Anda di halaman 1dari 3

Teks Pidato Spontan : Pidato Piala Diraja (24 April 2019)

Bahasa Jiwa Bangsa


Terima kasih kali kedua buat peneraju acara. Bersua kembali dalam pidato spontan, mencabar fikiran.
Sesungguhnya, mauduk bicara “Bahasa Jiwa Bangsa” mengajak kita semua, untuk menilai dan merungkai
tentang peranan dan kekuatan bahasa dalam menjulang dan memartabatkan bangsa.
Maka, hayatilah cetusan idea pertama, “Bahasa Melayu Dibudaya, Perpaduan Bangsa Dipelihara”.
Hadirin sekalian,
62 tahun kita sudah merdeka. Pelbagai ranjau pernah kita rasa. Hanya kerana berbeza kaum, peristiwa 13 Mei
1969 meruntun jiwa. Hanya kerana berbeza agama, kampung medan menjadi saksi perbalahan. Sehinggakan,
penjajah British pernah meramalkan, Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum ini, tidak akan berjaya
menjadi sebuah negara yang merdeka. Namun, ternyata mereka salah menilai kita.
Kini, kita antara sebuah negara berbilang bangsa yang mampu bersaing di persada dunia. Lantas, bagi
memastikan perpaduan terus dipelihara, pelbagai usaha telah direncana. Bermula dengan Penyata Razak, Dasar
Bahasa Kebangsaan sehinggalah ke Perlembagaan Persekutuan, kita telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara. Matlamatnya hanya satu, agar perpaduan rakyat terus menyatu. Hasilnya, pembudayaan
Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan terus subur dalam pendidikan sehinggalah menjadi bahasa
komunikasi formal mahupun tidak formal masyarakat yang berbilang kaum.

Hadirin sekalian,
Cetusan idea kedua, “Bahasa Melayu Dimartabat, Identiti Bangsa Diperkuat”.
Kita sering didendangkan dengan konsep kepentingan bahasa dalam kehidupan. “Bahasa Jiwa Bangsa, Bahasa
Teras Budaya, Hilang Bahasa Lenyaplah Bangsa,”. Namakan apa sahaja konsep kepentingan bahasa, saya pasti,
anda pernah mendengarnya.
Sesungguhnya, saya berbangga tatkala sejarah menjadi saksi Bahasa Melayu pernah menjadi Lingua Franca.
Ketika itu, Bahasa Melayu digunakan oleh penutur bukan jati, dalam urusan jual beli. Impaknya, Bahasa
Melayu mashyur seantero dunia. Malah, menerusi Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, kita telah
membuktikan kepada dunia, betapa Bahasa Melayu yang merupakan identiti kepada bangsa Melayu mampu
menjadi bahasa pertuturan semua orang. Tidak cukup dengan itu, Kerajaan sentiasa komited untuk
memartabatkan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika dahulu PPSMI kita sanjung, kini
MBMMBI kita junjung. Bukti keseriusan kita memartabat bahasa dan memperkuat identiti bangsa.

Tuntasnya hadirin sekalian,


Ingatlah pesan pujangga, “Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, tegak bangsa kerana budi,
runtuh budi runtuhlah bangsa”. “Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu
bahasa”.
Sekian, salam sehati sejiwa.
Budi Bahasa Amalan Mulia
Terima kasih kali kedua buat peneraju acara. Bersua kembali dalam pidato spontan, mencabar fikiran.
Sesungguhnya, mauduk bicara “Budi Bahasa Amalan Mulia” mengajak kita semua, untuk menilai dan
merungkai tentang pengamalan adab yang bersopan santun dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kita.
Maka, hayatilah cetusan idea pertama, “Budi Bahasa Dibudaya, Akhlak Masyarakat Terpelihara”.
Hadirin sekalian,
Pepatah melayu pernah mengingatkan kita, “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”. Betapa
pesan ini mengajar dan menuntut kita supaya sentiasa membudayakan amalan budi bahasa dalam kehidupan.
Dengan amalan inilah kita menzahirkan rasa hormat kepada setiap orang di sekeliling kita, tanpa mengira kasta
tua atau muda.
Lantas, menyedari hakikat ini, pelbagai usaha telah direncana, agar budi bahasa terus dibudaya. Bermula
dengan Rukun Negara sehinggalah kempen Budi Bahasa Amalan Mulia. Semuanya sentiasa kita perkasa, agar
akhlak masyarakat terus dipelihara. Sebab itu saya amat berbangga dengan pihak kerajaan kerana usaha yang
mendalam dalam menerapkan nilai-nilai mulia terhadap masyarakat sedari bangku sekolah lagi.

Hadirin sekalian,
Cetusan idea kedua, “Budi Bahasa Disubur, Negara Makmur”.
Saya percaya, kita boleh mendabik dada sebagai tanda bangga dengan masyarakat kita. Hal ini kerana, Malaysia
sudah terkenal dengan budaya berbudi bahasa di seantero dunia. Lantas, kita tidak boleh menafikan bahawa
inilah salah satu tarikan kepada pelancong asing dari luar negara.
Buktinya, Euromonitor International iaitu agensi kajian pasaran global telah mengekalkan Malaysia dalam
kelompok 10 negara destinasi pelancongan terbaik dunia 2018. Malah, menerusi kajian perunding pelancongan
dunia, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara paling mesra pelancong Muslim, mengatasi Mesir, Emiriah Arab
Bersatu, Turki, Arab Saudi dan Indonesia. Impaknya, industri pelancongan berjaya menjadi penyumbang ketiga
terbesar dalam ekonomi negara pada tahun 2018. Terima kasih seluruh rakyat Malaysia yang telah
mengamalkan budi bahasa.

Tuntasnya hadirin sekalian,


Percayalah, segala usaha berkaitan budi bahasa tidak akan mampu berjaya tanpa kerjasama dan sambutan
daripada setiap kita. Maka, teruslah berbuat baik sesama insan, demi kebahagiaan dalam kehidupan. Yang baik
jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
Sekian, salam sehati sejiwa.
Keluarga Bahagia
Terima kasih kali kedua buat peneraju acara. Bersua kembali dalam pidato spontan, mencabar fikiran.
Sesungguhnya, mauduk bicara “Keluarga Bahagia” mengajak kita semua, untuk menilai dan merungkai tentang
peranan dan tindakan setiap ahli keluarga dalam usaha melahirkan rasa bahagia sesama mereka.
Maka, hayatilah cetusan idea pertama. “Ajaran Agama Dibudaya, Sahsiah Keluarga Terpelihara”.
Hadirin sekalian,

Anda mungkin juga menyukai