Anda di halaman 1dari 15

64

Impak Cahaya dan Pencahayaan Terhadap Keselamatan Warga di Sekolah



Safial Aqbar Zakaria, Aziah Ismail
Faculty of Architecture, RWTH Aachen, Germany
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang
(aa_doctorate2003@yahoo.com)
(aziah@usm.my)


Abstrak : Segala aktiviti dalam kehidupan manusia amat bergantung kepada cahaya yang wujud
dalam persekitaran mereka. Walaupun banyak manfaat yang diperoleh daripada cahaya namun
tanpa disedari cahaya dan pencahayaan memberikan impak yang positif dan negatif terhadap
kesihatan manusia. Artikel ini bertujuan menjelaskan impak aspek berkenaan terhadap keselamatan
khususnya kesihatan murid, guru dan staf dalam melaksanakan tanggungjawab mereka di sekolah.
Antara perkara yang dihuraikan dalam artikel ini adalah kajian-kajian lalu yang berkaitan dengan
perkaitan antara aspek cahaya dan pencahayaan dengan situasi selamat di sekolah; kepentingan
cahaya dan pencahayaan terhadap kehidupan manusia, tahap optimum cahaya yang diperlukan oleh
badan manusia; serta impak positif dan negatif cahaya dan pencahayaan kepada manusia
terutamanya terhadap murid sekolah. Berdasarkan tinjauan karya dan kajian yang lalu, dapat
dirumuskan bahawa aspek cahaya dan pencahayaan perlu diberi perhatian dalam usaha
menyediakan persekitaran yang selamat di sekolah. Persekitaran tersebut bukan sahaja dijangka
dapat meningkatkan pencapaian akademik murid tetapi turut meningkatkan tahap kepuasan kerja
dan prestasi kerja guru dan staf di sekolah.

Kata kunci: cahaya dan pencahayaan; sekolah selamat; impak cahaya dan pencahayaan

Abstract: All activities in human life are depending on light and lighting. However, despite the
benefits of light and lighting, these are positive and negative impacts on human safety and health.
This article aims to explain the impact of light and lighting upon the students, teachers and schools
staff safety and health in order to fulfill their responsibilities. Among the aspects explained in this
article are previous studies related to the relationship between light and lighting and the school
safety; the importance of light and illumination in human life; the optimum level of light that
needed by the human body; and the positive and negative impacts of light and lighting to human
body especially students. Based on previous studies, it can be concluded that the aspect of light and
lighting have to be considered in order to provide a safe school environment. In addition, such
environment, can also increase the level of job satisfaction and job performance among teachers and
staff in schools.

Keyword: light and lighting; safe school; the impact of light and lighting


PENGENALAN

Pelaksanaan Pendidikan Wajib pada tahun 2003 telah menjelaskan bahawa setiap ibu bapa yang
merupakan warganegara Malaysia hendaklah memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan
wajib di sekolah rendah (Malaysia, 1999). Dengan pelaksanaan dasar pendidikan wajib ini
bermakna kerajaan sudah mampu memberikan pendidikan percuma kepada semua kanak-kanak.
Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia dan pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana
pembelajaran yang selamat. Namun, seiring dengan pelaksanaan dasar ini, pihak sekolah
menghadapi cabaran yang besar, iaitu untuk mengekalkan persekitaran sekolah yang selamat dan
selesa tanpa mengalami sebarang kecederaan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (Abd.
65
Rahim, 1999). Justeru, hal ini diberikan penekanan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
pada 16 Januari 2007. Terdapat pelbagai aspek yang difokuskan dalam pelan tersebut, termasuklah
melahirkan modal insan melalui sistem pendidikan yang menyediakan aspek 3K iaitu keselamatan,
kebersihan dan keceriaan di semua sekolah. Pelaksanaan ini diperkukuh dengan kewujudan
Jawatankuasa Induk 3K yang dipengerusikan Datuk Hon Choon Kim bagi menangani masalah yang
berkaitan keselamatan murid, keselamatan fizikal sekolah dan asrama sosial/persekitaran, bencana
alam serta lokasi sekolah. Walau bagaimanapun, aspek 3K bukan sahaja ditumpukan kepada murid
sekolah tetapi juga pentadbir dan staf sekolah yang memainkan peranan dalam melaksanakan
pengurusan sekolah kerana mereka merupakan tunggak untuk menjayakan aspirasi berkenaan
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011).

Persekitaran Sekolah yang Selamat dan Kondusif

Sekolah merupakan sebuah institusi formal yang diwujudkan oleh masyarakat bagi menerapkan
fungsi-fungsi sosiolisasi dan budaya menukarkan atau membawa perubahan perwatakan yang
diperlukan dalam kalangan kanak-kanak. Malahan, sesebuah sekolah juga sering dirujuk sebagai
sebuah masyarakat yang hidup secara aktif, mempunyai banyak bilik darjah, bangunan serta
halaman yang menyediakan persekitaran fizikal bagi kerja dan kehidupan bagi masyarakat di
dalamnya untuk berinteraksi dan menjalankan aktiviti bersama. Menurut Farrant (1985), ciri-ciri
yang nyata ada pada sesebuah sekolah adalah murid, guru, buku, peralatan dan bangunan. Walau
bagaimanapun, aspek kecemerlangan dan keberkesanan sesebuah sekolah bukan sahaja terhad
kepada perkara-perkara tersebut tetapi sering dikaitkan dengan aspek keselamatan sekolah
berkenaan. Stoll dan Fink (1996) menyatakan bahawa sekolah berkesan adalah sekolah yang
selamat, teratur dan tertib serta membenarkan pelajar miskin dan kelas pertengahan mencapai tahap
prestasi yang memuaskan terutamanya dalam bidang akademik.

Menurut Ahmad Zabidi (2006), aspek keselamatan harus diberi perhatian serius semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dan sepanjang sesi persekolahan berlangsung. Hal ini kerana
kebanyakan kajian yang dijalankan menunjukkan keselamatan sekolah dapat mewujudkan iklim
sekolah yang baik dan kondusif untuk pembelajaran yang bermotivasi, membantu pelajar
memperoleh pencapaian yang lebih baik serta meningkatkan kepuasan kerja guru. Sehubungan
dengan hal ini, Halpin dan Croft (1963) menegaskan bahawa iklim sekolah yang berkesan
mempunyai ciri-ciri berikut: (1) guru berasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan, (2) guru tidak
rasa tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan muridnya, (3) pengetua merasa penuh
yakin terhadap kerjanya, serta bertimbang rasa, dan (4) pelajar berasa selamat dan belajar
bersungguh-sungguh. Justeru, iklim yang positif dan kondusif sangat perlu diwujudkan di sebuah
sekolah bagi menghasilkan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Usaha bagi menyediakan suasana sekolah yang selamat ini untuk guru dan murid adalah bertepatan
dengan keperluan manusia terhadap apek keselamatan dalam kehidupan manusia seperti yang
dinyatakan dalam Teori Maslow (1943). Maslow membahagikan keperluan individu ini kepada lima,
iaitu keperluan psikologi, keperluan keselamatan, keperluan sosial, keperluan harga diri dan
keperluan matlamat diri (Rajah 1). Menurut Atan Long (1970), setiap makhluk yang bernyawa amat
mementingkan aspek keselamatan dalam hidup. Namun, keperluan terhadap aspek ini adalah pada
kadar yang berbeza mengikut individu. Terdapat individu yang kurang menitikberatkan keperluan
kepada keselamatan dan keadaan ini menjadikan mereka lebih gemar bersendirian. Tetapi terdapat
individu yang memerlukan aspek keselamatan pada tahap yang tinggi sehingga menjadikan mereka
bergantung kepada orang lain dalam banyak hal. Justeru, Salleh Buang (1996) menegaskan bahawa
warga dalam sesebuah sekolah amat memerlukan perlindungan, keselesaan, keselamatan serta
kawalan dari aspek perundangan dalam usaha menyediakan persekitaran yang kondusif untuk
proses pengajaran dan pembelajaran.
66
















Rajah 1 : Hierarki Keperluan Manusia oleh Maslow (1943)

Bagi sekolah-sekolah di Malaysia, usaha tersebut dijelmakan melalui pelaksanaan konsep Sekolah
Selamat. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2002), konsep Sekolah Selamat merujuk
kepada segala usaha untuk meningkatkan keselamatan sekolah agar dapat berperanan dengan
berkesan sebagai tempat mendidik serta menimba ilmu tanpa sebarang gangguan fizikal, mental,
emosi dan teknikal. Sehubungan itu, semua sekolah di Malaysia diminta memastikan manual
keselamatan dapat disediakan, iaitu keselamatan di dalam kelas, di dalam makmal sains, bengkel
kemahiran hidup atau di padang, keselamatan fizikal dan bangunan sekolah, keselamatan dalam
bidang sosial serta keselamatan persekitaran dan lokasi sekolah. Justeru, Kementerian Pelajaran
Malaysia amat berharap kesan daripada persekitaran sekolah yang selamat akan mewujudkan warga
sekolah yang bahagia, sihat mental dan emosi, serta mampu memberi tumpuan kepada pelajaran dan
juga aktiviti sekolah yang lain. Alam persekolahan yang menyeronokkan juga akan melahirkan
warga sekolah yang rela memberi sumbangan secara positif kepada sekolah, masyarakat dan negara.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam
Thye pula menyatakan bahawa konsep sekolah selamat tidak seharusnya terbatas kepada masalah
disiplin, jenayah, ancaman kepada pelajar, membuli dan sikap gangster semata-mata, tetapi juga
perlu meliputi aspek keselamatan bangunan, peralatan dan kemudahan sekolah (Shamsiah Shahrul
Banun A. Ghani, Azaiah Ab. Latih, 2005). Malahan aspek keselamatan bangunan, peralatan dan
keselamatan sekolah termasuklah aspek cahaya dan pencahayaan yang digunakan dalam bangunan
sekolah untuk proses pengurusan serta pembelajaran dan pengajaran. Hal ini amat perlu diberikan
perhatian kerana kajian-kajian lalu menunjukkan kedua-dua aspek ini mempunyai impak yang
positif dan negatif terhadap penyediaan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif untuk
warganya. Walaupun cahaya dan pencahayaan ini mula menarik perhatian pengkaji kini, namun isu
ini lazimnya dikaitkan dengan kecekapan penggunaan tenaga dan impaknya terhadap kelestarian
persekitaran bumi. Impaknya terhadap keselamatan dan kesihatan warga sekolah masih kurang
difokuskan. Justeru, hal ini cuba difokuskan dalam artikel ini.


Cahaya dan pencahayaan

Amnya, cahaya dan pencahayaan merupakan dua aspek yang berbeza tetapi saling berkaitan.
Secara asasnya, cahaya dirujuk sebagai tenaga berbentuk gelombang dan membantu manusia
melihat dan menjalankan aktiviti seharian mereka. Ia dicirikan oleh sifat-sifat yang tertentu, iaitu
bergerak lurus ke semua arah dan bergerak laju iaitu pada kelajuan 299,792,458 meter sesaat.
67
Walau bagaimanapun, kelajuan cahaya dipengaruhi oleh medium yang dilaluinya. Hal ini kerana,
cahaya akan terbias apabila bergerak secara serong melalui medium yang berbeza seperti melalui
udara, kaca atau air. Cahaya boleh bergerak lebih laju apabila melalui udara daripada melalui air
dan kaca. Amnya, cahaya dapat dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu:

a) Cahaya Asli (natural light)

Cahaya asli merupakan sumber cahaya paling awal dan penting mempengaruhi kehidupan manusia.
Cahaya ini diperoleh daripada sumber semula jadi iaitu matahari dan amat penting dalam
melengkapkan keperluan manusia melalui tindak balas biologi. Menurut McCloud (1995), pada
ketika langit berkeadaan cerah, cahaya matahari mampu meradiasikan cahaya ke permukaan bumi
dengan spektrum lengkap serta warna cahaya dalam spektrum yang seimbang yang menghasilkan
sejumlah cahaya putih yang tidak dapat dihasilkan oleh cahaya tiruan. Sebenarnya cahaya asli
banyak membantu proses biologi di muka bumi ini. Kunz (2009) menjelaskan bahawa proses
kejadian siang dan malam akibat putaran bumi amat mempengaruhi aktiviti harian manusia juga
membantu proses biologi secara semulajadi. Hal ini kerana cahaya asli membekalkan sejumlah
gelombang yang lengkap seperti UV, A, B dan Infrared yang amat diperlukan oleh tubuh badan
manusia serta aktiviti-aktiviti harian mereka dan membezakannya dengan cahaya tiruan. Holick
(2009) menegaskan bahawa kandungan yang ada dalam radiasi cahaya asli sukar didapati dalam
cahaya tiruan serta memainkan peranan yang amat penting dalam membantu proses biologi yang
sangat kompleks untuk tubuh badan manusia. Beliau juga turut menjelaskan bahawa melalui proses
ini cahaya asli daripada matahari akan disaring oleh kulit tubuh manusia dan menghasilkan Vitamin
D yang bertujuan untuk menghasilkan pelbagai vitamin sampingan serta membantu meningkatkan
sistem imunisasi tubuh badan manusia daripada penyakit seperti kanser dan tekanan hidup (stress
and depression) (Holick, 2009). Selain itu, kajian yang dijalankan oleh McMenemy (2010) juga
telah membuktikan bahawa cahaya asli yang diterima oleh tubuh badan pada jumlah yang optimum
dapat membantu perkembangan mental dan fizikal individu.

b) Cahaya tiruan (artificial light)

Selain matahari, bekalan cahaya di muka bumi ini juga diperoleh daripada sumber cahaya buatan
manusia yang dikenali sebagai cahaya tiruan. Sebenarnya, sumber cahaya tiruan bermula daripada
pembakaran unggun api bagi tujuan memasak dan keselamatan. Namun, fungsi tersebut telah
berevolusi kepada penciptaan pelbagai kaedah serta teknik pencahayaan seperti lampu kerosene dan
lilin bagi memenuhi tugas seharian manusia pada ketika itu (Niesewand, 1989). Selaras dengan
perkembangan sains dan teknologi, penghasilan cahaya tiruan telah berkembang dengan pesat di
seluruh dunia. Hal ini dapat dilihat dengan terciptanya pelbagai jenis lampu, penataan cahaya dan
warna cahaya untuk memenuhi pelbagai aspek keperluan dan pengekalan kualiti kehidupan manusia
terutamanya dari aspek keperluan visual. Manusia juga telah berjaya mencipta pelbagai rekaan
lampu yang berteknologi tinggi serta mampu menghasilkan pelbagai jarak gelombang dan warna
cahaya bagi memenuhi keperluan mereka (Philips,1976).

Pada asasnya, cahaya tiruan terhasil daripada penyaluran tenaga elektrik terhadap elemen-elemen
material dalam bahan kaca dan tindak balas tersebut menghasilkan penataan cahaya yang
mempunyai radiasi gelombang yang berbeza. Teknik penghasilan asas inilah dikembangkan dan
menghasilkan pelbagai jenis lampu dalam ruang bangunan. Antara jenis lampu yang kerap
digunakan dalam ruang bangunan adalah lampu fluorescent (neon atau kalimantang), lampu
incandescent (mentol) dan yang terkini adalah LED (Lighting Emitted Diod) (Turner, 1998). Selain
itu, teknologi terbaru yang yang dinamakan OLED (Organic Light Emitted Diod) juga telah mula
dipasarkan untuk pencahayaan di bangunan dan elemen penting dalam alat-alat elektronik. Setiap
jenis lampu ini menghasilkan spectrum dan gelombang cahaya yang berbeza-beza dan mempunyai
fungsi tertentu mengikut keperluan aktiviti dan konteks di mana manusia tersebut berada.
68

Manakala pencahayaan pula merujuk kepada teknik yang digunakan dalam membekalkan cahaya
kepada aktiviti manusia. Dalam konteks reka bentuk dalaman, pencahayaan bermaksud
membekalkan kuantiti cahaya yang tepat dan sesuai melalui teknik-teknik pencahayaan dalam
membina jambatan visual untuk menjalankan aktiviti dalam ruang (Zakaria, 2001). Manakala,
pencahayaan yang diistilahkan sebagai tepat dan sesuai pula merangkumi keselesaan pada
penerimaan mata manusia tanpa menghasilkan sebarang kesan silau. McCloud (1995) telah
menyenaraikan beberapa jenis pencahayaan dalam ruang dan antara yang paling penting adalah
pencahayaan umum, pencahayaan tumpuan, pencahayaan dekoratif dan pencahayaan kinetik atau
dinamik. Penataan cahaya tersebut dihasilkan daripada pelbagai teknik reka bentuk pencahayaan
yang mengambil kira aspek rekaan lampu, susunan lampu dalam ruang, jumlah cahaya yang jatuh
ke atas ruang dalaman atau objek. Hal ini dijelaskan lagi oleh Philips (1976) yang melihat dari
sudut ruang dan keselesaan visual yang mana teknik pencahayaan merupakan aspek yang
melibatkan rekabentuk lampu, susunan lampu, sumber cahaya, penataan cahaya dan warna cahaya.
Teknik-teknik pencahayaan ini perlu dirancang pada peringkat awal reka bentuk dengan
mengambilkira aktiviti harian manusia dalam ruang.

Sebenarnya, cahaya dan pencahayaan merupakan isu penting pada dekad ini serta lazim dijadikan
bahan kajian penting dalam konteks fungsi lampu, tata cahaya, praktikaliti dalam ruang dalaman
dan sains fizik. Antara isu yang timbul berkaitan dengan dua aspek ini lazimnya dikaitkan dengan
aspek kesihatan, senibina, reka bentuk serta pencemaran dan kecekapan penggunaan tenaga. Hal ini
kerana kepelbagaian ciri dan fungsi cahaya dan pencahayaan yang disediakan oleh cahaya asli dan
tiruan sebenarnya memberikan impak yang berbeza dalam konteks kehidupan dan aktiviti yang
berbeza. Justeru, hal ini perlu diambil kira oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam usaha
penyediaan cahaya yang dapat membantu meningkatkan persekitaran yang selamat dan kondusif di
sekolah.

Keperluan tubuh badan manusia terhadap cahaya

Tidak dapat dinafikan bahawa semua aktiviti hidupan di muka bumi ini memerlukan cahaya asli
daripada matahari untuk hidup dan melakukan aktiviti mereka. Kunz (2009) menjelaskan bahawa
aktiviti bumi melalui proses siang dan malam telah mempengaruhi manusia dalam menjalankan
aktiviti harian serta membantu proses biologi secara semulajadi. Beliau juga menambah bahawa
proses semula jadi ini amat diperlukan oleh tubuh badan manusia bagi mengekalkan kestabilan
sistem biologi tubuh badan seterusnya mengelakkan daripada kesan sampingan disebabkan
ketidaknormalan aktiviti seharian. Walau bagaimanapun, kesan sampingan tersebut hanya boleh
dikenal pasti dalam jangka masa yang panjang. Menurut Wunsch (2006), cahaya matahari
mengandungi sumber gelombang cahaya yang lengkap dan penting dalam proses pembentukan
vitamin yang diperlukan oleh tubuh. Hal ini dibuktikan oleh kajian Holick (2009) yang mendapati
keperluan Vitamin D sangat diperlukan dalam sistem tubuh badan untuk mengelakkan pelbagai
jenis penyakit seperti kanser, rheumatoid dan stroke. Keperluan Vitamin D oleh tubuh badan
manusia sangat berkait rapat dengan tempoh penerimaan cahaya oleh manusia serta jumlah radiasi
cahaya yang diperlukan oleh kulit dan sistem tubuh badan bagi membantu proses biologi ini berlaku
secara normal. Namun, persoalan yang timbul adalah tempoh masa yang optimum bagi manusia
menerima cahaya matahari terutamanya bagi penduduk di negara-negara yang menerima cahaya
matahari selama 12 jam seperti negara-negara di Asia. Hal ini kerana radiasi cahaya yang sampai
ke permukaan bumi mempunyai tahap-tahap tertentu yang sesuai untuk proses tindakbalas biologi
dalam tubuh badan manusia. Hal ini kerana menurut Epstein (2007), ketidakseimbangan
penerimaan cahaya pada waktu siang hari akan mengakibatkan kesan sampingan yang berkait rapat
dengan kesukaran untuk tidur, tekanan dan pening kepala dan simptom-simptom yang lain.

69
Sebenarnya, kajian tentang tempoh optimum keperluan tubuh badan manusia terhadap cahaya asli
dalam sehari masih belum dikenal pasti. Namun, Bommel (2005) telah memberi beberapa garis
panduan yang berkaitan dengan keperluan cahaya asli untuk proses biologi yang seimbang. Beliau
menjelaskan bahawa cahaya pada waktu pagi yang memancar cahaya terang (bright light) (sebelum
tengahari 12:00) boleh membantu proses semula jadi tubuh badan dalam sehari dan cahaya asli
pada waktu siang turut membantu tubuh badan mengenal pasti proses siang dan malam secara
semulajadi (internal body clock). Proses semula jadi ini juga turut berfungsi mengikut suhu tubuh
badan individu juga tahap cortisol dan melatonin dalam tubuh badan masing-masing dan berubah
mengikut hari dan kekuatan cahaya yang dipancarkan ke tubuh manusia. Selain itu, Bommel (2005)
yang mengkaji tentang warna cahaya turut menjelaskan bahawa dari aspek biologi, cahaya pada
waktu pagi (bluish morning light) berperanan mengaktifkan sistem tubuh badan manakala cahaya
pada petang hari iaitu sewaktu langit merah (red sky) akan memberikan ketenangan dan santai
(relaxing effect) kepada sistem badan manusia.

Selain cahaya asli, cahaya tiruan hasil daripada buatan manusia juga mempunyai peranannya yang
tersendiri dalam membantu kelancaran aktiviti-aktiviti manusia pada siang ataupun malam hari. Hal
ini kerana, cahaya tiruan menjadi pelengkap kepada kekurangan bekalan pencahayaan daripada
cahaya asli terutamanya pada waktu malam dan di ruang-ruang yang terlindung daripada diterangi
cahaya matahari. Walau bagaimanapun, penggunaan cahaya tiruan yang tidak terkawal
terutamanya pada malam hari akan menghalang proses biologi manusia daripada berfungsi secara
normal dan semulajadi (Holick, 2009). Kajian oleh Wunsch (2006) dan Holick (2009)
membuktikan bahawa keperluan tubuh badan manusia adalah terhad kepada sejumlah radiasi
cahaya sahaja sama ada daripada cahaya asli ataupun cahaya tiruan bagi membantu proses biologi
mereka. Hal ini kerana, gelombang UVA, B dan Infrared yang terkandung dalam spektrum cahaya
sebenarnya hanya diperlukan pada jumlah yang tertentu dan boleh diterima oleh kulit manusia pada
siang hari untuk membenarkan proses biologi berlaku dengan seimbang dalam tubuh badan manusia.
Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan kandungan spektrum cahaya daripada cahaya tiruan
masih tidak dapat menandingi spektrum yang boleh diperoleh dalam cahaya asli.
Ketidakseimbangan spektrum daripada cahaya tiruan, menurut Wunsch (2006), akan memberi
kesan sampingan kepada tubuh badan. Selain itu, beliau menjelaskan bahawa amalan manusia yang
hanya menerima cahaya tiruan dalam tempoh sehari tanpa terdedah kepada cahaya asli adalah suatu
amalan kehidupan yang tidak sihat. Fenomena ini sebenarnya lazim dilihat dalam kehidupan
masyarakat kini kerana banyak aktiviti manusia dijalankan di dalam bangunan bermula daripada
matahari terbit sehingga matahari terbenam yang menyebabkan manusia tidak menerima cahaya
matahari yang secukupnya pada siang hari untuk tindak balas biologi pada malam hari. Manakala,
pada waktu malam hari, manusia menggunakan cahaya tiruan pada kadar yang berlebihan dan
dalam jangka masa yang lama. Ketidakseimbangan tersebut akan mengakibatkan kesan yang negatif
kepada kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.

Impak cahaya dan pencahayaan kepada keselamatan di sekolah

Keperluan manusia kepada cahaya dan pencahayaan tidak dapat disangkal. Namun, di sebalik
keperluan tersebut, cahaya dan teknik pencahayaan terutamanya cahaya tiruan mempunyai impak
yang tertentu kepada keselamatan khususnya dari aspek kesihatan warga sekolah. Hal ini
ditonjolkan oleh dapatan pengkaji-pengkaji terdahulu dari pelbagai perspektif sama ada positif
mahupun negatif terutamanya terhadap kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.
Justeru, isu cahaya dan pencahayaan tidak boleh dikesampingkan dalam setiap perancangan yang
melibatkan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta susun atur meja untuk staf
pentadbiran sepanjang tempoh persekolahan.



70


Impak terhadap penglihatan

Dalam persekitaran sekolah, cahaya mempunyai impak yang amat penting untuk proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas, serta kerja-kerja pentadbiran sekolah. Kajian oleh Veitch dan
Newsham (1996) mendapati,
the quality of indoor lighting can influence task performance,
social interaction and communication, health and safety, visual
comfort, student behavior, and aesthetic judgement.

Berdasarkan kajian-kajian terdahulu, kepentingan cahaya dan pencahayaan amat berkait rapat
dengan tahap keberkesanan penglihatan manusia. Hal ini kerana, teknik pencahayaan yang betul
akan membekalkan cahaya yang mencukupi serta penting untuk keselesaan dan keberkesanan
penglihatan manusia. Kajian oleh Veitch dan Newsham (1996) menjelaskan bahawa tindak balas
penglihatan adalah cenderung menjadi lebih tepat dan pantas dalam cahaya asli berbanding cahaya
tiruan yang berada pada tahap intensiti yang sama. Walau bagaimanapun, keadaan ini bergantung
kepada kuantiti dan kualiti cahaya asli kerana kedua-dua aspek tersebut adalah bergantung kepada
iklim dan kedudukan geografi kawasan berkenaan. Bagi sekolah-sekolah di negara yang menerima
cahaya matahari sepanjang tahun seperti Malaysia, reka bentuk dan kedudukan ruang di dalam
sesebuah bangunan banyak mempengaruhi kadar penerimaan cahaya asli. Contohnya, ruang yang
besar akan menyebabkan meja yang terletak jauh daripada tingkap atau terletak dalam kedudukan
tersorok di dalam pejabat akan kurang menerima cahaya; cahaya yang panas menyebabkan cermin
tingkap dilapik dengan filem penyaring cahaya atau; penggunaan penghawa dingin menyebabkan
ruang tertutup dengan cermin gelap dan hanya bergantung kepada lampu fluorescent. Namun,
intensiti cahaya tiruan yang dibekalkan memerlukan teknik pencahayaan yang tepat agar jumlah
cahaya yang dibekalkan adalah mencukupi untuk menerangi ruang yang tidak mendapat cahaya asli.
Hal ini kerana bekalan cahaya yang optimum akan membantu meningkatkan keberkesanan sesuatu
proses atau aktiviti. Menurut Veitch dan Newsham (1996) lagi,

many studies have indicated that proper lighting of a classroom
can produce notable advantages, both educational and physical,
namely: (1) greater desire to work and to concentrate on the tasks
assigned; (2) less fatigue and its attendant effects (lack of interest,
indolence, nervousness, poor achievement, bas posture); (3) greater
comfort and contantment; (4) more cheerful environment
conducive to better mental health; and (5) greater neatness and
acuracy in work. Every effort should be made by teachers to
obtain these advantages for all children.

Hal ini disokong oleh bertajuk The Role of Light in Health yang dipaparkan di
http://rawfoodinfo.com/articles/art_roleoflight.html (2011) yang mengulas bahawa kajian telah
menunjukkan bahawa sinaran cahaya asli atau cahaya tiruan yang menyamai cahaya asli boleh
mengurangkan keletihan dan tekanan serta dapat meningkatkan kejelasan penglihatan. Sebaliknya,
cahaya tiruan yang salah akan menyebabkan murid berasa terganggu, mengurangkan pengeluaran
dalam kalangan pekerja kilang dan menyebabkan staf pejabat menjadi malas. Teknik pencahayaan
yang salah juga menyebabkan wujudnya keadaan silau yang bakal mengganggu keberkesanan
proses pembelajaran murid.

Menurut Veitch dan Newsham (1996), cahaya yang berkualiti dapat meningkatkan kepantasan dan
ketepatan penglihatan serta mempengaruhi keupayaan mata untuk berfungsi dalam pelbagai
keadaan setelah beradaptasi dengan keadaan cahaya di tempat berkenaan. Keadaan ini amat
71
mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah serta
kelancaran kerja-kerja pentadbiran. Kajian berkaitan colour temperature menjelaskan tentang
peranan aspek ini membantu dalam memahami warna cahaya dan kekuatan gelombang cahaya yang
terdapat dalam cahaya yang terhasil daripada jenis-jenis lampu yang berbeza. Hasil komposisi
spektrum tersebut yang membentuk sejumlah cahaya putih sangat diperlukan oleh manusia bagi
tujuan keselesaan visual, kesihatan dan dalam menjalankan aktiviti seharian. Namun, jumlah
gelombang cahaya serta warna cahaya yang terhasil ini adalah berbeza-beza antara cahaya asli dan
cahaya tiruan (Wunsch, 2006).

Impak terhadap perkembangan mental dan fizikal

Selain itu, kajian yang dijalankan oleh McMenemy (2010) juga membuktikan bahawa jumlah
cahaya asli yang optimum ataupun penggunaan cahaya tiruan melalui colour temperature 4100
Kelvin yang diterima oleh pelajar dapat membantu perkembangan mental, fizikal dan keaktifan
berkomunikasi. Beliau telah mengkaji tentang masalah komunikasi terhadap pelajar kurang upaya
(Autism) dengan mengeksperimentasikan radiasi cahaya tiruan, cahaya asli, radiasi spektrum
daripada lampu tiruan dan susunan lampu yang digunakan di bilik darjah di sekolah terpilih di
Barton Elementary School di New York. Dapatan kajian ini menjelaskan bahawa pelajar yang
berada dalam lingkungan cahaya asli dan cahaya tiruan dengan kadar 4100 Kelvin berada dalam
situasi yang selesa dan mudah berkomunikasi antara satu sama lain.

Hal ini boleh dijelaskan melalui komposisi spektrum yang boleh dilihat daripada kaedah
eksperimen ringkas iaitu dengan melalukan sumber cahaya yang berbeza menembusi prisma kaca.
Perbezaan hasil eksperimen tersebut ditunjukkan dalam Rajah 1, 2 dan 3. Rajah 1 menunjukkan
komposisi spektrum adalah seimbang yang membentuk cahaya bewarna putih dapat dikenal pasti
daripada cahaya asli.


Rajah 1: Graf Komposisi spektrum daripada cahaya asli yang menunjukkan spektrum yang
seimbang (Sumber: Turner, 1998:28)

72


Rajah 2: Graf komposisi spektrum daripada lampu fluorescent (kalimantang)
(Sumber: McCloud, 1995:138).



Rajah 3: Graf komposisi spektrum daripada lampu incandescent (mentol)
(Sumber: McCloud, 1995:138)

Manakala, Rajah 2 dan 3 menunjukkan komposisi spektrum yang kurang seimbang yang terhasil
daripada lampu fluorescent (kalimantang) dan incandescent (mentol). Walau bagaimanapun,
McCloud (1995) menjelaskan bahawa komposisi spektrum cahaya daripada lampu incandescent
adalah lebih hampir menyamai cahaya asli berbanding lampu fluorescent yang mempunyai
komposisi yang tidak stabil untuk proses biologi tubuh badan manusia.

Kajian yang telah dijalankan juga menunjukkan bahawa penyaringan cahaya asli akan memberikan
kesan kepada aktiviti biologi dalam tubuh badan manusia dan akan menjejaskan kesihatan dan
keselamatan manusia sekaligus menjejaskan prestasi kerja mereka. Contohnya, kajian Fischer
(2009) yang mengetengahkan isu tentang jumlah dan kualiti cahaya yang diperlukan oleh sistem
tubuh badan, menyatakan bahawa tiada kajian terperinci yang dapat menyatakan jumlah sebenar
cahaya diperlukan dalam sehari untuk tubuh badan. Namun, kualiti cahaya yang diterima dengan
mengambil kira komposisi spektrum yang terdapat dalam cahaya merupakan aspek paling penting.
Beliau juga menjelaskan bahawa photons yang dipancarkan pada awal pagi oleh cahaya matahari
73
mampu mempengaruhi sistem biologi tubuh badan bagi memulakan aktiviti seterusnya dan
membantu pembentukan sel-sel pada waktu malam hari. Perkara ini turut disokong oleh Kramer
(2009) yang menjelaskan bahawa radiasi Ultraviolet-B,-A, Infrared-B,-A dengan jumlah yang
seimbang dan berterusan sangat diperlukan oleh tubuh badan tidak kira sumber tersebut daripada
cahaya asli mahupun cahaya tiruan. Dengan kata lain, beliau juga mencadangkan supaya pada siang
hari, cahaya asli tidak disaring oleh tingkap kaca bagi membolehkan proses penerimaan radiasi
cahaya yang seimbang berlaku ke atas tubuh manusia.

Malahan, kajian oleh Campbell (2006) menjelaskan bahawa perkara yang penting diperlukan oleh
tubuh badan bukanlah jumlah masa kulit atau mata terdedah kepada cahaya asli, tetapi kadar radiasi
cahaya yang dipancarkan ke tubuh manusia iaitu kepada kulit serta deria penglihatan. Menurut
beliau, cahaya violet (ultraviolet) yang wujud dalam cahaya asli daripada matahari dengan julat
405-420 nm berupaya membunuh bakteria dan aplikasi cahaya violet ini jika berterusan selama tiga
hari dapat mengurangkan jumlah 99.9 peratus bakteria pada liang kulit tubuh badan manusia.

Selain itu, kajian oleh Holick (2009) menunjukkan sumber vitamin D yang datang dari cahaya asli
yang bertindak balas dengan sistem tubuh badan seperti kulit amat penting terhadap kesihatan
manusia. Kurangnya pendedahan kepada cahaya asli mengakibatkan komplikasi terhadap kesihatan
serta imunisasi tubuh badan oleh kerana kekurangan vitamin D. Menurut beliau jika dijelaskan
secara saintifiknya, apabila proses vitamin D diterima oleh kulit serta diterima sebagai diet manusia,
proses tersebut akan melibatkan hati serta buah pinggang. Melalui proses ini, dua unsur vitamin D
yang digunakan oleh pakar perubatan sebagai parameter sumber vitamin D dalam tubuh badan iaitu
25-hydroxyvitamin D [25(OH)D] dan 1,25-dihydroxyvitamin D. Ketidakseimbangan dua unsur
tersebut mengakibatkan ketidakstabilan dalam darah (blood level). Pada tahap darah dalam badan
(blood level) [25(OH)D] atau (kurang daripada) <20 ng/ml, seseorang itu dikatakan mempunyai
tahap kandungan vitamin D yang rendah. Malah, pada kadar 21-29 ng/ml seseorang itu dikatakan
masih tidak mempunyai jumlah vitamin D yang mencukupi. Maka itu, menurut beliau bagi
memastikan kandungan vitamin D adalah pada tahap optima serta mencukupi, jumlah >30 ng/ml
adalah yang terbaik.

Kajian Holick (2009) turut menjelaskan bahawa bayi pada tahun pertama memerlukan sekurang-
kurangnya 400 IU vitamin D dalam sehari manakala dengan kadar 1,000 IU vitamin D sehari adalah
yang terbaik. Kadar ini juga perlu bagi bayi yang berumur satu tahun dan ke atas. Bagi orang
dewasa pula, kadar minimum yang diperlukan adalah antara 1,000 IU dan 2,000 IU vitamin D
sehari bergantung kepada jumlah cahaya asli yang terdapat di negara masing-masing. Kadar vitamin
D yang katakan mencukupi dan selamat pada kanak-kanak dan dewasa adalah antara 2,000 IU
sehingga 10,000 IU. Beliau juga menjelaskan bahawa kekurangan vitamin D ke atas bayi akan
mengakibatkan proses renjatan tumbesaran kerana kajian klinikal telah membuktikan terhadapnya
hubung kait tindak balas vitamin D dengan proses perkembangan tulang dan kalsium dalam badan.
Kekurangan kalsium semasa proses tumbesaran juga mengakibatkan kecacatan rangka tubuh badan
(deformities). Manakala bagi individu dewasa pula, kekurangan vitamin D dikesan daripada
kurangnya pendedahan terhadap cahaya asli akibat aktiviti berlebihan di dalam bangunan. Tindak
balas biologi boleh dilihat hampir sama seperti kanak-kanak tetapi berkaitan dengan Osteoporosis
serta kurang kalsium pada tulang individu dewasa. Namun, masih kurang kajian terhadap
pembentukan vitamin D pada individu dewasa.







74
Impak terhadap kesihatan

Dapatan kajian oleh Hollick (2009) mempunyai kaitan dengan hasil kajian oleh Godar, Landry dan
Lucas (2008) iaitu berkaitan dengan penyakit kanser pada manusia yang berkulit cerah apabila
terdedah kepada cahaya matahari iaitu unsur UVA. Kajian ini mengkhusus kepada unsur Cutaneous
malignant melanoma (CMM) dalam sistem tubuh badan yang menjadi punca kepada penyakit
kanser yang berbahaya. Dalam kajian ini, satu perbandingan telah dijalankan antara pekerja di
dalam bangunan yang hanya menerima cahaya daripada tingkap dan pekerja di luar bangunan yang
terdedah kepada radiasi cahaya asli. Pekerja di dalam bangunan tertutup hanya menerima cahaya
daripada bukaan tingkap selepas cahaya tersebut disaring oleh spesifikasi bahan daripada tingkap
berkaca. Dapatan kajian ini menunjukkan, keadaan tersebut menyebabkan kulit tidak lagi menerima
radiasi daripada cahaya asli yang diperlukan untuk pembentukan Vitamin D dan mengakibatkan
peningkatan CMM yang berpotensi mengakibatkan penyakit kanser.

Sebenarnya cahaya amat mempengaruhi perlakuan manusia pada malam hari. Kajian Wirz-Justice
(2009) mengupas tentang kepentingan cahaya asli pada sistem tubuh badan manusia. Beliau
menjelaskan tentang jumlah gelombang cahaya yang diterima pada waktu siang hari dan
pengaruhnya terhadap penghasilan melatonin yang membantu proses tidur pada malam hari. Kajian
ini mengkaji dari aspek cahaya di dalam kelas, pejabat dan rumah. Walaupun tidak menonjolkan
penemuan yang terbaru, kajian ini membangkitkan tentang isu siang dan malam serta pengaruhnya
dalam proses biologi manusia. Konsep ringkas yang diketengahkan adalah penerimaan cahaya
secukupnya pada waktu siang hari, dan penggunaan cahaya yang paling minimum pada malam hari
atau sebaiknya oleh individu berada dalam ruang yang malap. Konsep ini dilihat sangat penting
dalam proses semulajadi sistem tubuh badan yang jika diamalkan secara betul (atau semulajadi),
tubuh badan dapat berfungsi dengan baik dan seimbang. Hal ini kerana penerimaan cahaya yang
optimum membantu tubuh manusia memberitahu otak tentang masa yang perlu untuk beraktiviti
pada siang hari dan berehat pada malam hari. Kekuatan cahaya (radiasi) yang diterima pada siang
hari telah dikenal pasti membantu menghasilkan melatonin yang berperanan untuk tujuan istirehat
dan proses tidur secara normal pada malam hari. Kekurangan penerimaan cahaya pada siang hari
mengakibatkan proses biologi tubuh badan pada malam hari terbantut kerana tahap penghasilan
melatonin yang tidak stabil. Keadaan ini dapat dilihat melalui individu yang bekerja mengikut
giliran (tidur di waktu siang hari atau sebaliknya) ataupun individu yang melancong di luar latitude
dari tempat asal mereka menetap. Perbezaan aktiviti tersebut mengakibatkan kesan terhadap mood
dan tumpuan individu. Kajian ini juga turut mengaitkan keadaan ini dengan Seasonal Affected
Disorder (SAD) yang berkait rapat dengan ketidakseimbangan tubuh badan untuk mengenal pasti
perlakuan aktiviti siang dan malam. Walau bagaimanapun, SAD dapat diatasi melalui pendedahan
tubuh badan kepada cahaya matahari melalui radiasi cahaya yang terang (full sunlight) ataupun
penggunaan cahaya tiruan dengan gelombang cahaya yang hampir menyamai cahaya asli.

Walaupun cahaya tiruan mempunyai peranan yang amat penting sebagai pelengkap cahaya asli
untuk menerangi sesuatu ruang namun, kajian-kajian lalu mendapati cahaya tiruan yang dibekalkan
oleh lampu sebenarnya mempunyai impak negatif terhadap kesihatan manusia. Sebenarnya,
keperluan terhadap jenis-jenis lampu yang membekalkan cahaya tiruan adalah berbeza mengikut
latitud dan citarasa pengguna. Lazimnya, cahaya putih atau kuning merupakan tema yang biasa
digunakan dalam teknik pencahayaan. Walau bagaimanapun, McCloud (1995) menjelaskan
bahawa cahaya putih yang dihasilkan oleh lampu fluorescent (kalimantang) atau compact
fluorescent menghasilkan jumlah gelombang yang tidak stabil. Selain itu, lampu fluorescent juga
mengandungi bahan kimia yang berbahaya dan toksin yang sukar untuk dilupuskan. Manakala,
secara teknikal cahaya berwarna kuning yang dihasilkan oleh lampu incandescent (mentol), halogen
atau lampu reflector (reflector bulbs) pula mempunyai gelombang merah yang tinggi. Menurut
Wunsch (2006), walaupun lampu jenis incandescent mempunyai jarak gelombang merah yang
tinggi, namun jika dikaji dari sudut kestabilan (continuity) gelombang dan unsur warna cahaya
75
(colour temperature) dalam cahaya tersebut (sila rujuk Rajah 1,2 dan 3 pada perenggan yang
terdahulu), cahaya daripada lampu tersebut tidak mempunyai gap yang ketara berbanding dengan
lampu fluorescent. Justeru, beliau menegaskan bahawa jarak gelombang yang terhasil dari lampu
jenis ini dilihat antara yang terbaik dan terdekat dengan gelombang cahaya asli kerana mempunyai
semua unsur gelombang cahaya tanpa perbezaan yang ketara. Walau bagaimanapun, penghasilan
cahaya jenis ini akan menggunakan jumlah tenaga elektrik dan haba yang sangat tinggi serta
mempunyai jangka hayat yang pendek. Hal ini kerana hanya lima peratus sahaja daripada tenaga
elektrik ditukarkan kepada cahaya. Manakala, lampu jenis LED pula disarankan dari jenis yang
menghasilkan cahaya biru (blue light) kerana cahaya jenis ini tidak mengganggu proses biologi
(biology clock) manusia (McCloud, 1995).

Selain itu, dapatan kajian terdahulu juga menunjukkan bahawa cahaya dan warna cahaya
mempunyai kesan terhadap fisiologi dan psikologi manusia. Hal ini dibuktikan oleh dapatan kajian
oleh Hathaway (1992) yang dijalankan selama 2 tahun dengan menggunakan empat jenis lampu
yang berbeza iaitu lampu 1) full spectrum fluorescent; 2) full spectrum fluorescent with ultraviolet
light supplements; 3) cool white fluorescent; dan 4) high pressure sodium vapor kepada murid-
murid sekolah rendah. Setiap sekolah dibekalkan dengan satu jenis daripada cahaya lampu tersebut.
Dapatan kajian menunjukkan:

... over a 2-year period, students who received ultraviolet light
supplement had fewer dental caries, better attendance, greater gains
in height and weight, and better academic performance than did
students who did not receive the supplements. Students under the
high pressure sodium vapor lighting had slow rates of growth in
height and academic achievement and the lowest attandance. It
was concluded that lighting systems have important nonvisual
effects on students who are exposed to them over long periods of
time. Implications for facility planning are considered and
recommendations regarding lighting for classrooms are offered.

Selain itu, kajian Wunsch (2006) turut mengupas isu kandungan radiasi serta gelombang cahaya
yang terhasil daripada lampu incandescent, lampu fluorescent dan LED (Light Emitted Diod).
Ketiga-tiga jenis lampu ini kerap digunakan oleh penguna termasuklah di sekolah-sekolah di
Malaysia pada masa kini. Namun begitu, pengguna tidak mengetahui impak negatif dan positif
cahaya lampu-lampu berkenaan dalam jangka masa panjang jika digunakan tanpa kawalan. Hal ini
kerana pendedahan yang berlebihan terhadap cahaya lampu tersebut akan memberikan impak yang
negatif. Menurut Wunsch (2006), pengguna seharusnya berehat pada malam hari dan perlu
mengelakkan diri daripada menerima cahaya yang berlebihan pada waktu ini bagi membolehkan
proses biologi dan sistem badan memproses cahaya yang diterima pada siang hari. Keadaan ini
membolehkan istilah yang kita namakan biology clock pada tubuh badan manusia berfungsi
secara normal. Ketidakseimbangan dalam menerima radiasi cahaya pada tempoh 12 jam disiang
hari mengakibatkan kesan sampingan jangka pendek dan jangka panjang seperti insomnia, tekanan,
migran dan kanser.

Wunsch (2006) juga mengetengahkan isu kandungan bahan kimia iaitu merkuri yang terdapat
dalam lampu fluorescent yang boleh mengakibatkan kanser. Beliau mendedahkan bahawa radiasi
daripada lampu fluorescent (hasil daripada radiasi dalam lampu fluorescent hasil tindak balas
merkuri dan tenaga elektrik), akan masuk kedalam sistem kulit pada tubuh dan akan tersimpan di
lapisan bawah kulit manusia yang boleh mengakibatkan kanser. Sikap tidak bertanggungjawab
kebanyakan pengguna juga turut menyumbang kepada risiko bahan-bahan tersebut kepada
masyarakat kini. Ramai pengguna yang mengambil jalan mudah dengan meletakkan lampu yang
rosak di tempat pelupusan sampah tanpa mengetahui bahaya jika bahan merkuri ini terdedah kepada
76
udara dan persekitaran. Toksik yang terdedah kepada udara akan mengakibatkan kesan jangka
panjang kepada kesihatan manusia. Perkara amat penting diberi perhatian oleh pihak pengurusan
sekolah memandangkan kaedah perlupusan yang betul perlu dilaksanakan di sekolah bagi
mengelakkan ancaman kepada keselamatan dan kesihatan warganya.


RUMUSAN

Sekolah yang selamat dan kondusif akan menjamin proses pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan serta persekitaran kerja yang baik. Menurut Salleh Buang (1996) sekolah selamat hanya
akan wujud setelah setiap warganya mempunyai kesedaran, penghayatan seterusnya dapat
membudayakan amalan keselamatan serta dapat melaksanakan setiap aktiviti dalam keadaan selesa,
tanpa gangguan, keraguan dan curiga, perasaan ketakutan, perasaan terancam serta mempunyai
kepercayaan sepenuhnya terhadap pihak pengurusan sekolah. Sekolah yang selamat akan
meningkatkan keyakinan, kepercayaan dan jati diri murid seterusnya dapat meningkatkan
pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah diri mereka.

Berdasarkan tinjauan literatur dan kajian yang lalu, aspek cahaya dan pencahayaan mempunyai
impak yang amat penting dalam usaha menyediakan suatu persekitaran sekolah yang selamat dan
kondusif. Walaupun impak tersebut tidak dapat dilihat secara jelas dalam jangka masa yang singkat
namun, secara implisitnya impak cahaya dan pencahayaan ini tidak boleh diambil mudah bagi
memastikan keselamatan warga sekolah. Setiap pihak terutamanya yang berwajib perlu peka
dengan isu ini agar usaha mewujudkan sekolah yang selamat dapat dilaksanakan secara holistik
serta dapat melindungi warga sekolah daripada impak yang boleh diramalkan daripada penggunaan
teknik pencahayaan yang salah untuk aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di sekolah. Hal ini bagi
membantu merealisasikan harapan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mewujudkan
persekitaran sekolah yang selamat dan warga sekolah yang bahagia, sihat mental dan emosi, serta
mampu memberi tumpuan kepada pelajaran juga aktiviti sekolah yang lain. Malahan sekolah yang
selamat akan menjanjikan alam persekolahan yang menyeronokkan juga bakal melahirkan warga
sekolah yang rela memberi sumbangan secara positif kepada sekolah, masyarakat dan negara.


RUJUKAN

Abd. Rahim Abd. Rashid. (1999). Profesionalisme Motivasi Pengurusan Bilik Darjah. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Zabidi (2006) Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran.
Jurnal Pendidikan 31 (2006) 3-19.

Aton Long. (1982). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bommel, Wout Van (2005). Biological Effect of Lighting. ELDA+ Light Focus. Lets talk
about Light. A key factor in the design of architectural spaces. 14-15 April 2005 in
Milan, Italy. Via-Verlag. Germany. p. 4-6.

Campbell, G. (2009). The Application, Influence, and Potential Benefits of Using Various Lighting
Techniques to Aid Healthcare, Wellness, and Recuperation in Holistic Medical
Applications. PLDC 2
nd
Global Lighting Design Convention, 28-31. October, 2009 in
Berlin, Germany. Via-Verlag. Germany. p. 20.21.


77
Epstein, L. J. (2007). A Good Nights Sleep. London: McGraw-Hill.

Farrant, J.S. (1985). Prinsip dan amali pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka

Fischer, Karl Albert (2009). Humanitys need for light and chrono-biological light rhythms. PLDC
2
nd
Global Lighting Design Convention, 28-31. October, 2009 in Berlin, Germany. Via-
Verlag. Germany. p. 20.21.

Godar, D.E., Landry, R.J. & Lucas, A.D. (2008). Increased UVA exposures and decreased
cutaneous Vitamin D levels maybe responsible for the increasing incidence of melanoma.
Diakses pada 12 November 2009 daripada www.elsevier.com/locate/mehy. 2008.

Halpin, A.W. & Croft D.B. (1963). The organizational climate of school. Chicago: Midwest
Administration Center, University of Cicaho.

Hathaway, W.E. (1992). A Study into the Effects of Light on Children of Elementary School-Age--A
Case of Daylight Robbery. Alberta Dept. of Education, Edmonton. Planning and
Information Services.

Holick, M. F. (2009). Vitamin D and Health: Evolution, Biologic Functions, and Recommended
Dietary Intakes for Vitamin D. Clinic Rev Bone Miner Metab (2009). 7:2-19Published
online: 21 April 2009,. Copyright Human Press Inc. 2009

Kementerian Pelajaran Malaysia (2002). Buku Konsep dan Manual Sekolah Selamat. Panduan
Pelaksanaan Menjadikan Sekolah, Komuniti dan Keluarga Selamat Untuk Kanak-Kanak.
Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011. Program 3k (Keselamatan, Kesihatan Dan Keceriaan).
Diakses daripada http://www.moe.gov.my/?id=263 pada 20 Februari 2011.

Kramer, H. (2009). Healthy and Sustainable Lighting Design. What Defines Excellent Lighting
Design. Light Focus on Milan 2009. Presented by the Professional Lighting Designers
Association and Associazione Professionisti dellIlluminazione, APIL on the occasion of
Euroluce 2009 in Milan. Via-Verlag. Germany. p. 8-10.

Kunz, D. (2009). Lighting. Kertas kerja yang dibentangkan di PLDC 2
nd
Global Lighting Design
Conventio pada 28-31 October, 2009 di Berlin, Jerman.

Malaysia (1999). Akta Pendidikan 1999. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia

Maslow, A.H. (1943). A theory of human motivation. Psychological Review, 50, 370-396.

McCloud, K. (1995). Lighting Style: The Complete Guide to Lighting Every Room In Your Home.
London: Simon & Schuster.

McMenemy, B. (2010). Light and Austistic Children. Professional Lighting Design Magazine. Jan-
Feb 2010. p. 30-33.

Niesewand, N. (1989). Lighting. London: Michell Beazley

Philips, D. (1976). Planning Your Lighting. London: A Design Centre Book. London.

78
Salleh Buang. (1996). Sejarah Undang-Undang Malaysia: Kes dan Material. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsiah Mohd Amin, Shahrul Banun A. Ghani, Azaiah Ab. Latih (2005). Konsep Dan
Pelaksanaan Sekolah Selamat. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Pendidikan
dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, 15 Oktober 2005.

Sheau Jiunn, Sia. (2001). Pengsimulasian Berkomputer Dalam Menilai Prestasi Tatacahaya Siang
Tempatan Bagi Jenis Bukaan Telaga Udara: Satu Kajian Perbandingan Bagi Bangunan
Asrama Bertingkat di USM. Tesis tidak diterbitkan. Universiti Sains Malaysia, Pulau
Pinang

Stoll, A. & D. Fink. (1996). Changing Our Schools. Buckingham: Open University Press.

The Role of Light in Health: Super Nutrient Lacking in Most Artificially Illuminated Rooms,
Scientists Warn diakses pada 20 Februari 2011 daripada
http://rawfoodinfo.com/articles/art_roleoflight.html.

Turner, J. (1998). Designing with Light. New York: Roto Vision SA. Veitch, J.A. & Newsham,
G.R. (1996). Determinants of Lighting Quality II: Research and Recommendations. Paper
presented at the Annual Meeting of the American Psychological Association (104th,
Toronto, Ontario, Canada, August 9-13, 1996)

Wirz-Justice, Anna (2009). Licht und Gesundheit: neues aus der Chronobiologie. Diakses pada 12
November 2009 daripada www.chronobiology.ch.

Wunsch, A. (2006). Artificial Lighting and Health. Journal of Optometric Phototherapy. April
2006. p.1-4 di akses pada 3 Januari 2011 daripada www.international-light-association.org

Zakaria, S.A. (2001). Pencahayaan Pameran Tetap Muzium Malaysia: Satu Kajian Penerimaan
Dan Kesannya Terhadap Pengunjung. Tesis yang tidak diterbitkan. Universiti Sains
Malaysia. Pulau Pinang.

Anda mungkin juga menyukai