Anda di halaman 1dari 2

Pembinaan Insan Seimbang

Oleh Mohd. Helmi Ahmad Pendidikan merupakan alternatif terbaik untuk melahirkan insan yang memahami persekitaran, sensitif kepada keperluan semasa, serta mampu menangani pelbagai permasalahan. Semua ini dilaksanakan mengikut acuan sendiri supaya mempunyai jati diri yang bercirikan prinsip ketimuran agar mampu mengubah dan membina generasi yang produktif. Pelbagai program dirancang bagi memperkasakan sistem pendidikan di Malaysia. Perancangan ini dilakukan untuk menyatupadukan sistem pendidikan agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, penumpuan juga diberikan kepada tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama. Antaranya termasuk meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu, mengukuhkan keupayaan sains, penyelidikan dan pembangunan (P&P), penerapan inovasi, memupuk masyarakat berbudaya, serta memiliki kekuatan moral. Strategi ini mampu menyuntik keupayaan seseorang pelajar supaya lebih dinamik dalam apa-apa jua bidang yang diceburi. Bertitik-tolak daripada pendidikan prasekolah yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak yang berusia seawal lima hingga enam tahun, kanak-kanak ini diasuh minda dan pemikirannya supaya menjadi insan yang memiliki nilai yang baik bagi membentuk nilai ketamadunan tinggi. Tambahan pula, pada ketika inilah pemikiran mereka mudah dipengaruhi dengan apa-apa sahaja sama ada positif atau negatif. Langkah ini diambil untuk memastikan bakal guru prasekolah yang benar-benar layak dari segi akademik dan sahsiah diri dipilih. Dalam mendepani globalisasi, hanya guru prasekolah yang benar-benar berkelayakan dipilih. Kebanyakan guru muda yang mengajar pendidikan prasekolah merupakan guru lepasan diploma, manakala guru sedia ada diberikan kursus tambahan supaya mereka cukup terlatih untuk mengajar kanak-kanak selaras dengan perkembangan teknologi. Tambahan pula, penggunaan Kurikulum Kebangsaan Pendidikan Prasekolah bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun diwajibkan di semua prasekolah mulai 2003 untuk menjamin kualitinya. Penetapan kurikulum ini penting untuk memperkasakan sistem pendidikan prasekolah. Selepas melalui zaman prasekolah, pelajar memulakan alam persekolahan rendah dan menengah. Kerajaan menyusun satu strategi yang membolehkan sistem persekolahan rendah dan menengah dijalankan secara menyeluruh seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN). FPN menggariskan bahawa kaedah yang perlu dilalui ke arah mencapai matlamat berkenaan adalah secara berterusan, menyeluruh, dan bersepadu (Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010).

Kepentingan Modal insan


Tulisan kolumnis Karim Raslan melalui ruangan Ceritalah: Indonesia Mengajar menarik perhatian penulis. Selama ini, penulis hanya terdedah kepada program pendidikan yang diterajui para sukarelawan dari negara Barat, seperti Peace Corps dari Amerika Syarikat, atau pertubuhan kebajikan atau bersifat keagamaan dari negara atas angin lain dan kurang tahu tentang program berkonsep serupa di rantau Nusantara. Penulis berpendapat program seumpama ini belum sampai masanya dipraktikkan di negara kita atau negara lain di sekitar Asia Tenggara. Hal ini dikatakan demikian kerana tatkala persoalan mengisi perut sendiri belum kita selesaikan, bagaimanakah pula kita hendak memikirkan hal mengisi perkara lain? Namun, ternyata Anies Basdewan mengetepikan tanggapan ini dalam mengasaskan program transformasi pendidikan Indonesia Mengajar yang mengetengahkan modul pengajaran dan pembelajaran yang memfokuskan pembinaan modal insan. Apakah itu modal insan, atau yang lebih penting lagi, mengapakah modal insan dibentuk dan dijanakan dalam sesebuah masyakat dan komuniti? Modal insan merupakan salah satu aset penting sesebuah negara. Modal insan merupakan sumber yang boleh diperbaharui kerana dibekalkan secara berterusan oleh populasi sumber manusia. Di rantau Asia Tenggara, bekalan sumber manusia tidak pernah berkurangan, melainkan kadar pertumbuhannya yang dewasa ini menurun di beberapa negara yang sedang pesat membangun. Sumber manusia amat penting dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara. Maka wajarlah sumber manusia yang menjadi tunjang sesebuah negara itu mempunyai kualiti dan kebolehan yang dapat meningkatkan harga modal insan itu sendiri. Inisiatif Anies Bandewan ini sesuatu yang wajar diraikan dan disokong. Selain membentuk generasi muda menjadi modal insan yang mampu memanfaatkan negara, program Indonesia Mengajar juga mempunyai impak tersendiri kepada sebilangan individu yang telah sedia ada dalam pasaran sumber manusia Indonesia. Penulis tertarik dengan Junareh yang memilih untuk meningkatkan modal insannya dengan membantu orang lain tanpa taasub untuk mengenyangkan perut sendiri!

Anda mungkin juga menyukai