Anda di halaman 1dari 5

OLE-OLE SUBJEK BAHASA

MELAYU TINGKATAN 3 - 2022


ARAHAN:

1. SILA SALIN KARANGAN YANG DIBERI.

2. TIDAK DIBENARKAN COPY & PASTE. KARANGAN HARUSLAH DI SALIN


MENGGUNAKAN PEN DI ATAS KERTAS KAJANG. (TULIS TANGAN)

3. SILA HANTAR TUGASAN ANDA PADA GURU SUBJEK MASING-MASING.

4. SELAMAT BERCUTI & TERIMA KASIH


KARANGAN 1 (TEMA SEKOLAH)
Contoh Karangan Cara-Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah Dengan Aktiviti Berfaedah

Cuti sekolah merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar samada sekolah rendah
mahupun sekolah menengah. Mereka tidak perlu lagi mengikuti rutin harian yang memerlukan mereka
untuk bangun di awal pagi dan bersiap untuk ke sekolah. Sebaliknya, mereka bebas untuk menyusun
jadual harian mereka berbeza jika dibandingkan dengan norma hari persekolahan. Namun begitu,
peribahasa Melayu berkata, masa itu emas. Justeru, ibu bapa dan adik-beradik yang telah dewasa wajar
membimbing ahli keluarga yang masih bersekolah untuk memanfaatkan cuti persekolahan mereka
dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Antara langkah untuk memanfaatkan cuti sekolah pelajar adalah dengan melancong secara
domestik atau ke luar negara. Objektif utama cuti persekolahan adalah untuk memberi istirehat kepada
pelajar dan guru-guru terutamanya yang telah berminggu-minggu berusaha memberikan yang terbaik
dalam pembelajaran dan pengajaran. Oleh itu, cuti sekolah adalah masa untuk mereka berehat dan
meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Melancong dapat mengalihkan perhatian pelajar
khususnya yang akan menduduki peperiksaan awam kepada perkara yang lebih seronok seperti
bermandi-manda di pantai atau air terjun. Bagi pelajar sekolah rendah pula, terdapat banyak tempat
pelancongan yang menarik dan berfaedah bagi mereka seperti muzium, pusat sains dan zoo. Oleh itu,
ibu bapa boleh merancang dengan bajet yang mengikut kemampuan masing-masing untuk membawa
anak-anak melancong ke tempat yang belum pernah dikunjungi pada waktu cuti persekolahan.

Selain itu, cuti persekolahan boleh dimanfaatkan dengan bergotong-royong membersihkan


rumah dan kawasan sekitar. Mutakhir ini, ibu dan bapa dalam keluarga mempunyai kerjaya atau perlu
bekerja demi menampung keperluan diri dan keluarga. Maka, kerja-kerja di rumah kadang-kala terabai
dek kerana kekangan masa dan keletihan setelah bekerja. Oleh itu, bagi membalas jasa dan kudrat yang
telah diusahakan oleh ibu bapa, anak-anak seharusnya membantu mereka membuat kerja-kerja rumah
seperti mengemop lantai, membersihkan tingkap dan kipas serta mengemas pakaian. Pada permulaan
mungkin ibu bapa akan mendapati sukar untuk mengajar anak-anak dalam membuat kerja-kerja rumah
kerana mereka leka dengan telefon dan gajet. Tetapi kalau bukan ibu bapa, siapa yang akan mengajar
mereka untuk berdikari dan berdisiplin menjelang mereka dewasa kelak? Bak kata peribahasa Melayu,
sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Mula mengajar anak-anak kerja rumah yang mudah dan tingkatkan
kemahiran mereka secara berperingkat. Pasti hasilnya akan memberi manfaat kepada ibu bapa dan
pelajar itu sendiri.

Sebenarnya, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelajar semasa cuti persekolahan yang
boleh mendatangkan manfaat kepada pelajar. Antaranya adalah dengan menyertai kem motivasi diri
atau ibadah. Anak-anak ibarat kain putih yang memerlukan ibu bapa menggunakan strategi, kemahiran,
kepakaran dalam mencorakkan jati diri mereka. Dengan menyertai kem motivasi, pelajar dapat
membentuk dan meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan cabaran dunia yang kian
menguji minda serta fizikal untuk kuat, pantas, cekal dan mampu bertahan dengan ujian yang akan
datang. Di samping itu, menghantar anak-anak ke kem ibadah mampu meningkatkan pengetahuan dan
pemahaman mereka tentang ilmu berkaitan solat, doa harian, zikir, bacaan dan hafazan Al-Quran.
Maka, anak-anak akan mendapat sesuatu yang berharga dimana mereka tidak dapat di sekolah dan nilai
jati diri serta ilmu keagamaan tersbut mampu melahirkan generasi yang lebih berjaya di masa hadapan.

Akhir sekali, cuti sekolah boleh dimanfaatkan dengan melakukan ulang kaji pelajaran
khususnya untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Waktu terluang yang banyak memberikan
kelebihan kepada pelajar untuk membuat latihan tambahan ataupun menyiapkan kerja sekolah yang
diarahkan oleh guru-guru di sekolah. Secara peribadi, mengulang kaji pelajaran di rumah adalah lebih
efektif kerana pelajar boleh fokus dan belajar dalam keadaan yang lebih kondusif. Sebagai
perbandingan, di sekolah pelajar berkongsi satu bilik darjah bersama lebih 20 ke 30 orang pelajar lain
tetapi di rumah pelajar boleh menelaah buku atau membuat latihan secara bersendirian. Tambahan pula,
kemudahan gajet dan telefon pintar hari ini memberikan kelebihan dimana pelajar boleh merujuk
maklumat yang diinginkan secara dalam talian.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk mendapat manfaat
sepanjang cuti persekolahan berlangsung. Ia bergantung kepada kesedaran diri atau ibu bapa yang ingin
mencari aktiviti yang mendatangkan faedah kepada pelajar sepanjang tempoh tersebut. Cuti sekolah
bukanlah bermaksud pelajar akan cuti daripada belajar. Sebaliknya, pelajar harus mengisi masa terluang
itu dengan pelbagai aktiviti yang dicadangkan di atas bagi mendapatkan faedah yang berbeza. Jika
mereka gagal menggunakan masa dengan baik sudah pasti diri mereka sendiri akan mengalami
kerugiannya terutamanya dalam kalangan rakan sebaya. Semoga setiap ahli masyarakat cakna dan peka
terhadap anak-anak kecil ini yang berpotensi menjadi pemimpin negara kita suatu hari nanti dengan
memastikan masa cuti persekolahan mereka diisi dengan perkara yang memberi manfaat.

KARANGAN 2 (TEMA KESIHATAN)


Kesan Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan

Dalam meniti kehidupan pada marcapada, pelbagai urusan yang harus dilaksanakan serta
memakan masa individu tersebut sehinggakan lumrah manusia seperti makan dan minum semakin
sukar. Kesibukan mengejar matlamat atau cita-cita hidup membuatkan kita alpa untuk mengambil serius
dalam pemakanan kita dengan mengambil makanan segera sebagai rutin demi menjimatkan masa.
Makanan segera seperti burger dan mee segera adalah makanan yang telah diproses dan mengandungi
pelbagai bahan kimia yang mampu memudahkan pemakanan dan menambah tempoh luput makanan
tersebut. Kandungan dalam makanan tersebut yang menjadi punca utama keburukan mengambil
makanan segera secara kerap.

Kesan paling buruk dalam pengambilan makanan segera adalah menyebabkan seseorang itu
mengalami penyakit-penyakit kronik. Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan
makanan segera adalah penyakit darah tinggi dan kencing manis. Kandungan kolesterol dan kadar gula
yang amat tinggi pada makanan segera akan mengganggu fungsi badan kita bagi merembes bahan-
bahan yang tidak diperlukan dalam badan. Sekiranya amalan gaya hidup yang sihat dan pemakanan
yang seimbang tidak dipraktikkan oleh semua golongan di Malaysia, kadar kesihatan akan menjunam
dan akan merosakkan imej negara kita. Persis kata peribahasa Melayu, sesal dulu pendapatan, sesal
kemudian tiada guna yang bermaksud fikirlah tindakan kita hari ini sebelum mendapat akibatnya kelak.

Selain itu, kekerapan pengambilan makanan segera akan menyumbang kepada masalah obesiti.
Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa Malaysia merupakan negara pertama dalam kedudukan
rakyat yang mempunyai masalah kegemukan. Faktor harga yang murah dan akses yang mudah bagi
mendapatkan makanan segera menjadi punca rakyat di negara ini suka membeli makanan segera
berbanding memasak makanan yang lebih berkhasiat. Lambakan snek-snek makanan ringan yang tidak
berkhasiat juga menjadi punca kepada masalah obesiti ini di mana konsumer utama terdiri daripada
kanak-kanak yang lebih gemar kepada makanan segera. Hal ini perlu diberi perhatian oleh pihak
Kementerian Kesihatan supaya dapat mencari jalan mengurangkan masalh obesiti disamping
meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keburukan makanan segera.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan pengambilan makanan segara akan membantut
pertumbuhan kanak-kanak. Kanak-kanak seharusnya memakan makanan yang mengandungi zat dan
khasiat yang cukup bagi mencapai pertumbuhan diri yang ideal. Kenakan yang berbeza berbanding
sayur-sayuran dan makanan berkhasiat yang lain membuatkan kanak-kanak lebih gemar untuk makan
makanan segera yang menepati cita rasa mereka. Kelalaian ibu bapa yang kerap membawa mereka ke
restoran makanan segera akan menjadi tabiat yang buruk untuk di amalkan. Ibu bapa sepatutnya
bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memakan makanan yang berkhasiat agar mendapat
faedah dikemudian hari. Pertumbuhan yang ideal generasi muda perlu menjadi agenda utama dalam
melahirkan genarasi pemimpin masa hadapan negara yang kompetitif dan berwawasan.

Pengambilan makanan segara juga akan mengakibatkan kesan buruk seperti mengurangkan
daya produktiviti seseorang. Sebagai contoh, golongan pelajar universiti yang kerap memakan mee
segera untuk menjimatkan perbelanjaan harian akan menghadapi kemelesetan dalam aktiviti harian dek
kerana kekurangan tenaga dan khasiat. Golongan pelajar seharusnya memberikan keutamaan pada diri
mereka supaya berketrampilan baik dan meyakinkan justeru pemakanan yang seimbang dan sihat dapat
menjamin daya keberkesanan pelajar di dalam kelas. Tambahan pula, aplikasi penghantaran makanan
yang semakin berkembang hari ini juga menjadikan rakyat kita semakin malas jika dilihat pada sudut
yang negatif. Intihannya, kemudahan teknologi dan kegawatan ekonomi hendaklah dihadapi dengan
bijak agar mendapat manfaat yang positif lagi menguntungkan.

Konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawasanya pengambilan makanan segera akan
memberikan pelbagai kesan buruk kepada semua golongan tidak kira individu atau masyarakat.
Benarlah seperti telahan orang tua-tua, jangan ambil senang jika tidak mahu susah. Inilah musibah
apabila masyarakat terlalu memilih jalan mudah termasuk dalam hal makan minum. Prakarsa yang
efektif perlu di atur oleh pelbagai pihak terutamanya kerajaan dalam memastikan rakyat mempunyai
kesedaran akan keburukan pengambilan makanan segera serta kesannya terhadap diri dan negara.
Marilah kita bersama-sama mengorak langkah dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera
sekaligus memacu negara ke arah kecemerlangan sejagat.

Ⓒ Artikel Asal Di : https://www.ipendidikan.my/kesan-buruk-pengambilan-makanan-segera.html

Anda mungkin juga menyukai