Anda di halaman 1dari 3

Hukum Menghantar Makanan Syubhah dan Tidak Halal

Pada masa kini, penghantaran makanan secara dalam talian bukan sahaja menjadi
trend, tetapi juga seakan-akan satu keperluan pula kerana ia menjimatkan masa kita tanpa
perlu keluar membeli makanan dan bersesak-sesak selepas seharian penat bekerja.
Penghantar makanan merupakan salah satu pekerjaan yang pada umumnya merupakan
pekerjaan yang diharuskan dalam syarak selagi ia tidak dikhususkan untuk kegiatan haram
atau jenayah. Akan tetapi ia akan berlaku perbezaan hukum jika ianya terlibat dengan
perkara-perkara yang syubhah dan haram seperti makanan yang diperbuat daripada bahan-
bahan yang haram menurut Islam. Sebagai seorang Islam, perlu kita fahami bahawa rezeki
yang halal datangnya daripada jalan yang halal dan tidak syubhah sepertimana dalam sebuah
hadis Nabi SAW :

“Daripada Abi Abdillah Nu’man bin Basyir, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah
SAW bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara
keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh
orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan
agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka
akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang
menggembala binatang gembalanya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya,
maka lambat laun binatang-binatang tersebut akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap
raja memiliki larangan dan larangan ALLAH adalah apa yang DIA haramkan. Ketahuilah
bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini
dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa dia adalah hati."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, kita dinasihatkan agar memilih pekerjaan atau menghantar makanan yang
jelas tidak mengandungi unsur-unsur haram atau syubhah kerana mengelak diri daripada
melakukan suatu perkara yang syubhah adalah lebih baik.

Akan tetapi terdapat beberapa keadaan yang berlaku perbezaan pendapat dalam
menghantar makanan tidak halal. Berikut saya kemukakan beberapa keadaan yang
berlakunya perbezaan hukum dalam keterlibatan menghantar makanan atau minuman yang
tidak halal :
1. Jika jelas diketahui makanan atau minuman yang halal melebihi yang haram, menurut
Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan pendapatan itu halal kerana Nabi
Muhammad SAW juga pernah berjual beli dengan orang musyrik dan ahli kitab dan
harta mereka diketahui bercampur halal dan haram.
2. Jika diketahui makanan atau minuman yang haram melebihi yang halal, menurut
Imam Ahmad lebih baik dielakkan pendapatan yang diperoleh itu kecuali jika ianya
sedikit atau sukar untuk diketahui.
3. Jika makanan atau minuman yang halal dan haram tidak dapat dibezakan,
pendapatannya tidak haram namun makruh mengambilnya. Imam Ibn Hajar al-
Haithami menjelaskan bahawa Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menukilkan
daripada Syeikh Abi Hamid dan beliau mengesahkannya bahawa makruh mengambil
daripada orang yang ditangannya ada harta halal dan harta haram seperti pemimpin
yang zalim dan berbeza tingkatan makruh sebagaimana kadar syubhah yang banyak.
4. Dimaafkan jika terdapat barangan sampingan ikutan (tabi') yang haram sedangkan
asal pekerjaannya adalah harus seperti menghantar pesanan makanan yang halal
namun terdapat ramuan atau bahan haram yang digunakan dalam makanan tersebut.
5. Jika makanan atau minuman zahir secara jelas tugasannya khas untuk membawa
barang-barang yang haram seperti arak, khinzir dan seumpamanya kepada bukan
muslim, maka itu adalah diharamkan dari segi syarak di sisi majoriti ulama

Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa hukum pekerjaan penghantar


makanan yang syubhah dan terdapat bahan yang tidak halal mempunyai beberapa
keadaan yang dibolehkan seperti yang dinyatakan. Akan tetapi, sebaiknya pilihlah
perkhidmatan atau menghantar makanan yang diyakini dari segi halalnya.
Rujukan

Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi. , al-Majmu' Syarh al-Muhazzab. Jeddah:

Maktabah al-Irsyad.

Umar. (2017, January 9). AL-KAFI #509: HUKUM BEKERJA DI KEDAI SERBANEKA

YANG MENJUAL ARAK. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2081-al-kafi-509-hukum-bekerja-di-

kedai-serbaneka-yang-menjual-arak

‌Muhammad Fathi Noordin. (2020, January 8). AL-KAFI #1508: HUKUM BEKERJA DI

SYARIKAT PENGEPOSAN YANG MELIBATKAN PENGHANTARAN ARAK. Pejabat

Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3950-

al-kafi-1508-hukum-bekerja-di-syarikat-pengeposan-yang-melibatkan-penghantaran-

arak

‌Mohamad Razif. (2017, February 7). IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-170 : PERSOALAN

BERKENAAN UBER DAN UBEREATS. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/2510-irsyad-al-

fatwa-series-170-the-issue-regarding-uber-and-ubereats

SINAR HARIAN. (2019, October 14). Bolehkah hantar makanan tidak halal,

syubhah? Sinar Harian; Sinar Harian.

https://www.sinarharian.com.my/article/51996/sinar-islam/bolehkah-hantar-makanan-

tidak-halal-syubhah

Anda mungkin juga menyukai