Anda di halaman 1dari 3

MALU SEBAHAGIAN CABANG IMAN

Malu mempunyai pengertian yang besar dalam islam. sifat malu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang
telah hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana malu dan iman berjalan beriringan. Jika salah
satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ada bersabda bermaksud: "Iman itu ada lebih 60 cabang.
Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."

Malu atau haya dalam bahasa arab berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi
sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan
memelihara maruah kerana Allah.

Islam menggariskan sifat malu itu perlu ada pada diri setiap muslim sebagai perisai kepada orang yang beriman
setiap kali hendak melakukan pekerjaan atau perbuatan dosa. Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah
dan Rasul-Nya dan hari kiamat adalah mereka yang mempunyai sifat malu yang teramat sangat setiap kali ingin
membuat dosa, biarpun ia bukanlah sesuatu yang disengajakan.

Rasulullah mengajar umat Islam mengenai perkara pentingnya seseorang menghiasi dirinya dengan sifat malu.
Dan betapa malunya seorang yang bergelar muslim tetapi tidak mempunyai sifat malu sebagai hamba kepada
Allah.

Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah berjalan melintasi seorang pemuda yang memarahi saudara
lelakinya yang sangat pemalu. "engkau seorang yang sangat pemalu dan aku bimbang sifat malumu itu akan
memusnahkan dirimu". Mendengar kata-kata lelaki itu, Rasulullah bersabda, "Tinggalkanlah ia, kerana sifat
pemalu itu sebahagian daripada iman". (Bukhari)

Kedua-dua hadis diatas membuktikan bahawa sifat pemalu bukan dikhususkan untuk kaum wanita tetapi mesti
ada pada kaum lelaki yang beriman kepada Allah s. w. t dan hari akhirat. Sifat pemalu adalah lambang taqwa
(takutkan Allah) dan lambang ketinggian iman seseorang Muslim itu.

*JENIS-JENIS SIFAT MALU Sifat pemalu ada dua jenis. Pertama, malu untuk kebaikan dan kedua, malu yang
bersifat kejahatan. Malu yang baik ialah malu hendak melanggar peraturan Allah dan RasulNya manakala sifat
malu yang dibenci Allah adalah seorang yang malu hendak mengikut perintah Allah dan RasulNya. sebaliknya
tidak pula malu menjadi seorang yang ingkar akan perinyahNya.

Contoh sifat malu yang baik dan diredhai Allah adalah seorang yang beriman membina peribadi mulia mengikut
yang diperintahkan Allah dan Rasulullah. Mereka (lelaki atau wanita Muslim) malu hendak melakukan perkara
yang dibenci Allah kerana di akhirat nanti setiap perbuatan dosa-dosanya akan ditayangkan semula dihadapan
Allah dan semua umat manusia pada hari pembalasan. Adakah rasa malu yang lebih hebat dari itu?

Mereka yang ada sifat malu akan sentiasa mengikut segala yang diperintahkan dan menjauhi larangan Allah dan
Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan, dan setiap perbuatan biar sekecil kuman
sekalipun akan tetap disoal dan diberi pemberi pembalasan oleh Allah.

Jadi lebih tebal rasa malu seseorang, sebenarnya akan lebih mendekatkan dia dengan kasih sayang Allah. Adakah
perkara yang lebih membahagiakan daripada mendapat kasih sayang dan perlindungan daripada segala yang
berkuasa iaitu Allah?

*MALU DALAM MASYARAKAT Dalam masyarakat juga perlu ada sifat malu. Sama ada dalam perhubungan ibu
dengan anak, suami dan isteri, adik- beradik, saudara mara dan jiran tetangga. Seorang anak yang beriman dan
ada sifat malu tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan yang menyakitkan hati ibu dan bapanya, Seoarang
isteri tidak akan membuat perkara yang tidak menggembirakan hati suaminya dan begitu juga sebaliknya.

Seseorang yang telah hilang rasa malu menunjukkan bukti kelemahan imannya. Adalah sangat dilarang seorang
Muslim itu apabila ia enggan mematuhi apa yang dianjurkan oleh Islam supaya dia melakukannya kerana malu
dilihat oleh orang lain. Malu yang utama ialah malu kepada Allah yang Maha Mengetahui akan semua perkara.

Dalam mengutamakan kehidupan akhirat, seseorang itu tidak patut malu mencari guru untuk dia belajar bagi
mengatasi kejahilannya. Ini adalah kerana ilmu yang paling bermanfaat ialah ilmu yang menjadi bekalan untuk
akhirat.

Ini bermakna seseorang yang malu atau takut untuk mencari ilmu mengenai Islam akan bimbang terhadap
mafhumNya di dalam Al-Quran, kerana seseorang Muslim itu digalakkan mencari ilmu dan menyebarkannya
kepada orang lain.

Dari segi pekerjaan dari pandangan Islam, seorang guru itu dipandang tinggi berbanding pekerjaan lain yang
bersifat keduniaan. Seorang guru itu lebih dipandang mulia disisi Allah berbanding dengan seorang yang hanya
duduk menghabiskan masa beribadat dan berdoa sepanjang hari.

Islam tidak pernah memisahkan agama dengan kehidupan dunia. Sebab itulah daripada Rasulullah, Islam telah
dilengkapkan kesemua sekali, baik dari segi perundangan, perniagaan, sains, perhubungan sosial, pengurusan
harta dan lain- lain. Tetapi, kita masih malu untuk mengikuti apa yang diperintahkan Allah. Malu sebeginilah yang
ditegah oleh Allah dan Rasulullah.

*MALU PADA KAUM WANITA Kemodenan hari ini banyak merubah cara kaum wanita Islam kita dalam cara
berpakaian. Ramai yang megenakan seluar ketat, mendedahkan bahagian perut dan pusat, berpakaian menjolok
mata dan tidak mahu memakai tudung sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah. Ramai yang sudah hilang
malu, menonjolkan diri untuk memancing pandangan semua orang. Ini termasuklah bebas berdua-duaan
bersama-sama pasangan yang bukan muhrim mereka. Pandangan seperti ini sudah menjadi perkara biasa di
negara ini atau di mana-mana jua.

Seorang muslimah yang patuh kepada perintah Allah dan RasulNya tidak akan menggadaikan maruah diri
semata-mata mahu nampak moden dan mengikut perkembangan semasa. Wanita wajib malu mendedahkan diri
mereka kepada lelaki yang boleh dikahwini dan ditengah-tengah masyarakatnya. Malu seorang wanita itu datang
daripada sifat malu kerana takutkan Allah. Begitu juga dengan kes-kes sumbang mahram yang amat memalukan
kita khususnya umat Islam. Perbuatan ini amat hina kerana sanggup menodai dan memakan darah daging sendiri
yang sepatutnya adalah amanah Allah kepada bapanya, abang datuk dan bapa saudara memelihara
kehormatannya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkanoleh Abdullah Ibn Umar, Rasulullah saw bersabda: "Sifat malu dan iman itu
seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang."(Baihaqi)

Sifat malu dan memelihara kehormatan seseorang ini amat penting dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Malu
adalah perhiasan dan perisai kepada lelaki dan wanita yang percayakan ada pembalasan pada hari akhirat.
Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus melakukan dosa dan noda, zahir dan batin.

Hadis riwayat Anas bin Malik, Rasullullah saw bersabda: "Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau
tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu
disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah."(Tirmidhi)

*DI ZAMAN RASULULLAH Orang beriman pada zaman Rasulullah apabila baginda membacakan ayat tentang hijab
yang diturunkan kepadanya, semua orang Quraish dan Ansar berlari pulang ke rumah masing-masing
memberitahu isteri, anak perempuan dan saudara perempuan mereka mengenai perintah Allah dan Rasulullah
supaya menutup aurat dan kepala mereka. Bagi yang sudah memakai tudung kepala, segera membetulkannya
dan mereka yang masih belum memakai tudung, mencapai kain atau apa saja kain buat menutup kepala mereka.

Ini diterangkan dalam hadis riwayat Aisyah, "Semoga Allah memberi rahmat kepada wanita muhajirin. Apabila
ayat 'dan mereka hendaklah melabuhkan tudung hingga menutupi bahagian dada mereka' dibacakan, mereka
mencarik kain daripada pakaian yang mereka ada dan menutupi kepala mereka".(Abu Dawod)

Seorang muSlim patut faham, tiada sifat malu itu samalah kita mengikuti jalan syaitan sebagaimana disebutkan
dalam hadis riwayat Malik bin Uhamir yang mendengar Rasulullah bersabda: "Allah tidak akan menerima
sebarang amalan atau ketaatan seseorang yang tiada sifat malu dan angkuh". Kami Bertanya: 'Siapakah
orangnya yang angkuh dan tidak mempunyai malu ini ya Rasulullah?' "Seorang lelaki yang membiarkan isterinya
melayani lelaki bukan muhrimnya".

Maksud melayani ini ialah si isteri dibiar atau dibiarkan mempamerkan kecantikkannya pada khalayak ramai
(tidakmemakai hijab). Bermakna dia bebas dipandang oleh lelaki yang bukan muhrimnya.

Al-Mughira meriwayatkan: Sa'd bin Ubada berkata,"Aku tidak akan teragak-agak membunuh isteriku dengan
pedangku sekiranya aku melihat dia dengan lelaki lain." Berita ini disampaikan kepada Rasulullah saw dan
Baginda bersabda: "Kamu semua terpegun dengan harga diri dan kemuliaan Sa'd. Demi Allah, aku ini lebih
mempunyai harga diri dan kerana Allah itu lebih mempunyai harga diri. Dia mengetahui segala dosa dan perkara
yang memalukan dilakukan oleh kamu baik secara terang mahupun tersembunyi. Dan hendaklah kamu kembali
kepadanya dan memohon keampunan Allah dan untuk itu Dia membawa berita gembira dan amaran. Dan tiada
yang lebih suka dipuji melainkan Allah dan untuk itu Allah menjanjikan balasan syurga kepada mereka yang
membuat kebajikan."

Abdul Malik berkata, "Tiada siapa yang lebih malu berbanding dengan Allah."(Sahih Bukhari)

Rasulullah saw bersabda: "Setiap cara hidup ada karektornya. Dan malu itu adalah karektor Islam." ATAU "Setiap
agama ada karektornya. Dan karektor Islam adalah malu". (Abu Dawod)

Sifat malu itu hanya membawa kepada kebaikan. Sebagaimana sabda Rasulullah saw: "Malu itu tidak akan
menyebabkan perkara lain kecuali untuk kebaikan."(Bukhari)

Malu itu lambang iman dan malu itu membawa kita ke syurga. Rasulullah saw bersabda: "Malu itu datangnya
daripada keimanan dan iman itu membawa ke syurga. Dan sebaliknya adalah membawa kepada
neraka".(Bukhari)

Rasulullah bersabda: "Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu
mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya".(Bukhari)

susunan Habsah Dinin

WASSALAM

MUTIARA: "Sa'ad bin Hilal berkata: "Sesungguhnya bagi seorang hamba yang membuat dosa, maka Allah swt
akan [masih] memberikan kepadanya empat perkara;
1. rezeki tidak akan dihilangkan darinya
2. kesihatan tidak akan hilang darinya
3. dosa tidak akan ditunjukkan kepadanya
4. seksaan tidak akan didatangkan kepadanya secara cepat"

Anda mungkin juga menyukai