Anda di halaman 1dari 3

Lima Domain EQ oleh Goleman (1996)

Goleman (1996) mempopularkan EQ dalam bukunya Emotional Intelligence dan sekaligus


membangkitkan kesedaran orang ramai berkenaan konsep ini yang bermula dengan
implikasinya ke atas mendidik kanak-kanak sehinggalah kepentingannya di tempat kerja dan
hampir dalam semua interaksi manusia. Beliau pula mengemukan idea bahawa kecerdasan
emosi boleh dikenalpasti melalui lima domain berikut :

Mengenali emosi sendiri


Seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi berupaya menyedari emosinya
ketika emosi itu menguasai dirinya. Melalui kesedaran kendiri seseorang itu mengetahui dan
memahami emosinya. Kesedaran kendiri tidak bermakna seseorang itu terbawa-bawa
dengan emosinya ataupun berlebih-lebih dengan emosi. Sebaliknya kesedaran kendiri
adalah keadaan di mana seseorang itu dapat menyedari emosi yang sedang mempengaruhi
mindanya akibat tekanan yang dihadapi seterusnya menguasainya. Dengan adanya
kesedaran kendiri ini maka seseorang itu dapat menguasai emosi dan fikiran tentang emosi
itu. Ramai orang sedar bahawa emosi sedang menguasainya tetapi sukar untuk
mengawalnya atau keluar daripada penguasaan emosi itu. Justeru itu, seseorang yang
mempunyai kecerdasan emosi bukan sahaja sedar tetapi juga dapat menguasai emosi.

Mengurus emosi sendiri


Kita mempunyai peluang yang amat terhad untuk mengawal emosi yang menguasai
diri. Kemampuan kita juga agak terbatas untuk menentukan emosi yang akan menguasai
kita. Emosi datang tanpa diundang kerana bila-bila sahaja emosi boleh muncul tanpa
direncana. Namun apa yang boleh dilakukan ialah dengan menentukan emosi yang
menguasai kita itu hanya sementara sahaja. Kita boleh menentukan berapa lama emosi itu
akan menguasai diri kita. Emosi marah akan menjadi aktif dan bertindak dengan cepat
sekali tanpa diduga apabila terdapat rangsangan emosi seperti apabila ego kita dicabar,
keselamatan kita diancam ataupun keupayaan atau hak kita dirampas ataupun dinafikan.
Jika emosi negatif ini tidak dibendung dengan segera maka ia akan membawa mudarat.
Maka beberapa kemahiran boleh dipraktikkan, seperti memikir kembali rangsangan emosi
tadi, mencabar fikiran yang mencetuskan emosi marah itu dan mengalih tumpuan masalah.
Seseorang yang mampu mengurus emosinya boleh dikira mempunyai sebahagian
kecerdasan emosi.
Memotivasikan emosi negatif
Menjadikan emosi sebagai alat untuk meningkatkan keupayaan diri untuk berfikir,
merancang dan menyelesaikan masalah adalah salah satu ciri kecerdasan emosi. Emosi
boleh dijadikan alat untuk meningkatkan prestasi minda kognitif dengan cara tertentu. Di
antara caranya ialah dengan menyemai harapan dalam diri seseorang itu. Apabila
seseorang itu mempunyai atau menaruh harapan maka segala kebimbangan, keputusan
dan kesedihan yang dialami dapat diredakan kerana segala rintangan atau masalah boleh
diatasi. Segala pekerjaan yang diiringi dengan harapan akan dibantu oleh perasaan gembira
dan bersemangat untuk melakukannya. Keadaan minda emosi begini akan menyebabkan
seseorang itu tidak dapat merasai bahawa beban yang dihadapi itu satu masalah yang
berat, sebaliknya ia dilihat sebagai sesuatu yang mudah diatasi.
Selain harapan, keyakinan juga akan menghasilkan satu sikap yang positif yang
dapat bertindak sebagai penghalang kepada seseorang itu daripada terjebak di dalam
jaringan tekanan apabila menghadapi masalah. Keupayaan untuk memasuki satu keadaan
psikologi yang disebut flow merupakan keadaan mental pada peringkat tinggi, iaitu keadaan
apabila kecerdasan emosi berada di dalam keadaan yang terbaik. Di dalam keadaan ini
emosi dapat digunakan untuk memudahkan pekerjaan dan pembelajaran. Di dalam keadaan
flow, seseorang itu dapat menghayati sepenuhnya pekerjaan yang diusahakan, memberi
tumpuan yang penuh dan menyedari apa yang dilakukan. Untuk mencapai keadaan ini
seseorang itu harus melakukan sesuatu yang disukai atau diminati. Pada peringkat ini,
emosi dikerahkan menjadi tenaga yang positif dan produktif. Emosi menjadi satu unsur
motivasi untuk menghadapi segala gejala seperti kekecewaan, kebimbangan dan ketakutan
melalui kemahiran-kemahiran tertentu.

Mengenali emosi orang lain


Sebelum kita mengenali emosi orang lain maka terlebih dahulu kita mesti mengenali
emosi sendiri. Lebih tinggi keupayaan kita menyelami emosi sendiri maka lebih mudah kita
menjelajah dan memasuki emosi orang lain atau empati. Kalau seseorang itu tidak mampu
untuk memahami emosi sendiri bagaimana pula hendak memahami emosi orang lain. Orang
yang menghadapi masalah untuk memahami emosi sendiri dikatakan mengalami
alexithymics. Mereka ini bukan sahaja tidak memahami emosi sendiri tetapi juga tidak tahu
apa yang mereka rasai dan seterusnya menjadi keliru dengan emosi sendiri. Keadaan ini
bertambah celaru apabila orang lain mencurahkan emosi mereka. Sehubungan itu,
alexithymics menjadi penghakis kepada pembinaan kecerdasan emosi. Memahami emosi
orang lain perlu kepada kemahiran yang khusus.
Manusia sering tidak memperlihatkan emosi secara langsung. Sebaliknya mereka
memperlihatkan melalui tindakan bukan verbal seperti nada suara, gerak tangan, ekspresi
muka, gerak badan dan sebagainya. Sesungguhnya emosi menggunakan wahana bukan
verbal untuk disampaikan. Justeru itu, kemahiran untuk membaca makna daripada unsur-
unsur bukan verbal ini sangat penting untuk memahami emosi orang lain.Seseorang yang
ingin membaca emosi orang lain itu haruslah berempati. Empati berbeza daripada simpati.
Simpati hanya setakat memahami masalah atau perlakuan seseorang. Empati lebih
daripada itu. Empati bukan sahaja memahami masalah orang tetapi merasai apa yang
dirasai oleh orang itu. Tanpa empati seseorang itu akan membina jarak emosi dan keadaan
ini akanmenyebabkan seseorang itu gagal membina persahabatan yang bermakna.
Memperlihatkan empati tidak bermakna seseorang itu menyerahkan nilai-nilainya ataupun
mengenakan nilai-nilainya kepada orang lain. Sebaliknya seseorang itu dikehendaki
mendengar, memahami dan merasainya. Selepas berempati barulah kita dapat membantu
dengan cara yang lebih rasional dan positif.

Mengendalikan perhubungan
Mengenali emosi orang lain dapat dilakukan apabila seseorang itu memiliki
keupayaan pengurusan kendiri dan berempati. Dua keupayaan ini membentuk kuasa
interpersonal. Keupayaan interpersonal ini mengizinkan seseorang itu mencorak dan
membentuk pertemuan yang berlaku menjadi sesuatu yang positif, memberi ilham kepada
orang lain, menghasilkan perhubungan yang akrab, mempengaruhi orang lain dan
membantu orang lain mendapatkan kebahagian ataupun ketenangan. Setiap kali kita
bertemu dengan seseorang kita sebenarnya menghantar isyarat melalui mimik muka,
bahasa badan serta nada suara dan isyarat-isyarat ini memberi kesan kepada orang yang
kita temui. Misalnya senyuman yang diberi pada setiap kali pertemuan akan menyebabkan
seseorang mudah didekati oleh orang lain. Senyuman adalah isyarat yang membawa mesej,
di antaranya orang yang tersenyum itu sedia untuk didekati, senang dengan orang yang
ditemui dan sedia menghulurkan tali persahabatan. Maka dengan adanya kecerdasan
emosi, isyarat-isyarat yang dihasilkan itu mampu membentuk perhubungan yang positif.

Anda mungkin juga menyukai