Anda di halaman 1dari 7

WARKAH BUAT ALI

Ditulis oleh: Nurul Hanani Bt Badri (6 Sabar)

Nama aku Ali. Tahun ini umur aku genap 16 tahun. Aku paling tidak suka pergi ke
sekolah. Tetapi disebabkan mak ayah aku sering memaksa, aku gagahkan juga diri
untuk ke sekolah. Jika tidak, rotanlah yang menjadi habuan. Aku terkenal dalam
kalangan guru-guru di sekolah dengan rekod disiplin yang agak mengecewakan.
Tetapi aku tidak kisah, asalkan aku dapat buat apa sahaja yang aku suka di sekolah.

Hampir semua guru di sekolah hampir berputus asa untuk terus menasihati aku.
Namun, hanya seorang guru yang tidak pernah jemu melakukannya. Siapa lagi jika
bukan Ustaz Ahmad. Dialah satu-satunya guru yang banyak memberi aku teguran
namun semua tegurannya bagaikan mencurah air ke daun keladi. Apa yang keluar
daripada mulut Ustaz Ahmad memang tidak dinafikan dapat menyentap hati. Tetapi
tidak cukup menyentapkan hati aku kerana ego aku lebih kuat menafikan segala
yang diperkatakan olehnya.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai jenis denda sudah aku rasai. Berdiri di tapak
perhimpunan, kutip sampah, bersihkan tandas dan bermacam-macam lagi. Namun
semuanya tidak mampu menghentikan aku daripada melanggar disiplin sekolah.
Namun sejak belakangan ini, denda yang dikenakan Ustaz Ahmad semakin
melampau bagi aku. Aku disuruh menjadi imam ketika solat zohor di surau sekolah
dan aku dipaksa membaca khutbah di tapak perhimpunan.

“Dari Abdullah bin ‘Amrin bin Ash RA. ia berkata, Nabi SAW telah bersabda:
Keredaan Allah itu terletak pada keredaan kedua ibubapa, dan murka Allah itu
terletak pada murka kedua ibubapa. Hadis riwayat At-Tirmizi."

Aku memandang pelajar-pelajar di hadapan aku sekilas dengan perasaan gentar


sebelum menyambung kembali.

"Kita mestilah taat dan patuh pada perintah ibu bapa. Begitu juga dengan guru-guru,
kita perlu mendengar nasihat mereka dengan baik kerana mereka ialah ibu bapa kita
di sekolah. Allah murka terhadap hamba-Nya yang derhaka terhadap kedua ibu
bapanya."
Selepas daripada perhimpunan tersebut, perasaan marah aku pada Ustaz Ahmad
semakin membuak-buak. Aku tahu dia sengaja memalukan aku di hadapan semua
pelajar dan guru. Disebabkan perasaan marah yang tidak dapat dikawal, aku
merancang untuk membalas dendam pada Ustaz Ahmad. Kerana ketika ini, bisikan
syaitan lebih kuat berbanding iman. Jadi, aku merancang untuk pancitkan tayar
kereta ustaz. Namun nasib aku kurang baik. Zaid, pengawas sekolah juga
merangkap kawan baik aku ternampak perbuatan aku.

"Aku tak boleh rahsiakan perkara ni Ali. Ini tugas dan tanggungjawab aku," tolak
Zaid apabila aku memujuknya untuk tidak memaklumkan apa yang telah dia lihat.

"Kau ni lagi lebihkan ustaz tu ke daripada kawan baik kau sendiri?" Aku terus cuba
mengumpannya.

"Bukan macam tu," dalih Zaid.

"Kau ni memang hipokritlah, Zaid? Konon kawan baik. Kawan baik apa yang
sanggup jatuhkan kawan dia sendiri? Kau sukalah kan tengok aku kena denda
bagai."

"Aku tak pernah pun fikir macam tu." Cepat-cepat Zaid menggeleng.

"Sudahlah! Suka hati kaulah kau nak buat apa pun!" Suara aku naik seoktaf lalu aku
beredar meninggalkan Zaid tanpa sedikit pun berpaling ke belakang.

Sejak daripada itu, hubungan aku dengan Zaid yang sudahpun renggang
bertambah retak. Kami bagaikan tidak mengenali antara satu sama lain, padahal aku
dan dia telah berkawan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Kami bagaikan isi
dengan kuku. Kami bermain bersama, makan bersama, belajar bersama dan banyak
lagi. Tetapi apabila masuk sekolah menengah, aku dan dia tidak lagi sekelas. Zaid,
berada di kelas yang pertama manakala aku, kelas terakhir. Dia ada kawan baharu,
begitu juga aku. Akhirnya aku dengan haluan aku dan dia dengan haluannya sendiri.

Disebabkan aku telah terkantoi dalam misi memancitkan tayar Ustaz Ahmad, aku
membuat keputusan untuk menggunakan plan B. Hampir satu sekolah mengetahui
bahawa Ustaz Ahmad amat menyukai dan menyayangi kucing. Terdapat seekor
kucing oren yang selalu berada bersama Ustaz Ahmad di sekolah. Dan aku,
merancang untuk membunuhnya. Aku tiada pilihan lain dan aku terpaksa. Jadi aku
memasukkan satu racun dalam bekas makanan yang selalu digunakan oleh Ustaz
Ahmad untuk memberi kucing oren itu makan. Terbit rasa kasihan dalam diri aku
apabila kucing oren itu memakan makanannya dengan penuh selera. Namun
semuanya sudah terlambat.

"Maafkan aku."

Tanpa aku sedar, aku menangis.

Keesokan harinya, berita teatang kucing oren itu ditemukan mati berlegar di mulut
para Pelajar dan guru. Dan mereka memberitahu betapa sayunya hati Ustaz Ahmad
apabila dia mengetahuinya lalu ustaz menanam kucing tersebut dengan tangannya
sendiri. Aku rasa sangat bodoh. Bagaimana aku sanggup membunuh kucing yang
tidak bersalah demi kepuasan hati sendiri? Aku rasa bagaikan dihimpit satu bebanan
perasaan yang tidak dapat aku ungkapkan.

Dan pada hari yang sama, aku dipanggil berjumpa dengan Ustaz Ahmad. Dan
itulah benda terakhir yang aku mahukan. Apabila tiba di biliknya, aku langsung tidak
sanggup menatap wajahnya. Bukan seperti sebelum ini. Aku hanya menununduk ke
bawah, memandang lantai beralaskan tikar getah di dalam bilik tersebut.

"Ali, kamu tahu ke kucing oren saya tu dah mati?" soal Ustaz Ahmad senada.

"Ta... Tak tahu." Aku cuba mengawal suara aku untuk kekal tenang, namun
kecundang. Jelas suara aku bergetar seperti ketakutan.

"Baguslah," kata Ustaz Ahmad tenang umpama jawapan itu melegakannya.

Namun wajah ustaz mengatakan sebaliknya. Wajahnya mendung tanpa ekspresi.


Matanya redup memandang ke arah aku sekali gus membuatkan aku diselubungi
rasa bersalah.
"Saya sayangkan kucing tu, Ali. Dia teman saya. Dia buat saya gembira. Walaupun
dia hanya seekor kucing. Walaupun dia tak boleh bercakap sekalipun. Saya tetap
sayangkan dia."

Aku diam, kerana aku tidak pasti apa yang perlu aku ucapkan. Semua perasaan
bercampur-baur. Marah, sedih, menyesal. Bagaikan menikam hati secara bertubi-
tubi.

"Saya juga sayangkan kamu, Ali. Sebab tu saya buat macam-macam dekat kamu.
Supaya kamu sedar. Supaya kamu tak ulang kesalahan kamu."

Aku cuba mengangguk perlahan sambil cuba menahan mutiara jernih daripada
mengalir keluar dari kelopak mata. Saat itu aku sedar yang perasaan dendam aku
selama ini tiada guna. Perasaan itu lama-kelamaan memakan diri aku. Memakan
sifat belas kasihan dalam sanubari aku.

"Dan saya harap, kucing saya mati bukan disebabkan kamu. Kucing tu makhluk
yang tak bersalah, Ali. Sesiapa yang menyakitinya akan dibalas dengan balasan
yang dahsyat, apatah lagi yang membunuhnya," ujar Ustaz Ahmad perlahan,
bagaikan dia tahu perkara yang terjadi. Bagaikan dia sudah dapat meneka siapakah
dalang di sebalik semua yang telah berlaku.

Apa aku dah buat, Ya Allah? Kejamnya aku. Apakah sudah lesap semua perasaan
belas kasihan dan perikemanusiaan dalam diri aku?

"Jangan buat saya kecewa lagi, Ali."

Itu kata-kata terakhir Ustaz Ahmad sebelum dia menyuruh aku kembali ke kelas.
Anehnya, aku hanya menurut tanpa banyak soal. Mungkin kerana aku tahu, aku
yang bersalah. Beberapa hari kemudian, aku langsung tidak nampak kelibat Ustaz
Ahmad. Selalunya aku akan mengelak berjumpanya. Namun kali ini aku pula yang
mencarinya.

"Cikgu ada nampak Ustaz Ahmad tak?" tanya aku pada seorang cikgu. Dengan
harapan, aku dapat menemui Ustaz Ahmad secepat mungkin.
"Setahu cikgu, Ustaz Ahmad tak datang ke sekolah hari ni."

"Tak datang? Kenapa?"

"Dengar kata, dia sakit."

Aku mahu terus bertanya namun yang keluar hanyalah ucapan terima kasih.
Pelbagai persoalan mula bermain di minda. Kenapa ustaz sakit? Ustaz sakit apa?
Bila dia boleh datang ke sekolah? Aku menunggu penantian ustaz hari demi hari.
Kerana aku tekad untuk berterus-terang dan memohon maaf. Walaupun mungkin
aku tidak akan dimaafkan setelah apa yang telah aku lakukan.

Selepas seminggu, penantian aku akhirnya tamat. Zaid datang ke kelas aku
dengan wajah yang sugul lalu memanggil aku.

"Ada apa nak jumpa aku?"

"Ustaz Ahmad dah tak ada," ucap Zaid sambil memandang lantai.

Aku cuba menafikan apa yang aku dengar.

"Apa kau cakap ni, Zaid? Ustaz Ahmad pergi mana?"

"Ustaz Ahmad telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi."

Aku menggeleng laju. Menidakkan kebenaran yang telah aku dengar.

"Kau tipu. Minggu lepas dia sihat aje. Kau penipu." Air mata mula bertakung,
menunggu saat untuk mengalir.
"Aku tak tipu, Ali. Dia terkena serangan jantung selepas solat subuh pagi tadi. Aku
tahu kau terkejut, tapi terimalah kenyataan yang Ustaz Ahmad dah pergi." Zaid
menatap aku dengan serius, tiada tanda-tanda bahawa ini adalah sebuah gurauan.

Dan saat itu, aku kecundang. Air mata laju membasahi pipi. Masa bagaikan
terhenti buat seketika. Aku mula menyesali segala perbuatan aku. Segala dosa aku.
Aku seorang yang mengecewakan. Terlampau banyak dosa aku terhadap ustaz dan
aku tidak sempat memohon maaf buat kali terakhir. Zaid pantas memeluk aku bagi
menyalurkan semangat. Setelah aku sedikit tenang, Zaid melepaskan pelukan.

"Jom kita tengok jenazah ustaz buat kali terakhir,” ajak Zaid. Aku menangguk sekali.
Lalu Zaid meminta bantuan seorang cikgu untuk membawa kami bersama untuk
pergi ke tanah perkuburan.

Kami tiba di sana tepat-tepat sebelum jenazah dikuburkan. Dan aku sempat
menyaksikan segala urusan pengebumian dilakukan di hadapan mata. Aku dan
orang lain membacakan Yassin buat ustaz dan kami mendoakan dia supaya
ditempatkan di kalangan orang-orang beriman Tetapi, aku masih terasa bebanan
yang berat kerana tidak sempat memohon maaf sebelum arwah pergi. Selepas hari
tersebut, aku sering melawat ke rumah ustaz untuk menghadiri majlis tahlil.

Suatu hari, isteri Ustaz Ahmad mendekati aku dan menyerahkan sepucuk surat
kepada aku.

"Rasanya ini milik kamu. Daripada arwah." Itu sahaja yang dikatakan isteri ustaz
sebelum dia berlalu meninggalkan aku dengan tanda tanya.

Sebaik sahaja aku pulang ke rumah, aku terus membaca surat tersebut di dalam
bilik. Di sampul surat itu tertulis, 'Buat Ali'. Aku membaca isi surat tersebut satu
persatu.

Assalamualaikum, Ali.

Tujuan ustaz menulis surat ini adalah supaya kamu tahu yang kamu sebenarnya
budak yang baik. Pertama kali ustaz jumpa kamu, ustaz tertarik untuk kenal kamu.
Ketika itu, kamu sedang memberi makan seekor kucing terbiar di sekolah. Jadi
ustaz membuat andaian bahawa kamu seorang pencinta kucing.

Walaupun rekod disiplin kamu agak teruk, ustaz tahu masih ada kebaikan dalam diri
kamu. Jadi ustaz cuba tarik kamu ke arah kebaikan. Ustaz cuba didik kamu, namun
tidak semudah yang disangka.

Walau bagaimanapun, ustaz nak kamu tahu yang ustaz tak pernah marahkan kamu.
Mungkin kadang-kadang ustaz kecewa, namun ustaz harap kamu dapat ubah
kekecewaan ustaz kepada perasaan bangga. Ustaz maafkan segala kesalahan
kamu.

Dan ustaz nak kamu tahu, Allah tu Maha Pengampun. Kambalilah ke jalan-Nya.
Insya-Allah semua urusan kamu akan dipermudahkan. Ustaz sentiasa mendoakan
kamu, Ali :)

Apa yang aku mampu lakukan selepas membaca surat itu hanyalah menangis.
Surat ustaz bagaikan merawat luka di hati. Dan mulai detik itu, aku tekad yang aku
akan berubah.

Aku tidak lagi melakukan kesalahan seperti dahulu. Kadang-kadang aku menjadi
imam di sekolah. Malah aku juga sudah berjinak-jinak dengan aktiviti sukarelawan.
Apabila ada masa terluang, aku akan pergi ke tempat-tempat kucing terbiar dan
memberi makan kucing-kucing terbiar. Dan ada kalanya, Zaid turut sama turun
padang. Zaid banyak bantu aku untuk berubah. Berubah demi kebaikan. Berubah
demi Allah Yang Maha Besar.

Anda mungkin juga menyukai