Anda di halaman 1dari 11

Topik6 Tatatusila/


Adab
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Menerangkan amalan percakapan bertatasusila; 2. 3. 4. 5. Menerangkan cara berinteraksi yang bersopan dengan orang lain; Menerangkan respons positif serta bersesuaian ketika berinteraksi; Menyatakan adab sebelum, semasa dan selepas makan yang betul; dan Menerangkan penggunaan panggilan yang betul terhadap orang lain dengan mengambil kira kedudukan, umur, hubungan darah, pangkat dan sebagainya.

PENGENALAN
Selamat bertemu kembali dalam Topik 6 iaitu topik yang akan menyentuh tentang tatasusila dan adab. Para pelajar sekalian, mendidik murid-murid berkeperluan khas tentang adab dan amalan tatasusila adalah agak sukar disebabkan kebanyakan mereka mempunyai masalah tingkah laku. Contoh yang jelas ialah masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid hiperaktif, murid autistik dan murid-murid terencat akal. Jadi, latihan tentang adab dan kesopanan ini lebih menjurus dalam bentuk aktiviti yang dilakukan di dalam bilik darjah, di rumah atau di tempat awam. Apakah yang anda faham tentang tatasusila dan adab? Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, tatasusila bermaksud adat-istiadat, adat resam, cara, peraturan dan prosedur. Adab pula bermaksud tingkah laku serta tutur kata yang halus, budi bahasa, budi pekerti yang halus dan kesopanan. Tatasusila atau adab amat penting dalam kehidupan kita. Bagi murid-murid berkeperluan khas ini, tatasusila atau adab yang betul perlu didedahkan kepada mereka sebaik mungkin memandangkan diri mereka umpama bayi yang baru dilahirkan.

TOPIK 6

TATATUSILA/ADAB

77

Semua perkara perlu diajar di sekolah untuk membolehkan mereka berdikari apabila usia semakin meningkat.

6.1

PERCAKAPAN

Sekarang kita akan menyentuh dari segi percakapan. Aspek percakapan merupakan salah satu aspek penting dalam pergaulan seharian. Oleh itu, membimbing murid bercakap menggunakan perkataan yang sopan dan bertatasusila adalah satu perkara penting. Murid-murid perlu mengetahui bagaimana hendak melafazkan ucapan dengan suara, nada dan irama yang betul. Ketika bercakap juga perlu ada jeda supaya si pendengar boleh memahami dengan jelas apa yang hendak disampaikan. Tugas dan peranan anda sebagai seorang guru amatlah besar. Anda perlu mengajar murid berkeperluan khas dan membimbing mereka supaya dapat berinteraksi dengan baik.

6.1.1

Bercakap secara sopan

Anda harus menerangkan kepada murid-murid anda bahawa mereka harus bercakap dengan sopan. Bercakap dengan sopan bermaksud menggunakan tutur kata yang lemah lembut ketika berbicara. Beritahu kepada murid-murid anda bahawa mereka tidak perlu menjerit atau menengking ketika sedang bercakap. Apatah lagi jika orang yang menjadi pendengar itu hanya berada dalam jarak yang dekat dengan kita. Reaksi muka dan air muka juga memainkan peranan semasa bercakap dengan seseorang. Jika mereka ingin meminta sesuatu, beritahu mereka agar meminta dengan sopan dan bukan seperti memberi arahan. Memek muka pula mestilah manis. Jika bermuka masam atau penuh renungan tajam, permintaan mereka mungkin tidak ditunaikan. Murid-murid khas ini juga harus diajar untuk menggunakan bahasa yang baik semasa bercakap dengan orang lain. Sebagai contoh:Asyraf, boleh saya duduk di sebelah awak? Reaksi muka mestilah manis dan senyum dan ucapkan terima kasih jika rakan membenarkan anda duduk. Jangan lupa juga untuk memberitahu mereka untuk meminta maaf dengan segera jika melakukan kesilapan atau kesalahan dan jangan bertangguh untuk meminta maaf. Dua patah perkataan maafkan saya sudah cukup untuk menjernihkan keadaan. Anda boleh membimbing murid-murid supaya membiasakan diri menggunakan kata-kata seperti maafkan saya jika membuat kesalahan dan terima kasih setiap kali menerima sesuatu daripada orang lain. Ucapan Terima kasih digunakan semasa menerima sesuatu hadiah, pertolongan, atau dibantu oleh orang lain.

78

TOPIK 6 TATATUSILA/ADAB

Rajah 6.1: Jangan menengking murid-murid anda. Didiklah murid-murid anda supaya jangan menengking dan meninggi suara apabila meminta sesuatu.

6.1.2

Melafazkan Ucapan Dengan Suara, Nada Dan Irama Dengan Sebutan Yang Betul

Setiap ucapan yang dilafazkan mestilah menggunakan suara, nada dan irama yang betul. Jika seseorang salah menggunakan nada dan irama, ia boleh menimbulkan salah faham kepada orang lain. Bagi murid-murid pendidikan khas, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk mengajar mereka bagaimana menggunakan nada suara yang betul. Guru perlu mengingatkan murid-murid ketika berada dalam kelas, suara mestilah perlahan. Semua murid tidak boleh bersuara lantang atau menjerit-jerit untuk bercakap atau meminta sesuatu daripada kawan mereka. Jika muridmurid tidak dapat mengawal suara ketika bercakap, suasana akan menjadi hiruk-pikuk dan riuh-rendah. Kawalan suara dalam kelas amat penting sebagai bentuk kawalan disiplin dalam kelas. Penggunaan nada dan irama yang betul perlu diterangkan secara terperinci kepada murid-murid berkeperluan khas ini. Ajar murid anda menggunakan bahasa yang penuh berhemah dengan nada yang betul. Jika ingin meminta pertolongan gunakanlah nada rayuan. Jika ingin memberi arahan (ketua kelas), gunakanlah nada yang betul (murid-murid perlu diingatkan bahawa seorang murid tidak layak memberi arahan kepada seorang guru atau orang yang lebih dewasa daripada mereka). Seorang ketua kelas jika hendak memberi arahan mestilah menggunakan suara yang jelas, berserta dengan nada dan irama yang bersesuaian. Jika arahan tersebut juga melibatkan guru, jelaskan kepada guru dengan nada menyampaikan maklumat.

TOPIK 6

TATATUSILA/ADAB

79

Suara, nada dan irama yang sopan mencerminkan keperibadian seseorang. Jika sekadar ingin menyampaikan maklumat seseorang murid menggunakan suara yang kuat dan nada menengking sudah pasti pihak pendengar kurang senang dengan sikap murid itu. Hal ini memungkinkan maklumat itu tidak diendahkan atau mesej yang hendak disampaikan tidak dapat diterima oleh pendengar. Jadi, sebagai seorang guru yang mengajar kelas pendidikan khas, anda harus menekankan aspek sosiolinguistik ini kepada murid-murid. Selain itu, sering kali kita mendengar murid-murid (kebiasaannya berbangsa Cina) membahasakan diri dengan kata ganti diri aku ketika bercakap dengan guru. Menjadi tugas anda sebagai guru untuk menerangkan kepada murid tersebut bahawa kata ganti diri aku tidak sesuai digunakan. Meninjau dari aspek sosiolinguistik di Malaysia, penggunaan aku dengan orang yang berpangkat atau lebih tua daripada kita menampakkan sesuatu yang agak kasar dan tidak berhemah sama sekali. Jadi, jika murid ingin bercakap dengan guru atau orang yang lebih tua, bimbinglah mereka menggunakan kata ganti diri saya. Begitu juga dalam majlis rasmi, guru perlu menerangkan kepada muridmurid supaya tidak menggunakan kata ganti diri aku dan menggantikan dengan kata ganti diri saya khususnya dalam ucapan. Jika murid boleh memahami semua situasi di atas, akan wujud suasana yang lebih harmoni dalam kelas. Walaupun murid-murid ini mempunyai kelemahan lain tetapi mereka akan dikenali sebagai seorang yang berbudi bahasa. Pengajaran guru akan lebih bermakna apabila murid-murid ini tahu menggunakan bahasa yang betul dalam kehidupan seharian mereka.

6.1.3

Bertindak balas pada arahan yang diberikan

Setelah mempelajari cara berkomunikasi dengan betul (sebagai penutur), muridmurid juga perlu dibimbing serta dididik untuk menjadi pendengar yang baik. Mereka juga perlu menunjukkan tingkah laku yang bersesuaian ketika mendengar sesuatu arahan. Maklumkan kepada murid supaya memberi perhatian ketika guru memberi arahan. Beri tumpuan sepenuhnya kepada mesej/maklumat yang hendak disampaikan. Jangan berbual atau membuat kerja lain semasa seseorang khususnya guru sedang memberi arahan. Seterusnya guru perlulah menjelaskan kepada murid tindakan selanjutnya yang perlu mereka lakukan setelah mendengar arahan itu. Jika arahan itu perlu tindakan segera, pastikan murid melaksanakan dengan segera secara berhemah. Latihan yang kerap akan menghasilkan kejayaan yang besar. Contoh arahan mudah: Murid-murid diminta berbaris di hadapan kelas dengan senyap. Buat dua barisan. Satu barisan murid lelaki dan satu barisan murid perempuan. Setelah memberi arahan, guru perlulah memantau tindakan daripada murid-

80

TOPIK 6 TATATUSILA/ADAB

murid. Pastikanlah bahawa mereka boleh memahami serta mengikut arahan dengan baik. Sudah menjadi tugas seorang guru untuk memantau reaksi murid-murid terhadap setiap arahan yang diberikan. Jika tahap murid itu agak lemah, arahan yang diberikan mestilah lebih mudah, ringkas dan jelas. Anda perlu menerangkan kepada murid bahawa mereka mesti mengikuti setiap arahan yang diberikan itu. Jika murid tiada respons langsung terhadap sesuatu arahan, anda mesti memikirkan kaedah lain supaya murid itu dapat memberi reaksi positif terhadap arahan yang diberikan. Seseorang guru sewajarnya memiliki tahap kesabaran yang tinggi untuk membimbing murid-murid berkeperluan khas ini.

AKTIVITI 6.1 Antara masalah yang sering dihadapi oleh seorang guru pendidikan khas ialah kurang penumpuan murid pada aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Jelaskan langkah-langkah yang boleh diambil oleh guru untuk membolehkan murid pendidikan khas memberikan penumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

6.2

ADAB MAKAN

Adab makan yang betul perlu dipelajari oleh semua orang. Bagi murid-murid berkeperluan khas ini, anda perlulah mengadakan latihan amali supaya muridmurid boleh memahami adab makan yang betul dan bertatasusila. Kejayaan melatih murid-murid ini makan dengan cara yang betul akan membantu mereka untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

6.2.1

Mengamalkan pemakanan yang betul

Amalan makan dengan bertatasusila bukan sekadar untuk majlis rasmi. Apabila seseorang itu sentiasa mengamalkan cara pemakanan yang betul, kesihatan akan lebih terjamin. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan pelbagai kempen supaya penduduk Malaysia mengamalkan cara pemakanan yang betul seperti yang tercatat pada piramid makanan yang boleh kita lihat di mana-mana. Makanan yang hendak dimakan bukan sekadar sedap tetapi hendaklah berkhasiat. Perlu diingatkan jika kita mengambil makanan hanya mengikut

TOPIK 6

TATATUSILA/ADAB

81

selera dan berlebih-lebihan akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan diri. Selain faktor umur, kuantiti makanan yang hendak diambil perlu mengikut jenis pekerjaan yang dilakukan atau tahap keaktifan seseorang. Justeru, piramid makanan dapat membimbing serta menjadi garis panduan kepada seseorang dalam mengamalkan cara makan yang betul. Guru perlu menerangkan kepada murid kelebihan dan kekurangan makan mengikut piramid makanan. Murid-murid berkeperluan khas ini perlu diberitahu bahawa makanan ringan sangat tidak berkhasiat dan boleh membahayakan kesihatan. Bimbing mereka memilih makanan ringan berunsur serat yang boleh mencergaskan minda seperti makan kismis atau kurma. Selain itu, murid-murid perlu mengetahui bahawa tidur selepas makan akan menjejaskan kesihatan serta menambah berat badan. Justeru masa terbaik untuk hidangan terakhir ialah empat jam sebelum tidur.

Rajah 6.2: Piramid makanan

82

TOPIK 6 TATATUSILA/ADAB

6.2.2

Adab sebelum, semasa dan selepas makan

Apabila murid-murid telah memahami cara pemakanan yang betul, anda perlu menjelaskan kepada murid-murid adab-adab yang mesti dipatuhi sebelum, semasa dan selepas makan. (a) Adab Sebelum Makan (i) Bersihkan diri sebelum makan (jika badan berpeluh atau pakaian terlalu kotor) (ii) Pastikan anda menukar pakaian jika terlalu kotor (iii) Tangan hendaklah dicuci dengan sabun sampai bersih (iv) Jika sedang menghidapi selesema yang teruk pastikan tidak makan bersama dengan tetamu (v) Jangan berebut tempat duduk (vi) Jangan mengetuk gelas, pinggan atau sudu dan garpu untuk mewujudkan irama (vii) Jangan menongkat dagu (meletakkan lengan hingga siku atas meja dan tangan menongkat dagu) (viii) Jangan tidur di meja makan (ix) Duduk dengan sopan (x) Jangan mengayunkan kaki di bawah meja sehingga menyentuh orang lain atau menggegar meja

(xi) Jangan makan dahulu daripada orang lain (b) Adab Semasa Makan (i) Mulakan makan dengan bacaan doa (ii) Mula makan setelah orang dewasa mengambil makanan atau memberi arahan

(iii) Ambil makanan yang paling hampir dengan kita dahulu (iv) Semasa mengambil lauk jangan biarkan nasi tumpah dalam mangkuk lauk (jika makan berhidang) (v) Jika makan menggunakan sudu, hentakan/ketukan sudu dan garpu cuba elakkan bunyi

(vi) Elakkan bercakap semasa makan (bercakap jika perlu sahaja) (vii) Elakkan sendawa di hadapan orang lain yang masih makan (viii) Jangan membazir makanan

TOPIK 6

TATATUSILA/ADAB

83

(ix) Jika menggunakan tangan pastikan tiada sisa makanan berbaki di tangan (ajaran Rasulullah s.a.w) (x) Jangan minum terlalu banyak air semasa makan atau selang-seli makan nasi dan minum air

(c)

Adab Selepas Makan (i) Baca doa selesai makan (ii) Basuh tangan sampai bersih (iii) Elakkan mencungkil sisa makanan dalam mulut ketika berada di meja makan (iv) Bawa pinggan makan anda ke sinki (v) Bantu ibu/kakak kemaskan meja makan (vi) Bantu ibu/kakak membasuh pinggan mangkuk (vii) Jangan terus tidur selepas makan Adab-adab sebelum, semasa dan selepas makan ini wajar diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Setiap pantang larang adalah bersebab, yang mana yang dicegah itu sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan. Selain itu, jika seseorang mengikut tatasusila yang betul ia boleh mengeratkan hubungan antara satu sama lain. AKTIVITI 6.2 Dalam kumpulan bertiga, bincangkan cara-cara anda boleh mendedahkan amalan-amalan baik semasa makan, kepada sekumpulan pelajar pendidikan khas.

6.3

PERGAULAN

Berbicara tentang pergaulan, anda juga harus mengingatkan kepada muridmurid khas bahawa pergaulan atau percampuran dengan orang lain atau anggota masyarakat perlulah mengikut norma atau batas-batas yang telah ditetapkan dalam masyarakat. Sebagai seorang guru, ia menjadi tugas anda untuk menjelaskan kepada murid-murid betapa pentingnya kita menjaga batasbatas pergaulan dengan orang di sekeliling kita. Pergaulan atau komunikasi yang baik akan mewujudkan suasana yang harmoni serta tenteram.

84

TOPIK 6 TATATUSILA/ADAB

6.3.1

Menunjukkan Aksi Yang Bersopan Semasa Berinteraksi

Anda boleh menerangkan kepada murid-murid tentang aksi yang bersopan semasa berinteraksi atau berkomunikasi dengan orang lain. Jika murid ingin bercakap dengan orang lain, ajarlah mereka menggunakan nada yang bersesuaian. Pastikan mereka tahu darjat atau pangkat orang yang menjadi pendengar itu sama ada kawan, guru atau orang yang lebih tua daripada mereka. Mereka tidak boleh bercakap kasar dengan orang lain. Gunakanlah bahasa yang bersopan serta tutur kata yang lemah lembut kerana tutur kata itu akan mendatangkan kesan. Terdapat beberapa peribahasa Melayu yang berkaitan tutur kata seperti: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa dan Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Jika orang lain sedang bercakap, jadilah pendengar yang baik walaupun topik yang disampaikan tidak anda minati. Tunjukkan memek muka yang anda sedang memfokuskan apa yang sedang diperkatakannya. Jangan menyampuk pada masa yang tidak sesuai (ketika orang sedang rancak bercerita). Tunggu peluang untuk mencelah. Jangan menghentam pendapat orang lain sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang itu. Ajar murid supaya pandai mengambil giliran untuk berinteraksi. Contoh yang mudah ialah dengan mengangkat tangan untuk bercakap.

6.3.2

Mengenal Panggilan/Pangkat Dalam Masyarakat

Sistem panggilan dalam masyarakat mengambil kira faktor jantina, usia, peringkat umur serta pangkat seseorang. Guru perlu menerangkan kepada murid-murid bahawa masyarakat di Malaysia berbeza daripada Barat yang memanggil seseorang yang lebih tua dengan namanya sahaja. Penggunaan kata ganti nama abang, kakak, pak, mak, di hadapan pangkal nama orang yang disapa bergantung kepada peringkat umur individu tersebut serta perhubungan darah di antara orang yang menyapa dan orang yang menerima sapaan itu. Bentuk sapaan ini berlaku dalam masyarakat kampung serta masyarakat bandar dan juga antara yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. Sistem panggilan dalam masyarakat Melayu turut menitikberatkan perhubungan darah. Sifat hormat-menghormati yang terdapat dalam masyarakat Melayu dilahirkan melalui pelbagai cara seperti penggunaan bahasa percakapan halus dan bersopan santun. Aspek perhubungan darah ini memperlihatkan bentuk sapaan yang digunakan antara ibu dan anak, bapa dan anak, kakak dan adik serta suami dan isteri. Contoh sapaan mak, abah, ibu, ayah, abang, kakak, serta

TOPIK 6

TATATUSILA/ADAB

85

panggilan nama singkatan Mah (Salmah), Lah (Abdullah) bagi yang lebih muda daripada pemanggil. Selain itu, peranan seseorang dalam masyarakat, jawatan yang disandang dan anugerah yang diterima juga menentukan bentuk panggilan. Sebagai contoh, panggilan untuk seorang pendidik seperti cikgu, ustaz dan ustazah. Kebiasaannya, panggilan cikgu tetap digunakan oleh anggota masyarakat selain daripada ahli keluarga atau orang yang mempunyai hubungan akrab dengan pendidik tersebut. Bagi seseorang berjawatan doktor perubatan atau doktor falsafah panggilan yang digunakan ialah doktor dan diikuti dengan nama. Selain itu, bagi seseorang yang mempunyai jawatan selain yang dinyatakan sebelum ini akan dipanggil encik/cik/tuan/puan diikuti oleh nama mereka. Bentuk-bentuk panggilan yang digunakan sehingga ke luar bidang tugas ini adalah untuk menunjukkan tanda hormat dan darjah keakraban yang tinggi. Kata panggilan yang digunakan dalam mahkamah pula seperti tuan hakim untuk hakim, tuan/puan pendakwa raya, dan tuan/puan peguam bela. Sementara itu bagi orang yang telah menunaikan fardu haji di Makkah akan mendapat gelaran keagamaan haji bagi lelaki atau hajah bagi perempuan. Panggilan haji atau hajah digunakan tidak mengira waktu dan latar jika penerima gelaran itu memang orang yang berkecimpung di bidang agama. Panggilan lain untuk orang yang berperanan di bidang ini seperti pak lebai (belum menunaikan haji), ustaz, dan pak imam. AKTIVITI 6.2 Pelajar pendidikan khas perlu dilatih untuk berinteraksi dalam masyarakat. Bincangkan dalam kumpulan anda, cara-cara anda sebagai guru pendidikan khas boleh menggalakkan pelajar anda untuk berinteraksi dengan orang-orang yang ada sekelilingnya.

Murid-murid bermasalah pembelajaran boleh dibimbing untuk menggunakan percakapan yang bertatasusila dan beradab. Murid-murid khas perlu diajar untuk bercakap dengan sopan, melafazkan ucapan dengan nada suara dan sebutan yang betul serta bertindak balas dengan setiap arahan yang diberikan.

86

TOPIK 6 TATATUSILA/ADAB

Mereka juga boleh dilatih berinteraksi dan memberi respons terhadap perbualan orang lain dengan cara yang sepatutnya. Mereka juga boleh dilatih mengikut adab yang betul sebelum, semasa dan selepas makan. Mereka juga sepatutnya diterangkan secara terperinci dan berulang-ulang bentuk panggilan yang boleh digunakan untuk berinteraksi dengan orang lain. Semasa di dalam bilik darjah, guru mengajar secara tidak langsung melalui tingkah laku seperti bekerjasama dengan rakan, saling hormat-menghormati dan sebagainya.

Adab Darjat Pemakanan seimbang Tatasusila

Adab Darjat Pemakanan seimbang Tatasusila

Ee Ah Meng. (2001). Pedagogi II. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti. Gargiulo, R. (2003). Special education in contemporary society: An introduction to exceptionality. Belmont, CA: Wadsworth/Thomson Learning. Heward, W. (2003). Exceptional children: An introduction to special education. Upper Saddle River, NJ: Merrill Prentice Hall. Kamarudin Hj. Husin. (1994). Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors. Koo Kee Peng, Wan Hasmah binti Wan Mamat, & Patifah binti Shamsudin.(2003). Pendidikan Moral Tingkatan 2. DBP.

Anda mungkin juga menyukai