Anda di halaman 1dari 5

Cabutan Bertuah: Antara Yang Membolehkan & Yang Melarang Muhammad Haniff Hassan Cabutan bertuah adalah satu

u perkara baru yang dipopularkan oleh syarikat-syarikat perniagaan. Ia kemudiannya ditiru pula bagi mengumpulkan dana untuk tujuan kebajikan masyarakat. Apabila mengkaji dalil-dalil syara, kita tidak akan dapati satu dalil yang jelas dan secara khusus memperkatakan mengenai hukum cabutan bertuah ini. Oleh itu, penghuraian masalah ini memerlukan pentafsiran terhadap dalil-dalil yang sedia ada melalui proses qiyas (analogy), pertimbangan maslahat mudarat dan kaedah-kaedah pengambilan hukum yang lain yang dihuraikan dalam buku-buku Usul Fiqh. Lazimnya dalam persoalan sedemikian akan wujud perbezaan pandangan antara para ulama. Maka begitulah juga dalam persoalan cabutan bertuah. Oleh itu, isu cabutan bertuah sehingga kini haruslah dilihat sebagai masalah khilafiyah yang menuntut umat Islam untuk mengamalkan adab-adab berselisih pendapat, saling hormat pendapat satu dengan yang lain dan berlapang dada. Isu yang paling penting dalam persoalan cabutan bertuah ialah adakah ia dikategorikan sebagai judi yang diharamkan oleh Islam? Untuk itu, sebelum membicarakan mengenai hukum cabutan bertuah, perlulah memahami konsep judi dalam Islam. Para ulama, dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, telah mensyaratkan ciri-ciri berikut; 1. Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih. 2. Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat. 3. Mana-mana pihak yang menang akan memperoleh harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan. Berdasarkan ini, para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperoleh manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihakpihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah. Ulama yang mengharuskan cabutan bertuah berpegang pada hujah 1. Kaedah Fiqh yang mengatakan Al-Aslu Fi Al-Asyya Al-Ibahah yang bermaksud asal sesuatu perkara (bukan dalam persoalan aqidah dan ibadah) adalah harus (kecuali ada bukti/dalil yang mengharamkannya).

2. Kaedah Fiqh lain yang berbunyi Al-`Adah Muhakkamah yang bermaksud tradisi masyarakat dapat dijadikan dasar hukum selagi tidak bertentangan dengan dalil syara. Ini dikuatkan pula oleh pandangan sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Abdullah b. Mas`ud yang berbunyi Apa yang dipandang baik oleh umat Islam adalah baik pula di sisi Allah taala. (Riwayat Ahmad) Ulama dari golongan ini tidak mengkategorikan cabutan bertuah yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat bagi menggalak penjualan barangannya tidak dianggap sebagai judi kerana; Pertama, tiada pertaruhan antara pemegang tiket cabutan bertuah berkenaan. Kedua, dalam kes cabutan bertuah bagi tujuan perdagangan, pembeli telah mendapat manfaat wangnya dengan memperolehi barangan yang diberi. Ketiga, cabutan bertuah itu hanyalah satu janji peniaga / pengumpul dana untuk memberi hadiah kepada mereka yang membeli barangannya atau yang telah menderma, sebagai tanda terima kasih. Walau bagaimana pun ada segolongan pula yang berpendapat bahawa wang hadiah cabutan bertuah hendaklah disediakan dari dana yang berasingan bukan dari hasil belian pembeli dari usaha promosi itu kerana, jika tidak, ia akan menyerupai judi. Iaitu wang pembeli dikumpulkan, lalu diberikan kepada se golongan kecil dari mereka berdasarkan undi nasib. Namun jika kita teliti, cabutan bertuah seperti ini masih tidak menyerupai konsep judi keseluruhannya seperti yang dinyatakan di atas kerana dalam kes ini, semua pembeli telah mendapat barang yang dibeli dari wangnya. Hadiah cabutan bertuah hanyalah tambahan sahaja. Sedangkan dalam kes judi, mereka yang bertaruh dan kalah tidak mendapat apa-apa jua. Tambahan pula, secara umum para pembeli yang membeli sesuatu barangan akan membelinya berdasarkan barangan tersebut. Mereka tidak begitu peduli dengan hadiah cabutan bertuah. Kalau ia menjadi pertimbangan pun, ia hanya pertimbangan sampingan. Keempat pula, oleh kerana ramai yang memenuhi syarat bagi menerima hadiah yang dijanjikan, maka undi dibuat bagi menentukan siapa yang berhak untuk mendapat hadiah yang terhad jumlahnya. Kelima, cabutan bertuah bagi tujuan perniagaan tidak mengandungi kemudaratan sama sekali baik kepada pembeli atau penjual kerana si pembeli dapat barangan yang dibeli dan syarikat berkenaan dapat menjual barangannya. Sekiranya syarikat berkenaan mengalami kerugian kerana barangan jualannya tidak memadai dibanding dengan hadiah yang disediakan, ini dikira sebagai risiko perniagaan yang harus dihadapi oleh para peniaga. Sama seperti sekiranya ia buat iklan tetapi kemudiannya tiada yang membeli

barangannya untuk menutup kos iklan itu. Mengenai membuat keputusan secara mengundi, golongan ini mengharuskannya kerana ia dibenarkan dalam Islam berdasarkan sebuah hadits riwayat Aisyah yang mana beliau berkata Apabila Rasulullah hendak bermusafir, beliau akan mengundi isteri-isterinya untuk menentukan siapa yang lebih berhak untuk ikut bersamanya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Ada pun cabutan bertuah bagi tujuan pengumpulan derma, ia mempunyai perbezaan dari cabutan bertuah untuk tujuan perniagaan kerana dalam kes ini penderma yang membeli kupon derma tidak mendapat apa-apa pulangan tetapi mempunyai peluang untuk mendapat hadiah yang lumayan melebihi dari wang yang didermakan. Golongan yang mengharuskan cabutan bertuah bagi tujuan pengumpulan derma mensyaratkan bahawa hadiah hendaklah disediakan dari sumber lain ditaja oleh pihak ketiga dan bukan dari hasil pungutan derma berkenaan. Ini bertujuan bagi membezakan ia dengan judi iaitu hadiah diberikan kepada tiket yang diundi diperolehi dari wang yang terkumpul dari tiket yang dijual. Para ulama menasihatkan, mereka yang menganjurkan usaha sedemikian agar berhati-hati agar jangan sampai cara pengendalian usaha ini menyebabkan niat orang ramai berubah dari tujuan menderma kepada tujuan mendapatkan hadiah yang lumayan. Orang ramai yang menderma pula haruslah memelihara niatnya. Sesiapa yang menderma tetapi dengan tujuan yang sengaja untuk mencuba nasib bagi mendapat hadiah, maka perbuatannya itu berdosa kerana dianggap berjudi. Ia sama seperti hukum haram perbuatan seorang suami yang pada ketika menggauli isterinya tetapi meniatkan atau membayangkan wanita lain yang bukan isterinya. Walau pun perbuatan itu asalnya harus tetapi menjadi haram kerana niat yang salah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud Sesungguhnya setiap perbuatan itu berdasarkan niat (Riwayat Al-Bukhari) Ada pun cabutan bertuah yang diadakan pada majlis-majlis tertentu seperti majlis tahunan pekerja sebuah syarikat, ia juga adalah harus sekiranya para pekerja tidak perlu membuat apa-apa bayaran bagi menyertai majlis berkenaan. Jika mereka perlu membayar bayaran tertentu maka ia diharuskan jika dilakukan seperti cabutan bertuah bagi tujuan kebajikan. Bagi golongan ulama yang tidak membenarkan cabutan bertuah bagi tujuan perniagaan, mereka berpendapat bahawa amalan ini mempunyai ciri-ciri judi. Ini meletakkan amalan ini pada kategori syubhat yang perlu dijauhi. Rasulullah s.a.w bersabda Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya, perkara-perkara yang samar-samar (syubhat) yang tidak diketahui kebanyakan manusia.

Barangsiapa yang memelihara diri dari syubhat, maka ia telah memelihara agama dan maruahnya. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Ciri judi yang dinyatakan ialah perolehan hadiah cabutan bertuah berdasarkan pada nasib bukan usaha Mereka juga menegahnya berdasarkan konsep Sad Az-Zari`ah yang bermaksud menutup pintu keburukan. Hujah-hujah mereka ialah; Pertama, amalan ini menyuburkan sifat individulisme yang merupakan ciri utama fahaman Kapitalis Barat. Islam menolak sikap individualistik dan menggalakkan pengorbanan dan sikap mengutamakan orang lain. Allah taala berfirman yang bermaksud Dan mereka yang mengutamakan (orang lain) atas diri mereka sendiri, walau pun mereka memerlukan (apa yang diberi). (Al-Hasyr : 9) Kedua, amalan ini membuka ruang manipulasi dan penyelewengan dari pihak peniaga ke atas pembeli. Islam menggalakkan para peniaga berlaku jujur dan benar. Antara ciri kejujuran dan benar ialah menjual barangan berdasarkan kualiti barangan berkenaan atau dengan merendahkan harga bukan kerana faktor luaran. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud Barang siapa yang menipu, bukan dari golongan kita (Riwayat Muslim) Ketiga, dalam kebanyakan hal kos hadiah cabutan bertuah ini akan diserapkan pada kos jualan. Kos ini kemudiannya dikembalikan kepada para pembeli dalam bentuk harga jualan barangan berkenaan. Ertinya harga barangan berkenaan meliputi kos hadiah cabutan bertuah. Maka dengan ini amalan cabutan bertuah ini mengakibatkan keuntungan sebahagian pembeli dan merugikan yang lain kerana pihak yang tidak mendapat hadiah menanggung kos hadiah bagi mereka yang bertuah. Keempat, amalan ini dihidupkan berdasarkan fahaman Konsumerisme Barat yang boleh mengakibatkan boros dan membazir. Para pembeli cenderung membeli barangan kerana tawaran-tawaran istimewa dan cabutan bertuah bukan kerana keperluan. Allah taala berfirman yang bermaksud Dan mereka yang berbelanja (tetapi) tidak boros dan tidak pula lokek, dan adalah (perbelanjaan itu) adalah di tengah-tengah yang sedemikian. (Al-Furqan : 67) Bagi golongan ini, cabutan bertuah bagi amal juga terlarang. Jika diteliti dari hujah golongan ini, dapat disimpulkan bahawa pengharaman ke atas cabutan bertuah adalah atas dasar Haram Li Ghairihi yang bemaksud haram di sebabkan faktor luar bukan Haram Li Zatihi iaitu haram disebabkan zatnya seperti babi dan arak.

Sesuatu perkara yang haram disebabkan faktor luaran boleh berubah hukumnya kepada halal jika faktor yang menyebabkan hukum haram itu dapat dihilangkan. Demikianlah pandangan ulama dari golongan yang membolehkan dan melarang cabutan bertuah. Umat Islam yang ingin berpegang pada mana-mana pandangan di atas adalah dituntut untuk mengamalkannya berdasarkan kejelasan terhadap dalil. Adalah lebih baik juga memahami pandangan pihak yang satu lagi. Menjadi satu hakikat juga bahawa masalah baru seperti ini sememangnya sukar diperolehi kesepakatan para ulama. Khilaf seperti ini bukan bermakna tercela. Yang menjadi ia tercela, apabila ia menyalahi adab-adab yang dianjurkan.

Anda mungkin juga menyukai