Anda di halaman 1dari 2

Bismillahirrahmanirrahim,Assalamualaikum wbt.

Andai patah sayap rajawali, Bertongkat jua saya ke mari, Bukan untuk mencari calon suami, Sebaliknya untuk membawa sekalian hadirin, memahami, meneliti juga menelusuri mauduk bicara yang berbunyi Remaja Malaysia Hari Ini. Terima kasih,sejambak mawar seharum kasturi,sekalung apresiasi saya hulurkan buat yang dihormati teraju perdana majlis bijak bestari,Tuan Pengetua yang Dihormati, barisan guru yang disegani seterusnya hadirin,hadirat,tuan-tuan,puan-puan,saudara-saudari sekalian audiens yang ceria di hati,tinggi pekerti. Salam perpaduan bertatahkan intan kemesraan. Hadirin, bicara perdana saya pada hari ini berdasarkan persoalan sejauh manakah pencapaian remaja Malaysia dalam meniti arus pembangunan Saya kecilkan definisi dengan menumpukan sekitar persoalan pencapaian remaja Malaysia selepas lebih 50 tahun kita merdeka. Frasa capai atau pencapaian mengikut kamus Dewan Edisi Terbaru adalah bermaksud prestasi.Remaja pula ialah mereka yang berada dalam usia peralihan dari kanak kanak ke dewasa. Tuntasnya, definisi pidato saya adalah tertumpu dalam skop prestasi remaja Negara Malaysia selepas kemerdekaan pada tahun 1957. Hadirin,perhatian hadirin, Marcapada ini, remaja Malaysia semakin berintegriti,dalam diri masing masing sudah tersemat satu misi.Andainya kita menilai secara teliti, remaja kita hari ini sudah mampu setanding dengan remaja-remaja Eropah. Ini terbukti melalui kejayaan 3 orang serikandi Sekolah Tunku Kurshiah mengondol pingat dalam pertandingan reka cipta yang bertaraf antarabangsa.Hal ini ternyata seiring dengan puisi, Yang muda yang Berkuasa Yang muda yang Perkasa Yang muda yang Berjaya Yang muda yang Bijaksana Yang muda tetap pemuda Hidup pemuda hiduplah bangsa! Sidang saksi berintegriti,saudara dan saudari, Andai tadi,saya memuji, tibalah saat untuk mengeji. Dunia hari ini sudah penat, menyaksikan masalah sosial dalam kalangan remaja semakin melarat, seks bebas dijadikan adat,hubungan sejenis mula mendapat tempat,untuk berjaya ilmu tidak lagi diangkat sebaliknya amalan nepotisme yang menjadi syarat.Adakah ini hanya perlu untuk dilihat atau harus segera diubat,jawapannya ada dalam diri anda wahai masyarakat. Warga dewan penjunjung impian penggerak wawasan, Pelbagai usaha telah dirintis,untuk melahirkan barisan remaja yang harmonis. Hari ini,saya amat berbangga dengan kewujudan variasi program untuk golongan belia seperti Program Latihan Khidmat Negara, program PERMATA serta aneka lainnya. Memang benar, ramai anak muda kita yang cemerlang,gemilang juga terbilang namun entah di mana silapnya,masih ada yang menjadi petualang. Tampaknya,sudah tiba masa untuk kita meletakkan satu matlamat,kita hidup bermuafakat dalam kepelbagaian budaya masyarakat, yang berat sama dipikul,yang ringan sama dijinjing,hati gajah sama

dilapah,hati kuman sama dicecah,gunung sama didaki,lurah sama dituruni semoga anak-anak kita di suatu hari nanti dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sidang hadirin pemangkin kegemilangan, Konklusinya, remaja hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Gagahnya remaja perkasalah bangsa, runtuhnya remaja hancurlah negara. Maka, ayuhlah kita bangun,bangun wahai remaja 1 Malaysia untuk mempertahankan martabat bangsa, memperjuangkan maruah agama dari dijajah buat kali kedua. Mantan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir pernah berkata, untuk mendapatkan kemerdekaan amatlah payah,namun untuk mempertahankannya bertambah susah.Sekian,terima kasih

Anda mungkin juga menyukai