Anda di halaman 1dari 13

Apa yang dimaksudkan dengan sastera?

Apakah ciri-ciri yang menandai kesusasteraan Melayu.


Definisi Sastera
Perkataan sastera berasal daripada bahasa Sanskrit castra yang
membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai
segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan
dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et
al;2006 hlm 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang medium
pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin
berkembang mengikut peredaran semasa.
Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Jahnson (1983:2)
yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama
ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang
menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini
juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera
sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan
kepuasan estetik.
Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran
idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir
pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil
daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa
yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36)
sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala
aktiviti manusia secara kreatif.
Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan
bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan
membincangkan dan menjelaskan konsep kesusasteraan, ciri-ciri khusus sastera,
kategori serta fungsinya dengan contoh-contoh yang bersesuaian.

Dalam hal ini perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera


mengikut masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003).
Untuk maksud ini, beberapa bahan dan teks sastera akan dirujuk sebagai bahan
analisis yang mewakili karya tradisional mahupun moden. Antara sumber petikan
yang akan diketengahkan bagi kategori sastera tradisional genre prosa ialah dari
Sejarah Melayu dan Sastera Rakyat. Manakala rangkap dari Gurindam Dua
Belas akan dikaji untuk mewakili sastera tradisional genre puisi. Sastera Melayu
moden yang berbentuk prosa pula akan diwakili oleh karya-karya Abdullah Munsyi
manakala sajak Kamala yang bertajuk Telok Gong pula akan mewakili puisi Melayu
moden.

KONSEP KESUSASTERAAN
Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium
pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang mampu
membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan
sikap dan pandangan pengarangnya. (Arbaie et al,2008) Secara ringkasnya sastera
dilengkapi dengan unsur-unsur yang berikut:
S Seni bahasa yang indah
A Akaliah atau sisipan ilmu dan pemikiran pengarang
S Sensori atau daya sensitiviti pengarang
T Tersurat & tersirat
E Estetika atau keindahan dari segi bahasa
R Realiti kehidupan
A Alternatif
Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun.
Diksi yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya
mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan
dan mengungkapkan makna yang difikirkan. Adunan teknik-teknik yang sesuai dan
ketepatan diksi menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.

Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan


tersusun, sastera juga diiringi dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang
pengarang perlu memikirkan perutusan, amanat, atau lontaran idea yang ingin
disampaikan atau dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca. (Arbaie et al,2008
hlm 1) Unsur akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu ditetapkan sebelum
terhasilnya sesebuah karya.
Dengan perutusan yang diingin disampaikan, seorang pengarang perlu
mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya rasa
atau sensitiviti mereka. (Arbaie et al,2008 hlm 1) Untuk itu, seorang pengarang
haruslah bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan masyarakatnya. Pengamatan
pengarang akan masyarakatnya dijadikan sumber asas dalam menghasilkan
sesebuah karya. Kewujudan pelbagai daya rasa ini akan membangkitkan dan
meninggalkan kesan perasaan kepada pembacanya. Daya rasa seperti belas
simpati, benci , marah atau geram akan dihubungkaitkan dengan fenomena yang
dipaparkan. Karya itu akan lebih bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah
dilalui atau dialami oleh pembaca.

Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil
dengan kekosongan.(Araie et al,2008 hlm 5) Ianya terhasil atas dorongan tertentu
dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Penafsiran
pembaca yang berencam mengundang pembaca memikirkan mesej yang ingin
disampaikan. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang
tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.
Sastera juga mempunyai nilai estetikanya. Selain pemikiran, gaya
bahasa, bentuk struktur dan tema juga memainkan peranan penting untuk menilai
kesan estetika sesebuah karya itu.
Sesebuah karya sastera juga merupakan cerminan realiti kehidupan.
Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sebuah karya sastera merupakan

rakaman realiti dalam masyarakat. Ianya merupakan renungan serta pengamatan


pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah. (Arbaie,2008 hlm 2)
Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang
untuk meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang
terbuku di dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan
nilai rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat. (Arbaie et al,2008 hlm 3)

KATEGORI KESUSASTERAAN MELAYU


Dalam kesusasteraan Melayu, pengkategorian sastera dilakukan berdasarkan
zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. (Arbaie et al,2008
hlm 8) Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada tradisional
dan moden. Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu prosa dan puisi.
Genre prosa dan puisi tradisional adalah seperti yang tersenarai:
Prosa
Sastera Rakyat
Sastera Pengaruh Hindu
Sastera Zaman Peralihan
Sastera Pengaruh Islam
Sastera Panji
Sastera Ketatanegaraan
Sastera Undang-undang
Sastera Saduran
Cerita Berbingkai

Puisi
Pantun
Syair
Peribahasa
Teromba
Talibun
Nyanyian Kanak-kanak
Jampi Mentera
Gurindam Zikir
Seloka, KitahMasnawi

Manakala bagi kategori Sastera Moden, genre prosa dan puisi moden pula adalah
seperti berikut:
Prosa
Cerpen
Novel
Drama

Puisi
Sajak

Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai


genre prosa dan puisi, namun, ciri-ciri khusus akan dibincangkan selanjutnya untuk
membandingkan sastera tradisional dan moden.

CIRI-CIRI SASTERA MELAYU TRADISIONAL


Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah
diwarisi secara turun-temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan dan
memberi gambaran cara hidup atau budaya sesuatu masyarakat. Ia bersifat kolektif
atau hak milik bersama. Tiada sesiapa yang tahu siapa pengarangnya dan tidak
diketahui tarikh sesuatu sastera itu dihasilkan. Ianya lahir di kalangan masyarakat
masa lampau dan disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi
yang lain kerana pada umumnya masyarakat pada zaman tersebut masih belum
mengenal huruf dan tidak tahu menulis. Penyebaran sastera Melayu tradisional juga
terhad disebabkan khalayak yang terbatas dan bersifat esklusif.
Oleh kerana ianya disampaikan melalui lisan, banyaklah berlakunya
perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta watak dalam
sastera tradisional berpusat kepada masyarakat yang mewarisinya dan dipandang
tinggi oleh masyarakat tersebut sehinggakan karya-karya itu dianggap suci dan
keramat.
CIRI-CIRI SASTERA MELAYU MODEN
Sastera Melayu Moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan
dengan sastera Melayu tradisional. Jika sastera Melayu tradisional tersebar melalui
lisan, maka sastera Melayu moden pula disebarkan melalui tulisan. Penyebaran
hasil-hasil sastera yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang dengan
kehadiran mesin cetak. Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya menembusi
masyarakat pembaca yang ramai. Ini berbeza dengan sastera tradisional yang
hanya diketahui oleh golongan tertentu sahaja. Jika sastera Melayu tradisional
terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, sastera
Melayu

moden

pula

merupakan

sebaliknya.

Ianya

bersifat

individu

atau

perseorangan kerana disertakan dengan nama pengarangnya. Ianya tidak lagi


bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus dimiliki oleh pengarangnya.
Bahkan sastera Melayu moden mempunyai sistem hak cipta terpelihara.
Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini bertentangan,
namun masih terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah karya sastera itu
dihasilkan.

PUISI MELAYU TRADISIONAL


Menurut Zaba, puisi adalah karangan berangkap yang khas dipakai
untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan
kemanisan serta kecantikan bahasa.(Arbaie et al,2008 hlm 9) Pendapat yang sama
juga diutarakan oleh Samuel Taylor Coleridge yang mengemukakan puisi sebagai
kata-kata terindah dalam susunan terindah. (Arbaie et al,2008 hlm10)
Salah satu bentuk puisi tradisional adalah gurindam. Menurut Md Ali
Bachik (2003), gurindam adalah sebuah wacana yang mengandungi kalimat-kalimat
yang berirama dimana isinya berunsur nasihat dan bentuknya semacam bidalan.
Gurindam juga membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana ada penyebabnya
dan melalui penyebab itulah perkara tersebut terjadi.
Gurindam Dua Belas merupakan karya hasil karangan Raja Ali Haji yang
termasyhur. Beliau merupakan seorang sasterawan negara dari Pulau Penyegat, Riau,
Indonesia. Gurindam Dua Belas menyentuh perihal ketuhanan, keagamaan, budi pekerti,
kewajipan antara anak dan ibu bapa dan sebaliknya serta hidup bermasyarakat.

Salah satu tujuan terhasilnya Gurindam Dua Belas adalah untuk


menyedarkan masyarakat tentang pentingnya beragama, berilmu, berbudi pekerti
mulia, mentaati dan menghormati ibu bapa serta banyak lagi. Berikut adalah berapa
baris daripada petikan Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji.
GURINDAM DUA BELAS

...
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
...
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu
...
Apabila anak tidak dilatih,
Ketika besar, bapanya letih.
...

Berdasarkan

petikan

tersebut,

dengan

cara

mengenali

atau

mempelajari budi dan bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita akan bangsanya.
Budi dan bahasa dalam baris ini bukan sahaja menyentuh pada sistem linguistik
semata-mata tetapi merangkumi juga sistem budaya dan adat sesebuah bangsa.
Cara kita menggunakan bahasa Melayu akan mempamerkan kelakuan budaya dan
taraf sosial kita dalam masyarakat. Seperti kata peribahasa Melayu, bahasa
melambangkan bangsa, bangsa melambangkan budaya. Dari bangsa seseorang
kita akan kenali bahasanya dan dari bahasanya pula, barulah kita kenali budayanya.
Begitu juga dengan cara mengenali seseorang yang berilmu. Dengan
bermodalkan pertanyaan dan sifat ingin tahu, seseorang yang berilmu itu tidak akan
berhenti untuk mempelajari apa yang tidak diketahuinya. Seseorang yang
dahagakan ilmu itu tidak akan pernah jemu untuk mencarinya walau sejauh
manapun seperti hadits yang berbunyi, menuntutlah ilmu sekalipun sejauh di negeri
Cina.

Berdasarkan petikan di atas, Raja Ali Haji juga menyentuh tentang


pendidikan anak-anak. Ianya merupakan nasihat kepada ibu bapa agar tidak
mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dari kecil supaya tidak meletihkan
atau menyusahkan kedua ibu bapanya ketika dewasa kelak. Memang seharusnya,
anak-anak dari kecillah yang perlu diasuh, dididik dan diberi teguran akan tingkah
lakunya agar sentiasa berkelakuan baik dan berbudi bahasa. Jika tidak dilentur

buluh dari rebungnya, atau dari kecil lagi, maka ketika dewasa, segala tingkah laku
dan peribadi seseorang itu sukar diubah dan diperbaiki.
PROSA MELAYU TRADISIONAL
Salah satu genre prosa Melayu tradisional adalah sastera rakyat.
Sastera rakyat berfungsi sebagai salah satu wadah hiburan. Ia lazimnya diceritakan
oleh tukang-tukang cerita pada waktu malam untuk menghilangkan penat selepas
bekerja di siang hari. Sastera rakyat juga dikenali dengan nama, penglipur lara.
Lazimnya cerita penglipur lara ini diiriingi dengan alat muzik tertentu (ms 92), ciri
umum tertentu seperti berkisar di sekitar istana, mengenai putera-putera raja yang
tampan, gagah, berani dan sakti dan puteri-puteri raja yang cantik jelita tiada
bandingannya seperti dalam contoh Hikayat Malim Deman dan Hikayat Anggun Cik
Tunggal di mana watak-wataknya berpusat kepada anak-anak raja. Cerita-cerita
penglipur lara ini penuh dengan kisah-kisah kesaktian dan dewa dewi. Ini kerana
masyarakat Melayu ketika dahulu mempunyai sistem kepercayaan tradisinya yang
amat

ketara

perbezaannya

jika

dibandingkan

dengan

masyarakat

moden

sekarang. Justeru itu, rata-rata penceritaan serta konteks cerita sesebuah karya itu
menyentuh kepada unsur-unsur ghaib, dongeng dan mitos serta alam yang luar
biasa. Sepertimana fungsinya sebagai penglipur lara, cerita ini lazimnya bertemakan
percintaan antara wira dengan wirawati dan peperangan-peperangan yang terpaksa
dihadapi oleh wira dalam mencapai sesuatu tujuan.
Selain hiburan, sastera juga membawa unsur didaktik atau pengajaran.
Cerita-cerita teladan merupakan salah satu sastera tradisional yang berbentuk
prosa. Cerita-cerita ini bertemakan pendidikan moral sama ada berlandaskan
peraturan kehidupan sosial dan budaya atau pengajaran agama. (Arbaie et al,2008
hlm 104) Jika cerita penglipur lara berkisar kepada anak-anak raja, cerita teladan ini
pula lazimnya terdiri daripada manusia biasa. Kebanyakannya berlatar belakangkan
dunia nyata dan menggunakan gaya pertuturan seharian. Di samping memberikan
didikan moral , cerita teladan ini lazimnya memberikan kesan yang mendalam di jiwa
kanak-kanak.

Pastinya ramai kanak-kanak yang mengenali cerita Si Tanggang, Batu


Belah Batu Bertangkup dan Cerita Bawang Putih dan Bawang Merah. Ajaran utama
dalam cerita-cerita teladan ini ialah balasan baik terhadap setiap kebaikan dan
sebaliknya seperti mana yang dapat kita lihat dalam cerita Si Tanggang. Tanggang
adalah seorang anak yang tidak mengenang jasa ibunya dan durhaka. Bukan sahaja
Tanggang tidak mengakui ibunya, dia juga telah menolak ibunya hingga jatuh ketika
ibunya berjumpa dengan Tanggang. Anak durhaka dan biadap terhadap ibunya ini
telah akhirnya disumpah menjadi batu. Satu pengajaran yang cukup meninggalkan
kesan betapa mabrurnya doa seorang ibu dan balasan yang setimpal yang diterima
oleh seorang anak yang durhaka.
Pengajaran yang sama juga dapat kita lihat dalam cerita Batu Belah
Batu Bertangkup di mana ibu Melur telah ditelan oleh batu belah kerana kecewa
dengan perbuatan anaknya yang tidak meninggalkan walaupun secebis telur ikan
tembakul. Kekecewaan itu telah mengakibatkan ibunya berlari menyerah diri agar
ditelan oleh batu belah.
Dalam konteks kesusasteraan Melayu, pandangan yang diberikan oleh
para sarjana bersifat pelbagai antaranya pandangan Usman Awang yang
mengaitkan sastera sebagai hasil tulisan yang mencerminkan kehidupan manusia.
Antara fungsi utama terhasilnya sesebuah karya oleh seorang pengarang ialah
dengan tujuan didaktik atau pengajaran kepada masyarakatnya. Dalam hubungan ini
Usman Awang berpendapat bahawa sesuatu karya sastera itu bukan hanya untuk
tujuan keseronokan sahaja tetapi juga mengungkapkan gagasan dan pemikiran
pengarangnya. Ini juga ditegaskan oleh A. Samad Said (1996) yang menjelaskan
bahawa sastera adalah rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat, ianya
merupakan satu refleksi kehidupan yang diterjemahkan secara halus dan berhemah
oleh pengarangnya.
Sastera juga berfungsi memberikan gambaran tentang kehidupan
masyarakatnya. DalamSejarah
memenuhi

tuntutan

Puteri

Melayu
Gunung

, Sultan
Ledang

Melaka

dikatakan

demi mencapai

sanggup

hasrat

untuk

memperisterikannya. Tuntutan Puteri Gunung Ledang ialah 7 dulang hati nyamuk, 7


dulang hati kuman, jambatan emas dan istana di puncak gunung Ledang dan
semangkuk darah Raja Muda. Segala permintaan Puteri Gunung Ledang dapat
dilaksanakan oleh Sultan walaupun ianya bermakna mengorbankan rakyat jelata.
Hanya semangkuk darah Raja Muda yang memisahkan Sultan Melaka daripada
mencapai hasrat hatinya. Ini kerana semua yang terlaksana atau yang dapat
dipersembahkan merupakan hasil penat lelah rakyat . Manakala, untuk mengambil
semangkuk darah Raja Muda, adalah satu pengorbanan yang tidak dapat ditunaikan
oleh Sultan Melaka sendiri.
Peristiwa ini juga memberikan gambaran kehidupan masyarakat pada
waktu itu yang terikat dengan kepercayaan, adat dan tradisi selain memperlihatkan
sejauh mana ketaatan rakyat terhadap raja yang disembah. Sultan Melaka
mengenepikan
keinginannya

belas

ihsannya

memperisterikan

terhadap
Puteri

masyarakatnya

Gunung

Ledang.

demi

Peristiwa

mencapai
ini

juga

memperlihatkan pengabdian rakyat kepada seorang raja sewaktu dikerahkan


membina jejambat emas dari puncak Gunung Ledang.

PROSA MELAYU MODEN


Prosa Melayu Moden terdiri daripada genre cerpen, novel dan drama.
Dalam tugasan ini, perbincangan akan tertumpu kepada karya-karya Munsyi
Abdullah.
Menurut

Diana

Laurenson

dan

Alan

Swingerwoods

(1972:13)

hubungan masyarakat dan persekitarannya amat rapat dan saling melengkapi.


Sastera yang terhasil didorong oleh sumber-sumber yang terdapat di persekitaran
sama ada bersifat persoalan, isu-isu ataupun fenomena tertentu yang dipindahkan
dari layar realiti ke dalam coretan rasa, daya kreativiti dan pemikiran pengarangnya.
Oleh itu, pemikiran yang terungkap merupakan luahan atau kesedaran yang timbul
akibat kepekaan,keprihatinan serta pengalaman peribadi pengarang melihat dunia
dan masyarakat dari kaca matanya.

Karya-karya Abdullah Munsyi merupakan salah satu contoh yang


memperlihatkan

gagasan

dan

pemikiran

pengarangnya.

Abdullah

Munsyi

merupakan seorang pengarang yang menjalinkan pengalaman, sikap dan


pemikirannya dalam semua karya-karyanya. Berbeza dengan sastera tradisional,
karya-karya Abdullah Munsyi bertitik tolak dari pengalaman pengarangnya sendiri.
Beliau memperlihatkan ciri-ciri keindividuan yang tidak ditemui dalam karya-karya
kesusasteraan sebelumnya. Abdullah Munsyi merupakan orang yang pertama
mencatatkan pengalaman kehidupannya serta pelayarannya pada ketika itu.
Jika sastera melayu tradisional menampakkan unsur-unsur didaktik
serta cerminan kehidupan, sastera melayu moden umumnya serta karya-karya
Abdullah Munsyi khususnya, pula menyentuh kepada kritikan sosial masyarakatnya.
Dalam Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, ada disebutkan tentang
sikap orang Melayu yang tidak menghiraukan bahasa mereka sendiri.
Adalah suatu hairan akan sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu ini,
belum sedarkan dirinya tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab tiada mahu belajar
bahasanya sendiri, tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya itu: maka
mustahil pada akal, adakah orang yang tiada belajar boleh menjadi pandai
sendirinya. (Hikayat Abdullah, 1963)
Abdullah Munsyi tidak membenci orang-orang Melayu tetapi beliau
tidak mengerti tentang sikap dan perilaku orang Melayu sendiri terhadap bahasanya
yang diabaikan. Beliau juga mengutarakan persoalan tentang bahasa Melayu yang
akan pupus jika tidak dimartabatkan oleh bangsa Melayu itu sendiri.
Keberanian

Abdullah

Munsyi

mengkritik

masyarakat

Melayu

khususnya pada ketika itu disebabkan beliau mendapat naungan Inggeris. Ini
bermakna, beliau bebas dari cengkaman feudal dan tidak terikat dengan lingkungan
istana. Oleh itu, beliau berani memberikan pendapat serta pandangannya terhadap
permasalahan orang Melayu ketika itu. Bahkan beliau juga mengakui karya serta
kritikan yang ditulisnya dengan membubuhkan nama beliau sebagai pengarang
karya-karyanya. Ini bermakna, beliau memikul tanggungjawab tentang apa yang
dikaryakan.

Berbeza dengan sastera melayu tradisional, Abdullah Munsyi tidak


mengabaikan tanggung jawabnya terhadap masyarakatnya. Beliau bukan sahaja
memberikan penyedaran kepada masyarakatnya tetapi dengan berani mengolak
langkah mengusulkan beberapa cadangan serta huraian demi mengatasi masalah
yang dihadapi.
PUISI MELAYU MODEN
Selain daripada memberikan pengajaran atau hiburan kepada
masyarakatnya, sastera juga berfungsi sebagai satu wadah untuk berkomunikasi
tentang kebenaran. Dengan adanya kepekaan dan sensitiviti dari para penyair,
segala peristiwa sosial yang berlaku di dalam masyarakatnya akan mencetuskan
peluang terhasilnya puisi moden yang bertujuan mendedahkan tentang kebenaran
kepada masyarakat pembaca. Penangkapan Hamid Tuah dan petani-petani miskin
oleh kerajaan kerana dikatakan meneroka tanah secara haram di Telok Gong pada
tahun 1967 telah mencetuskan kesan yang mendalam kepada para penyair. (Arbaie
et al,2008 hlm 39) Suara protes dapat dilihat dalam petikan sajak Kemala bertajuk
Telok Gong yang berikut:
Rumah dan tanah saudara, meski buruk
Adalah istana indah kebebasan jiwa
Lihatlah sepuasmu kibaran bendera negara
Dan tanah-tanah rahsia bekas pengkhianatan
Membikin kami lebih berani bertindak
Kami tuntut keadilan! Keadilan yang merata

Suara protes penyair yang diungkapkan dalam sajak bertindak balas


sebagai tanda ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang dianggap tidak
bertimbang rasa kepada golongan bawahan.
Begitu juga dengan sajak-sajak yang dihasilkan dalam tahun
pemerintahan Jepun. Rata-rata sajak yang dicipta meniupkan semangat perjuangan
dan menyeru kepada masyarakat umumnya agar menggunakan peluang keemasan
yang ada untuk memperjuangkan hak mereka. Semangat perjuangan yang sedia

ada dalam masyarakat Melayu semakin teguh. Kesediaan mempertaruhkan diri dan
sama-sama menegakkan pertiwi serta cita-cita politik Jepun memberi satu
kesedaran dalam masyarakat Melayu.

RUMUSAN
Berdasarkan perbincangan, didapati bahawa kesusasteraan dapat
dirujuk sebagai hasil karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu.
Sesebuah hasil karya adalah pancaran dari kehidupan masyarakat. Selain itu , karya
sastera juga dapat dikategorikan mengikut genre. Setiap genre itu ditandai dengan
ciri-ciri khususnya.
Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi untuk mendidik dan
membina

keperibadian

ahli-ahli

masyarakatnya.

Setiap

bahagian

daripada

unsur dan fungsi di dalamnya mempunyai makna dalam teks karya selain berfungsi
dalam kehidupan masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai