Anda di halaman 1dari 9

PERMASALAHAN KAJIAN

Definisi Permasalahan

John Dewey (1910) dalam bukunya Bagaimana Kita Berfikir menyatakan bahawa dalam
kaedah saintifik sesuatu penyelidikan itu harus bermula dengan kesusahan, pengalaman
atau permasalahan. Kenyataan ini memberi pengaruh yang besar kepada dunia
penyelidikan.

Ramai penyelidik gagal membezakan antara masalah sehari-hari dengan


permasalahan dalam penyelidikan/kajian. Masalah sehari-hari bermaksud apa-apa sahaja
kesukaran atau kesusahan yang kita hadapi dalam hidup kita. Masalah seperti ini kerap
kita alami dan kita selesaikan tanpa melakukan kajian saintifik. Contohnya, jika lampu
kereta tidak bernyala kita hantar keretatersebut ke bengkel, jika jalan becak kita gunakan
jalan lain atau berusaha menambak pasir pada tempat yang becak itu, jika baju basah kita
sidai di jemuran, jika kasut kotor kita basuh, paip pecah kita laporkan kepada Jabatan
Bekalan Air dan sebagainya. Penyelesaian masalah ini dibuat tanpa ada satu prosedur
saintifik yang harus dipatuhi.

Permasalahan/Persoalan dalam kajian atau penyelidikan mempunyai definisi yang


lebih luas. Sekurang-kurangnya terdapat lima subtopik tentang apa yang dimaksudkan
dengan permaslahan ini.

a. Kesusahan atau kesukaran

Topik permasalahan ini merupakan topik yang popular. Oleh itu, di mana-
mana perpustakaan pun kategori kajian seperti ini cukup banyak ditemui.
Mungkin cara ini lebih mudah pengkaji mendapatkan permasalahan
kajian. Biasanya sebelum pengkaji menjalankan kajiannya beliau akan
meninjau apa-apa masalah yang berlaku dalam bidang pendidikan.
Contohnya masalah ponteng sekolah, pelajar tahun enam tidak boleh
membaca, ramai pelajar yang gagal, dan sebagainya. Masalah-masalah ini
kemudiannya dihalusi dan terus dijadikan permasalahan kajian.

b. Perasaan ingin tahu

Newton membuat kajian tentang sebab-sebab buah epal jatuh ke bawah


kerana wujudnya perasaan ingin tahu yang kuat dalam dirinya. Akhirnya
beliau berhasil membentuk teori graviti. Dalam penyelidikan pendidikan
perkara seperti ini boleh berlaku sekiranya guru mempunyai sikap yang
gemar meneroka. Guru mungkin ingin mengetahui bagaimana seorang
pelajar miskin memperoleh pangkat cemerlang dalam peperiksaan atau
ingin mengetahui pendangan pelajar terhadap pengajarannya atau ingin
mengetahui kandungan buku yang terpilih sebagai buku teks Komsas.
Perasaan ingin tahu ini diolah sehingga menjadi permasalahan kajian serta
menampakkan kepentingannya untuk dibuat kajian.

1
c. Sesuatu yang tidak kena

Banyak perkara yang kita rasa tidak kena berlaku di sekeliling kita, dan
hal ini memerlukan huraian. Fenomena ini boleh memberikan anda
semangat baharu serta ingin mendapatkan konsep yang lebih jelas tentang
faktor-faktor yang menyebabkan kebingungan itu. Contohnya, dalam satu
sesi pengajaran terdapat sebahagian kecil pelajar yang tidak berminat
untuk mengikuti pengajaran walaupun pelbagai usaha telah dilakukan
guru. Guru berpendapat ada sesuatu yang tidak kena dengan pelajar
terlibat. Oleh itu, satu kajian terhadap pelajar tersebut dilaksanakan.

d. Fakta yang bercanggah

Hasil penyelidikan yang bercanggah wujud daripada ketidaktekalan


pemerhatian atau instrumen kajian yang tidak sah atau sebab-sebab lain
seperti pemilihan reka bentuk kajian yang tidak tepat. Dalam banyak
kajian didapati pelajar yang tekun belajar dan mempunyai kemahiran
belajar yang tinggi memperoleh pencapaian yang baik dalam penilaian.
Jika terdapat keputusan yang bercanggah dengan keputusan yang biasa
diperoleh pengkaji atau bercanggah dengan teori yang sedia ada, pengkaji
lain berpeluang mengkaji hal yang sama dengan pemerhatian yang lebih
teratur atau instrumen kajian yang boleh dipercayai atau dengan
menggunakan reka bentuk yang berlainan. Keputusan kajian sebelumnya
boleh dijadikan permasalahan dalam kajian yang akan dilakukan.

e. Keraguan

Keraguan timbul daripada kekaburan atau keadaan syak wasangka, sama


ada disebabkan teori yang belum memadai atau kita beranggapan satu
masalah akan timbul jika tidak dihuraikan segera. Contohnya, komponen
sastera diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
secara tergesa-gesa, ramai guru berasa sangsi terhadap kejayaan
pelaksanaannya. Pertama, ramai guru belum bersedia dengan pelajaran
tersebut. Kedua, sasarannya ialah semua pelajar. Yang disangsikan ialah
penerimaan pelajar bukan Melayu. Ketiga, bentuk penilaiannya sama ada
menjurus kepada bahasa atau kepada sastera, dan banyak lagi. Sebenarnya
kesedaran guru tentang senario yang dinyatakan tadi ialah satu keadaan
yang bermasalah dan boleh dijadikan permasalahan dalam kajian.

Mengenal pasti situasi yang bermasalah boleh mewujudkan titik permulaan untuk
suatu penyelidikan. Namun begitu, sebelum pergi lebih jauh masalah itu hendaklah
dihalusi dan dikhususkan. Di samping itu, penyelidik hendaklah mengasing,
mempertajam, dan memperjelas pemboleh ubah yang berkaitan serta hubungannya
masalah yang hendak dikaji.

2
Ciri permasalahan kajian yang baik

Sesuatu permasalahan yang baik itu mempunyai ciri tertentu. Ciri ini perlu ada bagi
memudahkan kita mendefinisikan permasalahan kajian. Dalam sebarang kajian definisi
yang jelas dan jitu dapat memudahkan pengkaji menjalankan kajiannya. Ada klise yang
mengatakan jika pernyataan masalah itu dapat dijelaskan dengan jitu bermakna separuh
daripada kajian itu telahpun selesai. Ini menunjukkan betapa pentingnya penyataan
masalah itu dibuat dengan teliti sebelum sesuatu kajian dilaksanakan.

Sesetengah pelajar menghadapi masalah dalam mengenal pasti dan


mendefinisikan permasalahan. Pelajar seperti ini perlukan nasihat dan tunjuk ajar
daripada pensyarah yang berpengalaman atau dengan mengambil contoh daripada tesis
terbaik yang pernah dihasilkan. Daripada sini pelajar boleh membentuk `jalan’ sendiri
untuk melakukan kajian.

Antara ciri permasalahan kajian yang baik ialah:

a. Penyataan masalah itu ditulis dengan jelas dan padat;


b. Permasalahan itu boleh menjana pelbagai soalan kajian;
c. Ada teori yang menyokong permasalahan tersebut;
d. Permasalahan tersebut berkait dengan satu atau lebih bidang akademik
yang dikaji;
e. Permasalah yang dikaji bersangkutan dengan literatur kajian, dan
f. Permasalahan kajian itu masih baharu dan masih menjadi isu di tengah-
tengah masyarakat.

Sumber permasalahan kajian

Sumber permasalahan kajian ada di sekeliling kita. Kadangkala kita gagal mengenal pasti
permasalahan kajian kerana kita menganggap permasalahan itu perkara biasa dan bukan
sesuatu yang perlu diselidiki. Hal ini berlaku kerana kita gagal mendefinisikan
permasalahanaa tersebut.

Ada beberapa sumber yang boleh digunakan untuk mengenal pasti permasalahan
kajian. Setiap sumber ini ada kebaikan dan kelemahannya. Oleh itu, pengkaji boleh
manggabungkan fakta daripada sumber yang berlainan untuk menguatkan permasalahan
kajian tersebut. Sumber yang biasa digunakan untuk mengenal pasti permasalahan ialah:

a. Pernyataan daripada golongan berautoriti

Dalam bidang pendidikan golongan yang berautoriti ialah orang-orang


yang memegang dasar dalam sistem pendidikan di negara kita, antaranya
ialah Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan
Malaysia, Pengarah-pengarah Pendidikan Negeri, Profesor atau cerdik
pandai yang berwibawa dalam bidang pendidikan dan sebagainya. Mereka

3
sebanarnya berpengaruh dan pernyataan mereka boleh memberi kesan
kepada kerajaan dan masyarakat. Contohnya, baru-baru ini masyarakat
digemparkan dengan masalah kualiti pelajar Bumiputera di IPT. Ramai
sekali orang-orang yang berwibawa memberi pandangan mereka,
antaranya Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh, Prof. Diraja
Ungku Aziz, Menteri Pendidikan dan ramai lagi. Pernyataan mereka itu
boleh dijadikan permasalahan kajian.

b. Cadangan kajian lanjut

Setiap tesis yang dibuat mengikut peraturan yang ditetapkan terdapat pada
bahagian akhir tesis tersebut beberapa tajuk cadangan tesis yang boleh
dibuat. Hal ini demikian kerana setiap tesis yang dilakukan tentu sekali
terdapat kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, untuk melengkapkan tesis
tersebut penyelidik mencadangkan beberapa tajuk untuk dibuat kajian
lanjut. Tajuk cadangan tesis ini sebenarnya telah diteliti dan dianalisis
keperluannya oleh pembuat tesis tersebut. Pengkaji lain yang kebetulan
berminat terhadap tajuk tersebut boleh mengambil tajuk yang dicadangkan
dalam usaha menyambung tugasan yang belum lengkap itu. Cara ini
dianggap sah dan dibenarkan.

c. Deduksi daripada teori

Pengkaji yang berkeinginan membuat kajian berdasarkan deduksi daripada


teori perlu memenuhi syarat utama, iaitu mahir dalam teori yang hendak
dijadikan sumber. Kebolehan pengkaji menguasai teori yang berkaitan
dengan bidang yang dikaji membolehkan pengkaji memahami secara
mendalam persoalan yang hendak dikaji.
Masalah yang hendak dihasilkan daripada deduksi ke atas teori ini
biasanya bukan masalah amalan. Tujuannya adalah untuk
mengembangkan teori yang sedia ada. Dengan itu penyelidikan ke atas
teori itu lebih mirip kepada penyelidikan asas. Penyelidikan ini kurang
mementingkan penyele
saian masalah.

d. Dokumen rasmi

Dalam bidang pendidikan antara dokumen rasmi itu termasuk akta,


kurikulum, sukatan pelajaran, buku teks dan dokumen-dokumen lain yang
berkaitan. Sesuatu akta itu dipinda kerana ada kajian ke atasnya. Begitu
juga kurikulum dan buku teks. Kajian ka atas dokumen ini melibatkan
analisis kandungan yang terdapat pada teks tersebut. Permasalahan yang
biasanya ditimbulkan daripada dokumen ini ialah sama ada sesuai atau
tidak dengan masa sekarang atau untuk melihat ketepatan
aspek/komponen yang terkandung dalam dokumen tersebut dengan apa
yang dirancang dan sebagainya.

4
e. Pengalaman

Pengalaman banyak mengajar kita mengenal pasti masalah. Bagi guru,


masalah disiplin, ponteng, menghisap rokok dan samseng di kalangan
pelajar merupakan antara pengalaman yang sering dialami. Masalah
daripada pengalaman ini boleh memotivasikan penyelidik kerana
faedahnya akan dirasai penyelidik sendiri, masyarakat dan profesion. Oleh
sebab setiap guru mempunyai pengalaman yang berbeza-beza, penyelidik
perlu hati-hati bagi memastikan masalah itu ialah masalah sejagat dan
mempunyai nilai untuk diselidiki. Kadangkala masalah itu merupakan
masalah peribadi dan lebih sesuai dibuat kajian tindakan sahaja.
Kadangkala masalah itu masalah sementara dan tidak perlu dikaji.
Contohnya, ramai pelajar tidak hadir ke sekolah kerana hari hujan, pelajar
tidak dapat membuat latihan yang diharapkan kerana tajuk pelajaran baru
diajarkan, suasana kecoh di dalam kelas kerana bekalan elektrik terputus
dab sebagainya.

f. Karya-karya yang berkaitan

Karya-karya yang berkaitan mendedahkan penyelidik kepada contoh


permasalahan yang pernah dikaji dan bagaimana permasalahan itu
diselesaikan. Contoh-contoh tersebut membantu penyelidik memahami
permasalahan kajian.

Soalan dan Hipotesis Kajian

Sesuatu penyelidikan dilakukan dengan tujuan mendapatkan jawapan (solutions) kepada


masalah atau persoalan yang timbul. Seseorang pemandu akan menyelidiki bahagian
kereta yang terlibat jika secara tiba-tiba enjin keretannya gagal untuk dihidupkan. Dalam
hal ini sebenarnya pemandu tersebut mencuba mencari jawapan terhadap masalah atau
persoalan yang dihadapinya sekarang.

Dalanm kajian pendidikan terdapa dua cara untuk mencari jawapan kepada
sesuatu permasalahan atau persoalan. Satu cara dengan menggunakan soalan dan satu
cara lagi menggunakan hipotesis. Soalan akan digunakan jika jawapan yang diharapkan
tidak memerlukan ujian statistik. Jika pengkaji mengharapkan jawapan hasil dripada
ujian statistik seperti korelasi, ujian T, khi kuasa dua, ANOVA dan sebagainya, biasanya
hipotesis digunakan.

a. Soalan kajian

Soalan kajian biasanya berbentuk introgatif seperti `Apakah ….?’, `Sejauh


manakah …. ?’, ` Adakah ….. ?’ dan sebagainya. Dalam membentuk
soalan kajian ada beberapa ciri yang perlu dititikberatkan. Pertama, soalan

5
yang dibina mestilah perkaitan dengan tajuk kajian. Jika tajuk kajian itu
berkaitan dengan nilai murni dalam buku teks, soalan yang mungkin
ditanya mungkin ` Apakah jenis nilai murni yang ditemui?’, `Adakah
terdapat keseimbangan daripada segi taburan nilai murni mengikut bab?’,
`Sejauh manakah taburan nilai murni yang terdapat dalam buku teks itu
mematuhi cadangan yang dikemukakan oleh Biro Buku Teks?’, dan
sebagainya.

Kedua, soalan yang dikemukakan haruslah bermakna, iaitu yang boleh


dijangkakan bagaimana bentuk jawapannya. Contohnya, `Berapakah
ketinggian Gunung Tahan?’. Sekurang-kurangnya pengkaji sudah
mengetahui bahawa jawapannya harus dalam bentuk ukuran kuantiti
seperti dalam kaki, ela, meter, batu, dan sebagainya.

Soalan yang tidak bermakna pula bermaksud jawapan bagi soalan tersebut
tidak menunjukkan hasil daripada proses enkuiri sahaja. Kadangkala
soalan ini melibatkan unsur metafizik seperti ` Adakah kehidupan selepas
kematian?, dan kadangkala pula terbentuk daripada soalan yang terdapat
unsur `menghakimi’ sesuatu seperti `Adakah kemahiran membaca kamus
itu lebih penting daripada kemahiran mencatat nota?’.

Ketiga, setiap soalan itu harus dimulai dengan frasa tanya. Bentuk soalan
seperti `Buku itu bermutu?’ atau `Kemahiran menjawab soalan hanya
terdapat dalam buku teks?’, dan sebagainya tidak harus disenaraikan
dalam soalan kajian.

b. Hipotesis kajian

Hipotesis kajian ialah satu pernyataan jangkaan yang dibuat bagi


menjawab permasalahan secara spesifik. Oleh sebab itu pernyataan itu
mestilah empirikal dan dapat dibuktikan. Biasanya hipotesis ini
menunjukkan hubungan khusus pemboleh ubah (sama ada berbeza atau
berkaitan secara statistikal) yang telah dikenal pasti dalam penyataan
masalah. Pernyataan hipotesis ini ada pelbagai jenis. Akan tetapi yang
biasa digunakan dalam penyelidikan pendidikan ada dua: satu dikenali
sebagai hipotesis `null’ (null hypothesis) dan satu lagi dikenali sebagai
hipotesis alternatif (alternative hypothesis atau research hypothesis).
Alasan untuk menyatakan hipotesis dalam kajian berasaskan kaitannya
dengan taakulan logik membuat telahan (inferential).

Penyataan hipotesis `null’ dibuat bagi menunjukkan pemboleh ubah yang


dikaji tidak berkaitan secara statistik atau dengan perkataan lain pemboleh
ubah yang dikaji itu tidak berbeza (sama) daripada segi statistiknya.
Contohnya,

6
Ho : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara pencapaian pelajar
lelaki dengan pelajar perempuan.

Ho : Terdapat hubungan yang signifikan antara tanggapan pelajar


gred A dengan pelajar gred B tentang gaya belajar.

Hipotesis alternatif pula dibuat bagi menyatakan terdapat hubungan


secara statistik antara pemboleh ubah yang dikaji berdasarkan teori atau
kajian yang lalu. Berasaskan kekhususan (specificity) dan tuju arah
(directionality) pernyataan tersebut, hipotesis alternatif terbahagi kepada
dua kategori. Kategori pertama dipanggil hipotesis tidak berarah
(nondirectional), iaitu pernyataan yang menunjukkan terdapat hubungan
tapi tidak secara khusus antara pemboleh ubah yang dikaji (Gay, 1992).
Contohnya,

Ha : Terdapat perbezaan secara signifikan daripada segi jumlah buku


yang dibaca antara guru sekolah rendah dengan guru sekolah
menengah.

Kategori kedua pula dikenali sebagai hipotesis berarah (directional), iaitu


pernyataan yang menunjukkan terdapat hubungan secara khusus antara
pemboleh ubah yang dikaji. Contohnya,

Ha : Guru sekolah menengah lebih banyak membaca daripada guru


sekolah rendah.

Kepentingan Hipotesis

Kepentingan hipotesis dilihat daripada fungsinya sebagai pembentuk hubungan antara


masalah dengan bukti empiris yang mungkin menyelesaikan masalah. Berdasarkan
pernyataan tersebut kepentingan hipotesis dapat dijelaskan seperti yang berikut:

a. Memperjelas masalah

Seseorang pengkaji tidak mungkin dapat membuat hipotesis yang baik jika
beliau tidak memeriksa secara menyeluruh unsur-unsur fakta dan konsep
yang berkait dengan masalah, meneroka hubungan yang wujud,
mengasingkan dan menggabungkan maklumat yang berkaitan dalam satu
penyataan yang menyeluruh. Setelah pengkaji benar-benar jelas baharulah
hipotesis dibentuk dengan cara mendeduksikan konsekuennya dan
mendefinisikan istilah yang digunakan bagi menghuraikan isu-isu yang
terlibat.

b. Menentukan relevannya fakta

7
Melalui hipotesis seseorang pengkaji dapat menentukan fakta-fakta yang
perlu dikumpul kerana pemilihan fakta merupakan perkara penting dalam
membuat kajian. Dengan cara ini pengkaji akan dapat membuat keputusan
tentang berapa banyak fakta yang perlu dikumpul untuk diuji. Ini
bermakna hipotesis dapat mengarahkan usaha pengkaji ke arah yang
produktif.

c. Menentukan reka bentuk penyelidikan

Hipotesis yang dibentuk secara sempurna dapat mencadangkan reka


bentuk atau kaedah kajian yang dapat memenuhi keperluan khusus. Di
samping itu, hipotesis juga dapat menentukan subjek, ujian statistik atau
alat kajian yang sesuai.

d. Menghurai fenomena

Hipotesis yang dibentuk daripada fakta yang diketahui memandu


penyelidik meneroka dan menghuraikan sesuatu fenomena yang tidak
diketahui. Harus diingat, persoalan saintifik bukan sahaja menghimpun,
menerang dan mengkelaskannya, penyelidik yang serius sentiasa berusaha
mencari huraian bagi menentukan bentuk faktor di sebalik fenomena
tersebut.

e. Membuat rangka kesimpulan

Hipotesis yang dibuat secara deduktif sebenarnya memberi gambaran


terhadap kesimpulan kajaian yang akan diperoleh. Hipotesis memberi
rangka kerja bagi mentafsir penemuan secara tepat. Katakan jika Ho
benar, maka fakta yang berikutnya akan diperhati. Dengan itu kesimpulan
dibuat sama ada Ho diterima atau ditolak. Sekiranya fakta tersebut tidak
dihipotesiskan, maka pengkaji tidak berpeluang untuk menerima atau
menolak fakta yang diuji itu.

f. Merangsang penyelidikan lanjut

Hipotesis yang baik boleh menjadi pemangkin ke arah mengintai dan


mengumpul lagi fakta-fakta untuk disesuaikan dengan huraian yang lebih
mendalam. Max Weber menjelaskan sesuatu hipotesis perlu diganti dan
diatasi. Hipotesis ialah kunci kepada apa yang diketahui, memandu kita
dari satu masalah kepada masalah lain, daripada huraian yang sederhana
kepada skema konsep yang sempurna.

8
Allison, B. et al (1996). Research Skills for Students. Kogan Page Ltd. London.
Beiger, G.B. & Gerlach, G.J. (1996). Educational Research. New York : Delmar
Publisher.
Van Dalen, D.P. (1993). Memahami Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka .

Anda mungkin juga menyukai