Anda di halaman 1dari 3

Mental sihat adalah matlamat utama untuk sesebuah negara kekal sejahtera dalam membangun

komuniti bebas masalah jiwa. Ini kerana pandemik Covid-19 yang bergelombang selama beberapa fasa
telah mengungkap pelbagai bentuk isu dan permasalahan sakit mental sehingga mencatatkan insiden
bunuh diri yang tertinggi dalam negara.

Jika dahulu, bunuh diri adalah tingkah laku yang jarang berlaku dan janggal dalam masyarakat Malaysia,
namun kini ia menjadi polemik yang semakin membimbangkan apabila peratusan dan angka bunuh diri
dilihat kian meningkat saban tahun. Statistik yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
menunjukkan jumlah kes bunuh diri sebanyak 1,099 dicatatkan sejak 2020 sehingga Mei 2021.

Angka ini amat menyedihkan dan ia adalah penanda aras terhadap tahap kesihatan mental rakyat
Malaysia yang dilihat kian parah.

Pandemik yang melanda negara selama hampir dua tahun ini adalah faktor penyumbang kepada
masalah kesihatan mental bagi kebanyakan individu, yang seterusnya meningkatkan risiko tingkah laku
bunuh diri.

Hakikatnya, wabak yang melanda seluruh dunia ini dilihat seperti tiada kesudahan. Tambah merisaukan
apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran tentang kemunculan varian Delta
yang cepat merebak dan sentiasa bermutasi sehingga mengakibatkan dunia kini dalam keadaan bahaya.

Rata-rata rakyat Malaysia terutama dalam kalangan B40 begitu terkesan dengan pelaksanaan prosedur
operasi standard (SOP) dalam norma baharu ini. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan sumber
pendapatan. Ada juga yang bergelut dengan konflik rumah tangga dan perceraian. Tidak ketinggalan
juga, ramai rakyat Malaysia yang mengalami gangguan emosi dan masalah kesihatan mental seperti
kemurungan, kebimbangan dan panik yang disebabkan oleh keadaan tekanan yang melampau susulan
isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

Susulan itu, Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada setiap tanggal 10 September
bermula 2003 merupakan salah satu langkah proaktif yang ditunjukkan oleh WHO setelah mendapati
bunuh diri adalah isu sejagat yang sangat serius.

Ia juga membawa simbolik keprihatinan seluruh warga dunia terhadap isu bunuh diri yang kian
meruncing. 'Bertindak Segera, Harapan Terbina' merupakan tema bagi sambutan pada kali ini. Ia
bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah
insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri. Dalam mendepani
situasi dan cabaran pandemik Covid-19, ahli keluarga khususnya haruslah lebih peka dan bergerak
secara bersama dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan serta tingkah laku bunuh diri dalam
kalangan orang yang disayangi.

Sambutan sebegini hakikatnya memberi nafas baharu kepada individu yang mengalami tekanan dan
masalah mental untuk tidak mengambil tindakan bunuh diri sebagai jalan terakhir terhadap kemelut
masalah yang dihadapi.

Tambahan pula, tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada tahun ini juga menjadi satu wadah
dalam merealisasikan harapan semua pihak untuk melihat penurunan kes bunuh diri ini. Pemerkasaan
institusi kekeluargaan adalah sangat penting dan signifikan dalam membantu individu yang mempunyai
masalah kesihatan mental untuk tidak terjebak ke arah kancah bunuh diri. Pengesanan awal gejala
kemurungan, stres dan hopeless (hilang harapan) boleh mengelak daripada berlakunya kes bunuh diri
sebelum terlambat. Perbuatan membunuh diri ini boleh dihalang sekiranya individu di sekeliling
terutama ahli keluarga, pasangan dan sahabat terdekat peka dengan perubahan sikap yang dialami oleh
pelakunya. Gejala seperti sering menunjukkan emosi yang tidak stabil iaitu cepat marah, menangis
sepanjang masa, rasa bersalah dalam diri yang berlarutan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu,
hilang minat untuk meneruskan aktiviti harian seperti mengelak daripada berinteraksi dengan keluarga,
rakan dan masyarakat adalah petanda awal bahawa individu ini perlu dibantu. Gejala lain seperti
cenderung untuk mengasingkan diri, perubahan bentuk fizikal yang mendadak seperti kehilangan berat
badan, corak tidur yang tidak menentu sama ada kurang tidur atau tidur secara berlebihan dan selalu
letih juga adalah tanda-tanda amaran bahawa individu ini perlu mendapatkan rawatan dan khidmat
daripada kaunselor serta pakar psikiatrik agar masalah atau penyakit yang dialami tidak melarat dan
membawa kepada kecenderungan membunuh diri.

Umumnya, dari sudut pandang psikologi kehidupan seseorang sangat dipengaruhi oleh tahap kesihatan
mental. Gangguan terhadap kesihatan mental merupakan punca utama yang mendorong individu
bertindak untuk membunuh diri. Konsep 'Cry for help' atau menangis untuk bantuan sering digunakan
bagi kes percubaan membunuh diri. Bagi individu yang sihat mental, mereka cenderung untuk menjalani
kehidupan dengan harmoni serta dapat membentuk perhubungan yang baik dengan masyarakat dan
persekitaran. Hal yang sebaliknya berlaku dalam diri individu yang mempunyai idea untuk bunuh diri.

Tindakan bunuh diri sebagai penyelesaian akhir mengundang kepada pelbagai implikasi dan menerjah
batas norma kehidupan serta makhluk ciptaan Allah SWT. Adakah amalan agama yang goyah
mendorong individu terjebak dalam gejala bunuh diri? Asasnya, membunuh diri bermaksud perbuatan
mengambil nyawa sendiri dengan sengaja. Sekiranya perbuatan itu gagal, ia dinamakan cubaan
membunuh diri. Dalam Islam, perbuatan membunuh diri adalah dilarang dan ia merupakan salah satu
perkara yang membawa kepada dosa besar. Allah SWT melarang hamba-Nya daripada melakukan
perkara yang boleh membinasakan diri sebagaimana firmannya dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang
bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan."
Tambahan itu, hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim ada menyatakan natijah yang
akan diterima seseorang membunuh diri dalam hadis bermaksud: "Sesiapa yang membunuh diri dengan
sesuatu cara, pada Hari Kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula."

Oleh itu, masyarakat perlu cakna aspek kesihatan mental sekali gus memainkan peranan dalam
mengatasi kes bunuh diri daripada berleluasa. Sentiasa menghulurkan bantuan sama ada dari segi
kewangan dan menjadi pendengar yang baik kepada individu yang memerlukan sokongan. Keberadaan
seseorang di sisi individu yang mempunyai kecenderungan bunuh diri sangat diperlukan untu k
mengelakkan keadaan bertambah buruk. Oleh itu, sentiasa memberi kata semangat dan menjadi
penyokong kepada individu yang mengalami masalah pada saat ini. Hal ini dapat mengubah keadaan
dan memberi peneguhan kepada mereka untuk meneruskan hidup dan sentiasa mencari jalan
penyelesaian pada setiap masalah yang dihadapi.

Kesimpulannya, masyarakat perlulah sedar dan peka terhadap aspek kesihatan mental diri, keluarga,
jiran tetangga serta masyarakat setempat agar kita semua dapat hidup dengan harmoni dan te nteram.
Setiap daripada kita perlu bijak menyalurkan segala tekanan dan apa jua permasalahan yang dihadapi
pada tempat dan cara yang betul. Terdapat pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan
badan bukan kerajaan bagi membantu individu yang sedang bergelut dengan emosi dan tekanan
kehidupan yang menyesakkan terutama di kala tsunami wabak Covid-19 yang melanda ini. Justeru,
sebagai rakyat Malaysia, kita harus bijak mengambil ruang dan peluang ini untuk menyelesaikan
permasalahan yang dialami. Bukannya dengan mengambil jalan singkat atau short-cut dengan
membunuh diri. Ingatlah, pepatah Melayu ada mengatakan 'ikut hati mati, ikut rasa binasa'. Janganlah
diikut rasa hati yang resah dan gundah gulana kerana kelak badan sendiri yang binasa.

Penulis Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains
Islam Malaysia (Usim)

Anda mungkin juga menyukai