Anda di halaman 1dari 4

PENDAHULUAN :

Perkataan Murut merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit
atau tanah tinggi di Pedalaman Sabah. Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan
tenggara Sabah serta wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Suku kaum
Murut merupakan salah satu suku kaum terbesar di Sabah.
Masyarakat Murut merupakan suku kaum yang tertua sekali di Sabah, dan
dipercayai datang dari Annam, Indo-China dan sampai ke Sabah melalui Kepulauan Filipina.
T.R. Williams dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) berpendapat kira-kira 15,000 hingga
20,000 tahun dahulu telah berlaku penghijrahan penduduk dari bahagian selatan Negara
China ke Asia Tenggara dan kawasan-kawasan pesisirannya, termasuklah ke Pulau Borneo.
Antara mereka yang berpindah dari benua Asia ini sejak tahun-tahun 1500 hingga 1000 S. M
lagi terdiri daripada kumpulan etnik yang pada hari ini disebut Dusun dan Murut.
Berdasarkan fakta inilah kelompok Dusun dan Murut dikatakan dua kelompok yang paling
awal berada di Sabah. Collins dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) mengatakan bahawa
kelompok ini secara umumnya disebut Melayu-Proto yang mengamalkan bahasa
rumpun Austronesia.

Manakala Headly dalam Ismail Yusoff (1997: 28), mengatakan bahawa perkataan
Murut di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau
tanah tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun.
Seperti orang Dusun, nama orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut,
tetapi diberikan oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal
orang Murut adalah lebih kecil dan pendek. Ciri-ciri fizikal ini dijadikan panduan kepada
ramai pengkaji beranggapan bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau
Formosa. Namun, bukti ini tidak kukuh disebabkan hanya andaian dari pengkaji sahaja
berdasarkan kepada bentuk fizikal orang Murut dan orang Dusun yang menyerupai bentuk
fizikal Anam, Ulu Burma atau Formosa.
Mengikut Pollard dalam Ismail Yusoff (1997: 28) istilah Murut berasal dari akar kata
purut iaitu berian atau hantaran mas kahwin. Ada juga pengkaji berpendapat istilah ini
diperoleh dari burut iaitu sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut.
Sebelum nama ini menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang
dikaitkan dengan alam sekeliling di mana mereka menetap. Prentice dalam Ismail Yusoff
(1997: 28) misalnya menamakan mereka ini hill people kerana mereka tinggal di bukitbukau. Sementara Whelan dalam Ismail Yusoff (1997: 28) pula menamakan mereka man
of wood kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.
Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 69), beliau
mengasingkan kawasan petempatan masyarakat Murut mengikut subetnik kepada dua
golongan iaitu Murut dataran tanah rendah dan Murut dataran tanah tinggi. Murut dataran
tanah rendah terdiri daripada Murut Nabai dan Murut Timugon yang mendiami tanah rata
Keningau. Manakala Murut tanah tinggi pula adalah golongan yang terbesar mendiami
kawasan tanah tinggi di Sabah. Golongan ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan besar.
Pertama, Murut Paluan tinggal di kawasan tanah tinggi berhampiran Sungai Padas di
Tenom, berkembang ke Sungai Dalit di sempadan Sook dan berkembang ke barat
berhampiran Sipitang.
Kedua, Murut Dalit yang juga dipanggil orang bukit menduduki kawasan Dalit dan
Sook dan berkembang di sepanjang Sungai Penawan. Ketiga, Murut Rundum yang
menduduki kawasan persekitaran Sungai Tagul dan berkembang ke utara Rundum.
Keempat, Murut Tahol yang berpindah dari persekitaran Sungai Tagul dan menduduki
kawasan Bole, Kemabong, Tenom dan Tomani. Kelima, Murut Kolod di kawasan Bole.
Keenam, Murut Sapulut menduduki kawasan tanah tinggi selatan Sook hingga ke Sungai
Sepulut dan Murut Pensiangan (Lagungan) yang menduduki kawasan Sapulut, berkembang

hingga ke sempadan dan tenggara Serudong dan Sungai Kalabakan. Sebenarnya Murut
Sapulut adalah dikenali sebagai Murut Tagal.
Selain itu, menurut Cliff Akid Kamijan dalam majalah Dewan Bahasa (2006: 30) dan
Owen Rutter dalam Mat Zin Mat Kib (2005: 2) menjelaskan bahawa pengkategorian etnik
yang utama di Sabah ialah tertumpu kepada kaum Dusun, Murut, Bajau, Iranun, Suluk,
Bisaya dan Melayu Brunei. Setiap kumpulan etnik ini mempunyai adat resam, kebudayaan
dan amalan kepercayaan yang berbeza-beza. Mereka terdiri daripada penduduk peribumi
bukan Islam dan peribumi Islam. Kumpulan etnik Dusun, Murut dan Rungus kebanyakannya
bukan beragama Islam. Setiap kumpulan etnik, khususnya Dusun dan Murut mempunyai
subkumpulan etnik masing-masing. Manakala, kumpulan etnik Idahan, Bajau, Iranun, Sulu,
Bisaya, Melayu-Brunei, Orang Sungai dan Tidong pada keseluruhannya beragama Islam.
Walaubagaimanapun, terdapat penulis lain yang mengklasifikasikan masyarakat
Murut kepada beberapa subetnik. Misalnya, Lita Lasimbung dan Stella Moo-Tan (1997: 45)
telah membahagikan Murut kepada subkumpulan iaitu Baukan, Gana, Kalabakan, Okolod,
Paluan, Selungai, Serudung, Tagal, Timugon, Murut Beaufort dan Murut Keningau. Mereka
juga mengatakan bahawa pada tahun 1977, jumlah masyarakat Murut di Sabah
dianggarkan sebanyak 40,000 orang.
Menurut rekod penjajah, bangsa Lun Bawang adalah bangsa asal Murut dan gunung
Murut yang terdapat di Sarawak adalah bukti bahawa bangsa Murut adalah berasal dari
suku Lun Bawang. Bahasa mereka hampir serupa dan budaya mengenakan pakaian
daripada kulit kayu dan tidak berseluar panjang menambahkan lagi keyakinan bahawa
bangsa Murut adalah juga berasal dari Lun Bawang.
Cara hidup mereka menyerupai dengan cara hidup bangsa Mois iaitu Orang Asli
negeri tersebut. Mereka juga mempunyai banyak persamaan dengan orang Dayak di
Sarawak.
Secara umumnya, kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagal, Tidung,
Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan, Murut Serundung dan Murut Lundayeh,
Lun Bawang. Murut Tahol atau lebih dikenali sebagai Murut Tagal tinggal di kawasan
pedalaman Daerah Nabawan yang hampir dengan kawasan Kalimantan Indonesia.
Kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang
50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan
Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum

Murut yang lain seperti Lun Bawang atau Lun Dayeh. Ini disebabkan faktor geografi sebagai
penghalang dalam komunikasi bahasa mereka.
Kaum Murut banyak mendiami di Tenom, Kemabong, Sipitang, Kalabakan dan
Kinabatangan, Pensiangan dan Keningau. Pada zaman dahulu, mereka tinggal di
dalam rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga besar. Kebanyakan mereka
bekerja sebagai petani berpindah, pemburu dan penangkap ikan sungai. Mereka juga
menjalankan pemungutan hasil hutan seperti damar, rotan dan madu lebah untuk dijual.
Secara uniknya, kaum Murut tinggal di rumah panjang yang berhampiran dengan
kawasan sungai atau membuat penempatan sepanjang sungai. Mereka tinggal di dalam
rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga. Tetapi terdapat juga kaum Murut
yang tinggal dan membina penempatan secara individu di sepanjang sungai. Suku kaum
Murut mempunyai kepakaran dalam pembuatan perahu dan mewariskan kepakaran mereka
kepada generasi seterusnya. Selain itu kaum Murut pakar dalam pemburuan dan masih
mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang
dilakukan oleh generasi muda suku kaum ini.
Pada masa kini juga terdapat kaum Murut yang tinggal di rumah batu dan menetap di
kawasan bandar. Selain itu, mereka mula berkhidmat dalam sektor awam dalam bidang
pendidikan, kesihatan dan pertahanan. Taraf hidup kaum Murut semakin meningkat dan
mampu mengadaptasikan diri mereka dalam zaman yang globalisasi ini.
Kaum Murut juga tidak terkecuali dalam menyambut perayaan seperti Hari Raya,
Hari Krismas, Tahun Baru, Majlis hari jadi, pengembumian dan Pesta Kalimaran dan lainlain. Pesta Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum Kadazan-Dusun yang menyambut
pesta Kaamatan. Ia disambut bagi menandakan kesyukuran kepada hasil padi yang
lumayan.
Kesimpulannya, kaum Murut masa kini, telah mengalami proses kemodenan dan
cara hidup juga kian berubah. Mereka juga tinggal di bandar-bandar besar dan mempunyai
pekerjaan profsional. Namun demikian, Kaum Murut ini masih lagi mengamalkan adat
istiadat yang diamalkan oleh nenek moyang mereka sebagai adat turun temurun yang
mempunyai nilai estetika tinggi dalam kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai