Anda di halaman 1dari 11

PENULISAN AKADEMIK

Pendidikan Jasmani merupakan satu subjek penting dalam kurikulum pendidikan formal dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun mata pelajaran pendidikan jasmani tidak diuji dalam peperiksaan awam di Malaysia, subjek ini nyata signifikan kerana merupakan satu-satunya bidang pendidikan yang menekankan taksonomi jasmani yang tidak disentuh oleh mata pelajaran-mata pelajaran lain dalam hal berkaitan dengan empat taksonomi penting pendidikan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Tambahan lagi, selain daripada merupakan bidang ilmu itu sendiri, subjek ini menyumbang kepada kecergasan semasa seseorang murid dan mampu menerapkan amalan bersenam untuk kesihatan di luar waktu sekolah malah untuk sepanjang hayat.

Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani bertujuan membina atau membentuk masyarakat menjadi cergas melalui aktiviti fizikal dan amalan kecergasan. Penetapan matlamat yang realistik adalah penting bagi mempastikan ia tercapai dan mudah dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai peringkat umur. Pendidikan Jasmani merupakan suatu proses yang bertujuan meningkatkan prestasi manusia melalui aktiviti fizikal yang berkait rapat dengan pemilikan dan penghalusan kemahiran-kemahiran motor; pembangunan dan pemeliharaan kecergasan untuk kesihatan optimum dan keadaan baik; memperoleh pengetahuan, dan pembangunan sikap-sikap positif terhadap aktiviti fizikal. Pendidikan Jasmani memberi pendidikan melalui aktiviti fizikal dan matlamatnya mempengaruhi semua perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial. Pendidikan Jasmani berupaya menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman-pengalaman pembelajaran yang rapi dan berturutan. Secara ringkasnya Pendidikan Jasmani adalah merupakan satu aspek dan dapat menghasilkan kejayaan kepada satu kumpulan pelajar (Colfer, 1986). Pendekatan dalam pendidikan jasmani masa kini tertumpu antaranya kepada nilai pendidikan yang dibina. Pendidikan jasmani juga mampu memberi sumbangan terhadap perkembangan kemahiran dan kecegasan jasmani serta menjadi pemangkin terhadap tabiat sosial yang murni. Selain itu, mata pelajaran Pendidikan Jasmani dilihat sebagai alat untuk mendorong kegiatan-kegiatan kognitif seperti penerokaan, proses berfikir dan penyelesaian masalah. Kesemua ini menjadikan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dilihat sebagai satu keperluan bagi membina perkembangan keseluruhan kanak-kanak.

Subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dirangka selaras dengan Falsafah Pendidikan kebangsaan yang mana merupakan salah satu tunjang dalam melahirkan sebuah generasi masyarakat yang seimbang daripada aspek JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Kerana itu, Pendidikan Jasmani amat penting untuk dilaksanakan dalam kurikulum sekolah rendah. Hal ini demikian kerana, melalui pendidikan jasmani, pelbagai aspek dapat dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh, aspek JERIS seseorang individu mungkin akan terjejas sekiranya mereka mengabaikan aspek pembangunan fizikal dan jasmani diri masing-masing. Berikut merupakan kepentingan pendidikan jasmani terhadap perkembangan murid-murid dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.

1.1 ASPEK FIZIKAL Bergerak merupakan naluri semula jadi setiap kanak-kanak. Semua pengalaman pergerakan kanak-kanak membawa kepada peningkatan keupayaan kinestetik mereka. Walau bagaimanapun, cara bergerak dengan betul dan selamat perlu diajar dari awal lagi kerana amalan bergerak yang tidak betul dan kurang selamat sukar diubah atau dibetulkan apabila remaja kelak. Kanak-kanak perlu diberi peluang yang sama untuk belajar dan mendapat pengalaman yang akan membantu mereka menjadi insan yang seimbang dan rakyat yang sejahtera. Hal ini harus berlaku tanpa mengambil kira keadaan geografi atau status sosioekonomi murid.

Pendidikan Jasmani sangat bermanfaat untuk dipelajari serta dapat digunakan dalam kehidupan seharian terutamanya dari aspek fizikal. Daripada kajian yang dijalankan oleh Azimah binti Ahmad (2007), faktor utama obesiti dalam kalangan pelajar luar bandar ialah dari aspek aktiviti fizikal. Peningkatan peratusan masalah ini dari tahun ke tahun amat membimbangkan. Murid tidak gemar bersukan atau melakukan aktiviti luar di sogok pula dengan peralatan teknologi yang menggalakkan aktiviti santai tanpa melakukan sebarang aktiviti fizikal. Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan kepentingan Pendidikan Jasmani diajarkan kepada murid agar mereka faham kepentingan aktiviti fizikal di lakukan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya, seperti bermain bola.

Keadaan fizikal yang mantap dan sihat berupaya melahirkan kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri fizikal yang sihat dan cergas. Penampilan tersebut berupaya menyakinkan dan memotivasikan mereka dalam menghadapi cabaran peringkat awal remaja (pembentukan diri). Otot-otot yang sihat mampu menjadikan kanak-kanak berdikari

tanpa mengharapkan bantuan orang dewasa. Keadaan ini akan membuatkan mereka lebih bermotivasi di dalam melakukan aktiviti secara bersendirian serta menghadapi situasi yang lebih mencabar. Sukan merupakan suatu medium yang menekankan aspek-aspek mental dan fizikal.Kepuasan yang dicapai oleh kanak-kanak di dalam sukan adalah berbentuk keseronokan. Dalam aktiviti sukan kanak-kanak akan berusaha mencapai objektif, keadaan ini akan mewujudkan kepuasan yang maksimum di dalam penglibatan mereka.

Whitehead dan Corbin, 1991 menggariskan enam sasaran kanak-kanak dalam aktiviti fizikal iaitu mempamerkan kebolehan, penguasaan tugas, berkenaan sosial, kemenangan, kemajuan besar dan kerjasama berpasukan. Pendedahan kepada aktivitiaktiviti sukan mampu menyediakan kanak-kanak untuk menguasai pergerakan-pergerakan asas melalui aktiviti- aktiviti sukan yang didedahkan kepada mereka. Aktiviti fizikal

merupakan suatu aspek yang unik malah amat penting dalam pendidikan jasmani untuk kanak-kanak. Aktiviti fizikal mempunyai banyak faedahnya jika kanak-kanak diberi peluang untuk mencuba melakukan pelbagai pergerakan. Guru-guru dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal ini kerana ianya menguntungkan kanak-kanak dari pelbagai sudut. Aspek fizikal memberi tumpuan kepada perihal kuantiti pergerakan yang mampu dipamerkan oleh seseorang kanak-kanak. Kemahiran fizikal ini juga melibatkan beberapa prinsip asas seperti kekuatan, kelenturan, daya tahan kardiovaskular dan otot, ketangkasan, kepantasan dan kelajuan.

Menurut Raddick (1982), Pendidikan Jasmani adalah sebahagian daripada pendidikan seseorang yang menggunakan aktiviti fizikal sebagai medium pendidikan. Ianya menekankan tentang pembentukan sikap, pengetahuan dan kemahiran yang berhubung dengan kesihatan, kecergasan dan rekreasi dengan cara yang unik sehingga cara hidup dan kualiti seseorang dapat ditingkatkan. Ianya lebih menekankan pendidikan melalui Pendidikan Jasmani. Pendidikan jasmani untuk pelajar sekolah rendah memfokuskan kepada latihan pergerakan, permainan dan sukan serta latihan kemahiran asas. Melalui latihan pergerakan, kanak-kanak dapat menimba pengalaman dalam pergerakan dan membina jasmani dengan cara koordinasi otot dan kelenturan badan. Aspek atau kemahiran fizikal yang dilaksanakan terutama dalam sesebuah sesi pengajaran dan pembelajaran turut berfungsi sebagai rangsangan kepada kanak-kanak untuk meningkatkan potensi diri. Pada tahap ini juga, kanak-kanak mudah untuk menerima pengajaran dan sanggup menghabiskan masa dengan aktiviti fizikal yang dapat meningkatkan kemahiran mereka. Di samping itu, penekanan terhadap aspek fizikal pada peringkat pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak di tahap awal usia dilihat sangat

penting. Pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang sihat, selamat dan ceria dapat memberi keyakinan diri dan boleh membentuk personaliti kanak-kanak yang baik bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Sesuatu pergerakan yang dilaksanakan melalui subjek pendidikan jasmani di dalam kelas dapat membantu pertumbuhan tubuh badan menjadi sihat dan meningkatkan daya kecerdasan murid. Contohnya, dengan melakukan aktiviti fizikal, kanak-kanak dapat mengeluarkan peluh dari badan. Fungsi peluh ialah menyihatkan tubuh badan dan menyingkirkan toksin. Tambahan pula, kanak-kanak dapat meningkatkan stamina mereka. Di samping itu, murid-murid juga dapat meningkatkan lagi keupayaan pergerakannya dan menguasai kemahiran fizikal. Sebagai contoh, melakukan aktiviti leap iaitu berlari sambil melonjak tinggi menuntut kesabaran yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak. Bagi mereka, aktiviti ini adalah agak sukar, namun jika diberi latihan yang secukupnya, nescaya kanakkanak akan berjaya melakukan aksi leap. Seterusnya, penerapan aspek fizikal kepada

kanak-kanak mampu memperkembangkan tahap kemahiran motor kasar dan motor halus mereka. Penggunaan elemen fizikal dalam sesebuah sesi pengajaran dan pembelajaran digunakan sebagai rangsangan kepada kanak-kanak. Kemampuan kanak-kanak dalam melakukan pelbagai aktiviti fizikal seterusnya membolehkan mereka menjadi seorang yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan mampu melakukan aktiviti-aktiviti lain yang lebih mencabar dan menarik. Pendidikan Jasmani juga mampu memberi pendedahan kepada kanak-kanak kepada pelbagai jenis permainan yang boleh dimainkan. Sama ada berbentuk tradisional sehinggalah permainan di peringkat antarabangsa. Pendedahan yang diberi ini

membolehkan murid cuba untuk bermain seterusnya menguasai kemahiran permainan tersebut. Oleh yang demikian, guru dapat mencungkil minat dan kelebihan kanak-kanak tersebut dengan memerhati kecenderungan kemahiran mereka pada mana-mana bahagian. Justeru, aspek fizikal yang dilaksanakan dalam sesebuah sesi pengajaran dan pembelajaran sangat penting terutamanya subjek ini merupakan subjek yang memerlukan guru dan murid untuk menggunakan kemahiran fizikal yang maksimum dan sesi pengajaran tidaklah terhad dalam bilik darjah sahaja. Bagi subjek Pendidikan Jasmani ini, sesi pengajaran dan pembelajaran adalah lebih sesuai untuk dilaksanakan di luar bilik darjah.

1.2 ASPEK MENTAL Pada peringkat umur 7- 11 tahun, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi tentang perkara di sekeliling mereka. Hal ini di sokong oleh teori kognitif Piaget (1973), yang menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai corak perkembangan yang berbeza dan perasaan ingin tahu tentang sesuatu itu sangat tinggi. Pada peringkat operasi konkrit iaitu 711 tahun, kanak-kanak pada peringkat ini dapat memanipulasikan dan membentuk representasi mental secara dalaman. Oleh sebab itulah, subjek Pendidikan Jasmani ini sangat penting untuk diajarkan di sekolah iaitu dalam usaha untuk melahirkan murid yang bukan sahaja badannya cergas dan sihat tetapi dalam masa yang sama mempunyai minda yang cergas serta mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi. Sifat ingin tahu ini

membuatkan kanak-kanak pada peringkat umur ini amat berminat untuk meneroka melalui aktiviti bermain mereka. Permainan yang diterapkan melalui subjek Pendidikan Jasmani ini mampu meningkatkan pelbagai sudut perkembangan diri selain dapat mengembirakan

mereka serta boleh juga merangsang penggunaan deria mereka. Selain itu, aktiviti bermain juga dapat menarik minat belajar mereka. Di samping itu, melalui Pendidikan Jasmani juga, murid diajarkan untuk menilai dan berfikir tentang sesuatu perkara yang betul dan dapat membezakan nilai-nilai afektif yang baik dan tidak baik. Menurut artikel yang di tulis oleh Nik Suhaila (2013), menyatakan bahawa saban hari isu gejala sosial yang melibatkan remaja semakin hangat diperkatakan. Antaranya, isu buang anak dan mengandung di luar nikah. Mengapa hal ini berlaku dan siapa yang harus dipersalahkan?. Hal ini berlaku kerana pendedahan tentang pentingnya nilai agama dan nilai-nilai murni kurang dalam diri murid. Secara tidak langsung, kita melihat betapa pentingnya peranan guru dan masyarakat dalam menerapkan kepentingan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Oleh itu, kita melihat bahawa subjek Pendidikan Jasmani menyediakan atau menerapkan kepentingan nilai murni dalam setiap sesi pembelajaran. Sekiranya, kepentingan mengenai nilai-nilai murni didedahkan pada peringkat awal, maka gejala-gejala sosial dalam kalangan remaja dapat dikurangkan. Secara tidak langsung, Pendidikan Jasmani sangat memainkan peranan penting dalam kemenjadian seseorang insan yang baik. Dari aspek mental juga, Pendidikan Jasmani dilihat dapat membantu seseorang individu khasnya golongan murid-murid untuk mengawal perkembangan dan pertumbuhan mental yang sihat. Pendidikan Jasmani dapat membantu melahirkan mental yang cergas melalui aktiviti-aktiviti tunjang Pendidikan Jasmani itu sendiri seperti kecerdasan, kemahiran dan kesukanan. Aktiviti dalam tunjang kecergasan seperti daya tahan kardiovaskular dengan

melakukan aktiviti larian mampu meningkatkan kecekapan mental untuk melahirkan pemikiran yang sihat serta meneroka penemuan baharu terhadap sesuatu kemahiran. Tunjang Kesukanan pula dapat membantu menjana ketahanan mental yang kuat dalam kalangan pelajar dalam menangani sebarang situasi yang bakal dihadapi sama ada dari segi mental dan fizikal. Ketahanan mental yang kuat dapat melahirkan individu yang cergas dan mantap. Perkembangan dalam aspek mental ini juga boleh digilap dalam subjek pendidikan jasmani melalui pelbagai aktiviti yang telah direncanakan. Aktiviti yang dilaksanakan ini haruslah berkonsepkan penemuan sendiri serta melibatkan penggunaan imaginasi yang tinggi dalam usaha menyelesaikan sesuatu tugasan atau permainan. Sebagai contoh dalam sesebuah permainan bola sepak, murid-murid bermain secara berpasukan untuk menjaringkan bola ke dalam gol. Justeru itu, kecekapan untuk membuat keputusan menjadi perkara penting supaya gol dapat dijaringkan dengan baik. Kawalan yang baik yang diberikan oleh pihak lawan menentukan keupayaan murid untuk meningkatkan kemahiran berfikir sekaligus menyediakan murid menjadi seorang yang bijak membuat keputusan dalam suatu jangka masa yang singkat. Kajian telah menunjukkan perhubungan yang positif antara main dan pembelajaran kanak-kanak terutama melalui subjek Pendidikan Jasmani. Mengikut Piaget (1983),

keupayaan adaptasi psikologikal adalah amat penting dalam memastikan perkembangan struktur kognitif atau mental kanak-kanak. Piaget memandang main sebagai aktiviti pengukuhan untuk tingkah laku yang baharu dipelajari. Walaupun main bukan kesamaan dengan pembelajaran, apa yang pasti, main mempermudahkan cara pembelajaran. Ini adalah kerana bermain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperoleh pengalaman baharu agar dapat diadaptasikan dalam struktur kognitif mereka. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk membantu merangsang perkembangan kognitif kanak-kanak. Guru boleh menggalakkan kanak-kanak berfikir dengan cara mengadakan permainan yang boleh mencabar pemikiran kanak-kanak seperti bersoal-jawab apa yang mereka akan rasa sekiranya mereka menjadi sebuah buku, menjadi sebuah basikal, dan sebagainya melalui aktiviti main peranan. Permainan seperti ini mendorong kanak-kanak berfikir secara spontan dan secara langsung akan membantu perkembangan kognitif mereka. Aktiviti lain yang guru boleh jalankan ialah aktiviti permainan air. Permainan air boleh berbentuk kemahiran untuk berenang atau aktiviti air seperti berakit. Tempat air boleh berbentuk tetap atau sementara. Guru perlu mengambil kira beberapa aspek semasa kanak-kanak menjalani aktiviti main air. Antaranya ialah penyediaan bahan, penyediaan tempat atau ruang, pakaian yang sesuai, mestilah berdekatan dengan sumber air, dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu.

Pelbagai perkara dalam aspek mental dapat dikembangkan melalui permainan air seperti kemahiran menyiasat, menjalankan eksperimen, membuat anggaran, dan membuat perbandingan. Selain itu, kanak-kanak juga dapat menambah pengetahuan tentang konsep isi padu, kapasiti, saiz, bentuk, konsep penyerapan, timbul tenggelam, serta penyejukan dan pemanasan.

1.3 ASPEK EMOSI Kamus Dewan Edisi Keempat (2003), mendefinisikan, emosi sebagai perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, marah dan gembira. Walaubagaimanapun, secara umumnya emosi selalunya akan dikaitkan dengan perasaan seseorang individu tersebut. Manusia adalah golongan benda hidup yang mempunyai perasaan yang tinggi dan paling halus. Kecergasan dapat membantu pelajar untuk mengawal emosi kerana tubuh badan yang cergas berupaya membantu mengawal perasaaan dan berupaya mengenal pasti cara mengawal

atau melepaskan perasaan.

Kecergasan dapat merangsang pelajar berfikiran positif dan rasional. Keadaan ini boleh melahirkan individu yang seimbang dan berfikiran postif dalam menangani sebarang situasi. Kecergasan boleh membantu murid mengawal emosi kerana tubuh badan yang cergas berupaya membantu mengawal perasan dan berupaya mengenalpasti cara mengawal atau melepaskan perasaan. Kecergasan dapat merangsang individu berfikiran positif dan rasional. Keadaan ini boleh melahirkan individu yang seimbang dan berfikiran positif dalam menangani sebarang situasi. Kejayaan yang diperolei dalam permainan fizikal menyebabkan individu lebih berkeyakinan dan berpuas hati dengan pencapaian dan menghargai diri mereka sendiri. Pendidikan Jasmani boleh memberi peluang kepada individu untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti dan membangunkan kemahiran-kemahiran asas bagi mencapai kejayaan.

Apa yang menarik minat saya sejak kebelakangan ini ialah isu yang berlaku dalam dunia pendidikan itu sendiri. Artikel yang terkandung Berita Harian bertarikh 4 April 2011 mengenai murid agama tahun 1 yang dibelasah oleh gurunya telah pun meninggal dunia. Mengapa perkara ini berlaku?. Mengapa guru tersebut tidak dapat mengawal perasaan?. Kita sebagai seorang guru seharusnya mengambil ikhtibar daripada kejadian ini. Secara tidak langsung , kita melihat betapa pentingnya penerapan kawalan emosi dalam subjek Pendidikan Jasmani ini. Hal ini kerana, sejak di awal persekolahan lagi, kita perlu menerapkan nilai-nilai yang baik serta cara mengawal emosi yang baik kepada murid kita.

Oleh itu, saya yakin dan percaya bahawa melalui pendidikan adalah medium utama dalam mengatasi masalah-masalah sebegini.

Kejayaan yang diperolehi dalam bentuk fizikal dapat memberi kesan yang baik dalam diri pelajar seperti berkeyakinan dan berpuas hati dengan pencapaian dan seterusnya menghargai diri mereka. Pendidikan Jasmani dapat memberi peluang kepada individu untuk terlibat dalam pebagai aktiviti dan menbangunkan kemahiran-kemahiran asas dan bakat mereka bagi mencapai kejayaan. Namun hari ini, kebanyakan daripada guru-guru sekolah rendah telah menarik subjek Pendidikan Jasmani ini dan digantikan dengan subjek peperiksaan yang lain. Lantaran itu, aspek perkembangan emosi kanak-kanak telah disekat. Hal ini memberikan suatu stigma yang buruk kepada guru-guru Pendidikan Jasmani yang dikatakan tidak melaksanakan tugas dengan baik. Mata pelajaran Pendidikan Jasmani merupakan ruang masa senggang yang memberikan peluang kepada murid-murid untuk menstabilkan emosi mereka daripada sebarang tekanan yang melibatkan keperluan dan tanggungjawab mereka untuk belajar. Melalui subjek Pendidikan Jasmani ini, perkembangan emosi bagi seseorang kanak-kanak dapat ditingkatkan. Sekiranya seseorang kanak-kanak gagal berkembang secara positif, mereka mungkin tidak akan berjaya menghadapi tekanantekanan yang bakal dihadapi dalam hidup. Oleh sebab itulah di peringkat sekolah rendah lagi pemupukan emosi positif amat dititik beratkan terutamanya dalam aktiviti bermain. Ini adalah kerana bermain dapat membantu memberikan kepuasan dan ketenangan emosi kepada kanak-kanak terutamanya apabila mereka diberikan kebebasan berkreatif dan berimaginasi tanpa gangguan. Antara aktiviti yang boleh dijalankan untuk guru menilai dan menggalakkan perkembangan emosi kanakkanak ialah melalui pertandingan-pertandingan permainan kecil sama ada bertunjangkan kemahiran seperti softball. Ini kerana aktiviti ini memberi peluang untuk murid-murid menyampaikan perasaan, karya, meluahkan emosi, dan kebolehan mereka dalam pelbagai cara melalui permainan. Selain itu, perkembangan sosioemosi juga boleh dipupuk semasa guru mengajar aktiviti nyanyian, muzik dan gerakan. Hal ini demikian kerana muzik digemari secara semula jadi oleh kanak-kanak. Kanak-kanak dapat meluahkan perasaan gembira atau seronok melalui aktiviti muzik yang turut digabungjalinkan dengan subjek Pendidikan Jasmani. Aktiviti muzik dapat membantu menggalakkan perkembangan emosi kanak-kanak. Antaranya semasa penyertaan kanak-kanak dalam aktiviti nyanyian berkumpulan, kanak-kanak akan menyanyi dan menari bersama rakan-rakan yang lain.

Di samping itu, semasa melaksanakan aktiviti, guru boleh menyelitkan muzik yang sesuai dengan aktiviti yang mana dapat menarik minat murid dan murid gembira dengan pelajaran pada hari tersebut. Guru yang baik adalah guru yang peka dengan perkembangan semasa yang mana murid sama-sama menyukai lagu yang dipilih oleh guru. Ini menunjukkan bahawa guru bersungguh-sungguh dalam menyampaikan isi pelajaran pada hari tersebut yang mana dapat mempengaruhi emosi yang baik dalam diri murid. Dengan cara ini, mereka dapat meluahkan perasaan gembira yang ditunjukkan melalui ekspresi muka semasa aktiviti yang dijalankan. Oleh itu, guru dapat menilai sejauh mana peningkatan perkembangan emosi seseorang kanak-kanak.

1.4 ASPEK SOSIAL


Pendidikan Jasmani adalah suatu medium yang dapat membantu dalam pembangunan sosial seperti menolong individu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan masyarakat. Dengan kata lain, Pendidikan Jasmani berupaya membantu pembangunan sosial individu serta menolong individu menyesuaikan diri dengan keadaan dan ahli masyarakat. Melalui Pendidikan Jasmani, kita melihat kepada kepentingan pembelajaran koperatif. Perkara ini disokong oleh artikel yang ditulis oleh Azizi Yahaya (2008) mengenai pembelajaran koperatif. Dalam artikel tersebut, kita dapat melihat mengenai faedah yang kita peroleh daripada pembelajaran koperatif. Pengajaran dan pembelajaran yang dikatakan menarik ialah pengajaran dan pembelajaran yang mencabar dan berkesan iaitu di mana pengajaran tersebut berpusatkan pelajar. Ini memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi, berkomunikasi, mengalami dan menghayati sendiri proses pembelajaran yang lebih berkesan. Perkara-perkara tersebut dapat mereka gunakan untuk masa yang akan datang dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Sifat kepimpinan yang baik melalui Pendidikan Jasmani merupakan medium utama untuk mencapai matlamat sosial. Penglibatan dengan aktiviti Pendidikan Jasmani mampu menjadi tapak yang kukuh untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti melakukan kerja berkumpulan, yang boleh diperolehi melalui permainan berpasukan. Situasi ini jika difahami dan diperjelaskan dengan baik kepada murid ianya boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Pendidikan Jasmani adalah satu medium yang dapat membantu kanak-kanak untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya iaitu masyarakat. Sifat kepimpinan yang baik merupakan satu medium dalam mencapai matlamat sosial. Perkembangan sosial diajarkan kepada murid-murid supaya mereka tidak kekok untuk bersosial, berinteraksi dengan orang lain, bermain dan sebagainya. Selain dari itu, dengan

penerapan aspek sosial ini, nilai-nilai murni seperti perasaan kasih sayang, tolongmenolong, bekerjasama dan lain-lain boleh dipelajari oleh murid-murid.

Menurut Philip (1991), kemahiran sosial membawa maksud tingkah laku yang prihatin untuk melakukan perhubungan interpersonal yang efektif. Sebaliknya Thacker (1996), pula mendefinisikan kemahiran sosial sebagai keupayaan untuk berkomunikasi secara efektif dengan individu lain dalam situasi sosial atau kerja. Pelbagai aktivitil boleh dilakukan dalam membantu perkembangan sosial kanak-kanak. Sebagai contoh melalui permainan atau aktiviti permainan kecil. Permainan kecil boleh dilaksanakan secara berkumpulan di luar kelas. Guru harus menyediakan pelbagai peralatan untuk memberi peluang kepada murid membuat penerokaan dan penemuan baru serta bersosialisasi dengan rakan-rakan. Semasa aktiviti permainan kecil, murid-murid akan berkongsi dan bergilir-gilir menggunakan peralatan bersama rakan-rakan, hormat-menghormati, menghargai sumber dan idea orang lain, dan bekerjasama sesama rakan. Di samping itu, mereka dilatih bersifat sabar dan mematuhi peraturan kerana perlu bergilir-gilir semasa bermain dengan alatan permainan yang terhad. Secara tidak langsung, kanak-kanak ini belajar untuk menghormati perasaan dan hak orang lain. Selain aktiviti Pendidikan Jasmani di sekolah secara formal, aktiviti bermain permainan dalaman seperti ketinting di rumah juga memberi kebaikan kepada perkembangan kanakkanak. Semasa bermain bersama rakan-rakan, kanak-kanak sebenarnya sedang belajar cara-cara berinteraksi dan bersosial bersama orang lain di luar daripada lingkungan ahli keluarga. Memberi pendedahan sosial yang awal kepada kanak-kanak memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran di samping dapat menanam sifat berani untuk mencuba dan berani ke hadapan. Di samping itu, dalam sesebuah sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani, guru boleh menerapkan pelbagai strategi pengajaran dalam usaha meningkatkan keupayaan bersosial murid-murid antaranya menyelitkan aktiviti yang memerlukan murid untuk berbincang sesama mereka. Melalui permainan, murid-murid dilatih untuk berkomunikasi secara berkesan dengan rakan sebaya mahupun guru. Lantaran daripada itu, murid-murid dapat menguasai kemahiran bersosial dengan baik sehingga ke tahap optimum. Penglibatan dalam aktiviti Pendidikan Jasmani mampu menjadi tapak yang kukuh untuk melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan seperti melakukan kerja dalam berkumpulan, yang boleh diperolehi melalui permainan berpasukan. Selain itu juga, melalui aktiviti Pendidikan Jasmani juga dapat membentuk hubungan yang baharu dan positif dalam

kalangan pelajar. Aktiviti yang melibatkan pertandingan secara sihat dapat membentuk suatu hubungan yang baharu dalam kalangan pelajar-pelajar yang terlibat. Mereka dapat membentuk ikatan silaturrahim dengan menambah kenalan ataupun kawan di antara satu sama lain. Hal yang demikian perlu supaya, generasi yang seimbang dapat dilahirkan, bukan sahaja hebat dalam intelektualnya, tetapi juga hebat dari akhlak dan sahsiah. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti bermain dalam subjek Pendidiman Jasmani ini menggalakkan kanak-kanak bergaul dengan rakan dan secara langsung membantu perkembangan sosial mereka. Semasa bermain dengan kanak-kanak lain, kanak-kanak akan cuba belajar dan mengekalkan hubungan yang sedia terjalin. Ini adalah kerana penyesuaian semasa bergaul adalah asas kepada proses sosialisasi kanak-kanak.

Anda mungkin juga menyukai