Anda di halaman 1dari 22

PENGENALAN

Topik ini akan menyentuh hal berkaitan bimbingan dan kaunseling serta
khidmat sokongan kanak-kanak berkeperluan khas.

DEFINISI PENDIDIKAN KHAS DAN
BIMBINGAN & KAUNSELING

Terdapat banyak definisi yang telah diberi untuk pendidikan khas dan
bimbingan & kaunseling. Berikut adalah beberapa definisi tentang kedua-dua
bidang ini.

Pendidikan khas adalah satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk
memenuhi kanak-kanak berkeperluan khas (Hallahan & Kaufman, 2006).
Gargiulo (2003) pula mendefinisikan pendidikan khas sebagai satu program
T
T
o
o
p
p
i
i
k
k

1
1

Bimbingan &
Kaunseling dan
Khidmat
Sokongan


Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menyatakan definisi serta prinsip bimbingan, kaunseling dan khidmat
sokongan;
2. Menerangkan sejarah perkhidmatan bimbingan di sekolah; dan
3. Mengenal pasti teknik bagaimana untuk mengumpul maklumat
berkaitan murid.
HASIL PEMBELAJARAN
1.1
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


2
pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar
istimewa melalui penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran
khusus. Dan, Friend (2005) mentakrifkannya sebagai pengajaran yang direka
bentuk khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang kurang upaya yang
mungkin dikelolakan di dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau di
institusi-institusi lain.

Bimbingan dan kaunseling adalah satu proses gabungan di antara membimbing
dan memberi kaunseling untuk menolong individu untuk memahami dirinya
dan dunianya. Proses bimbingan dan kaunseling menunjukkan satu masa
berpanjangan, berlanjutan dan berterusan bagi mencapai matlamat tersebut
(Shertzer & Stone, 1980). Satu proses profesional yang sistematik bagi menolong
individu melalui prosedur pendidikan dan membuat interpretasi untuk
memahami ciri-ciri dan potensinya sendiri, lebih-lebih lagi dengan keperluan
dan peluang sosial mengikut nilai-nilai sosial dan moral (Mathewson, 1962).
Sebagai seorang pendidik di dalam Pendidikan Khas, anda harus memahami
sepenuhnya konsep dan hala tuju bimbingan dan kaunseling dalam profesion
anda.

Berikut adalah definisi lanjut serta prinsipnya tentang:
Bimbingan
Kaunseling
Khidmat sokongan
1.1.1 Bimbingan
(a) Bimbingan adalah satu proses menolong individu untuk memahami
dirinya dan dunianya. Proses ini menunjukkan satu masa yang
berpanjangan, berlanjutan dan berterusan bagi mencapai matlamat tersebut
(Shertzer & Stone, 1980).

(b) Proses profesional yang sistematik bagi menolong individu melalui
prosedur pendidikan dan membuat interpretasi untuk memahami ciri-ciri
dan potensinya sendiri, lebih-lebih lagi dengan keperluan dan peluang
sosial mengikut nilai-nilai sosial dan moral (Mathewson, 1962).

(c) Berasas akan kedua-dua definisi, bimbingan adalah satu proses yang guru
susun dan kendalikan untuk membantu anak muridnya memahami
keadaan dirinya lantas menerima akan kelebihan dan kekurangan diri agar
mencapai pertumbuhan diri yang positif, dinamik dan berterusan.

TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
3
(d) Sebagai seorang guru, anda bertanggungjawab untuk membimbing anak-
anak murid anda yang berkeperluan khas itu menjalani proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas dalam keadaan sebaik mungkin agar
mereka memperoleh manfaat daripada pengalaman bersekolah dan
melalui proses pendidikan.

(e) Bimbingan yang diberi juga kadang-kadang merangkumi pihak ibu bapa
murid-murid terutama sekali dari segi penyesuaian dan penerimaan
terhadap keadaan anak-anak khas mereka itu. Penyesuaian dari segi
persediaan fizikal dan frasarana yang di bawah kawalan ibu bapa amat
penting untuk kesejahteraan kanak-kanak khas, lebih-lebih lagi dalam
keadaan anak-anak itu sedang mengalami zaman bersekolah.

(f) Oleh itu, sebagai seorang guru pendidikan khas, anda juga harus
menguasai beberapa bidang ilmu dan kemahiran yang dipunyai oleh
kaunselor bimbingan dan kaunseling demi melicinkan kerja anda dan
pencapaian matlamat pendidikan secara khususnya.

Bimbingan adalah proses membantu kepada murid-murid kita untuk
memahami dan menyesuaikan diri kepada keadaan sebenar diri mereka pada
kadar jangka panjang dan berterusan demi mencapai matlamat pendidikan
mereka.

Prinsip Bimbingan:

(i) Bimbingan adalah untuk semua murid, tanpa mengira ras atau kaum,
jantina, agama atau kepercayaan, darjat atau kedudukan.
(ii) Perkhidmatan bimbingan dan pengajaran haruslah saling menyokong.
(iii) Bimbingan adalah satu sistem tanggungjawab semua pihak yang
berkenaan dengan pendidikan di sekolah, warga sekolah dan masyarakat
sekeliling.
(iv) Peralatan dan kemudahan yang secukupnya adalah penting.
(v) Masa yang secukupnya hendaklah diberi kepada aktiviti bimbingan,
aktiviti-aktiviti yang terancang boleh menjadi kucar-kacir jika peruntukan
masa tidak mencukupi atau digegaskan prosesnya.
(vi) Bimbingan adalah berkaitan dengan perkembangan murid secara
sistematik dan sistematik.
(vii) Bimbingan hendaklah bermatlamatkan pembinaan sikap matang dan
berdikari.
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


4
(viii) Prinsip asas bimbingan adalah proses perkembangan individu yang
dipelopori oleh teori-teori humanistik Carl Rogers, Sigmund Freud, Jean
Piaget dan Eric Ericson.
(ix) Bimbingan berlandas akan konsep kerjasama bukan paksaan, tingkah laku
peribadi, harga diri serta hak individu.
(x) Bimbingan harus bersifat mendidik, beretika dan berkesinambungan.
1.1.2 Kaunseling
(a) Kaunseling adalah satu proses pembetulan diri untuk berkembang secara
biasa dengan pertolongan pakar dan dapat pula menerima pengalaman
yang belum pernah dirasai supaya dapat disesuaikan dengan diri
seseorang (Carl Rogers, 1976).
(b) Kaunseling adalah satu proses di mana seorang klien diberi peluang untuk
meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan masalah atau
kesusahan baginya (Corey, 1977).
(c) Kaunseling adalah suatu hubungan antara kaunselor dengan klien untuk
membantu perkembangan diri klien. (Amla Salleh, et al., 2006). Hubungan
kaunseling adalah satu jenis hubungan unik yang memerlukan kemahiran
kemanusiaan yang tinggi.
(d) Kaunseling adalah satu proses dan juga aktiviti pertolongan yang
dilakukan oleh kaunselor yang menggunakan pengetahuan dan teknik
psikologi untuk tujuan menolong individu berubah daripada
keadaannya sekarang kepada satu keadaan yang dikehendakinya (Shuaib,
1995).
(e) Sebagai seorang guru pendidikan khas anda perlu memahami dan
menghayati konsep kaunseling supaya anda sendiri dapat menjalankan
proses kaunseling ke atas anak-anak murid anda demi mencapai sasaran
atau matlamat pendidikan yang telah ditetapkan.
(f) Sekiranya anda tidak berpeluang untuk menguasai bidang bimbingan dan
kaunseling, anda harus bekerjasama secara rapat dengan kaunselor sekolah
kerana dia boleh membantu anda menyelesaikan banyak masalah di
samping membantu perkembangan sahsiah murid-murid anda secara
positif.

Prinsip Kaunseling:

(i) Kaunseling mesti berdasar akan etika kaunseling yang baik. Seorang
kaunselor haruslah seorang yang beretika dan bermoral tinggi.
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
5
(ii) Pendekatan kaunseling harus berdasar akan teori humanistik dengan
pendekatan kecenderungan diri.
(iii) Anda harus selalu percaya bahawa setiap individu mempunyai
kemampuan untuk mencapai kesejahteraan diri.
(iv) Seorang kaunselor harus percaya bahawa anak-anak muridnya
mempunyai peluang yang maksimum untuk memilih hidup masing-
masing.
(v) Objektif kaunseling harus berdasar akan keperluan anak-anak murid anda
sebagai klien anda, bukan keperluan anda sebagai kaunselor.
(vi) Hubungan kaunseling adalah permisif. Kepermisifan hubungan ini boleh
dilihat di dalam hubungan di antara kaunselor dengan kliennya. Ia boleh
ditamatkan pada bila-bila masa dan kaunselor tidak boleh memaksa
kliennya menerima nilai atau ideanya. Klien seharusnya dapat menilai dan
menentukan untuk dirinya sama ada untuk menerima atau menolak
gagasan yang dikemukakan oleh kaunselor kepadanya.
(vii) Prinsip kaunseling adalah sejajar dengan prinsip demokrasi. Kaunselor
menerima hak murid-murid sebagai individu yang berbeza kerana setiap
individu berbeza dari segi minat, keperluan, kebolehan intelek, kestabilan
emosi, dan sebagainya. Penerimaan perbezaan individu ini menjadi teras
kepada kepercayaan dalam hubungan di antara kaunselor dan murid-
murid sebagai kliennya.
(viii) Interaksi di antara kaunselor dan murid-murid harus berdasar akan
kepercayaan dan kemesraan. Keprihatinan dan kewibawaan anda
memudahkan anda menjalinkan hubungan yang mesra dengan anak-anak
murid anda.
(ix) Temu bual adalah kaedah yang paling lumrah dan relevan di dalam
kaunseling. Ia diadakan untuk memudahkan perubahan tingkah laku
walaupun bukan semua jenis temu bual adalah kaunseling.
(x) Anda perlu menyediakan keadaan yang memudahkan perubahan tingkah
laku berlaku. Persekitaran yang kondusif untuk berlaku perubahan akan
memudahkan proses perubahan itu.

Kaunseling adalah proses yang bertujuan untuk mempengaruhi perubahan
tingkah laku klien secara sukarela, iaitu klien itu ingin mengubah tingkah
lakunya dan meminta kaunselor untuk membantu mengubahnya. (Patterson,
1967).
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


6
1.1.3 Khidmat Sokongan
Selain memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada anak-anak
murid anda, terdapat beberapa perkhidmatan sokongan lain yang patut anda
sediakan untuk membantu pengajaran dan pembelajaran mereka (rujuk Rajah 1.1).


Rajah 1.1: Khidmat sokongan bimbingan dan kaunseling dalam pendidikan khas

(a) Perkhidmatan Penempatan
(i) Membantu murid-murid memilih kegiatan kokurikulum yang
bersesuaian dengan kebolehan, minat dan kemampuan mereka.
(ii) Membantu murid-murid dalam penempatan program pengalaman
kerjaya yang bersesuaian dengan kemampuan dan kecenderungan
mereka.
(iii) Membantu Bahagian Pendidikan Vokasional dan Teknik atau mana-
mana Badan Berkanun yang berkaitan dalam usaha memberi
pekerjaan kepada murid-murid yang telah selesai menjalani program
khas mereka.
(iv) Membantu murid-murid khas yang berkemahiran tertentu untuk
memasuki bidang pekerjaan yang bersesuaian di Jabatan-jabatan
Kerajaan, kilang-kilang, firma-firma.

(b) Perkhidmatan Mencegah Penyalahgunaan Dadah
(i) Membantu murid-murid daripada terjebak ke dalam masalah
penagihan dadah.
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
7
(ii) Memberi penerangan kepada murid-murid tentang bahaya
penyalahgunaan dadah dan kesan penyalahgunaan ini kepada
kesihatan fizikal mahupun mental.

(c) Perkhidmatan Perundingan dan Rujukan
(i) Menolong bekas-bekas murid dalam hal peribadi, kerjaya, pelajaran
dan sebagainya jika diperlukan.
(ii) Membantu pihak pentadbir sekolah dalam hal urusan bimbingan dan
kaunseling dalam pendidikan khas dengan memberi penerangan
lanjut dan mendalam tentang kedua-dua program ini.
(iii) Membantu ibu bapa dalam hal kebajikan anak-anak mereka.
(iv) Mendapat bantuan dan sokongan semua warga sekolah untuk
membantu dalam program pendidikan khas.
(v) Merancang bersama staf-staf sekolah yang lain berkenaan cara yang
paling berkesan untuk memajukan program pendidikan khas.
(vi) Mengadakan prosedur yang sistematik dalam merujuk kes-kes
tertentu kepada agensi-agensi, pakar-pakar, pegawai-pegawai
kebajikan dan sebagainya.

(d) Perkhidmatan Penyelarasan Sumber
(i) Menjadi penyelaras dalam hubungan luar sekolah dengan agensi-
agensi luar.
(ii) Menjadi penyelaras dengan bakal-bakal majikan, agensi-agensi
pekerjaan atau orang-orang kenamaan yang boleh membantu
program pendidikan khas.
(iii) Menjadi pakar rujuk dalam kegiatan kokurikulum yang berkaitan.
(iv) Merancang pelbagai aktiviti bimbingan dan kaunseling yang boleh
membantu anak-anak murid pendidikan khas anda.

(e) Perkhidmatan Perbincangan dengan Ibu Bapa
(i) Mengadakan hubungan mesra dengan ibu bapa murid-murid untuk
bersama-sama mengawasi kemajuan mereka dalam bidang akademik
mereka.
(ii) Menghubungi ibu bapa murid-murid apabila terdapat kepincangan
dalam kemajuan pelajaran atau penguasaan kemahiran murid-murid
anda.
(iii) Mengadakan kaunseling keluarga jika perlu.

TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


8
(f) Perkhidmatan Penilaian
(i) Menilai program bimbingan dan kaunseling yang digunakan di
dalam pendidikan khas untuk mengenal pasti kesesuaian dan
sumbangannya.
(ii) Menjalankan langkah-langkah bersesuaian dalam pemurnian
program.
(iii) Mengadakan program bimbingan rakan sebaya dan program latihan
untuk golongan murid-murid yang bersesuaian.



PERKHIDMATAN BIMBINGAN DI
SEKOLAH
1.2.1 Sejarah Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah
Konsep kaunseling yang digunakan di Malaysia dipengaruhi dengan banyak
oleh pengalaman di Amerika Syarikat walaupun pada peringkat awalnya ia
dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku di England. Kaunseling bermula
di Amerika Syarikat apabila Jesse B. Davis, seorang kaunselor, mula
menjalankan aktiviti-aktiviti yang membantu murid-murid bimbingannya dalam
bidang bimbingan, pendidikan dan vokasional di sebuah sekolah di Detroit
dalam tahun 1898. Perkembangan selanjutnya berlaku dalam usaha-usaha yang
dijalankan oleh William R. Harper, Eli Weaver, Frank Parson, William Healy dan
pakar-pakar kaunseling lain di dalam kajian, penulisan atau kerjaya mereka.

Selepas 1960-an, bidang bimbingan dan kaunseling mengalami perkembangan
yang pesat dan usaha ditumpukan kepada peningkatan perkhidmatannya.
Penumpuan kepada peranan kaunselor dan akauntabiliti menjadi fokus
perkhidmatan. Pelbagai teori dikemukakan pakar-pakar di dalam bidang ini. Di
1. Huraikan pemahaman anda tentang Bimbingan dan Kaunseling.
2. Terangkan kepentingan pengetahuan bimbingan dan kaunseling
kepada seorang guru pendidikan khas.
3. Senaraikan perkhidmatan sokongan yang terdapat di dalam
bimbingan dan kaunseling yang boleh memberi sumbangan
kepada pendidikan khas.
SEMAK KENDIRI 1.1
1.2
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
9
antara pakar-pakar psikologi dan perkhidmatan yang menyumbang kepada
kemajuan ini ialah Holand (1973), Super, dan Roe yang membangunkan model
bimbingan dan kerjaya (Shertzer & Stone, 1992). Pakar kaunseling yang tersohor
di dalam kaunseling ialah Sigmund Freud, Carl Rogers, B.R. Skinner, dan
Corsini. Sumbang-sumbangan mereka telah membawa impak yang besar dan
signifikan kepada bidang ini dan teori serta pendekatan bimbingan dan
kaunseling yang mereka kemukakan masih lagi dipakai sehingga ke hari ini.

Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bermula dalam tahun 1960-an apabila
konsep Guru Panduan Kerjaya diperkenalkan ke dalam sistem persekolahan
Malaysia. Walaupun terdapat usaha-usaha untuk mempelopori perkhidmatan
panduan kerjaya pada tahun-tahun sebelum dan selepas Malaya Merdeka pada
tahun 1957, hanya selepas tahun 1960 baharu perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling bertapak apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling
tentang kepentingan perkhidmatan ini di sekolah-sekolah. Dalam tahun 1961,
Jawatankuasa Penyelarasan Bimbingan Vokasional dibentuk dan telah
menghasilkan buku panduan bertajuk Handbook on Training Facilities in the
Federation of Malaya (Amla et al., 2006).

Perkembangan lebih pesat berlaku selepas syarat lulus Peperiksaan Darjah Enam
dihapuskan untuk kemasukan ke tingkatan satu dalam tahun 1964. Perubahan
polisi pendidikan Malaysia (Tanah Melayu) telah meluaskan peluang
pendidikan dari enam tahun ke sembilan tahun dan ini telah menyebabkan
bilangan kemasukan pelajar menjadi sangat banyak dengan aras pencapaian
akademik serta kebolehan yang sangat jauh perbezaannya. Tiada piawai khas
yang ada untuk mengukur keupayaan pelajar. Untuk mengatasi kepincangan ini,
Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan perkhidmatan bimbingan di
sekolah-sekolah yang dikenali sebagai panduan (Amla, ibid), melalui bantuan
seorang konsultan UNESCO dari Kanada, R.K. Mackenzie (1962-1963). Beliau
telah menyediakan latihan mengendalikan perkhidmatan bimbingan kepada
beberapa orang pegawai pendidikan Malaysia. Dalam tahun 1969, seramai 275
orang guru telah mengikuti kursus singkat di Maktab Perguruan Ilmu Khas,
Cheras di Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Institut Perguruan Ilmu Khas).
Program ini berjalan sehingga tahun 1980 dengan bantuan UNESCO. Selepas itu,
program Sijil Khas Bimbingan dan Kaunseling telah diperkenalkan di institusi
yang sama.

Selaras dengan perkembangan awal program ini, pihak Kementerian telah
mengeluarkan peraturan pengendalian program dengan mewujudkan jawatan
Ketua Unit Panduan Pelajaran dalam tahun 1968. Kementerian kemudian
mengeluarkan panduan mengajar untuk guru panduan pelajaran ini supaya
waktu mengajar mereka tidak lebih daripada 25 waktu. Guru bimbingan sekolah
menegah mempunyai 14 tugas manakala guru sekolah rendah 11 tugas. Mulai
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


10
1972, Kementerian telah menyediakan peruntukan kewangan kepada sekolah
untuk menjalankan aktiviti bimbingan dan kaunseling. Dalam tahun 1973,
Kementerian telah menubuhkan Unit Pendidikan Penyalahgunaan Dadah di
bawah Bahagian Sekolah-sekolah, dan dalam tahun 1975 jawatan Penolong
Ketua Unit Panduan Kerjaya telah diwujudkan.

Laporan Kabinet 1979 telah menyarankan agar perkhidmatan guru-guru
panduan kerjaya ini diperluaskan kepada aspek tingkah laku pelajar juga, bukan
terhad kepada kerjaya sahaja. Unit Hal Ehwal Murid disarankan ditubuhkan di
sekolah-sekolah yang ada Unit Bimbingan dan Kaunseling. Unit Bimbingan dan
Kaunseling telah diarah memperluaskan perkhidmatan bimbingan merangkumi
aspek peribadi dan sosial pelajar (Kementerian Pendidikan, 1993). Dalam tahun
1981, Unit Penyalahgunaan Pendidikan Dadah telah ditukar menjadi Unit
Bimbingan dan Kaunseling dengan diketuai oleh pegawai bertaraf Ketua
Penolong Pengarah yang dibantu oleh empat orang pegawai. Pegawai
penyelaras pendidikan penyalahgunaan dadah juga turut dilantik. Guru
bimbingan dan kaunseling hanya diberi waktu mengajar 12 jam sahaja kerana
kepekaan pihak Kementerian terhadap pelbagai masalah atau kerenah murid-
murid yang semakin meningkat yang dihadapi oleh sekolah, guru dan
masyarakat. Langkah-langkah ini diambil untuk membantu pertumbuhan yang
sihat di kalangan murid-murid.

Pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertarikh 2 Januari 1985,
Pekeliling KP (BS) 859/Jld. 2 (29) (Kementerian Pendidikan 1993), telah
mengarahkan supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah
berserta satu garis panduan beban kerja guru bimbingan dan kaunseling. Di
dalam pekeliling yang sama terdapat agihan peruntukan kewangan sebanyak
empat puluh sen setahun untuk setiap seorang murid mulai 1993 dan
pembekalan ini masih lagi sama sehingga ke hari ini (Pekeliling KP 1573/17/Jld.
8/ (78). Dan pada bulan Jun 1996, jawatankuasa sekolah sepenuh masa
ditubuhkan. (Amla et al., 13).

Di peringkat pendidikan perguruan, beberapa program pendidikan kaunseling
telah ditawarkan oleh beberapa buah Institut Pengajian Tinggi tempatan. Selain
kursus seminggu dalam cuti penggal yang dikelolakan oleh Maktab Perguruan
Ilmu Khas (MPIK) yang berjalan lancar dari tahun 1969 sehingga 1980, Maktab
ini kemudiannya mengendalikan kursus sijil perguruan khas bimbingan dan
kaunseling selama setahun untuk para guru bimbingan pada tahun seterusnya.
Mulai tahun 1982 juga, Bahagian Pendidikan Guru telah memperkenalkan
kursus dalam cuti (KDC) untuk dikiuti oleh para guru bimbingan yang akan
menghadiri kursus ini selama 7 atau 8 minggu dalam masa cuti penggal
persekolahan. Mulai 1987, Institut Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malin (kini,
Universiti Perguruan Sultan Idris) mula memperkenalkan kursus setahun
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
11
Diploma Bimbingan dan Kaunseling dan tahun seterusnya Institut Aminuddin
Baki, Genting Highland telah memulakan kursus Kejurulatihan Program
Bimbingan Rakan Sebaya. Kursus kejurulatihan ini selama tiga bulan termasuk
praktikum. Dan mulai tahun 1989, kursus Perguruan Khas Bimbingan dan
Kaunseling MPIK telah dipindahkan ke Institut Perguruan Darul Aman, Jitra
Kedah.

Bermula dalam tahun 1980, Universiti Kebangsaan Malaysia telah
memperkenalkan Kursus Diploma Kaunseling selama dua semester untuk guru-
guru bimbingan yang berijazah. Dan dalam tahun 1982 Universiti Putera
Malaysia (pada ketika itu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia) telah
memperkenalkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling)
yang memberi keutamaan kepada guru-guru yang memiliki Sijil Perguruan Khas
Bimbingan dan Kaunseling dan berpengalaman berkhidmat sebagai guru
bimbingan sekurang-kurangnya selama lima untuk mengikuti kursus itu. Guru-
guru yang menjalani kursus dalam perkhidmatan (KDP) ini akan kembali ke
sekolah-sekolah mereka untuk berkhidmat sebagai kaunselor, dan kebanyakan
daripada mereka kemudian ditempatkan semula di pejabat-pejabat pendidikan
negeri atau daerah sebagai pegawai yang merancang dan mengurus program di
kawasan atau tempat masing-masing.

Etika kerja yang cemerlang di dalam bidang bimbingan dan kaunseling amat
dititikberatkan. Aspek profesionalisme diambil berat kerana cabaran yang
dihadapi semakin rumit dan memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi.
Malaysian Vocasional Guidance Association atau Persatuan Bimbingan
Vokasional Malaysia telah ditubuhkan pada 1973 untuk mengembangkan
bidang vokasional di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Persatuan
Kaunseling Malaysia yang lebih dikenali dengan singkatan namanya,
PERKAMA, telah dirasmikan penubuhannya pada 1982, dengan harapan
bahawa pada awal 1990 perkhidmatan kaunseling boleh memberi perkhidmatan
bertaraf profesional. Beberapa langkah selanjutnya telah diambil oleh pihak yang
berwajib. Pihak Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan Majlis
Kaunseling Negara untuk memajukan bidang bimbingan dan kaunseling di
dalam negara. Berikutan inisiatif ini, akta Kaunselor telah digubal dan
diwartakan oleh Parlimen Malaysia pada tahun 2000. Akta yang dikenali sebagai
Akta Kaunselor 580, selain melindungi hak-hak pengguna dan kliennya di dalam
bidang kaunseling, mempunyai peruntukan untuk menubuhkan sebuah
lembaga yang dinamakan sebagai Lembaga Kaunselor Malaysia. Lembaga ini
berfungsi sebagai badan induk untuk mengawal selia amalan kaunseling di
Malaysia, dan tugas utama lembaga ini adalah mendaftar semua kaunselor yang
berkhidmat di Malaysia.

TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


12
Pendaftaran ini memberi lesen amalan kaunseling kepada kaunselor berdaftar
yang ingin memberi khidmat mereka kepada masyarakat Malaysia. Selain
mendaftar para kaunselor, lembaga ini juga menetapkan piawai latihan
kaunseling di dalam negara dan ia mempunyai kuasa mendakwa untuk
sebarang penyelewengan dalam perkhidmatan kaunseling di dalam negara.
Dengan termaktubnya Akta Kaunselor 580 di Malaysia, tahap profesionalisme di
kalangan kaunselor telah dapat dipertingkatkan dan bidang kaunseling semakin
menjadi relevan dan penting di dalam pendidikan Malaysia.
1.2.2 Tugas Guru Bimbingan dalam Membantu
Keperluan Kanak-kanak Khas
Kanak-kanak khas memerlukan bimbingan dan asuhan yang lebih berbanding
murid-murid normal di sekolah. Mengambil kira keadaan dan keperluan khas
mereka, seorang guru pendidikan khas perlu mempunyai kemahiran dan ilmu
yang mendalam tentang bidang mereka, dan pengetahuan tentang ilmu
bimbingan dan kaunseling dapat membantu meringankan tugas-tugas ini.
Sekiranya guru khas itu sendiri tidak berpeluang atau berkemampuan untuk
menguasai disiplin ilmu yang agak berbeza dengan kepakaran khususnya,
kehadiran guru kaunseling di sekolah yang sama harus dimanfaatkan. Guru
bimbingan, atau lebih khusus dikenali sebagai kaunselor, boleh membantu guru
khas dalam pelbagai bidang dan sama-sama menangani kerenah murid-murid
khas di sekolah itu.

Kanak-kanak khas sering mempunyai masalah dalam bidang akademik,
hubungan sosial, motivasi, dan peralihan mengambil peranan sebagai orang
dewasa. Di kebanyakan sekolah, mereka dikenali sebagai kanak-kanak
bermasalah pembelajaran, terencat akal atau bermasalah emosi (Olson & Platt,
2004). Mereka sering belajar di dalam persekitaran yang sama dengan kanak-
kanak khas yang mempunyai kurang upaya ringan yang lain, dan ada juga di
kalangan murid-murid ini yang belajar dalam program inklusif. Di Amerika
Syarikat, dalam sesi persekolahan 1998-1999, 47.4% murid-murid bermasalah
pembelajaran, 13.8% murid-murid terencat akal dan 25.5% murid-murid
bermasalah gangguan emosi menghabiskan 80% daripada masa persekolahan
mereka di dalam kelas-kelas biasa (Jabatan Pelajaran Amerika Syarikat dalam
Olson & Pratt, ibid). Senario sebegini pun wujud di negara kita walaupun pada
kadar yang lebih kecil peratusnya kerana program khas di negara kita masih lagi
di peringkat awal pengenalannya lagi.

Seorang kaunselor boleh membantu meringankan tugas-tugas seorang guru khas
kerana kepakarannya dalam bidang psikologi dan kaunseling. Menurut Quigney
& Studer di dalam Tamara (2005):
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
13
Bersandar akan latihan dan pengalaman mereka, para kaunselor
sekolah harus memainkan peranan yang penting dalam memupuk
kerjasama dan perancangan program pendidikan inklusif. Golongan
profesional ini mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam
hubungan-hubungan sesama insan, pembangunan kumpulan,
kemahiran-kemahiran interpersonal dan dinamik kaunseling.
(140)

Kaunselor boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah murid-murid dari
segi jangka pendek. Sekiranya seorang murid itu menghadapi masalah
penyesuaian peringkat awal di sekolah, murid itu boleh dirujuk kepada
kaunselor untuk mengubah sikap atau pendekatan dirinya supaya dia boleh
diterima oleh rakan sebaya di sekolah itu di samping dia menyesuaikan diri
dengan persekitaran barunya. Dan, kaunselor boleh juga memperkembangkan
kefahaman dan celik akal yang boleh menolong murid-murid menghadapi dan
menyelesaikan masalah-masalah baru yang mungkin timbul dalam situasi-
situasi lain, untuk penyelesaian masalah jangka panjang.

Dari segi perkembangan sahsiah, murid-murid khas memerlukan bimbingan
yang lebih berbanding golongan murid normal. Oleh sebab keadaan fizikal atau
mental, mereka sering menghadapi masalah perasaan rendah diri (inferiority
complex) yang boleh menyebabkan pelbagai masalah lain wujud. Peranan
kaunselor adalah untuk membawa perubahan positif di dalam diri murid itu
agar menerima dirinya seadanya dan membentuk perasaan positif di dalam
dirinya. Pelbagai program boleh dirancang dan dijalankan oleh kaunselor untuk
mengatasi masalah ini. Personaliti individu adalah dinamik, yakni sikap
seseorang itu boleh berubah-ubah mengikut kehendak dan keperluannya.
Kaunselor melalui proses kaunselingnya, boleh mempercepatkan perubahan
tingkah laku ke arah positif, dan program perubahan tingkah laku ini amat
berguna kepada program pendidikan khas. Oleh kerana keadaan dan
kemampuan semula jadi murid-murid itu menyebabkan mereka ketinggalan
dalam pelbagai perkara, proses mempercepatkan perubahan sikap ini sangat
banyak membantu pertumbuhan mereka terutama sekali dalam proses
pembelajaran. Kaunseling yang diberi selalunya dalam bentuk perbualan, sama
ada melalui kaunseling individu, kaunseling kelompok ataupun kaunseling
klinikal. Kaunselor akan menentu akan kesesuaian jenis kaunseling kepada
individu itu melalui keperluan dan kehendaknya.

Di dalam hubungan dengan ibu bapa, guru bimbingan boleh membantu ibu
bapa mencari penyelesaian terhadap masalah peribadi yang dialami akibat
kehadiran kanak-kanak khas itu di dalam kehidupan mereka. Hubungan baik
dan mesra yang wujud di antara anda dan ibu bapa anak didik anda boleh
dipertingkatkan oleh kehadiran kaunselor di dalam hubungan itu. Kaunseling
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


14
dengan ibu bapa boleh mewujudkan penerimaan yang sihat terhadap kehadiran
kanak-kanak khas itu oleh ibu bapanya, adik beradik, ahli keluarga lain dan juga
masyarakat setempat. Ini timbul kerana penerimaan positif ibu bapa boleh
mewujudkan suasana positif yang merangkumi kehidupan kanak-kanak itu
menyebabkan dia mempunyai penampilan yang disukai orang lain. Ibu bapa
yang mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan sekolah akan banyak
membantu sekolah di dalam pentadbiran dan hubungan sosialnya. Kaunselor
boleh mewujudkan perasaan sayang akan sekolah dalam diri ibu bapa apabila
mereka melihat peranan dan kesan pendidikan khas terhadap anak mereka.

Guru bimbingan boleh memberi kesedaran kepada orang lain tentang peranan
dan keperluan pendidikan khas melalui penerangan dan aktiviti-aktiviti yang
dijalankan oleh mereka. Sokongan moral dan bantuan dalam mengendalikan
beberapa program berkaitan boleh memberi kesedaran kepada mereka yang
kurang arif tentang masalah yang dihadapi oleh guru dan murid-murid
pendidikan khas. Kesedaran ini boleh membentuk penerimaan dan sikap positif
pada orang itu atau masyarakat yang berkenaan. Sekiranya dia berada di
kedudukan yang membuat keputusan, banyak keputusan positif yang boleh
membantu program pendidikan khas yang boleh dibuatnya. Untuk golongan
yang berkemampuan, pelbagai bantuan bentuk kewangan atau bukan kewangan
boleh disumbangkannya. Justeru itu, banyak yang boleh disumbangkan oleh
guru bimbingan atau kaunselor ini kepada pendidikan khas. Hubungan yang
baik dengannya memungkinkan akan pelbagai kelebihan wujud di dalam
program pendidikan khas. Sebagai Seorang pengantara di antara anda sebagai
guru pendidikan khas dengan pihak pengurusan sekolah, pihak ibu bapa dan
pihak masyarakat di luar sekolah,guru bimbingan atau kaunselor ini adalah
rakan yang baik di dalam perjuangan mendidik golongan berkeperluan khas ini.

Kaunselor berperanan sebagai konsultan kepada institusi di mana dia bertugas.
Kenyataan ini bermaksud bahawa kaunselor juga bertanggungjawab memberi
khidmat bantuan kepada guru sekolah dan ibu bapa yang perlukan bantuan
dalam memahami strategi tertentu dalam membantu murid-murid atau
menangani masalah yang ditimbulkan oleh murid-murid. (Amla et al., 2006).


1. Senaraikan kronologi sejarah program bimbingan dan kaunseling
di Malaysia.
2. Bagaimanakah seorang guru bimbingan dapat membantu
keperluan kanak-kanak khas?
SEMAK KENDIRI 1.2
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
15
TEKNIK MENGUMPUL MAKLUMAT
TENTANG MURID

Mengumpul maklumat tentang murid adalah amat penting di dalam program
bimbingan dan kaunseling. Melalui kajian empirikal, data-data serta maklumat
yang terkumpul boleh membantu dalam usaha menyusun dan mengendalikan
program-program khas yang boleh membantu kanak-kanak khas. Penyelidikan
yang rapi boleh meringankan beban kerja guru-guru dan menjamin akan
kejayaan program yang dirancang. Penyelidikan didefinisikan sebagai satu
proses penyiasatan kritikal yang sistematik, terkawal dan empirik mengenai
saranan-saranan hipotetikal berkenaan dengan hubungan-hubungan yang
diterima pakai di antara hubungan fenomena semula jadi (Kerlinger, dalam
edaran Bahagian Pendidikan Guru, 2001). Penyelidikan di dalam kaunseling
membolehkan kaunselor mengumpul data atau maklumat yang bukan sahaja
membantunya memahami sesuatu perkara atau menolak sesuatu kenyataan
malah boleh membantunya membina persoalan lain (Bahagian Pendidikan Guru,
ibid). Pelbagai teknik atau kaedah yang boleh dipakai untuk tujuan penyelidikan
atau pengumpulan maklumat ini dan setiap satunya mempunyai kekuatan
masing-masing.

Guru bimbingan yang cekap selalu berusaha untuk mendapat gambaran yang
jelas tentang klien-kliennya. Perkara-perkara yang diberi perhatian ialah
maklumat am klien, kesihatan, pencapaian, bakat, penyesuaian, peribadi, minat,
rancangan masa hadapan, dan latar belakang keluarga. Aspek-aspek yang perlu
diperhatikan ialah suasana di rumah, keadaan fizikal, perhubungan sosial,
bidang intelektual dan pertumbuhan emosi (Aquino dan Alviar dalam Zulfipli
Yusuf, 1988). Banyak kaedah pengumpulan maklumat yang boleh dijalankan
oleh guru bimbingan untuk mengetahui siapakah di antara murid-muridnya
yang perlu menghadiri sesi kaunseling. Berikut adalah sifat-sifat biasa yang
wujud pada diri seseorang murid yang memerlukan kaunseling:

(a) Murid yang selalu mempunyai rekod pencapaian akademik yang rendah.
(b) Murid yang mengalami masalah kewangan.
(c) Murid yang selalu lewat datang ke sekolah atau mempunyai rekod ponteng
sekolah atau ponteng kelas yang tinggi.
(d) Murid yang menghadapi kesukaran untuk mengikuti aktiviti kelas atau
program kokurikulum di sekolah.
(e) Murid yang sering menghadapi masalah menunjuk-nunjuk untuk menarik
perhatian orang lain.
(f) Murid yang secara tiba-tiba ingin berhenti sekolah.
1.3
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


16
(g) Murid yang menghadapi masalah menyesuaikan diri di sekolah.
(h) Murid yang mempunyai bakat, kemahiran, kebolehan atau pencapaian
akademik luar biasa.
(i) Murid yang terlalu pemalu, menghadapi masalah penarikan diri, ketakutan
atau fobia.
(j) Murid yang selalu terbantut atau ketinggalan dalam menyelesaikan kerja-
kerja rumah atau tugasan-tugasan lain di sekolah.
(k) Murid yang sentiasa mencari alasan untuk pulang lebih awal daripada
waktu bersekolah yang sepatutnya.
(l) Murid yang terlalu aktif di dalam kegiatan-kegiatan kokurikulum dan
sebagainya.
(m) Murid yang mempunyai masalah tingkah laku seperti permusuhan, agresif,
membuli, mencuri, vandalisme, bercakap bohong dan seumpamanya.

Mengumpul maklumat boleh dibuat melalui pelbagai teknik atau kaedah. Tiga
kaedah utama yang disarankan di dalam modul ini ialah Teknik Repertory Grid,
Teknik Rorscaha dan Teknik Bukan Ujian. Teknik lain juga akan diterangkan
secara lanjut untuk rujukan dan pemahaman anda.
1.3.1 Teknik Repertory Grid
Wan Rafaei dalam Zulkifli Yusuf (1988) telah menerangkan bahawa teknik
repertory grid adalah amat sesuai untuk digunakan di Malaysia kerana ia
mengandungi kandungan perkataan di dalam arahannya yang sedikit dan tidak
memerlukan terjemahan yang banyak. Kaedah Repertory grid boleh dianggap
sebagai temu duga yang berstruktur. Seseorang yang dikaji itu akan memberi
nilaian angka kepada tafsiran peribadinya mengenai hubungan interpersonalnya
dengan orang lain. Teknik ini mudah difahami kerana ia memberi peluang
kepada subjek yang dikaji melahirkan fikiran dan perasaannya terhadap sesuatu
perkara tanpa dipengaruhi oleh pendapat pengkaji. Kaedah kajian ini amat
sesuai digunakan di sekolah-sekolah dan menganalisis dapatannya mudah
kerana terdapat perisian komputer yang menghurai dapatan itu secara
terperinci.


TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
17
1.3.2 Teknik Rorscaha
Teknik Rorscaha atau Rorschach Ink blot Test direka oleh seorang ahli psikiatri
Swiss, Hermann Rorschach pada tahun 1921. Ia terdiri daripada 10 keping kad
yang setiap satunya mempunyai suatu tompok dakwat yang kompleks seperti
yang terdapat di dalam Rajah 1.2.


Rajah 1.2: Tompok dakwat Rorscaha

Setengah-setengah tompok itu adalah bertinta hitam dengan berlatar akan warna
putih dan yang selebihnya berwarna-warni. Murid-murid ditunjukkan kad-kad
tersebut, sekeping demi sekeping mengikut turutan tertentu. Murid-murid
diminta untuk mentafsirkan apa yang mereka lihat sepintas lalu itu. Kebebasan
sepenuhnya diberi kepada subjek untuk mentafsir tompok dakwat yang
dilihatnya. Sekiranya subjek meminta untuk memusing-musing gambaran
tompok dakwat itu, pendekatan ini dibenarkan. Setelah subjek selesai memberi
jawapan kepada semua gambaran di kad-kad tersebut, penguji akan mengulangi
jawapan yang telah diberi untuk kepastian.

Pelbagai jawapan akan diterima dalam ujian teknik Rorscaha dan setiap seorang
subjek akan memberi jawapan yang berbeza daripada rakan-rakannya yang lain.
Jawapannya bergantung kepada persepsi dan latar belakang pengalaman subjek
itu masing-masing. Jawapan ini menggambarkan personaliti atau keadaan emosi
individu itu. Tafsiran yang tepat bergantung kepada kemahiran penyelidik dan
pengalamannya dalam mengendalikan ujian ini.

Contoh jawapan seorang remaja yang telah melalui ujian Rorscaha:

Jawapan 1: Tangan-tangan kecil cuba mencapai sesuatu dan ada dua orang
yang meminta pertolongan; dua orang itu cuba berpadu antara
satu sama lain tetapi garisan di tengah memisahkan mereka.
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


18
Jawapan 2: Dua orang berpisah dan cuba bersatu tetapi tidak boleh. Ruang di
tengah memisahkan mereka.

Jawapan 3: Macam ada dua orang yang sedang bergaduh kerana hendak
mendapatkan sesuatu barang.

Jawapan ini diberi oleh seorang murid perempuan berusia awal remaja, yang ibu
bapanya baru bercerai. Tafsiran kepada jawapannya bertema akan dua orang. Ini
tertonjol di dalam jawapan yang diberinya. Mungkin ibu bapanya berpisah
tetapi cuba untuk bersatu semula namun jurang perbezaan merumitkan
penyatuan semula itu. Murid itu menyatakan ruang di tengah merupakan
dirinya dan dirinya menjadi rebutan di antara kedua-dua ibu bapanya serta
dirinya yang direbut itu juga adalah orang yang meminta pertolongan. Oleh
itu, pentafsiran ujian Rorsacha memerlukan seorang penyelidik yang terlatih dan
berpengalaman (Ee Ah Meng, 1989).
1.3.3 Teknik Bukan Ujian
Teknik Bukan Ujian merupakan kaedah-kaedah yang memerlukan guru atau
penyelidik itu menyelidik dokumen-dokumen yang terdapat di dalam simpanan
sekolah, berjumpa dengan ibu bapa klien sambil menemu ramah mereka,
berinteraksi serta berkomunikasi dengan para guru yang lain yang ada hubung
kait dengan murid itu dan menjalinkan hubungan mesra yang profesional
dengan klien. Berikut adalah huraian teknik-teknik bukan ujian yang boleh
digunakan untuk mengumpul maklumat dalam program bimbingan dan
kaunseling:

(a) Melalui Rekod Himpunan
(i) Rekod Himpunan 001 (M) 77 adalah rekod peribadi pendaftaran
murid-murid di sekolah Malaysia.
(ii) Kad ini mengandungi beberapa butir peribadi murid-murid termasuk
nama, tarikh lahir, tempat lahir, agama, nombor kad pengenalan,
alamat rumah termasuk tentang latar belakang keluarga yang
lengkap, pekerjaan ibu bapa, rekod kehadiran ke sekolah serta
kegiatan kokurikulumnya, pencapaian akademik dan biasiswa atau
penghargaan yang diterima.
(iii) Rekod ini juga mengandungi minat dan kecenderungan murid-murid
dan sifat-sifat semula jadi mereka.
(iv) Ia juga mengandungi rekod temu ramah dengan murid itu dan/atau
ibu bapa/penjaganya.
(v) Laporan guru.
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
19
(vi) Dan data penting yang terdapat di dalam kad ini ialah rekod
kesihatannya termasuk kes-kes khas, jika ada.

(b) Laporan Guru-guru
(i) Guru boleh memberi laporan secara rasmi atau tidak rasmi tentang
seseorang murid. Ini mungkin berkenaan dengan hubungan guru-
murid itu di dalam kelas atau di luarnya, pencapaian atau minat
murid itu terhadap pelajaran yang diajar, atau berkaitan dengan
tingkah laku murid itu secara amnya. Laporan ini boleh dibincangkan
oleh Jawatankuasa Bimbingan di sekolah. Borang khas untuk
merujuk murid kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah
boleh disediakan untuk memudahkan pelaporan guru ini.

(c) Temu Duga dengan Ibu Bapa
(i) Teknik menemu duga ibu bapa ini adalah kaedah berkomunikasi
dengan sumber data. Hubungan yang baik dengan ibu bapa amat
penting dan dapat membantu kerja atau tanggungjawab seorang
guru bimbingan dengan banyak. Temu duga bertujuan untuk
mengumpul maklumat dan merupakan peringkat pertama dalam
proses kaunseling. Keluarga boleh memberi maklumat rahsia tentang
murid itu yang boleh membantu proses kaunseling atau bimbingan.
Punca-punca masalah murid-murid boleh dianalisakan daripada
maklumat yang diterima daripada pihak ibu bapanya
berkemungkinan ibu bapa murid itu terlalu mengharap, sangat
mengawal, sangat emosional, membeza-bezakan akan anak-anak dari
segi layanan atau mempunyai sikap tidak realistik tentang batasan-
batasan dan kemampuan anaknya.
(ii) Kerahsiaan adalah amat penting dan perlu diutamakan di dalam
proses ini.
(iii) Guru bimbingan harus mengadakan temu duga dalam suasana yang
selesa serta mesra, tenang dan tidak terlalu formal.

(d) Melalui Autobiografi
(i) Penulisan murid tentang dirinya mengandungi banyak rahsia
peribadi.
(ii) Ini boleh diperoleh melalui penulisan karangan pendek mengenai
dirinya, diari-diari atau catatan harian.
(iii) Sungguhpun menganalisis autobiografi adalah agak rumit kerana ia
bersifat subjektif, data atau maklumat yang diperoleh amat ekstensif
atau eksklusif dan dapat membantu kerja seseorang guru bimbingan
dengan banyak.
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


20
(e) Melalui Soal Selidik
(i) Soal selidik boleh dalam bentuk borang sehelai kertas sahaja atau
beberapa helaian kertas yang mengandungi soalan-soalan tertentu.
(ii) Soalan-soalan ini boleh dalam bentuk soalan tertutup, pertanyaan
atau soalan terbuka, atau gabungan kedua-dua jenis soalan ini.
(iii) Soal selidik yang dirancang dan disediakan dengan baik boleh
memberi maklumat yang tinggi kebolehpercayaan dan kesahihan
datanya.
(iv) Soal selidik mudah dikendalikan, amat praktikal dan maklumat
tambahan sering boleh diperoleh melalui ruangan cadangan/komen
subjek yang disoal.

Dan satu lagi teknik yang boleh digunakan ialah melalui Ujian Piawai yang telah
tersedia. Ujian ini boleh membantu seorang murid memahami dirinya sendiri
bukan hanya sekadar untuk mengukur kebolehan atau kemampuannya sahaja.
Ujian mula digunakan oleh Binet di Peranchis dalam tahun 1904 sebagai kaedah
penting penyelidikan dan ia kemudiannya telah dipopularkan oleh Thorndike.
Ujian diadakan untuk mendapat maklumat tambahan atau sebagai penyumbang
maklumat untuk mengkolaborasikan maklumat temu duga kerana maklumat
dari temu duga sahaja tidak mencukupi untuk proses bimbingan yang lengkap.
Dua jenis ujian ialah ujian individu dan ujian kelompok. Ujian boleh dalam
pelbagai jenis bentuk permainan, berbentuk soal jawab, soalan-soalan aneka
pilihan, ada yang memerlukan pemeringkatan, dan ada yang memerlukan reaksi
sahaja. Kebolehpercayaan dan kesahihan maklumat dalam ujian perlu dikenal
pasti dan dikawal.

Penyelidikan merupakan satu daripada disiplin ilmu yang amat penting di
dalam proses bimbingan dan kaunseling. Ia memberi maklumat dan data-data
yang penting tentang klien lalu memudahkan kerja atau tanggungjawab kita
sebagai seorang kaunselor. Oleh itu, jalankan penyelidikan di dalam program
anda.



1. Nyatakan kepentingan penyelidikan kepada program bimbingan
anda.
2. Huraikan teknik-teknik utama penyelidikan yang boleh digunakan
di sekolah anda.
SEMAK KENDIRI 1.3
TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN
21


Bimbingan adalah satu proses menolong individu untuk memahami dirinya
dan dunianya.
Bimbingan adalah untuk semua murid, tanpa mengira ras atau kaum,
jantina, agama atau kepercayaan, darjat atau kedudukan.
Kaunseling adalah satu proses pembetulan diri untuk berkembang secara
biasa dengan pertolongan pakar.
Kaunseling mesti berdasar akan etika kaunseling yang baik. Kaunselor itu
haruslah yang beretika dan bermoral tinggi.
Konsep kaunseling di Malaysia dipengaruhi dengan pengalaman di Amerika
Syarikat.
Antara teknik yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang murid
adalah:
(a) Teknik Repertory Grid;
(b) Teknik Rorscaha; dan
(c) Teknik Bukan Ujian.


Bimbingan dan kaunseling
Kajian empirikal
Penyelidikan





Amla Salleh, Zuria Mahmud & Salleh Amat. (2006). Bimbingan dan kaunseling
sekolah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Amir Awang. (1987). Teori dan amalan psikoterapi. Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang.

TOPIK 1 BIMBINGAN & KAUNSELING DAN KHIDMAT SOKONGAN


22
Bahagian pendidikan Guru. (September 2001). Bimbingan dan kaunseling
(sekolah rendah). Kuala Lumpur. (Edaran terhad KDP tidak diterbit).

Corey, G. (2001). Theory and practice of counseling and psychotherapy. Pacific
Groove, CA: Brooks/Cole Pub. Co.

Ee Ah Meng. (1989). Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Petaling Jaya: Siri
Pendidikan Fajar Bakti.

Erickson, G.D., & Hogan, T.P. (Ed.). (1981). Family therapy. Monterey, CA:
Brooks/Cole Pub. Co., (2nd ed.).

Olson, J., & Platt. J.C. (2004). Teaching children and adolescents with special
needs. Upper Saddle River, NJ. (4th ed.).

Zulkifli Yusuf. (1988). Panduan khidmat bimbingan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai