Anda di halaman 1dari 13

ISU DAN CABARAN PENGURUSAN SESEBUAH ORGANISASI BAGI MELAHIRKAN SUMBER MANUSIA YANG CEMERLANG 1. Pengenalan.

Isu dan cabaran pengurusan sumber manusia dalam melahirkan warga cemerlang telah menerima liputan meluas di media massa dan media cetak pada masa kini. Antara isu dan cabaran yang diperkatakan adalah seperti isu :(i) ketidakseimbangan gender dalam pasaran pekerjaan, (ii) imbuhan dan pelarasan gaji, (iii) etika dan integriti, (iv) tekanan kerja, stres dan burn out, (v) gangguan seksual, (vi) kepemimpinan, (vii) penilaian prestasi dan pemberian insentif, (viii) globalisasi pendidikan, (ix) teknologi ICT (x) jaminan kualiti kehidupan, (xi) penyediaan peluang pekerjaan, (xii) latihan sumber manusia dan pembangunan . Kesemua isu ini sebenarnya menjadi penghalang kepada organisasi untuk melahirkan warga yang cemerlang. Oleh yang demikian, sesebuah organisasi perlu mempertimbangkan kaedah dan langkah yang sesuai bagi mengatasinya. Ini akan menjadi satu cabaran kepada organisasi terutama apabila cabaran-cabaran itu akan melibatkan faktor dasar, implikasi kewangan, budaya, kepercayaan, pembangunan dan pengurusan sumber manusia. Oleh yang demikian, perkara yang akan dibincangkan di dalam penulisan ini adalah lebih memfokuskan kepada isu dan cabaran dari aspek sumber manusia, globalisasi, imbuhan, kualiti kepimpinan, pengurusan dan tekanan kepada organisasi di dalam melahirkan warga cemerlang. Mengikut Kamus Dewan (2007) ia menerangkan bahawa isu ialah perkara atau persoalan pokok sesuatu perkara. Isu menampilkan suatu tajuk atau fokus perbincangan yang menjadi buah mulut atau tajuk utama khususnya pihak media massa. Manakala cabaran pula adalah perkara yang perlu dihadapi jika ingin menyelesaikan sesuatu isu. 2. Isu Sumber Manusia Dalam konteks sumber manusia, pelbagai isu telah diketengahkan khususnya yang berhubung kait pembangunan, perancangan dan pengurusan sumber manusia yang menjadi tonggak sesebuah organisasi. Berdasarkan Ab. Aziz Yusoff (2006), sumber manusia ialah asset terpenting organisasi sama ada organisasi perniagaan yang mengutamakan aspek-aspek produktiviti, kualiti, kepuasan pelanggan, keuntungan dan viability ataupun organisasi awam yang mementingkan kualiti perkhidmatan, keberkesanan kos serta kepuasan dan keselesaan pelanggan. Untuk menghasilkan warga yang cemerlang di dalam sesebuah organisasi Pengurusan sumber manusia

perlu mempunyai strategi yang mampan dan berkesan. Ia merujuk kepada cara dan pendekatan yang digunakan oleh organisasi untuk mengurus dan mengawal aktiviti yang berkaitan dengan sumber manusia dalam organisasi agar selari dan mencapai matlamat organisasi (Faridahwati Mohd Shamsudin et al. 2006). Manakala Sarimah Hanim pula berpandangan bahawa pengurusan sumber manusia. merupakan suatu pendekatan pengurusan strategik yang melibatkan elemen terpenting dalam organisasi iaitu individu yang menyumbangkan idea, kepakaran dan tenaga ke arah pencapaian objektif organisasi. Dalam tempoh sepuluh tahun yang lepas, negara telah melalui pelbagai perubahan persekitaran yang mempunyai impak mendalam ke atas pembangunan, perancangan serta pengurusan sumber manusia seperti globalisasi, ASEAN Free Trade Area (AFTA), World Trade Organisation (WTO), kemelesetan ekonomi dunia serta perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan komunikasi. Perubahanperubahan yang ditampilkan ini memberi kesan yang mendalam ke atas pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial serta perundangan negara. Dalam aspek pengurusan sumber manusia, perubahan-perubahan ini merupakan cabaran yang telah menimbulkan pelbagai isu terkini yang memerlukan semakan semula beberapa dasar dan peraturan. YB Datuk Wira Dr. Fong Chan Onn Menteri Sumber Manusia, dalam ucapan beliau di Persidangan Perancangan Strategik Kementerian Sumber Manusia pada September 2004, menggariskan empat isuisu terkini yang merupakan cabaran semasa Negara. Isu-isu tersebut ialah : (i) isu mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing; (ii) delivery system; (iii) penguatkuasaan undang-undang; (iv) pengeluaran tenaga mahir Dalam membicarakan pengurusan sumber manusia secara am, Ab. Aziz Yusof (2006), June (2006), Sarimah Hanim (2006) dan Maimunah Aminuddin (2003) menyenaraikan beberapa isu berbangkit sedia ada yang berhubung kait pengurusan sumber manusia dalam organisasi. Isu-isu tersebut merangkumi; (i) Persekitaran pengurusan sumber manusia yang mencakupi pengaruh diversiti, (ii) kekurangan tenaga kerja mahir, (iii) impak globalisasi, (iv) pengaruh perubahan, (v) keprihatinan terhadap isu etika, (vi) keadilan pekerja; (vii) persekitaran perundangan; (viii) perekrutan dan pemilihan pekerja; (ix) latihan dan pembangunan pekerja; (x) pembangunan kerjaya pekerja; (xi) penilaian prestasi; (xii) pengurusan pampasan dan faedah;

(xiii) kesihatan dan keselamatan pekerja; (xiv) keganasan di tempat kerja; (xv) gangguan seksual di tempat kerja; Manakala cabaran semasa yang berbangkit berhubung kait pengurusan sumber manusia pula termasuklah; (i) pengaruh faktor persekitaran seperti perubahan teknologi dan trend pekerjaan; (ii) keperluan kepada penggubalan serta pindaan undang-undang dan peraturan kerajaan yang relevan; (iii) pengaruh globalisasi; (iv) kemasukan buruh asing yang telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pelbagai kelompok masyarakat. Sehubungan itu cabaran yang dihadapi dalam pengurusan sumber manusia perlu ditangani dengan bijak melalui penggemblengan usaha antara pemimpin, majikan, golongan pekerja dan masyarakat secara keseluruhannya. Ini bagi memastikan kesemua isu dapat diatasi dengan baik. Jika perkara ini tidak ditangani dengan betul dan teliti ia boleh mengakibatkan kesan dan implikasi yang buruk ke atas sesebuah organisasi di dalam melahirkan warga cemerlang dan seterusnya ia boleh menjejaskan imej serta reputasi sesebuah organisasi atau masyarakat. 3. Isu Globalisasi Pada masa kini, isu globalisasi telah muncul hasil daripada cantuman pelbagai proses transnasional dan struktur domestik yang membolehkan ekonomi, politik, budaya dan ideologi sesuatu negara menerobosi sempadan negara lain (Abdul Rahman Embong, 2000). Secara langsung isu ini akan memberikan kesan ketara ke atas pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi itu sendiri sebenarnya adalah asas kepada bentuk pembangunan sumber manusia (Norani, 2000) dan seterusnya membentuk generasi warga cemerlang. Justeru itu keupayaan organisasi untuk menilai, mengikuti dan mentafsir isu globalisasi merupakan cabaran yang amat mendesak kerana ia akan menentukan keupayaan daya saing organisasi di dalam melahirkan warga cemerlang. Oleh yang demikian, satu pendekatan secara menyeluruh, sistematik dan strategik yang meliputi pelbagai aspek termasuk perancangan, latihan, perkembangan kerjaya, keselamatan dan kesihatan, kebajikan, penilaian prestasi, aspek disiplin serta ganjaran adalah cabaran yang perlu ditangani dengan baik bagi mengelakkan daripada timbulnya beberapa isu lain yang memudaratkan imej dan reputasi sesebuah institusi itu khasnya di dalam usaha melahirkan warga cemerlang di dalam masyarakat atau organisasi. 4. Imbuhan Imbuhan merupakan daya penarik sama ada bagi mereka yang inginkan sesuatu pekerjaan atau bagi memotivasikan para pekerja dalam sesebuah organisasi. Menurut Maimunah Aminuddin (2003) antara kebaikan memberi imbuhan kepada pekerja termasuklah: (i) membantu menarik pekerja baru untuk bekerja dengan organisasi; (ii) membantu mengekalkan pekerja sedia ada dalam organsiasi; dan

(iii) meningkatkan semangat para pekerja yang dapat menyumbang kepada produktiviti yang lebih tinggi. Imbuhan yang paling biasa diharapkan oleh pekerja ialah ganjaran wang ringgit. Gaji atau upah merupakan balasan asas yang diterima oleh pekerja atas sumbangan yang diberikan. Oleh sebab tiada satu peruntukan undang-undang yang menetapkan gaji atau upah minimum pekerja di Malaysia, maka organisasi berhak menetapkan kadar gaji atau upah untuk pekerjanya (Faridahwati Mohd Shamsudin et al., 2006). Kepentingan imbuhan yang paling utama ialah dapat mempengaruhi pekerja untuk membentuk tingkah laku yang dikehendaki oleh organisasi (Bergmann et al., 2002). Amat penting untuk menentukan bahawa imbuhan yang diberikan sebagai balasan perkhidmatan adalah mencukupi. Perkara sebaliknya akan mengakibatkan pelbagai kesan negatif terhadap organisasi. Ini adalah cabaran yang sering membantuk usaha organisasi di dalam melahirkan warga yang cemerlang kerana jika pekerja tidak berpuas hati dengan imbuhan yang diterima, melalui Kesatuan Sekerja, mereka boleh melancarkan mogok, menggugat produktiviti organisasi dengan cara ponteng kerja, melengah-lengahkan kerja atau tidak hadir kerja. Keadaan ini boleh mewujudkan suasana yang tidak sihat bagi perkembangan sesebuah organisasi. Banyak masa, usaha dan tenaga akan ditumpukan kepada usaha mencari jalan persefahaman daripada menggunakan sumber-sumber itu kepada usaha melahirkan warga yang cemerlang. Dasar imbuhan atau bayaran oleh organisasi adalah penting kerana ini akan menjadi asas pembangunan sistem imbuhan untuk tujuan penyelarasan, ketekalan dan keadilan dalam organisasi. Bagi Mondy & Noe (2005), salah satu aspek penting dalam pentadbiran imbuhan yang perlu diambil kira ialah keadilan atau ekuiti dalam pemberian imbuhan. Keadilan bermaksud tanggapan pekerja bahawa mereka dilayan secara adil.Terdapat dua jenis keadilan iaitu :(i) keadilan luaran dan (ii) keadilan dalaman. Keadilan atau ekuiti luaran bermaksud pekerja dalam organisasi dibayar pada kadar yang sama dengan pekerja lain dalam organisasi lain yang melakukan tugas yang sama. Di sini letaknya cabaran yang perlu ditanggung oleh majikan atau organisasi. Sebagai contohnya seperti isu pelarasan gaji kakitangan awam yang telah diumumkan oleh Kerajaan pada pertengahan tahun 2007 telah membangkitkan isu pemampatan gaji. Pemampatan gaji merupakan suatu situasi yang wujud apabila pekerja memberi tanggapan bahawa perbezaan gaji antara mereka (sama ada pekerja gred lebih tinggi atau lebih rendah daripada mereka) terlalu kecil (Zafir dan Fazilah, 2003). Tanggapan ini adalah cabaran yang perlu ditangani oleh pihak majikan kerana ia selalunya dibangkitkan oleh pekerja yang sudah lama berkhidmat atau mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi tetapi menerima imbuhan yang lebih rendah. Isu ini telah dilaporkan secara meluas dalam media massa. Formula pelarasan gaji yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bagi pelarasan gaji telah dianggap menimbulkan diskriminasi terhadap guru yang mula berkhidmat sebagai guru bukan siswazah tetapi kemudiannya melanjutkan pelajaran dan dilantik sebagai guru siswazah. Terdapat perbezaan gaji yang ketara antara guru sedemikian dengan guru yang tidak menyambung pelajaran.

Dalam menyelesaikan isu pemampatan gaji ini, beberapa cadangan yang boleh diusulkan termasuklah (Berita Harian, 16 Julai 2007): (i) Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) perlu membuat memorandum kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyemak semua anomali pelarasan gaji yang berbangkit; (ii) Jawatankuasa khas perlu ditubuhkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menyelesaikan isu ini; dan (iii) Polisi Kementerian Pelajaran dalam menggalakkan peningkatan kualiti akademik perlu diselaraskan dengan polisi pelarasan atau kenaikan ganjaran dan pangkat. 5. Kepemimpinan Bagi mewujudkan warga yang cemerlang, isu kepemimpinan di dalam organisasi juga memainkan peranan kerana terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh organisasi. Pengurusan yang baik bermula daripada pemimpin yang bijak merancang, melaksana, mengurus dan mengawal atau memantau pengimplementasian sesuatu yang telah dirancang dan sumber-sumber di bawah kawalannya. Corak kepemimpinan haruslah menjurus kepada usaha meningkatkan produktiviti kecemerlangan sehingga akhirnya mencapai zero defect. Menurut Moa Tze Tung, pemimpin yang berkesan adalah jinak seperti kucing dan garang seperti harimau. Oleh itu, seseorang pemimpin perlu mempunyai keseimbangan emosi dan perasaan. Hal ini selaras dengan Wawasan Pendidikan yang mahu mencapai empowerment dengan tujuan mengubah cara berfikir, bekerja, mengurus, menyelia, berhubung dan bertindak. Dalam mengurus sumber manusia, pemimpin mempunyai cabaran dimana ia harus memberikan tumpuan kepada matlamat organisasi, mengatur dan menyelenggara tugasan, menugaskan kerja, menjalinkan saluran komunikasi, menggariskan hubungan dengan orang bawahan dan menilai prestasi kumpulan kerja. Pemimpin akan menugaskan pekerja dengan tugasan tertentu, mengekalkan piawai prestasi yang jelas, menekankan had waktu perjumpaan, menggalakkan penggunaan langkah-langkah yang serupa, memberitahu pekerja apa yang diharapkan daripada mereka, dan memastikan pekerja bekerja mengikut kebolehan. Berdasarkan Koontz & Weilhrivh (1992), cabaran yang kuat kepada corak kepimpinan adalah sejauh mana kemampuan dan kebolehan kepimpinan tersebut untuk mengubah sikap dan tindakan subordinat yang berada di bawah pengaruhnya. Cabaran ini merangkumi semua aktiviti, perlakuan, kemahiran, sikap dan pengetahuan yang mencerminkan kebolehan dan kesediaan untuk mempengaruhi, menggerakkan, membimbing dan melatih individu ke arah mencapai objektif warga yang cemerlang di dalam organisasinya. Kepemimpinan sekolah, menurut Omardin Ashaari (1996) adalah proses pengetua mendapatkan kerjasama individu yang bertugas di bawah arahannya dalam menuju ke arah penyempurnaan matlamat. Kejayaan sekolah banyak bergantung pada kepemimpinan pengetuanya. Pengetua yang cemerlang perlu bijak mengarah dan mengurus sumber manusia yang berada di bawah tanggungjawabnya. Para pengetua perlu diberi pendedahan mengenai ilmu kepemimpinan instruksional sebagai persediaan untuk mentadbir dan mengurus sekolah (Yahya Don, 2007). Ini adalah cabaran yang memerlukan perungkaian isu dengan bijak dan tersusun. Kegagalan mengurus sumber manusia dengan baik boleh membangkitkan pelbagai isu, antaranya:

(i) persekitaran tempat kerja yang tidak kondusif; (ii) proses pembelajaran dan pengajaran yang sering terganggu; (iii) senggaraan infrastruktur fizikal dan bukan fizikal yang tidak teratur; (iv) penggunaan dan pengagihan sumber yang tidak optimum; dan (v) masalah etika dan integriti. Oleh itu, kegagalan menguruskan isu ini ia akan mendatangkan pelbagai implikasi negatif yang dalam jangka masa panjang bakal menggugat usaha di dalam melahirkan warga yang cemerlang. 6. Etika Dan Integriti Pekerja Berdasarkan Ab. Aziz Yusof (2006), etika dalam erti kata sebenarnya ialah persoalan moral yang membicarakan betul atau salah, benar atau tidak, dan perkara yang perlu dibuat atau ditinggalkan. Etika dalam pengurusan bermaksud menerapkan nilai-nilai moral seperti disiplin, garis panduan, tatasusila, peraturan, polisi dan segala unsur positif yang dapat membantu pengurus menjalankan tanggungjawab dengan berkesan. Integriti ialah satu kualiti dan ciri positif yang wujud secara keseluruhan pada individu dan organisasi. Ciri dan kualiti integrity mengandungi unsur-unsur wholeness (kewujudan secara bersepadu sebagai keseluruhan) pada diri individu atau organisasi. Dalam akhlak Islam, integriti bersesuaian dengan sifatsifat benar, amanah, setia, pegangan teguh, peribadi teguh, peribadi mulia, mukmin yang bertaqwa, dan sebagainya, yang membawa pengertian menyeluruh pengamalan dan nilai-nilai akhlak yang diperlihatkan dalam diri Rasulullah S.A.W.(Tuan Asmawi, 2006). Dalam sektor perkhidmatan awam pelbagai dasar, peraturan, pekeliling dan garis panduan telah digubal bagi memastikan etika dan integrity dihayati oleh penjawat awam. Antara dokumen yang relevan termasuklah: (i) Teras Perkhidmatan Awam; (ii) Tonggak 12 Perkhidmatan Awam; (iii) Dasar Pandang Ke Timur; (iv) Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran; (v) Kepimpinan Melalui Teladan; (vi) Gerakan Budaya Kerja Cemerlang; (vii) Pengurusan Kualiti dan Anugerah Kualiti; (viii) Konsep Perkhidmatan Cemerlang. Tujuan etika perkhidmatan awam adalah untuk: (i) meningkatkan mutu perkhidmatan awam; (ii) memelihara kepercayaan awam; (iii) memupuk tanggungjawab bersama; (iv) mewujudkan suasana sihat dan cekap; (v) mengeratkan hubungan sesama kakitangan; dan (vi) membentuk sikap dan pembawaan yang sesuai dengan Rukun Negara.

Nilai murni yang telah digariskan dalam perkhidmatan awam adalah: (i) adil dalam pelantikan (ii) amanah dalam menjalankan tugas; (iii) bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan; (iv) ikhlas dalam perkhidmatan awam; (v) dedikasi dalam perkhidmatan awam; (vi) telus dalam perkhidmatan awam; dan (vii) berdisiplin dalam perkhidmatan awam. Dalam membincangkan persoalan etika dan integriti penjawat awam dalam pendidikan, satu demi satu kejadian salah laku guru terhadap murid kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan masyarakat dan memerlukan tindakan segera serta menyeluruh oleh kerajaan bagi menyekat sindrom cikgu ganas ini daripada terus berlaku. Sepanjang bulan Julai 2007, terdapat sekurang-kurangnya enam kejadian mengenai salah laku guru dilaporkan media, termasuk kes guru menghadapi pertuduhan mencabul pelajar, ditahan kerana disyaki menghisap dadah. manakala Februari lalu seorang guru wanita didakwa mengetuk kepala pelajarnya dengan kasut tumit tinggi. Pada bulan Julai 2007, akhbar Berita Harian telah melaporkan bahawa seorang guru warden wanita Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, Sibu, telah terbabit merendam 200 pelajar perempuan dalam kolam. Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Profesor Madya Mohd Ali Hassan, berkata satu suruhanjaya khas sepatutnya ditubuhkan kerana masalah membabitkan guru tidak boleh dipandang remeh memandangkan perkara ini berkaitan barisan yang membentuk generasi masa depan. Katanya, suruhanjaya itu perlu bertanggungjawab mengkaji segala masalah berkaitan kerjaya perguruan dan pada masa sama menyiasat semua kes yang berlaku bagi mendapat gambaran sebenar, seterusnya mencadangkan jalan penyelesaian. Menurutnya lagi, banyak faktor mendorong guru bertindak ganas sehingga tergamak mencederakan murid. Faktor paling utama ialah dibelenggu tekanan. Terdapat guru tidak berminat menjadi guru, tetapi terpaksa menjadi guru sehingga mereka melaksanakan tanggungjawab secara sesuka hati. Ada juga guru tertekan kerana gaji dan kemudahan dinikmati tidak setimpal dengan tanggungjawab yang perlu dipikul. Hal ini kerana kebelakangan ini banyak aktiviti atau program yang harus mereka selia dan hadiri di sekolah, sedangkan pada masa sama mereka juga harus menunaikan tanggungjawab lain, terutama menguruskan keluarga sendiri. Apa yang berlaku dikhuatiri mengganggu pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, terutama teras kelima iaitu memartabatkan profesion perguruan. Dalam mengatasi pelbagai masalah etika yang berbangkit dalam pendidikan, beberapa cadangan boleh dikemukakan sebagai kaedah membendung gejala ini daripada berleluasa, temasuklah: (i) Menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelidik punca dan mencadangkan penyelesaian kepada salah laku guru di sekolah; (ii) Memastikan guru-guru yang dilantik untuk memikul tanggungjawab tambahan diberi latihan yang relevan dengan peranan dan tanggungjawab tersebut; (iii) Memastikan pengagihan tugas yang seimbang dalam kalangan guru;

(iv) Mempelbagaikan latihan kerjaya dengan memasukkan aspek psikologi ke dalam latihan, contoh, kursus motivasi, bimbingan kaunseling dan sebagainya; dan (v) Mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan menyeronokkan. 7. Tekanan Kerja / Isu Stres Dalam memastikan produktiviti dipertingkatkan, sering kali pekerja dibebani dengan tugas dan tanggungjawab tambahan. Pada tahun 2005, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tahap stres dalam kalangan guru di negara ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang meningkat. Menurut Presiden NUTP, Ismail Nihat, guru-guru kini terpaksa berhadapan dengan perubahan demi perubahan dalam bidang pendidikan sehingga wujudnya beban yang keterlaluan. Beliau mengatakan bahawa apabila ada pegawai baru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri atau di peringkat Kementerian, terdapat banyak idea dan tugasan baru yang harus dipikul oleh guru. Bebanan ini terus berlaku dalam keadaan jumlah guru yang tidak seimbang dengan peningkatan jumlah murid, projek banyak tetapi guru sedikit. Menurut beliau lagi, walaupun kedengaran pelik tetapi semua pihak harus menerima hakikat bahawa masalah yang dihadapi oleh golongan guru menjurus kepada tekanan mental dan emosi berbanding fizikal, seterusnya menjejaskan keupayaan dan kepercayaan mereka terhadap diri sendiri untuk mencapai matlamat melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkualiti. Selain itu, beliau menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan stres dalam kalangan guru iaitu: (i) Harapan ibu bapa terlalu tinggi kepada guru kerana sering mahukan pencapaian terbaik pelajar. (ii) Masalah disiplin pelajar yang semakin sukar dikawal termasuk melibatkan keselamatan guru. (iii) Pelajar-pelajar semakin cerdik berbanding guru ekoran akses pendidikan yang semakin canggih dan meluas. Selain stres diakibatkan oleh tekanan kerja, para guru juga berhadapan dengan masalah burn out. Secara perbandingan, masalah burn out ini juga dialami oleh sejumlah besar guru di Switzerland berpunca daripada pelajar dan peningkatan beban kerja pentadbiran. Aduan mereka ini telah menyebabkan Kesatuan Perguruan dan pakar-pakar pendidikan berusaha mencari kaedah untuk menangani situasi tersebut. Menurut Beat Zemp, Ketua Kesatuan Perguruan terbesar di Switzerland, There is a lot of dissatisfaction among teachers with their profession, especially with the stress in classes and the problems with undisciplined students. Also the duties outside lessons are increasing and have reached a critical level now. Permasalahan burn out mempunyai petanda-petanda awal seperti berikut: (i) Keletihan yang kronik kepenatan, keletihan, perasaan telah digunakan secara fizikal (Chronic fatigue - exhaustion, tiredness, a sense of being physically run down); (ii) Kemarahan terhadap mereka yang membuat tuntutan (Anger atthose making demands); (iii) Kritikan kendiri kerana bertahan dengan tuntutan tersebut (Selfcriticism for putting up with the demands);

(iv) Cynicism, negativity, and irritability; (v) Perasaan dicerobohi (A sense of being besieged); (vi) Meletup dengan mudah terhadap sesuatu perkara (Exploding easily at seemingly inconsequential things); (vii) Sakit kepala yang kerap dan gangguan gastric (Frequent headaches and gastrointestinal disturbances); (viii) Kehilangan atau pertambahan berat badan (Weight loss or gain); (ix) Kekurangan tidur dan kemurungan (Sleeplessness and depression); (x) Semput (Shortness of breath); (xi) Prasangka (Suspiciousness); (xii) Perasaan tidak bermaya (Feelings of helplessness); (xiii) Peningkatan darjah pengambilan risiko (Increased degree of risk taking) Tidak dapat dinafikan bahawa permasalahan stres atau burn out berupaya mengakibatkan isu-isu berhubung kait etika dan integriti. Oleh itu, dalam menangani permasalahan stres dan burn out ini, beberapa cadangan yang telah diusulkan boleh diambil kira. 8. Gangguan Seksual Menurut Persatuan Pergerakan Wanita (Awam) terdapat dua jenis gangguan seksual iaitu dari segi fizikal seperti meraba, memeluk, memegang dan mencubit, dan dari segi pertuturan pula, merangkumi komen atau hinaan berbentuk seksual termasuk bersiul. (Ab. Aziz Yusof. 2006). Menurut Abd Rahim (2003), perbuatan tingkah laku yang dikatakan penyebab gangguan seksual adalah tingkah laku mengganggu, tingkah laku destruktif, tingkah laku agresif, tingkah laku membuli dan tingkah laku jenayah. Tingkah laku yang tidak bermoral ini menyebabkan tekanan mental dan emosi kepada mangsa di tempat kerja. Gangguan seksual di tempat kerja boleh berlaku dalam keadaan golongan yang berjawatan tinggi menunjukkan kekuasaannya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh terhadap pekerja bawahannya. Tingkah laku ini juga boleh berlaku antara sesama pekerja, suasana dan ancaman ini berlaku bukanlah disebabkan oleh factor pelaku menunjukkan kekuasaannya atau hak mengawal tetapi lebih kepada gangguan yang bersifat lucah dan mangsa benar-benar terganggu akibat daripada tingkah laku tersebut. Namun mangsa harus dapat membezakan antara tingkah laku yang bersifat gurauan dan tingkah laku yang menimbulkan ancaman kerana suasana gurau senda dan usik-mengusik sentiasa berlaku dalam kehidupan harian. Di Malaysia, tiada suatu undang-undang khusus yang mendefinisikan perkataan gangguan seksual di negara ini. Akta-akta khusus yang memperuntukkan tentang pekerja dan pekerjaan tidak mengandungi peruntukan khas tentang gangguan seksual. Peruntukan yang ada setakat ini hanya meletakkan kesalahan gangguan seksual sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan (Ahmad Shamsul Abd Aziz, 2005). Namun di negara ini, Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan satu kod amalan iaitu Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja pada tahun 1999 sebagai garis panduan penubuhan, pembentukan dan pelaksanaan satu mekanisme dalaman bagi menangani masalah gangguan seksual di tempat kerja.

Berdasarkan Perkara 4 Kod Amalan ini, gangguan seksual bermakna sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal: (i) yang, atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjanya: atau (ii) yang, atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya tetapi tiada hubungan terus dengan pekerjaannya. Perkara 5 pula menyatakan bahawa gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu, (i) gangguan seksual berbentuk ugutan; dan (ii) gangguan seksual berbentuk ancaman kepada ketenteraman peribadi. Gangguan seksual, selain bercanggah dengan undang-undang, mempunyai implikasi besar ke atas produktiviti sesebuah organisasi seterusnya pembangunan ekonomi negara. Dalam menangani permasalahan gangguan seksual ini, badan-badan tertentu boleh bekerjasama dalam memastikan gangguan seksual dapat dicegah, antaranya, Kesatuan Perguruan, Jabatan Buruh, pihak polis dan mahkamah. Selain itu setiap organisasi perlu mewujudkan sendiri garis panduan menangani permasalahan seperti ini. Realitinya, gangguan seksual merupakan satu permasalahan organisasi yang mencemarkan imej organisasi tersebut. Namun dalam membendung masalah ini, setiap pekerja organisasi perlu dididik dalam aspek gangguan seksual dan didedahkan kepada Kod Amalan yang telah dihasilkan oleh Kementerian Sumber Manusia. Selain itu, memandangkan Kod Amalan tersebut hanyalah merupakan satu garis panduan dan tiadanya satu undang-undang khusus bagi menangani gejala ini, satu perundangan, contohnya, Akta Gangguan Seksual perlulah digubal. 9. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Globalisasi, seperti yang telah disentuh sebelum ini menyebabkan wujudnya dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep pembelajaran global, konsep perubahan global dan sebagainya (Abd. Rahim, 2005). Revolusi maklumat yang berlaku disebabkan kemajuan ICT pelu dimanfaatkan untuk mempertingkat memartabatkan bidang keguruan yang sedang mengharungi perubahan dalam abad ke 21 ini. Era globalisasi menuntut negara kita membangunkan sumber manusia yang mempunyai ciri-ciri Kworker, celik dan mahir dalam ICT serta mampu bersaing pada peringkat global. Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, pelajar dapat menggunakan internet untuk mengakses pelbagai bahan pembelajaran serta mempelajarinya mengikut keperluan sendiri. Ini bermakna pelajar dan guru dapat mencari maklumat terkini yang tidak terdapat dalam buku. Selain daripada itu dengan adanya kemudahan ICT ini, pelajar dan guru dapat berkongsi maklumat dari serata dunia melalui kaedah forum dalam talian, e-mail, video koferen dan chatting atas talian. Melalui ICT juga pembelajaran boleh berlaku di luar waktu persekolahan di mana pelajar boleh berinteraksi dengan guru dan sesama mereka bila-bila masa sahaja.

Perubahan kaedah pengajaran menggunakan ICT ini bersesuaian dengan kehendak pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia supaya guru mempelbagaikan kaedah pengajaran yang boleh menarik minat pelajar; menggunakan bahan yang sesuai dari internet untuk tujuan pengkayaan; mempelbagaikan teknik penyampaian dalam kelas untuk membolehkan pelajar memahami konsep serta menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan; menggunakan alat bantu mengajar untuk memperjelas sesuatu konsep; mengajar secara konstruktivisme, masteri dan lebih kontekstual serta menarik minat pelajar melalui teknik pengajaran yang pelbagai dan kreatif menggunakan literasi komputer yang interaktif (Lembaga Peperiksaan Malaysia 2002). Menurut Mohamed Rashid dan Mohd Nasir (2003) yang menyatakan bahawa pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran dalaman dan luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi dan perkembangan ICT. Antara cabaran tersebut adalah: i. Cabaran Dalam Menyediakan Bahan Multimedia Wiburg (1997) menyatakan bahawa untuk membina, membangun dan mengintegrasi sumber-sumber multimedia agak sukar walaupun mempunyai kemahuan menggunakan teknologi ICT dalam pengajaran, mempunyai kemahiran teknikal tetapi masa dan sumber yang terhad akan terus menjadi penghalang utama dalam dunia digital. ii. Sikap Negatif Guru Daripada kajian lepas juga terdapat sebahagian guru yang telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar untuk membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional (Becker & Watt, 1996). Ledakan teknologi ICT memberi cabaran baru kepada profesyen guru dan sistem pendidikan teknik dan vokasional yang masih belum mengalami perubahan yang drastik dari segi penggunaan internet, elearning dan sebagainya. Penggunaan ICT dalam pendidikan teknik dan vokasional telah membuka lembaran baru tentang liberalisasi pembelajaran yang tidak lagi terikat kepada bilik darjah atau bengkel. Kemajuan dan kecanggihan teknologi ICT membolehkan pembelajaran teknikal dibuat secara maya menerusi internet. iii. Kekurangan Kemahiran Penggunaan IT mempunyai hubungan yang signifikan dengan pelbagai kecerdasan yang mencorakkan budaya pembelajaran yang tidak lagi terikat kepada pembelajaran konvensional. Kecekapan dan kemahiran komputer dalam pembelajaran merupakan satu keolehan yang dikaitkan dengan kecerdasan, perkembangan kognitif, kreativiti dan inovasi, rekacipta, visual, pembelajaran maya dan sebagainya. Tidak ramai para pendidik yang memanfaatkan internet sebagai satu alternatif yang menyediakan akses kepada pelbagai maklumat yang dapat membantu memantapkan bahan pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, penggunaan pembelajaran ICT di institusi pendidikan teknik dan vokasional terutamanya penggunaan internet masih lagi rendah. Kajian yang dilakukan oleh Rosli, Zamalia dan Shafiee (2001) menunjukkan tahap penggunaan ICT yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran di kalangan pensyarah UiTM adalah sekitar 30 %. Kajian ini jika

diperluaskan di peringkat institusi pendidikan teknik dan vokasional pasti akan memberikan peratusan nilai yang lebih rendah ekoran kekurangan kemudahan dan kemahiran serta anggapan sesetengah guru/pengajar bahawa pembelajaran terutamanya secara maya tidak sesuai untuk pendidikan teknik dan vokasional. iv. Kekurangan Prasarana dan Bahan Sokongan Satu cabaran penting pendidikan teknik dan vokasional ialah menyediakan kemudahan komputer serta internet untuk semua pelajar. Ini bermakna kemudahan komputer tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja tetapi melibatkan keseluruhan pelajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, kaum dan sebagainya. Kemudahan ICT yang terdapat di institusi pendidikan teknik dan vokasional pada masa ini adalah tidak seragam. Ada yang memiliki sambungan kepada internet, ada yang tidak. Cabaran masa kini dan akan datang dalam institusi pendidikan ialah penyediaan prasarana komputer yang lengkap untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran tersebut. Walau bagaimanapun, penyediaan kemudahan mengakses internet sahaja tidak menjamin keberkesanan pembelajaran pengajaran secara on-line. Sikap guru dan pelajar terhadap penggunaan teknologi tersebut perlu dipertimbangkan untuk memastikan keberkesanannya sebagai kaedah pengajaran pembelajaran. v. Jurang ICT dan Digital Ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat terutama dan segi ekonomi,pendapatan, pendidikan, kemudahan infrastruktur. pemodenan dan sebagainya akan memberi kesan terhadap kemajuan ICT dan digital. Sekolah, dan profesion keguruan di negara ini perlu memainkan peranan yang konstruktif bagi menangani jurang ICT dan digital yang berlaku, terutama di luar bandar dan di kalangan kaum. Sekolah dan profesion keguruan perlu memberikan perhatian serius bagi merapatkan jurang perbezaan ICT dan digital dengan meningkatkan program pendidikan ICT dan memperluaskan peluang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital, khususnya di kalangan pelajar miskin dan luar bandar. Lebih banyak peruntukan dan guru-guru yang terlatih dalam bidang ICT dan digital perlu disediakan bagi membantu pelajar dan sekolah melaksanakan misi dan visi membentuk masyarakat IT dan masyarakat digital. vi. Sumber Kewangan Yang Tidak Mencukupi Pihak sekolah yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai berbagai kos penggunaan teknologi maklumat akan kembali kepada pembelajaran konvensional. Kelemahan kepimpinan sekolah yang kurang komited terhadap penggunaan ICT juga boleh menyebabkan sekolah tertinggal dari arus perubahan perdana yang berlaku. Sekolah juga gagal memainkan peranan positif bagi membangunkan pelajar supaya celik komputer, terutama di kawasan luar bandar. Perubahan ini akan memberikan cabaran besar terhadap tenaga pengajar. Mereka perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasaskan inovasi teknologi. 10. KESIMPULAN

Sumber manusia merupakan aset terpenting dalam sesebuah organisasi. Dalam era globalisasi, persoalan daya saing dan daya tahan sesebuah organisasi menjadi fokus masa kini. Sesungguhnya pengurusan sumber manusia berupaya memastikan kelestarian sesebuah organisasi itu. Namun kepincangan pengurusan sumber manusia telah membangkitkan pelbagai isu. Isu-isu sedia ada dalam pengurusan sumber manusia dalam pendidikan termasuklah isu berhubung kait penilaian prestasi, pemberian insentif, globalisasi pendidikan, teknologi ICT dalam pendidikan, jaminan kualiti pendidikan, proses perekrutan dan pemilihan staf, latihan dan pembangunan staf, serta pembangunan kerjaya staf. Beberapa tahun kebelakangan menyaksikan pelbagai isu pengurusan sumber manusia dalam pendidikan menerima liputan meluas media massa, seperti isu ketidakseimbangan gender dalam pasaran pekerjaan,pelarasan gaji, etika dan integriti, stres dan burn out serta isu kepemimpinan. Dalam industri pendidikan, isu-isu berbangkit ini perlu ditangani secara sistematik dengan penggemblengan usaha pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders).

RUJUKAN Ab. Aziz Yusof. 2006. Pengurusan sumber manusia: Konsep, isu dan pelaksanaan. Ed ke-3. Petaling Jaya: Pearson. Abdul Rahim Rashid. 2003. Gangguan seksual: Pengurusan tingkah laku dan perkembangan gender dalam organisasi. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd. Abd. Rahim Abd. Rashid. (2005). Profesionalisme Keguruan Prospek dan Cabaran Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ahmad Shamsul Abd Aziz. 2005. Undang-undang gangguan seksual Becker, W.E. & Watts, M. (1996). Chalk and Talk: A National Survey on Teaching Undergraduate Economics. American Economic Review, Lembaga Peperiksaan Malaysia. (2002). Laporan Prestasi SPM 2001. (atas talian). http\\www.lpm.skali.com. (21 Oktober,2005) . 86(2) 448-453. Rosli Abd. Rahim, Zamalia Mahmud & Shafiee Ahmad. (2001). ICT in Teaching and Learning Among UiTM Lecturers. International Conference On Challenges and Prospects in Teachers Education: Shah Alam.