Anda di halaman 1dari 15

PERMINTAAN TERHADAP TEKNOLOGI BARU BAGI PENANAM NANAS NEGARA Mohd Johaary Abdul Hamid Pegawai Penyelidik Pusat

Penyelidikan Ekonomi dan Pengurusan Teknologi (MARDI) Email : joeharry@mardi.gov.my ABSTRAK Kajian ini dijalankan bagi menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi permintaan terhadap teknologi baru dan kepuasan terhadap teknologi sedia ada di kalangan penanam nanas, mengenalpasti teknologi baru nanas yang diperlukan di kalangan petani, memberi cadangan bagi menggalakkan penanaman nanas serta saranan terhadap penambahbaikan polisi industri nanas Negara. Kertas kaji selidik berstruktur yang melibatkan 129 responden telah dilakukan di Johor, Kedah, Terengganu, Selangor, Sabah dan Sarawak pada tahun 2009. Majoriti petani (95.3%) didapati memerlukan teknologi baru dalam amalan penanaman nanas kerana mereka masih menggunakan kaedah manual terutama dalam amalan penyelenggaraan, pengurusan tanaman dan pengurusan lepas-tuai. Faktor utama yang mempengaruhi permintaan terhadap teknologi baru adalah petani yang baru menceburi aktiviti penanaman nanas serta bilangan pekerja yang mengusahakan ladang tersebut, manakala petani yang mempunyai pengalaman luas menanam nanas, tahap pendidikan serta pendapatan petani yang rendah adalah lebih berpuashati terhadap teknologi nanas sedia ada. Di antara permintaan terhadap teknologi baru yang dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan tanaman nanas termasuklah jentera penanaman (yang murah, menjimatkan masa dan tenaga), varieti nanas kaleng baru yang tinggi hasilnya, teknik agronomi terkini yang dapat mengawal perosak dan penyakit serta jentera pengangkutan buah nanas keluar dari ladang. Sehubungan itu, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) disarankan supaya memainkan peranan yang lebih berkesan dan proaktif dengan menggalakkan lebih ramai pencipta teknologi di sektor awam atau swasta untuk terlibat di dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ekonomi inovasi yang dihasilkan haruslah menjurus terhadap permintaan terhadap teknologi baru yang diperlukan dikalangan petani di mana teknologi yang dihasilkan itu mestilah murah, mudah dikendalikan, menjimatkan masa dan tenaga serta kurang kos penyelenggaraan. Kata kunci : nanas, teknologi baru, permintaan, petani PENGENALAN Berpandukan kepada pelan tindakan pengeluaran buah-buahan bagi tempoh RMKe-8 (Malaysia,2000), penanaman nanas telah dipilih sebagai salah satu daripada lapan jenis buah-buahan tempatan yang digalakkan tanamannya di dalam Rancangan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3). Berdasarkan kepada potensi serta nilai komersialnya, maka komoditi nanas telah menjadi salah satu komoditi buah yang terpilih untuk dibangunkan agar dapat menjadi satu industri yang berkembang pada tahap yang lebih berdaya saing, mantap dan berdaya maju di peringkat pasaran domestik dan juga antarabangsa dalam tempoh 5 tahun (2005-2010) bersesuaian dengan matlamat DPN3. Pelan strategik nanas pada RMKe-9 yang dikemukakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) adalah untuk menambah keluasan kawasan tanaman nanas beserta infrastruktur, menggalakkan penglibatan penanam / pengusaha, meningkatkan kaedah penanaman yang lebih efektif dan mempelbagaikan produk (Malaysia,2008). Bagi LPNM pula, beberapa strategi telah diatur berdasarkan perancangan jangka panjang di mana fokusnya adalah untuk membuka kawasan-kawasan baru dan meningkatkan produktiviti serta menangani isu kekurangan bekalan buah ke kilang-kilang. Sehubungan itu, pelan strategik penanaman nanas bagi merealisasikan dasar yang telah ditetapkan dalam RMKe-9 telah dirangka dengan menambah keluasan tanaman nanas di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran buah nanas bagi tujuan pemprosesan kaleng dan eksport segar melalui penggunaan

teknologi dan amalan pertanian yang moden serta terkini. Antara projek LPNM yang sedang dan akan dilakukan bagi merealisasikan strategi yang ditetapkan adalah : a. Menambahkan keluasan kawasan tanaman nanas kepada 33,500 ekar pada akhir tahun 2010. b. Menyumbang kepada peningkatan bekalan buah nanas kepada 404,000 tan metrik pada akhir tahun 2010. c. Menyumbang kepada pencapaian imbangan dagangan Negara (Balance of Trade - BOT). d. Menebus guna tanah terbiar untuk dijadikan mini estet dan perladangan berkelompok Berdasarkan perkembangan terkini, keluasan penanaman nanas Negara (pekebun kecil dan estet) telah meningkat daripada 7,271 hektar pada tahun 2000 kepada 11,923 hektar pada tahun 2008 (LPNM, 2009). Peningkatan ketara ini, jelas menunjukkan bahawa Malaysia sangat komited mengenai perkembangan industri nanas sebagai sumber yang mempunyai potensi yang besar dalam pelaburan. Sehubungan itu, sasaran atau pandangan yang lebih jauh amat diperlukan bagi merangka perkembangan industri nanas dari aspek penggunaan dan permintaan terhadap teknologi baru. Walau bagaimanapun, menurut Raziah ML (2010), analisis secara makro dan jangka panjang umumnya menunjukkan teknologi yang dibangunkan selama ini tidak berjaya meningkatkan produktiviti tanaman nanas secara mapan. Skinner dan Staiger (2005) pula menyatakan bahawa, teknologi pertanian memainkan peranan yang cukup penting dalam pembangunan sesebuah Negara sekiranya majoriti populasinya bergantung penuh kepada hasil pengeluaran pertanian. Sehubungan itu, penghasilan teknologi baru amat penting bagi meningkatkan pengeluaran makanan yang menjadi nadi penggerak pertumbuhan sektor ekonomi sesebuah Negara itu. Menurut Ruttan (2003) pula, pembangunan teknologi telah mengalami proses transformasi daripada pengeluaran pertanian berasaskan sumber kepada berasaskan teknologi moden. Sebelum abad ke-20, peningkatan output pertanian majoritinya disebabkan peningkatan jumlah tanah pertanian. Walau bagaimanapun, pada abad ke21, peningkatan output pertanian kebanyakannya datang daripada peningkatan produktiviti pertanian (peningkatan hasil per unit tanah). Fenomena ini mempunyai hubungkait dengan mekanisasi, baka / klon / hibrid sesuatu varieti yang mempunyai hasil yang tinggi, pengenalan kepada racun serangga dan baja serta teknik pengurusan tanaman (agronomi) yang baru. Dalam industri pertanian, Ball dan Norton, (2002) menyatakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi merupakan asas yang sangat penting kepada peningkatan sesuatu produktiviti. Sejarah Dunia membuktikan bahawa, agensi awam di Amerika Syarikat merupakan penyumbang utama kepada bidang pertanian dan juga pembekal utama kepada teknologi baru. Oleh yang demikian, kajian yang terperinci terhadap status penggunaan serta permintaan terhadap teknologi baru nanas berdasarkan senario terkini amat diperlukan. Teknologi baru, terutamanya jentera yang bersesuaian dengan tanah gambut perlu dikenalpasti bagi memajukan industri nanas Negara. Ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan lagi tahap guna pakai teknologi terkini yang akan menambah pelaburan, meningkatkan kecekapan dan pertumbuhan dalam sektor pertanian. Disamping itu, kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga dapat dijimatkan kerana lebih banyak teknologi yang dijana menepati permintaan atau keperluan sebenar pihak industri. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan adalah untuk (i) menganalisis faktor-faktor yang mempengaruhi permintaan terhadap teknologi baru dan kepuasan terhadap penggunaan teknologi sedia ada dikalangan petani, (ii) mengenalpasti teknologi baru yang diperlukan oleh petani, (iii) memberi cadangan bagi menggalakkan tanaman nanas serta (iv) memberi saranan kepada penambahbaikan polisi industri nanas Negara.

METODOLOGI Kajian ini dijalankan di Johor, Sarawak, Sabah, Kedah, Terengganu dan Selangor pada tahun 2009. Pemilihan lokasi pada kajian ini dibuat berdasarkan data serta fakta yang diperoleh daripada LPNM mengenai kawasan yang paling banyak aktiviti penggunaan teknologi nanas dilakukan serta memenuhi segala tuntutan, keperluan dan kehendak kajian. Daripada 6950 orang petani yang dikenalpasti, sebanyak lebih kurang 300 populasi yang menanam nanas seluas lima ekar dan ke atas telah dipilih. Pemilihan penanam yang mengusahakan tanaman nanas seluas lima ekar dan ke atas di buat adalah kerana penulis beranggapan kebanyakan mereka menanamnya secara serius dan menjadikan aktiviti ini sebagai pekerjaan sepenuh masa serta dijangkakan akan mendapat reaksi yang sangat positif terutama terhadap penggunaan serta permintaan terhadap teknologi baru nanas. Daripada populasi itu, sebanyak 129 responden telah dipilih berasaskan persampelan rawak mudah. Kajian ini dilakukan secara temubual bersemuka dengan menggunakan soal selidik berstruktur. DAPATAN KAJIAN Profail Responden Secara keseluruhan (Jadual 1), hampir semua petani adalah berbangsa Melayu (78.2%), diikuti Cina (10.9%) dan lain-lain bangsa (10.9%). Dari sudut jantina pula, majoritnya adalah lelaki (72.1%) dan perempuan (27.9%). Dari segi tahap pendidikan, majoriti responden memiliki kelulusan minima sekurang-kurangnya tamat sekolah menengah (48.8%) dan tamat sekolah rendah (37.0%). Hanya segelintir sahaja yang memiliki diploma / ijazah / sarjana (2.4%) manakala, selebihnya adalah responden yang tidak bersekolah (11.8%). Jadual 1 : Frekuensi Diskriptif Bangsa, Jantina dan Tahap Pendidikan Responden BANGSA FREKUENSI PERATUS (%) Melayu 100 78.2 Cina 14 10.9 Lain-lain 14 10.9 Jumlah 128 100.0 JANTINA Lelaki 93 72.1 Perempuan 36 27.9 Jumlah 129 100 TAHAP PENDIDIKAN Tidak Bersekolah 15 11.8 Sekolah Rendah 47 37.0 Sekolah Menengah 62 48.8 Diploma / Ijazah / Sarjana 3 2.4 Jumlah 127 100.0 Purata umur responden ialah 49 tahun di mana purata petani yang terlibat di dalam bidang pertanian (pengalaman) adalah selama 19 tahun. Pendapatan purata sebulan yang mereka peroleh daripada tanaman nanas adalah RM2,112.50 iaitu dengan purata keluasan tanah pertanian yang diusahakan adalah seluas 7.3 hektar tanah dengan mempunyai seramai tiga orang pekerja yang membantu mengusahakan ladang nanas tersebut. (Jadual 2).

Jadual 2 : Purata Umur, Tahun Dalam Pertanian, Pendapatan Sebulan, Luas Tanaman dan Bilangan Pekerja

Umur Tahun dalam pertanian (pengalaman) Pendapatan sebulan Luas tanaman (ha) Bilangan pekerja

N 129 127 71 128 80

Purata 49 19.3 2112.50 7.3 3

Majoriti petani (Jadual 3) mengusahakannya di atas tanah sendiri (90.4%), sewa (7.7%) dan lain-lain (1.9%). Bagi memulakan aktiviti tanaman nanas ini (Jadual 4), kebanyakan responden menyatakan bahawa punca utama modal diperoleh melalui simpanan sendiri (92.5%), pinjaman (1.9%) dan lain-lain (5.6%). Jadual 3: Status tanah Status Tanah Sendiri Sewa Lain-lain JUMLAH Peratus (%) 90.4 7.7 1.9 100.0 Peratus Kumulatif 90.4 98.1 100.0

Jadual 4:Punca modal Punca Modal Simpanan Pinjaman Lain-lain JUMLAH Peratus (%) 92.5 1.9 5.6 100.0 Peratus Kumulatif 92.5 94.4 100.0

Jadual 5 pula menunjukkan analisis terhadap nanas segar dan nanas kaleng dari aspek harga satu sulur (benih), harga jualan diperingkat ladang (sebiji/sekilogram), hasil tuaian terkini (tan/hektar) serta pendapatan kasar yang diperoleh oleh responden untuk tempoh masa setahun / sekali tuaian bagi setiap tan/hektar. Analisis ini menunjukkan bahawa, harga sulur yang termahal adalah nanas Josapine (RM0.47), manakala yang termurah adalah nanas Gandol (RM0.10). Hasil jualan diperingkat ladang pula mendapati nanas Sarawak adalah yang tertinggi (RM1.20) bagi makan segar kerana ia dijual dalam bentuk biji manakala nanas Gandol (RM0.45) adalah yang terendah kerana dijual kepada PKS dan pengilang besar. Hasil tan / hektar pula menunjukkan nanas Moris adalah

yang tertinggi (26 tan / hektar) manakala nanas Gandol menunjukkan hasil yang semakin merosot (15.8 tan/hektar). Pendapatan kasar yang diperoleh menunjukkan responden yang menanam nanas Josapine memperoleh pendapatan kasar paling tinggi semusim (RM24,380) berbanding nanas Gandol yang hanya memperoleh pendapat kasar paling minima (RM7,110.00). Jadual 5 : Analisis Bagi Varieti Nanas Segar dan Kaleng Dari Aspek Harga Sulur (Benih), Harga Jualan Diperingkat Ladang, Hasil Nanas Tan/Hektar Dan Pendapatan Kasar. Varieti Sarawak Moris Josapine Gandol (N19) N36 Harga sulur/ benih (RM) 0.18 0.15 0.47 0.10 0.28 Harga Jual diperingkat Ladang (RM) 1.25 0.60 1.06 0.45 0.86 Hasil tan/hektar 9.5 26 23 15.8 18.8 Pendapatan Kasar (RM) 11,875.00 15,600.00 24,380.00 7,110.00 16,168.00

Menganalisis Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Tahap Permintaan Teknologi Baru dan Kepuasan Terhadap Penggunaan Teknologi Nanas Sedia Ada di Kalangan Petani Analisis regresi linear digunakan untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi tahap permintaan teknologi baru dan kepuasan terhadap penggunaan teknologi nanas sedia ada di kalangan petani (Jadual 6). Hasil kajian mendapati faktor-faktor yang mempengaruhi permintaan terhadap teknologi baru nanas adalah tahun terlibat dalam pertanian (0.004) dan bilangan pekerja (0.020) manakala, faktor-faktor lain adalah tidak signifikan. Faktorfaktor yang menghampiri kepuasan petani terhadap teknologi nanas sedia ada pula adalah pendapatan sebulan (0.078) dan tahap pendidikan (0.218) seseorang petani. Jadual 6 : Analisis Regresi Linear Terhadap Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Permintaan Terhadap Teknologi Nanas Baru dan Kepuasan Terhadap Penggunaan Teknologi Nanas Sedia Ada. Faktor-faktor
Pendidikan Tahun dalam pertanian (pengalaman) Pendapatan sebulan Luas tanaman Bilangan pekerja

Permintaan Terhadap Teknologi Baru t Signifikan


-.936 -3.043 -.546 -.375 2.421 .355 .004 .588 .709 .020

Kepuasan Terhadap Teknologi Sedia Ada t Signifikan


-1.253 .656 -1.812 .161 -.369 .218 .516 .078 .873 .714

Semakin kurang pengalaman (-3.043) seseorang petani mengusahakan tanaman nanas, semakin tinggi permintaan mereka terhadap teknologi baru dan semakin ramai bilangan pekerja (2.421) yang mengusahakan tanaman nanas di ladang-ladang mereka, semakin tinggi pula hasrat mereka terhadap penggunaan teknologi baru. Ini kerana, dengan adanya teknologi baru, penggunaan tenaga kerja petani serta bilangan pekerja (buruh) dapat dikurangkan dan secara tidak langsung produktiviti dapat dipertingkatkan. Walau bagaimanapun, faktor-faktor seperti pendapatan (-1.812) serta tahap pendidikan (-1.253) petani yang rendah menyebabkan hasrat petani untuk mencuba teknologi baru nanas selain daripada yang diamalkan terbantut kerana mereka tidak mempunyai modal yang mencukupi bagi membeli teknologi baru serta tahap pemikiran mereka yang masih kurang pendedahan mengenai peri pentingnya inovasi bagi meningkatkan produktiviti tanaman nanas yang mereka usahakan. Analisis korelasi Pearson pula digunakan untuk menentukan tahap hubungan yang mempengaruhi penggunaan dan permintaan terhadap teknologi nanas. Hubungan penggunaan dan permintaan terhadap teknologi nanas terdiri daripada tahap pendidikan, tahun terlibat dengan pertanian (pengalaman), pendapatan sebulan, keluasan tanaman nanas yang diusahakan dan bilangan pekerja. Tahap pendidikan responden diukur berdasarkan skala 1 hingga 5. Skala 1 ialah responden yang tidak bersekolah, skala 2 ialah responden yang sekolah setakat sekolah rendah, skala 3 ialah responden yang bersekolah setakat sekolah menengah, skala 4 pula responden yang mempunyai sijil / diploma dan skala 5 adalah responden yang mempunyai ijazah / sarjana. Berdasarkan Jadual 7, tahap hubungan tahun responden terlibat dengan pertanian (pengalaman) serta pendapatan sebulan responden menunjukkan hubungan yang signifikan terhadap tahap kepuasan hati responden mengenai penggunaan teknologi nanas yang diamalkan sekarang serta permintaan terhadap teknologi baru. Semakin lama tahun responden terlibat dengan bidang pertanian (penanaman nanas), semakin berpuashati mereka terhadap teknologi yang diamalkan sekarang (0.009). Walau bagaimanapun, semakin kurang tahun responden terlibat dalam bidang pertanian (0.034) semakin tinggi pula hasrat mereka terhadap permintaan teknologi baru. Ini menjelaskan bahawa, terdapat jurang yang ketara di antara penanam nanas yang sudah lama (yang lebih berpengalaman) di mana mereka berpuashati terhadap penggunaan teknologi yang sedia ada berbanding dengan penanam nanas yang baru di mana mereka lebih memerlukan teknologi nanas selain daripada yang diamalkan. Manakala, pendapatan sebulan responden yang agak rendah (0.034) pula menunjukkan bahawa mereka berpuashati dengan tahap teknologi yang diamalkan sekarang. Ini adalah kerana, kemungkinan responden tidak mampu untuk membeli teknologi baru selain daripada yang diamalkan sekarang kerana kekurangan dari sudut pendapatan serta modal untuk membeli teknologi baru (yang mungkin lebih mahal harganya) selain daripada yang diamalkan. Walau bagaimanapun, responden yang mempunyai pendapatan sebulan yang rendah berpuashati terhadap penggunaan teknologi nanas yang diamalkan sekarang.

Jadual 7: Analisis Korelasi Pearson Terhadap Hubungan Yang Mempengaruhi Responden Mengenai Permintaan Terhadap Teknologi Nanas Serta Kepuasan Penggunaan Teknologi Nanas Yang di Amalkan Kepuasan Terhadap Penggunaan Permintaan Terhadap Teknologi Nanas Yang Teknologi Baru Nanas Diamalkan Sekarang Pendidikan Pearson -.058 -.128 Correlation Sig. (2-tailed) .518 .154 N 126 126 Tahun terlibat dengan Pearson -.189(*) .233(**) pertanian (pengalaman) Correlation Sig. (2-tailed) .034 .009 N 126 126 Pendapatan sebulan Pearson .050 -.254(*) Correlation Sig. (2-tailed) .679 .034 N 70 70 Luas tanaman Pearson -.008 -.017 Correlation Sig. (2-tailed) .930 .850 N 127 127 Bilangan pekerja Pearson .180 .037 Correlation Sig. (2-tailed) .112 .746 N 79 79 * Korelasi adalah signifikan pada aras 0.05 (2-tailed). ** Korelasi adalah signifikan pada aras 0.01 (2-tailed). Permintaan Terhadap Teknologi Baru Nanas Secara keseluruhannya, majoriti responden (Jadual 8) menyatakan mereka berhasrat (73.6%) dan sangat berhasrat (21.7%) terhadap permintaan teknologi nanas baru selain daripada yang diamalkan sekarang. Hanya peratusan kecil sahaja yang menyatakan mereka sangat tidak berhasrat (2.3%), tidak berhasrat (0.8%) dan selebihnya adalah sederhana berhasrat (0.8%) terhadap permintaan teknologi nanas baru selain daripada yang diamalkan sekarang. Jadual 8 : Sikap (Hasrat) Responden Terhadap Permintaan Teknologi Baru Nanas Selain Daripada Yang Diamalkannya Sekarang Frekuensi Peratus (%) Peratus Kumulatif Sangat Tidak Berhasrat Tidak Berhasrat Sederhana Berhasrat Sangat Berhasrat Total Tidak Menjawab Soalan JUMLAH BESAR 3 1 1 95 28 128 1 129 2.3 .8 .8 73.6 21.7 99.2 .8 100.0 2.3 3.1 3.9 78.1 100.0

Mengenalpasti Permintaan Terhadap Teknologi Baru Nanas di Kalangan Petani Beberapa permintaan terhadap teknologi baru nanas oleh responden adalah melalui amalan mencegah daripada serangan penyakit dan perosak, penyediaan tanah untuk menanam benih, memetik buah dan membawanya keluar dari ladang dan penyelenggaraan ladang seperti membersih dan membinasakan tunggul lama (Jadual 9). Di antara beberapa penyakit yang dikenalpasti adalah buah hantu, reput teras bakteria (BHR), koya, buah hitam, kulat, reput tangkai dan hama merah. Walau bagaimanpun, beberapa langkah pencegahan telah diambil oleh responden seperti penggunaan racun (domain, malathion, eliot, kulat), mencabut serta membuang kawasan yang bermasalah itu. Manakala bagi menangani masalah perosak seperti babi hutan, kera, tupai, tikus dan musang pula adalah dengan menggali parit, membuat perangkap, memasang pagar, menggunakan senjata api serta memelihara anjing. Teknologi baru yang diperlukan adalah racun khas untuk nanas yang boleh mencegah penyakit dan perosak. Teknik tanaman (agronomi) yang terkini, pagar elektrik bervoltan rendah dengan harga yang murah (yang tidak membahayakan nyawa manusia) serta perangkap yang spesifik bagi perosak yang spesifik amat perlu dibangunkan bagi menghindari serta mencegah penyakit dan perosak yang sering mengganggu tanaman responden. Selain daripada itu, majoriti responden masih lagi menggunakan kaedah manual seperti menggunapakai peralatan ladang yang bersifat tradisional seperti cangkul, tugal, tombak, parang, kereta sorong, pisau, bakul, sabit, guni dan sebagainya ketika melakukan amalan penyediaan tanah bagi membuat lubang untuk menanam benih (sulur), pengurusan tanaman bagi memetik buah, membawa buah keluar daripada ladang dan penyelenggaraan ladang bagi membersih serta membinasakan tunggul lama. Sehubungan itu, di antara beberapa permintaan terhadap teknologi baru nanas adalah seperti jentera pertanian yang berfungsi untuk membuat lubang dan menimbusnya kembali (untuk menanam sulur), jentera seumpama : kubota, kenderaan bermotor yang diubahsuai seperti Badang (yang menggunakan enjin Vespa) dengan harga yang lebih murah, kren bagi mengangkut buah khususnya di kawasan tanah tinggi, jentolak / traktor / cest yang sesuai untuk kawasan tanah gambut bagi menyelenggara ladang (membersih dan membinasakan tunggul lama) serta laluan / landasan khas yang kukuh untuk memudahkan pengangkutan keluar dan masuk di kawasan tanah gambut. Jadual 9 : Amalan, Penggunaan Serta Permintaan Terhadap Teknologi Baru Nanas Amalan Teknologi Diamalkan Teknologi Baru Nanas Yang Sekarang Diperlukan (i) Penyakit Racun Cabut & Buang kawasan yang bermasalah Racun khas untuk nanas sahaja Teknik tanaman (agronomi) yang terkini bagi mengelakkan serangan penyakit (contoh : sistem intercrops, fertigasi, selimutkan) Racun khas untuk nanas sahaja Pagar elektrik voltan rendah dengan harga yang murah (tidak membahayakan

(ii) Perosak

Racun Gali parit Buat perangkap Pagar zink Senjata api Pelihara anjing

(iii) Penyediaan tanah untuk menanam benih (sulur) Cangkul Tugal Tombak Kayu Parang tumpul -

manusia) Perangkap yang spesifik untuk musuh yang spesifik. Jentera pertanian yang berfungsi membuat lubang bagi menanam benih serta menimbus semula tanah yang digali (di kawasan tanah gambut) Kubota Kenderaan bermotor seperti enjin Vespa yang diubahsuai Badang (yang murah, efektif serta sesuai masuk ke dalam tanah gambut) Kren bagi mengangkut buah dikawasan cerun bukit (khusus untuk kawasan tanah tinggi) Membina laluan / landasan yang kukuh supaya pengangkutan mudah masuk dan keluar di kawasan ladang (terutama di kawasan tanah gambut) Jentolak/ Traktor atau Cest (yang boleh diubahsuai serta boleh masuk ke kawasan tanah gambut)

(iv)

Pengurusan Tanaman (Memetik buah serta membawa buah keluar daripada ladang)

Pisau Parang Bakul Kereta sorong Troli Guni Basikal Motor Gerabak

(v)

Penyelenggaraan Ladang (Membersih dan membinasakan tunggul lama)

Parang Sabit Cangkul Racun Paraquat

RUMUSAN Terdapat Hubungan Yang Signifikan Antara Faktor-Faktor Penggunaan Teknologi Sekarang dan Permintaan Terhadap Teknologi Baru Nanas di Kalangan Petani. Faktor-faktor yang mempengaruhi hubungan yang signifikan antara penggunaan dan permintaan terhadap teknologi nanas di kalangan petani adalah bilangan tahun mereka terlibat dengan pertanian (pengalaman), bilangan pekerja, tahap pendidikan dan pendapatan yang mereka peroleh sebulan. Keputusan kajian juga turut menunjukkan bahawa,

majoriti petani (95.3%) menyatakan hasrat (permintaan) terhadap teknologi baru nanas selain daripada yang diamalkan sekarang. Faktor pengalaman menjadikan petani menjadi lebih matang dan hasrat mereka untuk menggunakan teknologi baru kurang terserlah. Ini adalah kerana semakin lama petani mengusahakan tanaman nanas, semakin mudah mereka menggunakan teknologi yang diamalkan sekarang bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Walau bagaimanapun, petani yang baru menceburi aktiviti penanaman nanas ini, mereka lebih memerlukan teknologi baru bagi menggantikan teknologi sedia ada kerana ia dapat memudahkan lagi aktiviti penanaman nanas yang dilakukan. Faktor pendapatan pula menunjukkan bahawa, semakin rendah pendapatan yang diperoleh petani, semakin mereka berpuashati terhadap penggunaan teknologi yang sedia ada. Ini mungkin disebabkan, ketidak mampuan mereka untuk membeli teknologi baru disebabkan kekangan daripada aspek kewangan, modal serta cagaran yang dikenakan oleh agensi kewangan bagi memulakan pinjaman untuk membeli teknologi baru. Manakala, pendapatan petani yang tinggi menjadikan mereka kurang berpuashati dengan tahap teknologi yang diamalkan sekarang. Faktor bilangan pekerja menunjukkan bahawa dengan adanya teknologi baru, kebergantungan terhadap bilangan pekerja (buruh) dapat dikurangkan terutama buruh warga asing. Ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan produktiviti tanaman nanas disamping mengurangkan pengeluaran wang asing ke negara luar. Semakin ramai bilangan pekerja yang mengusahakan ladang-ladang nanas mereka, semakin tinggi permintaan teknologi baru yang diperlukan. Faktor tahap pendidikan petani yang rendah menyebabkan hasrat petani untuk mencuba teknologi baru nanas selain daripada yang diamalkan kurang menyerlah kerana tahap pemikiran mereka yang masih kurang pendedahan mengenai peri pentingnya inovasi bagi meningkatkan produktiviti tanaman nanas yang mereka sendiri usahakan. Sehubungan itu, petani moden yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi lebih cenderung terhadap penggunaan teknologi baru nanas selain daripada yang diamalkan sekarang. Teknologi Yang Diamalkan Sekarang dan Permintaan Terhadap Teknologi Baru Nanas Teknologi yang diamalkan oleh petani sekarang kebanyakkannya adalah bersifat konvensional. Justeru itu, di antara permintaan mereka terhadap teknologi baru nanas bagi mengatasi masalah penyakit dan perosak adalah racun dan baja khas untuk nanas, amalan agronomi yang terkini, pagar elektrik bervoltan rendah (yang tidak membahayakan nyawa manusia dengan harga yang berpatutan), sistem intercrops serta perangkap yang spesifik bagi perosak yang spesifik. Sehubungan itu, agensi awam seperti MARDI dan LPNM serta pihak swasta adalah disarankan supaya menangani permasalahan ini dengan melakukan R&D serta bekerjasama dengan Negara-Negara pengeluar nanas Dunia yang lain dengan cara bertukar-tukar pendapat atau pengalaman mengenai kaedah terbaik bagi menangani masalah penyakit dan perosak ini. Kaedah konvensional seperti penggunaan cangkul, tugal, tombak, parang, kereta sorong, pisau, bakul, sabit, guni dan sebagainya pada firasat petani ianya perlu diubah dengan menggantikannya kepada teknologi yang lebih moden. Di antara beberapa saranan yang dikemukakan oleh petani mengenai teknologi nanas adalah seperti penggunaan jentera pertanian, teknologi membuat lubang dan menimbusnya kembali (untuk menanam benih/sulur), kenderaan bermotor seperti Vespa / Badang / Kubota yang diubahsuai dengan harga yang lebih murah, kren bagi mengangkut buah khususnya di kawasan tanah tinggi, jentolak / traktor / cest yang sesuai untuk kawasan tanah gambut bagi menyelenggara ladang serta laluan / landasan khas yang kukuh untuk memudahkan pengangkutan keluar masuk ketika mengambil buah di kawasan tanah gambut. Dapatan kajian ini menyokong dapatan kajian yang dilakukan oleh Stinner dan Staiger (2005) dan Ruttan (2003) mengenai peri pentingnya teknologi baru dan moden yang diusahakan oleh majoriti petani yang bergantung penuh kepada hasil pengeluaran pertanian. Keunikan nanas di Negara kita adalah ianya banyak ditanam di tanah jenis gambut. Pengeluaran nanas Dunia kebanyakkannnya dihasilkan melalui penanaman di tanah jenis mineral. Tanah gambut tidak sesuai untuk kemasukan jentera berat kerana sifat tanahnya yang lembut. Sehubungan itu, mekanisasi yang sesuai untuk tanah

gambut seumpama peat trak yang telah dibangunkan oleh MARDI, serta kenderaan bermotor lain seperti Kubota, motosikal Vespa dan Badang yang diubahsuai perlu dibangunkan segera dengan membuat beberapa penambahbaikan serta pengubahsuaian reka bentuknya supaya fungsinya menjadi lebih serbaguna (multi-purpose) dengan kadar kos yang minima dan tidak terlalu membebankan petani. CADANGAN MENGGALAKKAN PENANAMAN NANAS

i. Masalah petani yang berusia


Bagi meramaikan lagi bilangan petani muda, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah dicadangkan memperbanyakkan promosi dalam bidang keusahawanan dan kerjaya dengan menggalakkan lebih ramai pelajar lepasan universiti yang menganggur serta belia-belia yang sedang mencari pekerjaan supaya berkecimpung di dalam bidang usahawan tani terutamanya dalam industri nanas. Ini kerana, majoriti pengusaha nanas adalah golongan yang mempunyai purata umur lima puluh tahun dan pendapatan yang diperoleh daripada hasil tanaman nanas ini juga adalah amat menggalakkan. Justeru, dengan adanya golongan ini, secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai lagi petani muda yang berilmu dan secara tidak langsung mengurangkan lagi jumlah pekerja asing daripada luar Negara yang bekerja dalam sektor pertanian. ii. Kemudahan Kredit Yang Membebankan Majoriti petani menyatakan bahawa, mereka menceburi tanaman nanas ini memperoleh modal hasil daripada simpanan sendiri (92.5%). Hanya segelintir sahaja petani yang memperoleh daripada pinjaman melalui bank (1.9%). Sehubungan itu, agensi-agensi penggalakkan pemberian modal seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Agro Bank, SMEs Bank, Koperasi serta agensi kewangan lain seperti MAVcap serta Cradle yang berfungsi sebagai Venture Capital perlu menawarkan skim yang menarik serta mudah untuk mereka yang mahu terlibat dengan industri nanas. Mereka yang berminat perlulah mengikuti skim aperantis (internship) terlebih dahulu selama enam bulan atau setahun dengan diberi elaun oleh MOA atau KBS dengan ditempatkan mereka di ladang-ladang contoh, kilang-kilang pemprosesan, PKS serta dibantu oleh petani berjaya (melalui skim anak angkat) dengan diberi latihan serta modul yang secukupnya oleh agensi-agensi seperti MARDI, LPNM dan Jabatan Pertanian (DOA) bagi meningkatkan kecekapan mereka sehingga bergelar usahawan muda champion. Syarat pembayaran pinjaman juga perlu dilonggarkan di mana peminjam hanya perlu dikenakan bayaran selepas keuntungan diperoleh semasa tahun ketiga atau keempat jualan.

iii. Penggunaan Teknologi Baru :


Varieti nanas baru. Varieti baru yang dibangunkan nanti mestilah mempunyai ciri-ciri tahan terhadap serangan penyakit, mempunyai kualiti buah yang boleh di pasarkan di peringkat domestik dan Global, tempoh matang yang lebih singkat (kurang daripada setahun sebagai contoh antara 6 -10 bulan boleh dituai), kurang penggunaan racun, baja dan hormon kimia. Kajian yang dilakukan oleh Zairy (2009) pula menunjukkan bahawa di antara ciri-ciri buah nanas segar yang menjadi pilihan dikalangan pengguna di Malaysia adalah saiznya yang sederhana, warna kulitnya yang separuh kuning dan separuh hijau, ketebalan kulitnya yang nipis, rupa bentuknya yang bujur, rasanya yang manis, empulur tengahnya kecil dan aromanya wangi. Manakala fokus penyelidikan sekarang perlulah menjurus kepada penghasilan klon / hibrid baru bagi varieti nanas kaleng bagi mengatasi masalah kekurangan buah nanas di kilang-kilang. Sehubungan itu, pembiak baka perlulah mengambil kira input-input yang diberikan ini dengan menghasilkan varieti nanas sebagaimana yang diutarakan. Pengawalan Perosak & Penyakit. Hanya racun serangga serta baja yang spesifik untuk tanaman nanas sahaja diperlukan bagi mengawal perosak dan penyakit. Ini adalah kerana, kebanyakkan racun yang digunakan oleh petani sekarang adalah

terdiri daripada pelbagai jenama dan mempunyai fungsi yang umum. Sebagai contoh, baja yang digunakan adalah baja campuran nanas (BCN) dan NPK 15:15:15 yang digunakan untuk pelbagai jenis tanaman. Sehubungan itu, kajian mengenai tahap kesuburan tanah serta kesesuaian terhadap racun dan baja yang digunakan untuk tanaman nanas perlu dilakukan oleh saintis atau penyelidik. Kajian juga perlu mengambil kira pengurangan terhadap kadar bahan kimia yang terkandung dalam racun dan baja itu sambil mengesyorkan penggunaan racun atau baja organik sebagai alternatif. Penyediaan tanah untuk penanaman benih (sulur). Majoriti petani memerlukan jentera pertanian yang sesuai untuk tanah gambut serta teknologi yang boleh menggali lubang untuk menanam benih (sulur) dan menimbus tanah semula (jentera penanaman). Ini adalah kerana, petani menghabiskan terlalu banyak masa bagi menanam setiap sulur melalui penggunaan cangkul, tugal, tombak, parang tumpul dan kayu. Justeru, kajian mengenai pembangunan terhadap jentera pertanian dan jentera penanaman perlu dilakukan dengan mengambil kira kos jentera yang dihasilkan agar tidak terlalu mahal, mudah dikendalikan dan kurang penyelenggaraan. Pengurusan Tanaman (Memetik buah serta membawa buah keluar daripada ladang) Teknologi yang diamalkan oleh majoriti petani bagi pengurusan tanaman adalah pisau, parang, bakul rotan, guni, kereta sorong, troli, basikal dan motor. Walaupun, MARDI telah membangunkan teknologi peattrak untuk kegunaan di tanah gambut tetapi ianya tidak mendapat sambutan ramai kerana kosnya yang agak mahal. Justeru, kenderaan seumpama peat-trak, kubota, Badang serta kenderaan bermotor Vespa yang diubahsuai serta ditambahbaik strukturnya perlu dibangunkan segera dengan menjadikan harganya lebih murah dan mudah dikendalikan serta kurang penyelenggaraan. Selain daripada itu, di antara permintaan petani juga adalah kren bagi mengangkut buah di kawasan cerun bukit (khusus untuk kawasan tanah tinggi seperti di negeri Sabah) serta membina laluan / landasan yang kukuh dengan menjadikan laluan bertar atau susunan batu-bata yang rapat supaya pengangkutan mudah masuk dan keluar di kawasan ladang (terutama di kawasan tanah gambut). Penyelenggaraan Ladang (Membersih dan membinasakan tunggul lama). Kebiasaannya, majoriti petani menggunakan racun paraquat, parang, sabit dan cangkul bagi membersih dan membinasakan tunggul lama sebelum di bakar semasa penyelenggaraan ladang di lakukan. Justeru itu, jentera seperti Jentolak / Traktor / Cest (yang boleh diubahsuai serta boleh masuk ke kawasan tanah gambut) diperlukan bagi menyelenggara ladang. Sehubungan itu, pembangunan terhadap jentera yang pelbagai guna (multi-task) amat dituntut bagi tujuan penanaman, pengurusan tanaman dan penyelenggaraan ladang. SARANAN TERHADAP PENAMBAHBAIKAN POLISI BAGI INDUSTRI NANAS NEGARA i. Latihan Industri Bagi memantapkan lagi ilmu keusahawanan, pihak universiti adalah dipelawa menggalakkan lebih ramai siswazah universiti tempatan ditempatkan di ladang nanas terpilih bagi mengikuti latihan industri yang diwajibkan ke atas mereka. Ini bagi meningkatkan lagi kesedaran serta membina keyakinan diri siswazah supaya menjadikan bidang pertanian terutamanya nanas sebagai satu bidang yang menguntungkan. Penempatan mereka ini diharap dapat mengukuhkan lagi industri nanas Negara, terutamanya daripada aspek sumber tenaga manusia yang berilmu pengetahuan.

ii. Membuka Lebih Banyak Kilang Besar Industri nanas Negara perlu membuka lebih banyak lagi kilang memproses nanas kaleng selain daripada di Johor seperti di kawasan-kawasan Utara Semenanjung Malaysia, Pantai Timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Dengan wujudnya kilang-kilang ini, diharapkan lebih banyak pengusaha PKS serta menggalakkan lagi lebih ramai penanam nanas baru (yang menanam varieti Gandol, N36 dan

Maspine) untuk mengusahakannya. Justeru, ia akan menambahkan lagi kuantiti eksport nanas kaleng Negara ke Negara-Negara Dunia yang sedia ada serta Negara yang berpotensi. iii. Agro-Tourism Nanas Pihak pengilang besar juga adalah disyorkan untuk menjadikan kawasan mereka sebagai tempat pelancongan pertanian (Agro-Tourism), pusat latihan dan pusat kecemerlangan. Melaluinya, masyarakat di dalam dan luar Negara dapat melihat dengan sendiri bagaimana nanas-nanas ini dikalengkan disamping meninjau lokasi tanaman nanas ditanam di estet-estet mereka untuk mengetahui teknik agronomi yang betul. Sehubungan itu, infrastruktur serta dana yang banyak diperlukan bagi membangunkan serta merealisasikan kawasan ini untuk dijadikan sebagai Agro-Tourism. iv. Mengeksploitasi Potensi Dalam Industri Hub Halal Global Industri nanas Negara juga disaran supaya berusaha dengan lebih giat bagi menjadikan produk berasaskan nanas disenaraikan sebagai antara produk yang berprestasi tinggi di dalam industri hub-halal Negara. Kelebihan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meluaskan lagi rangkaian produk Negara kita di seluruh Negara-Negara Islam yang lain kerana kelebihan Malaysia yang terbukti berkesan memperkenalkan logo Halal yang diiktiraf oleh seluruh Dunia. v. Memperkasakan Pemindahan Teknologi dan Sistem Penyampaian Memang tidak dapat dinafikan bahawa, kekuatan sesuatu industri itu berkait rapat dengan perhubungan dikalangan agensi-agensi awam bagi memindahkan teknologi nanas tersebut. Akibat kelemahan tersebut, varieti nanas yang telah diistihar oleh MARDI yang mempunyai kriteria nasional seperti pokoknya yang tidak berduri atau sangat sedikit durinya sebagaimana nanas Josapine (yang diistihar pada tahun 1996) kurang mendapat sambutan terutamanya di negeri Sabah, Sarawak dan Selangor (mengkomersialkan nanas Yenkee @ Selangor Sweet). Manakala, pengistiharan nanas Maspine pada tahun 2007 oleh MARDI untuk dwi-penggunaan (segar dan kaleng) bagi menggantikan nanas Gandol juga kurang mendapat sambutan menurut kajian yang dilakukan Syahrin (2010). Ini menunjukkan bahawa, terdapat kelemahan dalam sistem penyampaian yang dilakukan oleh agen pengembangan awam kita yang tidak fokus terhadap nanas yang perlu diberi keutamaan Negara. Sehubungan itu, agensi-agensi awam terutama di bawah MOA seperti DOA, FAMA, MARDI, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan LPNM adalah disarankan supaya meningkatkan sistem penyampaian dan mempertingkatkan pemindahan teknologi bagi industri nanas Negara. Di samping itu, hubungan LPNM dan agensi-agensi awam di bawah MOA dengan stakeholders seperti petani, usahawan, pemborong, pengilang, GLC (syarikat berkaitan Kerajaan), universiti, agensi swasta serta institusi daripada luar Negara juga perlu diperkukuhkan melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang bagi memperkukuhkan promosi serta bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan bagi meningkatkan lagi produktiviti nanas Negara.

vi. Fokus Terhadap Ekonomi Penumpuan (A-Economy) Berdasarkan varieti nanas makan segar (Sarawak, Moris dan Josapine) kebanyakkan petani pada tahun 2000 sehingga 2009 telah mula memilih nanas Josapine untuk di tanam kerana harga jualannya yang tinggi di peringkat ladang dan memperoleh pendapatan kasar dan bersih yang agak lumayan berbanding varieti lain. Dapatan kajian ini menyokong beberapa kajian lepas yang dijalankan oleh Chan, YK (1995), Lee H.K (1996), Syed (2005), Johaary (2007:2008) dan Raziah ML (2010) yang menyatakan keunikan nanas Josapine berbanding dengan varieti nanas segar yang lain membolehkan mereka menikmati pendapatan yang lebih tinggi. Petani juga perlu fokus terhadap penanaman nanas segar sahaja kerana pendapatan yang dihasilkan adalah lebih tinggi berbanding menanam nanas kaleng dan Negara juga mempunyai daya saing yang tinggi terhadap pasaran nanas segar di peringkat Dunia. Justeru, LPNM selaku peneraju kepada industri nanas Negara perlu memberi tumpuan (attention) terhadap nanas segar jenis apa yang perlu di tanam untuk keperluan domestik dan eksport serta nanas jenis apa yang diperlukan untuk pengalengan. Justeru, ekonomi penumpuan (A-economy) yang diperkenalkan oleh pakar

motivasi Michael Goldharber boleh dijadikan garis panduan bagi mengetahui fokus LPNM kerana Negara kita mempunyai kepelbagaian biologi tanaman nanas. Menurut M.Selamat (2007), MARDI mempunyai berpuluh-puluh koleksi janaplasma dan disimpan dalam field gene-bank di MARDI Pontian (Johor) di mana terdapat 99 baka dan aksesi nanas yang disimpan untuk kegiatan kacukan bagi penghasilan nanas hibrid. Maklumat mengenai varieti nanas pula memberi beberapa pilihan kepada pengusaha baru (usahawan), pembuat polisi serta agensi kerajaan mahu pun swasta mengenai pasaran serta halatuju yang perlu diberikan penekanan, terutama sekali terhadap varieti yang terbaik dan perlu menjadi pilihan dikalangan petani-petani di Malaysia. Dengan wujudnya mekanisme ini, varieti yang terbaik itu perlu dijadikan keutamaan dan penumpuan dengan melipatgandakan usaha dengan meluaskan lagi pasaran nanas tersebut diperingkat domestik dan luar Negara manakala, bagi varieti yang kurang baik pula ianya perlu dilakukan kajian yang mendalam untuk meningkatkan lagi kualitinya. vii. Memperbanyakkan Publisiti Melalui Hebahan Media Massa Pengeksploitasian media massa serta promosi besar-besaran perlu dilakukan secara berterusan oleh agensi kerajaan, swasta, NGO, persatuan dan orang perseorangan. Mereka perlu proaktif dalam merancang program untuk mempromosikan industri nanas sama ada di dalam media elektronik (televisyen, radio dan internet) serta media cetak (akhbar, majalah, buku, jurnal dan lain-lain), menganjurkan pertandingan seperti gubahan, masakan, mewarna dan sebagainya, melakukan kempen memakan buah nanas serta publisiti yang meluas bagi menggalakkan lebih ramai pengguna memakan nanas segar tempatan yang selaras dengan peningkatan kesedaran akan kepentingan makanan untuk kesihatan.

viii.

Meningkatkan Penggunaan Nanas Per Kapita Setahun Akhirnya, adalah disarankan supaya jumlah penggunaan nanas segar untuk peringkat domestik meningkat selaras dengan jumlah penambahan penggunaan per kapita setahun bagi setiap individu di Malaysia. Disamping itu, program menjadikan varieti nanas Josapine sebagai nanas terbaik untuk kegunaan di makan segar juga perlu diperhebatkan kerana keunikan serta kualitinya yang telah pun terbukti.

PENUTUP Penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dijadikan teras kepada penggunaan teknologi yang lebih moden untuk meningkatkan produktiviti nanas sama ada yang ditanam di tanah gambut atau pun mineral. Ini adalah kerana faktorfaktor petani yang baru menceburi tanaman nanas (pengalaman), bilangan pekerja (buruh) yang mengusahakan ladang nanas, tahap pendidikan serta pendapatan petani yang tinggi merupakan faktor-faktor penting permintaan terhadap teknologi baru nanas. Selain daripada itu, peranan yang dimainkan oleh MOA serta agensi di bawahnya seperti LPNM, MARDI, DOA, FAMA dan LPP juga perlu diperkasakan melalui sistem penyampaiannya yang berkesan bagi mempromosikan serta meningkatkan lagi penggunaan dan pemasaran nanas di peringkat domestik dan luar Negara. Keupayaan produk berasaskan nanas kita menembusi pasaran Negara-Negara luar serta penggunaan logo Halal yang diiktiraf kerajaan disamping pengiktirafan kilang nanas yang bertaraf GMP (Good Manufacturing Practices), HACCP dan ISO memberi impak yang positif terhadap industri pertanian Negara. Sehubungan itu, penglibatan secara holistik semua pihak seperti MOA, pembuat dasar, agensi swasta, NGO, GLC, universiti, persatuan nanas, kerajaan negeri, usahawan tani, pelajar, petani dan orang perseorangan adalah amat diperlukan bagi memantapkan lagi daya saing industri nanas Negara.

RUJUKAN Ball and Norton (2002). Agricultural Productivity: Measurement and Sources of Growth. Boston/Dordrecht/London: Kluwer Academic Publishers. Chan YK (1995).Performance and Stability of Pineapple Hybrids in GxE Trials in Malaysia. In Proceedings of the 2nd Symposium International Ananas, 20-24 February 1995. Martinique, French & Wes Indies: Acta Horticultur,425:201-211 Johaary, A.H.,Abu, K.A.,Ariffin, T.dan Setefarzi, M.N.(2007). Teknologi Pertanian: Kajian Impak Teknologi Bagi Penggunaan Varieti Nanas Josapine Di Kalangan Petani di Malaysia. Malaysian Journal of Science and Technology Studies: Universiti Malaya. Kuala Lumpur. Johaary, AH and Abu, K.A. (2008). Impact Assessment on Josapine Pineapple Variety Grown in Peat Soil. Proceeding in International Symposium and Workshop on Tropical Peat Land at Hilton Kuching Hotel, Sarawak on 19-22 August 2008. Lee H.K (1996). Josapine: A new Pineapple Hybrid Developed at MARDI. In Mohamad,O.,Mahani,et al.(eds.). Proceedings of the 2nd National Congress on Genetics. Kuala Lumpur,hlm.217-220 Malaysia (2000) Rancangan Malaysia Kelapan 2000-2005. Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri: Kuala Lumpur Malaysia (2006). Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010.Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri : Putrajaya Mohamad, S.M.(2007). Meningkatkan Produktiviti Ladang Nanas: Memaksimumkan Penggunaan KepelbagaianBio dan Persekitaran Dalam Sistem Tanaman. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Serdang. Kertas Kerja Dibentangkan Pada Syarahan Khas Penyelidikan pada 4 Oktober 2007. Raziah ML (2010). Senario dan Prospek Industri Nanas Malaysia.Economic and Technology Management Review. Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI).Serdang Ruttan, L.M (2003). How Individual and Institutions Matter. Review of Individuals, Institutions and Markets by L.Mantzavinos, Cambridge University Press. Skinner,J. and Staiger,D. (2005).The Adoption From Hybrid Corn to Beta Blockers. Proceedings at Federal Reserve Bank of San Francisco, Nov 18-19,2005. Syahrin (2010). Kajian Impak Teknologi Nanas Maspine. Laporan Tidak Diterbitkan. Serdang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Syed A (2005). Anggaran Kos Pengeluaran dan Pendapatan Bagi Buah-Buahan. Serdang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Zairy Z (2009). Kajian Terhadap Ciri-Ciri Buah Nanas Segar Yang Menjadi Pilihan Pengguna. Laporan Tidak Diterbitkan. Serdang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Anda mungkin juga menyukai