Anda di halaman 1dari 19

1.

Pengenalan

Pendidikan menjelang wawasan 2020 menekankan kepentingan melahirkan warga Malaysia yang kreatif dan inovatif. Begitu juga dengan Falsafah Pendidikan Negara yang memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai lagi individu yang kreatif dan inovatif bagi membangunkan negara. Kanak-kanak dan kreativiti memang tidak dapat dipisahkan. Kanakkanak dilahirkan dengan kebolehan dan keupayaan yang berbeza. Kreativiti yang terdapat di dalam diri kanak-kanak adalah bersifat semulajadi. Tetapi bakat dan kreativiti yang tidak diberi galakan dan bimbingan yang sewajarnya akan hilang dengan begitu sahaja.

Bagi proses pembelajaran di sekolah untuk mengembangkan kreativiti murid-murid, Guru perlu memberi peluang dan kebebasan kepada murid untuk melakukan eksplorasi dan percubaan bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik. Dalam hal ini, pemupukan pemikiran kreatif perlu disemai semenjak kanak-kanak lagi. Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semulajadi proses tumbesaran mereka. Hasil kerja dan aktiviti yang dilakukan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak.

2.0

Difinisi Kreatif

Kreativiti sememangnya wujud di dalam diri setiap insan yang diciptakan Tuhan. Kreativiti merupakan salah satu anugerah Tuhan yang mungkin tidak disedari secara langsung oleh seseorang. Kreativiti ialah kebolehan asasi yang dimiliki oleh semua manusia, dan tidak seorang pun manusia di dunia ini dilahirkan tidak kreatif. Cuma mungkin kecenderungan seseorang itu berkreatif banyak bergantung kepada diri sendiri, persekitaran dan jenis masalah yang dihadapi. Selain itu, kebolehan dan bakat kreatif mestilah dipupuk dan dibaja dengan betul melalui pendekatan yang sesuai dan bersistematik terutama bagi kanak-kanak di peringkat pra persekolahan. Walaupun, kreativiti adalah anugerah yang diberikan oleh Tuhan semenjak azali, sekiranya tidak dipupuk dan dibajai oleh persekitaran dan diri sendiri, kreativiti yang berkualiti tidak mungkin dapat dicapai. Secara umumnya konsep kreativiti dapat dilihat dalam dua

perspektif yang luas. Pertama dari sudut emperikal atau ilmiah dan yang kedua pula dilihat dari sudut praktikal. Kedua-dua konsep kreativiti ini tidak jauh berbeza cuma perspektif yang pertama lebih menekankan aspek pengkajian tentang kreativiti manakala yang kedua pula lebih menjurus kepada amalan dan metode berkreativiti seperti berkomunikasi, aktiviti perniagaan, pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya.

Berdasarkan konsep kreativiti secara umum, dapatlah dikatakan bahawa Kreativiti ialah keupayaan seseorang untuk memproses maklumat yang menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Konsep pemikiran kreatif itu pula berkisar kepada beberapa entiti iaitu seseorang dapat melakukan sesuatu dengan cara yang unik. Selain itu, seseorang juga dikatakan dapat berfikir di luar kotak pemikiran biasa atau bebas daripada pola yang sama. Melihat sesuatu dari perspektif baru di samping menggabungkan idea yang sedia ada untuk membentuk idea yang baru. Melalui pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki, seseorang itu berupaya mencari pelbagai input idea bagi mewujudkan hasil yang baru lebih baik daripada sebelumnya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Pengertian kreativiti mengikut Kamus Dewan,(2002) ialah satu kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreativiti, kekreatifan manakala kreatif pula sebagai mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea yang baru dan asli. Lowenfeld (1975) percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif . Pernyataan ini disokong dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang gemar meneroka, dan penuh dengan perasaan ingin tahu. Kreativiti berasal daripada perkataan Latin iaiticreare yang membawa maksud membuat. Manakala daripada perkataan Greek pula perkataan crearebermaksud memenuhi.

Kesimpulannya Kreativiti didefinisikan sebagai kemampuan untuk mencipta sesuatu yang unik, berguna, bernilai dan ia berkait rapat dengan kemahiran membuat dan imaginasi. Untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif, maka ianya harus mempunyai kecerdasan kreatif, dan kecergasan kreatif. Justeru itu, sebagai seorang guru kita peru merangsang minda murid ke arah melahirkan pembentukan individu yang kreatif khasnya kepada kanak-kanak.

2.1

Ciri-ciri kreatif

Sebagai seorang guru, adalah penting kita mengetahui ciri-ciri dan sifat-sifat kreativiti. Ciri-ciri kreativiti boleh dilihat dari segi keperibadian serta sifat-sifat kelaziman. Bagi memudahkan guruguru mengenal pasti ciri-ciri kreativiti, berikut merupakan ciri-ciri individu kreatif :

2.1.1 Pengunaan Imaginasi

Aktiviti yang bersifat imaginatif adalah proses menjanakan suatu yang asli. Ia juga memberi alternatif kepada sesuatu yang biasa dijangka. Ia melibatkan proses-proses berfikir dan perlakuan. Ia boleh dikatakan sebagai permainan mental yang diarahkan terhadap suatu objektif yang kreatif dimana fokus adalah terhadap memperbaikkan sesuatu situasi mengunakan pelbagai perspektif. Hasil kreatif biasanya berlaku bila idea yang sedia ada digabungkan atau di interpretasi semula dengan cara yang baru atau diaplikasikan dalam bidang yang baru atau yang sebelum ini dirasa tidak ada kaitan. Aspek penting pemikiran kreatif adalah kebolehan membuat hubungan yang pelik, melihat analogi dan kaitan antara idea atau objek yang sebelum ini belum pernah dilihat.

2.1.2 Mempunyai Tujuan

Imaginasi atau pemikiran kreatif bertujuan. Ia biasanya berlaku secara kebetulan bila seseorang sedang dalam proses cuba mencapai sesuatu objektif lain. Objektif ini pada awalnya tidak semestinya berkaitan dengan kandungan imaginasi kreatif yang dihaslikan. Walau bagaimanapun disebabkan pemikiran kreatif berpotensi membawa idea baru ini objektif awal mungkin mengalami perubahan atau diganti sama sekali. Ini bermaksud bahawa kreativiti adalah adalah gabungan aksi dan tujuan. Sebagai contoh, jika bot yang Ali naiki tenggelam dia akan cuba sedaya upaya memikirkan berbagai kaedah untuk selamatkan diri.

2.1.3 Bersifat Asli

Sesuatu pemikiran atau perlakuan yang dianggap kreatif haruslah asli. Ini bermaksud ianya suatu idea yang dihasilkan secara unik oleh seseorang individu atau kumpulan. Terdapat tiga kategori keaslian. Hasil kerja seorang individu mungkin asli bila dibanding dengan hasil kerjanya sendiri yang lama. Ianya juga boleh dikatakan asli bila dibandingkan dengan hasil-hasil kerja rakan sebayanya. Paling asli adalah hasil kerja yang belum pernah dihasilkan sebelum ini oleh manamana pihak dalam mana-mana bidang. Kategori keaslian pertama dan kedua lebih berfokus kepada perkembangan individu manakala kategori ketiga penting untuk perkembangan masyarakat secara global.

2.1.4 Bernilai

Hasil pemikiran atau perlakuan kreatif pada dasarnya patut menyumbang kepada tujuan atau objektif ditangan. Berikutan ini terpulang kepada individu yang terlibat untuk menilai secara kritikal idea-idea mana yang berguna atau setakat mana sesuatu idea menyumbang terhadap objektif tersebut. Idea yang dinilai sebagai berguna di kekalkan dan idea yang kurang berguna disingkirkan. Kriteria penilaian sesuatu idea yang kreatif bergantung kepada tujuan dan bidang aktiviti berkenaan. Sebagai contoh penilaian boleh dibuat berdasarkan aspek keberkesanan, kegunaan praktikal, kesahihan, kepuasan atau elemen seronok.

2.1.5 Bersifat Fleksibel

Seseorang yang kreatif berupaya untuk menyesuaikan dalam pelbagai keadaan dan situasi selain mempunyai keyakinan yang optimis.

2.1.6 Sensitif Dan Peka

Individu yang mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap keadaan sekelilingnya termasuk gaya hidup, keperluan, persekitaran dan turut sensitif menggunakan deria. Selain itu kepekaan

terhadap alam sekitar serta mempunyai deria dalaman yang sangat sensitif terhadap persepsi estetik.

2.1.7 Gagasan Idea Yang Asli Dan Tulen

Seseorang yang dikategorikan sebagai kreatif sering kali mengutarakan idea dan gagasan yang asli. Ini bermakna cetusan idea bukanlah hasil cedokan daripada mana-mana sumber. Idea mereka unik dan menarik, malah tidak streotaip dan juga tidak konvensional. Mereka ini biasanya menghasilkan hasil kerja dan karya mengikut cetusan rasa. Hasil karya yang mereka hasilkan sering kali berbeza daripada yang biasa.

2.1.8 Bersifat Terbuka

Mempunyai sifat keterbukaan di dalam menerima pandangan dan pendapat orang lain mengenai hasil karya dan kerja mereka. Mengamalkan sikap bebas serta demokratik.

2.1.9 Logik

Murid-murid peka dan sering berfikir secara kreatif dan rasional. Mereka juga tahu membezakan yang baik dan tidak baik. Selain menghargai masa mereka juga sangat menghormati masa

2.1.10 Berfikiran Bebas

Golongan kreatif ini mempunyai daya pemikiran yang tidak terkongkong pada satu-satu perkara sahaja. Golongan ini pandai dan bijak merancang agar projek dan perkara yang dirancang selamat dan berjalan lancar. Pada kebiasaannya mereka ini sangat berhati-hati dan bijak membuat keputusan.

2.2

Kepentingan kreativiti pada kanak-kanak

Kreativiti amat penting kepada kanak-kanak. Antara kepentingannya adalah seperti berikut:

2.2.1 Dapat melatih kanak-kanak agar gemar mengkaji dan menyelidik.

Kreativiti merupakan satu proses. Apabila kanak-kanak mempunyai kreativiti tersendiri mereka akan dapat memberikan makna dan pengertian terhadap sesuatu ciptaan. Mereka akan kerap bertanya bagi mencari sesuatu penyelesaian.Selain daripada itu, kanak kanak yang kreatif juga akan berusaha untuk mencari sesuatu penemuan baru mengenai hubungan antara idea mereka dengan bahan.

2.2.2 Kanak-kanak akan lebih berkeyakinan.

Kanak-kanak yang kreatif akan memiliki sikap keyakinan yang tinggi. Mereka dapat menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel mengikut siatuasi yang sesuai. Selain daripada itu, kanak-kanak akan lebih berdikari untuk menyelesaikan sesatu masalah mengikut kreativiti mereka sendiri tanpa meminta bantuan daripada orang lain. Mereka juga akan sentiasa mempunyai kekuatan perasaan dan emosi.

2.2.3 Melatih kanak-kanak membina idea sendiri.

Kanak-kanak yang kreatif akan berupaya untuk membina, mencipta dan menghasilkan sesuatu yang baru. Mereka akan mencuba dengan gaya dan teknik yang baru serta memanipulasikan idea mereka dengan pelbagai tindakan seperti kebiasaan atau berlainan daripada biasa. Apabila kanak-kanak itu seorang yang kreatif mereka akan cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara sendiri dan cuba meneroka pelbagai pendekatan. Kreativiti dapat membantu kanak-kanak berimaginasi tinggi dan melangkaui batas pemikiran biasa. Selain daripada itu, kanak-kanak juga akan menghasilkan idea yang asli dan tulen tanpa meniru atau menciplak idea orang lain.

3.0

Aktiviti yang merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak.

3.1

Melukis

Lukisan merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur. Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi. Melukis merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot. Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak. Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.

Seni lukis melibatkan skema atau skemata dalam perkembangan seni kanak-kanak terutama lukisan. Kanak-kanak menggunakan semua deria apabila belajar dan menunjukkan ekspresi seni. Kanak- kanak meningkatkan sensitiviti terhadap dunia fizikal untuk memberi makna dan meluahkan emosi. Kanak-kanak berfikir secara simbolik untuk menggambarkan bentuk seni yang unik. Hasil seni menggambarkan konsep diri kanak-kanak pada perkembangan personaliti mereka. Seterusnya dapat membentuk peribadi yang baik dan proses penghasilan lukisan dimanfaatkan. Proses penghasilan lukisan dapat menggabung jalinkan emosi, sosial dan nilai estetika. Proses estetika dan daya kreativiti boleh dibahagikan kepada empat iaitu proses penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi.

Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka. Hasil kerja seni yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kana-kanak. Bagi meningkatkan daya imaginasi kanak-kanak, guru wajar menyediakan peralatan melukis dengan lengkap. Cara ini dapat merangsang imiginasi, kreativiti dan gembira untuk meluahkan emosi. Perkembangan estetika boleh diamati menerusi aktiviti kreatif seperti visual, emosi, jiwa dan pemikiran mereka. Guru perlu berbual dan bertanya kanak-kanak semasa aktiviti seni kerana melalui pergerakan badan, guru dapat memahami maksud di sebalik pergerakan dan perlakuan yang ditunjukkan.

Pergerakan badan menjadi refleksi pada perkembangan estetika kanak-kanak. Komunikasi lisan dan bukan lisan memberi isyarat visual yang menggambarkan emosi dalaman kanak-kanak.

3.2

Muzik

Muzik adalah satu cabang seni. Muzik adalah satu aspek yang sangat penting dan berkesan dalam perkembangan emosi, sosial, fizikal dan kognitif kana-kanak. Pengalaman awal muzik dalam kalangan kanak-kanak adalah satu peringkat yang sangat penting yang boleh membantu kanak-kanak dari segi pembinaan, penukaran dan pengembangan konsep. Pada tahap ini kanakkanak mengalami perkembangan dalam persepsi multisensori, pengawalan motor, kemahiran penyelesaian masalah, mencipta dan kemahiran menyoal. Muzik sering menjadi elemen yang memberi keseronokan dan alat untuk meluahkan perasaan bagi kanak-kanak. Aktiviti nyanyian dan pergerakan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merealisasikan imaginasi mereka di dalam pelbagai cara. Kanak-kanak akan rasa seronok melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti nyanyian. Kebanyakan jenis pendidikan dan perkembangan muzik berdasarkan falsafah tiga orang ahli dan pendidik muzik. Mereka ialah Emili Dalcroze dari Switzeland, Carl Orff dari Jerman dan Zoltan Kodaly dari Hunggary. Berdasarkan idea-idea muzik yang ditemui di negara mereka masing-masing , ianya telah digunakan secara meluas di serata dunia. Disebabkan ideaidea yang mereka peroleh mempunyai kaitan dengan budaya dan konteks negara mereka sendiri, maka ia telah menyebabkan pendekatan dan isi kandungan teori-teori mereka berbeza.

3.2.1 Kaedah Dalcroze

Emile Jaques Dalcroze telah memperkenalkan satu kaedah untuk mempelajari dan mengekspresikan muzik melalui pergerakan yang dipanggil eurhythmics. Semasa mengajar Dalcroze mendapati bahawa ramai daripada pelajar-pelajarnya cekap dari segi teknikal tetapi mempunyai kelemahan dari segi pemahaman muzik. Kesedaran ini telah mendorong Dalcroze mencipta satu kaedah yang menggabungkan pergerakan, rentak dan improvisasi. Menurut Dalcroze, pembelajaran dan latihan muzik yang lengkap dan kreatif seharusnya menggabung ketiga-tiga aspek ini. Kaedah Dalcroze ini menegaskan bahawa tubuh badan pelajar dianggap

sebagai peralatan muzik dalam menginterprestasikan bunyi. Selain itu, tindak balas seluruh tubuh badan perlu aktif dalam mempelajari muzik. Kandungan kurikulum Pendekatan Dalcroze adalah bertujuan untuk memperkembangkan kebolehan pelajar untuk merasa, mendengar, mencipta, berimaginasi, berhubung, mengingat, membaca, mempersembahkan dan

menginterpretasikan muzik. Kepekaan terhadap rentak, kebolehan mengenali muzik dan koordinasi otot dikembangkan secara serentak.

Dalam mendidik kanak-kanak, Dalcroze cuba sedaya upaya untuk mengajar kanak-kanak tentang cara menghayati muzik dan cara mengekspresikan perasaan mereka melalui muzik. Dalcroze sentiasa cuba mengendalikan pengajarannya supaya tidak membosankan dan sentiasa cuba mengintegrasikan sebanyak deria yang boleh. Berdasarkan pengalaman ini, Dalcroze memerhatikan bahawa walaupun kadang kala kanak-kanak tidak boleh bertepuk dan menyanyi mengikut rentak, namun mereka boleh berjalan atau berlari mengikut rentak berkenaan. Ini merupakan elemen paling penting dalam menyokong hujah beliau yang menekankan bahawa pergerakan adalah salah satu cara mengungkapkan perasaan melalui muzik. Mengikut kaedah dan aktiviti-aktiviti pengajaran, Dalcroze memberikan pandangan bahawa pergerakan dan nyanyian dianggap sebagai kemahiran asas yang mesti ditekankan.

3.2.2 Kaedah Orff

Carl Orff ialah seorang ahli muzik dari German yang memperkenalkan pendekatan pendidikan muzik yang menggunakan pergerakan sebagai asas penguasaan perkembangan muzik kanakkanak. Pendekatan ini dikenali sebagai Orff Shulwerk. Pada mulanya, Orff Shulwerk dicipta untuk mengajar orang dewasa tetapi lama kelamaan iubahsuai khusus untuk mengajar kanakkanak. Suara, pergerakan dan peralatan muzik adalah tiga elemen perantara yang digunakan dalam Shulwerk. Lagu dan rima pentatonik digunakan untuk mengajar kanak-kanak menyanyi. Pentatonik ialah skala lima nota. Pelbagai pergerakan direka dan disesuaikan dengan rima. Meneroka dan mencuba pergerakan badan menggunakan ruang yang sedia ada serta mengikut rentak muzik yang berlainan adalah penting dalam kaedah ini. Peralatan muzik yang digunakan dalam kaedah Shulwerk adalah dari jenis bar atau mallet seperti xylophone. Alat ini dipanggil

instrumen Orff kerana kunci-kunci yang boleh dikeluarkan atau dipindahkan membolehkan notanota muzik disusun semula dalam berbagai kombinasi semasa latihan pengubahsuaian.

3.2.3 Kaedah Kodaly

Zoltan Kodaly ialah tokoh muzik yang berasal dari Hungary. Konsep Kodaly diperkenalkan sebagai kaedah dalam pendidikan muzik. Asas dalam kaedah ini ialah nyanyian, pembelajaran bahan muzik instrinsik iaitu muzik yang berkait rapat dengan budaya sesuatu masyarakat dan penggunaan solmization yang relatif. Solmization ialah sistem kod nada yang menggunakan suku kata do-re-mi-fa-so-la-ti-do untuk skala atau skor muzik. Perbezaan utama antara kaedah ini dengan kaedah-kaedah pendidikan muzik yang lain ialah penekanan kepada pembelajaran dan pembacaan skor muzik secara formal. Pendekatan Kodaly mempunyai dua objektif iaitu:

i. ii.

Membantu dalam perkembangan sosial seni kanak-kanak yang seimbang. Menghasilkan individu dewasa yang dapat membaca dan menulis skor muzik seperti mana mereka mahir membaca dan menulis dalam bahasa. Berdasarkan pengalamannya, Kodaly sedar bahawa pendidikan muzik kanak-kanak haruslah bermula dari tahap prasekolah. Kodaly menekankan kepentingan muzik dalam kurikulum. Di samping itu, Kodaly menegaskan bahawa pengajaran muzik harus dimulakan pada masa kanak-kanak mula belajar membaca.

3.3

Tarian

Pengajaran tarian dan pergerakan kreatif kanak-kanak dapat mempertingkatkan kemahiran kinestetik dan kreativiti kanak-kanak. Aktiviti tarian dan pergerakan kreatif memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bergerak mengikut rentak dan irama muzik. Aktiviti tersebut mewujudkan bentuk pengalaman yang kreatif kepada kanak-kanak dan melatih mereka untuk menilai estetika gerak dalam persembahan tarian dan pergerakan kreatif. Tarian merupakan gerakan yang berirama. Kanak-kanak melakukan gerakan, apresiasi seni gerak dan ekspresi perasaan. Pergerakan kreatif ialah gabungan gerak geri kreatif menerusi imaginasi dan kreativiti

kanak-kanak. Pergerakan psikomotor dapat membantu kanak-kanak memahami struktur dan fungsi anggota badan, kemampuan, menyelesaikan masalah dan ekspresi perasaan semasa membuat gerakan. Contoh tarian pelbagai budaya di Malaysia ialah Kuda Kepang, Zapin, Tarian Singa, TarianNaga, Tarian Bharata dan lain-lain lagi.

3.4

Lakonan dan drama kreatif

Lakonan dan drama kreatif merupakan salah satu teknik dan alat bantu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Lakonan dan main peranan ialah permainan di mana kanakkanak bermain sebagai ibu, bapa, kakak, abang, adik, doktor, polis, pelakon dan lain-lain dalam sesuatu peristiwa yang sesuai. Kanak-kanak perlu bertutur atau melakonkan watak-watak berkenaan dalam satu situasi. Teknik main peranan bertujuan untuk mengekalkan perhatian dan tumpuan, menarik minat kanak-kanak serta untuk membangkitkan rasa ingin tahu kanak-kanak terhadap sesuatu perkara. Teknik main peranan ini sering digunakan oleh guru dalam kaedah komunikatif dan kaedah yang berasaskan pendekatan induktif iaitu kaedah terus, elektif dan audiolingual. Tujuan teknik lakonan dan drama kreatif adalah untuk melatih kanak-kanak :

memperkembangkan unsur bahasa, unsur paralinguistik (jeda, nada dan intonasi); bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala, badan dan lain-lain) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan.

Pendekatan dan aktiviti ini mampu mendorong kanak-kanak untuk menghubungkan perasaan mereka dengan komponen yang dipelajari. Kanak-kanak juga bebas meluahkan emosi, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu.

3.5

Permainan

Kanak-kanak belajar melalui bermain. Pembelajaran yang bermakna berlaku terutama ketika bermain. Keseimbangan diantara belajar dan bermain menjadi rangka yang penting bagi memperkembangkan kebolehan dan keupayaan kanak-kanak dalam sesuatu bidang. Bermain

sebenarnya adalah satu proses pembelajaran yang melibatkan kanak-kanak memahami sesuatu konsep. Melalui permainan juga, ia dapat mengukuhkan kefahaman kanak-kanak terhadap konsep yang ingin diketahui oleh mereka. Konsep bermain ini sebenarnya merujuk kepada motivasi intrinsik (dalaman) dan menyeronokkan. Proses pembelajaran berlaku secara tidak langsung semasa bermain.

3.5.1 Contoh Permainan

i.

Menyusun Puzzle Gambar

Puzzle merupakan permainan menyusun kepingan gambar sehingga menjadi sebuah gambar yang lengkap. Ianya juga terdiri daripada pelbagai jenis gambar dimana kanak-kanak dikehendaki menyusun serpihan-serpihan kecil daripada kepingan tersebut untuk menjadikan ianya sebuah gambar. Selain itu, puzzle juga adalah satu bentuk permainan yang memerlukan penelitian, melatih kanak-kanak supaya fokus atau memberi sepenuh perhatian ketika melakukannya serta harus mempunyai ingatan jangka panjang semasa menyusun kepingankepingan puzzle tersebut sehingga selesai. Dalam usia 2 tahun lagi kanak-kanak sudah pandai memegang dan mengambil sesuatu dengan baik serta dapat memasang kepingan-kepingan tersebut dengan begitu berhati-hati sekali.

Terdapat pelbagai jenis puzzle gambar yang terdapat dipasaran dan antaranya ialah puzzle yang mempunyai 300 keping, 500 keping atau 1000 keping bagi membentuk sebuah gambar. Disamping itu, melalui puzzle juga mereka dapat belajar memahami konsep bentuk, warna, ukuran dan jumlah, maka bagi kanak-kanak pintar cerdas puzzle yang seharusnya diberikan kepada mereka adalah berbentuk kompleks iaitu dari segi jenis gambar supaya mereka dapat berimaginasi dengan lebih tinggi lagi dalam menyelesaikan permainan tersebut. Hal ini dapat mengembangkan keupayaan kognitif mereka apabila menggunakan otak bagi merancang dan menganalisis apakah bentuk sebenar gambar dalam permainan puzzle tersebut. Kesimpulannya, aktiviti ini dapat meningkatkan daya imaginasi dan ingatan kanak-kanak bagi melengkapkan gambar puzzle tersebut.

ii.

Aktiviti Luar

Terdapat pelbagai jenis aktiviti luar yang boleh dilakukan untuk merangsang pemikiran kanakkanak. Contohnya melalui permainan istana pasir, permainan di taman permainan dan sebagainya. Istana pasir ialah satu seni binaan dengan menggunakan pasir yang umumnya berbentuk bangunan contohnya istana. Permainan ini biasanya dilakukan di pantai. Melakukan aktiviti di pantai bukan sahaja akan menarik minat kanak-kanak malah ia akan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meluaskankan lagi pandangan mereka terhadap segala apa yang ada di sekeliling mereka.

Bahan utama yang diperlukan untuk melakukan aktiviti pembinaan istana pasir ini ialah pasir dan air. Tanpa bahan utama ini, istana pasir yang diimaginasikan tidak dapat dibina dengan sebaikanya. Alatan lain yang diperlukan juga adalah penyodok, gelas, pelbagai bentuk acuan dan jugabotol kosong. Berdasarkan bahan-bahan yang kelihatan biasa ini, kanak-kanak akan menggunakan daya kreatif mereka untuk mereka dan membentuk pelbagai bentuk berkaitan istana pasir berdasarkan acuan pasir, air dan bahan-bahan tersebut. Walaupun aktiviti ini membuatkan kanak-kanak menjadi kotor dengan pasir, namun faedah sebenarnya yang diperolehi melalui pengalaman bermain ini lebih penting daripada kesan kotoran tersebut.

Kanak-kanak bermain untuk membina pengetahuan dan mengenali dunia mereka sendiri. Mereka akan menggunakan pelbagai bahan untuk menghasilkan ciptaan mereka sendiri seperti aktiviti pembinaan istana pasir ini mengikut kreativiti masing-masing. Melalui aktiviti pembinaan istana pasir ini, kanak-kanak akan dapat mengeluarkan idea kreatif mereka secara bebas dan tidak terbatas. Dalam situasi ini, contohnya jika mereka hendak membina tiang istana pasir, mereka boleh membinanya berdasarkan idea masing-masing tanpa ada sekatan atau halangan dari pihak orang yang lebih dewasa. Aktiviti ini juga melibatkan daya pemikiran yang tinggi dalam proses menyiapkannya. Contohnya mereka terpaksa berfikir bagaimana untuk membina isatan pasir berdasarkan barang-barang yang terhad, cara untuk mengukuhkan istana tersebut dan befikir tentang bentuk-bentuk yang akan dibina. Selain itu, aktiviti ini juga dapat memperkembangkan lagi daya imaginasi mereka. Contohnya mereka akan membayangkan bermacam-macam perkara berkaitan dengan pembinaan istana pasir ini sebelum dan semasa melakukan aktiviti tersebut.

Jelasnya melaui aktiviti pembinaan istana pasir akan dapat meningkatkan perkembangan kognitif kanak-kanak.

3.6

Seni Boneka

Boneka adalah objek-objek yang diukir untuk mewakili watak-watak cerita. Apa yang perlu ada pada sesuatu boneka adalah ia mesti boleh digerak-gerakkan seolah-olah hidup. Boneka juga mempunyai sifat-sifat yang tersendiri, yang menampilkan watak-watak riang, sedih, marah dan lain-lain. Boneka ialah objek atau bahan yang digerakkan serentak dengan skrip yang dibaca ataupun cerita yang disesuaikan. Nillie Mc Caslin (1984), menyatakan bahawa boneka dapat berfungsi sebagai alat bantuan mengajar dan dapat menarik perhatian pelajar, menghidupkan suasanan yang lebih menyeronokkan dan seterusnya memotivasikan pelajar. Biasanya, penggunaan boneka tidak hanya terhad kepada bentuk orang, tetapi boleh juga berbentuk haiwan dan objek-objek lain mengikut watak, situasi dan cerita yang tertentu. Ketika boneka dimainkan atau digerakkan, muzik latar, suara ataupun bunyi-bunyian dimainkan bagi mengiringi pergerakan yang dibuat. Boneka boleh dimainkan oleh guru sendiri ataupun sekumpulan kanakkanak.

3.6.1 Jenis-jenis Boneka

Terdapat pelbagai jenis boneka. Antaranya ialah :-

i.

Boneka Jari

Boneka jari atau lebih dikenali dengan finger puppets, merupakan boneka yang dimainkan oleh kanak-kanak secara sendiri. Ia dilakukan dengan memasukkan jari ke dalam boneka yang bersaiz jari dan memainkan watak tersebut dengan cara dan gaya jari mereka. Boneka tersebut boleh dibuat dari kertas yang dilukiskan wataknya, kecil bersaiz jari kanak-kanak, diwarnakan dan kemudian digam keliling bentuk watak tersebut kecuali bahagian untuk dimasukkan jari.

ii.

Boneka Tangan

Boneka tangan atau hand puppets, yang lebih mudah disediakan dan lebih praktikal digunakan oleh kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak akan memasukkan keseluruhan pergelangan tangan mereka ke dalam watak yang dilukis atau dibentuk. Bagi menyediakan boneka jenis ini, pelbagai bahan boleh digunakan. Antaranya ialah stokin, sarung tangan, beg kertas sandwish dan sampul surat. Manakala untuk bahagian watak seperti kucing, tikus dan sebagainya, boleh digunakan bekas telor, bekas dadih dan lain-lain supaya menarik. Dengan boneka tangan, kanak-kanak lebih bebas menggunakan tangan mereka, pergerakan mereka juga lebih bebas.

iii.

Boneka Berbatang

Boneka berbatang atau stick puppets adalah sejenis boneka yang mudah digunakan oleh kanakkanak. Kepala watak-watak seperti tikus, gajah dan lain-lain akan dilekatkan pada hujung batang aiskrim atau pada lidi satay dan kemudian bahagian badan watak turut dilekatkan pada bahagian bawah kepala tersebut. Kanak-kanak lebih gemar menggunakan boneka jenis ini kerana tangan mereka bebas dan mereka hanya perlu menghayun kayu pemegang mengikut sesuatu pergerakkan dan lebih fleksibel.

iv.

Boneka Tali

Boneka menggunakan tali atau string puppets, berbeza dari segi saiz dan rupa bentuk. Ia lebih kompleks kerana kepala watak akan dibentuk dan akan diikat dengan tali dan bagi tujuan pergerakkan. Bahagian kaki dan tangan watak juga akan dibentuk supaya boleh digerakkan dengan menggunakan tali. Boneka jenis ini sesuai digunakan bagi cerita-cerita yang memerlukan watak tersebut untuk lari, terbang, lompat dan mengelongsor. Tali yang digunakan boleh berupa tali biasa atau pun tali tangsi yang lebih elastik yang menyebabkan pergerakkan lebih menarik. Boneka bertali, turut digunakan walaupun perlu kemahiran yang tinggi dalam mengawal keluar masuk sesuatu watak.

v.

Boneka Bayang-bayang

Boneka bayang-bayang atau shadow puppets, telah lama digunakan untuk persembahan bercerita, diikuti dengan nyanyian dan tarian. Ia memerlukan ruang yang khas seperti skrin, watak-watak pula boleh menggunakan samada boneka jari, tangan ataupun boneka yang menggunakan pemegang kayu. Ia boleh juga berbentuk drama dan memerlukan lebih dari seorang kanak-kanak untuk memainkan peranannya. Watak-watak yang dibentukkan juga perlu menarik seperti bentuk yang boleh digerak-gerakkan, mulut yang boleh dibuka dan tutup dan sayap yang boleh dikepakkan. Boneka bayang-bayang, memerlukan kemahiran yang tinggi dalam pengawalan pergerakkan watak-watak dalam sesuatu cerita.

3.7

Sastera Awal Kanak-Kanak

Sastera awal kanak-kanak ialah sastera kanak-kanak yang dihasilkan dalam bentuk buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak dan mampu menimbulkan keseronokan kepada mereka. Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan sastera awal kanak-kanak ini dilakukan dalam bentuk tulisan dan ilustrasi. Sastera awal kanak-kanak merupakan salah-satu elemen yang dikenal pasti berupaya melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak. Hal ini kerana, sastera awal kanak-kanak mampu memberi keseronokan, dapat merangsang imaginasi, dapat membantu mengenal dan memahami diri sendiri, dapat memahami bahasa secara semula jadi, dapat membantu mendapatkan maklumat dan dapat memupuk nilai-nilai murni kepada individu kanak-kanak.

Sastera adalah hasil kreatif yang menggunakan bahasa yang indah, baik dengan cara pengucapan atau bertulis. Sastera biasanya digunakan sebagai bahan hiburan dan bahan pengajaran untuk mengenal diri dan masyarakat sesuatu bangsa (Atan Long, 1977). Hasil kreatif sastera itu mungkin terdiri daripada cerita, puisi, drama, cerpen, novel, hikayat, dan lain-lain karya. Justeru, sastera awal kanak-kanak merujuk kepada hubungan kanak-kanak dengan hasil kreatif iaitu buku

atau bahan bacaan dan cerita. Hubungan ini boleh dalam bentuk mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka perlu:

didedahkan kepada buku-buku bergambar berwarna; didedahkan dengan aplikasi bahan audio visual kerana kebolehan membaca mereka bergantung kepada ketajaman deria pendengaran dan deria penglihatan; membaca buku cerita, melihat buku, ditunjukkan cara menjaga buku dan mengumpulkan buku berwarna-warni.

Hal ini boleh berlaku kerana pada usia lima tahun, kanak-kanak telah mula menguasai asas-asas bahasa seperti semantik, sintaksis dan pragmatik. Asas-asas bahasa ini akan terus berkembang mengikut pertambahan umur mereka. Satu konsep yang penting dalam pendidikan berhubung dengan pembacaan ini ialah kanak-kanak ini harus disediakan dengan kesediaan atau persiapan sebelum membaca atau reading readiness. Oleh itu, bahan-bahan yang diterbitkan bukan sahaja perlu untuk kanak-kanak yang sudah boleh membaca, tetapi perlu juga untuk kanak-kanak yang belum boleh membaca. Mereka perlu disediakan dengan pengalaman-pengalaman menerusi bahan-bahan yang disediakan khas untuk menyedia dan mempersiapkan mereka menghadapi pembacaan.

3.8

Kraftangan

Kraf mudah membantu perkembangan motor kasar dan motor halus yang menggalakkan penggunaan dan kawalan otot secara berkesan seperti menggunting dan menggunakan tanah liat. Kraf mudah memberi peluang kepada kanak-kanak mengaplikasikan teknik menggambar, membuat corak dan rekaan serta bentuk binaan. Aktiviti menggambar untuk kanak-kanak ialah lukisan, catan, kolaj, montaj, cetakan, resis, gosokan, stensilan, percikan, gurisan, capan dan mozek. Aktiviti membuat corak dan rekaan untuk kanak-kanak ialah ikatan dan celupan, tiupan, titisan, renjisan, percikan, lukisan, catan, cetakan, capan, resis, kolaj, pualaman, lipatan dan guntingan. Aktiviti membentuk binaan ialah topeng, boneka, origami, mobail, stabail, model dan diorama. Kraf mudah 2 Dimensi atau 2D adalah bentuk kraf yang mempunyai panjang dan lebar

seperti kolaj, topeng dan kad ucapan. Kraf mudah 3 Dimensi atau 3D adalah bentuk kraf yang mempunyai panjang, lebar dan tinggi seperti boneka dan mobail.

4.0

Penutup

Guru merupakan golongan yang paling penting untuk melahirkan kanak-kanak yang mempunyai individu yang kreatif. Murid-murid perlu diberi ruang dan peluang untuk berfikir dan menyelesaikan masalah serta belajar mengikut kadar kemampuan sendiri melalui kaitan yang relevan dengan pengalaman sedia ada. Aktiviti yang dirancang perlu bersifat mencabar, menarik serta diperkukuhkan dengan bahan sokongan yang sesuai. Bertitik tolak atas rasional ini, kanakkanak perlu diberi peluang yang sama rata untuk memperkembangkan potensi diri melalui penglibatan aktif dalam aktiviti yang dirancang. Guru-guru perlu memahami dan membantu kanak-kanak merekacipta sesuatu aktiviti dengan menggunakan idea masing-masing. Pada kebiasaannya, kanak-kanak bermula dengan imaginasi, mengeluarkan idea, meneroka, melaksanakan aktiviti hinggalah mendapat keputusan daripada proses yang dilakukan. Aktivitiaktiviti yang merangsang pemikiran kreatif amat perlu dan penting untuk diterapkan semasa melaksanakan aktiviti. Guru-guru juga perlu lebih kreatif agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan bermakna.

5.0

Rujukan

Loy Chee Luen. (2010). Seni Persembahan Kanak-kanak: Modul Pengajaran dan Pembelajaran. Petaling Jaya: L.C.L. Loy Chee Luen. (2010). Seni Visual Kanak-kanak: Modul Pengajaran dan Pembelajaran. Petaling Jaya: L.C.L. Mohd. Azhar Abd. Hamaid. (2004). Kreativiti: Konsep dan Teori Praktis. Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Kathleen Chee (2012). Pendidikan Seni Visual. Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd: Bangi, Selangor Prof Dr Hj Abdul Shukor Hashim dan rakan (2011). HBAE1203 Perkembangan seni KanakKanak. Meteor Doc. Sdn. Bhd.: Seri Kembangan, Selangor.

INTERNET Perkembangan kreativiti kanak-kanak. Wikipedia Bebas. http://zulprasekolah.blogspot.com/2009/01/perkembangan-kretiviti-kanak-kanak.html [Diperoleh pada 15 April 2013] Perkembangan seni kanak-kanak. Wikipedia Bebas. http://assignment.oum.edu.my/uploadasg/HBAE1203SMP/18500/790616035703_13613 0_final.pdf [Diperoleh pada 15 April 2013] Strategi pemikiran kreatif dan kritis. Wikipedia Bebas. http://fskpm.upsi.edu.my/pintarcerdas/images/assignment/Group/yoefiq/abstrak.pdf [Diperoleh pada 17 April 2013]

Anda mungkin juga menyukai