Anda di halaman 1dari 2

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah

memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu


untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia
dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara
sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan
secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan
Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu
universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara.
Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia
dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik.
Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik,
seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang
paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang
berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk
membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya
kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus
menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi
cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan
terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan
peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada
kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan
menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu
mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu
yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang
amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan
manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan
pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan
mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada
manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan.
Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu
tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu
berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat
memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri
manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli
keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak
mulia, dan berbakti.

Sumber : 50 Tahun Pembangunan Pendidikan Tinggi di Malaysia (1957-2007)


-Penerbit USM, 2007

Anda mungkin juga menyukai