Anda di halaman 1dari 8

KAEDAH MENGAJAR PENDIDIKAN ISLAM: SUATU APLIKASI

KEPADA MURID-MURID SAUDARA BARU DI SEKOLAH RENDAH.


oleh DR RAJIEE HADI & USTAZAH NORUMAZA HASHIM
PENGENALAN
Dari perpesktif Islam pengertian proses pengajaran dan pembelajaran( p&p) dalam lslam
merupakan segala perubahan atau peristiwa yang berlaku ke atas diri seseorang individu
adalah merupakan proses p&p. P& P dalam Pendidikan lslam merupakan satu ibadah dan
amanah kepada guru untuk diberikan kepada murid-murid. Ia merupakan satu-satunya jalan
dan teknik bagi manusia untuk sampai kepada kebenaran (hakikat) yang bertolak dari
premis tauhid serta tidak memisahkan aspek akal dan jasad sebagai suatu yang bersepadu.
Pengajaran dan pembelajaran menurut Islam merupakan pembentukan keseluruhan potensi
diri individu dengan berlandaskan nilai-nilai ketuhanan atau rohani supaya manusia boleh
menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai hamba Allah S.W.T yang
terbaik. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud Tiada pemberian orang tua terhadap
anaknya yang lebih utama selain pendidikan yang baik dan ajarilah anak-anak kamu
kalimah La IIaha IIallah ( tiada tuhan melainkan Allah) sewaktu ia mulai berbicara dan
ajarlah mereka untuk membaca La IIaha IIalah sewaktu menghadapi kematian.
2.0 KAEDAH PENGAJARAN BERTERASKAN PENDIDIKAN MENURUT ISLAM.
Mendidik murid-murid saudara baru perlu menggunakan ilmu yang tepat atau diambil
daripada al-Quran dan hadis. Guru perlu mengambilnya sebagai panduan untuk mendidik
murid-murid saudara baru mereka. Iman dan takwa adalah asas dalam pendidikan awal
murid-murid khususnya murid-murid saudara baru kerana dengan asas inilah Rasulullah
S.A.W berjaya mendidik para sahabatnya.
Murid-murid saudara baru patut diperkenalkan supaya mencintai Rasulullah S.A.W dan
mencintai keluarga baginda. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh At Tabrani
daripada Ali bin Abi Talib yang bermaksud Ajarlah anak-anak kamu tiga perkara, mencintai
nabi kamu, dan mencintai keluarganya serta membaca al-Quran. Sebab para pembaca al-
Quran berada di arasy Allah S.W.T bersama-sama para anbiya-Nya dan ashfiya-Nya pada
hari tiada naungan melainkan naungan Allah S.W.T sahaja.
Murid-murid saudara baru juga perlu dibiasakan untuk mentaati kedua ibu bapa dan guru.
Perasaan kasih dan takut terhadap ibu bapa dan hormat kepada guru akan menghalang
mereka daripada bersikap melawan atau menentang.Guru atau ibu bapa bergaul dengan
anak didik mereka hendaklah secara berhikmah dan kasih sayang. Selain itu membiasakan
murid-murid saudara baru dengan adab susila yang baik sejak mereka masih kecil lagi
amat dituntut. Sebagai rujukan asas kepada para pendidik, Allah S.W.T menjelaskan dalam
Al-Quran tentang kebijaksanaan Luqman Hakim dalam mendidik anaknya secara
berperingkat-peringkat sebagai proses pengajaran dan pembelajaran anaknya.



3.0 PEMERINGKATAN ILMU ISLAM SECARA UMUM
3.1 Pelajaran Peringkat Pertama
Kebijaksanaan manusia adalah sebenar adalah juga kebijaksanaan Tuhan, ( true human
wisdom is also divine wisdom), kedua-duanya tidak boleh dipisahkan . Permulaan bagi
semua kebijaksnaan adalah sifat keakuran dan kekuasaan Allah S.W.T. Anak-anak yang
baru dilahirkan ( jika dilahirkan terus daripada ibu bapa Islam ) akan diazankan pada telinga
kanan bayi lelaki dan diqamatkan pada telinga kiri dan bayi perempuan sebagai tanda
pengenalan terhadap pencipta yang sebenar.
Tugas ini merupakan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Tindakan ini supaya
fikiran dan hati anak-anak yang baru dilahirkan akan dapat menerima kasih sayang daripada
AllahS.W.T Mudah-mudahan dengan perlaksanaan amalan ini, setiap bayi akan dapat
mengingati pelajaran pertama sehingga ke akhir hayatnya.
3.2 Pelajaran Peringkat Kedua
Murid-murid saudara baru akan diajar untuk berbuat baik kepada ibu bapa dan guru.
Ketaatan juga ditegaskan kepada ibu bapa dan guru agar mereka terus menyedari betapa
pentingnya dan berjasanya kedua ibu bapa dan guru dalam hidup mereka. Sifat syukur
terhadap Allah S.W.T sebagai pencipta akan diikuti dengan perasaan taat yang tidak
berbelah bagi terhadap ibu bapa dan guru.
3.3 Pelajaran Peringkat ketiga
Balasan daripada Allah S.W.T terhadap semua tindakan semasa hidup diajar kepada murid-
murid saudara baru. Penegasan terhadap kekuasaan Allah S.W.T dalam mengetahui apa
sahaja yang diniatkan, diperlakukan dan diperkatakan oleh murid-murid saudara baru
diberitahu supaya mereka bersedia dengan pengajaran mengenai hari keadilan dan
pembalasan.
3.4 Pelajaran Peringkat keempat
Kewajipan murid-murid saudara baru untuk menunaikan solat sebanyak lima kali sehari
akan ditekankan. Pengajaran diikuti dengan penekanan terhadap bacaan dan hafalan al-
Quran sebagai melengkapi dan menyempurnakan ibadat solat tersebut. Tanggungjawab
guru disini adalah mengajar anak didik mereka agar boleh membaca al-Quran dan
berusaha untuk menghabiskan bacaan keseluruhan al-Quran antara umur lapan hingga
sepuluh tahum. Sementara ibadah seperti solat dan berpuasa itu pula boleh dipraktikkan
seawal usia tujuh tahun.
3.5 Pelajaran Peringkat Kelima
Guru akan mendidik murid-murid saudara baru tentang perbuatan baik dan jahat. Mendidik
murid-murid saudara baru agar melakukan perbuatan yang baik dan disukai Allah S.W.T
dan melarang serta menjauhi perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah
S.W.T.banyak membantu memupuk keperibadian Islam di jiwa mereka seawal
usia.Penjelasan terhadap hak setiap murid-murid saudara baru untuk menyuruh ke arah
kebaikan dan melarang perbuatan kejahatan ke atas setiap ahli dalam keluarga yang
diberikan.
3.6 Pelajaran Peringkat Keenam
Sifat sabar dalam diri setiap murid-murid saudara baru diajar. Guru patut mendidik mereka
baru agar bersabar ke atas setiap ujian Allah S.W.T dan dalam menempuhi kesusahan dan
ketegasan dalam kehidupan. Mereka dididik dan diajar agar menjauhi sifat berputus asa
dan mengalah dalam perkembangan hidup.
3.7 Pelajaran Peringkat Ketujuh
Mendidik murid-murid saudara baru agar membuang perasaan angkuh dan takbur, sama
ada terhadap Allah S.W.T atau sesama manusia. Mereka turut didedahkan dengan
keburukan dan kelemahan sekiranya mempunyai angkuh dan takbur dalam diri.
3.8 Pelajaran Peringkat Kelapan
Melarang murid-murid saudara baru daripada bersifat angkuh dan meninggi diri sebaliknya
sentiasa merendah diri dan bersifat sederhana dalam segala hal. Mereka juga dididik
supaya bersifat merendah diri dalam hal-hal yang berkaitan dan tidak bersifat keterlaluan
dalam sesetengah hal, sebaliknya lebih bersifat sederhana.
3.9 Pelajaran Peringkat Kesembilan
Bersifat sederhana dalam kehidupan patut diajar kepada setiap murid-murid saudara baru.
Perasaan ingin bersederhana sangat penting dalam kehidupan bagi memupuk sifat ikhlas
dan reda.

4.0 PENDEKATAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIDIKAN
ISLAM
Pendekatan dari segi konsep dalam pendidikan adalah cara mendekati sesuatu. Ianya
merujuk kepada bagaimana cara sesuatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya.
Dalam ayat lain pendekatan dalam bidang pendidikan pula merujuk kepada satu set teori
pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran
berdasarkan kepada objektifnya dan pendekatan haruslah berlandaskan kepada modal,
prinsip atau teori pembelajaran.
Justeru pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan sebagai medan
dakwah kepada murid-murid saudara baru adalah di antaranya:
i. Pendekatan Deduktif
ii. Pendekatan Induktif
iii. Pendekatan Bersepadu
iv. Pemusatan Pelajar
v. Bertema ( Thematic Approach)

Pendekatan Deduktif didefinisikan sebagai suatu pendekatan mengajar yang
bermula daripada satu atau beberapa rumus, prinsip , hukum atau peraturan diikuti dengan
aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Pendekatan deduktif ini juga boleh
digunakan bagi memperolehi kesimpulan yang baru daripada rumus, prinsip, hukum atau
peraturan yang telah diketahui Contohnya kejadian alam semulajadi seperti awan, langit,
gunung, laut dan sebagainya adalah ciptaan Allah S.W.T dan manusia tidak mampu untuk
menciptakannya kerana keupayaan dan kuasa manusia adalah terhad.
Pendekatan Induktif pula melibatkan aktiviti mengumpul dan menafsir maklumat-maklumat,
kemudian membuat kesimpulannya yang mana guru memulakan pengajaranya dengan
memberikan beberapa contoh yang khusus tetapi mengandungi satu prinsip yang sama .
Justeru berdasarkan kepada contoh yang telah diberi , murid-murid saudara baru dibimbing
memikir, mengkaji , mengenal pasti dan mentafsir maklumat yang terkandung dalam contoh-
contoh khusus itu kemudian membuat kesimpulan yang berkenaan.
Contohnya murid-murid saudara baru ini dikehendaki menyenaraikan nama- nama benda di
sekeliling mereka seperti meja , kerusi, kipas, lampu, tingkap, pintu , buku, pen , pensil dan
sebagainya dirumuskan bahawa benda-benda yang disenaraikan dan dikumpulkan itu
adalah hasil pembuatan manusia dengan Allah S.W.T mengurniakan akal fikiran kepada
manusia untuk mencipta secara kreatif dan inovatif. Sementara guru pula haruslah
membantu membimbing dan menghubungkait serta menggabungjalinkan benda-benda
ciptaan manusia dan banding beza dengan hasil ciptaan Allah S.W.T.
Pendekatan pengajaran seterusnya adalah pendekatan bersepadu yang membawa maksud
melaksanakan semua unsur yang terdapat dalam kurikulum, secara bercantum atau
bersatu yang mana semua ilmu diajar dengan cara saling berkaitan di antara satu sama lain.
Di bawah rancangan KSSR konsep kesepaduan diamalkan dalam penggunaan strategi
penggabungjalinan dan penyerapan. Ini adalah bertujuan untuk menjalin serta
mengadunkan unsur-unsur ilmu, nilai, kemahiran belajar dan penggunaan bahasa yang
baik.
Contohnya dalam pelajaran wuduk tahap satu, murid-murid saudara baru sebelum
mengambil wuduk dikehendaki membaca niat , pada asasnya pelajaran wuduk dalam
konsep ibadah namun ianya boleh digabungjalinkan dengan akidah kerana niat merupakan
asas penting dalam sesuatu kepercayaan dan amalan kepada Allah S.W.T maka tanpa niat
tidaklah sah wuduk tersebut.Guru sewajarnya menerangkan secara jelas hubung kait dan
gabung jalin antara aspek akidah (niat) dan ibadah (rukun).
Pendekatan pengajaran keempat adalah pemusatan pelajar. Menerusi pendekatan
pemusatan murid saudara baru , guru dan murid bersama-sama memainkan peranan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Murid aktif menyertai komunikasi berbentuk dua hala.
Guru menyoal dan murid menjawab dan sebaliknya. Suasana kepimpinan adalah bersifat
demokratik.
Dalam pendekatan ini pencapaian objektif pembelajaran murid-murid saudara baru
diutamakan. Pendekatan ini lebih menekankan perkembangan murid (dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek), pembelajaran kendiri , pengarahan kendiri, kaedah dapatan dan
inkuiri penemuan, Selain itu pendekatan pemusatan pelajar turut menekankan ujian formatif
yang menggunakan hasil ujian untuk memperbaiki dan mengatasi kelemahan kelemahan
murud diasamping kefahaman dan bahan-bahan bermakna. Contohnya murid- murid
saudara baru tahap satu (7-9 tahun) diajar menghafal sifat-sifat Allah S.W.T seperti
wujud,qidam, baqa dan seterusnya.
Guru meminta murid-murid saudara baru ini menghafal secara lisan secara bergilir-gilir atau
guru menyebut sifat Allah yang pertama, kemudian guru meminta murid saudara baru
menyebut sifat Allah yang kedua dan selanjutnya.Guru memberi arahan secara berfokus
atau berpusat dengan menumpukan kepada seseorang murid atau kumpulan dalam
kelas.Dengan ini guru berupaya membantu murid-murid saudara baru bagi meneguhkan
kemahiran mendengar,kemahiran menyebut/sebutan dan kemahiran mengingati/kognitif.
Menerusi pendekatan pengajaran tersebut murid lebih berminat terhadap pelajaran yang
dipenuhi aktiviti dan lebih berupaya menggunakan segala yang telah dipelajari serta
memindahkan kepada situasi baru. Naluri ingin tahu dapat diperkembangkan lagi melalui
kaedah seperti inkuiri dan penemuan. Dalam aspek ini murid-murid saudara baru sentiasa
mempamerkan sifat-sifat sosial yng positif seperti berkerjasama , bertimbang rasa, tolong
menolong dan sebagainya.
Pendekatan pengajaran yang kelima adalah pendekatan bertema ( Thematic Aproach)
.Tema memberi maksud idea yang besar, dengan itu pengajaran tematik bermakna
pengajaran yang dismpaiikan melalui satu idea yang besar , Contoh-nya tema seperti solat
perkara-perkara samiyyat, bersuci dan lain-lain.
Pada kebiasaannnya satu-satu tema kemudiannya dipecahkan kepada komponen-
komponen yang kecil. Dalam setiap komponen terdapat lagi topik-topik kecil yang
dibincangkan. Contohnya bertemakan puasa Ramadan yang akan dibincangkan adalah sub
topik seperti niat berpuasa Ramadan, rukun puasa, syarat sah puasa, perkara-perkara yang
membatalkan puasa. Dengan berdasarkan sesuatu tema; pengetahuan murid-murid
saudara baru ini dapat dikembangkan secara komprehensif yang berkaitan dengan
pelajaran puasa Ramadan.

5.0 BAHAN BAHAN DAN PRINSIP-PRINSIP DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM
Apabila mendidik dan mengajar serta diselitkan dengan mengukuhkan dakwah lslamiah
kepada saudara baru beberapa prinsip Pendidikan Islam telah digunakan iaitu Prinsip dari
mudah kepada sukar/abstrak ( Minas Sahlah ila Syubah), Prinsip dari Dekat kepada yang
Jauh ( Minal Qarib ila Baid), Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui
( Minal maalum ilal majhul, Prinsip dari Dekat kepada yang Jauh ( Minal Qarib ila Baid),
Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal maalum ilal majhul),
Prinsip daripada maujud kepada mujarad dan Prinsip daripada yang spesifik kepada yang
umum ( Minal Khas ilal Am).
Prinsip dari mudah kepada sukar ( Minas Sahlah ila Syubah) bermaksud isi atau
kandungan yang akan disampaikan kepada murid-murid perlu ditingkatkan supaya yang
mudah didedahkan kepada para pelajar sebelum yang susah diperkenalkan. Sebagai
contoh manusia mencipta kereta atau motokar, manusia membina rumah, membuat kerusi
meja tetapi Allah S.W.T mencipta angin,hujan,malam,bintang,matahari dan seumpamanya.
lnilah kejadian dan fenomena alam yang patut mereka ketahui asal usul kejadian .Setiap
yang ada atau wujud mesti ada si penciptanya.
Pemeringkatan ini penting bagi tujuan supaya murid dapat mengikutinya secara beransur-
ansur dan murid yang lemah akan dapat dikesan dan dibantu pembelajarannya. Dalam erti
kata lain guru hendaklah sentiasa mengamalkan prinsip ini dalam semua pengajarannya
supaya isi yang disampaikan berkesan dan mencapai objektifnya.
Prinsip dari dekat kepada yang jauh ( Minal Qarib ila Baid). Prinsip ini menjurus kepada
memberi bimbingan kepada pelajar untuk mengenali sesuatu topik dengan membawa
contoh yang terdekat dalam proses pembelajaran dan pengetahuan pelajar. Kebiasaannya
pelajar berasa agak sukar memahami mata pelajaran akidah yang disampaikan oleh guru
atau daripada buku teks. Justeru guru mestilah kreatif dalam memberi contoh terdekat
dengan mudah serta pengetahuan dan pengalaman para pelajar sehingga dapat
menghilangkan kekaburan dan kefahaman mereka.
Dalam bidang ulum syariah ada baiknya contoh diberikan berdasarkan cara murid-murid
bersolat atau mendirikan sembahyang.Ada murid-murid saudara baru ini yang telah pun
mengalami amalan pengetahuan itu sendiri seperti solat lima waktu sehari semalam. Ini
mungkin kerana ada murid-murid ini yang telah mempelajarinya daripada saudara tertua,
rakan sebaya atau daripada ibu bapa mereka. Tetapi tidak dinafikan juga ada murid-murid
atau ahli keluarga mereka yang tidak pernah solat.
Penyampaian tajuk solat hendaklah dilakukan dari yang dekat kepada jauh seperti bermula
dari memperkenalkan waktu solat fardu dan rakaatnya, niat dan cara mendirikan
solat.Berdasarkan prinsip ini guru dapat menyusun langkah dan aktiviti yang sesuai serta
kaedah dan teknik yang berkesan untuk memudahkan mencapai objektif pelajaran. Di dalam
bilik darjah, semasa pengajaran menggunakan prinsip ini guru dapat mengesan kemampuan
murid untuk memahami pelajaran ini dengan membuat penilaian lisan yang berterusan
seperti soal jawab di samping penglibatan murid secara maksimum terutama dalam amali
solat. Prinsip ini hendaklah diamalkan dalam pengajaran Ulum Syariah yang lain juga.
Prinsip dari perkara yang diketahui kepada yang tidak diketahui ( Minal maalum ilal majhul).
Prinsip ini pula berperanan untuk menghubungkan pelajaran yang akan disampaikan
dengan perkara yang berlaku dan berkaitan dengan pengalaman dan kehidupan setempat
murid. Dalam hal ini guru akan melaksanakan pengajaran dengan menyelidiki terlebih
dahulu pengetahuan sedia ada murid yang mana semasa penerangan guru dimana-mana
langkah samada melalui soalan , gambar bahan dan sebagainya.
Guru sewajarnya mengaitkan pelajaran yang lalu dengan pelajaran yang baru juga berkaitan
dengan prinsip justeru itu di dalam merancang isi pelajaran penyampaiannya juga
hendaklah dirancang dengan mengamalkan prinsip dari yang diketahui kepada yang belum
diketahui. Guru mengaitkan pengalaman baru dengan pengalaman sedia ada murid-murid
saudara baru..
Dalam pelajaran ulum syariah bagi mata pelajaran fekah, murid-murid-murid saudara baru
telah pun tahu mengenai apakah erti wuduk atau mengambil air sembahyang. Sebahagian
murid-murid saudara baru telah pun mengalami cara-cara mengambil wuduk dengan meniru
perbuatan ibu bapa mereka. Prinsip ini memberi penekanan kepada amalan yang teratur
yang mana bermula dari pengalaman yang ada pada murid dan dikembangkan kepada yang
belum diketahui seperti guru memperkenalkan anggota wuduk yang wajib dan sunat,
sempadan setiap anggota wuduk tersebut dan cara mengambil wuduk yang
betul.Pengajaran berdasarkan prinsip ini akan berjaya mencapai objektifnya apabila guru
menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai dan penglibatan pelajar dalam amali wuduk
tersebut.
Prinsip daripada maujud kepada mujarad bersandarkan daripada sesuatu benda yang
wujud dan boleh dipegang, dilihat dan dirasa membawa kepada sesuatu yang abstrak.
Perkara yang abstrak ini memerlukan daya deria yang merangsang pemikiran untuk
mengetahuinya dengan bukti-bukti yang wujud di sekitar murid-murid. Justeru menerusi
rancangan pengajaran dan isi pengetahuan yang dikembangkan hendaklah berasaskan
kepada pengetahuan sedia ada murid-murid; misalnya kewujudan benda-benda di
persekitaran mereka.
Dalam pelajaran tauhid misalnya guru mengajar mengenai kewujudan Allah S.W.T itu wujud
dan bukti kewujudan Allah ialah wujudnya alam ini. Pengetahuan murid-murid yang sedia
ada ialah mereka mengetahu bahawa setiap benda yang ada pada mereka ada
pembuatnya. Mereka tahu kerusi yang mereka duduk ada tukangnya, meja yang mereka
gunakan ada pembuatnya, kereta yang mereka naiki ada kilang pengeluar dan pembuatnya
malah baju yang mereka pakai ada tukang jahitnya, semuanya itu tidak terjadi dengan
sendiri, begitu juga dengan alam ini seperti langit, bumi, sungai, lautan dan semua yang
mereka nampak, pegang dan rasa penciptanya ialah Allah s.w.t. Alam ini tidak terjadi
dengan sendirinya.
Jika kita kagum dengan rekaan kereta yang canggih, rekaan alat-alat teknologi yang hebat
tentulah pembuat dan perekanya hebat.Namun ketahuilah bahawa Allah S.W.T lebih maha
hebat lagi kerana Allah telah mencipta manusia dan alam.Oleh yang demikian dengan
menjalankan prinsip dari yang wujud kepada mujarad atau abstrak maka pengajaran dapat
berjalan dengan lancar dan objektif dapat dicapai.
Prinsip daripada yang spesifik kepada yang umum ( Minal Khas ilal Am) berperanan untuk
membimbing pelajar mengenali sesuatu tajuk pelajaran dengan menemukan bahagian-
bahagian kecil secara beransur untuk disimpulkan menjadi satu fakta atau hukum dan
peraturan yang mana bagi memastikan keberkesanannya.
Perkembangan isi pelajaran ianya haruslah disusun berdasarkan sesuatu yang khusus
kepada sesuatu yang umum. Oleh itu dalam pengajaran tersebut, pendekatan induktif
dengan prinsip khusus kepada umum adalah berbeza, kerana prinsip ini lebih menekankan
kepada perkembangan isi pelajaran untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Justeru
menerusi prinsip ini guru hendaklah memilih isi pelajaran yang tersusun dan sesuai serta
mempunyai ciri-ciri khusus isi pelajaran .
Contohnya sekiranya guru mengajar mengenai hadas kecil dan hadas besar, guru
hendaklah menjelaskan dahulu ciri-ciri khusus hadas kecil atau hadas besar , sebelum
membuat satu konsep atau pengertian yang umum tentang ciri-ciri yang telah diterangkan.
Guru perlu terlebih dahulu memberikan ciri-ciri hadas kecil seperti kencing, najis binatang,
buang air besar, darah dan sebagainya,Selepas itu barulah guru memberi penjelasan
berhubung topik yang berkaitan.

Prinsip ini akan lebih merangsang murid untuk mengetahui perkembangan isi tersebut
sehingga guru memastikan bahawa segala kaedah dan strategi pengajaran yang dijalankan
bertepatan dan akhirnya objektif yang ditetapkan tercapai.
KESIMPULAN
Murid-murid atau kanak-kanak khususnya bagi murid-murid saudara baru sekolah rendah
sama ada pada Tahap Satu (7-9 Tahun) dan Tahap Dua (10-12 tahun) merupakan
anugerah yang sangat berharga. Justeru sewajarnya guru memberi didikan yang benar dan
sempurna agar mereka berkembang menjadi seorang remaja dan dewasa yang menepati
ciri-ciri sebagaimana yang dikehendaki oleh lslam.
Guru sewajarnya juga sentiasa memastikan setiap murid-murid boleh mengingati dan
memahami arahan dan ajaran yang disampaikan oleh guru. Misalnya dalam pelajaran tata
cara berwuduk dan rukun-rukun dalam solat.Sepanjang proses pembelajaran dan
pengajaran berlangsung sudah tentu guru perlu memberi sepenuh perhatian ke atas setiap
tingkah laku dan gerak balas murid-murid.Di samping itu wujudkan suasana pembelajaran
dan pengajaran yang penuh kasih saying dan mesra supaya murid-murid saudara baru ini
berasa seronok dengan subjek Pendidikan lslam dan tidak berada dalam situasi terpaksa.
Sebagai penutup, guru Pendidikan lslam hendaklah sentiasa turut serta bersama murid-
murid saudara baru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Dan yang
lebih berkesan, guru hendaklah sentiasa memberikan contoh yang positif sebagai model
untuk mereka ikuti sama ada dari sudut bahasa, berpakaian,sikap, perlakuan mahupun
penonjolan afektif.Mudah-mudahan kemahiran dan kebijaksanaan guru mengenal pasti
ekspresi muka dan gerak badan murid-murid seperti ini akan menjalinkan kesefahaman dan
kekal jiwa dan roh lslam untuk selama-lamanya. (sumber tulisan: oleh DR RAJIEE HADI &
NORUMAZA HASHIM)@ Hakcipta Terpelihara.

Anda mungkin juga menyukai