berusia, peningkatan

kemahiran tenaga kerja, strategi untuk memupuk amalan pekerjaan yang adil dan saksama,

dan memastikan fleksibiliti pada sistem gaji dan gaji semasa. Dengan adanya hubungan baik

antara dua pihak, isu ini dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan teratur dan seterusnya

mewujudkan suasana industri dan ekonomi yang harmoni.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, pekerja dan majikan mempunyai hubungan istimewa yang bermula dengan

kontrak pekerjaan. Setiap pekerjaan boleh menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan

serta penuh warna - warni, tetapi ia juga boleh menjadi sukar jika tiadanya perhubungan yang

baik di antara pekerja dan majikan. Perselisihan dan tiada persefahaman antara dua pihak

akan mewujudkan suasana kerja yang tidak harmoni serta menimbulkan perasaan tidak

gembira kepada pekerja dan hilangnya rasa hormat kepada majikan. Hubungan yang baik

antara pekerja dan majikan boleh membantu memastikan setiap pekerjaan dapat dilakukan

dalam keadaan yang selamat, persekitaran kerja yang kondusif dan dapat memastikan semua

orang bekerja bersama dengan lancar dan penuh komited. Hubungan yang baik antara

majikan dan pekerja akan memastikan objektif dan kehendak organisasi dapat dilakukan

secara efektif dan efisien. jika organisasi berjaya mencapai matlamat dan hala tuju yang ingin

dicapai, ianya secara langsung akan membantu mempertingkatkan keupayaan ekonomi

negara untuk lebih berkembang. Di Malaysia, terdapat banyak undang - undang yang

diperuntukkan oleh kerajaan dalam membantu melindungi hak – hak pekerja serta majikan,

dan penubuhan organisasi seperti kesatuan sekerja pula boleh membantu meningkatkan

hubungan antara majikan dan pekerja dan menjadi penghubung atau medium kepada kedua –

dua pihak dalam mendapatkan kesepakatan yang adil dan saksama. Amatlah penting bagi

setiap pihak untuk memelihara hubungan baik antara keduanya terutama di dalam organisasi

kerana ianya akan membawa kesan positif yang besar dalam usaha pengembangan organisasi

agar dapat terus mencapai produktiviti yang lebih baik serta dalam menyumbang kepada

persekitaran kerja serta hidup masyarakat yang lebih harmoni, aman dan damai.

RUJUKAN

Adan, M., Adan, N., & Hussain, S. I. (2021). MEMAHAMI HUBUNGAN PERUSAHAAN

KECIL DAN SEDERHANA (PKS) DAN JUMLAH PEKERJA TERHADAP


PERTUMBUHAN EKONOMI DI MALAYSIA. Human Sustainability Procedia, 1(1), 1–10.

https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/hsp/article/download/4755/1036

Ahmad, M. H. (2018). Perkembangan dan Peranan Mogok di Malaysia: Satu Kajian Awal.

SUSURGALUR, 6(2). https://doi.org/10.2121/susurgalur.v6i2.1093

Amran, A. Z. (2019, October 3). 4 sejarah MOGOK PEKERJA yang pernah menggegarkan

syarikat negara ini. SOSCILI | Luar Sensasi, Dalam Berisi. Retrieved March 17, 2023, from

https://soscili.my/4-sejarah-mogok-pekerja-yang-pernah-menggegarkan-syarikat-negara-ini/

Daud, Z., & Mansor, I. (2019). Teori dan Praktis Perhubungan Perusahaan di Malaysia

(UUM Press). UUM Press.

Dei, M. (2019, May 17). THE RELATIONSHIP BETWEEN EMPLOYEE AND

EMPLOYER. LinkedIn. Retrieved March 17, 2023, from

https://www.linkedin.com/pulse/relationship-between-employee-employer-margaret-dei

Hak Pekerja. (2021, October 21). Portal SMEinfo. Retrieved March 17, 2023, from

https://www.smeinfo.com.my/operasi-pengurusan-sumber-manusia/hak-pekerja/

Malaysia Trade Statistics Review. (2020). In Department of Statistics Malaysia. Department

of Statistics Malaysia. Retrieved March 14, 2023, from

https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/1_Articles_By_Themes/External_Sector/

MTSR/Malayia_Trade_Statistics_Review_Vol-1-2020.pdf

Noh, Z. M., Ahmad, S., & Halim, H. (2018). ANALISIS HUBUNGAN ANTARA

MAJIKAN DAN PEKERJA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM. Human Sustainability

Procedia. https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/hsp/article/view/1209
Perhubungan Industri - MIDA | Malaysian Investment Development Authority. (2021, April

27). MIDA | Malaysian Investment Development Authority.

https://www.mida.gov.my/ms/setting-up-content/perhubungan-industri/

Prime Minister’s Office of Malaysia. (2000). DASAR PERINDUSTRIAN BERAT DI

MALAYSIA. In Prime Minister’s Office of Malaysia Official Website. Prime Minister’s

Office of Malaysia. Retrieved March 14, 2023, from

https://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/12DASAR_PERINDUSTRIAN_BERAT_

DI_MALAYSIA.pdf

Razak, N., & Mohd Uder @ Shuhaimi, S. N. (2021). MEMAHAMI KONSEP DAN

DEFINISI INDEKS KEHARMONIAN PERUSAHAAN (IHI) MALAYSIA. In Department

of Statistics Malaysia (DOSM/ILMIA/1.2021/Siri 42). Department of Statistics Malaysia.

Retrieved March 12, 2023, from

https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202021/

DOSM_ILMIA_1_2021_SERIES_42.pdf

Sana, A. K., Poddar, S., & Paul, B. (2020). CONTRIBUTION OF SMALL AND MEDIUM

ENTERPRISES (SMES) TOWARDS MALAYSIAN ECONOMIC GROWTH: AN

EMPIRICAL STUDY. International Journal on Recent Trends in Business and Tourism,

4(2), 1–6.

Zain, N. (2012, February 26). Pembangunan Perindustrian di Malaysia. Tomorrow Is Certain.

Retrieved March 13, 2023, from http://tomorrowiscertain.blogspot.com/2012/02/sejarah-

pembangunan-perindustrian-di.html#

Anda mungkin juga menyukai