Anda di halaman 1dari 10

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENULIS BENTUK HURUF

MURID TAHUN 2 CEKAL MENGGUNAKAN AMaTSI


Oleh:
Nurul Fatekah Binti Abdullah, En. Bahtiar Bin Omar,
Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Dato Razali Ismail
nurulfatekah@gmail.com , bahtiaromar66@gmail.com

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk membantu murid-murid yang lemah dalah kemahiran
menulis mekanis iaitu kemahiran menulis bentuk huruf melibatkan murid Tahun
2 Cekal SK Padang Mengkuang, Marang, Terengganu. Seramai 4 orang murid
lelaki terlibat dalam kajian ini. Kajian ini berfokus kepada masalah murid
menulis tidak menyerupai huruf yang sebenar bagi huruf-huruf yang hampir
sama bentuk dengan tujuan untuk meningkatkan penguasaan murid menulis
bentuk-bentuk huruf yang tidak berkaki (a,c,e,i,m,n,o,r,s,u,v) dengan bentuk yang
betul dan membantu murid membezakan bentuk-bentuk huruf ini semasa menulis.
Oleh yang demikian, pengkaji telah menggunakan Alat Mari Tulis Secara
Interaktif (AMaTSI) bagi membantu murid meningkatkan kemahiran menulis
bentuk huruf yang betul. Penggunaan AMaTSI ini telah menunjukkan
peningkatan yang agak ketara setelah murid menjalani intervensi berdasarkan
Ujian Pasca yang dijalankan. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini
adalah Ujian Pra, Ujian Pasca, Pemerhatian dan Temu Bual. Melalui kajian
ini,murid lemah dalam penguasaaan kemahiran menulis telah dapat menulis
bentuk huruf dengan baik sekali gus membantu mereka meningkatkan
pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Kata kunci : peningkatan, penguasaan, AMaTSI, huruf tidak berkaki
REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pengkaji telah diminta oleh guru Bahasa Malaysia tahun 2 Cekal untuk menyemak kertas
ujian Bahasa Malaysia pada minggu pertama sesi praktikum . Semasa membuat semakan
kertas ujian tersebut, pengkaji terkejut melihat hasil tulisan beberapa orang murid tahun 2
Cekal.Tulisan mereka menunjukkan bentuk huruf yang mengelirukan. Tulisan yang tidak
kemas serta mengelirukan mengakibatkan jawapan yang diberikan kurang jelas dan sukar
untuk dibaca. Setelah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang bermula pada
minggu kedua, pengkaji membuat pemerhatian terhadap masalah bagi memastikan sejauh
mana ketaranya masalah ini. Jadi, daripada pemerhatian pengkaji pada minggu pertama
perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran murid tahun 2 Cekal, pengkaji mendapati
sememangnya murid yang dikesan semasa menyemak ujian lalu mengalami masalah dalam
menulis bentuk huruf. Huruf yang ditulis mengelirukan, tidak kemas, dan menyebabkan
perkataan tersebut memberi maksud lain.
Kesimpulan yang dilakukan menunjukkan murid mempunyai masalah menulis huruf yang
tidak menyerupai huruf yang sebenar. Hasil penulisan murid menunjukkan mereka menulis
huruf dengan bentuk huruf yang salah. Pelbagai bentuk kesalahan huruf yang dilakukan oleh
murid. Antaranya huruf r yang ditulis seperti v, huruf n seperti h, huruf a seperti d,
huruf e seperti c , huruf i tanpa titik dan sebagainya seperti yang ditunjukkan dalam
Rajah 1 di bawah . Hal ini menyebabkan murid menulis perkataan salah, dan tidak bermakna.
Akibatnya, ayat yang terhasil tidak gramatis. Pengkaji beranggapan bahawa murid belum lagi

menguasai kemahiran koordinasi mata dan tangan dengan baik. Daripada hasil pemerhatian
pengkaji juga, pengkaji mendapati kesilapan penulisan huruf murid bermula daripada cara
memegang pensel, kedudukan tangan dan buku yang tidak betul serta postur badan yang salah
semasa menulis.

Rajah 1: Kesalahan Bentuk Huruf

SOROTAN LITERATUR
Menulis ialah suatu kegiatan penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun atur menjadi
perkataan-perkataan, yang seterusnya membentuk ayat-ayat yang bermakna. Kemahiran
menulis ialah kemahiran yang paling tinggi dalam senarai kemahiran berbahasa. Kemahiran
ini merupakan aspek penting dalam mata pelajaran bahasa Malaysia di sekolah. Hal ini
demikian kerana kemahiran menulis menentukan tahap pencapaian murid di dalam
peperiksaan. Menurut Noorazman Mahat (2009), murid perlu mahir menulis kerana hampir
semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan murid menjawab dalam bentuk tulisan
dan ada juga jawapan yang memerlukan jawapan yang panjang lebar dalam bentuk ayat.
Justeru itu, Murid perlu menguasai kemahiran menulis daripada peringkat asas lagi iaitu
peringkat penulisan mekanis yang mana murid dapat menulis dengan ejaan yang betul serta
kemas, aspek ini penting sebelum murid dapat menulis di peringkat penglahiran fikiran atau
idea. Kenyataan pengkaji adalah berdasarkan kenyataan Raminah Haji Sabran (1995) di
dalam kemahiran menulis, penekanan harus diberikan kepada tulisan yang jelas dengan
menulis lambang-lambang huruf menjadi ejaan yang betul.
Namun begitu, masalah dalam kemahiran menulis adalah masalah yang paling ketara sama
ada di peringkat pramenulis sehinggalah peringkat penglahiran. Namun begitu, masalah dalam
kemahiran menulis lebih ketara di peringkat pra menulis dan menulis mekanis. Menurut
Kamarudin Hj Husin (1998), beliau menyatakan dalam buku tulisannya iaitu Pedagogi Bahasa
bahawa kanak-kanak mengalami kesukaran menulis dengan tulisan yang sukar dibaca.
Antara faktor yang menyumbang kepada tulisan yang sukar dibaca ialah formasi huruf yang
salah atau terbalik, saiz dan tinggi huruf yang tidak konsisten. Kegagalan murid dalam

menguasai kemahiran di peringkat pra menulis dan menulis mekanis akan menyebabkan
murid gagal menulis di peringkat penglahiran.
Berdasarkan kenyataan ini, pengkaji berpendapat masalah-masalah ini berpunca daripada
kemahiran paling asas lagi iaitu kemahiran cara memegang alat tulis yang salah. Hal ini
selaras dengan kenyataan Levine (1979), iaitu cara memegang alat tulis akan mempengaruhi
bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid. Kelemahan pada motor halus menyebabkan kanakkanak menghadapi kesukaran memegang pensel. Levine menegaskan lagi bahawa cara kanakkanak memegang pensel dengan cengkaman yang kurang kemas menyebabkan pergerakan
pensel menjadi tidak licin.
Pelbagai kajian yang telah dilah dilaksanakan dalam mengatasi masalah murid bagi aspek
kemahiran menulis mekanis. Misalnya, kajian Norma Bt Hj Ismail (2013), yang bertajuk
Meningkatkan Kemahiran Menulis Mekanis Murid Tahun Tiga menggunakan Smart Board
BUGAR 4 yang dijalankan kepada murid Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan Rahmat, Rantau
Panjang, Kelantan bagi meningkatkan penguasaan murid dalam menulis bentuk-bentuk huruf
dengan cara yang betul. Hasilnya, penggunaan Smart Board Bugar 4 telah berjaya membantu
muridnya meningkatkan mutu tulisan menjadi lebih kemas serta seragam. Hal ini telah
dibuktikan berdasarkan kajian kepada keputusan ujian pasca yang telah diberikan kepada
subjek kajian.
Antara kajian tindakan lain yang dirujuk pengkaji dalam menangani masalah murid dalam
kemahiran menulis mekanis. Misalnya, kajian Siti Aida Abd. Hana (2012) yang bertajuk
Penggunaan Smart Writing Kit Dalam Meningkatkan Kemahiran Menulis Dan Mengenal
Huruf a hingga z. Dalam Kalangan Kanak-kanak Prasekolah di SK Seri Nilam, Kuala
Terengganu. Beliau menggunakan kaedah menekap huruf bagi memberikan pendedahan awal
untuk mengawal pergerakan tangan murid. Hasil kajian yang dijalankan oleh beliau telah
meningkatkan kemahiran menulis huruf a hingga z sehingga 100%.
Antara inovasi yang sedia ada dalam mengatasi masalah dalam penulisan ialah penggunaan
carta teknik menulis huruf yang betul yang digunakan oleh Faizal Bin Latip (2009) dalam
kajiannya yang bertajuk Teknik Menulis Huruf Dengan Betul Meningkatkan Kekemasan
Tulisan Murid Pemulihan yang dijalankan di SK Pelita Jaya, Kuching, Sarawak ke atas
seorang murid pemulihan sekolah itu. Beliau telah menggunakan teknik menulis huruf yang
betul dan diajar secara ansur maju, dan menggunakan buku garis tiga sebagai panduan
menulis yang betul.

TUJUAN KAJIAN
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan penguasaan kemahiran
menulis bentuk huruf yang betul murid Tahun 2 Cekal Sekolah Kebangsaan Padang
Mengkuang, Marang dengan menggunakan AMaTSI.
Objektif
Meningkatkan penguasaan murid menulis bentuk-bentuk huruf yang tidak berkaki
(a,c,e,i,m,n,o,r,s,u,v) dengan bentuk yang betul.

Persoalan Kajian
Bagaimanakah penggunaan AMaTSI dapat membantu murid Tahun 2 Cekal meningkatkan
penguasaan menulis bentuk huruf yang tidak berkaki (a,c,e,i,m,n,o,r,s,u,v) dengan bentuk
huruf yang betul?

METODOLOGI KAJIAN

Pelaksanaan kajian tindakan ini menggunakan model kajian Kurt Lewin (1947) yang mana
prosedur tindakannya terdiri daripada merancang, bertindak, memerhati, dan seterusnya
membuat refleksi. Model penyelidikan Kurt Lewin (1947) digunakan apabila masalah kajian
telah dikenal pasti. Kajian tindakan ini melibatkan empat orang murid lelaki tahun 2 Cekal
Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang. Semua peserta kajian dipilih berdasarkan
kepada pencapaian dalam ujian diagnostik. Pengumpulan data menggunakan instrumen ujian,
analisis dokumen, pemerhatian dan temu bual. Data kualitatif dianalisis secara deskriptif
mengikut peserta kajian.
Pengumpulan data ujian dilaksanakan menggunakan instrumen ujian pra dan ujian pasca.
Ujian pra disediakan oleh pengkaji bagi melihat sejauh mana pencapaian murid dan masalah
yang dihadapi oleh murid. Ujian ini dijalankan sebelum perlaksanaan tindakan. Tujuan khusus
ujian ini dilaksanakan untuk mengetahui sejauh mana responden dapat menulis bentuk huruf.
Ujian pasca pula di jalankan dengan prosedur yang sama dengan ujian pra cuma ianya
bertujuan untuk melihat pencapaian murid selepas perlaksanaan intervensi. Tujuan khususnya
untuk mengkaji keberkesanan AMaTSI yang digunakan untuk meningkatkan penguasaan
murid membentuk huruf.
Instrumen pemerhatian digunakan dengan mengamati tingkah laku responden berdasarkan
perkara-perkara atau beberapa item-item yang ingin dilihat iaitu cara responden memegang
pensel, kedudukan buku atau kertas dengan responden serta postur badan yang betul.
Pemerhatian dijalankan secara berstruktur dengan menggunakan borang senarai semak dan di
ambil gambar bagi membuktikan lagi masalah yang dihadapi oleh murid. Untuk menganalisis
pemerhatian, pengkaji menjalankan pemerhatian sebanyak 3 kali terhadap responden iaitu
sebelum, semasa dan selepas intervensi dijalankan.
Instrumen analisis dokumen pula merupakan intrumen hasil kerja responden secara bertulis
daripada lembaran kerja yang diberikan oleh pengkaji sebelum intervensi dan selepas
intervensi menulis dilaksanakan. Analisis dokumen dalam bentuk latihan memberi gambaran
kepada pengkaji untuk melihat perkembangan yang berlaku pada kemahiran menulis
responden melalui latihan-latihan menulis yang diberikan. Setelah analisis dokumen
dilakukan, pengkaji akan mengumpulkan data-data yang diperolehi menggunakan senarai
semak kekerapan kesalahan huruf yang dilakukan oleh responden. Melalui senarai semak,
pengkaji akan membuat analisa terhadap peningkatan penulisan responden dan sekaligus
menjawab persoalan kajian.
Manakala istrumen temu bual turut digunakan dalam kajian ini. Soalan-soalan yang
dikemukakan lebih kepada respon peserta kajian selepas intervensi diberikan. Menurut Mohd
Majid Bin Samad (2000) (seperti dinyatakan dalam Mohammad Faizal Bin Latip, 2012),
kaedah temu bual boleh digunakan untuk memperoleh maklumat berkenaan fakta,
kepercayaan, perasaan dan kehendak mengikut keperluan persoalan kajian.

SPESIFIKASI INTERVENSI
Langkah Pertama :
Pada permulaan aktiviti, bahagian pertama AMaTSI diperkenalkan kepada responden
iaitu responden melakukan terapi jari dan badan dengan menunjukkan cara memegang pensel
dan postur badan yang betul kepada responden. Pengkaji melatih mereka memegang pensel
dengan betul dan berada dalam keadaan postur badan yang betul semasa menulis melalui
tontonan video Terapi Jari dan Badan dalam AMaTSI. Pengkaji akan menunjukkan
kedudukan tangan dan buku latihan semasa menulis. Pengkaji diminta mencontohi tindakan
yang dilakukan oleh pengkaji. Hal ini kerana, cara pegangan pensel dan postur badan sangat
mempengaruhi hasil tulisan. Pegangan pensel yang terlalu kemas akan menyebabkan berlaku
tekanan dan memberi beban semasa menulis. Manakala postur badan yang salah semasa
menulis akan memberi kesan yang agak ketara seperti menulis terlalu rapat atau condong.
Jadi, dalam membantu murid membentuk huruf, pengkaji sangat menitik beratkan aspek ini.

Rajah 2 Latihan Terapi Jari dan Badan


Langkah Kedua:

Kemudian aspek yang disentuh adalah dari aspek kemahiran motor halus murid yang
melibatkan aktiviti menggunakan pensel iaitu dalam bahagian BANTU SAYA! Penggunaan
AMaTSI digunakan seiring dengan modul AMaTSI yang disediakan oleh guru yang mana
kandungan isinya hampir sama dengan kandungan AMaTSI. Bahagian aktiviti
diperbanyakkan dalam modul bagi memberi kepelbagaian latihan kepada responden. Bahagian
BANTU SAYA melatih reponden melakukan aktiviti yang melibatkkan latihan motor halus.
Responden diminta mencari jalan pulang berdasarkan permainan BANTU SAYA dalam
AMaTSI. Seterusnya, responden diminta melakar jalan pulang tersebut dalam modul yang
disediakan oleh pengkaji.

Rajah 3 Latihan Kemahiran Motor Halus

Langkah Ketiga:
Bahagian ketiga dalam AMaTSI diperkenalkan iaitu bahagian BELAJAR MENULIS
HURUF. Responden ditunjukkan cara-cara yang betul membentuk huruf kecil menggunakan
AMaTSI. Responden akan meniru cara membentuk huruf berdasarkan AMaTSI dengan
menggunakan Modul AMaTSI . Dilaksanakan secara berperingkat:

Membentuk huruf atas huruf

Membentuk huruf putus-putus

Membentuk huruf
Sepanjang intervensi, responden diminta menulis semula huruf tersebut berulangulang kali. Modul AMaTSI yang disediakan pengkaji boleh dipadam menggunakan pemadam
papan putih dan digunakan berulang kali. Pengkaji akan memantau setiap pergerakan cara
menulis peserta kajian. Pengkaji akan menegur sekiranya responden membentuk huruf dengan
cara yang salah supaya bentuk huruf yang terhasil menyerupai bentuk huruf yang sebenar.
Pengkaji akan menganalisis hasil kerja responden. Sekiranya responden berjaya menulis huruf
menyerupai huruf sebenar, pengkaji akan meneruskan dengan langkah seterusnya iaitu
menulis perkataan.

Rajah 4 Aktiviti menulis huruf secara berperingkat

Langkah Keempat:
Seterusnya, latihan ansur maju dan latih tubi, Apabila responden telah dapat
membentuk huruf-huruf dengan betul, responden akan dibimbing dan dilatih secara ansur
maju menulis perkataan-perkataan mudah di atas satu garisan atau ruang.

DAPATAN KAJIAN
Dapatan kajian ini diperincikan berdasarkan dapatan responden 2. Responden 2 merupakan
salah seorang murid yang mengalami masalah dalam kemahiran menulis bentuk huruf. Hurufhuruf yang ditulis tidak menyerupai huruf yang sebenar. Analisis tinjauan awal berdasarkan
pemerhatian telah menunjukkan responden 2 tidak menguasai teknik asas menulis iaitu tidak
mampu memegang pensel dengan betul serta postur badan yang salah semasa menulis yang
mana responden ini gemar menulis sambil berdiri. Jadi, peringkat awal intervensi, pengkaji
telah menunjukkan cara dan kaedah yang betul memegang pensel dan postur badan yang betul
semasa menulis melalui bahagian pertama AMaTSI:Terapi Jari dan Badan. Hasilnya dapat
dilihat perubahan yang berlaku kepada responden 2 dalam teknik asas ini. Rajah 5
menunjukkan perubahan selepas sesi intervensi ini dilaksanakan.

Rajah 5 Pemerhatian Selepas Sesi Intervensi Pertama


Setelah responden berupaya memegang pensel dengan betul dan berada dalam postur badan
yang betul semasa menulis, pengkaji telah memberikan latihan kemahiran motor halus yang
berbentuk permainan iaitu BANTU SAYA! Latihan ini digunakan bagi membantu murid
membiasakan cara pegangan pensel yang betul dan melatih koordinasi mata dan tangan murid
sebelum meneruskan sesi seterusnya. Sekali lagi pemerhatian berstruktur dilakukan bagi
melihat keberkesanan intervensi yang dilaksanakan pada peringkat pertama. Apabila
responden dilihat dapat membiasakan teknik asas menulis yang betul, pengkaji meneruskan
sesi pada bahagian ketiga dalam AMaTSI iaitu BELAJAR MENULIS HURUF. Responden
menggunakan AMaTSI bagi melihat pergerakan pensel secara animasi bagi menunjukkan cara
membentuk huruf yang betul dan seterusnya responden melakukan pergerakan yang sama
dengan meniru cara animasi tersebut pada modul AMaTSI. Setelah intervensi ini dilaksanakan
secara berperingkat, ujian pasca diberikan kepada responden 2. Hasil ujian pasca telah
menunjukkan peningkatan yang ketara berlaku kepada responden sehingga 87% daripada 42%
semasa ujian pra. Peningkatan markah dalam ujian yang diperoleh mengukuhkan lagi dengan
dapatan yang diperoleh melalui instrumen pemerhatian semasa intervensi dilaksanakan. Jadi,
pengkaji bersetuju dengan penyataan Levine (1979), cara memegang alat tulis akan
mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid.
Bagi memastikan responden mampu meningkatkan lagi penguasaan menulis bentuk huruf
yang betul. Pengkaji telah menambah baik aktiviti dengan latih tubi menulis huruf pada
perkataan dan frasa dalam modul AMaTSI menggunakan garis tiga bermula daripada latihan
perkataan. Analisis dokumen latihan 1 dianalisis bagi melihat sejauhmana sesi intervensi ini
dapat meningkatkan penguasaan murid terhadap kemahiran menulis bentuk-bentuk huruf
yang betul. Hasilnya menunjukkan perubahan yang ketara telah berlaku seperti mana yang
ditunjukkan dalam Rajah 6 di bawah.

Rajah 6 Analisis Dokumen Sebelum Dan Selepas


Intervensi

Responden seterusnya diberikan latihan menulis bentuk huruf dalam bentuk frasa
menggunakan garis tiga secara latih tubi dan berterusan dan dilaksanakan selama 30 minit
satu hari. Kesan penggunaan garis tiga diaplikasikan dengan AMaTSI ini telah menunjukkan
peningkatan yang agak ketara dalam Ujian Pasca 2. Peningkatan responden berlaku sehingga
100%. Peningkatan ini telah menunjukkan keberkesanan AMaTSI dalam meningkatkan
penguasaan murid dalam kemahiran menulis bentuk huruf yang betul. Penambahbaikan
aktiviti dengan melakukan latih tubi latihan menulis selaras dengan penyataan Grave (1983),
murid sekurang-kurangnya mesti menulis setiap hari atau minumum empat hari dalam
seminggu yang mana pada hari-hari menulis sekurang-kurangnya 30 minit sesi menulis.
Selepas intervensi, responden 2 ditemu bual untuk mengetahui respon setelah intervensi
dilaksanakan. Apabila ditanya Mengapa kamu tidak tulis huruf a macam huruf d lagi?
Responden 2 telah memberi respon Bentuk huruf a dan d tak sama cikgu. Cara tulis huruf
a pun dop sama ngan d cikgu. Dapatan temu bual telah menunjukkan responden tahu
bagaimana sesuatu bentuk huruf yang sebenar setelah beberapa jenis sesi intervensi
dilaksanakan secara berperingkat.
Untuk mengukuhkan lagi dapatan kajian, pengkaji telah menjalankan sekali lagi analisis
dokumen iaitu pada lembaran kerja 2. Dapatan menunjukkan telah berlaku penurunan
kesalahan huruf yang dilakukan oleh responden. Kesimpulannya, keempat-empat responden
yang menjalani intervensi telah berjaya meningkatkan penguasaan kemahiran menulis bentuk
huruf yang betul berdasarkan beberapa instrumen yang telah digunakan. Hal ini menunjukkan,
keberkesanan AMaTSI dalam meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran menulis
bentuk huruf yang betul.

KESIMPULAN
Pengkaji hanya memfokuskan kepada masalah murid menulis tidak menyerupai huruf yang
sebenar. Masalah ini menjadi fokus kajian pengkaji berbanding masalah lain. Hal ini kerana,
pembentukan huruf yang salah adalah punca kepada masalah-masalah menulis mekanis yang
lain. Oleh yang demikian, dalam mengatasi masalah ini, pengkaji telah menggunakan
AMaTSI sebagai alat untuk membantu responden. Konsep penggunaan AMaTSI ini
berasaskan Teori Pemodelan Bandura (1986). Teori ini menyatakan manusia secara semula
jadi belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian (Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying &
Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2009). Responden akan mengikut cara animasi dalam
AMaTSI yang ditunjukkan oleh pengkaji. Dalam perisian AMaTSI ini, pengkaji tidak
mengabaikan kemahiran motor halus murid dan teknik menulis yang betul terutamanya
perkara asas iaitu kemahiran cara memegang alat tulis yang salah serta postur badan yang
betul semasa menulis. Hal ini selaras dengan kenyataan Levine (1979), iaitu cara memegang
alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid. Selain itu,
pelaksanaan intervensi ini dijalankan secara berperingkat daripada asas kepada kompleks. Ini
bertepatan dengan kajian yang dijalankan oleh Ahmad Durani Bin Suip (2010). Beliau
menyatakan penulisan berperingkat dapat memperbaiki kekemasan tulisan murid, murid di
ajar kemahiran-kemahiran asas daripada mudah kepada lebih susah dan kompleks. Dapatan
yang diperoleh juga menunjukkan hasil yang postif yang mana selepas langkah intervensi
dijalankan subjek kajian beliau telah menunjukkan peningkatan dari segi kekemasan dan
kecantikan tulisan mereka walaupun tanpa berpandukan kertas bergaris tiga. Aktiviti ini juga
dijalankan secara latih tubi dan berterusan dan dilaksanakan selama 30 minit satu hari. Hal ini
selaras dengan penyataan Grave (1983), murid sekurang-kurangnya mesti menulis setiap hari
atau minimum empat hari dalam seminggu yang mana pada hari-hari menulis sekurangkurangnya 30 minit sesi menulis. Ringkasnya, dapatan kajian menunjukkan berlakunya
peningkatan yang positif dari aspek kemahiran menulis bentuk huruf dan penguasaan
kemahiran menulis umumnya. Perubahan yang ketara dapat dilihat berdasarkan dapatan ujian
dan analisis dokumen serta dikukuhkan lagi dengan dapatan pemerhatian. Justeru itu,

penggunaan AMaTSI dalam meningkatkan kemahiran menulis bentuk huruf terbukti


berkesan. Perisian AMaTSI menggunakan pengaplikasian animasi dalam komputer adalah
satu inovasi yang baharu mampu meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran menulis
mekanis. Hal ini boleh disokong dengan kajian yang bertajuk Keberkesanan Penggunaan
Komputer Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Tatabahasa oleh Nor Ilyani Harun, Ahmad
Fauzi Mohd. Ayub, Fadzilah Ab. Rahman (2012) ke atas murid Tahun 3 di sebuah Sekolah
Kebangsaan di Kuala Lumpur.
Kajian tindakan merupakan satu kemahiran baru yang saya pelajari dan mengaplikasikan
kemahiran ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya. Kajian tindakan yang saya
laksanakan ini merupakan salah satu usaha untuk membantu murid-murid yang mempunyai
masalah dalam pembelajaran terutamanya murid tahap satu yang menghadapi masalah tulisan
yang kritikal berdasarkan hasil pengalaman praktikum. Selaku seorang guru dalam era baru
ini, saya perlu bersiap sedia menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan dan
perkembangan dalam dunia pendidikan pada masa kini. Saya sedar jika murid-murid tidak
menguasai kemahiran menulis dengan baik akan menjejaskan prestasi pencapaian dalam
semua mata pelajaran, maka guru adalah pihak yang pertama bertanggungjawab terhadap
situasi tersebut terutamanya guru bahasa Malaysia. Oleh sebab itu guru perlu menggunakan
kaedah lain yang sesuai dengan keperluan murid yang lemah dan bukanya bertindak
mengabaikan mereka. Setiap individu adalah berhak untuk mendapat peluang pendidikan
walaupun murid kelas terkebelakang yang mana merupakan golongan minoriti yang lemah
dalam pelajaran. Dalam kajian saya, selain daripada menambah baik amalan pengajaran, saya
membantu beberapa orang murid ini meningkatkan kekemasan tulisan mereka di samping
memberikan motivasi untuk berjaya dalam pelajaran.
Hasil kajian ini boleh diperbaiki lagi dengan menambah pelbagai aktiviti yang lebih menarik
dalam perisian AMaTSI. Penggunaan teknologi mampu membantu meningkatkan lagi
penguasaan murid terhadap kemahiran menulis mekanis dan perancangan serta prosedur yang
lebih terperinci boleh dilaksanakan dalam membantu murid yang lemah dalam kemahiran
menulis mekanis.

RUJUKAN

Levine, M. D. (1987). Developmental variation and learning disorders. Cambridge,


Massachusetts: Educators Publishing Service, Inc.
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Selangor:Longman Malaysia Sdn.
Bhd.
Mohammad Faizal Bin Latip (2012). Teknik Menulis Huruf Dengan Betul
Meningkatkan Kekemasan Tulisan Murid Pemulihan : Penulisan Ilmiah
Penyelidikan Tindakan. IPG Kampus Batu Lintang.
Noorazman Mahat. (2009). Panduan Menulis Karangan.
http://karanganbagus.blogspot.com
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009).
Murid dan Alam Belajar. Selangor: Oxford Fajar.

Norma Binti Haji Ismail (2013). Meningkatkan Kemahiran Menulis Mekanis Murid
Tahun 3 Menggunakan Smart Board Bugar 4: Penulisan Ilmiah Penyelidikan
Tindakan. IPG Kampus Dato Razali Ismail
Nor Ilyani harun, Ahmad Fauzi Mohd Ayub & Fadzilah Ab.Rahman (2012) ,
Keberkesanan Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran
Dan Pembelajaran Tatabahasa : Penulisan Ilmiah Penyelidikan Tindakan.
Universiti Putra Malaysia.
Raminah Hj. Sabran, Rahim Syam (1985). Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia
Penerbitan Fajar Bakti.
Siti Aida Abd Hana (2012). Penggunaan Smart Writing Kit Dalam Meningkatkan
Kemahiran Menulis dan Mengenal Huruf a-z Dalam Kalangan Kanak-kanak
Prasekolah: Penulisan Ilmiah Penyelidikan Tindakan. IPG Kampus Dato
Razali Ismail.

Anda mungkin juga menyukai