Anda di halaman 1dari 32

TyIcKooUnS.

(TYCOON)
By Khairunazwan Rodzy

PROLOG
Bunyi tapak kaki orang berjalan. Seorang lelaki tua berjalan memegang rokok bernyala di
tangan kanannya sambil memegang bangkai tikus di tangan kirinya. Mengangkat tinggi
bangkai tikus itu dan berkata cermat dan tegas.

CIKGU GADAK (JAROK)


Kalau kita nampak seekor tikus berlegar tenang di satu kawasan itu, maka akan ada lebih
sejuta ekor yang lain sedang bersembunyi di kawasan yang sama. Sama ada kita bergerak
seorang diri ataupun kita bergerak bersama tikus-tikus itu atau jadi seperti tikus
itu……………., kita sendiri kena pilih.

Music in.
Lights crossfade.

Di kelab peribadi TYCOON, ‘Tycoon Mambo’. Tempat biasa TYCOON diduduki PANGSIT
dengan di kelilingi ORANG-ORANG TYCOON. RAMONA menyanyi dengan kumpulannya
WHITE PERCUSSION. Nyanyian RAMONA berkenaan tentang orang harapan yang
diharapkan membawa kebebasan dan kejayaan pembebasan yang gemilang. Masing-masing
bersorak dan bertepuk menyaingi nyanyian RAMONA. Masuk MANAN melepaskan tembakan
secara rambang. Keadaan kucar-kacir. Hanya RAMONA dan kumpulannya saja tenang.
PANGSIT di kerusi tergamam. MANAN menghampiri PANGSIT.

MANAN
Kami semua punya impian, dan impian ini adalah hak kami!

MANAN menembak PANGSIT bertalu-talu.

Blackout.
BABAK 1
Adegan 1
Sekumpulan KORUS melakukan formasi gerak dan gesture bagi mewujudkan visual yang
menarik bagi menyampaikan dialog.

KORUS 1
Kampong Ciem Pang merupakan gelaran kepada Kampong Dabi’e, sebuah kampong
terpencil.

KORUS 2
Kampong orang-orang rosak. Penduduknya dari golongan yang telah dibuang negeri dan
golongan dipulaukan oleh masyarakat luar.

KORUS 3
Gelaran Kampong ini, ‘Ciem Pang’, diperolehi dari nama seorang banduan bekas gerila yang
melarikan diri dari penjara dan bersembunyi di kampong ini serta hilang tidak dijumpai.

KORUS 4
Ciem Pang belot, dan bersekongkol dengan pengganas gerila dalam menyampaikan selok
belok dan rahsia pertahanan kawasan tempatan.

KORUS 5
Perlakuannya demi kepentingan diri dan kesenangan keluargaanya ketika itu telah
membuatkan masyarakat tempatan berdendam dengannya.

KORUS 6
Setelah pengganas gerila menyerah kalah, penduduk tempatan datang menyerang keluarga
Ciem Pang.

KORUS 7
Ciem Pang kena tangkap, keluarga Ciem Pang kena pulau oleh orang kampong.
KORUS 8
Keluarga Ciem Pang mati kebuluran sebab orang kampong sekat makan mereka oleh
dendam.
SEMUA KORUS
Kisahnya menjadi cacian dan hinaan penduduk tempatan sehinggakan kampong ini kekal di
panggil Kampong Ciem Pang. Akibat dari kebencian masyarakat, kampong yang diberi
gelaran Ciem Pang ini sendiri telah disisihkan serta menjadi tempat buangan orang-orang
yang ‘rosak’ dan berdosa dengan negeri mereka sendiri, semakin hari semakin banyak ‘orang
rosak’ menjadi penduduk tetap kampong ini sehinggakan keadaan moral serta keamanan
kampong ini menjadi kacau bilau serta huru hara dengan kejadian-kejadian jenayah antara
mereka yang sudah tidak diperdulikan lagi oleh kerajaan negeri serta pihak berkuasa
tempatan….”

Masuk WARTAWAN ke pentas seolah baru tibake kampong Ciem Pang.

WARTAWAN
Kini di Ciem Pang, anak-anak kecil semakin terbiar tidak bersekolah, remaja yang bebas
tanpa kepercayaan, yang menjadi ibu dan bapa pula tidak diketahui kesahihan perkahwinan
mereka, golongan muda yang semakin kurang ajar dan aktif dengan kumpulan-kumpulan
samseng mereka telah mengakibatkan jenayah berleluasa di setiap ceruk Ciem Pang. Sistem
kekeluargaan semakin hilang dan sudah tidak mengenali antara satu sama lain kecuali adik
beradik atau pertalian saudara yang dicipta di dalam pertubuhan samseng mereka sahaja.
Begitulah gambaran Pekan Siem Pang bila saya tiba di sini bagi melaporkan kejadian amokan
Manan, pengawal pribadi Tycoon Sobir, Tycoon di Pekan Ciem Pang. Tycoon Negara.

Suram, keadaan di sini begitu suram, sunyi, gelap, ngeri… ditengah-tengah pekan Ciem Pang
ini kelihatan deretan rumah kedai yang sudah usang dengan cat kuning cair yang kelihatan
pudar, merekah dan sudah mula tanggal dari dinding, dalam banyak-banyak deretan rumah
kedai ini hanya satu kedai sahaja yang buka dan yang lain tutup, mungkin akibat amokan
Manan tapi tidak juga, ia kelihatan sudah tertutup lama dan tidak terurus. Di hadapan satu-
satunya kedai yang buka itu, ada sekumpulan remaja sedang melepak, mereka kelihatan
sangat serius dan tiada hilai tawa seperti keadaan remaja Bandar Besar melepak, aneh,
kesemua mereka juga bersenjata, ada yang pegang parang, pisau, pistol, sabit, pedang dan ada
juga yang mempunyai senapang. Ngeri, ngeri dan sunyi, keadaan di sini memang sunyi,
kicauan burung pun hanya sekali sekala kedengaran, malah penduduk-penduduk di sini
seolah-olah tidak biasa menerima kehadiran orang baru dari luar, seperti saya, mereka
merenung dan memberikan pandangan yang penuh benci. Mereka terus memperhatikan saya
walaupun kemana sahaja saya melangkah, semakin lama semakin banyak, semakin lama
semakin penuh kawasan dimana saya berdiri dengan mata-mata yang merenung tajam ke arah
saya seorang…..

Ketika WARTAWAN seperti mahu mengeluarkan alat perakam suara dari jaketnya. Tiba-tiba
jeritan seseorang dari kumpulan samseng yang ramai. WARTAWAN tersentak.

SAMSENG 1
Kurang ajar!! Berani kau masuk sini!! Belasah dia!!!!!

Kesemua samseng dengan pantasnya memukul WARTAWAN.

Blackout.

Adegan 2
WARTAWAN kelihatan terikat tangan ke atas dan kakinya di bawah. JAROK memerhatikan
lalu menyimbah segelas air ke muka WARTAWAN yang pengsan dalam ikatan yang berdiri.

JAROK
Siapa kau ni? Siapa hantar kau?

WARTAWAN
Saya wartawan, dari Akhbar Jasa. Maafkan saya, saya hanya mahu membuat laporan
mengenai kes amokan Manan kat Ciem Pang ni.

JAROK
Engkau ni siapa?? Siapa yang hantar kau sebenarnya??

WARTAWAN
Ya tuan, saya tak tipu, saya wartawan dari Akhbar Jasa di Bandar Besar. Saya datang sendiri.
JAROK menghampiri WARTAWAN.
JAROK
Budak-budak tu semua kata kau bawak senjata api.

WARTAWAN
Tak, saya tak bawak senjata api. Saya hanya bawa buku catatan dan recorder sahaja… dan
sedikit baju salinan.

JAROK
Berani kau masuk Ciem Pang. Polis pun maseh fikir berkali-kali nak masuk Ciem Pang. Apa
yang kau nak sebenarnya?

WARTAWAN
Amokkan, tentang amokkan Manan, sebabnya bodyguard menyerang tuan sendiri..... kisah
menarik untuk di laporkan untuk masyarakat luar, dunia luar nak tahu……. (Bersungguh-
sunguh)

JAROK
Baru sekarang masyarakat nak tahu? Baru sekarang dunia nak tahu? Dulu? Ciem Pang tak
wujud dalam dunia, tak pernah dunia nak tahu, masyarakat nak tahu, negara sendiri tak tahu
Ciem Pang…. Bila Tycoon negara kena serang, baru nak ambil tahu, baru nak bukak balik
sejarah negara, sejarah Ciem Pang yang paling hina, paling di keji masyarakat dulu??

WARTAWAN
Maafkan saya, saya wartawan baru. Saya baru mula kerja. Ini tugasan pertama saya.. tuan
lepaskan saya tuan… saya tak tahu semua tu…. Saya pun tak tahu tempat ni… kalau saya
tahu saya tak datang tuan…(menangis).

JAROK
Kau ni wartawan bodoh ke hah? Tak tahu sejarah negara sendiri?? Tak research dulu tempat
yang kau nak datang melapor ni. Orang macam kau lah yang akan menyampaikan berita-
berita palsu yang tak tepat dan menipu masyarakat!!
WARTAWAN
Maafkan saya. Saya ada cari maklumat tentang Pekan Ciem Pang, tapi tiada sebarang
maklumat yang didapati kecuali mengenai Bandar Besar Ciem Pang yang bakal Tycoon Sobir
lancarkan bulan depan dan kerana itulah saya tahu lokasi Ciem Pang di sini.

JAROK memotong tali ikatan tangan WARTAWAN, WARTAWAN jatuh terjelepuk.

JAROK
Kau balik. Aku tak nak tengok kau kat Ciem Pang. (sambil membalingkan pakaian serta beg
kepada WARTAWAN)

WARTAWAN membuka tali ikatan kakinya dan memakai pakaiannya dan bangun dalam
keadaan sakit untuk berlalu. JAROK duduk diam sambil memerhatikan WARTAWAN
berjalan perlahan.

JAROK
Tunggu dulu…. Betul kau ni wartawan?? Lebih baik kau cakap betul-betul sebelum aku
suruh budak-budak aku bunuh kau kat luar nanti.

WARTAWAN
Betul tuan (menangis kembali), saya wartawan… saya wartawan… tolong jangan bunuh saya
tuan…. Saya janji saya tak masuk Ciem Pang lagi….. tolong tuan… tolong tuan…. (jatuh
melutut sambil menangis merayu).

JAROK
Bangun… bangun aku cakap! Jangan menangis! Sikit-sikit nangis! Kau datang sini untuk
tulis pasal amokkan Manan ya?

WARTAWAN hanya mengangguk dan masih cuba untuk hentikan nangisnya yang reda.

JAROK
Baik aku boleh ceritakan pasal amokkan Manan, siapa dia, kenapa dia mengamok, siapa yang
terlibat dengan amokkan ni, tapi kau kena dengar cakap aku. Kalau aku suruh kau balik kau
kena terus balik, faham!!
WARTAWAN
Baik tuan.

JAROK
Kau boleh panggil aku Jarok…. kau?

WARTAWAN
Ameer.

JAROK
Baik lah, mari sini… aku cerita kau tulis… jangan ubah apa-apa yang aku cakap, faham!
Manan adalah seorang budak yang besar tanpa mak dengan bapak, mak bapak dia kena
bunuh……

Blackout.

BABAK 2
DALAM RUMAH - BEBERAPA SAMSENG memukul dan memijak EMAK MANAN (30-an)
dan AYAH MANAN (30-an). Keadaan rumah berselerak dengan pekakas yang bertaburan di
atas lantai. Emak dan Ayah Manan mengaduh kesakitan dan merayu. Seorang samseng
menutup mulut Emak Manan yang menangis dan meronta-ronta.

MANAN(10) dan LONG(12) mengintai di sebalik pintu, MANAN yang menangis ditutup
mulut dan dipelok erat oleh LONG, LONG kelihatan takut.

Seorang samseng lagi menampar muka Ayah Manan yang sudah terdapat luka dan lebam,
terus memukulnya dengan tanpa belas kasihan.

Emak Manan cuba melawan dan mempertahankan suaminya, namun Emak Manan dirodok
dengan pisau dan kemudiannya Ayah Manan juga menerima nasib yang sama. Emak Manan
dan Ayah Manan terkulai di atas lantai.
Manan mahu menjerit memanggil emak dan ayahnya, tetapi Long pantas menutup mulut
Manan. Long dalam keadaan takut dan terkejut memegang kemas Manan.

Samseng-samseng itu pantas menggeledah rumah Manan. Setelah tidak menjumpai barang
yang dicari, mereka segera keluar dari rumah Manan.

Setelah dipastikan samseng tiada, Long melepaskan Manan yang meronta-ronta. Air mata
Manan mengalir dan Manan pantas meluru ke arah mayat ibu dan ayahnya. Long berdiri
tergamam dan ketakutan. Manan menangis dan meraung sambil memeluk mayat ibu dan
ayahnya yang berlumuran dengan darah. Manan kelihatan lemah di samping mayat kedua
ibu bapanya. Tangan Manan dipenuhi dengan darah.

Long dalam keadaan ketakutan, kemudiannya menghampiri Manan, dan menarik Manan
dengan tergesa-gesa keluar dari rumah itu.

Blackout.

BABAK 3
Adegan 1
JAROK meneruskan penceritaannya kepada WARTAWAN

JAROK
Petang tu juga Long bawak Manan balik rumah. Sejak dari hari tu jugaklah Manan tinggal
dengan keluarga Long. Mak bapak Long jaga Manan macam anak sendiri. Bagi makan, bagi
pakai, bagi sekolah, macam anak sendiri. Long anak tunggal dalam keluarga jadi mak dan
bapak Long tak kesah kalau berabih untuk Manan yang dianggap anak itu. Sejak dengan
keluarga Long, Manan tak banyak cakap, dia diam, dia suka duduk seorang diri, kadang-
kadang dia nangis ingat arwah mak bapaknya. Setiap kali Manan menangis, kalau Mak
dengan ayah Long nampak, mereka mesti pergi pujuk Manan, setiap kali begitulah. Manan
mendapat perhatian lebih dari mak bapak Long.

Light crossfade.
Adegan 2
BILIK TIDUR LONG – kelihatan LONG(12) dan MANAN(10) tidur, badan MANAN
berhenjut, MANAN menangis lagi. LONG terjaga dari tidur lalu terus duduk menghala
kearah MANAN.

LONG
Hei Manan, kau bangun!

Manan bangun sambil tersedu-sedu menangis melihat Long lantas Long terus menampar
Manan.

LONG
Kenapa kau nangis? Kau sengaja nak ambik perhatian mak bapak aku? Hei tu mak bapak
aku, bukan mak bapak kau! Aku taknak tengok kau nangis lagi.

Light crossfade.

Adegan 3
TANAH LAPANG - Sekumpulan kanak-kanak nakal seusia Manan dan Long berhadapan
dengan MANAN(10) dan LONG(12)

LONG
Manan, aku nak kau lawan dengan budak ni. Aku nak kau menang. Aku taknak kau nangis,
aku nak kau kuat. Lawan sekarang!

Seorang kanak-kanak mula memukul Manan dan Manan cuba mempertahankan diri sambil
membalas pukulan. Mereka berdua bergaduh. Long dan kanak-kanak nakal lain bersorak.
Manan tewas. Manan menangis. Long angkat Manan dengan marah.

LONG
Aku dah cakap, aku taknak kau nangis. Kau tak boleh nangis, kau kena kuat. Kau faham tak?
Kau tak boleh nangis!!

Blackout.
BABAK 4
Adegan 1
JAROK meneruskan ceritanya kepada WARTAWAN.

JAROK
Long ajar Manan supaya jadi lebih kuat. Setiap masa, setiap hari, setiap kali mereka bersama.
Manan yang dari seorang yang lemah, makin hari, makin berani, makin hari semakin hilang
ketakutan dari dalam diri Manan.

WARTAWAN
Jadi, Long lah yang jadikan Manan sebagai seorang pemberontak sampai dia boleh
mengamok macam ni?

JAROK
Aku tak habis cerita lagi! Kau tulis saja! Waktu kampong Ciem Pang ni tak terkawal dengan
kejadian jenayah di setiap ceruk, rombongan Tycoon Baha datang bagi memulihkan sistem di
Ciem Pang yang sangat daif dengan orang-orang rosak yang semakin rosak.

Light crossfade.

Adegan 2
Sekumpulan KORUS melakukan formasi gerak dan gesture bagi mewujudkan visual yang
menarik bagi menyampaikan dialog.

KORUS 1
Tycoon Baha berbincang dengan beberapa orang kuat kampong mengenai masalah jenayah
lalu Tycoon Baha mencadangkan bahawa perjumpaan bersama kepala-kepala samseng bagi
menjadikan mereka kumpulan khas.

KORUS 2
Kumpulan khas yang digajikan oleh Tycoon Baha untuk jaga keamanan Ciem Pang sekaligus
mempertahankan Ciem Pang dari samseng-samseng luar yang cuba mengganggu kawasan
Ciem Pang.
KORUS 3
Mereka suka dan bersetuju dengan kepentingan serta tawaran oleh Tycoon. Pelbagai
perkerjaan ditawarkan bagi memperkenalkan sistem yang terancang di Ciem Pang.

KORUS 4
Sebuah bangunan kelab telah dibuka sebagai tempat kebudayaan kepada semua golongan
untuk beriadah juga bagi membina kembali jati diri setiap warga Ciem Pang. Semakin hari
semakin baik perkembangan sistem dari kepimpinan Tycoon Baha.

KORUS 5
Cikgu Gadak dibawa bersama dalam rombongan Tycoon Baha menjadi satu-satunya guru
yang bakal mendidik anak-anak yang terbiar dan tiada hala tuju di masa hadapan ini bagi
menjadikan mereka seorang yang berguna untuk Ciem Pang.

KORUS 6
Sistem pendidikkan juga berjalan lancar dengan kesungguhan serta minat penduduk-
penduduk kampong setelah Cikgu Gadak memberikan kesedaran mengenai kepentingan ilmu
dan pengetahuan. Kanak-kanak di situ mula bersekolah.

Blackout.

BABAK 5
Adegan 1
DALAM KELAS – CIKGU GADAK Gadak sedang bercerita. Long dan Manan bersama
kanak-kanak lain berpakaian harian mereka berada dalam kelas itu. Ada yang duduk di atas
bangku panjang dan ada juga yang duduk di atas lantai.

CIKGU GADAK
Samseng ataupun gangster adalah kumpulan jenayah yang bergerak secara senyap dan
bersembunyi. Mereka ini pada mulanya merasakan diri mereka tak selamat atau takut ketika
berdepan dengan masyarakat lain dalam keadaan keseorangan lalu terjadinya kumpulan ini
yang bertujuan untuk menjaga keselamatan antara satu sama lain. Mereka percaya jika
mereka lebih ramai, mereka lebih kuat dan selamat. Macam tikus, bergerak dalam kumpulan
dan bersembunyi di bawah tanah. Samseng itu umpama tikus. Jadi, kalau kita nampak seekor
tikus berlegar tenang di satu kawasan itu, maka akan ada lebih sejuta ekor yang lain sedang
bersembunyi di kawasan yang sama. Samada kita bergerak seorang diri atau bergerak
bersama tikus-tikus itu, ataupun jadi seperti tikus itu, kita sendiri yang kena pilih. Siapa nak
jadi tikus?

Tiba-tiba, di pintu kelab masuk EMAK RAMONA (20-an) dalam keadaan yang comot
bersama RAMONA (7) yang dalam keadaan tersedu-sedu dan resah sambil memegang
sekeping kertas. Emak Ramona menyerahkan kertas itu kepada Cikgu Gadak.

Light crossfade.

Adegan 2
WARTAWAN tekun mendengar penceritaan JAROK. JAROK terus bercerita.

JAROK
Ramona kematian ayahnya dalam rompakan, rumahnya dibakar, ibunya dirogol depan
matanya. Kejadian jenayah samseng masih lagi berlaku ketika itu akibat dari rasa tidak puas
hati beberapa lagi samseng dengan kehadiran Tycoon Baha dalam memimpin dan
menjalankan sistem baru di Ciem Pang. Ramona, anak kecil ini menjadi seperti anak kandung
kepada Cikgu Gadak. Anak itu dididik, diasuh supaya menjadi manusia yang hidup terus
kehadapan. Sejarah hitamnya itu aku dipadamkan dengan menanamkan impian, impian
adalah satu-satunya hak untuk hidup di masa hadapan. Jangan biar sesiapa lagi rampas hidup
kita. Sekarang dia sedang mengejar impiannya.

WARTAWAN
Siapa pulak Ramona ni? Apa kaitan dia dengan Manan?

JAROK
Eh? Mudah pulak kerja kau ya? Kau datang sini, kau dengar aku cerita, lepas itu kau tulis,
kemudian lepas siap kau cakap kau buat laporan ni ya. Mudah kerja kau. Heh!(menyindir).
Apa-apa pun, yang kau catat tu jangan sesekali nak ubah fakta yang aku cakap ni. Bukan aku
tak tahu orang kerja macam kau ni, faktanya satu, rekaannya beratus. Jangan sesekali kau nak
menipu rakyat.
WARTAWAN
Tak semua orang kerja macam saya ni macam tu. Saya janji saya takkan tokok tambah
langsung apa yang diceritakan oleh Tuan Jarok.

JAROK
Heh!(menyindir).

Blackout.

BABAK 6
Adegan 1
Sebuah pangkin di bawah pokok. CIKGU GADAK duduk mengadap RAMONA(9),
MANAN(11) dan LONG(13).

CIKGU GADAK
Impian adalah hak mutlak. Sesiapa saja perlukan impian untuk hidup. Tak kira orang atasan
atau bawahan. Ingat! Jika kita hidup sesusah mana pun impian itu adalah modal untuk
mulakan segala-galanya dan ianya hak kita yang tidak boleh dirampas oleh sesiapapun!

LONG
Jadi, kita mesti kuat untuk mencapai impian kita. Kita mesti berbuat apa saja. Berkorban jika
perlu. Jika begitu, impian Long untuk jadi orang paling kuat di Ciem Pang supaya tiada
sesiapa dapat rampas impian orang lain.

MANAN
Impian Manan mahu terus berbakti untuk Tycoon, berbakti pada seluruh Ciem Pang. Biar
mereka mendapat hak dan keadilan mereka. Itu impian saya..

RAMONA
Impian Ramona untuk memiliki semua orang. Ramona tak mahu sunyi dan tak mahu semua
orang sunyi. Ramona mahu gembirakan hati semua orang dan mahu mereka sentiasa bersama
Ramona walauapapun yang berlaku. Biar Ramona menjadi bintang di hati semua orang.
CIKGU GADAK
Impian kamu semua adalah mulia dan sangat besar tapi jangan lupa, mimpi yang besar
menuntut kepayahan dan pengorbanan yang besar juga.

MANAN
Kami nak jaga tanah Ciem Pang, nak jaga orang-orang Ciem Pang. Tak nak jadi macam dulu
lagi. Kami nak Ciem Pang terus bangun bersama rancangan Tycoon Baha!!!

CIKGU GADAK.
Sebelum kita mahu menjaga tanah kita, sebelum kita mahu menjaga orang lain ….. kita kena
jaga diri kita dulu supaya kita dapat jaga saudara kita, kita kena jaga persaudaraan kita pula
untuk jaga rumpun kita, kita kena jaga rumpun kita untuk jaga bangsa kita, jaga bangsa kita
untuk jaga negeri kita, jaga negeri kita untuk jaga negara kita, jaga negara kita untuk jaga
dunia kita, jaga dunia kita untuk jaga hidup kita, jaga hidup kita untuk jaga agama kita….
Jadi kita kena jaga diri kita dulu supaya semuanya nanti dapat kita jaga.

LONG, MANAN, RAMONA


Kami akan jaga diri kami dulu!!

CIKGU GADAK
Aku suka api semangat yang membakar diri kau bertiga.

Secara tiba-tiba hadir orang-orang kampong yang berlari kesuatu sudut dalam gerakkan
cemas.

ORANG KAMPUNG
Api!!! Api!!! Tolong!!!

ORANG KAMPUNG
Tycoon!!! Tolong!!! Tycoon kena bunuh!!!!

ORANG KAMPUNG
Tycoon Baha mati!!! Mati kena bunuh!!!
ORANG KAMPUNG
Kereta Tycoon terbakar!!! Tycoon terbakar!!!

CIKGU GADAK, MANAN, LONG, RAMONA tersentak. Mereka menyertai orang kampong.

Blackout.

Adegan 2
Sekumpulan KORUS melakukan formasi gerak dan gesture bagi mewujudkan visual yang
menarik bagi menyampaikan dialog.

KORUS 7
Kematian Tycoon Baha menjadi tanda tanya kepada setiap warga ciem Pang. Keseluruhan
masyarakat seolah-olah hilang arah.

KORUS 8
Penduduk Ciem Pang takut untuk teruskan kehidupan seperti biasa dan berasa susah atas
kehilangan Tycoon Baha.

KORUS 1
Akibat kematian Tycoon Baha, gejala jenayah wujud kembali sedikit demi sedikit. Ciem
Pang seolah dahagakan perseorangan yang mempunyai kepimpinan seperti Tycoon Baha.

KORUS 2
Hari demi hari berlalu, anak Tycoon Baha, Tycoon Sobir menerima amanah ayahnya supaya
ambil alih Ciem Pang.

KORUS 3
Tapi lain sekali pembawakan Tycoon muda ini, rosak kembali Ciem Pang yang kian pulih.

KORUS 4
Banyak kegiatan serta perniagaan haram di Ciem Pang. Samseng mula mengganas malah
kepalanya sendiri adalah Tycoon Sobir.
KORUS 5
Kelab kebudayaan yang merupakan tempat kelas pendidikkan anak-anak terbiar itu
ditukarkan menjadi Kelab Pribadi Tycoon, Tycoon Mambo Club.

KORUS 6
Atas alasan tidak diperlukan lagi, kemudiannya Cikgu Gadak difitnah dan disisihkan jauh
dihujung Ciem Pang.

KORUS 7
Tycoon muda itu tak mahu masyarakat terpengaruh dengan kata-kata Cikgu Gadak kerana
masyarakat terlalu menghormati Cikgu Gadak dan Tycoon cuba buat supaya Cikgu Gadak
dibenci.

Korus menarik CIKGU GADAK kebelakang seperti gerakkan memulau CIKGU GADAK.
CIKGU GADAK berlalu.

Blackout.
BABAK 7
Adegan 1
Transisi MANAN, LONG dan RAMONA kepada dewasa.

RAMONA(9)
Siapa mahu jaga Ramona? Bapak Gadak kena pulau. Siapa lagi mahu jaga aku?

LONG(13)
Tak sangka Cikgu Gadak orang jahat! Tycoon orang bijak!! Cikgu Gadak manusia syaitan!!

MANAN(11)
Ada yang tak kena!! Ada yang tersembunyi!! Ada yang tak betul!!

VISUAL LAKON – RAMONA diambil TYCOON SOBIR. LONG dan MANAN ditinggalkan.
VISUAL LAKON - gerakkan perubahan MANAN, LONG dan RAMONA (kecil) kepada
dewasa. MANAN(26), LONG(28) dan RAMONA(24). KORUS melakukan gerakkan symbol
peralihan masa berlalu.

SEMUA KORUS
Demi Tycoon!!!! Demi Tycoon!!!

Light crossfade.

Adegan 2
Sekumpulan lelaki mengelilingi MANAN yang sedang memukul seorang LELAKI. LONG
berdiri di satu sudut memerhati.

LONG
Cukup Manan!

MANAN masih galak memukul. LONG menghampiri dan meleraikan JAROK.

LONG
Kadang-kadang aku hairan. Hantu apa yang merasuk kau bila bertumbuk, Manan.
MANAN
(Ketawa) Hantu kau, hantu kau saja sebenarnya yang boleh membuatkan aku menang dalam
apa saja pergaduhan, Long!

LONG
Apa yang kau nak pertahankan sangat ha?Dengan budak-budak hingusan begitu?

MANAN
Sebab itu aku nak ajar bagi mereka tu berakal. Ciem Pang ni, perlukan kekuatan untuk hidup.
Kau yang ajar aku, Long.

LONG terdiam.

LONG
Manan, Tycoon nak cari bodyguard. Dia nak cari orang baru. Aku rasa kita layak. Lagipun
arwah mak ngan ayah aku dah jual tanah ni. Ingat lagi impian kau dulu nak jaga Ciem Pang.
Ini lah masanya. Kerja dengan Tycoon ni upah lebih besar, cepat kita pergi sekarang...

Sekumpulan KORUS dan LONG dan MANAN melakukan formasi gerak dan gesture bagi
mewujudkan visual yang menarik melambangkan penglibatan LONG dan MANAN dengan
kerja-kerja Tycoon.

Light crossfade.
BABAK 8
Adegan 1
Kelihatan CIKGU GADAK menanti seseorang dan ditangannya memegang beberapa helaian
kertas. Masuk RAMONA(24) yang datang dalam keadaan serjaga-jaga.

RAMONA
Bapak!! Lama saya tak jumpa bapak…. Bapak sihat? Bapak tinggal dimana sekarang? Bapak
balik lah ke Ciem Pang. Ramona rindu bapak. Nanti Ramona minta Tycoon maafkan
bapak… bapak balik Ciem Pang ya…

CIKGU GADAK
Aku tak bersalah Ramona!! Aku tak salah!! Tycoon tipu orang kampong! Tycoon fitnah aku,
burukkan nama aku sampai orang-orang kampong benci aku, keji aku, buang aku!! Termasuk
kau Ramona… kau benci aku!

RAMONA
Tak bapak!! Ramona tak benci bapak, Ramona tak pernah benci bapak!! Bapak saja yang
Ramona ada, Ramona tahu bapak tak bersalah sebab itu saya tak pernah benci bapak
langsung.

CIKGU GADAK
Long? Manan?

RAMONA hanya diam. Seperti rasa bersalah.

CIKGU GADAK
Aku tahu mereka dah kerja dengan Tycoon. Mereka jaga Tycoon. Mereka takkan percaya
dengan apa yang akan aku cakap. Ramona, aku nak jumpa kau sebenarnya mahu kau tolong
aku, tolong kembalikan aku ke Ciem Pang, tolong selamatkan Ciem Pang, tolong
kembalikkan Ciem Pang yang kian pulih dulu.

RAMONA
Demi bapak, cakapkanlah apa yang bapak fikirkan, apa yang Ramona kena buat untuk tolong
bapak.
CIKGU GADAK
Dalam kertas ini aku tuliskan rancangan aku, rancangan untuk selamatkan Ciem Pang. Aku
nak kau baca betul-betul dan fahamkan setiap apa yang tertulis. Kau saja yang aku harapkan.
Aku mahu kau buat kerja kau seperti biasa. Aku mahu kau lakukan tugas ini dengan lancar.
Aku mahu semuanya berjalan secara diam dan bersih.

RAMANO
Baik bapak. Saya faham, saya akan pastikan segalanya baik dan tersusun. Demi bapak!

CIKGU GADAK
Ini gerakkan senyap kita. Ini gerakkan…………

CIKGU GADAK berlalu meninggalkan RAMONA. Tiba-tiba LONG masuk.

LONG
Ramona, puas aku cari kau! Apa kau buat sini.

RAMONA
Tak buat apa-apa. (sembunyikan helaian kertas)

LONG
Dah jom balik. Kau tahukan ada kes rogol siang tadi. Tycoon suruh aku dan yang lain cari
siapa yang buat. Banyak pengkhianat kat Ciem Pang sekarang ni. Berani kau ke sini seorang
diri, tak takut kena rogol.

RAMONA
Tak. Aku ka nada kau Long.

LONG terlihat helaian kertas dibelakang RAMONA.

LONG
Apa yang kau pegang tu. Bagi sini aku tengok. Bagi sini Ramona!
RAMONA
Takde apa-apa lah Long.

LONG
Ramona demi Ciem Pang, demi Tycoon, bagi aku benda tu, kau tahukan kerja aku. Aku cuma
nak periksa. Bagi sini!!!

LONG cuba merampas tapi RAMONA cuba mempertahankan. Berlaku pergelutan antara
mereka. RAMONA tewas berada dibawah LONG. Tiba-tiba masuk korus dan MANAN.

KORUS 1
Hoi Long!! Apa yang kau buat!! Tangkap dia!!

LONG dipukul dan ditangkap KORUS dan terus dibawa pergi. Tinggal RAMONA yang
menangis dan MANAN terdiam lalu mengambil helaian kertas di tanah. MANAN membaca
dan terkejut.

RAMONA
Long tak salah. Dia nak ambik kertas tu aku tak bagi. Bapak tak nak siapa pun tahu. Bagi
balik Manan!!! Manan!!! Bagi balik!!

MANAN
Bawak aku jumpa Cikgu Gadak…. Ramona bawak aku jumpa Cikgu Gadak!!

Blackout.
BABAK 9
Adegan 1
WARTAWAN tekun mendengar penceritaan JAROK. JAROK terus bercerita.

JAROK
Manan menyertai rancangan Cikgu Gadak. Tak lama selepas itu Long kena sisih dari Ciem
Pang kerana dituduh melakukan jenayah rogol. Sebenarnya Pangsit yang merogol anak orang
kampong, demi menjaga nama baik orang kanan Tycoon itu, Tycoon telah menjatuhkan Long
dengan fitnah sebegitu. Manan yang tahu dengan berita itu, mula menjadi marah dan terus
berpaling tadah. Malam itu, malam itu tak ada sesiapa pun tahu, Manan masuk mengamok
dalam kelab dan menembak mati semua orang termasuk Pangsit.

Light crossfade.

Adegan 2
Muzik dimainkan kumpulan WHITE PERCUSSION mengalun dalam ‘Tycoon Mambo’.
MANAN kelihatan kecewa. RAMONA juga berwajah kelat dan diam membatu.

RAMONA
Impian hanya tinggal impian. Orang nak bermimpi, kita nak bermimpi…

MANAN
Kau jangan nak naikkan darah aku!

RAMONA
Ah, impian tak wujud untuk orang macam kita!

MANAN
Kau kata Tycoon ke sini malam tu!

RAMONA
Kenapa kau tak periksa dulu sebelum bertindak?

Keduanya terdiam seketika, melayan kekecewaan masing-masing.


RAMONA
Aku tahu kau takkan mengalah pada kebenarankan? Tapi, kenapa Pangsit? Kenapa semua
yang lain mesti mati? Mereka bukan Tycoon…

MANAN
Mereka sama saja! Tikus! Hidup berkumpulan., yang kuat makan yang lemah. Si tikus
lemah?! Apa jadi padanya? Siapa yang mencari makan pada ketua tikus tu? Tikus-tikus
macam kita, macam Long! Akhirnya..kita jadi makanan mereka saja.

RAMONA
Kau yang bersemangat dulu nak jaga Tycoon…

MANAN
Aku buta masa itu. Buta. Buta dengan mimpi aku untuk berjuang demi Ciem Pang.
Kesejahteraan Ciem Pang, datang daripada Tycoon..jadi..aku mesti berada di sisi Tycoon!

RAMONA
Sia-sia saja usaha kita. Sia-sia saja rancangan Cikgu Gadak, sia-sia saja impian kita…Entah
apa malangnya nasib Cikgu Gadak mempercayai kau sebagai ketua rancangan ini…

MANAN
Sebab itu kita mesti teruskan rancangan ini. Cikgu Gadak banyak berkorban untuk aku, untuk
kita. Kalau bukan kerana Cikgu Gadak yang sedar dengan muslihat Tycoon, kita semua
hanya akan jadi alat kekayaan untuk Tycoon Sobir selamanya!! Dan impian kita terkubur
selamanya!!

RAMONA
Aku tahu kau takkan berundur! Aku yakin dengan kau, tapi kau terlalu buas, aku tak mahu
orang-orang yang tak berdosa kau bunuh. Kita hanya nak bunuh Tycoon.

MANAN
Aku akan bunuh siapa saja Ramona! Siapa saja yang melindungi Tycoon. Aku takkan biarkan
tikus-tikus hamba itu terus mencarik-carik daging orang Ciem Pang ini! Demi kebenaran
Mun!!
Sayup-sayup terdengar laungan dari luar kelab.

PERUNDING
Manan! Baik kau menyerah. Tycoon akan maafkan kau jika kau menyerah!! Tycoon berjanji
akan memberi keadilan kepada kau! Menyerah Manan!

MANAN
Jangan kau sebut pasal keadilan bangsat!!! Celaka!! Aku bunuh kau semua sial!! Tikus
hamba!! Jilatlah Tuan kau!!!!

Mengacu pistol dan menembak bertalu-talu dari dalam kelab.

Blackout.

BABAK 10
Adegan 1
Sekumpulan KORUS melakukan formasi gerak dan gesture bagi mewujudkan visual yang
menarik bagi menyampaikan dialog.

KORUS
Manan amok terus mengamok!! Manan gila terus menggila!! Seiapa berani lawan Manan!!
Manan bunuh amok membunuh!! Semua mati demi mati!! Semua lari demi lari!! Banyak
makin banyak yang mati!! Manan tuntut Tycoon mati!! Manan mahu Tycoon rebah ke bumi!!
Tycoon resah terus gelisah!! Macam mana ni. Tycoon panggil Cikgu Gadak!! Tycoon guna
Cikgu Gadak!!

Adegan 2
RAMONA menyanyi diiringi kumpulan WHITE PERCUSSION di kelab ‘Tycoon Mambo’.
CIKGU GADAK dan MANAN merenung jauh mendengar alunan merdu suara RAMONA.
Sebaik saja lagu tamat, keduanya memberi tepukan. RAMONA tersipu-sipu tunduk hormat
dengan penuh bangga.

MANAN
Bapak bukan ke sini semata-mata untuk berhiburkan?
CIKGU GADAK
Sikap telus kau itu tak berubah.

RAMONA
Persembahan saya hebat tak bapak? Oh bapak, saya gembira kita dapat meraikan hari ini
dengan pejuang keadilan. Nanti saya datang balik! (Menepuk bahu CIKGU GADAK dan
beredar).

CIKGU GADAK
Kau bukan tikus lagi sekarang. Kau dah jadi makhluk lain yang sesat dalam gerombolan
tikus-tikus yang mabuk. Sebab itu kau masih nak bunuh Tycoon.

MANAN
Saya menegakkan keadilan. Cikgu teraniaya dulu, kini Long pula! Difitnah sampai semua
orang benci, sekarang cikgu dan Long masih bersembunyi. Saya juga tertipu oleh Tycoon,
nasib baik ada diantara kita sangat mempercayai cikgu dan merekalah menyedarkan saya dan
membawa saya kepada rancangan cikgu ini. Bukan itu saja, rampasan tanah beberapa buah
kampong di sekitar Pekan Ciem Pang bagi melaksanakan Projek Bandar Besar Ciem Pang
oleh Tycoon. Apa yang jadi pada Ciem Pang? Kita tak memiliki apa-apa. Tycoon telah
mengaburi kita semua dengan kesenangan hinggakan mereka tak tahu apa lagi impian kita!

CIKGU GADAK
Sekarang kau dah gagal laksanakan rancangan aku, kau gagal bunuh Tycoon, semua orang
kat luar sana tahu nama kau. Gerakkan senyap kita gagal dengan amokan bodoh kau ni. Apa
yang kau nak buat lagi sekarang, terus bersembunyi!!

MANAN
Saya nak tuntut supaya bersihkan nama Cikgu Gadak, saya nak tuntut rancangan Bandar
Besar dibatalkan dan bagi hak kepada semua orang di Ciem Pang, biar impian masyarakat
tercapai dengan adil dan Tycoon patut mati.

CIKGU GADAK
Oh itu rancangan kau sekarang, kalau Tycoon mati pada saat sekarang, yang mana orang luar
tahu siapa kau, apa keadilan untuk kau? Kau hanya berjuang untuk orang lain…
MANAN
Salahkah perjuangan saya? Cikgu juga pernah berkata yang keadilan milik semua.

CIKGU GADAK
Tetap akan jadi milik kau kalau kau menuntut hak kau sendiri! Kau perlu jaga diri kau sendiri
untuk menjaga semua perkara. Hak itu keadilan kau! Pekan ini memerlukan rakyat seperti
kau..

MANAN
Saya sekadar rakyat biasa bapak. Inilah tanggungjawab saya sebagai rakyat kerana pemimpin
itu sendiri lupa yang dirinya juga seorang rakyat. Biar saya, rakyat biasa ini membuka
matanya!

CIKGU GADAK
Aku perlukan kau jaga diri kau untuk jaga persaudaraan kita, jaga aku, jaga impian aku,
kerana aku masih punya impian Manan. aku masih…. Tapi kau terlalu buas… kau dengan
tindakan kau yang tidak teratur.

CIKGU GADAK bangun seperti mahu keluar dari kelab, RAMONA masuk terkejut CIKGU
GADAK mahu bergerak pulang.

RAMONA
Bapak mahu kemana?

CIKGU GADAK
Sebenarnya Manan, Ramona, aku datang di sini kerana disuruh oleh Tycoon untuk
menghentikan amokan kau ini Manan dan dia berjanji akan maafkan kau. Hentikan saja,
rancangan kita sudah gagal.

MANAN
Tidak cikgu!! Rancangan ini akan saya teruskan sampai berjaya. Tycoon kena mati!! Saya
tahu itu impian Cikgu!!! Saya akan laksanakan!! Beri saya peluang lagi cikgu!!!
CIKGU GADAK
Bagus, itu yang sebenarnya yang aku mahukan dari kau. Aku tahu kau takkan mengalah.
Ramona kau bantu Manan dan sekarang segalanya berjalan lancar, kau tahu tu Ramona.
Ramona aku nak kau masuk dalam. Aku nak berdua dengan Manan.(RAMONA masuk ke
dalam tanpa bantah, mengajak kesemua WPU keluar) Manan, aku bangga dengan kau! Aku
juga punya impian. Maafkan aku.(MANAN bingung, hanya diam).

PAK GADAK beredar ke pintu. MANAN mengumpul kekuatan. RAMONA kaku.

Lights crossfade.

Adegan 3
Kelihatan CIKGU GADAK keluar dari kelab. WARTAWAN dan JAROK sambung bercerita.

JAROK
Ketika saya melihat Cikgu Gadak melangkah keluar dari pintu kelab dia berada dalam
keadaan selamat. Selangkah demi selangkah saya perhatikan sehinggalah lebih kurang tiga
puluh meter dari kelab itu tiba-tiba Cikgu Gadak berhenti, dia memerhatikan sekeliling yang
dipenuhi masyarakat dan polis dari Bandar Besar yang sudah masuk ke Ciem Pang untuk
menahan Manan. Cikgu Gadak merenung dan berkata,

CIKGU GADAK berdiri kemas.

CIKGU GADAK
Kalau kita nampak seekor tikus berlegar tenang di satu kawasan itu, maka akan ada lebih
sejuta ekor yang lain sedang bersembunyi di kawasan yang sama. Sama ada kita bergerak
seorang diri ataupun kita bergerak bersama tikus-tikus itu atau jadi seperti tikus
itu……………., kita sendiri kena pilih….. dan Manan memilih bergerak seorang…….”

Kedengaran bunyi tembakkan yang kuat, tepat ke dada CIKGU GADAK. Rebah ke bumi.

Lights crossfade.
BABAK 11
Adegan 1
Kelab peribadi ‘Tycoon. MANAN menembak keluar kelab. LONG dan orang-orangnya di
luar kelab.

MANAN
Berambus kau semua bangsat! Bukan taraf aku berlawan dengan tikus-tikus hamba. Kau
masuk saja Long! Biar tikus-tikus bodoh itu di luar.

LONG masuk dengan waspada.

MANAN
Long. Tak sangka kau datang. Aku tahu kau datang untuk sama-sama berjuang, Long. Kita
akan balas dendam atas kematian Cikgu Gadak, juga untuk kau dan orang kampong

LONG
Memang aku datang kesini untuk membalas dendam. Aku datang untuk Tycoon, Aku datang
untuk bunuh kau!!

RAMONA
Kau datang menyebelahi siapa ni Long?

LONG
Aku takkan menyebelahi pembunuh Cikgu Gadak. Kau sanggup membunuh Cikgu Gadak
yang kita anggap bapak Manan!!

RAMONA
Apa!! (Menampar MANAN) Kau ni dah kenapa Manan!!! Itu bapak aku!!!!

MANAN
(MANAN menangkap RAMONA dan menolaknya ketepi) Apa yang kau cakap ni Long??
Jangan kau nak tuduh aku!
RAMONA
Kau sial Manan!!! Kau sial!!!

MANAN
Kau diam Ramona!! Long!! Apa yang kau cakap ni!!! Aku bunuh Cikgu Gadak??!!! Heh!!
Kau kena tipu dengan Tycoon sial!!! Hey sedar lah Long!!!

LONG
Kau memang tak tahu berfikir dari dulu lagi!!! Kau jadi sebodoh ini bila aku takde! Kau
memang bodoh!

MANAN
Aku tak sangka kau sebangsat ini! Nak membunuh aku untuk orang yang membuang kau
seperti sampah! Apa aku pada kau? Apa! Kau keluarga aku. Kau tahu kan, kau saja yang aku
ada...

LONG
Mimpi kau terlalu tinggi Manan. Tycoon mahu maafkan kau!!! Tycoon mahu bersihkan nama
aku!!! Tycoon mahu bersihkan nama Cikgu Gadak!!! Apa yang kau fikir bila Cikgu Gadak
datang jumpa kau semalam!!! Kita semua punya impian dan kau hanya pentingkan impian
kau saja!! Mana hak aku, hak cikgu, hak setiap orang!!

MANAN
Jangan kau nak mengajar aku tentang hak! Beri kemaafan…. Bersihkan nama….. alasan!
Kau tahu semua itu alasan untuk tawan kita lagi!!! Cikgu Berjumpa dengan aku utuk aku
teruskan pejuangan ini!! Kau tak nampak semua ni Long?? Kau sebenarnya pengecut Long!
Pengecut!

RAMONA
Manan!!! Sudah cukup!! Aku dah tak nak teruskan semua ni!! Aku nak kita semua
menyerah!!
MANAN
Apa??!! Sial!! Kau terlalu lemah Ramona!! Kita kena terus kan perjuangan ni!! Ini
perjuangan Cikgu Gadak!! Ini perjuangan Kita semua!!!

LONG
Kau yang hanya mementingkan diri sendiri saja Manan!

MANAN
Hei Long!! Kalau betul niat kau nak bunuh aku… silakan!! tapi aku takkan biarkan, aku juga
mahu bunuh kau yang dah jadi tikus hamba si celaka tu!!! Kemudian aku teruskan perjuangan
ini!!

RAMONA
Manan!! Cukup semua ni!! Aku nak kau berhenti!!! Kita menyerah saja!!!

MANAN
KAU DIAM!!!! Kalau kau mahu menyerah terpulang Ramona. Aku tidak, tapi setelah aku
selesaikan si pengecut ini aku akan bunuh kau pulak jalang!!! Mari Long mari bunuh orang
yang berjuang demi impian kau ini!!!

RAMONA menangis, LONG dan MANAN mula mahu bertumbuk sesame sendiri.

RAMONA
DIAM!!! Aku tak mahu dengar semua ini…. Aku tak mahu dengar pergaduhan ni!!! Aku
juga ada impian!!! Aku mahu semua orang gembira dengan aku!! Aku mahu miliki semua
orang!! Aku mahu jadi bintang!!! Kau semua pengecut mainkan muzik!!! Mainkan!! Aku nak
nyanyi akan hiburkan dua orang bodoh itu!!! Mainkan!!!
WPU memainkan muzik yang keras, mengiring nyanyian RAMONA dan juga pergaduhan
MANAN dan LONG. LONG dan MANAN terus bertumbuk dan kelihatan LONG semakin
tewas dengan kekuatan serta amokan MANAN. MANAN mengeluarkan pisau lalu mahu
menikam LONG yang kelihatan sudah lemah. RAMONA menyedari lalu mncapai pistol
MANAN yang ada diatas meja, lalu menembak MANAN yang belum sempat menikam
MANAN. LONG terkejut hanya melayan parahnya.
RAMONA
Impian adalah satu-satunya hak aku untuk hidup di masa hadapan. Aku takkan biar sesiapa
lagi rampas hidup aku…. (Masih mengacukan pistol kepada mayat MANAN) ….dan hanya
yang kuat berhak untuk bermimpi. (perlahan mengacukan pada LONG).

LONG
(Terkejut) Ramona!!! Apa kau……(BANG!!!!)

RAMONA menembak tepat ke jantung LONG. Long rebah tidak bernyawa.

Light crossfade.

Adegan 2
JAROK menghabiskan ceritanya.

JAROK
Tycoon selamat tapi dia dah nak letak jawatan pasal dah serik dengan amokkan Manan. Tak
tahu lah siapa yang akan ganti dia.

KORUS 1
Tuan, kita semua dah bersedia.

JAROK
Hhmm.. baiklah. (melihat wartawan semula) Jadi itu cerita dia yang sebenarnya. Kau balik
nanti jangan ada satu pun kau tukar. Kau faham!!

WARTAWAN
Baik lah tuan. Saya balik dulu. Terima kaseh kerana bantu saya. (WARTAWAN berlalu pergi.
JAROK melihat wartawan pergi.)
JAROK
Heh!! Bodoh!

KORUS 1 menyarungkan pada JAROK kot dan kemaskannya


Blackout.
BABAK 12
Suasana ‘Tycoon Mambo’ kembali meriah. TYCOON duduk ditempatnya dengan dikawal
rapi. RAMONA kembali menyanyikan lagu harapannya seperti di awal prolog diiringi
WHITE PERCUSSION. Sorakan dan tepukan silih berganti mengiringi nyanyiannya. Tiba-
tiba masuk seorang lelaki dan melepaskan tembakan membabi buta. TYCOON SOBIR mati
tertembak. Suasana kecoh. RAMONA dengan senyuman menghabiskan nyanyiannya. JAROK
masuk ke kelab sambil menepuk tangan. Dia terus ke kerusi TYCOON SOBIR menolak mayat
TYCOON jatuh ke bawah. JAROK duduk di kerusi itu lalu sambil memijak mayat tadi.

SEMUA
Demi Cikgu Gadak!!! Demi Cikgu Gadak!! Demi Cikgu Gadak!!!

Kemudian tiba-tiba RAMONA yang sudah berada di sebelah CIKGU GADAK mengacukan
pistol ke arah kepala CIKGU GADAK. Serentak dengan itu, semua orang di situ mengacukan
pistol kepada RAMONA dan perlahan-lahan mengalihkannya kepada CIKGU GADAK.
RAMONA SENYUM. Blackout. Bunyi tembakan senjata api yang banyak berulang kali.

TAMAT.

Anda mungkin juga menyukai